Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Showing posts with label Kisah Niaga. Show all posts
Showing posts with label Kisah Niaga. Show all posts

Monday, 30 January 2012

Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diberi penerangan mengenai produk yang dihasilkan oleh peserta lepasan PBU sambil diperhatikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (kanan).
 
Bidang keusahawanan terbukti mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang menceburinya.
 
Namun, rata-rata masyarakat masa kini kurang yakin terhadap bidang ini di samping tidak mempunyai ilmu yang lengkap mengenainya.

Ada yang berminat tetapi ilmu tidak cukup. Ada pula terpaksa berputus asa berhenti separuh jalan gara-gara ketiadaan pengalaman.

Sebab itu Jabatan Pertanian merintis jalan membuka peluang kepada golongan belia dan beliawanis menceburkan diri dalam bidang perniagaan melalui Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan.

Menurut Timbalan Pengarah, Seksyen Industri Asas Tani, Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Faridah Aini Muhammad, kursus tersebut diperkenalkan mulai 2002.

Ia bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai kemahiran teknikal dan keusahawanan.

"Ia juga bertujuan untuk mendidik mereka agar berupaya menguruskan perusahaan makanan berasaskan pertanian secara serius bagi memenuhi permintaan makanan berproses yang semakin meningkat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Faridah Aini, kursus tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pemprosesan produk makanan dengan memberi penekanan kepada aspek Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

Ia bagi menjamin tahap keselamatan produk yang dihasilkan yang merupakan prasyarat kepada Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Antara yang dipelajari adalah pelbagai produk sejuk beku seperti karipap, roti canai, donat, kuih kasturi, roti bom dan produk bakeri seperti roti, kek, pastri serta biskut.

Selain itu, peserta juga berpeluang mempelajari cara menghasilkan produk berasaskan buah-buahan antaranya kelapa seperti kerisik, santan, dodol, seri kaya, biskut kelapa, pes rendang dan gula-gula kelapa.

Terdapat juga pelbagai produk hasilan buah-buahan seperti jem buah-buahan, kordial, puri, ban, kek buah, buah bersalut serta pelbagai produk makanan ringan seperti kacang bersalut, buah rotan, kuih tiram dan popia mini.

Untuk melengkapkan kemahiran pengurusan dan jaminan ke atas produk proses yang dihasilkan, peserta turut dilatih dalam aspek keusahawanan.

"Ia meliputi aspek pengurusan perniagaan dalam skala yang kecil, pengurusan kewangan, pemasaran, keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penyediaan rancangan perniagaan yang betul," katanya.

Jangkamasa kursus ialah enam bulan. Sesi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei hingga November tahun ini.

Program tersebut melibatkan pelbagai aktiviti dan terbahagi kepada lima modul utama iaitu empat minggu pertama peserta akan dikumpulkan di PBU di Serdang, Selangor.

Kemudian peserta akan di hantar ke PBU yang terdapat di seluruh negara mengikut kursus yang ditawarkan bagi menjalani modul amali, kelas serta latihan amali selama lapan minggu.

Setelah menjalani pelbagai teori, kelas serta praktikal, peserta akan diberi peluang melaksanakan projek usahawan secara berkumpulan di PBU masing-masing selama lapan minggu juga.

Menurut Faridah Aini, apa yang menarik. peserta bebas menentukan produk dan kaedah perniagaan yang ingin diusahakan.

"Mereka akan diberikan modal permulaan membabitkan bahan mentah, peralatan dan khidmat nasihat kemudian akan mula menjual serta memasarkan produk mereka secara sendiri. Biarpun mereka akan bergerak sendiri namun perjalanan projek tetap akan dipantau oleh pegawai jabatan bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya.

Peserta juga bebas untuk menentukan lokasi jualan. Malah jika ingin mendapatkan keuntungan lebih peserta juga boleh menggunakan segala peralatan di PBU masing-masing pada bila-bila masa.

Malah, keuntungan yang diperoleh semasa menjalankan projek praktikal tersebut boleh diambil oleh peserta untuk kegunaan mereka sama ada sebagai simpanan mahupun sebagai modal untuk memulakan perniagaan apabila tamat berkursus.

Biarpun ia hanya merupakan projek berkumpulan ketika berkursus, namun ada kumpulan peserta sebelum ini pernah mencatatkan keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit biarpun hanya dalam masa dua bulan (lapan minggu projek) sahaja.

"Malah, ada di antara mereka sendiri tidak mempercayai dengan pulangan lumayan yang mereka peroleh," katanya.

Setelah berjaya menjalankan projek berkumpulan tersebut selama satu minggu, peserta akan diperkenalkan bersama pihak swasta, syarikat serta agensi yang berkaitan perniagaan serta keusahawanan.

Ia bertujuan untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang perjalanan sektor keusahawan secara realiti dan hands on.

Pada minggu akhir ini juga turut diadakan pertandingan mencipta resipi dan majlis penyampaian sijil.

Tambah Faridah Aini, sejak kursus tersebut diwujudkan sambutan orang ramai adalah amat menggalakkan.

Kadang-kala untuk satu-satu sesi kita menerima sehingga 300 permohonan namun hanya terdapat 70 atau kurang kekosongan yang boleh diberikan.

"Justeru kita perlu melaksanakan temuduga dan memilih mereka yang benar-benar berminat untuk menjadi usahawan, ini kerana kos yang ditanggung kerajaan untuk melaksanakan kursus ini juga amat tinggi," katanya.

Jelas Faridah Aini, kos bagi seorang peserta mampu mencecah sehingga RM10,000 atau pun lebih bagi satu-satu sesi selama enam bulan.

Bagi keseluruhan kursus, Jabatan Pertanian membelanjakan jutaan ringgit. Justeru, bagi pihak kami, pemilihan adalah berdasarkan kepada mereka yang menunjukkan minat yang mendalam didalam bidang ini serta berpotensi untuk menjadi usahawan apabila tamat berkursus.

"Semuanya telah tersedia secara percuma, terpulang kepada mereka-mereka yang benar-benar berminat untuk menyertainya serta bercita-cita untuk menjadi usahawan berjaya," katanya.

Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan

Antara produk sejuk beku yang dihasilkan oleh Halimah Saadiah Abdullah di PBU, Serdang, Selangor.

JIKA diberi peluang saya juga ingin menyertainya," ujar Mohd. Ariff Izwan Rahmat, 29 seorang usahawan makanan sejuk beku.

Beliau berkata demikian setelah melihat sendiri kejayaan yang ditunjukkan oleh isterinya, Raja Nazatul Shima Raja Ahmad, 29 yang merupakan seorang lepasan Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian.

Ujar Mohd. Ariff Izwan, sebelum ini beliau sememangnya seorang usahawan produk makanan namun ia tidak serancak seperti mana selepas isterinya menyertai kursus tersebut.

Namun semenjak isteri saya menyertai kursus tersebut ia bagaikan satu pembaharuan dan keyakinan terhadap bidang ini semakin bertambah.

"Tambahan pula isteri saya kini turut menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang usahawan produk makanan, kini saya pula menjadi pembantunya dan bersama-sama mengusahakan perniagaan sejuk beku ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Pasangan tersebut yang menumpukan perhatian terhadap produk sejuk beku seperti karipap turut mengakui kadang-kala mereka tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan yang diterima.

Jelas Raja Nazatul Shima, pada awalnya dia tidak berminat dengan bidang usahawan tersebut dan selepas sahaja menamatkan pengajian bidang Diploma Pertanian dia terus berusaha mencari pekerjaan di sektor awam.

"Ketika sedang mencari kerja di Jabatan Pertanian saya 'bertemu' dengan kursus ini. Lalu tanpa berfikir panjang saya menyertainya dan setelah setahun saya menamatkan kursus tersebut, kini saya mampu tersenyum dengan pendapatan yang diperoleh," katanya.

Tambah Raja Nazatul Shima, pada peringkat permulaan ibu bapanya seakan tidak menggalakkan dia bekerja dalam sektor awam sama seperti mereka.

Namun, setelah berusaha menerangkan usahanya serta melihat kejayaan yang ditunjukkan, kini, mereka merupakan antara pendorong dan penyokong kuat dirinya untuk meneruskan perniagaan tersebut.

Saya menyertai kursus tersebut pada tahun lepas dan kini selepas hampir setahun saya berjaya menghasilkan hampir 10 jenis kuih muih sejuk beku.

"Saya juga kadang-kala menerima tempahan untuk perkahwinan melibatkan kuih seperti karipap dan pisang goreng akan digoreng ketika majlis berlangsung dan di makan panas-panas," katanya.

Biarpun idea tersebut masih baru untuk majlis-majlis perkahwinan, namun ia telah diterima dengan baik malah tempahan untuk tujuan tersebut juga banyak diterima oleh mereka.

Kini, pasangan tersebut sedang berusaha membesarkan perniagaan mereka dan sedang mencari kedai yang bersesuaian untuk menubuhkan sebuah syarikat.

Dalam pada itu, menurut Halimah Saadiah Abdullah, 42, sebelum menyertai Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan kelolaan Jabatan Pertanian tersebut, dia telah menjalankan perniagaan produk bakeri.

Saya telah bersama Jabatan Pertanian dalam mengusahakan produk bakeri sebelum ini selama tujuh tahun.

"Pada tahun 2009 saya menyertai pula kursus ini dan selepas menyertainya saya mendapati ia lebih baik daripada kursus-kursus sebelum ini kerana mengandungi pelbagai ilmu berkenaan perniagaan serta pengisiannya lebih baik," katanya.

Tambah Halimah Saadiah, kini perniagaannya bergerak di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga promosi secara individu.

Biarpun masih belum memiliki kedai sendiri, namun Halimah Saadiah memiliki beberapa tapak pasar tani serta pasar malam sekitar Kuala Lumpur.

Mensasarkan penggemar karipap, Halimah Saadiah memperkenal beberapa resipi baru antara ialah karipap berintikan cendawan, ayam, daging, sardin, udang kering juga kentang.

Malah, beliau juga turut memperkenalkan produk sejuk beku seperti donut dan donut sosej selain produk istimewanya iaitu roti arab.

Katanya, berniaga sendiri adalah lebih mudah untuk menentukan pendapatan, jika mahukan pendapatan lebih maka perlulah berusaha dengan lebih gigih.

Dia yang bekerja sendiri mengakui menjadi seorang usahawan pastinya ada naik turun dalam perniagaan dan penat lelah tersebut berbaloi jika melihat pendapatan lumayan yang diterima.

Biarpun berniaga hanya di pasar malam, namun pendapatannya kadang-kala mencecah ribuan ringgit malah mampu menyaingi mereka yang makan gaji.

Kini beliau dibantu oleh anak saudara dan keluarga untuk menghasilkan produk-produknya serta dalam proses untuk berpindah ke kawasan baru yang lebih dekat dengan PBU Serdang.

Apa yang pasti, kejayaan peserta Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian bukan sahaja hasil daripada modul serta pengisian kursus yang bagus namun ia turut bergantung sepenuhnya kepada individu yang menyertainya.

Jika mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya pastinya perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh, namun jika diberikan peluang sedemikian pastinya merupakan satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan.

Monday, 19 December 2011

Sasar 1,000 Francaisor Menjelang 2020

Ismail Sabri Yaakob ditemani Sohaimi Shahadan (tengah) membuat roti bakar di salah sebuah tapak gerai francais di Bera, semalam.

Bera 18 Dis - Kerajaan menyasarkan seramai 1,000 francaisor dapat diwujudkan menjelang 2020 bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya menerusi Model Baharu Ekonomi (MBE).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, seramai 576 francaisor dan 5,315 francaisi telah didaftarkan dengan melibatkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan.

Menurut beliau, bidang makanan mencatatkan jumlah tertinggi dalam perniagaan francais yang ketika ini mempunyai seramai 193 francaisor.

"Kerajaan sentiasa meningkatkan usaha bagi memastikan lebih ramai usahawan di negara ini terlibat dalam bidang francais," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia di Kompleks Belia Bera di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shohaimi Shahadan dan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat.

Ismail memberitahu, pihaknya juga memperkenalkan Skim Mikro Francaisi yang ditawarkan kepada usahawan kecil yang ingin menjadi francaisi kepada francaisor tertentu.

Katanya, sebagai permulaan sebanyak RM8 juta disediakan dengan jumlah pinjaman maksimum RM50,000 boleh diberikan kepada usahawan terbabit.

Jelasnya, peruntukan sebanyak RM1 juta dikeluarkan terhadap usahawan terbabit dan 150 permohonan sedang dikaji oleh pihak kementerian untuk menyertai skim tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan terhadap produk-produk 1Malaysia yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan kedai-kedai runcit bagi memastikan kualitinya terjamin.

Katanya, jawatankuasa tersebut dianggotai oleh 13 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menilai serta memantau produk terbabit agar sentiasa memenuhi piawaian ditetapkan.

Beliau memberitahu, antara kementerian dan agensi terlibat ialah kementerian beliau sendiri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut sekali gus menepis dakwaan pembangkang yang kononnya produk dari KR1M kurang berkualiti dan boleh memberi kesan negatif kepada pengguna.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 200 produk makanan dan minuman 1Malaysia yang dihantar ke Kementerian Kesihatan bagi menjalani beberapa ujian akan diketahui keputusannya dalam tempoh dua minggu.

Katanya, ia bagi membuktikan kerajaan tidak menjual produk yang rendah kualiti sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Sunday, 27 November 2011

Karnival Usahawan Desa 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat akar tongkat ali selepas melancarkan KUD 2011 di Putrajaya baru-baru ini.

Karnival Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berlangsung 21 hingga 25 September lalu di Laman 1Malaysia Presint 2, Putrajaya menampilkan banyak kelainan berbanding tahun sebelumnya.

Karnival yang menjadi acara dwitahunan kementerian terbabit bukan sahaja menghimpunkan kira-kira 500 usahawan luar bandar dan produk keluaran mereka tetapi juga akan membantu usahawan mencari pasaran baru hingga ke peringkat global.

Seperti tahun sebelumnya, kementerian terbabit menerima sambutan yang amat menggalakkan mengenai tapak gerai pameran dan jualan produk.

Pengusaha yang dipilih terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan dengan mereka mempamer dan menjual empat kategori utama iaitu makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengupayaan Ekonomi, kementerian berkenaan, Zazali Salehudin berkata, penganjuran KUD 2011 kali ini turut menjemput 13 agensi pemasaran yang terdiri daripada pasar raya besar dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa.

Selain itu, terdapat lima pembekal termasuk teknologi maklumat, bahan mentah, rekaan pembungkusan dan pelabelan.

"Semuanya sebagai langkah membantu usahawan untuk memasuki pasaran yang luas seperti pasar raya besar serta pasaran global," katanya.

Usahawan yang dipilih menyertai KUD merupakan mereka yang mempunyai produk yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Misalnya mereka mempunyai GMP, HACCP dan HALAL yang boleh dipasarkan di luar negara.

"Ini selaras dengan objektif penganjuran KUD 2011, iaitu membuka ruang pasaran produk luar bandar bersama pihak pasar raya besar melalui padanan perniagaan.

KUD 2010 juga membuka ruang untuk pengusaha mengadakan Perkongsian Strategik iaitu melalui kluster usahawan dengan agensi awam yang terlibat dalam R&D dan pemasaran seperti SIRIM, MARDITech dan SMIDEC.

Kami mendapati beberapa usahawan desa memiliki produk yang amat berkualiti.

"Dan jika mereka yang terpilih berjaya memasarkan produk mereka di dalam negara, mereka masih memerlukan bimbingan dan pendedahan untuk membawa produk itu ke pasaran luar negara," jelas Zazali.

Dalam usaha itu, pihak penganjur turut menjemput beberapa institusi kewangan seperti Bank Rakyat, AgroBank dan Bank SME untuk memberi peluang kepada usahawan desa yang ingin menjalin kerjasama bersama institusi kewangan.

Menurut Zazali, pihaknya turut mengharapkan kewujudan jalinan kerjasama dalam lingkungan komuniti usahawan itu sendiri.

Menyedari bahawa para usahawan desa menghadapi masalah untuk terus berdaya maju dan melangkah ke peringkat antarabangsa, Zazali berpendapat perkara ini bukan sahaja berlaku kepada usahawan luar bandar bahkan berlaku juga kepada usahawan di bandar-bandar.

Menurut beliau, antara kekangan yang dihadapi ialah kualiti produk yang masih rendah atau tidak memenuhi kehendak pasaran.

Mereka juga sukar mendapat pengiktirafan GMP, HACCP dan Halal selain lokasi premis yang tidak strategik serta kekurangan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Peluang untuk pengusaha ini sangat besar kerana terdapat banyak pasaran di negara-negara Islam. Sayangnya, pengusaha tidak mempunyai kapasiti untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak.

"Bagaimanapun, saya yakin jika pengusaha desa ini mula menjalin kerjasama dalam kalangan komuniti mereka sendiri, mereka mampu menembusi pasaran eksport," ulas Zazali.

Karnival yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan hanya tertumpu kepada usahawan desa, tetapi juga penyertaan masyarakat.

Menurut Zazali, KUD 2011 memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mencuba sendiri produk terbaik dari setiap daerah di seluruh negara.

Di sinilah orang ramai dapat melihat sendiri kepelbagaian produk tempatan yang berkualiti bukan sahaja dari segi produk tetapi juga pembungkusannya.

Mereka pasti mengagumi keupayaan usahawan desa yang berjaya mencapai satu standard pemasaran yang mengubah rupa produk industri desa.

Sepanjang berlangsung KUD, terdapat pelbagai acara menarik antaranya persembahan artis terkenal seperti Amy Search, Adam AF dan Mas Idayu serta demonstrasi masakan 14 negeri dari seluruh negara.

Selain itu KUD dimeriahkan dengan KUD Idol, forum perdana, pertandingan menjahit baju pengantin, pertandingan memasak ikan air tawar dan pameran kenderaan.

"Ini merupakan peluang keemasan bagi masyarakat melihat dan mendapatkan produk keluaran desa yang berkualiti dari seluruh negara pada harga yang berpatutan. Bahkan ia juga sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan penjanaan pendapatan industri desa," jelas Zazali.

Strategi Biomas Negara

Malaysia merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dunia mengeluarkan bahan sampingan organik atau biomas sawit mencecah 80 juta tan metrik setahun.

Menyedari hakikat bahawa menjana kekayaan menerusi biomas sawit, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) sebagai agensi yang dipertanggungjawab mengadakan kerjasama 20 agensi kerajaan, 20 badan swasta, 10 universiti tempatan dan institusi penyelidikan awam bagi membangunkan Strategi Biomas Negara (SBN).

Naib Presiden Eksekutif, Ketua Impak Strategik - Penjanaan Kekayaan, AIM, Bas Melssen berkata, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara mengadakan strategi seumpama itu.

SBN dijangka dapat menjana pendapatan daripada biomas sawit sekali gus meningkatkan ekonomi negara pada masa akan datang.

Biomas adalah bahan sampingan yang didapati selain daripada minyak sawit.

Menurut Melssen, strategi berkenaan bertujuan memberikan nilai tambah yang tinggi kepada biomas sawit bagi mewujudkan industri bernilai tinggi seperti biofuel, bioplastik dan biokimia yang menghasilkan barangan kegunaan harian.

Biomas sawit hanya digunakan sebagai baja, makanan ternakan, kayu serta bahan bakar dan selebihnya dibuang serta menghasilkan gas rumah hijau yang boleh memupuskan lapisan ozon dunia.

Melssen berkata, AIM sentiasa berusaha untuk menjana kekayaan daripada biomas sawit.

"Sebagai contoh biomas boleh diubah secara kimia dan bioteknologi bagi menghasilkan bahan bernilai tinggi seperti bioplastik atau biofuel yang boleh dijual dengan harga lebih tinggi," katanya.

Pendekatan berkenaan bagi memastikan pihak industri akan terus menggunakan biomas pada masa akan datang dan tidak memasarkannya ke negara luar.

Melssen berkata, dengan adanya SBN, ia dapat menghalang biomas terus dieksport dengan harga murah.

Buat masa ini walaupun teknologi belum dikomersialkan, tetapi kerajaan perlu menyediakan persekitaran yang kondusif apabila teknologi telah sedia untuk digunakan.

"Pihak industri pula perlu mengetahui peluang yang ada bagi tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Melssen menambah, langkah tersebut secara tidak langsung akan dapat membangunkan industri berkaitan dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Dari aspek inovasi, biomas berpotensi mencipta industri bernilai tinggi dengan modal insan berkemahiran bagi menghasilkan produk berdaya saing.

Apa yang lebih penting pelaksanaan SBN menjadikan negara sebagai pemimpin teknologi tulen biomas di rantau Asia Tenggara.

Ini selaras dengan teras kedua Strategi Inovasi Nasional yang menggalakkan Inovasi Terbuka iaitu satu mekanisme pengumpulan dan penstrukturan ilmu pengetahuan yang dapat mengenalpasti peluang baru untuk penjanaan kekayaan.

Di bawah teras ini, pendekatan model Quadruple Helix diterapkan berasaskan prinsip bahawa industri, akademik, rakyat dan kerajaan mempunyai peranan yang sama berat untuk menggalakkan inovasi di dalam negara.

Apabila semua pihak bekerjasama, inovasi akan dapat dihasilkan dengan lebih baik.

Buat masa ini AIM terlibat aktif dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Felda, Sime Darby, pekebun kecil, pengilang minyak sawit, universiti, institusi penyelidikan dan kementerian berkaitan bagi mengkaji peluang berkaitan biomas sawit.

AIM juga bekerjasama rapat dengan Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk mencapai objektif Strategi Biomas Negara. Ini bertujuan memberi peluang bagi industri membuat keputusan tepat dengan peluang yang diberikan.

Pada hari ini AIM akan melancarkan SBN sempena BioMalaysia 2011 bertujuan memberi penerangan kepada umum mengenai biomas dan peranan yang perlu dimainkan oleh sektor yang terlibat dalam menjayakan strategi berkenaan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AIM boleh melayari laman web http://www.inovation.my/

Tuesday, 8 November 2011

Kisah Graduan, Usahawan dan Bank

Kuala Lumpur 30 Okt - Zaihal Hazri Abdul Halim ialah graduan yang pernah mengikuti kursus Skim Usahawan Siswazah setelah memohon pembiayaan sebanyak RM50,000 daripada Tabung Usahawan Siswazah (TUS).

Selain ingin memulakan perniagaan sendiri, beliau merasakan syarat-syarat pinjaman TUS tidak membebankan golongan siswazah terutamanya kepada mereka yang baru menamatkan pengajian dan masih dibelenggu masalah hutang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN.

Menurut SME Bank, dana Tabung Usahawan Siswazah (TUS) disediakan bagi pemohon yang telah mengikuti kursus Latihan Asas Keusahawanan dan Kursus Asas Keusahawanan Siswa yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

Selain itu katanya, dana TUS juga layak dimohon oleh peserta Program Inkubator Usahawan Siswazah (PIUS) yang dikendalikan oleh SME Bank.

''Permohonan dana ini terbuka kepada pemohon yang ingin memulakan perniagaan atau yang telah mempunyai perniagaan dan ingin mengembangkan lagi perniagaan mereka,'' katanya dalam kenyataan di sini.

Skim khusus ini menggalakkan graduan-graduan universiti untuk menjadi usahawan di sektor-sektor tertentu, jelasnya.

Selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan, had maksimum jumlah pinjaman yang boleh dipinjam pemohon telah ditingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai siswazah menjadi usahawan.

Sehingga Ogos 2011, TUS telah mengeluarkan lebih RM35.3 Juta daripada dananya untuk kegunaan siswazah yang selesai melalui Latihan Asas Keusahawanan Siswazah anjuran MITI.

Peruntukan tersebut bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai lepasan universiti menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Dana ini merupakan pembiayaan mudah bagi graduan memulakan perniagaan dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian dan juga bagi para graduan yang telah mempunyai perniagaan sedia ada.

Antara syarat kelayakan dana ini ialah :
  • Lepasan siswazah dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam/ Swasta dalam atau luar negara yang tamat pengajian tidak melebihi sepuluh (10) tahun dan umur tidak melebihi 40 tahun.
  • Pemohon hendaklah memiliki kelulusan Ijazah atau Diploma dari IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Malaysian Qualifying Agency (MQA) (dahulu dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN).
  • Terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
  • Mestilah pengusaha sepenuh masa atau pemilik majoriti perniagaan.
  • Kertas Rancangan Perniagaan (RP) yang lengkap sebanyak lima salinan hendaklah disediakan dan dikemukakan kepada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
  • Telah menghadiri salah satu kursus asas keusahawanan iaitu Skim Usahawan Siswazah (SUS), Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS), Latihan Keusahawanan Siswa (LKS) atau Program Francais Siswa (PFS) serta telah membuat persembahan rancangan perniagaan dengan Jawatankuasa Penilaian Awal di Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri.
Antara tarikan TUS ialah para peminjam tidak memerlukan penjamin dan had pembiayaan pula sehingga RM500,000. Di samping itu, pembiayaan turut mempunyai opsyen berlandaskan syariah.

SME Bank diwujudkan kerajaan untuk membimbing dan membangunkan golongan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Wednesday, 26 October 2011

Berjaya Tanpa Bantuan

Menggunakan modal sendiri bagi membangunkan perniagaannya tanpa pinjaman daripada mana-mana pihak.

Bak kata orang di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya. Begitulah juga dengan Mistinah Sanduan, 57, yang mengusahakan pelbagai jenis biskut dan kerepek di rumahnya.

Segalanya bermula pada 1990 dengan berbekal wang RM250, Mistinah membeli barangan seperti ketuhar, kuali serta bahan-bahan mentah untuk membuat biskut menjelang musim perayaan.

“Daripada jumlah wang itulah segalanya berkembang menjadi seperti sekarang,” katanya semasa ditemui di premisnya di Kimpalan Kreatif Peket 100 Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.

Mistinah yang telah lebih 20 tahun mengusahakan pelbagai produk industri asas tani seperti kerepek pisang tanduk, abu dan awak, kerepek bawang dan lima jenis biskut iaitu mama carrie, semperit, almond london, tart nanas dan biskut aiskrim dengan jenama Miscookies sempena nama Mistinah.

Beliau banyak dibantu oleh anaknya Khairul Azman Abdullah, 30, yang bertindak mengurus, merancang dan mencari bahan mentah bagi pembuatan kuih-muih dan kerepek terutama semasa musim perayaan.

Biarpun telah lebih 20 tahun mengusahakan produk industri asas tani, Mistinah masih menggunakan modal sendiri selain bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pertanian.

“Selama ini kami tidak pernah mendapat apa-apa bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak. Kami beli sendiri daripada keuntungan yang didapati,” katanya yang membeli sendiri ketuhar, mesin mengadun tepung, mesin menghiris pisang dan pelbagai jenis mesin bagi memudahkan tugasnya.

Bagaimanapun menjelang musim perayaan, Mistinah sedikit mengeluh kerana memerlukan modal yang banyak dan peralatan bagi menyediakan pelbagai produk untuk dipasarkan.

Buat masa ini produknya hanya dihantar ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru. Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Mistinah berkata, pelanggan memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan.

Malah ada kalanya pengeluaran kerepek pisang yang boleh mencecah sehingga 300 kilogram sehari tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.

“Buat masa ini kami menghantar produk dua kali seminggu ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru selain ke kedai-kedai runcit berhampiran,” katanya.

Justeru menjelang musim perayaan, Mistinah menggaji 20 orang pekerja berbanding hanya lapan orang semasa hari biasa.

Ditanya mengenai harapan masa depan, Mistinah menjawab, beliau sentiasa berharap bisnes yang akan diwarisi anak-anaknya terus berkembang.

“Saya berharap satu hari nanti jenama Miscookies akan dikenali ramai bukan hanya di Klang tetapi juga di tempat lain,” katanya.

Pembaca yang berminat dengan produk Miscookies boleh menghubungi 012-6835355 atau 03-32242332.

Industri Kerepek

Pembuatan kerepek dan kudapan tradisional kini pesat berkembang dengan nilai jualan mencapai lebih RM150 juta sepanjang tahun lepas.

Sebut sahaja apa jenis kerepek sama ada ubi kayu, pisang, keledek, bawang, ubi pedas, ubi masin, pisang atau rempeyek, jarang lagi yang tidak dapat membayangkannya.

Malah ketika menonton televisyen atau bersembang minum petang bersama keluarga pun kerepek menjadi antara hidangan ringan.

Kalau suatu ketika dahulu produk kampung ini kelihatan comot tetapi kini sudah menyamai standard kudapan antarabangsa daripada segi kepelbagaian rasa, kesetaraan bentuk, saiz dan pembungkusannya.

Menurut data Pertumbuhan Industri Snek Malaysia daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kerepek adalah penyumbang jualan terbesar dalam pertumbuhan industri itu dengan sasaran jualan sebanyak RM102.1 juta.

Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata, peningkatan keseluruhan jualan bagi industri kudapan Malaysia kini berada pada tahap yang amat memberangsangkan dan keadaan ini disebabkan faktor permintaan yang tinggi di pasaran.

"Permintaan yang tinggi bagi kerepek telah menyebabkan ramai pengusaha menghadapi kekurangan bahan mentah seperti ubi kayu, ubi dan pisang.

"Bagi menampung kekurangan bahan mentah untuk pemprosesan kerepek, FAMA mewujudkan sistem ladang kontrak di mana peserta digalakkan bercucuk tanam dan hasilnya nanti akan dibeli oleh FAMA," katanya.

Selain kerepek, snek buah-buahan juga dijangka meningkat jualannya iaitu sebanyak RM46.7 juta berbanding RM44.5 juta tahun lepas. Angka ini belum termasuk kudapan lain seperti muruku dan kekacang.

Beliau berkata, menerusi promosi FAMA banyak produk tempatan yang berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan menggunakan perakuan jenama 1Malaysia Best.

Katanya, kerepek tempatan seperti kerepek ubi kayu dan pisang bukan sahaja mempunyai peminatnya tersendiri dalam kalangan warga tempatan, bahkan turut diminati di luar negara.

"Setakat ini bagi kerepek, kita dah eksport ke Brunei Darussalam dan Asia Barat. Kita juga cuba untuk memasarkan produk tempatan ini ke negara lain, tetapi kita menghadapi kekurangan bahan mentah.

"Insya-Allah kita akan cuba tingkatkan pengeluaran bahan mentah itu, supaya banyak lagi negara yang boleh kita masuki pasarannya. Sekarang ini kerepek kita yang pelbagai jenis perasa sudah pun setanding dan mengambil tempat cip kentang keluaran luar negara," katanya.

Sementara itu, Abdulah Sani Adam, 67, dari Kampung Sungai Lang, Banting, satu daerah yang terkenal dengan produk kerepeknya, berkata kerepek kini diusahakan bukan lagi di rumah tetapi di kilang milik pengusahanya.

"Kini sebab dah terkenal, pakcik tengok bila nak dekat musim raya saja, mesti ramai datang ke Banting nak beli kerepek," katanya.

Industri snek ini dalam caranya tersendiri membantu menggerakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan penduduk, yang tidak kurang banyaknya berusaha secara berkelompok di bawah projek Satu Industri Satu Kampung.

Sementara itu, Mohd Afiq Mohd Zain, 25, yang bekerja di kedai kerepek di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini berkata, sambutan meningkat masyarakat terhadap kerepek menyebabkan tuan kedainya memutuskan untuk terus berniaga di situ untuk tahun keempat.

"Saya di sini berniaga dah empat tahun iaitu ketika musim perayaan. Harga jualan kita masih lagi sama iaitu pada RM8, RM10 dan RM15 mengikut jenis kerepek. Jualan kita tak pernah tak habis. Setiap tahun kita berniaga, memang habis kerepek kita," katanya.

Industri Roti Jerman

Kuala Lumpur 23 Okt - Perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Jerman dijangka tidak terjejas walaupun negara tersebut terletak di zon Eropah yang sedang hebat dilanda krisis ketika ini.

Pengurus Besar Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, Thomas Brandt berkata, persekitaran ekonomi Jerman masih baik dan merupakan salah satu negara di Eropah yang masih stabil walaupun berdepan dengan situasi sukar ketika ini.

" Saya tidak ada mempunyai statistik yang lengkap namun ekonomi Jerman masih lagi tumbuh dan kami masih lagi mengeluarkan peralatan-peralatan baharu yang berteknologi tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas sama ada angka perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara akan merosot disebabkan oleh krisis ekonomi global ketika ini.

Perdagangan dua hala di antara Malaysia-Jerman berjumlah AS$12 bilion (RM37.2 bilion) pada tahun lalu dengan eksport ke negara tersebut adalah AS$5.4 bilion (RM16.74 bilion) ataupun 25.3 peratus daripada eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU).

Ia sekali gus menjadikan Jerman sebagai pasaran eksport kedua terbesar di EU.

Jerman juga adalah sumber import terbesar Malaysia di kalangan negara anggota EU dengan nilai AS$6.6 bilion (RM20.46 bilion) atau 39.4 peratus daripada keseluruhan import.

Tahun lalu, syarikat-syarikat Jerman telah melabur AS$5.2 bilion (RM16.12 bilion ) bagi melaksanakan 339 projek terutama di dalam elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, petroleum dan produk petroleum, produk asas besi, jentera dan peralatan.

Menurut Brandt, selain itu, kerjasama kedua-dua negara turut meneroka pasaran teknologi hijau dan terbaru adalah pembuatan roti.

"Jerman terkenal dengan penghasilan peralatan dan jentera yang canggih termasuklah mesin pembuat roti, jadi kami menjemput usahawan-usahawan Malaysia untuk melihat sendiri dan belajar mengenainya," ujar beliau lagi.

Tambah Brandt, usahawan tempatan perlu lebih banyak ke luar negara untuk mencari peluang perniagaan, mendapatkan idea-idea baharu dan belajar mengenai teknologi terkini untuk digunakan di Malaysia berbanding mengambil sikap menanti peluang tersebut datang kepada mereka.

Malah Brandt turut menjemput usahawan-usahawan Malaysia terutama yang terlibat di dalam pembuatan roti dan bakeri supaya menghadiri pameran perdagangan antarabangsa untuk roti dan kek, IBA 2012 di Munich, Jerman September tahun depan.

Menurut beliau, perkembangan positif industri itu di Malaysia seharusnya menjadi pendorong kepada pengusaha tempatan untuk menambah pengetahuan dan memperolehi idea yang lebih baik serta unik bagi mengukuhkan lagi pertumbuhannya.

"Mereka boleh belajar daripada Jerman kerana industri roti dan kek di sana sudah maju dan menggunakan peralatan terkini yang mampu meningkatkan kapasiti serta dijamin lebih bersih," katanya.

Tahun lalu, industri bakeri Jerman merekod keseluruhan jualan sebanyak 12.93 bilion euro (RM55.46 bilion) dengan 14,594 perniagaan di samping menyediakan 293,300 pekerjaan.

Friday, 23 September 2011

MyAgro Buka Peluang Usahawan Tani


Noh Omar (tiga dari kiri) dijangka merasmikan MyAgro esok yang bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan tani mengenai kemajuan bidang pertanian.

Pameran Malaysia Agro atau ringkasnya MyAgro 2011 yang bertemakan Memperkasa AgroBisnes bakal mewarnai dunia usahawan tani di negara ini bermula esok.

MyAgro 2011 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC), Kuala Lumpur bakal berlangsung selama empat hari sehingga Jumaat ini.

Pengerusi Penganjur MyAgro, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata, pameran MyAgro lebih menjurus kepada peluang-peluang perniagaan kepada rantaian usahawan tani bermula daripada awal misalnya pengusaha biji benih sehingga produk sampai kepada pengguna.

"Pertanian bukan hanya tertumpu kepada bercucuk tanam tetapi lebih daripada itu.

"Malahan pertanian bermula dengan pencarian benih atau baka terbaik, baja, racun serangga, racun rumpai, alat bantuan tanaman, menuai, mekanisasi bagi membantu pertanian, pembungkusan, pelabelan, logistik, pusat pengumpulan, pemborong, peruncit dan pengguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ,Datuk Seri Noh Omar dijangka merasmikan pameran tersebut esok.

MyAgro 2011 bakal menjadi tempat pertemuan bagi mengisi kekosongan rantaian dalam bidang pertanian.

Pameran MyAgro yang merupakan inisiatif sektor swasta dengan kerjasama agensi kerajaan, badan penyelidikan, institut pengajian tinggi tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan penekanan kepada tiga aspek utama iaitu :
  • Peluang perniagaan yang ada dalam sektor pertanian.
  • Potensi pelaburan.
  • Produk-produk untuk pengguna seperti konsep fruits, flowers, flavours atau buah bunga dan perisa.
"Pada pameran berkenaan terdapat industri kecil dan sederhana (IKS) yang berpotensi untuk pergi lebih jauh seperti pasaran eksport," katanya.

MyAgro boleh dikatakan sebagai pusat sehenti bagi usahawan tani mendapatkan pelbagai maklumat mengenai perniagaan dalam sektor pertanian.

Mohamed Sharif berkata, MyAgro juga kesinambungan atau mengisi kekosongan semasa Pameran Pertanian Hortikutlur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Walaupun baru kali pertama diperkenalkan, MyAgro mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta IKS serta pedagang.

Terbahagi kepada dua kumpulan, peruncit dan pedagang sehingga kini terdapat 110 orang peserta mengambil bahagian.

Antaranya terdapat syarikat yang memberikan pakej tanaman fertigasi lengkap bagi pengunjung.
Selain itu terdapat juga institusi perbankan yang turut serta bagi memberikan khidmat nasihat mengenai pembiayaan.

"Negara yang mempunyai begitu banyak pekebun kecil perlu melihat peluang yang tersedia bagi membangunkan lagi perniagaannya.

"Transformasi luar bandar dalam pertanian akan terjadi dengan adanya akses kepada kawasan pengeluaran seperti lebuh raya," katanya.

Pada masa yang sama juga di pengunjung boleh menghadiri seminar serta demonstrasi di pameran MyAgro.

Apa yang menarik pembentang kertas kerja terdiri daripada mereka yang terlibat dalam dunia pertanian seperti pensyarah, penyelidik serta usahawan tani dari institut pengajian tinggi, agensi penyelidikan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta usahawan tani yang penuh dengan pengalaman.

"Usahawan tani mendapat banyak pendedahan dengan menyertai pelbagai pameran yang diadakan.
"Dengan pameran yang diadakan diharap minat generasi muda terhadap sektor pertanian semakin bertambah," katanya.

Setiap kali pameran pasti akan ada perkara baru yang akan diketengahkan misalnya kali ini dalam pameran MyAgro, terdapat gerai yang akan mempamerkan tanaman hiasan yang menyerap toksik di persekitaran.

Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan pendapatan petani kecil yang bergiat dalam bidang nurseri tanaman.

"Malah kajian berkenaan telah disokong dengan kajian oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA)," katanya.

Walaupun baru pertama kali diadakan MyAgro berjaya mendapat penyertaan negara jiran seperti Singapura.

Selain itu ini merupakan masa yang sesuai mempromosikan buah-buahan nadir yang tidak popular dengan penjenamaan semula.

Misalnya, mangga Sala yang tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat menjadi popular di Singapura dengan nama Perlis sunshine manggo.

Pada masa yang sama, produk-produk 1Malaysia Best akan dipamerkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Maklumat lanjut mengenai MyAgro boleh melayari laman web http://www.myagro.my/

Thursday, 25 August 2011

20 Pasar Komuniti

NOH Omar melawat gerai jualan pelbagai jenis kerepek di Pusat Bandar Tanjong Karang, Selangor, kelmarin.

Tanjong Karang 23 Ogos – Kerajaan akan membina 20 pasar komuniti di seluruh negara yang dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pembinaan pasar komuniti melibatkan kos RM4 juta setiap satu itu menggunakan peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Projek berkenaan bagaimanapun dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan ia berkonsepkan pusat sehenti yang beroperasi selama 24 jam.

“Setiap satu pasar komuniti berkenaan berkeluasan 0.8 hektar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Noh berkata, pasar komuniti itu akan beroperasi secara berperingkat-peringkat dengan fasa pertamanya bermula hujung tahun ini.

“Fasa pertamanya akan bermula di enam lokasi iaitu di Puchong, Selangor; Kota Belud, Sabah; Kerteh, Terengganu; Simpang Empat, Perlis; Jengka, Pahang dan Kuala Kedah, Kedah,” ujarnya.

Kata Noh, pasar komuniti itu akan memberi peluang kepada para peniaga dari pelbagai kaum untuk berniaga di kawasan yang lebih strategik dan selesa.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan mesin air tebu, mesin pengisar dan mesin air batu campur kepada 65 usahawan terpilih di kawasan Parlimen Tanjong Karang.

Noh turut mengedarkan bubur lambuk dan kerepek secara percuma kepada orang ramai di tapak Karnival Rembang Syawal di sini.

Wednesday, 10 August 2011

Berniaga Cara Nordin

Kesibukan Nordin Ashaari dan isterinya Zaini Hassan tidak membatasi kerja-kerja memeriksa tempahan yang diterima daripada pelanggan.

Melihat kepada persekitaran dalaman dan kesungguhannya bekerja bersama lima kakitangan, barangkali sesiapa sahaja yang singgah di kedai NBA GTiga Enterprise di Jalan Muar -Tangkak, Johor pasti tidak dapat membayangkan bagaimana ia dibangunkan.

Dengan kedudukan barang jualan yang tersusun, ia pasti memberi gambaran bahawa pemiliknya mempunyai pengetahuan mendalam dalam perniagaan, mempunyai dana kewangan yang besar dan segalanya diurus dengan baik.

Namun di sebalik semua itu, pengusaha terbabit Nordin Ashaari, 51 terpaksa melalui pelbagai liku keperitan, mengatur langkah daripada bawah dan belajar daripada pengalaman untuk menjadi seorang usahawan.

Nordin ketika ditemui bersyukur dengan pencapaiannya sekarang dan ia perlu dikembangkan. Selepas sekian lama berusaha memajukan perniagaan dia tidak pernah lupa bagaimana semuanya bermula.

Tanpa segan silu dia berkongsi pengalaman , bagaimana segalanya di mulakan hingga ke tahap sekarang. Nordin menamatkan persekolahan hingga tingkatan lima pada 1981. Ketika itu minatnya dalam perniagaan begitu memuncak.

Bermula dengan menjadi jurujual barangan elektrik dari rumah ke rumah, selepas tiga bulan dia mampu membeli sebuah motosikal. Dengan berkenderaan sendiri, dia meneruskan perniagaan di pasar-pasar lambak.

Berkat kerajinan itu, Nordin akhirnya mampu membeli sebuah kereta berharga RM2,500. Kejayaan membeli kereta itu memberi keyakinan kepadanya untuk mencuba perniagaan lain.

Berbekalkan semangat ingin mencuba, Nordin menjual pakaian terpakai sebelum beralih kepada perniagaan makanan.

Tidak ada rasa letih dan istilah gagal dalam kamus hidupnya. Malah cita-citanya sebagai peniaga tetap tersemat dalam hati dengan mencuba pula perniagaan kerepek. Pada masa sama dia turut berniaga kad raya.

Sepanjang tempoh antara 1982 hingga 1993 , langkahnya semakin jauh dalam perniagaan selepas dia mencuba berniaga di pasar malam sekitar daerah Ledang sehingga ke Negeri Sembilan.

Dia kemudian mencuba perniagaan kedai makan tetapi atas faktor tertentu ia terpaksa ditutup. Selepas itu Nordin menjadi ejen insurans dengan pendapatan RM4,000 sebulan.

Tidak lama lepas itu dia menyahut pelawaan seorang rakan untuk mengambil kontrak menjahit langsir dan cadar serta keperluan hospital.
Meskipun minatnya dalam perniagaan kerepek tetap tersemat dalam hati.

‘‘Minat dalam dunia perniagaan tidak pernah surut meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan,’’ katanya ketika ditemui semasa mengikuti rombongan Agrobank di Muar baru-baru ini.

Apabila diberi peluang membuat pinjaman Agrobank selepas menghadapi masalah banjir pada 2006 , Nordin memanfaatkan pinjaman tersebut untuk melunaskan hasratnya sebagai peniaga kerepek yang terpendam sejak sekian lama.

Dia juga menjual kedainya di Bukit Kangkar untuk dijadikan modal membangunkan perniagaanya sekarang. Nordin menyambung, dia lebih suka menggunakan pendekatan menggerakkan perniagaan daripada pusingan modal meskipun terpaksa melakukan segala-galanya.

Dengan keringat, air mata dan berbekalkan keazaman serta tekad dia berusaha hingga mencapai tahap yang dinikmati sekarang. ‘‘Bohong kalau dikatakan berniaga tidak kena ada modal,” ujarnya ringkas penuh makna.

Menceritakan lebih lanjut, Nordin yang ditemani isterinya, Zaini Hassan berkata, perniagaannya sering berubah mengikut masa dan keperluan tetapi prinsipnya ialah kerajinan.

Satu ketika saya betul betul keputusan wang sehinggakan duit makan pun tidak ada. Bagaimanapun menurutnya, berkat kesabaran, Nordin bangkit berniaga kuih batang buruk.

Satu perkara yang selalu menjadi pegangannya sejak dahulu ialah selalu mempercayai rakan termasuk dalam perniagaan.

Sebab itu, dia tekad untuk membangunkan apa yang telah dimulakan iaitu menjadi pemborong makanan atau produk industri kecil dan sederhana (IKS) daripada pengeluar dan membungkus dan menjualnya semula.

Pada musim perayaan ini, Nordin menawarkan banyak jenis produk IKS termasuk kerepek dan biskut. Dian juga menerima tempahan baulu, baulu gulung dan kek.

Mereka juga menawarkan pelbagai jenis produk lain yang boleh dijadikan juadah Aidilfitri antaranya kerepek ubi kayu, belinjau, maruku, keropok udang dan lain-lain.

Mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 012-9060952 atau isterinya Zaini 012-9060854 atau pejabat 06-9755027.

Bisnes Kerepek Modal RM20

Kini Rizal boleh berbangga dengan kejayaan kedua-dua ibu bapanya dalam membangunkan RJ Sepang.

Bermula hanya dengan modal RM20, pada tahun 1989 Mokinah Sirat, 63, membeli barangan keperluan untuk menjual kerepek ubi dan pisang.

“Semuanya kerana kepayahan hidup dan sebagai suri rumah, saya terpanggil untuk meringankan beban suami menyara keluarga,” katanya .

Dia ditemui pada semasa lawatan rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke kilang RJ Sepang Sdn. Bhd. di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Pada peringkat permulaan, Mokinah hanya menjual kerepek di gerai bawah pokok manakala suaminya Jamaludin Singah, 63, membawa kerepek ke pejabat, kedai runcit dan sekolah sekitar Sepang.

Keenakan kerepek buatan Mokinah memikat ramai pelanggan sehingga ke pengetahuan pihak FAMA.

“Dua kali pegawai FAMA datang berkunjung ke rumah tetapi saya sembunyi di rumah jiran kerana bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya menyingkap kembali kenangan bagaimana Mokinah mula mengkomersialkan kerepek ubinya dengan bantuan FAMA.

Akhirnya dia terpaksa juga bertemu pegawai FAMA tersebut yang datang ke rumahnya secara mengejut buat kali ketiga.

Setelah mendapat pengesahan bahawa FAMA berminat membantunya mendapatkan tapak pasar tani berhampiran, dia menarik nafas lega. Pertemuan itu sebenarnya telah membuka lembaran baru dalam usahanya menjual kerepek.

Pengalaman berniaga di pasar tani menjadikan Mokinah semakin matang dalam bidang pemasaran dan bagaimana untuk berhadapan dengan pelanggan.

“Di pasar tani, saya bukan saja berniaga tetapi juga belajar menangani kerenah pelanggan dan menguruskan akaun. Malah menjelang musim perayaan dan cuti sekolah saya mendapat tempahan yang banyak berbanding hari biasa,” katanya.

Dengan bantuan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain FAMA yang menyediakan tapak pasar tani, Mokinah menerima pelbagai bentuk bantuan.

Jabatan Pertanian dan FAMA memberikan geran bagi peralatan seperti kawah untuk menggoreng kerepek bagi menggantikan kuali yang digunakan sebelum ini.

Ditanya bagaimana dia berjaya memikat hati pelanggan dengan pelbagai jenis kerepek keluarannya, Mokinah berkata, kualiti menjadi keutamaannya.

Kami hanya menggunakan ubi kayu yang bermutu. Lagi satu kami juga memastikan minyak masak yang digunakan untuk menggoreng berkualiti. Saya akan memastikan kerepek ubi yang dihasilkan menepati cita rasa pengguna, katanya.

Mengenai penglibatan anak-anaknya dalam dunia perniagaan, Mokinah berkata, daripada lima orang anaknya, empat orang mengikut jejaknya dalam perniagaan.

“Sekarang RJ Sepang diuruskan oleh anak bongsu saya Rizal Jamaludin. Kini saya hanya memantau mengenai kualiti kerepek ,” katanya.

Dengan kejayaan yang dicapai setakat ini, dia boleh berbangga kerana semuanya bermula dengan kepayahan.

Malah dengan kurniaan rezeki yang semakin melimpah-ruah semua 13 orang pekerjanya disediakan tempat tinggal dan makanan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.

Saturday, 25 June 2011

Makanan Ikan Halal

Harga makanan ternakan seperti kambing, lembu, ayam dan ikan banyak bergantung kepada kos makanan ternakan berkenaan. Ramai penternak yang hampir gulung tikar akibat kos makanan ternakan yang melambung akibat permintaan yang semakin bertambah saban tahun.

Justeru, bagi mengatasi masalah harga makanan ternakan tidak stabil, sebuah syarikat bumiputera memberanikan diri mengorak langkah mengeluarkan makanan ikan bagi memenuhi permintaan penternak ikan terutama ikan air tawar.

Membangunkan kilang makanan ikan bukan sesuatu yang mudah bagi dua beradik Md. Azman dan Mohd. Azmi Mohd. Shariff. Mohd. Azmi seorang ahli farmaseutikal manakala Md. Azman pula ahli kimia sememangnya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perikanan.

Bermula dengan hobi memelihara ikan di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor, dua beradik itu mencuba nasib kepada makanan ternakan memandangkan harganya yang tidak stabil.

Tanpa pengalaman, kedua-dua beradik ini bermula daripada sifar mengharungi segala pahit-maung sepanjang melibatkan diri. Jika syarikat besar menggunakan bahan-bahan import, Azmi dan Azman menggunakan hampir 90 peratus bahan mentah tempatan seperti tepung ikan dan tepung udang kecuali soya, gandum, vitamin, mineral dan jagung.

Tanpa pengalaman, mereka tidak segan bergabung tenaga bagi mendapatkan formulasi makanan ikan dengan Jabatan Perikanan Pulau Sayak di Kedah; Jelebu, Negeri Sembilan dan Terengganu serta Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung, Pulau Pinang.

"Malah semua kerja-kerja pembangunan dan penyelidikan (R&D) dijalankan di kolam Jabatan Perikanan," kata Mohd . Azman yang bertindak sebagai Pengurus Kilang FyDMA Ventures yang beribu pejabat di Subang Jaya, Selangor.

Menurut Mohd. Azman lagi, makanan ikan yang dikeluarkan di kilangnya di Pulau Indah, Selangor sesuai bagi ikan air tawar dan masin.
Buat masa ini kilangnya berupaya mengeluarkan sehingga 400 tan makanan ikan sebulan.

Bercerita mengenai proses menghasilkan makanan ternakan ikan, Mohd. Azman berkata, ia bermula dengan semua bahan mentah dikisar dan diadun dengan air, minyak ikan dan vitamin. "Semua bahan tadi diadun sebati sebelum dibentuk palet," katanya.

Palet tadi kemudian dipanaskan pada suhu 120 darjah Celcius sehingga masak selama 60 minit. "Di sini, makanan ternakan ikan dipastikan mengandungi hanya bahan-bahan halal walaupun belum terdapat keperluan persijilan halal bagi makanan ikan," katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan, biasanya ramuan dalam makanan ikan mengandungi tepung darah dan tulang sebagai sumber utama protein serta dapat menggalakkan tumbesaran. "Di sini kami tidak menggunakan tepung darah dan tepung tulang yang biasa digunakan tetapi menggantikannya dengan tepung ikan dan udang," katanya.

Walaupun tepung darah dan tulang amat penting bagi tumbesaran tetapi ia mempunyai unsur-unsur najis dan boleh membawa pelbagai jenis penyakit. Misalnya darah lembu yang diambil daripada lembu gila boleh menyebarkan penyakit berkenaan kepada manusia. Malah Islam melarang umatnya mengambil makanan yang mempunyai unsur darah.

Bagi mengatasi masalah tumbesaran, Mohd. Azman menambah, mikro organisma baik (EM). "Kadar tumbesaran ikan bertambah dalam masa tiga bulan dengan tambahan EM berbanding tiga bulan setengah sebelum ini," katanya. Selain itu, Mohd Azman juga tidak menambah antiobiotik dalam makanan ikan tetapi mengubahnya dengan bawang putih, lengkuas dan halia.

"Apa yang penting, kualiti makanan ikan yang kami keluarkan sama dengan pasaran dengan harga yang lebih rendah. "Permintaan bagi makanan ikan memang tinggi dan kami bercadang menambahkan kapasiti kilang serta mendapatkan bahan mentah terus daripada pembekal," katanya.

Buat masa ini, makanan ikan dipasarkan sendiri memandangkan mereka mempunyai kedai sendiri di Hulu Langat dan Kuala Kubu, Selangor serta Tampin, Negeri Sembilan selain bantuan pemasaran dari FAMA Kuala Selangor dan Puchong dan Jabatan Perikanan.
"Kami mendapat maklum balas yang baik daripada penternak.

"Malah kami mempunyai pelanggan dari Pahang yang mahukan palet pada saiz yang berbeza," katanya. Bagi memberikan kemudahan dan penjimatan pada pihak penternak, beliau memberikan pilihan tanpa bungkusan dengan potongan sehingga RM2 sebagai sokongan kepada kempen alam sekitar.

Kandungan protein bagi pemula atau starter adalah 32 peratus, grower 28 peratus dan finisher 18 peratus. Sementara itu menurut Md. Azmi, mereka mempunyai kolam di Telok Gong pada tanah seluas seekar dan 14 ekar di Kuala Kubu yang disewa daripada Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi (Pengurus Operasi Ternakan), Kompleks Pasar Tani Borong FAMA Puchong, Mohd Ikmal Izha Mohd Faiz berkata, buat masa sekarang pihak FAMA memasarkan tujuh hingga 10 tan makanan ikan FyDMA Ventures sebulan.

"Setiap bulan permintaan semakin bertambah dan kami berharap semua penternak ikan akan menggunakan makanan ikan FyDMA yang dikeluarkan oleh Bumiputera dan dijamin halal," katanya.

Penternak ikan yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai makanan ternakan ikan boleh mendapatkannya di pejabat FAMA negeri atau hubungi 03-31012459.

Kuih Bakar Sejuk Beku


Nura Mardi bersama kuih bakar sejuk beku berperisa jagung, pandan dan keladi buatan syarikatnya.

Hidangan kuih bakar memang popular di kalangan komuniti masyarakat Melayu negara ini. Rasanya yang enak, manis dan bertekstur lembut menjadikannya sesuai dibuat santapan ringan untuk minum petang atau sebagai pencuci mulut.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kuih moden muncul di pasaran, namun makanan tradisional ini masih terus diterima baik. Ia biasanya dijual di pasar-pasar malam dan juga bazar-bazar jualan pada hujung minggu.

Mencari peluang mempromosi kuih bakar secara komersial, ia kini disediakan dalam bentuk sejuk beku. Pendekatan baru itu dijalankan oleh syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan iaitu Perusahaan As-Nura.

Bercerita mengenai bisnesnya, pengusaha syarikat itu, Nura Mardi, 51, memberitahu, dia telah terlibat dalam perniagaan kuih-muih dan kerepek sejak tahun 2001 namun hanya mula dikomersialkan menjelang 2008. Saya sudah biasa berniaga kerana dahulu saya selalu membantu keluarga menjual hasil tanaman jagung dan ubi.

Selepas berkahwin, saya terlibat pula dalam bisnes kacang goreng, pelbagai jenis kuih dan kerepek di kantin sekolah,'' katanya ketika di temui di kilang kuih bakarnya di Semenyih, Selangor baru-baru ini. Bagi menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, dia aktif menyertai aktiviti-aktiviti anjuran Persatuan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) sehingga dilantik sebagai Pengerusi.

"Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti kelas membuat kuih, khidmat nasihat dan lawatan ke kilang-kilang perusahaan. Ilmu yang diperolehi dimanfaatkan untuk memperluas dan mempertingkatkan perniagaan saya,'' jelas ibu kepada lima orang anak ini.

Nasib terus menyebelahi Nura apabila dia terpilih menerima dana perusahaan daripada kerajaan bernilai RM10,000. Dana tersebut digunakan untuk membeli peralatan membuat kuih seperti mesin pembancuh dan ketuhar. Kesemua aktiviti perusahaan dijalankan di rumahnya dengan bantuan suami dan anak-anak.

Melihat potensi perniagaan itu, dia kemudiannya membuat pinjaman modal Kredit Mikro daripada Agrobank sebanyak tiga kali bernilai RM10,000, RM20,000 dan RM30,000. Sambutan pengguna sangat menggalakkan terutama untuk kuih bakar. Jadi, bagi memenuhi permintaan itu, saya mendapat idea untuk menghasilkan kuih bakar secara sejuk beku.

Tujuannya supaya kuih bakar sejuk beku ini boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan disimpan sebelum dipanaskan sekiranya terdapat permintaan. "Selepas menyertai Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun 2008, permintaan terhadap kuih bakar ini terus meningkat termasuk daripada Singapura dan juga Brunei,'' katanya yang mempunyai seramai tujuh orang kakitangan.

Tahun 2010 pula menyaksikan Nura membina kilang perusahaan kuih bakarnya di Semenyih dengan kos RM250,000 selain bantuan dana pembungkusan produk daripada RISDA bernilai RM44,000.

Melihat keunikan kuih bakar sejuk beku ini, ia tersedia dalam empat pilihan perisa iaitu pandan, labu, jagung dan keladi selain boleh disimpan untuk tempoh enam bulan.

Hari ini, kilang perusahaan Nura mampu mengeluarkan sebanyak 800 biji kuih bakar sehari dengan penggunaan 64 kilogram tepung. Produk kuih bakar sejuk beku ini telah memasuki pasaran kedai-kedai runcit, hotel-hotel, pasar raya besar Mydin dan juga kedai FAMA dengan harga RM4.20 sebungkus.

Untuk perancangan masa hadapan, Nura turut bercadang menghasilkan kuih bakar berlauk seperti daging, ayam dan udang. Bagi memantapkan perniagaannya pula, dia turut menghadiri beberapa siri kursus anjuran Jabatan Pertanian dan juga RISDA selain mengikuti ekspo Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).