Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Thursday 14 July 2011

Urus Kebun Sayur 24 Hektar

Zulkarnain Sahudin menunjukkan buah petola yang ditanam di kebunnya di Kampung Mandah, Kuala Kangsar.

Bidalan 'ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi' adalah amat tepat bagi menggambarkan kisah anak muda yang bertekad untuk berbudi ke pada tanah.

Jika dahulu, Zulkarnain Sahudin, 33, lebih kerap turun ke kebun sayur kerana mengikut ayahnya, tetapi kini beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar bagi memastikan usaha yang dirintis ayahnya itu terus berjaya.

Hari ini, beliau bukan sahaja seorang pekebun sayur tetapi pengurus ladang yang bertanggungjawab ke atas enam pekerja, termasuk ahli- ahli keluarganya.

Walaupun pernah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah kilang swasta hingga menjadi seorang penyelia, namun, akhirnya beliau balik ke kampung untuk menjadi petani moden.

Bermula pada keluasan 1.35 hektar kira-kira 15 tahun lalu dengan tanaman timun, Zulkarnain tidak menoleh kebelakang dan terus menambah keluasan tanaman sayurnya sehingga mencapai keluasan 24 hektar.

Kebun sayur yang diusahakan secara Ladang Kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dilengkapi ke mudahan air titis untuk menyiram tanaman secara sistematik.

''Saya buat berperingkat dan sepanjang tempoh itu melalui pelbagai masalah tetapi melihat kepada kehijauan serta hasil yang terbentang di depan mata menguatkan lagi semangat untuk terus maju," katanya.

Menurutnya, masalah tetap ada selepas benih ditanam seperti ancaman penyakit, lambakan sayuran di pasaran dan cuaca. Bagaimanapun tegas beliau, itu semua asam garam perlu ditempuhi walaupun adakalanya menyebabkan kerugian.

Bercerita lanjut, Zulkarnain memberitahu, ladangnya kini ditanam dengan timun, petola, terung panjang dan bulat, peria dan labu air.
Ia akan ditukar ke tanaman sayuran lain bergantung kepada kesesuaian dan pasaran semasa.

Dalam mengendalikan ladangnya itu, beliau menggunakan enam orang pekerja tetap dan dibantu bapa serta isterinya. ''Saya sendiri akan turun ke ladang dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum di sambung dari pukul 3 hingga 7 petang setiap hari," katanya.

Bagi mewujudkan kemudahan asas di ladangnya, beliau telah membelanjakan sebanyak RM200,000 bagi membina sistem air titis dan RM160,000 bagi membersihkan kawasan ladang menerusi pinjaman daripada Agro Bank.

Mengenai tanah yang diguna kan bagi ladang tersebut, beliau menerangkan, ia merupakan kawasan tanah terbiar di Kampung Mandah yang disewa daripada pemiliknya.

Zulkarnain berkata, beliau banyak mendapat bantuan dan khidmat nasihat daripada pejabat pertanian seperti membenih dan teknik-teknik menjaga bagi memajukan ladangnya.

Di samping itu, kerjasama daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Senggang, Manong turut membantunya untuk terus maju.
Menurut ayah kepada empat anak itu, 50 peratus daripada sayurnya dijual melalui FAMA dan baki dijual di pasar Kuala Kangsar, Sungai Siput, Selayang, Kuala Lumpur, Parit dan pasar harian.

''Sehingga ini masalah pasaran tidak timbul kerana telah membuat perjanjian bersama FAMA dan permintaan daripada peniaga harian juga menggalakkan. ''Selalunya peraih datang sendiri ke ladang mendapatkan bekalan sayur," katanya.

Zulkarnain berkata, beliau pernah mengalami kerugian hampir RM50,000 akibat serangan penyakit pokok. Menurutnya, beliau sedia memberi nasihat kepada golongan belia dan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) untuk menceburi bidang itu kerana rezeki berada di mana-mana asalkan sanggup berusaha dengan gigih.

Sementara itu, Zulkarnain turut meminta pihak berkuasa membina jalan tar sejauh empat kilometer menghubungkan ladangnya ke jalan utama serta mendalamkan anak sungai berhampiran ladangnya itu.

Mereka yang ingin berkongsi maklumat atau melihat sendiri ladang sayur boleh menghubungi Zulkarnain di talian 014-9402498.

No comments:

Post a Comment