Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Tuesday 5 June 2012

Pelan Prabayar

Pengguna seringkali keliru dalam memilih perkhidmatan prabayar yang mana lebih murah dan berbaloi.

Ini ditambah lagi dengan perang iklan yang menawarkan pelbagai penjimatan daripada syarikat telekomunikasi yang mengaku dirinya lebih baik dari yang lain.

Jika dahulu, pengguna pelan prabayar sangat berkira setiap kali membuat panggilan dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana ia bergantung kepada baki prabayar mereka.

Namun sejajar dengan perkembangan teknologi di mana perkhidmatan suara dan data digabungkan oleh syarikat telekomunikasi, budaya mengira baki yang ada kian dilupakan.

Apatah lagi untuk pengguna prabayar mengetahui caj-caj tersembunyi ataupun caj-caj kurang jelas yang dikenakan sebelum melanggan pra-bayar daripada syarikat telekomunikasi.

Analisis Utusan Malaysia mendapati, pengguna prabayar kini rata-rata tidak mengendahkan baki kredit semasa mereka dan hanya akan sedar apabila perkhidmatan disekat akibat kehabisan kredit.

Mungkin pelan pasca bayar yang menawarkan pelbagai pakej telefon pintar telah mendominasi pasaran sehingga hampir semua syarikat telekomunikasi tempatan hanya menawarkan satu pelan prabayar kecuali Celcom.

Utusan Malaysia rasa terpanggil untuk membuat perbandingan pelan pra-bayar terbaharu di pasaran seperti Celcom New Xpax, Maxis Bagus, Digi Lagi Best, U Mobile dan Tune Talk berdasarkan iklan yang dipamerkan di laman sesawang masing-masing pada 10 April 2012.

Sekali imbas iklan-iklan tersebut, agak sukar untuk memahami sesetengah pelan yang ditawarkan kerana menyediakan pelbagai syarat yang merumitkan dan yang perlu dipatuhi untuk menikmati caj istimewa.

Oleh itu, kadar anggaran penggunaan seharian yang sama telah ditetapkan bagi menguji caj akhir bagi kelima-lima pelan tersebut antaranya adalah 10 minit panggilan ke rangkaian serta luar dan 30 SMS ke rangkaian sama dan luar.

Hasilnya boleh dirujuk melalui grafik yang disediakan untuk dijadikan panduan. Proses uji caj ini tidak mengambil kira talian yang diaktifkan untuk mendapatkan caj istimewa.

Secara kesimpulannya, pengguna yang bijak perlu sentiasa peka dengan pelan-pelan baharu yang ditawarkan di pasaran kerana ia sentiasa berubah disebabkan persaingan yang sihat.

Jangan takut untuk mencuba pelan baharu jika ia lebih menguntungkan serta sesuai untuk anda dan paling penting pertukaran tidak akan melibatkan nombor talian sedia ada.

Proses pertukaran boleh dilakukan terus di mana-mana syarikat telekomunikasi yang anda pilih tanpa perlu melakukan pemotongan pelan terdahulu dan paling penting tiada caj dikenakan.