Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday 5 August 2012

Jualan Langsung Tidak Dibenar Kutip Wang

Kuala Lumpur 31 Julai - Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) mengingatkan orang ramai tentang penipuan oleh firma-firma yang kononnya mengendalikan perniagaan jualan langsung, dan berkata ahli-ahlinya hanya boleh menjual produk dan tidak dibenarkan memungut wang daripada pengedar mereka bagi pelaburan.

Syarikat-syarikat jualan langsung yang sah tidak memerlukan pengedar-pengedar mereka melabur apa-apa jumlah wang dan menjanjikan pulangan pelaburan kewangan mereka," katanya merujuk kepada penipuan oleh sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia.

Dilaporkan bahawa penipuan itu menjejaskan pelaburan lebih 10,000 mangsa dan menyebabkan kerugian hingga berjuta-juta ringgit.

DSAM berkata, syarikat yang terlibat dalam penipuan pelaburan ini bukanlah sebuah syarikat jualan langsung berlesen pada ketika kesalahan itu dilakukan.

Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), lesen jualan langsung syarikat ini telah tamat pada tahun 2011 dan tidak diperbaharui oleh KPDNKK.

"Semua syarikat jualan langsung di Malaysia memerlukan lesen jualan langsung yang dikeluarkan oleh KPDNKK untuk beroperasi," katanya.

DSAM berkata, amalan tidak beretika ini, yang lazimnya berselindung di sebalik jualan langsung dianggap sebagai skim pelaburan dan skim piramid yang tidak sah di sisi undang-undang dan didorong oleh sikap tamak.

Persatuan itu berkata, pengedar menjana pendapatan mereka dalam jualan langsung melalui jualan peribadi dan kumpulan produk ini.

Bayaran bonus atau lain-lain faedah yang diperolehi terutamanya melalui pengambilan atau pengenalan ahli baharu ke dalam operasi atau proses rantaian tidak dibenarkan.

"Orang ramai boleh menghubungi kami di no. telefon 03-7726 9232 atau emel pertanyaan kepada info@dsam.org.my," katanya.

Friday 3 August 2012

77 Syarikat Pelaburan Tidak Sah - BNM

Syarikat-syarikat pelaburan emas dan barangan logam bernilai kini melakukan pelbagai taktik bertujuan menarik pelaburan daripada orang ramai dengan menjanjikan pulangan lumayan. - GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur 31 Julai - Para pelabur di negara ini perlu berhati-hati membuat pelaburan kewangan agar tidak terjebak melabur ke dalam syarikat-syarikat pelaburan yang tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk membabitkan skim-skim kewangan yang melibatkan pelaburan emas dan logam berharga lain.

Menurut BNM, sejumlah 77 syarikat atau individu telah disenaraikan sebagai entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan di negara ini.

Antara jenis-jenis aktiviti yang dijalankan oleh syarikat atau individu tersebut kebanyakannya berkisar kepada pelaburan emas, perniagaan mata wang asing atau menjalankan pelaburan tidak berlesen.

Bank pusat itu berkata, ia menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan syarikat yang mendakwa sebagai institusi terjadual dengan BNM untuk membolehkan syarikat tersebut mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.

BNM dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan bank pusat itu tidak mengeluarkan sebarang lesen mahupun surat kebenaran perniagaan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemajakan, pemfaktoran, pembangunan kewangan atau pembangunan kredit.

Tegasnya, di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, syarikat-syarikat tersebut perlu mendapat perakuan bertulis daripada Bank Negara sebelum boleh menjalankan aktiviti itu di negara ini.

"Surat perakuan tersebut yang dikeluarkan oleh BNM bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada BNM berhubung dengan perniagaan terjadual seperti dinyatakan dalam surat perakuan berkenaan, ataupun perniagaan lain yang dijalankan oleh institusi terjadual berkenaan," kata bank itu.

"Senarai institusi terjadual yang telah mendapat perakuan daripada Bank Negara itu hanya untuk disimpan bagi tujuan perangkaan semata-mata.

"Sekiranya syarikat-syarikat tersebut telah berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, BNM akan menarik balik surat perakuan tersebut," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru ia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan yang dikatakan dikeluarkan oleh BNM untuk menarik pelaburan dalam pelbagai skim kewangan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada bahagian 'Peringatan kepada Semua Penggguna Kewangan' yang terdapat di laman sesawang Bank Negara http://www.bnm.gov.my atau hubungi talian: 1-300-88-5465 atau dan e-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my