Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Wednesday, 22 February 2012

Diet Tanpa Senam?

Makanan seperti ulam amat baik untuk kesihatan.

Hati-hati dengan diet yang dilakukan kerana jika tidak berhati-hati, memang berat badan akan turun mendadak tetapi masalah lain pula mungkin timbul.

Jangan tiru pelakon 'Ally Mc Beal', Callista Flockshart, yang melakukan diet melampau sehingga akhirnya menderita penyakit anoreksia.

Bagaimanapun beberapa artis tempatan dilihat dapat mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat sambil mengambil diet sihat selain melakukan aktiviti fizikal.

Antaranya Bob AF, Aizat AF, Imran Ajmain dan penyanyi baru Syah.

Tapi mungkinkah anda akan dapat mengurangkan berat badan dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan, mengambil ubatan tertentu tanpa melakukan apa-apa aktiviti fizikal?

Anda mungkin dapat mengurangkan berat badan dengan hanya 'berlapar' tetapi tidak mungkin mendapat bentuk badan yang diidamkan.

Risikonya pula, berat badan anda akan naik mendadak apabila anda kembali makan seperti biasa.

Jangan terperanjat jika anda mengalami pelbagai masalah yang berkaitan dengan organ badan dalam tempoh masa beberapa tahun.

Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norsyamimi Ahmad berkata, program mengurangkan berat badan tanpa senaman amat tidak logik.

"Senaman amat perlu untuk mengeluarkan tenaga daripada makanan jika tidak, ia akan ditukar menjadi lemak," katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun senaman perlu dilengkapi dengan penjagaan makanan bagi memberikan berat badan yang ideal.

Sebenarnya bukan semua orang boleh melakukan senaman terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai morbit obes - jika bacaan Indeks Jisim Berat Badan (BMI) melebihi bacaan 40 (berbanding 19 hingga 25 yang biasa) serta mempunyai masalah kesihatan.

"Kaki pesakit morbit obes tidak mampu menampung berat badan. Jadi mereka boleh memulakan dengan diet kalori sangat rendah iaitu hanya mengambil 800 kalori sehari," katanya.

Mereka yang menjalankan diet berkenaan perlu mendapatkan pemantauan berterusan daripada doktor atau pakar pemakanan di wad.

Cara mengurangkan berat badan paling baik adalah dengan menjaga makanan dan melakukan senaman.
"Kita perlu seimbangkan makanan yang kita makan dengan senaman yang dilakukan bagi mendapatkan berat badan ideal," katanya.

Nursyamimi berkata, senaman yang biasa dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki semasa membeli-belah yang menyebabkan kadar degupan jantung tinggi selain pengeluaran peluh meningkat.

Selain berjalan, berkebun selama setengah jam boleh membakar sebanyak 100 kalori. Bagaimanapun semua aktiviti senaman dan makanan bergantung kepada usia dan berat badan seseorang," katanya.

Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan apa yang kita makan. Bagi diet yang betul, pesakit perlu makan ikut waktu, memilih makanan yang betul dan pastikan kalori yang perlu diambil setiap hari.

Nursyamimi berkata, sarapan pagi tidak boleh ditinggalkan dan pesakit perlu mengambil lebih protein dan fiber seperti telur, ikan dan ayam.

Menu sarapan bagi wanita adalah sebiji telur separuh masak, dua keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat.

Manakala bagi lelaki pula adalah sebiji telur separuh masak, tiga hingga empat keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat.

Bagi makan tengahari pula, ambil 1/3 nasi, 1/3 ikan, ayam atau daging dan 1/3 sayur-sayuran serta sebiji atau sehiris buah-buahan.

Sementara makan malam lebih kurang sama dengan makan tengahari. Bagaimanapun diet ini perlu diubah mengikut tahap kesihatan seseorang seperti diabetes, pesakit jantung dan penyakit kronik lain.

"Perlu diingat, pastikan waktu makan setiap hari adalah lebih kurang sama. Bermula dengan sarapan pukul 7 hingga 9 pagi, makan tengahari pada pukul 12.30 hingga 2.30 petang dan makan malam seelok-eloknya empat jam sebelum tidur atau sebelum pukul 8 malam," katanya.

Dr. Nursyamimi berkata, diet tanpa senaman atau dikatakan sebagai 'yo-yo diet' biasanya akan menyebabkan berat badan turun naik mendadak kerana kehilangan otot.

Diet ini menggunakan otot untuk ditukar kepada tenaga kerana otot dua kali lebih berat berbanding lemak. Diet sebegini amat tidak digalakkan, katanya.

Mereka yang mengamalkan diet berkenaan mempunyai risiko bertambah berat badan dua kali ganda, kerosakan buah pinggang, haid tidak teratur, mood tidak betul, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah menurun sehingga kadang-kala boleh pengsan.

Biasanya penurunan berat badan yang ideal adalah 10 peratus dalam tempoh enam bulan.

Diet paling popular sekarang adalah pengambilan protein tinggi dan rendah karbohidrat tetapi diet ini tidak boleh diambil berterusan kerana akan memberikan kesan kepada buah pinggang.

"Biasanya ia hanya dilakukan selama 60 hari dan diikuti dengan senaman seperti berenang, berbasikal atau joging mengikut kesesuaian," katanya.

Dalam tujuh hari seminggu, pastikan lima hari dengan masakan bakar, kukus atau sup sementara hari lain dengan goreng atau bersantan.

Mengenai pusat pelangsingan badan, pil penyerap dan membakar lemak serta teh herba, Nursyamimi berkata, ia hanya akan berkesan jika menjaga pemakanan selain senaman.

Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah pembuangan air atau menyerap semua lemak yang ada dalam badan.

"Kadang-kala kita rasa lapar tetapi sebenarnya kita hanya dahaga. Jadi pastikan sama ada kita benar-benar lapar dengan meminum air," katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang ingin mengawal berat badan agar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bertemu dengan pakar pemakanan bagi mendapatkan diet yang betul.

"Ini kerana diet berlainan bagi individu mengikut tahap kesihatan masing-masing," katanya.

Cegah Diabetes untuk Jantung Sihat

Anda telah membaca tentang penyakit jantung yang merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia. Anda juga telah membaca tentang diabetes yang dikatakan ‘ibu kepada semua penyakit’.

Tetapi, tahukah anda bahawa penyakit jantung dan diabetes sebenarnya mempunyai banyak persamaan?
Jika anda kurang pasti, rencana ini yang merupakan rencana pertama daripada enam bahagian bersiri tentang penjagaan jantung dan diabetes, akan menambahkan lagi pengetahuan anda tentang penyakit jantung dan diabetes.

Bagaimana kedua-duanya saling berkait dan langkah-langkah mudah yang boleh diambil untuk mencegah kedua-duanya daripada menjadi sebahagian daripada hidup anda.

Apakah penyakit jantung kardiovaskular?

Penyakit-penyakit jantung (kardio) merupakan satu daripada komponen-komponen utama penyakit kardiovaskular (CVD), di mana yang lagi satu merupakan penyakit-penyakit saluran darah (vaskular).

Penyakit saluran darah yang paling lazim adalah aterosklerosis, yang menyebabkan pengerasan saluran-saluran darah. Ia merupakan proses di mana kolesterol dan bahan-bahan lain akan terkumpul di dinding dalam arteri dan membentuk plak (enapan lemak).

Plak-plak ini akan menyempitkan saluran darah arteri, mengehadkan bekalan darah dan mungkin juga menjadi pecah. Ini akan menyebabkan pembentukan darah-darah beku yang dinamakan emboli.

Jika emboli ini bergerak ke bahagian lain badan anda danf menyekat sebahagian atau sepenuhnya pengaliran darah ke sesuatu organ, contohnya jantung anda, maka ini boleh menyebabkan anda terkena serangan jantung.

Jika emboli menyekat arteri dalam otak yang mungkin telah pun menjadi sempit akibat aterosklerosis, maka ini mungkin akan menyebabkan anda terkena strok.

Kehadiran plak, walaupun ia tidak pecah, kadangkala sudah memadai untuk menyempitkan saluran-saluran darah jantung anda dan mengakibatkan simptom-simptom penyakit arteri koronari (CAD) seperti angina (sakit dada).

Jika tidak dirawat, ini mungkin akan menyebabkan anda mendapat serangan jantung atau kegagalan jantung kardiak kongestif.

Adakah anda berisiko?

Mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit jantung dan faktor usia meningkat adalah risiko-risiko yang tidak boleh diubah.

Merokok, gaya hidup sedentari, tabiat makan yang tidak sihat, mudah mendapat tekanan serta rasa marah dan berat badan berlebihan pula adalah faktor-faktor risiko yang boleh diubah.

Begitu juga dengan tekanan darah tinggi (hipertensi) dan kolesterol darah tinggi (hiperkolesterolaemia).

Amnya, kaum lelaki lebih berisiko untuk mendapat CAD berbanding wanita, namun begitu risiko bagi kaum wanita juga akan meningkat selepas menopaus.

Walau bagaimanapun, berbanding kesemua faktorfaktor ini, diabetes masih lagi merupakan satu faktor risiko yang utama. Hayatilah statistik-statistik berikut:
  • Orang dewasa yang menghidap diabetes adalah dua hingga empat kali lebih cenderung terkena penyakit jantung atau strok berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.
  • Dua daripada tiga penghidap diabetes meninggal dunia akibat penyakit jantung atau strok.
  • Penghidap diabetes lebih berkemungkinan akan meninggal dunia akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.
  • Risiko kematian akibat serangan jantung di kalangan penghidap diabetes yang tidak diketahui ada menghidap penyakit jantung adalah sama dengan mereka yang tidak menghidap diabetes tetapi pernah mengalami serangan jantung.
  • Bagi mereka yang menghidap diabetes, serangan jantung biasanya berlaku lebih awal dan berkemungkinan besar akan mengakibatkan kematian.
Kaitan antara penyakit jantung dan diabetes

Punca utama kematian awal di kalangan penghidap diabetes yang tidak dikawal dengan baik adalah disebabkan penyakit kardiovaskular. Sebenarnya, penyakit jantung merupakan komplikasi diabetes yang paling lazim dan serius.

Ini kerana diabetes yang tidak diuruskan dengan baik akan mengganggu paras glukosa darah anda dan menyebabkan metabolisme lain badan menjadi tidak menentu, yang juga akan menghasilkan paras lemak darah (seperti kolesterol) yang tidak normal.

Diabetes juga lebih cenderung meningkatkan tekanan darah anda.

Kombinasi paras glukosa darah yang tinggi, paras lemak darah yang tidak normal dan tekanan darah yang tinggi akan merosakkan saluran-saluran darah (arteri-arteri) badan anda dan memudahkan pembentukan plak di dinding dalam arteri.

Ini mempercepatkan pembentukan aterosklerosis, yang akhirnya boleh menyebabkan serangan jantung atau kegagalan jantung.

Jangan menjadi statistik

Statistik-statistik penyakit jantung dan diabetes mungkin menakutkan, tetapi anda boleh mencegah kedua-duanya dengan membuat beberapa perubahan positif dalam gaya hidup anda sekarang.

Sebenarnya, kajian di China, Eropah dan Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa risiko diabetes boleh dikurangkan menerusi diet yang sihat, melakukan senaman secara kerap dan mengurangkan berat badan.

Walaupun terdapat faktor-faktor risiko penyakit jantung yang tidak boleh anda ubah namun terdapat banyak lagi langkah pencegahan yang berkesan yang boleh anda ambil seperti:

Ambil diet yang seimbang

Pilih diet untuk jantung sihat yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh serta yang mengandungi rendah kandungan lemak tepu, kolesterol dan sodium (garam).

Anda perlu mengurangkan pengambilan kalori harian jika mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes. Kebanyakan kalori datang dari makanan berlemak dan yang digoreng.

Menjadi lebih aktif

Anda perlu melakukan senaman atau aktiviti fizikal lain selama sekurang-kurangnya 30 minit setiap kali dan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu (sebaik-baiknya aktiviti ini dilakukan pada setiap hari!).

Anda perlu bersenam dengan lebih kerap dan untuk jangka masa yang lebih lama jika mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes, untuk menurunkan berat badan anda.

Kekalkan berat badan dan ukur lilitan pinggang yang sihat

Mempunyai berat badan yang berlebihan terutama sekali pada bahagian abdomen akan meningkatkan risiko anda menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.

Sebagai panduan, anda perlu mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (IJT) sekitar 18-23 kg/m2. Ukur lilitan pinggang orang Asia pula sepatutnya berukuran kurang daripada 90sm bagi lelaki atau kurang daripada 80sm bagi wanita.

Periksa profil lipid darah anda

Paras kolesterol darah yang tinggi (kolesterol-LDL atau kolesterol jahat) akan meningkatkan risiko anda menghidap penyakit jantung. Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika anda turut mempunyai paras kolesterol-HDL atau kolesterol baik yang rendah.

Sebaik-baiknya, anda perlu mengekalkan paras kolesterol-LDL kurang daripada 3.0 mmol/L dan kolesterol baik (HDL-C) lebih tinggi daripada 1.02 mmol/L bagi lelaki atau lebih tinggi dari 1.3 mmol/L bagi wanita.

Sentiasa periksa tekanan darah anda

Tekanan darah tinggi boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kardiovaskular. Periksalah tekanan darah anda sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun serta berusaha untuk mengekalkannya pada tahap yang rendah (130/80 mmHg atau kurang) tanpa mengira usia anda.

Menjalani pemeriksaan kesihatan berkala

Pemeriksaan kesihatan yang berkala akan dapat mengesan dan merawat penyakit diabetes dan jantung pada peringkat yang awal. Minta doktor untuk memeriksa paras glukosa darah anda.

Jika anda berisiko tinggi menghidap diabetes atau mempunyai paras glukosa darah yang tinggi daripada normal, doktor anda mungkin akan mengatur untuk anda menjalani ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT).

Sebagai rutin, doktor anda juga akan memeriksa berat badan dan ukur lilit pinggang, tekanan darah dan paras kolesterol jahat dan baik darah anda.

Berhentilah merokok

Jika anda merokok, tolong hentikannya sekarang. Menghisap rokok boleh menyebabkan saluran-saluran darah menjadi sempit dan seterusnya akan mengurangkan bekalan darah ke organ-organ penting seperti jantung anda. Merokok juga akan memburukkan aterosklerosis.

Kurangkan tekanan atau stres

Kajian terkini menunjukkan bahawa stres berkaitan pekerjaan merupakan faktor penting ke arah pembentukan diabetes jenis 2 dan komponen-komponen lain sindrom metabolik yang boleh mengakibatkan anda menghidap penyakit jantung.

Bersenam secara kerap, mengikuti suatu hobi, mengamalkan yoga serta meditasi atau kerap sembahyang adalah contoh-contoh aktiviti mengurangkan tekanan yang mungkin ingin anda ikuti untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.

Serat Larut Oat (beta glucan) & Tahap Kolesterol Yang Lebih Rendah: Bagaimanakah mereka berkait?
Tahukah anda bahawa serat larut oat beta glucan telah terbukti dapat membantu menurunkan tahap kolesterol dalam darah atau lebih tepat lagi, mengurangkan paras kolesterol-LDL (kolesterol jahat)?

Beta glucan membantu memerangkap asid-asid hempedu yang mengandungi kolesterol dan kolesterol dari makanan, dalam saluran pencernaan. Bahan-bahan ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem badan sebagai bahan buangan.

Ini bermakna badan anda hanya akan menyerap kolesterol yang sedikit. Paras kolesterol yang lebih rendah akan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Prof. Mustaffa Embong merupakan Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI).
Artikel seterusnya: Tip jantung sihat untuk mereka yang mempunyai kolesterol darah tinggi.

- Artikel ini adalah sumbangan dari Program Menangani Wabak Diabetes – Penjagaan Jantung anjuran NADI dengan usaha sama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada Roti Gardenia Breakthru. Untuk pertanyaan, sila hubungi Institut Diabetes Negara (NADI) di talian (03) 78761676/ 78761677.

Saiz bukan Ukuran

Saya ingin mengemukakan persoalan berkaitan dengan masalah yang saya hadapi. Saya seorang lelaki yang berusia 24 tahun. Apa yang menjadi kerisauan saya selama ini adalah saiz dan panjang zakar saya.

Panjangnya kira-kira satu inci sahaja dan berukuran kira-kira empat inci ketika mengalami ketegangan. Saiznya juga tidak begitu besar. Adakah keadaan tersebut normal jika dibandingkan dengan usia saya sekarang?

Saya risau sekiranya terdapat permasalahan pada zakar saya. Adakah terdapat cara untuk memanjangkannya? Untuk pengetahuan Prof., sebelum ini saya gemar melakukan onani.

Apakah perbuatan tersebut menyebabkan keadaan ini? Saya benar-benar buntu dan berharap Prof. dapat membantu.

Jawapan.

Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Seingat saya, perkara ini pernah disoal. Mungkin elok saya mulakan dengan mengatakan bahawa saiz zakar saudara masih dikategorikan sebagai normal.

Ini mengandaikan saudara membuat pengukuran yang tepat. Pengukuran saiz bukan sahaja melibatkan panjang bahkan lebar zakar itu juga.

Pengukuran saiz zakar perlu dilakukan beberapa kali dalam waktu yang berlainan kerana saiznya boleh berubah bergantung kepada masa, cuaca, tahap keghairahan, kekerapan hubungan seks dan beberapa faktor lain lagi.

Kajian berkenaan dengan saiz zakar ini berbeza-beza. Bagaimanapun, secara puratanya adalah antara 12.9-15 sentimeter (5.1-5.9 inci) semasa tegang. Ukuran saiz zakar flaccid atau sewaktu lembik adalah tidak tepat.

Pada umur saudara, memang saiz zakar tidak akan meningkat dengan ketara kerana biasanya tumbesaran zakar berlaku antara umur setahun ke lima tahun dan seterusnya lima tahun selepas seseorang itu akil baligh.

Keadaan yang dipanggil micropenis atau saiz zakar yang kecil adalah apabila ia kurang daripada tujuh sentimeter atau tiga inci semasa tegang. Ia boleh disebabkan oleh faktor seperti masalah hormon atau genetik.

Kekerapan beronani sebenarnya tidak ada kaitan dengan saiz zakar walaupun saya banyak berjumpa pesakit yang mengatakan saiz zakar mereka mengecut disebabkan perbuatan tersebut.

Ada juga menjadi panik dan merasakan zakar mereka menjadi semakin kecil dari semasa ke semasa tetapi apabila dibuat pemeriksaan ternyata ia tidak benar.

Terapi hormon

Walaupun pelbagai cara termasuk pembedahan boleh dilakukan bagi membesarkan zakar, saya amat jarang menasihatkan pesakit saya mengambil langkah itu.

Cuma, jika terbukti ia disebabkan oleh masalah hormon, mungkin terapi hormon adalah sesuai.

Ramai lelaki ingin membesarkan zakar dengan cara-cara yang bahaya. Saya pernah merujuk pesakit yang mengalami zakar yang 'rosak' apabila menyuntik bahan kimia dengan harapan membesarkannya.

Kajian juga menunjukkan memang lelaki akan merasa bangga mempunyai zakar yang panjang dan lebar .

Hakikat sebenarnya kenikmatan hubungan seks tidak memerlukan zakar yang panjang dan lebar kerana tempat-tempat yang paling sensitif bagi wanita, contohnya kelentit berada di bahagian luar faraj sahaja.

Bagaimanapun, bagi mereka yang bermotivasi tinggi boleh mencuba buku exercising the penis karya Aaron Kemmer yang boleh didapati di amazon.com. Ia mungkin berkesan kepada saudara.

Jika saudara masih tidak berpuas hati, buatlah pemeriksaan lanjut dengan doktor di tempat saudara.

Tuesday, 21 February 2012

Pilihan Menjarakkan Anak

Kehadiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga merupakan anugerah Ilahi paling membahagiakan. Anak adalah rezeki tidak ternilai.

Namun begitu, atas alasan tertentu yang hanya suami dan isteri sahaja mengetahuinya, ada pasangan bercadang untuk menjarakkan kehadiran cahaya mata. Terdapat pelbagai kaedah yang sesuai dan hanya yang pakar dapat membantu pasangan seperti ini.

Ini mengingatkan kisah yang pernah diceritakan oleh seorang rakan pada masa lampau mengenai seorang ayah, A, yang menasihati rakannya B bagaimana mahu merancang keluarga.

"Jangan risau, pakai sahaja sarung itu (kondom), selesailah,'' ujarnya penuh yakin. Namun beberapa bulan selepas itu B menemuinya semula, wajahnya agak muram.

"Dah cuba..., tapi isteri mengandung juga. Tak apalah, rezeki kami,'' ujarnya perlahan.

Tidak sedap hati, A bertanya kembali, bagaimana kaedah itu tidak berkesan. Setelah diselidiki, barulah A tahu rupa-rupanya sarung itu sudah `dikhatan' terlebih dahulu!

Barangkali ia hanyalah satu bahan gurauan dan kemungkinan boleh berlaku semasa kaedah itu mula diperkenalkan dahulu.

Kesihatan mendapatkan pandangan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan mengenai perancang keluarga.

Apa itu perancang keluarga?

Perancang keluarga adalah kaedah yang diamalkan isteri ataupun suami yang belum bersedia untuk menimang cahaya mata atau, bagi mereka yang telah menimang cahaya mata tetapi ingin pula menjarakkan kelahiran anak.

Katanya: "Ada pelbagai cara untuk merancang keluarga termasuk secara natural ataupun menggunakan kaedah perubatan moden.''

Objektif utama menggunakan kaedah merancang keluarga ialah untuk memastikan kesihatan ibu pulih dengan sepenuhnya sebelum kelahiran yang seterusnya.

Ia juga untuk memastikan anak baru lahir mendapat penjagaan dan kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa mereka.

"Tanggungjawab merancang keluarga adalah untuk menjamin keluarga bahagia dan ini terletak kepada suami dan isteri. Perkara ini harus dibincang bersama agar ia tidak mendatangkan masalah yang boleh menjejaskan perhubungan suami isteri,'' kata Dr. Jamiyah.

Menurutnya, mereka yang baru berkahwin dan masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata bolehlah menggunakan kaedah merancang keluarga.

Individu yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak digalakkan mempunyai kelahiran yang banyak seperti darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang dan sebagainya perlu berjumpa doktor untuk berbincang mengenai kaedah perancang keluarga.

Sebuah keluarga yang sihat memerlukan ibu bapa sihat. Seseorang wanita, tambahnya, boleh menggunakan kaedah merancang jika diperlukan seawal 18 tahun ke atas.

Tempoh jarak kelahiran

Tempoh menjarakkan kelahiran bergantung kepada kemampuan dan keinginan pasangan yang terbabit.

Seelok-eloknya tempoh yang baik menjarakkan kelahiran sekurang-kurangnya dua tahun bagi memberi peluang untuk ibu membina kesihatan seperti sedia kala, dan juga memberi masa penjagaan sempurna untuk anak yang baru lahir.

Selain itu, ia memberi peluang menyusukan anak secara eksklusif selama enam bulan pertama dan seterusnya sehingga anak berusia dua tahun.

Dalam masa dua tahun pertama, perkembangan dari segi fizikal dan emosi seseorang anak itu amat penting.

Menjarakkan kelahiran sekali gus memberi peluang kepada suami isteri menstabilkan hal-hal ekonomi rumah tangga.

Dengan bertambahnya ahli keluarga akan bertambahlah perbelanjaan keluarga. Jadi secara tidak langsung keharmonian rumah tangga akan terjaga.

Kaedah-kaedah merancang keluarga

Natural

Kaedah ini menggunakan cara mengelakkan waktu subur seseorang wanita itu. Kaedah bergantung kepada kitaran haid seseorang wanita.

Mereka boleh menggunakan cara rhythm dan untuk mengelakkan waktu subur mereka boleh mengira dari waktu kitaran haid yang terpendek, tolak 20 hari dan hari terakhir waktu subur ialah kitaran haid yang terpanjang ditolak 11 hari.

"Jadi mereka harus mengelakkan perhubungan kelamin pada lebih kurang hari kelapan hingga ke-24 jika kiraan haid mereka 28 ke 35 hari. Ia agak rumit untuk dikira dan boleh mendatangkan masalah bagi pasangan itu kerana waktu mereka tidak boleh bersama agak panjang,'' katanya.

Dr. Jamiyah memberitahu, selain cara rhythm, mereka boleh mengesan waktu subur dengan perbezaan cecair yang keluar daripada faraj. Sewaktu subur, cecair yang keluar bertukar dari warna putih yang pekat kepada lendir yang jernih dan cair.

Ini disebabkan peningkatan hormon estrogen dan pertukaran kepada lendir cair yang jernih, bertujuan merangsang kemasukan benih sperma.

Waktu ini juga suhu badan wanita akan naik sebanyak 0.5o dan boleh dikesan menggunakan termometer ovulasi pada waktu bangun tidur.

Pil perancang keluarga

Ia mengandungi estrogen dan progestogen. Cara utama menghalang kehamilan ialah dengan menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari seseorang wanita.

Di samping itu, ia juga menyebabkan lendir dari pintu rahim menjadi lebih pekat dan ini juga menghalang kenaikan sperma masuk ke dalam rahim.

Pil perancang keluarga dimakan pada setiap hari bermula dari hari pertama kitaran haid sehingga hari ke-21.

Ini diikuti dengan tujuh hari rehat. Pada waktu ini perdarahan akan berlaku dan pil dari paket baru perlu dimulakan selepas tujuh hari walaupun perdarahan mungkin belum habis.

Jika diikuti dengan betul, keberkesanan menggunakan kaedah ini untuk mengelakkan kelahiran amat tinggi iaitu 99.9 peratus.

Ada pil yang mengandungi progestogen sahaja. Pil jenis ini mengelakkan kandungan dengan menyebabkan dinding rahim nipis dan lendir yang pekat.

Ia boleh juga mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari tetapi ia tidak konsisten dan memerlukan dos yang tinggi. Hampir 50 peratus wanita menggunakan kaedah ini boleh mengeluarkan telur dari kilang ovari.

Ini kerana ia perlu dimakan dengan betul dan mengikut masa yang ditetapkan. Jika masa makan berubah-ubah melebihi tiga jam, ia boleh menyebabkan wanita itu hamil.

Pil perancang adalah salah satu kaedah yang amat popular di kalangan wanita dunia dan juga di Malaysia.

Selain mengelakkan kandungan, pil perancang keluarga mempunyai kesan sampingan yang positif seperti mengurangkan kadar perdarahan haid serta mengurangkan penyakit anemia atau kurang darah dan mengurangkan kesakitan sewaktu haid.

Kata Dr. Jamiyah, ia juga boleh mengurangkan risiko mendapat kanser kilang ovari dan endometrium melebihi 50 peratus apabila digunakan melebihi satu tahun.

Pil perancang keluarga yang baru mengandungi progestogen yang baru seperti drospirenone yang mengurangkan risiko kenaikan berat badan disebabkan penyimpanan air yang berlebihan.

"Ia juga membuat kulit menjadi lebih cantik dan mengurangkan perasaan tidak menentu akibat sindrom prahaid,'' ujar beliau.

Suntikan

Suntikan menggunakan hormon progestogen, disuntik setiap dua bulan bergantung kepada hormon yang digunakan.

Disebabkan dosnya yang tinggi, ia mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari di samping mengakibatkan lendir yang pekat. Wanita yang menggunakan kaedah ini boleh mengalami perdarahan yang tidak menentu.

Alat dalam rahim

Salah satu kaedah yang popular dan telah digunakan semenjak tahun 60-an lagi. Ia perlu dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor terlatih dan tidak mendatangkan banyak masalah kepada pengguna.

Setelah dimasukkan, alat ini boleh disimpan selama tiga hingga lima tahun bergantung kepada jenis yang digunakan. Efikasinya untuk mengelakkan kandungan adalah lebih kurang 98 peratus.

Ada alat dalam rahim yang telah diserapkan dengan hormon progestogen. Ini meninggikan efikasinya kepada lebih 99.9 peratus untuk mengelakkan kandungan.

Di samping itu, ia boleh mengurangkan perdarahan haid dan hampir 80 peratus wanita tidak mengalami perdarahan selepas tiga bulan penggunaannya.

Walau bagaimanapun, wanita tidak harus bimbang kerana walaupun tidak datang haid, telur masih dikeluarkan dari kilang ovari seperti biasa. Ini juga boleh mengurangkan masalah anemia dari perdarahan haid yang berlebihan.

Kaedah Barrier

Kaedah barrier yang paling popular adalah kondom lelaki. Ada kondom yang diserapkan dengan ubat antisperma. Kaedah ini tidak begitu baik kerana efikasinya cuma lebih kurang 60 hingga 80 peratus jika digunakan dengan betul.

Tetapi ia adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengelakkan penyakit kelamin dan HIV. Menurutnya, kondom untuk kaum wanita juga ada tetapi tidak begitu popular.

Kaedah barrier yang lain termasuk penggunaan diafram, alat penutup pintu rahim dan span. Kaedah-kaedah ini juga tidak popular.

Implan

Implan adalah alat perancang yang mengandungi hormon progestogen yang dimasukkan ke bawah kulit di bahagian dalam lengan.

Ia mengelakkan kandungan dengan menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari, boleh dipakai selama tiga hingga lima tahun. Keberkesanannya mencecah 99 peratus.

Sterilisasi

Sterilisasi boleh dilakukan kepada wanita dan juga kaum lelaki. Kaedah ini adalah kekal. Saluran fallopio wanita diikat atau dipotong bagi mengelakkan perjalanan telur ataupun sperma dan seterusnya menghindarkan persenyawaan.

Vasektomi adalah kaedah sterilisasi kekal untuk lelaki. Ia memerlukan pembedahan kecil di mana saluran vas deferens dipotong sedikit dan diikat.

Kesan sampingan dan risiko bagi wanita yang bermasalah atau berpenyakit kronik

Kesan sampingan bergantung kepada kaedah dan hormon yang digunakan. Estrogen boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan menaikkan tekanan darah.

Jadi mereka yang mempunyai risiko seperti darah tinggi, penyakit hati, jaundis, sejarah penyakit di mana saluran darah tersumbat, penyakit jantung, kadar kolesterol yang tinggi, sejarah kanser payu dara, terlalu gemuk atau merokok melebihi 40 batang sehari tidak boleh mengambil perancang keluarga yang mengandungi hormon lebih-lebih lagi estrogen.

Kebaikan merancang keluarga

Kebaikan merancang keluarga bukan saja untuk menjaga kesihatan ibu tetapi bagi memastikan pembesaran anak sempurna dari segi fizikal dan emosi.

Ia juga memberi peluang untuk suami memastikan kewangan keluarga terjamin bagi menampung kehadiran ahli baru.

Umur yang terbaik untuk melahirkan anak adalah pada usia 25 hingga 35 tahun kerana pada umur ini risiko pada ibu adalah minimum.

Pada asasnya seorang wanita boleh melahirkan bayi walaupun pada umur yang hampir menopaus tetapi risiko pada ibu akan berlipat ganda.

Pada zaman ini, di mana kaum wanita berkahwin lewat ataupun memilih menjayakan karier terlebih dahulu, lebih ramai yang melahirkan anak pada usia melewati 35 tahun.

"Saya menyarankan mereka berbincang dengan doktor pakar tentang masalah yang mungkin dihadapi,'' pesan Dr. Jamiyah.

Bincang bersama

Isu merancang keluarga harus dibincang bersama walaupun kaedah yang diamalkan memihak lebih kepada kaum perempuan. Kaum wanita perlu kerjasama dan restu suami untuk merancang keluarga.

Objektif mereka adalah melakukan yang terbaik untuk keluarga. Jika mereka di dalam keadaan sihat tubuh badan dan rohani, wanita boleh menjaga suami dan keluarga dengan lebih baik lagi.

Menjawab pertanyaan, Dr. Jamiyah memberitahu, tempoh berhenti mengambil perancang keluarga untuk hamil semula bergantung kepada kaedah yang digunakan.

Jika menggunakan pil perancang, mereka akan mengeluarkan telur sebaik berhenti pil dalam masa satu hingga dua bulan. Begitu juga jika mereka menggunakan alat di dalam rahim.

Nasihat pakar

Soal bila pasangan yang baru berkahwin ingin menimang cahaya mata, bergantung kepada banyak faktor. Mereka boleh memulakan bila-bila masa selepas berkahwin.

Walau bagaimanapun, mereka perlu tahu cara-cara merancang keluarga kerana biarlah setiap kandungan itu anak yang diingini dan bukan kerana tersalah kira!

Keluarga yang sihat dan bahagia perlu kerjasama semua.

Lima Penyakit Utama Wanita

Fibroid

Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim.

Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid.

Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 - 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/ m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous).

Ada fibroid yang mencetuskan simptom dan ada juga yang berlaku tanpa simptom. Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak.

Endometriosis

Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, 'dalam', dan metra, 'rahim'.

Ianya membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita.

Simptom utama penyakit ini adalah sengugut dan sakit pada bahagian pelvik. Di Malaysia, tiada statistik khusus yang dijalankan bagi pengidap endometriosis.

Endometriosis merupakan masalah yang kerap berlaku. Hampir satu pertiga pengidap endometriosis menjadi punca mandul (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

PCOS merupakan gangguan hormon yang paling tinggi dalam kalangan wanita yang berada pada peringkat subur dan menjadi salah satu faktor ketidaksuburan (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca berlakunya sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. Gejala PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan penghidap yang lain.

Antara gejala yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid yang sedikit dan tidak teratur atau mengalami oligomenorea dan kadangkala amenorea (ketiadaan haid), bulu roma yang berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), masalah jerawat yang teruk dan kronik, masalah obesiti, masalah keguguran berulang, masalah kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan), dan juga masalah kebotakan menyerupai lelaki (male baldness).

Anorexia Nervosa

Anorexia atau nama saintifiknya 'Anorexia Nervosa' berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk.

Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan.

Penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut 'trend' dan juga tidak diinginkan. Kecelaruan gaya pemakanan merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan.

Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan.

Menopaus

Putus haid atau menopaus ialah waktu pertengahan usia seseorang wanita itu, apabila dia berhenti mengeluarkan haid. Hal ini terjadi, apabila ovari (kilang telur) berhenti menghasilkan telur.

Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes yang berlaku secara mendadak. Kesannya, ia akan mempengaruhi hormon, badan dan perasaan seseorang wanita.

Ada sebahagian wanita tidak merasakan apa-apa perubahan atau gangguan, manakala sebahagian besar mengalami gangguan vasomotor (seperti hangat memerah, berpeluh, susah tidur, berdebar-debar, panas baran, pelupa, mudah berkecil hati, kurang konsentrasi), fizikal dan kejiwaan (seperti kemurungan dan stres) yang boleh mengurangkan dan mengganggu gugat kualiti hidup. Dalam hal ini, sepasang suami isteri perlu mempunyai pengetahuan tentang menopaus.

Monday, 20 February 2012

Sindrom Lelaki ‘Menopaus’

Simptom lelaki yang menopaus ialah letih, cepat mendapat tekanan, sakit sendi, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani.

Bolehkah Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?

Jawapan.

Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza dengan wanita.

Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.

Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.

Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.

Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.

Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.

Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.

Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang lelaki dan pasangan mereka.

Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif dalam kehidupan seharian.

Terapi Testosteron ‘Lelaki Menopaus’

Dalam pada wanita sering dipersalahkan apabila melalui krisis pertengahan usia dan dikaitkan dengan ‘ketidaknormalan’ menopaus, pasangan mereka pula seolah-olah mendabik dada sambil mempropagandakan mitos tentang betapa lelaki tidak dimakan usia.

Lelaki tidak akan suka mendengar ini. Tetapi hakikatnya, mereka juga tidak terkecuali mendapat menopaus lelaki atau lebih tepat lagi, andropaus. Terimalah kenyataan ini dengan hati yang terbuka.

Pakar Runding Urologi, Datuk Dr. Tan Hui Meng berkata, testosteron iaitu hormon seks lelaki yang utama akan berkurangan sebanyak satu peratus setiap tahun selepas lelaki mencecah usia 40 tahun.

Jika tidak dirawat, kekurangan testosteron boleh menyebabkan kemurungan teruk, osteoporosis, anemia dan masalah kesihatan serius seperti sindrom metabolisme – yang boleh menyebabkan diabetes dan sakit jantung.

Sindrom metabolisme merupakan masalah perubatan yang dicirikan oleh kegemukan dan gangguan insulin yang menyebabkan kandungan gula darah tidak normal, tahap kolesterol tinggi dan hipertensi ringan.

‘‘Lelaki yang kehilangan nafsu seks, kekurangan tenaga, masalah tumpuan, lemak badan berlebihan dan jisim otot dan tulang yang merosot mungkin dibelenggu keadaan perubatan yang dinamakan sindrom kekurangan testosteron.

‘‘Disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk juga disebabkan oleh kekurangan testosteron – malah 20 peratus daripada lelaki yang menghidap ED mempunyai masalah ini,’’ kata beliau.

Menurutnya, kekurangan testosteron juga kerap berlaku di kalangan para penghidap diabetes melitus jenis 2.

Berdasarkan kepada kajian komuniti, kata Dr. Tan, kira-kira 18.5 peratus daripada lelaki Malaysia disahkan mengalami penyakit ini tetapi angka yang sebenar mungkin lebih tinggi.

‘‘Malangnya, lelaki tidak mendapatkan rawatan untuk menangani masalah kekurangan testosteron kerana mereka tidak sedar kesan buruk yang dibawa oleh masalah ini.

‘‘Di Malaysia, kesedaran mengenai keadaan ini masih lagi rendah dan oleh itu ia tidak dapat didiagnosis dan diberikan rawatan yang sewajarnya,’’ jelasnya.

Tambahnya, memandangkan kemerosotan kadar testosteron adalah sebahagian daripada proses penuaan, masalah ini perlu ditangani sekiranya disusuli oleh gejala-gejala seperti kemerosotan fungsi seks, gangguan mood dan penurunan tahap tenaga keseluruhan.

Ini kerana, masalah berulang seperti itu boleh merendahkan harga diri seorang lelaki, menjadikan hubungan pasangan tegang, mengganggu kerjaya dan juga menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Terapi suntikan testosteron tahan lama pertama di dunia.

Memperkenalkan Nebido® – terapi testosteron yang selamat, berkesan dan menyenangkan untuk memulihkan kesejahteraan seksual, fizikal, mental dan prestasi lelaki, sekali gus menambah baik kualiti hidup mereka.

‘‘Nebido® adalah sejenis terapi suntikan testosteron tahan lama yang pertama dihasilkan di dunia untuk menangani kekurangan testosteron.

‘‘Ini sememangnya berita baik bagi lelaki berusia 40 tahun ke atas yang berada di kemuncak kerjaya masing-masing, tetapi mengalami kemerosotan dari segi prestasi seksual, fizikal dan mental akibat kekurangan testosteron,’’ kata Pakar Runding Urologi dan Profesor Urologi dan Keseksualan Manusia, Hamburg, Jerman, Dr. Aksam A. Yassin.

Beliau berkata, Nebido® memberikan harapan baru kepada lelaki Malaysia di mana mereka boleh kembali lebih yakin, bebas dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Terapi ini terbukti melalui ujian klinikal dalam meningkatkan nafsu dan fungsi seks, menambahkan jisim dan kekuatan otot, mengurangkan lemak badan dan memberikan kesan positif terhadap mood.

Penggunaan Nebido®, tambahnya, serasi dengan gaya hidup lelaki moden dan senang untuk digunakan – malah ia ‘berfungsi’ setiap hari tanpa memerlukan rawatan harian.

‘‘Nebido® membekalkan badan dengan dos testosteron yang stabil dan tetap dalam jangka panjang.
‘‘Kajian mengesahkan bahawa Nebido® mengekalkan kadar testosteron dalam darah dalam julat biasa selama kira-kira tiga bulan. Justeru, empat dos setahun biasanya diperlukan,’’ ujar Dr. Aksam.

Oleh kerana Nebido® diberikan oleh doktor, keselamatan pesakit dapat dikawal dan diawasi dengan lebih baik. Setakat ini Nebido® diterima dengan baik oleh kebanyakan pesakit dan mempunyai kesan sampingan minimum.

Profesor berkenaan turut menyarankan agar lelaki yang mengalami gejala kekurangan testosteron memeriksa kadar testosteron dan membincangkan pilihan rawatan dengan doktor.

Rawatan sedia ada mengekalkan kadar testosteron biasa badan untuk tempoh yang singkat, justeru ia perlu diberi dengan kerap.

Rawatan testosteron seperti Nebido® memberikan pilihan terapi lebih baik kepada lelaki Malaysia. Lagipun, rawatan ini juga mudah, selamat dan berkesan.

Sehingga kini, Nebido® telah diluluskan di lebih 20 negara di seluruh dunia termasuk Korea Selatan, Filipina, Indonesia dan Australia.

Nebido® juga telah mendapat kelulusan di Malaysia sebagai rawatan sindrom kekurangan testosteron pada 10 Ogos 2006.

Apa itu testosteron?

Testosteron merupakan hormon seks terpenting lelaki yang dihasilkan oleh badan.

Pada awal tumbesaran, ia bertanggungjawab bagi pertumbuhan normal dan perkembangan organ seks mereka. Begitu juga dengan ciri-ciri fizikal bersifat kelelakian seperti rerambut di badan dan otot-otot.

Paras testosteron yang normal menyumbang kepada tenaga, fungsi seksual, mood dan libido. Dalam kebanyakan lelaki, testosteron dirembeskan secara automatik.

Ia dihasilkan oleh testis (kelenjar seks lelaki) setelah mendapat isyarat yang dihantar oleh hipotalamus dan kelenjar pituitari yang terletak di bahagian dasar otak.

Sindrom kekurangan testosteron

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, testis tidak berupaya memenuhi keperluan testosteron tubuh. Keadaan ini juga dikenali sebagai hypogonadism.

Banyak kemungkinan yang menyebabkan masalah ini seperti ketidaknormalan genetik, kecederaan pada testis dan ubat-ubatan tertentu.

Bagaimanapun, penuaan memainkan peranan utama dalam kemerosotan progresif paras testostero, yang turut dikenali sebagai sindrom kekurangan testosteron lambat-mula, lazimnya dihidapi oleh lelaki 40-an.

Beberapa kajian (Massachusetts Male Aging Study in 1991, Vermeulen Study in 1972) telah mengesahkan bahawa kadar testosteron aktif menurun seiring peningkatan usia, bermula dari umur 40 tahun, kira-kira 1.2 peratus kemerosotan setahun.

Menjelang usia 70 tahun, seseorang lelaki itu kehilangan hingga kira-kira 35 peratus daripada jumlah testosteron aktif asal mereka. Kebanyakan pesakit diabetes turut mempunyai paras testosteron rendah.

Lain-lain faktor termasuklah kegagalan testis untuk berfungsi mungkin disebabkan oleh masalah keturunan, bahan-bahan toksik atau beracun, tumor, pembedahan dan lain-lain.

Simptom

Antara aduan biasa yang dikaitkan dengan masalah kekurangan testoteron termasuklah:
  • Tidak bernafsu dan lemah tenaga batin.
  • ED dan kekerapan ereksi yang menurun.
  • Lemak badan berlebihan.
  • Jisim otot dan tulang yang merosot.
  • Tidak dapat menumpukan perhatian.
  • Rasa lemah dan tidak bermaya.
  • Kemurungan.
Diagnosis

Kaum Adam yang memperlihatkan tanda atau gejala-gejala kekurangan testosteron hendaklah berjumpa doktor untuk memeriksa para testosteron mereka.

Seseorang itu dikenal pasti mempunyai masalah testosteron yang rendah jika tahap testosteron darah mereka berada di bawah 12 nmol/L (paras normal di antara 12 nmol/L dan 40 nmol/L).

Doktor juga akan menilai sejarah perubatan pesakit, mengendalikan pemeriksaan fizikal yang umum dan pemeriksaan prostat untuk mengesahkan keadaannya.


Rawatan

Walau apa pun punca dan penyebabnya, kekurangan testosteron boleh menjejaskan keinginan seks, tidak bertenaga dan hilang mood.

Usah bimbang. Kekurangan testosteron boleh dirawat dengan cara mengembalikan kadar testosteron di dalam tubuh badan dalam lingkungan paras yang normal.

Sehingga kini, terapi testosteron merupakan rawatan terbaik bagi masalah kekurangan testosteron yang telah terbukti keberkesanannya di dalam banyak kajian serta pengalaman klinikal yang bertahun-tahun lamanya.

Hipogonadisme - Kurang Hormon Seks

Kita mungkin biasa mendengar lelaki mengalami masalah mati pucuk (disfungsi erektil) iaitu keadaan berkaitan dengan kemampuan seks, namun jarang didedahkan dengan Hipogonadisme.

Satu lagi masalah berkaitan seks yang menyerang lelaki tidak kira usia. Apakah sebenarnya Hipogonadisme?

Menurut Pakar Urologi dan Pembedahan Urologikal, Dr. Rajentheran Suntheralingam, hipogonadisme lelaki adalah keadaan di mana badan tidak menghasilkan hormon seks testosteron yang mencukupi.

Katanya, sebanyak lima juta lelaki di Amerika Syarikat dikatakan tidak menghasilkan hormon testosteron yang cukup, iaitu hormon yang memainkan peranan dalam tumbesaran dan perkembangan kelelakian ketika baligh.

Kesan testosteron bermula ketika janin lagi di mana ia akan merangsang pembentukan organ seks lelaki.

Hormon ini berterusan memainkan peranan penting ketika baligh dan dewasa dengan membentuk karakter lelaki dan mengekalkan keinginan seks.

‘‘Anda mungkin dilahirkan dengan hipogonadisme atau ia boleh berkembang kemudian disebabkan oleh kecederaan atau jangkitan,’’ katanya dalam satu sesi khas kempen MRT Elken untuk kehidupan yang sihat anjuran Elken Sdn. Bhd.

Ujarnya lagi, kesan hipogonadisme dan apa yang anda boleh lakukan untuk mengatasinya bergantung kepada punca dan pada ketika mana ia berlaku.

Namun begitu kata Dr. Rajentheran, jika hipogonadisme berlaku selepas baligh, perkembangannya lebih kepada menyebabkan masalah sementara yang boleh diatasi melalui rawatan.

Sesetengah jenis hipogonadisme boleh dirawat dengan terapi gantian testosteron.

Tanda-tanda dan simptom

Hipogonadisme boleh berlaku ketika perkembangan janin, baligh atau dewasa. Bergantung pada ketika mana ia berkembang, tanda-tanda dan simptomnya berbeza.

Jika badan tidak menghasilkan testosteron yang cukup ketika perkembangan janin, tumbesaran organ seks luar akan terjejas.

Kanak-kanak yang secara genetiknya lelaki mungkin akan lahir dengan alat kelamin perempuan, alat kelamin kabur (sama ada tidak jelas lelaki atau perempuan) ataupun alat kelamin lelaki yang tidak berkembang.

Manakala jika ia berlaku ketika baligh pula, hipogonadisme akan memperlahankan tumbesaran dan mengganggu perkembangan.

Ia menyebabkan penurunan perkembangan jisim otot, suara tidak bertukar menjadi parau, pertumbuhan bulu badan terjejas, pertumbuhan zakar dan buah zakar terjejas, perkembangan berlebihan bahagian lengan dan paha dan juga perkembangan tisu buah dada (ginekomastia).

Dan, jika hipogonadisme menyerang ketika dewasa, beberapa karakter fizikal maskulin akan terganggu dan sekali gus menjejaskan fungsi reproduksi normal.

Tanda-tanda dan simptom termasuk
  • Disfungsi erektil (mati pucuk).
  • Ketidaksuburan.
  • Penurunan pertumbuhan bulu badan dan janggut.
  • Pertambahan lemak dan penurunan jisim otot serta kekurangan jisim tulang (osteoporosis).
  • Penurunan saiz atau kekenyalan buah zakar.
  • Perkembangan tisu buah dada (ginekomastia).
  • Hipogonadisme juga boleh menyebabkan perubahan emosi dan mental. Ketika testosteron menurun, sesetengah lelaki akan mengalami simptom serupa seperti wanita menopaus.
  • Ini termasuk letih, kurang keinginan seks (libido), sukar menumpu perhatian, radang, resah dan juga murung.

Punca

Terdapat dua jenis utama hipogonadisme

1. Primer - Juga dikenali sebagai kegagalan testikular utama berlaku disebabkan masalah pada buah zakar.

2. Sekunder - Ia berlaku disebabkan masalah pada hipotalamus atau kelenjar pituitari (bahagian otak yang memberi arahan kepada buah zakar menghasilkan testosteron).

Hipotalamus menghasilkan hormon pembebasan gonadotropin, yang memberi arahan kepada kelenjar pituitari untuk menghasilkan hormon penghasilan folikel (FSH) dan hormon luteinizing. Hormon ini kemudian memberi arahan kepada buah zakar menghasilkan testosteron.

Hipogonadisme Primer

Punca utama termasuk:

* Sindrom Klinefelter: Keadaan ini menyebabkan ketidaknormalan sejak lahir pada kromosom seks, X dan Y. Lelaki biasanya mempunyai satu kromosom X dan satu kromosom Y.

Dalam kes ini, dua atau lebih kromosom X hadir sebagai tambahan kepada satu kromosom Y. Kromosom Y mengandungi material genetik yang menentukan jantina bayi dan berkaitan dengan perkembangan.

Kromosom X berlebihan yang berlaku pada pesakit sindrom Klinefelter menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar.

* Buah zakar tidak keluar: Ketika dalam kandungan, buah zakar berkembang dalam abdomen dan biasanya turun ke bawah di dalam skrotum dua bulan sebelum lahir.

Dalam kes ini satu atau dua buah zakar tidak keluar ketika lahir. Keadaan ini biasanya pulih sendiri dalam masa beberapa tahun pertama tanpa sebarang rawatan.

Jika ia tidak pulih sendiri ketika kanak-kanak, ia menyebabkan buah zakar tidak berfungsi dan mengurangkan pengeluaran hormon testosteron.

* Beguk Orkitis: Jika jangkitan beguk melibatkan buah zakar ketika dewasa, kerosakan testikular jangka panjang akan berlaku.

* Hemokromatosis: Kandungan besi yang terlalu tinggi dalam darah boleh menyebabkan kegagalan buah zakar atau disfungsi kelenjar pituitari yang mengganggu penghasilan testosteron.

* Kecederaan buah zakar: Kerana lokasinya di luar abdomen, buah zakar terdedah kepada kecederaan.
Kerosakan pada buah zakar yang telah berkembang menyebabkan hipogonadisme. Bagaimanapun kerosakan pada sebelah buah zakar tidak mengganggu penghasilan testosteron.

* Rawatan kanser: Kemoterapi atau terapi radiasi untuk rawatan kanser boleh mengganggu penghasilan testosteron dan sperma.

Kesan kedua-dua rawatan biasanya hanya sementara, namun ketidaksuburan kekal boleh berlaku. Walaupun banyak lelaki mendapat balik kesuburan mereka dalam masa beberapa bulan selepas rawatan berakhir, menyimpan sperma sebelum memulakan rawatan kanser adalah langkah yang digalakkan.

* Faktor usia: Semakin meningkat usia, penghasilan testosteron semakin perlahan dan berkurangan. Kadar pengurangan testosteron berbeza setiap lelaki. Sebanyak 30 peratus lelaki berusia lebih 75 tahun mempunyai paras testosteron rendah di bawah normal.

Hipogonadisme Sekunder

Dalam kes ini, buah zakar adalah normal tetapi tidak berfungsi dengan betul berikutan masalah pada pituitari atau hipotalamus. Beberapa keadaan boleh menyebabkan hipogonadisme sekunder termasuk:

* Sindrom Kallman: Perkembangan abnormal hipotalamus.

* Masalah pituitari: Ketidaknormalan pada kelenjar pituitari menjejaskan pengeluaran hormon dari kelenjar pituitari ke buah zakar, memberi kesan kepada pengeluaran normal testosteron.

Tumor pituitari atau lain-lain jenis tumor otak terletak berdekatan dengan kelenjar pituitari menyebabkan gangguan hormon testosteron atau hormon lain.

Juga rawatan untuk tumor otak seperti pembedahan atau terapi radiasi akan menjejaskan fungsi pituitari.

* Penyakit radang: Sesetengah penyakit radang seperti sarkoidosis, histiositosis, tuberkulosis dan sesetangah jangkitan kulat melibatkan hipotalamus dan kelenjar pituitari mengganggu pengeluaran testosteron.

* HIV/AIDS: Virus ini menyebabkan paras testosteron rendah dengan mengganggu hipotalamus, pituitari dan buah zakar.

* Perubatan: Pengambilan beberapa jenis dadah seperti ubat tahan sakit opiat dan sesetengah hormon boleh mengganggu pengeluaran testosteron.

* Kegemukan

Adakah hipogonadisme boleh diwarisi? Ya, ia boleh diwarisi. Jika terdapat sejarah keluarga yang mempunyai hipogonadisme, beritahu doktor anda. Yang penting kesedaran dan sentiasa berjaga-jaga dengan tanda-tanda atau simptom hipogonadisme.

Bila patut berjumpa doktor? Jumpa doktor apabila mempunyai sebarang simptom hipogonadisme. Mengenal pasti punca hipogonadisme adalah langkah penting utama untuk mendapatkan rawatan yang perlu.

Anda perlu berjumpa pakar endokrinologi, pakar dalam bidang kelenjar hormon pengeluaran (endokrin).

Jika doktor penjagaan primer anda mengesyaki mana-mana simptom berlaku, anda akan dirujuk kepada endokrinologis. Atau anda boleh meminta sendiri untuk merujuk kepada pakar.

Pemeriksaan dan diagnosis

Doktor akan memeriksa paras testosteron dalam darah jika anda ada sebarang tanda atau simptom hipogonadisme.

Pemeriksaan dan rawatan awal membolehkan pencegahan lebih baik melawan osteoporosis dan keadaan lain yang berkaitan.

Doktor melakukan diagnosis berdasarkan simptom hipogonadisme dan keputusan ujian darah yang menentukan paras testosteron.

Kerana paras testosteron berbeza dan secara umumnya tinggi di waktu pagi, ujian darah biasanya dibuat awal pagi.

Jika ujian mengesahkan anda mempunyai testosteron rendah, ujian selanjutnya akan menentukan masalah pada buah zakar atau ketidaknormalan pituitari adalah puncanya.

Berdasarkan simptom dan tanda-tanda spesifik, kajian tambahan boleh menentukan puncanya. Ujian ini termasuk ujian hormon, analisis semen (air mani), imbasan pituitari, kajian genetik dan biopsi buah zakar.

Ujian testosteron juga memainkan peranan penting dalam menentukan hipogonadisme. Ini membantu doktor menentukan dos yang betul untuk rawatan.

Sunday, 27 November 2011

Jaga Pemakanan Ketika Peperiksaan

Menyiapkan diri anak-anak dari segi fizikal dan emosi amat penting terutama ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang sedang berlangsung sekarang.

Namun, aspek pemakanan juga tidak harus dipandang ringan kerana dengan menjaga gaya hidup yang sihat dan makanan seimbang, seseorang pelajar itu boleh menghadapi tekanan semasa peperiksaan.

Jika peperiksaan tersebut diadakan pada sebelah pagi, maka janganlah lupa bersarapan. Sarapan yang diambil hendaklah disertakan makanan yang mengandungi protein dan buah-buahan.

Ambil makanan yang kaya dengan protein seperti telur, kacang dan yogurt semasa sarapan dan makan tengahari.

Begitupun, ambil sarapan yang ringan kerana jika makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang berat, dikhuatiri akan mengantuk.

Sebelum waktu peperiksaan, tidurlah dengan cukup kerana kurang tidur akan menyebabkan kelesuan, lekas marah dan mental yang tidak mantap.

Amalan pemakanan sihat ketika peperiksaan.
  • Untuk mendapatkan tidur yang cukup, ambil makanan karbohidrat (roti, mi atau pasta) dan juga sedikit makanan protein kurang lemak (ikan, ayam atau daging) untuk makan malam.
  • Ketika waktu peperiksaan, cuba kurangkan mengambil bahan yang ada kafein dan coklat.
  • Walaupun ia membantu untuk kecerdasan otak, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan getaran dan debaran, menaikkan tahap kebimbangan dan memberi kesan pada tumpuan.
  • Sebaliknya sediakan snek yang berkhasiat seperti protein bar atau fruit bar di antara waktu rehat.
  • Minum air secukupnya kerana badan akan menjadi lesu sekiranya kekurangan air dan ini boleh menyebabkan hilang fokus semasa peperiksaan.
  • Minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur.
  • Mengambil makanan yang mengandungi vitamin B dan Omega 3 boleh meningkatkan daya ingatan.
  • Kalau ada masa, lakukan senaman. Senaman fizikal meningkatkan pembekalan oksigen dalam darah dan nutrien ke dalam otak supaya ia dapat berfungsi dengan efisien.

Sunday, 25 September 2011

Pengurusan Ekzema Atopik

Ekzema merupakan penyakit kulit yang kerap dialami di seluruh dunia dengan 10 hingga 20 peratus terdiri daripada kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus merupakan golongan dewasa.

Ekzema atopik atau dermatitis atopic sejenis penyakit radang kulit yang mencetuskan ruam gatal hingga menyebabkan rasa sakit dan resah.

Penyakit kulit ini merupakan jenis ekzema yang paling banyak berlaku tetapi puncanya masih samar. Faktor genetik dan persekitaran dikatakan memainkan peranan dalam berlakunya masalah kulit.

Ia boleh menjangkiti sesiapa saja, namun lebih kerap berlaku pada kanak-kanak. Penjagaan kulit kanak-kanak yang mengalami ekzema biasanya satu proses berterusan sehingga mereka dewasa.

Bukan setakat rasa gatal, merah dan ruam, penyakit ini juga boleh memberi tekanan emosional dan kesan kewangan bukan sahaja ke atas pesakit tetapi juga ahli keluarga, khususnya penjaga.

"Ekzema atopik satu bentuk alergi atau alahan, di mana ia berpunca daripada sistem kekebalan tubuh (imun) yang tidak normal sehingga membawa kepada kepada kerosakan kulit.

Ia adalah suatu keadaan di mana kulit pesakit khususnya kanak-kanak menjadi gatal dan kering.

Apabila kanak-kanak terasa kulitnya gatal, mereka akan menggaru dan ini merosakkan kulit dan mencetuskan kegatalan semula.

Ini menyebabkan kelembapan kulit hilang menyebabkan berlakunya ekzema atopik," ujar Pakar Runding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Leong Kin Fon.

Bayi yang berhadapan dengan ekzema atopik akan mengalami keresahan dan sukar untuk tidur. Akibatnya, penjaga turut mengalami masalah yang sama sehingga menyebabkan tekanan.

Meningkat

Tambah Dr. Kin Fon, di Malaysia sahaja, 12.6 peratus pelajar sekolah menghadapi masalah ekzema berbanding di Indonesia hanya 3.7 peratus. Fenomena ini juga lebih tinggi di Malaysia Timur berbanding di Semenanjung.

Kebimbangan ini juga melibatkan kes ekzema atopik di kalangan kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun yang meningkat daripada 9.5 peratus kepada 12.6 peratus.

Daripada kes yang berlaku, kulit pesakit atopik ekzema bukan sahaja menjadi kemerah-merahan, tetapi juga bersisik, keras dan tebal terutama di bahagian tangan dan kulit yang berlipat misalnya pada bahagian siku serta lutut.

"Kulit mungkin menjadi keras dan melecet atau bernanah akibat jangkitan bakteria. Jika seorang ahli keluarga mempunyai ekzema, asma atau alahan rinitis (alahan pada debunga), anak mereka ada peluang besar untuk turut mengalaminya.

Sesetengah kanak-kanak yang ada ekzema turut mendapat asma atau alahan rinitis. faktor persekitaran seperti cuaca dan pencemaran juga dikatakan menjadi faktor utama penyakit ini," katanya ketika kempen kesedaran ekzema atopik anjuran Leo Pharma di Bangsar, Kuala Lumpur.

Rawatan

Dalam pada itu Pakar Dermatologi, Pensyarah Kanan Hospital Hammersmith dan Pakar Kehormat Dermatologi di Kolej Imperial dan Diraja Lepasan Ijazah Sekolah Perubatan, London, Dr. Anthony Chu berharap pesakit berbincang dengan individu yang pakar terutama dalam pengurusan bagi meminimumkan serangan ekzema.

Menggambarkan bayi yang menghidap penyakit ini akan resah dan tidak boleh duduk diam, Dr. Anthony berpendapat ia sesuatu yang serius kerana kesan gatal atau ruam yang digaru itu boleh luka dan berdarah.

Menurut beliau, terdapat dua pilihan rawatan iaitu menggunakan streoid atau kombinasi streoid antibiotik dan krim.

Selain menggunakan pelembap, steroid untuk keradangan dan anti ubat gatal, pesakit boleh mengawal keadaan itu sendiri. Ini termasuk mengurangkan penggunaan cecair pencuci, penghilang bau, kosmetik, debunga dan makanan tertentu.

Dalam pada itu, pesakit-pesakit ekzema tidak disarankan menggunakan sabun atau mandian berbuih pada kulit mereka kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan kulit.

Sebaliknya, mereka disarankan menggunakan pembersih dan pelembap yang bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung tetapi juga pelembap terutama kulit yang alergi.

Sementara itu, kempen kesedaran ekzema atopik (bersatu menentang rasa gatal (itch) yang dijalankan dengan sokongan Leo Pharma ini, bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit tersebut.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah ekzema:
  • Bawa anak berjumpa doktor.
  • Pastikan mereka mandi dengan sabun khas yang berkelembapan tinggi tanpa bahan kimia yang mengeringkan kulit.
  • Sapu pelembap di seluruh badan selepas mandi.
  • Pakai pakaian yang nipis dan diperbuat daripada fabrik kapas.
  • Pastikan persekitaran rumah bersih dan bebas dari habuk dan kotoran.
  • Jika anak berpeluh ambil kain basah dan lap di tempat yang berpeluh.

Kembali DARA

Dr. Alice semasa sidang media memperkenalkan rawatab V2LR yang pertama di Malaysia baru-baru ini.

Proses melahirkan anak serta penuaan semula jadi sememangnya akan memberi kesan kepada otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj wanita.

Pengalaman yang begitu istimewa itu walaupun sentiasa dinanti-nantikan oleh pasangan suami isteri tetapi ia sedikit sebanyak memberi kesan kurang baik kepada mereka yang sentiasa mementingkan hubungan intim.

Vagina yang semakin lemah dan longgar dengan kekenduran otot serta ligamen di sekeliling lantai pelvik sememangnya boleh memberi kesan kepada kepuasan ketika menjalin hubungan seksual.

Keadaan ini dipanggil vagina relaxation dan menyebabkan wanita tidak lagi mendapat kepuasan seks seperti dulu.

Antara simptom lain yang turut dialami akibat masalah ini ialah stress urinary incontinence (SUI) iaitu keadaan di mana seseorang itu tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing, hilang fungsi kawalan dan penurunan keinginan seksual.

Lazimnya, wanita pada usia muda memiliki struktur tubuh yang ketat dan kemas. Namun, perubahan akan berlaku selepas melahirkan anak kerana otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj akan mengendur.

Situasi ini yang menghantui segelintir wanita kerana takut tidak mendapatkan kepuasan seks terutamanya ketika usia semakin meningkat dan bakal menempuh alam menopaus.

Mungkin disebabkan itu, ramai wanita yang ingin berusaha mengembalikan ' dara ' dengan pelbagai kaedah rawatan tradisional atau moden.

Rawatan Vulvo & Vafinal Laser Reshaping (V2LR) misalnya dikatakan mampu memulih keadaan otot serta kekuatan faraj wanita.

Pakar Sakit Puan dan Kecantikan Klini Dr. Alice, Dr. Alice Prethima berkata, teknologi V2LR boleh membantu wanita yang mengalami masalah kekenduran otot vagina terutama selepas bersalin atau akibat peningkatan usia.

“Rawatan ini boleh meningkatkan tahap kesihatan seksual di kalangan wanita. Ia dapat mengatasi dilema wanita dalam mendapatkan kepuasan seks,” katanya.

Dr. Alice memberitahu, pembedahan ini menggunakan laser dan tidak mengakibatkan pendarahan. Ia mengambil masa satu hingga dua jam.

Katanya, umumnya, pesakit yang bekerja boleh kembali ke pejabat pada hari sama melakukan rawatan bergantung kepada keadaan pesakit.

Secara tidak langsung ia mampu mengurangkan diameter luar dalam vagina, sekali gus meningkatkan rangsangan vagina.

Bagi mereka yang ingin mengetahui tentang rawatan V2LR boleh melayari www.aliceantiaging.com atau menghubungi 1 300 88 3234.

Sunday, 4 September 2011

Segak di usia 40-an

Saya seorang lelaki berusia 45 tahun bekerja sebagai pegawai perhubungan awam. Sejak berusia 40-an, saya dapati berat badan saya tidak seperti dahulu, perut semakin buncit dan kulit wajah sedikit kedut.

Adakah faktor pemakanan dan gaya hidup saya menjadi faktor utama? Saya seorang yang gemar makanan bergoreng dan merokok. Harap doktor dapat membantu saya.

Jawapan.

Memang itu adalah fenomena yang biasa bagi kebanyakkan lelaki apabila menjangkau umur 40-an. Menjadi kurang tenaga, berat badan meningkat dan perut buncit.

Inilah peringkat di mana seseorang lelaki berdepan dengan banyak cabaran. Ini termasuk kerja yang banyak, keluarga mula membesar, mungkin melibatkan tanggungan kewangan dan bermacam-macam lagi.

Pada usia ini juga hormon testosteron yang berkurangan turut memberi kesan. Desakan kehidupan dan kesibukan masa menyebabkan tiada masa untuk menjaga pemakanan yang baik dan seterusnya memburukkan lagi keadaan. Begitu juga dengan faktor stres.

Tetapi kita juga tahu ramai di kalangan lelaki 40-an yang begitu segak, bertenaga dan menjalani kehidupan harian bersama keluarga dengan penuh keyakinan dan keriangan.

Mengapa ini berlaku? Yang pasti cara hidup yang hebat memainkan faktor membezakan antara kumpulan tersebut.

Satu kumpulan yang benar-benar aktif dan menjaga kehidupan harian termasuklah beriadah dan satu kumpulan lain yang merasakan tidak penting untuk mengambil berat kesihatan dan cara hidup mereka.

Itulah sebabnya sekarang kita dapati penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, jantung berlaku pada usia yang jauh lebih muda.

Saya tidak dapat membantu anda daripada jauh. Yang dapat bantu anda ialah diri sendiri yang dapat menilai tahap kesihatan, tahap stres dan tahap kehidupan lain yang sedang dihadapi sekarang.

Cuba baiki dan pulih setiap satu dari masa ke semasa. Contohnya pada peringkat awal ini, elak atau kurangkan makanan bergoreng dan berlemak. Hentikan merokok. Semak berat badan dan tahap kesihatan anda yang lain.

Seterusnya rancang bagaimana untuk mendapatkan kesihatan maksimum dalam satu jangkamasa yang difikirkan realistik. Ingatlah satu langkah positif hari ini akan memberi kesan positif dikemudian hari.

Walaupun kita tahu faktor genetik turut memainkan peranan dalam tahap kesihatan, tetapi insya-Allah banyak cara yang kita boleh amalkan untuk mengelakkan penyakit fizikal, mental dan sosial dan seterusnya hidup dengan cemerlang pada setiap masa. Selamat berjaya!

Friday, 2 September 2011

Rahsia Menghindari Sel Kanser

Berbicara mengenai penyakit kanser atau barah, ia sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja berasa gentar dan takut. Tiada manusia yang waras mahu penyakit ini menghampirinya.

Namun siapa mampu menolak jika ditakdirkan menghidapinya. Hanya tuhan yang mengetahui mengapa seseorang diuji dengan penyakit yang biasanya dikaitkan dengan kematian.

Perubatan moden merupakan pilihan utama rawatan bagi kebanyakan orang yang menghidap kanser walaupun ada sesetengah pesakit memilih untuk berubat secara tradisional.

Pembedahan, kemoterapi dan radioterapi merupakan antara rawatan yang diterima oleh pesakit kanser.

Walaupun ketiga-tiga jenis rawatan itu kedengaran menakutkan, namun kesemuanya perlu dilalui dengan harapan sel kanser yang berada di dalam tubuh akan mati.

Dr. R. Subramaniam dari Hospital Pavitra Nature and Yoga di Coimbatore, di Tamil Nadu, selatan India berkata, masalah utama dalam kehidupan manusia ialah apabila mereka menghidapi sesuatu penyakit yang sudah tentunya mencetuskan ketidakselesaan.

Namun beliau percaya, ia bukan sesuatu yang perlu sentiasa dibimbangi kerana setiap penyakit ada ubatnya. ''Sebenarnya alam semula jadi dapat memberikan kita apa sahaja yang kita kehendaki.

Jika kita berbalik kepada alam, kita tidak memerlukan ubat kerana semuanya terdapat di sekeliling kita," katanya yang terkenal dengan kaedah rawatan penyakit kronik melalui pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Berasal dari daerah Coimbatore, Dr. Subramanian telah 30 tahun mengamalkan kaedah rawatan tersebut bagi merawat pesakit-pesakit kanser di hospitalnya.

Beliau berada di Kuala Lumpur bagi menyampaikan ceramah untuk pesakit dan bekas pesakit kanser bertajuk Kesihatan Optimal Cara Semulajadi Dengan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Menurut beliau, setiap hari, sebanyak 0.8 peratus sel baru tumbuh dalam tubuh manusia. Jumlah tersebut lebih tinggi bagi kanak-kanak kerana faktor usia yang muda dan akan berkurangan apabila usia semakin meningkat.

''Jika difikirkan, kehidupan kita sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa sehinggakan apabila makan pun kita tidak mengunyah dengan betul.

"Makanan seharusnya dikunyah perlahan-lahan seperti kanak-kanak yang sedang makan dan nikmati rasa makanan yang kita makan.

"Makanan yang dikunyah dengan betul dan bercampur dengan air liur akan dicerna baik dan diproses menjadi darah yang elok dalam tubuh kita,'' ujarnya.

Beliau menyarankan agar makan apabila perlu dan apabila lapar. "Jika tidak lapar, jangan makan. Ikut tabiat kanak-kanak. Mereka tidak akan makan jika tidak lapar walaupun ibu bapa memaksa. Itu adalah cara yang betul. Jika hendak makan, ambil sedikit sahaja," katanya.

Dr. Subramaniam menjelaskan, kanser merupakan sel mati yang tidak diperlukan oleh tubuh manusia. Setiap hari tubuh kita mengeluarkan sel-sel mati melalui pembuangan air besar dan peluh.

Bagaimanapun jika tidak dibuang dengan cara yang betul, sel mati yang tidak diperlukan ini akan berkumpul dalam badan dan menjadi sel kanser.

Justeru di hospitalnya, setiap pesakit diajar melakukan enema kerana ia salah satu rawatan yang penting bagi mengatasi sembelit.

''Membersihkan kolon dengan betul adalah penting. Bersihkan dua kali sehari, Jika tidak boleh cara semula jadi, lakukan enema.

''Bernafas dengan betul dan bersenam akan membuatkan kita lebih bertenaga. Amalkan kehidupan yang gembira dan jangan lemah," katanya.

Thursday, 25 August 2011

Kawal Glukosa Darah

Anda perlu kerap menjalankan pemeriksaan glukosa. - Gambar hiasan.

Saya menghidap diabetes sejak lima tahun lalu. Walaupun mengambil ubat daripada doktor, namun adakalanya bacaan paras gula saya agak tinggi. Bolehkah suplemen diambil agar keadaan menjadi lebih terkawal?

Jawapan.

Paras glukosa yang sederhana dalam darah penting untuk mengekalkan paras tenaga dan fungsi-fungsi tubuh lain. Bagaimanapun pengambilan makanan manis berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan.

Perubahan penting yang perlu dilakukan dalam usaha pengawalan diabetes adalah perubahan corak pemakanan dan juga gaya hidup yang lebih aktif.

Perubahan ke atas kedua-dua faktor ini sangat berkesan dan terbukti ke arah pengawalan paras gula yang lebih efektif.

Pengambilan makanan yang sesuai merupakan senjata utama. Pilihlah makanan yang tergolong dalam kumpulan indeks glisemik yang rendah.

Indeks glisemik adalah indeks pengukuran mengenai kesan makanan yang mengandungi karbohidrat ke atas paras glukosa darah.

Makanan berindeks glisemik yang rendah akan membebaskan glukosa secara perlahan dan teratur, manakala makanan dalam kategori indeks glisemik tinggi akan menyebabkan paras glukosa darah meningkat dengan cepat.

Makanan berindeks glisemik rendah lambat dicerna dan diserap, meningkatkan paras glukosa dan insulin secara berperingkat-peringkat dan telah terbukti bermanfaat kepada kesihatan, termasuklah dalam pengawalan berat badan dan mengawal selera makan dan melambatkan rasa lapar.

Kebanyakan sayur-sayuran termasuk dalam kumpulan makanan berindeks glisemik rendah seperti brokoli, bayam, tomato, timun, kacang hijau, keledek dan beberapa lagi.

Manakala pengawalan pengambilan makanan dalam kategori indeks glisemik tinggi seharusnya dikawal di kalangan penghidap diabetes. Antara contohnya adalah teh tarik, nasi putih, roti putih, mi goreng, kueh teow goreng, donut dan beberapa lagi.

Pengambilan suplemen tambahan seharusnya dipilih daripada sumber yang dikaji. Antaranya ialah seperti dari herba purslane. Purslane dari spesies Portulaca Oleracea atau nama tempatannya Gelang pasir dianggap sebagai tumbuhan rumpai di sesetengah kawasan.

Tumbuhan ini kerap digunakan oleh sesetengah masyarakat sebagai rawatan luaran untuk gigitan serangga dan juga dijadikan hidangan salad dan juga sup.

Berdasarkan ujian yang dijalankan, tumbuhan ini didapati memberi kesan positif dalam pengawalan glukosa darah.

Hasilnya menunjukkan pengambilan ekstraknya mampu mengurangkan glycosylated haemoglobin (HbA1C) secara signifikan di kalangan subjek yang juga sedang mengambil ubat diabetes tetapi masih lemah dalam pengawalan gula darah.

Ujian HbA1C ini penting untuk memberi petunjuk terhadap kawalan gula darah dalam tempoh beberapa bulan yang lepas dan ianya dikaitkan dengan petunjuk risiko penyakit kardiovaskular.

Kajian menunjukkan ekstrak herba Purslane membantu dalam metabolisme gula darah melalui beberapa cara.
  • Pengambilan ekstrak herba ini didapati boleh meningkatkan pengambilan glukosa daripada aliran darah ke sel-sel.
  • Modulat kepekaan sel - sel terhadap insulin.
  • Mengurangkan penyerapan glukosa daripada usus ke dalam aliran darah.
Mengekalkan paras gula darah dalam julat yang sihat memberi impak yang besar ke atas kesihatan seseorang.

Kepada penghidap diabetes kawalan gula darah ini akan memberi kesan kepada kualiti kehidupan dan juga jangka hayat.

Paras glukosa yang tidak terkawal dalam tempoh yang lama akan mengakibatkan komplikasi yang serius seperti Diabetik neuropati atau kerosakan saraf, hilang daya penglihatan, kerosakan buah pinggang dan juga kehilangan deria rasa pada kaki dan tangan.

Cantik dengan Berpuasa

Berpuasa merupakan ibadah yang sangat banyak manfaatnya. Meskipun umat Islam diwajibkan berpuasa sebagai melaksanakan salah satu Rukun Islam namun puasa juga boleh meningkatkan kecantikan dan kesihatan seseorang.

Apabila seseorang berpuasa perutnya rehat dari sebarang beban. Perut mula mengempis dan fungsi perut menjadi lebih baik lagi.

Obesiti morbid merujuk kepada mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 35 inci bagi wanita dan 40 inci bagi lelaki.

Kumpulan ini mempunyai risiko tiga kali ganda mengidap masalah kolestrol tinggi dan empat kali ganda risiko kencing manis. Bagi pengidap obesiti morbid banyak halangan dilalui bagi menurunkan berat badan.

Ini kerana kerosakan hormon dan enzim yang teruk. Namun sepanjang bulan puasa mereka akan mendapat penurunan berat badan.

Bagi memastikan penurunan berat badan yang ketara dan berkesan sewaktu berpuasa beberapa perkara perlu diambil berat.

1) Jangan minum minuman manis sewaktu berbuka.

Oleh kerana sewaktu berbuka kita dihidangkan dengan sajian kuih muih yang pelbagai maka minuman manis harus dielakkan. Terdapat banyak gula dalam kuih muih tersebut.

Kurma baik dimakan kerana mempunyai gula semula jadi yang banyak di dalamnya. Pengambilan kurma sudah tentu lebih baik daripada air manis.

2) Kurangkan kuih manis.

Pengambilan kuih manis perlulah sekadar sahaja dan tidak berlebihan. Kalori tinggi disebabkan kandungan gula yang tinggi membuatkan tubuh tidak mampu melepaskan lemak yang dikandung.

Mereka yang gemar makan banyak kuih sewaktu berbuka sukar kurus.

3) Makan nasi nasi sedikit sahaja.

Nasi haruslah diambil dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Pengambilan nasi yang banyak akan membuatkan seseorang menjadi semakin lapar dan sukar menyekat nafsu makan.

Ini kerana nasi menyebabkan insulin dirembes dengan banyak dari kelenjar pankreas. Peningkatan insulin ini membuatkan kandungan gula turun dengan cepat dan kita kembali lapar.

Insulin juga meningkatkan lemak berkumpul pada perut kita.

4) Banyakkan pengambilan sayur-sayuran.

Mengambil banyak sayur-sayuran boleh meningkatkan serat dalam perut kita. Serat yang tinggi membantu membuang lemak melalui najis.

Serat juga merupakan karbohidrat yang baik dan merangsang penurunan insulin sekali gus mengurangkan lemak daripada berkumpul di perut.

5) Tingkatkan pengambilan buah-buahan.

Pengambilan buah-buahan yang banyak boleh meningkatkan vitamin dalam tubuh kita dan mencantikkan kitaran tenaga dalam tubuh kita. Ini menjadikan kita segar dan bertenaga semasa puasa.

6) Bersenam setengah jam setiap hari.

Meskipun berpuasa, amalan bersenam haruslah diteruskan. Berpuasa dan bersenam setengah jam setiap hari merupakan amalan menurunkan berat badan yang paling berkesan.

Apabila kita berpuasa kadar metabolik semula jadi tubuh akan menurun. Ini membuatkan pembakaran lemak menjadi perlahan. Bersenam pada bulan puasa menigkatkan metabolik, menjadikan kita cepat membakar lemak.

7) Pengambilan protein yang tinggi.

Mengambil makanan berprotein tinggi seperti ikan, daging merah dan telur membantu menaikkan metabolik tubuh kita. Protein akan merangsang pembakaran lemak dengan meningkatkan glukargon iaitu hormon pembakar lemak dalam darah kita.

8) Suplemen.

Suplemen yang sangat perlu sewaktu puasa ialah kalsium, potasium dan zink. Pengambilan makanan suplemen ini akan menjadikan kita lebih bertenaga. Ia juga membantu fungsi hormon dan enzim yang lebih baik lagi.

Meskipun berpuasa kecantikan kulit dan keceriaan wajah haruslah dititikberatkan. Seseorang boleh meningkatkan kecantikan wajah sewaktu berpuasa dengan mengamalkan tip di bawah.

Tips Kecantikan.

1) Pelembap wajah. Amalkan memakai pelembap wajah bagi memastikan kulit wajah tidak kusam dan kering sewaktu puasa.

2) Solekan sederhana. Bersolek dengan sederhana akan menyerlah kecantikan seorang wanita dalam bulan puasa. Memakai gincu, pelembab bibir dan celak sudah mencukupi.

3) Jangan banyak tidur. Banyak tidur di bulan puasa menjadikan wajah tampak sembap dan lesu. Oleh itu lakukan aktiviti bagi mengelakkan banyak tidur.

Amalan sebegini sudah tentu akan menjadikan anda lebih jelita menjelang hari raya. Anda kini boleh tampil dengan imej yang lebih langsing dan wajah yang lebih berseri di pagi raya. Sudah tentu ini akan menjadi satu bonus buat anda yang berpuasa.

Wednesday, 24 August 2011

Nafas Berbau Ketika Puasa

Anda perasan ramai yang cuba mengelak untuk bercakap dengan anda. Jika ada sekali pun, mereka seperti menjauhkan muka. Apa yang tidak kena dengan anda?

Cuba tekup tangan di depan mulut dan hembus. Sedarkah anda dengan bau nafas yang kurang menyenangkan?

Atau mungkin anda boleh mencuba bertanya insan paling rapat sama ada nafas anda berbau untuk mendapatkan jawapan yang jujur.

Sememangnya masalah nafas berbau sukar ditepis ketika berpuasa. Pasti ramai yang ingin tahu mengapa ia berlaku sedangkan kita tidak makan dan sudah memberus gigi sejurus selepas bersahur pagi tadi.

Pakar Pergigian dari Pusat Perubatan Iheal, Dr. Nazli Haffiz berkata, masalah nafas berbau atau halitosis merupakan perkara biasa bagi mereka yang berpuasa disebabkan beberapa punca.

“Punca utama antara 80 hingga 90 peratus disebabkan keadaan dalam mulut itu sendiri yang tidak dibersihkan dengan betul sehingga memudahkan pembiakan bakteria yang menghasilkan bau,” kata beliau.

Selain itu katanya, makanan yang kita ambil seperti bawang putih, bawang merah, keju, susu, daging dan sebagainya turut menyumbang kepada masalah itu. Lain-lain punca adalah penyakit di saluran respiratori, masalah dalam perut, diabetis, jangkitan sinus, penyakit hati dan buah pinggang.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, masalah nafas berbau menjadi lebih kronik ketika berpuasa disebabkan rembesan air liur kurang dihasilkan kerana kita tidak makan. Menurutnya, air liur adalah bahan pembilas mulut semulajadi.

“Ia membilas mulut anda sepanjang masa dan dengan ini secara tidak langsung membuang cebisan kecil makanan dari permukaan licin gigi.

Semasa tidur, rembesan air liur juga kurang. Sebab itu kita mendapat bau mulut yang kurang enak apabila bangun tidur.

Selain itu, kekurangan rembesan air liur menyebabkan air liur menjadi likat, susah untuk membilas mulut, menjadikannya kurang oksigen dan menyebabkan pembiakan bakteria anaerob di dalam mulut,” katanya.

Cara mengurangkan nafas berbau:

1. Berus gigi, lidah dan gusi.

Memberus gigi sahaja tidak mencukupi kerana bakteria turut berada di bahagian lidah dan gusi. Pastikan lidah diberus sehingga ke pangkal kerana ia merupakan tempat pembiakan bakteria punca nafas berbau plaing ideal.

Gunakan benang flos untuk mengeluarkan sisa makanan di celah gigi. Masa dan teknik memberus tidak penting kerana gigi individu berbeza antara satu sama lain. Yang penting, anda sendiri boleh merasakan sama ada ia bersih atau tidak.

Beli cermin khas untuk melihat keadaan gigi bahagian dalam bagi memastikan gigi diberus dengan sebersihnya. Penggunaan ubat kumur juga tidak membantu dalam mengatasi masalah nafas berbau.

2. Elak mengambil makanan berbau.

Kurangkan pengambilan makanan seperti bawang, bawang putih, keju, susu, daging dan telur. Berus gigi dengan betul selepas menikmati makanan sebegini. Elakkan juga makanan berbau kuat seperti petai dan sebagainya.

3. Kurang bercakap.

“Kalau dalam Islam sendiri pun, Nabi berpesan supaya kita kurangkan bercakap bagi mengelak berkata perkara yang tidak baik.

Seeloknya ia diamalkan ketika berpuasa bagi mengurangkan masalah nafas berbau,” kata Dr. Nazli.
Apabila seseorang itu banyak bercakap tetapi tidak makan dan minum, air liurnya akan cepat mengering.

4. Berjumpa doktor.

Masalah nafas berbau yang berlaku walaupun gigi sudah dibersihkan dengan sebaik mungkin berpunca daripada masalah pada gigi atau gusi. Sila berjumpa doktor untuk mengenalpasti puncanya.

Thursday, 11 August 2011