Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Showing posts with label Kewangan Pelaburan. Show all posts
Showing posts with label Kewangan Pelaburan. Show all posts

Thursday, 25 October 2012

Astro kembali ke Bursa Malaysia


Kuala Lumpur 19 Oktober - Penyenaraian Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) di Bursa Malaysia hari ini, meningkatkan modal pasaran bursa tempatan sebanyak RM15.6 bilion.

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM3.00 sesaham syarikat pengendali siaran TV berbayar itu.

Pengerusinya, Tun Zaki Tun Azmi berkata, IPO Astro telah mendapat permintaan yang tinggi daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.

"Kami menyaksikan minat yang tinggi terhadap saham-saham syarikat daripada pelabur-pelabur terpilih seperti Permodalan Nasional Bhd., Great Eastern, Nomura dan sebagainya.

"Ini mencerminkan keyakinan serta kepercayaan para pelabur terhadap Astro dan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan," katanya ketika berucap di majlis penyenaraian Astro di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Timbalan Pengerusi Eksekutif Astro Malaysia, Ralph Marshall, Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan.

Sementara itu, Rohana berkata, Astro akan terus melabur dalam teknologi terkini termasuk kandungan dan modal insan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Dalam usaha mengekalkan komitmen kami sebagai pemain utama utama dalam industri hiburan media, Astro akan menjadi lebih inovatif," jelasnya.

Terdahulu, ketika urus niaga pasaran saham dibuka, saham Astro diniagakan pada harga RM3.03 sesaham naik tiga sen berbanding harga tawaran sebanyak RM3.00. Lebih 20.19 juta saham bertukar tangan.

Saham Astro petang ini ditutup urus niaganya di paras harga RM3.00 sesaham.

Penyenaraian hari ini merupakan kali kedua oleh Astro memasuki pasaran saham tempatan selepas berbuat demikian pada tahun 2003, sebelum beralih menjadi syarikat persendirian pada tahun 2010 dengan harga sahamnya berada pada paras RM4.30 sesaham atau bernilai RM8.3 bilion.

Jumlah dana yang dikumpul daripada IPO adalah RM4.6 bilion.

IPO Astro merupakan terbitan ketujuh terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Malaysia serta Asia Tenggara selepas Felda Global Ventures Holdings Bhd. dan IHH Healthcare Bhd.

CIMB Investment Bank Bhd. merupakan pengurus transaksi dan Maybank Investment Bank Bhd. serta RHB Investment Bank Bhd. penasihat prinsipal bersama kepada Astro untuk IPO itu.

Sunday, 5 August 2012

Jualan Langsung Tidak Dibenar Kutip Wang

Kuala Lumpur 31 Julai - Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) mengingatkan orang ramai tentang penipuan oleh firma-firma yang kononnya mengendalikan perniagaan jualan langsung, dan berkata ahli-ahlinya hanya boleh menjual produk dan tidak dibenarkan memungut wang daripada pengedar mereka bagi pelaburan.

Syarikat-syarikat jualan langsung yang sah tidak memerlukan pengedar-pengedar mereka melabur apa-apa jumlah wang dan menjanjikan pulangan pelaburan kewangan mereka," katanya merujuk kepada penipuan oleh sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia.

Dilaporkan bahawa penipuan itu menjejaskan pelaburan lebih 10,000 mangsa dan menyebabkan kerugian hingga berjuta-juta ringgit.

DSAM berkata, syarikat yang terlibat dalam penipuan pelaburan ini bukanlah sebuah syarikat jualan langsung berlesen pada ketika kesalahan itu dilakukan.

Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), lesen jualan langsung syarikat ini telah tamat pada tahun 2011 dan tidak diperbaharui oleh KPDNKK.

"Semua syarikat jualan langsung di Malaysia memerlukan lesen jualan langsung yang dikeluarkan oleh KPDNKK untuk beroperasi," katanya.

DSAM berkata, amalan tidak beretika ini, yang lazimnya berselindung di sebalik jualan langsung dianggap sebagai skim pelaburan dan skim piramid yang tidak sah di sisi undang-undang dan didorong oleh sikap tamak.

Persatuan itu berkata, pengedar menjana pendapatan mereka dalam jualan langsung melalui jualan peribadi dan kumpulan produk ini.

Bayaran bonus atau lain-lain faedah yang diperolehi terutamanya melalui pengambilan atau pengenalan ahli baharu ke dalam operasi atau proses rantaian tidak dibenarkan.

"Orang ramai boleh menghubungi kami di no. telefon 03-7726 9232 atau emel pertanyaan kepada info@dsam.org.my," katanya.

Friday, 3 August 2012

77 Syarikat Pelaburan Tidak Sah - BNM

Syarikat-syarikat pelaburan emas dan barangan logam bernilai kini melakukan pelbagai taktik bertujuan menarik pelaburan daripada orang ramai dengan menjanjikan pulangan lumayan. - GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur 31 Julai - Para pelabur di negara ini perlu berhati-hati membuat pelaburan kewangan agar tidak terjebak melabur ke dalam syarikat-syarikat pelaburan yang tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk membabitkan skim-skim kewangan yang melibatkan pelaburan emas dan logam berharga lain.

Menurut BNM, sejumlah 77 syarikat atau individu telah disenaraikan sebagai entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan di negara ini.

Antara jenis-jenis aktiviti yang dijalankan oleh syarikat atau individu tersebut kebanyakannya berkisar kepada pelaburan emas, perniagaan mata wang asing atau menjalankan pelaburan tidak berlesen.

Bank pusat itu berkata, ia menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan syarikat yang mendakwa sebagai institusi terjadual dengan BNM untuk membolehkan syarikat tersebut mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.

BNM dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan bank pusat itu tidak mengeluarkan sebarang lesen mahupun surat kebenaran perniagaan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemajakan, pemfaktoran, pembangunan kewangan atau pembangunan kredit.

Tegasnya, di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, syarikat-syarikat tersebut perlu mendapat perakuan bertulis daripada Bank Negara sebelum boleh menjalankan aktiviti itu di negara ini.

"Surat perakuan tersebut yang dikeluarkan oleh BNM bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada BNM berhubung dengan perniagaan terjadual seperti dinyatakan dalam surat perakuan berkenaan, ataupun perniagaan lain yang dijalankan oleh institusi terjadual berkenaan," kata bank itu.

"Senarai institusi terjadual yang telah mendapat perakuan daripada Bank Negara itu hanya untuk disimpan bagi tujuan perangkaan semata-mata.

"Sekiranya syarikat-syarikat tersebut telah berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, BNM akan menarik balik surat perakuan tersebut," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru ia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan yang dikatakan dikeluarkan oleh BNM untuk menarik pelaburan dalam pelbagai skim kewangan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada bahagian 'Peringatan kepada Semua Penggguna Kewangan' yang terdapat di laman sesawang Bank Negara http://www.bnm.gov.my atau hubungi talian: 1-300-88-5465 atau dan e-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

Tuesday, 5 June 2012

Pelan Prabayar

Pengguna seringkali keliru dalam memilih perkhidmatan prabayar yang mana lebih murah dan berbaloi.

Ini ditambah lagi dengan perang iklan yang menawarkan pelbagai penjimatan daripada syarikat telekomunikasi yang mengaku dirinya lebih baik dari yang lain.

Jika dahulu, pengguna pelan prabayar sangat berkira setiap kali membuat panggilan dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana ia bergantung kepada baki prabayar mereka.

Namun sejajar dengan perkembangan teknologi di mana perkhidmatan suara dan data digabungkan oleh syarikat telekomunikasi, budaya mengira baki yang ada kian dilupakan.

Apatah lagi untuk pengguna prabayar mengetahui caj-caj tersembunyi ataupun caj-caj kurang jelas yang dikenakan sebelum melanggan pra-bayar daripada syarikat telekomunikasi.

Analisis Utusan Malaysia mendapati, pengguna prabayar kini rata-rata tidak mengendahkan baki kredit semasa mereka dan hanya akan sedar apabila perkhidmatan disekat akibat kehabisan kredit.

Mungkin pelan pasca bayar yang menawarkan pelbagai pakej telefon pintar telah mendominasi pasaran sehingga hampir semua syarikat telekomunikasi tempatan hanya menawarkan satu pelan prabayar kecuali Celcom.

Utusan Malaysia rasa terpanggil untuk membuat perbandingan pelan pra-bayar terbaharu di pasaran seperti Celcom New Xpax, Maxis Bagus, Digi Lagi Best, U Mobile dan Tune Talk berdasarkan iklan yang dipamerkan di laman sesawang masing-masing pada 10 April 2012.

Sekali imbas iklan-iklan tersebut, agak sukar untuk memahami sesetengah pelan yang ditawarkan kerana menyediakan pelbagai syarat yang merumitkan dan yang perlu dipatuhi untuk menikmati caj istimewa.

Oleh itu, kadar anggaran penggunaan seharian yang sama telah ditetapkan bagi menguji caj akhir bagi kelima-lima pelan tersebut antaranya adalah 10 minit panggilan ke rangkaian serta luar dan 30 SMS ke rangkaian sama dan luar.

Hasilnya boleh dirujuk melalui grafik yang disediakan untuk dijadikan panduan. Proses uji caj ini tidak mengambil kira talian yang diaktifkan untuk mendapatkan caj istimewa.

Secara kesimpulannya, pengguna yang bijak perlu sentiasa peka dengan pelan-pelan baharu yang ditawarkan di pasaran kerana ia sentiasa berubah disebabkan persaingan yang sihat.

Jangan takut untuk mencuba pelan baharu jika ia lebih menguntungkan serta sesuai untuk anda dan paling penting pertukaran tidak akan melibatkan nombor talian sedia ada.

Proses pertukaran boleh dilakukan terus di mana-mana syarikat telekomunikasi yang anda pilih tanpa perlu melakukan pemotongan pelan terdahulu dan paling penting tiada caj dikenakan.

Sunday, 29 April 2012

Boros Sekarang.. Semakin Tua Semakin Miskin

Boros punca ramai rakyat di negara ini jatuh miskin? Ada orang yang tak boros pun miskin juga, itu kata seorang teman kepada saya.

Memanglah agak sukar untuk mengaitkan orang miskin dengan amalan boros, golongan ini tidak ada banyak wang atau tiada wang langsung untuk dibelanjakan. Apatah lagi untuk menjadi seorang yang pemboros.

Namun sikap boros ini yang terutamanya melibatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, amat berbahaya dan boleh menjerat diri sendiri dan keluarga di hari tua.

Ini kerana dalam usia yang kian meningkat, tanpa kita sedari hari persaraan bekerja pun semakin hampir, tetapi dalam masa sama tiada tabungan dibuat kerana memikirkan ada wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh dikeluarkan apabila pencen nanti.

Budaya Urus Kewangan Berhemah

"IBU, duit sekolah yang ibu berikan tak cukuplah". "Ayah, harga makanan di kantin sekolah sudah naik, boleh tambah sedikit lagi duit saku saya?" Sebagai ibu bapa, pasti ada antara kita pernah mendengar anak-anak merungut dengan nada seperti ini.

Apa yang tersirat adalah pernyataan bahawa wang perbelanjaan di sekolah yang diberikan sehari-hari sudah tidak mencukupi. Rungutan ini lebih selalu kedengaran dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau lain-lain lagi.

Jika hari ini, RM2 sehari diberikan kepada setiap anak-anak ini, ia mungkin sekadar habis untuk membeli makanan di kantin sekolah pada waktu rehat.

Itu tidak termasuk bayaran untuk tambang bas awam, komuter, LRT, teksi, dan sebagainya bagi kanak-kanak yang tidak menaiki bas sekolah.

Begitu juga, pada zaman serba canggih dengan ledakan teknologi maklumat mutakhir ini, ramai kanak-kanak yang memerlukan ibu bapa membelanjakan lebih sedikit untuk melanggan perkhidmatan Jalur Lebar (Broadband) demi penerokaan ilmu pengetahuan melalui internet.

Diakui bahawa pada zaman sekarang tidak seperti 20 atau 30 tahun lepas, semua harga barangan atau perkhidmatan telah berlipat kali ganda lebih tinggi.

Kalau dahulu, kantin sekolah menjual sepinggan nasi lemak pada harga sekadar 50 sen hingga 70 sen dan kadang-kadang dengan harga tersebut turut disertakan dengan sekeping telur goreng atau kuih.

Hari ini, jangankan telur, bahkan timun, kacang dan ikan bilis pun tidak disajikan bersama dalam sepinggan nasi lemak kosong berharga RM2.00 di sesetengah kantin sekolah!

Kalau dahulu, tambang bas untuk kanak-kanak mungkin sekadar 25 sen hingga 50 sen, di mana mereka diberi diskaun khas kerana masih bersekolah. Sekarang ada syarikat bas yang tidak membezakan harga penumpang sama ada orang awam atau kanak-kanak sekolah, semuanya sama rata.

Begitu juga harga sebuah buku latihan yang dijual di sekolah yang harganya lebih dari RM1 berbanding 30 sen hingga 40 sen dijual pada sedekad yang lalu. Hanya kerana buku latihan sekolah terpampang cap dan logo sekolah, jangan terkejut sekiranya ada pelajar yang perlu (dan wajib!) membeli buku-buku latihan tersebut pada harga yang sekali ganda lebih mahal daripada biasa.

Ini adalah contoh yang sejajar dengan perkembangan taraf sosio ekonomi masyarakat Malaysia yang semakin meningkat dan 'kuasa beli' yang semakin besar dimiliki oleh segenap anggota masyarakat. Hal ini tidak dapat disekat, bahkan tidak boleh dinafikan akan hak pihak-pihak terbabit untuk menetapkan harga perkhidmatan atau produk yang disediakan.

Mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah, pengangkutan, kos sewa, kos perkhidmatan, dan cukai yang juga semakin meningkat saban hari. Cumanya, apa yang perlu kita fikirkan adalah untuk membantu anak-anak dalam masalah 'duit belanja sekolah' yang semakin menjerat dan tidak mencukupi sebegini?

Anak-anak tidak seharusnya dibebankan dengan masalah sebegini kerana mereka perlu fokus kepada usaha mentelaah pelajaran di sekolah dan seterusnya mendapatkan keputusan peperiksaan yang bagus.

Bagi ibu bapa yang berpendapatan tinggi, tuntutan anak-anak terhadap tambahan wang saku sehari-harian bukanlah masalah besar, bahkan elaun saku untuk tempoh setahun pun mereka boleh berikan dalam satu-satu masa tanpa berfikir panjang.

Namun, bagi ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah, ditambah lagi golongan yang memiliki anak yang ramai dan bersekolah, tuntutan wang saku tambahan oleh anak-anak ini benar-benar meletakkan mereka dalam dilema.

Sebenarnya, ada banyak kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam mendepani permasalahan sebegini.

Ibu bapa perlu mewujudkan situasi 'menang-menang', di mana mereka masih dapat memenuhi tuntutan perbelanjaan bulanan mereka dan memenuhi keperluan anak-anak.

Antaranya adalah mengajar anak-anak untuk faham dan mengamalkan budaya berjimat-cermat dan tidak bermewah-mewah.

Anak-anak perlu dididik supaya tidak terikut-ikut gaya berbelanja besar oleh rakan-rakan yang berada dan seakan-akan mampu memiliki 'seisi dunia'.

Ada sesetengah ibu bapa yang mengamalkan kaedah di mana anak-anak turut diberitahu tentang jumlah pendapatan ibu bapa dan perbelanjaan bulanan seisi rumah yang perlu dilangsaikan.

Misalnya memberitahu anak-anak agihan wang untuk makanan, bayaran bil-bil air, elektrik dan telefon, bayaran sewa rumah dan kereta, sehinggalah kepada agihan untuk tabungan kecemasan keluarga.

Dengan cara ini, baru anak-anak faham hakikat bahawa ibu bapa tidaklah sebenarnya lokek untuk memberikan mereka duit saku tambahan, tetapi ada keperluan kewangan yang lebih penting pada aspek-aspek yang lain.

Anak-anak perlu dilatih untuk mengetahui 'aliran tunai' duit perbelanjaan mereka. Caranya mudah iaitu dengan mengajar mereka untuk mempunyai 'buku akaun' sendiri yang mencatatkan berapa banyak duit yang mereka terima dan berapa banyak pula duit yang mereka belanjakan sehari-harian.

Dengan cara ini, anak-anak faham jika duit keluar itu lebih banyak daripada duit masuk, ini menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menyingkirkan apa-apa pembelian barangan yang tidak patut dan merugikan.

Kaedah ini juga melatih anak-anak supaya jangan 'muflis' yang bermaksud bahawa mereka perlu ada wang simpanan untuk tujuan kecemasan dan keperluan terdesak pada masa hadapan.

Seterusnya, anak-anak boleh dididik dengan konsep 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.' Ini adalah sesuai bagi anak-anak yang mungkin mahukan sesuatu seperti membeli basikal, buku rujukan, gadjet permainan yang diidamkan, dan sebagainya di mana mereka perlu menyimpan duit secukupnya hasil lebihan duit saku sehari-harian untuk memiliki apa yang dihajatinya.

Konsep ini juga selaras dengan amalan menabung sama ada menyimpan duit dalam tabung di rumah, atau dalam institusi perbankan atau institusi amanah saham yang ternyata lebih selamat.

Lebih-lebih lagi sejak lapan tahun lepas, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah diwujudkan bagi menggalakkan tabungan untuk pembiayaan pengajian anak-anak di menara gading merupakan platform terbaik untuk anak-anak membuat tabungan.

Melalui skim ini, bukan sahaja duit dapat ditabung dengan selamat, bahkan ibu bapa dan anak-anak sendiri mendapat faedah sampingan seperti pelepasan cukai, perlindungan insurans dan kadar dividen yang kompetetif.

Anak-anak sebaiknya dirutinkan untuk membawa bekal makanan sendiri dari rumah yang lebih terjamin kebersihan dan keseimbangan gizi dan khasiatnya.

Dalam hal menggunakan buku-buku latihan, wajar mereka diasuh untuk menggunakan semula buku-buku latihan lama yang masih boleh digunakan agar ianya tidak dibuang dengan sia-sia.

Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak akan ajaran agama yang melarang seseorang untuk membazir, kerana membazir itu adalah amalan kesukaan syaitan.

Bahkan, perlu juga anak-anak diterapkan dengan amalan bersedekah kerana sedekah itu tidaklah merugikan, tetapi akan diberikan ganjaran keberkatan dan pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT.

Apabila anak-anak dapat diasuh mentaliti dan tindakan mereka untuk berjimat-cermat dan menghargai setiap sen yang dimiliki, maka diyakini bahawa mereka dapat membentuk peribadi berhemah dalam berbelanja dan mengusir jauh akan tabiat boros dan 'biar papa, asal bergaya'.

Thursday, 8 March 2012

Penyenaraian Yang Menguntungkan

Kekusutan dan kontroversi yang berlaku dalam usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke papan utama Bursa Malaysia pada Mei ini adalah suatu perkara yang amat menyedihkan dan merugikan negara.

Bagi kami, remisier yang terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti pasaran saham negara melihat penyenaraian FGVH ini akan membawa kebaikan yang amat besar kepada negara khususnya para peneroka Felda.

Penyenaraian FGVH merupakan suatu pengumuman yang begitu dinanti-nantikan dan jika berjaya disenaraikan kelak, ia akan menyaksikan FGVH muncul sebagai satu lagi syarikat 'Blue Chip' atau syarikat berwajaran besar di Bursa Malaysia dan bakal melonjakkan modal pasaran FGVH dari sekitar RM3 bilion kepada sehingga RM21 bilion.

FGVH bakal dikategorikan dalam sektor perladangan yang merupakan saham jenis 'defensive', yang bermakna saham ini boleh bertahan dan stabil dalam apa jua situasi ekonomi dunia. Pada amnya, pembayaran dividen kepada pemegang saham dalam sektor ini merupakan satu perkara yang dilakukan pada setiap tahun dan jumlah dividennya pula adalah tinggi.

Cuba bayangkan jika tanah-tanah perladangan Felda dan KPF dapat digabungkan untuk penyenaraian ini, maka FGVH akan menjadi syarikat perladangan tersenarai terbesar di dunia dan dikuasai kaum bumiputera!

Senarai tawaran saham yang dicadangkan bagi saham FGVH yang terdiri daripada institusi pelaburan utama negara seperti PNB, KWSP, KWAP (Kumpulan Wang Amanah Pencen) dan Tabung Haji yang terbukti berjaya menjaga kepentingan pelaburan rakyat negara ini.

Sementara itu, tawaran yang dicadangkan bagi institusi luar negara pula peratusan kecil, kurang dari 5%. Syarikat-syarikat tersenarai awam (PLC) yang dikuasai institusi-institusi pelaburan kerajaan atau luar negara mempunyai tarikan pelaburan yang baik dan sentiasa menjaga kepentingan pelabur minoriti.

Sesuatu PLC memerlukan pelaburan asing untuk menjadi sebahagian daripada pemegang sahamnya kerana ini akan memudahkan mereka mendapat liputan media luar negara dan seterusnya menjadikan PLC ini lebih terkenal bagi membina platform antarabangsa.

Namun demikian, kadar 5% pelaburan asing dalam saham FGVH yang ditawarkan, tidak akan menjejaskan kedudukan harga saham atau pengurusan FGVH seandainya pelabur asing itu menjual pegangan mereka di pasaran terbuka.

Persetujuan kerajaan untuk memberi 'blue form' dan 'pink form' kepada peneroka dan pekerja Felda adalah satu langkah bijak. Peneroka Felda seharusnya bersyukur dan berasa bangga kerana diberi "durian runtuh" ini dan secara tidak langsung menjadikan mereka di antara pemilik sebuah syarikat gergasi dunia.

Pengalaman kami sendiri melalui pemberian 'blue form' kepada remisier ketika proses penyenaraian saham Bursa Malaysia Berhad pada tahun 2005 boleh dijadikan rujukan dan panduan. Jumlah saham yang kami terima ketika itu adalah mengikut tempoh perkhidmatan sebagai remisier, lebih lama berkhidmat, lebih banyak saham yang diterima.

Remisier telah mendapat banyak manfaat daripada penyenaraian ini, di antaranya adalah keuntungan besar di atas penjualan saham-saham percuma ini, penerimaan dividen yang tinggi setiap tahun dan sehingga kini kebanyakan kami masih memegang sekurang-kurangnya 100 unit saham yang melayakkan kami secara beramai-ramai menghadiri mesyuarat agung tahunan Bursa Malaysia dan memberi pandangan mengenai cara pengurusan dan hala tuju syarikat yang kami turut miliki ini.

Tawaran saham 'pink form' kepada pekerja Felda dan pelabur bumiputera melalui tawaran khas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berbeza dari 'blue form' yang diterima peneroka. Sekali lagi para peneroka beruntung kerana pemberian 'blue form' membolehkan mereka mendapat saham sesuatu syarikat secara percuma, tanpa sebarang bayaran bagi mendapatkan saham yang ditawarkan.

Mereka hanya perlu membayar yuran RM10 bagi pembukaan akaun CDS di Bursa Malaysia atau tempat penyimpanan saham di syarikat broker saham dengan menandatangani borang tersebut di hadapan wakil syarikat broker saham yang biasanya adalah remisier. Hanya nombor akaun CDS ini dan tandatangan peneroka diperlukan di 'blue form' ini.

Tawaran saham 'pink form' adalah satu tawaran yang menetapkan jumlah saham yang layak dilanggan oleh pelabur tanpa melalui proses cabutan undi, namun ia memerlukan bayaran untuk melangganinya.

Jika tawaran saham 'pink form' melebihi keupayaan kewangan pelabur, mereka bolehlah memohon untuk mendapat pembiayaan bagi melanggan saham tersebut dari syarikat broker saham atau bank yang menawarkan skim pembiayaan saham secara marjin atau "share margin financing" (SMF).

Walau bagaimana pun, SMF mengenakan kos dokumentasi dan faedah pembiayaan yang tinggi dan seringkali dikaitkan dengan kerugian besar pelaburan atau kehilangan kuasa pengurusan syarikat ekoran kejatuhan harga saham di bawah paras tertentu.

Harga saham bagi peminjam SMF diawasi pada setiap hari dan jika harga saham tiba-tiba jatuh, peminjam diberi tempoh hanya tiga hari untuk "top-up" atau memperbetulkan keadaan yakni dengan menambah sejumlah wang bagi mengimbangi nilai pegangan saham yang telah susut harga sahamnya. Jika peminjam tidak dapat memenuhi syarat ini, maka sahamnya akan dijual di pasaran terbuka sehinggalah ratio pinjaman pulih kembali.

Dalam hal ini, perkara yang amat tidak adil adalah apabila harga saham jatuh tanpa ada kaitan dengan prestasi sebenar syarikat yang masih kukuh, sebaliknya harga saham jatuh ekoran masalah ketidakcairan saham di mana pelabur yang memerlukan wang terpaksa menjual sahamnya dengan harga murah kerana ketiadaan pembeli pada harga semasa.

Penjualan secara paksa saham peminjam SMF memburukkan lagi keadaan dan seterusnya akan berlaku 'domino effect' sehingga adakalanya harga saham jatuh merudum dan mengakibatkan pengurusan syarikat yang turut mengambil pinjaman bank dengan mencagarkan saham mereka, hilang kuasa kerana terpaksa turut menjual pegangan mereka akibat harga saham yang jatuh teruk.

Perkara ini begitu mudah berlaku pada syarikat tersenarai awam berwajaran kecil dan sederhana yang mempunyai masalah kecairan atau "liquidity" saham yang rendah. Badan pelaburan kerajaan seperti PNB, Khazanah, KWSP dan KWAP yang tidak mempunyai mandat atau kuasa untuk membeli saham-saham syarikat berwajaran kecil dan sederhana, walaupun syarikat-syarikat ini mencatatkan prestasi yang baik dan cemerlang.

Polisi ini tidak adil dan perlu dikaji semula. Para pelabur khususnya pelabur runcit sering mengeluh mengenai kesukaran mereka untuk menjual saham syarikat tersenarai awam bumiputera (BPlc) yang telah lama dipegang atas sebab tiada pembeli dan mendatangkan kerugian besar terhadap pelaburan mereka.

Di samping itu, ketiadaan publisiti meluas dan kekurangan analisis teknikal terhadap BPlc di media-media massa tempatan yang majoritinya dikuasai bukan Bumiputera telah memburukkan lagi keadaan sehingga kadang kala nama sesetengah BPlc itu tidak pernah langsung didengari oleh para pelabur.

Kajian Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) melalui penghasilan buku bertajuk 'Ikon PLC Bumiputera 2011' yang akan dilancarkan tidak lama lagi, sehingga 31 Disember 2011 hanya 11% syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dikuasai bumiputera dan sekadar mampu menguasai 15% daripada keseluruhan modal pasaran 'market capitalization' Bursa Malaysia yang kini bernilai trilion ringgit.

Tambahan, jika dikaji lebih mendalam, daripada 15% modal pasaran ini hanya 2% sahaja peratusan penguasaan keseluruhan modal pasaran bagi BPlc-BPlc bumiputera berwajaran kecil dan sederhana yang tidak mempunyai pemilikan saham oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau kerajaan negeri dalam saham mereka.

Namun, para pemegang saham FGVH sekali lagi beruntung kerana modal pasaran FGVH akan melonjak berganda-ganda, setanding dengan syarikat-syarikat gergasi dunia dan akan diwujudkan satu entiti syarikat pegangan pelaburan atau 'investment holding company' yang akan menjaga hal-ehwal harga dan kecairan saham FGVH setelah disenaraikan sambil memastikan saham FGVH terus berada di tangan bumiputera.

Isu ketirisan saham juga merupakan satu isi yang harus dipandang berat. Ketirisan saham bumiputera akan terus berlaku sekiranya para pelabur runcit bumiputera masih tidak dididik mengenai kebaikan pemilikan saham dan hak-hak mereka sebagai pelabur.

Penetapan minda yang mahu mendapatkan keuntungan pada kadar yang segera juga harus dihapuskan. Kaedah seperti 'grow with the company' dan 'long-term investment' diyakini suatu kaedah yang betul dan membawa pelbagai kebaikan.

Ramai pelabur terutamanya pelabur luar bandar kurang mendapat pendedahan dan tidak mengetahui langsung hak-hak mereka sebagai seorang pelabur. Sebagai contoh mesyuarat agung tahunan (AGM) sesuatu PLC harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pemegang saham, jika tidak dapat hadir boleh hantar proksi contohnya anak sebagai wakil.

Para pelabur seharusnya menghadiri mesyuarat secara beramai-ramai bagi mengelakkan salah guna kuasa oleh pihak pengurusan dan bersama-sama membuat keputusan penting syarikat.

Pelabur juga perlu bijak mengunakan hak-hak mereka dengan menyoal dan mengundi sekalipun mempunyai pegangan saham kecil 'minority shareholder' di dalam sesebuah PLC.

Ini sekali gus sebagai peringatan kepada pihak pengurusan supaya 'jangan main-main dengan duit kita' . Begitu juga halnya dengan peneroka felda yang berjumlah lebih kurang 112,600 orang, gunakanlah hak-hak anda dengan sebetulnya dan jadilah pemerhati terhadap prestasi syarikat anda.

Akhir kata, permasalahan penurunan ekuiti bumiputera selama ini yang telah PRIBUMI ajukan kepada kerajaan sejak lima tahun yang lalu seperti ketirisan saham, pembiayaan saham secara pembiayaan marjin, kecairan saham , harga saham BPlc yang rendah dan tiada publisiti, kehilangan kuasa pengurusan bumiputera boleh di atasi dan menjadi model penyelesaian melalui penyenaraian FGVH.

Promosi mengenai penyenaraian FGVH di harap dapat melibatkan para pemikir yang mempunyai penglibatan secara langsung 'hands-on' terhadap pasaran saham seperti ahli-ahli PRIBUMI satu Malaysia yang tugas utama mereka adalah memberi penerangan dan menarik minat rakyat terhadap pasaran saham negara.

Individu penting berhubungan dengan Felda seperti Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Gabungan Generasi Wawasan Felda (GWGF) yang mempunyai pengalaman luas mengenai pasaran saham negara melalui syarikat tersenarai beliau sendiri Puncak Niaga Holdings Berhad perlu dilibatkan dalam usaha ini.

Gandingan usaha penerangan PRIBUMI dengan 500 ahlinya dari seluruh Malaysia dan GWGF dengan pegawai seranta di seluruh 317 penempatan Felda, jika diberi peluang, insya- Allah akan dapat membantu meredakan kekusutan yang sedang berlaku mengenai cadangan penyenaraian FGVH ini.

Pandangan sempit sesetengah pihak yang hanya melihat kepada keburukan dan menggunakannya sebagai satu medium untuk menghentam kerajaan tanpa melihat kepada keseluruhan kebaikan yang dibawa dalam penyenaraian FGVH ini harus ditepis.

Penyenaraian FGVH berlatarbelakangkan sokongan kuat pemimpin-pemimpin nombor satu negara; Felda ditubuhkan di bawah bekas Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Abdul Razak, penyenaraiannya pula dicetus oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kini diteruskan perjuangan penyenaraiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jaminan Perdana Menteri bahawa kepentingan peneroka tetap menjadi keutamaan sekalipun FGVH disenaraikan merupakan satu kelegaan.

Seperti mana penyenaraian saham Petronas Chemicals Group Berhad dan MSM Malaysia Holdings di papan utama Bursa Malaysia dahulu, kami telah menyaksikan ramai bumiputera menjadi kaya dan ada yang bergelar jutawan.

Insya-Allah dengan penyatuan kuat seluruh warga Felda, pelabur runcit dan institusi pelaburan kerajaan, penyenaraian FGVH akan berjaya meningkatkan ekuiti bumiputera di pasaran modal negara, seterusnya menjadi sebuah syarikat paling gah di Bursa Malaysia atau 'darling of stock market' dan terus berkembang menjadi juara dunia.

Monday, 30 January 2012

Urus Niaga di Internet

Setelah seorang pelabur membuka akaun CDS (Sistem Depositori Pusat) dan akaun jual beli saham dengan syarikat broker saham beliau boleh membuka akaun urus niaga dalam talian atau online trading.

Proses pembukaan akaun dalam talian akan menggunakan sistem Internet di laman web syarikat broker saham.

Seorang pelabur perlu mempunyai alamat emel sendiri untuk berdaftar. Setelah semua proses pendaftaran selesai, pelabur akan mempunyai kata laluan sendiri untuk membolehkannya mula menggunakan laman web broker saham beliau sebagai seorang pelanggan yang berdaftar.

Pelabur boleh mendapat semua maklumat terkini tentang pasaran saham melalui laman web ini termasuk harga-harga saham semasa, berita-berita terkini tentang kedudukan pasaran saham tempatan dan dunia juga berkaitan analisis fundamental dan teknikal syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa saham Malaysia.

Semua maklumat ini diperoleh secara percuma oleh pelanggan berkenaan. Terdapat butang tertentu untuk pelanggan membuat pesanan belian dan jualan di laman web ini di mana pelanggan boleh membuat pesanan urus niaga sendiri tanpa bantuan broker saham mereka.

Juga terdapat satu butang yang akan menunjukkan semua urusan jualbeli saham yang sedang dilakukan pada hari tersebut.

Pelanggan juga akan mendapat status terkini tentang semua urusan jualbeli saham yang dilakukan di dalam akaun beliau.

Kelebihan dan kekurangannya

Banyak kelebihan yang diperoleh oleh pelanggan yang mahir berurusan secara dalam talian.

Kelebihan utama adalah dari segi kos transaksi di mana kesemua broker saham tempatan menawarkan kadar yuran pembrokeran yang sangat rendah berbanding dengan yuran yang dikenakan jika pelanggan membeli atau menjual saham melalui telefon.

Ini adalah suatu keuntungan besar kepada pelanggan kerana mereka dapat mengurangkan kos jualbeli saham.

Kos transaksi yang rendah boleh membantu pelanggan untuk lebih mudah membuat keuntungan ketika berurusniaga di pasaran saham secara aktif.

Sebagai contoh, pelanggan perlu membayar yuran minimum RM40 jika mereka melakukan pesanan jualbeli melalui telefon, sedangkan terdapat broker saham yang hanya mengenakan yuran minimum serendah RM8 untuk pesanan yang sama secara dalam talian.

Melalui laman web secara dalam talian terdapat begitu banyak maklumat-maklumat terkini yang boleh membantu pelanggan dalam membuat analisis sendiri sebelum mereka melakukan sebarang urusan membeli atau menjual kaunter yang mereka miliki.

Dengan maklumat-maklumat yang terkini dan analisis-analisis yang boleh dilakukan melalui laman web ini pelanggan akan lebih mudah membuat keputusan yang bijak sebelum mereka membeli atau menjual kaunter-kaunter yang mereka minati atau sedang miliki.

Kekurangan urus niaga secara dalam talian adalah tiada lagi sentuhan peribadi di antara pelanggan dan broker mereka. Pelanggan tidak mendapat pandangan peribadi dari broker saham mereka atau sebarang bentuk tips terkini dipasaran.

Satu lagi kekurangan adalah jika berlakunya gangguan talian sama ada di pihak pelanggan, syarikat telekomunikasi atau broker saham.

Gangguan ini boleh mengganggu kelancaran proses jualbeli saham yang ingin dilakukan. Bagaimana pun pelanggan boleh terus berurusan dengan broker mereka secara telefon jika situasi ini berlaku.

Wednesday, 28 December 2011

ASN 2011 - Agihan 6.05 sen seunit


Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan agihan pendapatan ASN di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur 27 Dis - Seramai 1.2 juta pelabur Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) akan memperoleh agihan pendapatan sebanyak 6.05 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Agihan itu mewakili kenaikan sebanyak 0.05 sen seunit berbanding 6.00 sen seunit yang diberikan pada tahun lalu.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM92.8 juta.

Sehingga kini sebanyak 1.5 bilion unit ASN telah dilanggan.

Menurut beliau, ASN telah memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM114.67 juta dengan hasil keuntungan penjualan saham menyumbang RM58.71 juta.

''Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam saham menyumbang sebanyak RM43.33 juta dan selebihnya RM12.63 juta daripada lain-lain pendapatan,'' katanya pada sidang akhbar pada majlis pengumuman ASN di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Katanya, pengiraan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2011.

Ahmad Sarji berkata, pembayaran agihan pendapatan itu akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2011.

Semua urus niaga bagi ASN ditangguhkan mulai hari ini sehingga 2 Januari 2012 dan buku pelaburan boleh dikemas kini di semua pejabat Amanah Saham Nasional Bhd dan ejen-ejennya di seluruh negara mulai 3 Januari ini.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB memperuntukkan RM9 bilion untuk agihan pendapatan kesemua sembilan skim unit amanahnya sepanjang tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, RM7 bilion diperuntukan bagi skim Amanah Saham Bumiputera dan bakinya untuk unit-unit amanah yang lain.

Ditanya tentang keupayaan PNB mengekalkan pulangan kompetitif, Hamad Kama Piah berkata: ''PNB sentiasa memantapkan portfolionya dari semasa ke semasa''.

Tegas beliau, langkah itu perlu untuk memastikan PNB sentiasa mendapat pulangan terbaik dalam saham-saham terpilih.

''Sebagai peserta jangka panjang, prestasi turun dan naik pasaran adalah perkara biasa tetapi pemilihan portfolio saham adalah penting kerana ia menentukan pulangan kompetitif,'' jelasnya.

Aset di bawah pengurusan PNB kini berjumlah RM190 bilion.

Tuesday, 20 December 2011

ASB 2011 - Agihan 8.80 sen seunit

Ahmad Sarji Abdul Hamid bersama-sama Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan replika pengagihan pendapatan ASB di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur 19 Dis - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 7.65 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Pada tahun lalu, PNB mengumumkan agihan pendapatan ASB sebanyak 7.50 sen seunit manakala bonus pula sebanyak 1.25 sen seunit.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, PNB memperuntukan bayaran sebanyak RM7.04 bilion melibatkan 7.3 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 95.9 bilion unit ASB.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula berjumlah RM628.29 juta oleh PNB.

Ahmad Sarji berkata, sehingga 15 Disember ini, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM7.19 bilion, yang mana pendapatan dividen pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.09 bilion.

''Keuntungan dalam penjualan saham syarikat-syarikat pula menyumbang sejumlah RM2.25 bilion atau 31.3 peratus kepada jumlah pendapatan kasar dan selebihnya RM0.85 bilion melalui pendapatan pelaburan instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan,'' kata beliau ketika mengumumkan agihan pendapatan ASB hari ini.

Turut hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Sementara itu, Hamad Kama Piah menyifatkan agihan pendapatan ASB pada tahun ini adalah terbaik selepas mengambil kira ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan sejagat.

''Jumlah agihan pendapatan dan bonus 8.80 sen adalah terbaik kerana ASB pelaburan jangka panjang,'' tambahnya.

Katanya, PNB telah memperuntukan sebanyak RM3 bilion sebagai rizab bagi ASB yang akan dibawa ke hadapan.

Menurut Hamad Kama Piah, pada tahun ini jumlah unit amanah ASB telah meningkat melebihi RM13 bilion berbanding RM12.1 bilion pada 2010. Setakat ini, jumlah dana ASB dan unit-unit amanah lain berjumlah RM17 bilion.

Ahmad Sarji menambah, pengiraan pengagihan pendapatan ASB berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB berakhir pada 31 Disember 2011.

Pengiraan bonus pula mengikut purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula 2002 sehingga 2011.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit dan buku pelaburan boleh dikemas kini mulai 3 Januari 2012.

Semua urus niaga ASB ditangguhkan mulai 21 Disember ini sehingga 2 Januari 2012 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan dan bonus.

Monday, 19 December 2011

Simpanan Pendidikan

Saya mempunyai seorang anak berusia 3 tahun. Saya telah membuka satu akaun amanah (ASW) untuknya pada awal tahun 2011 dan juga satu akaun unit amanah di bawah bank tempatan.

Simpanan unit amanah ini saya ambil bagi jangka masa 15 tahun. Bermaksud, simpanan hanya boleh dikeluarkan setelah cukup 15 tahun menyimpan.

Bagaimanapun, akaun unit amanah ini saya tidak membuat simpanan secara berkala. Setakat ini, ada satu transaksi sahaja. Adakah tindakan saya ini bijak? Atau saya perlu membuat simpanan secara berkala?

Jika saya tidak mampu untuk menyimpan secara berkala setiap bulan, bolehkah jika saya membuat simpanan secara berkala setiap tahun? Atau lebih baik saya menumpukan perhatian kepada ASW 2020 sahaja?

Jawapan.

Dalam masyarakat masa kini di mana perancangan kewangan memainkan peranan yang semakin penting, adalah tidak menghairankan untuk melihat amalan menabung yang baik dimulakan lebih awal dan menjadi keutamaan bagi ramai ibu bapa di Malaysia.

Memang menjadi lumrah bahawa setiap ibu bapa mahu memberikan perlindungan yang terbaik dan pendidikan yang sempurna kepada anak mereka.

Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap idea menabung sejak dari awal lagi sebagai angan-angan sahaja, tetapi memang banyak faedah yang boleh diraih jika anda sanggup berbuat demikian.

Dalam keadaan ini, ibu bapa perlu menyusun strategi simpanan dan pelaburan yang teliti untuk memastikan mereka mempunyai sumber secukupnya untuk merancang keperluan perlindungan dan pendidikan anak mereka.

Setiap pelaburan mempunyai tahap risiko tertentu. Pasaran saham sering turun naik. Kenaikan kadar faedah boleh menyebabkan kejatuhan pasaran bon.

Tidak kira apa pilihan pelaburan anda, risiko ialah sesuatu yang perlu anda tangani. Salah satu daripada kunci kejayaan melabur ialah menguruskan risiko sambil mengekalkan potensi mendapatkan pulangan yang sewajarnya atas pelaburan anda.

Salah satu daripada cara yang paling berkesan untuk menguruskan risiko anda ialah dengan mempelbagaikan pelaburan.

Langkah mempelbagaikan pelaburan ialah strategi pelaburan yang bertujuan menguruskan risiko dengan menyebarkan wang anda ke dalam pelbagai pelaburan seperti saham, bon, hartanah, unit amanah dan instrumen kesetaraan tunai.

Falsafah utama di sebalik langkah mempelbagaikan pelaburan sebenarnya mudah sahaja: "Jangan laburkan semua wang anda dalam satu jenis pelaburan."

Tindakan menyebarkan risiko dalam beberapa instrumen pelaburan berbeza, serta beberapa pasaran berbeza dapat mengimbangi kerugian dalam mana-mana satu pelaburan.

Sementara itu, mempelbagaikan pelaburan juga boleh memberikan pulangan yang lebih sekata dalam jangka panjang.

Apabila nilai satu pelaburan meningkat, ia mungkin dapat mengimbangi penurunan pelaburan yang lain. Ini membolehkan portfolio anda mengharungi turun naik pasaran dengan prestasi lebih mantap dalam pelbagai keadaan ekonomi.

Dengan mengurangkan kesan kenaikan dan penurunan pasaran tertentu, langkah mempelbagaikan pelaburan boleh memberikan anda ketenangan fikiran dalam membuat perancangan pelaburan.

Beli pada harga rendah dan jual apabila harga naik. Ini adalah antara peraturan pelaburan pertama yang kita pelajari, tetapi sebenarnya, berapa ramai di kalangan kita yang mengamalkan prinsip mudah ini?

Faktor emosi seperti kebimbangan dan kerakusan sering menjejaskan keputusan pelaburan kita, menyebabkan kita terlepas peluang apabila pasaran terlalu rendah dan melabur secara berlebihan apabila pasaran naik mendadak.

Apakah strategi pelaburan baik yang boleh diguna pakai khususnya dalam keadaan pasaran semasa yang tidak stabil bagi mereka yang sanggup menanggung risiko sederhana dan melabur untuk jangka panjang? Mungkin pelan pelaburan berkala patut dipertimbangkan.

Pelan berkala membolehkan anda melaburkan sejumlah wang yang ditetapkan dalam pelaburan pilihan anda setiap bulan, tanpa mengira harga unit.

Pelaburan secara berkala setiap bulan memberikan potensi pertumbuhan modal dan mungkin lebih berkesan daripada pelaburan sekali gus.

Jika pelaburan dibuat secara berterusan, anda kurang terdedah kepada risiko. Ini kerana menerusi pelaburan berkala, lebih banyak unit dibeli apabila harga rendah dan kurang unit dibeli pada harga tinggi. Kaedah ini dikenali sebagai 'purata kos ringgit'.

Apabila anda mempunyai tempoh masa yang lebih panjang untuk merancang dan melabur, anda perlu menabung jumlah yang lebih kecil setiap kali, justeru ia tidak terlalu membebankan kewangan anda. Manfaat menabung wang dan kesan kompaun kadar faedah tidak harus diabaikan.

Jika anda merancang untuk memulakan dana pendidikan, anda dinasihatkan untuk tidak melabur dalam pelaburan berisiko tinggi. Produk pelaburan risiko rendah dengan pertumbuhan mantap lebih sesuai untuk menjamin keselamatan dana anda.

Ibu bapa boleh mempertimbangkan pelan premium berkala yang membolehkan mereka membuat sumbangan kecil setiap bulan atau pelan bertempoh tetap (endowment) yang menawarkan perlindungan serta simpanan, yang bermakna anda terlindung dari segi kewangan sambil anda mengembangkan nilai wang anda.

Di OCBC Al-Amin, kami menawarkan produk berkaitan pelaburan yang membolehkan dana anda berkembang sambil memberikan anda pelan perlindungan serba lengkap.

Produk ini memberikan anda fleksibiliti menebus unit, yang bermakna anda boleh mengeluarkan jumlah yang diperlukan setiap tahun untuk pendidikan anak anda tanpa sebarang denda.

Anda juga boleh mempertimbangkan pelan seperti OCBC Al-Amin ARIP-i, iaitu pelan pelaburan tetap inovatif yang membantu anda menabung untuk pendidikan anak anda.

Sebagai contoh, ARIP-i membolehkan anda memanfaatkan pertumbuhan pelaburan yang meliputi kelas aset tempatan, serantau atau global, sambil memberikan anda pulangan deposit.

Ia merupakan pelan simpanan fleksibel yang membolehkan anda menambah atau mengeluarkan dana pada bila-bila masa dan menawarkan kadar pulangan deposit yang menarik.

Sunday, 18 December 2011

Pinjaman Perumahan

Saya telah membeli dua buah kediaman masing-masing berusia enam dan sembilan tahun dan sehingga hari ini saya masih lagi membayar ansuran kepada bank.

Kenaikan kadar faedah kepada 3.00 peratus sekarang telah menyebabkan wang ansuran bagi kedua-dua kediaman naik berbanding sebelum ini.

Soalan saya, adakah betul tindakan saya sekiranya mahu mengubah pembiayaan kepada perbankan Islam yang kadar pinjaman adalah tetap berbanding perbankan konvensional untuk mengelakkan pembayaran naik sekiranya kadar OPR dinaikkan sekiranya ekonomi sudah kembali stabil atau meneruskan pembiayaan semasa.

Jawapan.

Kelebihan utama pembiayaan rumah kadar tetap seperti Bai Bithaman Ajil (BBA) ialah ia melindungi anda daripada peningkatan ketara dalam bayaran bulanan yang berlaku secara tiba-tiba jika kadar keuntungan naik.

Ini kerana pembiayaan kadar tetap tidak dipengaruhi oleh turun naik Kadar Pembiayaan Asas (BFR). Malah, bayaran bulanan kekal sama dan ini membantu anda menguruskan belanjawan bulanan dari segi jumlah mutlak yang perlu dibayar.

Di samping itu, sesetengah bank menawarkan pembiayaan rumah BBA kadar terapung yang mempunyai kadar had atau bumbung.

Kelemahan pembiayaan rumah kadar tetap ialah apabila kadar keuntungan tinggi, adalah lebih sukar untuk mendapatkan pembiayaan kerana bayaran bulanan bukan lagi satu jumlah yang termampu.

Dalam keadaan di mana kadar keuntungan telah ditetapkan, jumlah untung yang anda bayar bergantung pada tempoh pembiayaan. Lebih lama tempoh pembiayaan, lebih rendah bayaran bulanan.

Bagaimanapun, kesan bayaran ansuran yang rendah ialah kos keseluruhan yang jauh lebih tinggi kerana dalam tempoh tambahan yang diambil, bayaran digunakan terutamanya untuk menjelaskan kadar untung.

Bagi pembiayaan jangka pendek, bayaran bulanan lebih tinggi kerana jumlah pokok dijelaskan dalam tempoh yang lebih singkat.

Di samping itu, pembiayaan jangka pendek menawarkan kadar untung lebih rendah, yang membolehkan jumlah wang pokok lebih besar dijelaskan dengan setiap pembayaran. Justeru, secara keseluruhan, pembiayaan jangka pendek mempunyai kos lebih rendah.

Pembiayaan rumah kadar terapung Islam seperti Ijarah atau pembiayaan rumah pajakan menawarkan alternatif sebenar kepada pinjaman rumah kadar terapung konvensional.

OCBC Al-Amin adalah antara beberapa Bank Islam yang menawarkan kadar pembiayaan kadar terapung dengan kadar untung asal lebih rendah berbanding pembiayaan perumahan kadar tetap.

Kadar untung awal ditetapkan di bawah kadar pasaran bagi pembiayaan kadar tetap, dan kadarnya meningkat mengikut masa. Jika pembiayaan dipegang cukup lama, kadar untung akan mengatasi kadar pembiayaan tetap.

Kaedah ini bukan sahaja membolehkan anda mendapatkan jumlah pembiayaan lebih tinggi, tetapi juga memanfaatkan kadar untung lebih rendah (dan bayaran bulanan lebih rendah) dalam persekitaran kadar untung yang menurun, tanpa memerlukan pembiayaan semula.

Dalam pada itu, walaupun pembiayaan perumahan kadar tetap lebih menjimatkan kos dan berpatutan berbanding pembiayaan rumah kadar tetap, anda juga perlu mampu membuat pembayaran yang lebih tinggi jika berlaku peningkatan kadar untung.

Walaupun pembiayaan kadar terapung mungkin bukan pilihan yang sesuai untuk semua, ia boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan penjimatan kewangan.

Secara ringkasnya, apabila memilih skim pembiayaan rumah, anda perlu meninjau keperluan dan mengimbanginya dengan realiti ekonomi pasaran yang sentiasa berubah.

Kekuatan kewangan peribadi kita boleh berubah-ubah, manakala kadar untung akan sentiasa turun naik. Untuk meletakkan pemilihan pembiayaan dalam konteks yang sewajarnya, pertimbangkan soalan berikut.
  • Berapakah ansuran bulanan yang mampu anda bayar hari ini?
  • Adakah anda masih mampu membuat pembayaran bulanan jika kadar untung meningkat?
  • Berapa lama tempoh pembiayaan yang dikehendaki?
  • Apakah hala tuju kadar untung dan adakah anda meramalkan trend akan berterusan?
Kadar pembiayaan tetap adalah pilihan yang baik jika bayaran rendah dalam jangka pendek menjadi keutamaan anda.

Jika kadar faedah tinggi dan dijangka menurun, pembiayaan kadar terapung akan memastikan anda boleh menikmati kadar lebih rendah tanpa pembiayaan semula.

Jika kadar faedah sedang meningkat atau sekiranya bayaran tetap yang boleh ditentukan menjadi keutamaan anda, skim pembiayaan kadar tetap mungkin cara yang terbaik.

Pertimbangan Sebelum Membeli Rumah


Rumah Idaman

Saya baharu bekerja dengan gaji RM2,800 sebulan tetapi berhasrat untuk memiliki kediaman apartmen dalam sekitar RM140,000 hingga RM180,000 untuk pelaburan awal.

Saya berminat untuk mendapat pembiayaan yang boleh menawarkan ansuran bulanan tetap yang rendah sehingga habis pembayaran.

Saya ingin meminta pandangan daripada pihak OCBC Al-Amin apakah bentuk pembiayaan yang sesuai, sama ada perbankan konvensional atau perbankan Islam dan apakah bentuk bayaran ansuran pilihan yang boleh saya buat untuk memiliki kediaman tanpa menjejaskan perbelanjaan harian saya?

Jawapan.

Salah satu langkah pertama yang perlu diambil apabila anda membuat keputusan untuk memiliki rumah ialah menentukan harga rumah yang anda mampu bayar.

Faktor utama yang perlu ditentukan ialah jumlah pinjaman yang akan diberikan oleh bank kepada anda. Dengan itu, anda tidak membuang masa dan tenaga mencari rumah yang tidak mampu anda miliki.

Lazimnya bank menggunakan nisbah yang dinamakan nisbah bayaran hutang atau nisbah liputan hutang. Secara umumnya, ini merupakan nisbah komitmen pembiayaan bulanan (bayaran bulanan untuk menjelaskan kemudahan kredit) kepada pendapatan bersih atau kasar anda.

Nisbah ini berbeza mengikut bank. Secara konservatif, jika kita menganggap bahawa pembiaya memerlukan nisbah pembayaran hutang 30 peratus berdasarkan pendapatan bersih (selepas ditolak cukai dan caruman KWSP), ini bermakna bayaran ansuran tidak boleh melebihi 30% daripada pendapatan bersih anda.

Dalam kes anda, 30% daripada pendapatan bersih anda sebanyak kira-kira RM 2,500 ialah RM750 sebulan.

Andaikan anda mengambil pinjaman 30 tahun pada kadar pinjaman semasa BFR/BLR – 2/30 peratus (BFR/BLR sekarang ialah 6.60 peratus), anda layak menerima pinjaman sehingga RM150,000.

Jadi, Cik Zauyah pasti gembira kerana memang mampu memiliki kediaman dalam lingkungan harga antara RM140,000 sehingga RM180,000, tetapi dengan syarat anda mempunyai tunai yang secukupnya untuk membayar wang pendahuluan bagi hartanah yang bakal dibeli.

Terdapat perbezaan apabila anda mengambil pinjaman perumahan konvensional berbanding pembiayaan perumahan Islam. Secara umumnya pembiayaan perumahan Islam adalah berdasarkan kadar tetap manakala pinjaman perumahan konvensional adalah pada kadar terapung.

Dalam persekitaran kadar yang tidak menentu, pelan pembiayaan perumahan Islam memihak kepada anda dengan menetapkan kadar kerana bayaran bulanan adalah tetap sepanjang tempoh kemudahan. Bagaimanapun, bagi pembiayaan Islam, model perlu dilihat secara menyeluruh.

Kewangan Islam menerapkan nilai-nilai teras yang meliputi ketelusan, etika dan keadilan. Walaupun sesiapa sahaja boleh menghargai sifat adil dan etika kewangan Islam, sebagai seorang Islam, hakikat bahawa kita mengenepikan amalan riba dalam hal-ehwal kewangan kita pasti meningkatkan lagi daya tarikan perbankan Islam.

Faktor kedua paling penting apabila anda membeli rumah ialah kedudukan kewangan semasa anda. Sekiranya pendapatan anda ialah RM2,800, anda perlu memperuntukkan RM750 untuk membayar ansuran pinjaman perumahan (pembiayaan perumahan bagi kemudahan Islam).

Walaupun bank meluluskan pinjaman, anda mungkin tidak mampu membuat bayaran kerana anda mungkin mempunyai tanggungan kewangan lain.

Memandangkan hartanah yang hendak dibeli adalah untuk tujuan pelaburan, anda boleh menyewakannya untuk meraih pendapatan bulanan.

Sewa tersebut boleh digunakan untuk mengimbangi ansuran bulanan. Justeru, dalam pemilihan hartanah, anda perlu mengetahui sewa yang boleh diraih.

Ini tidak bermakna anda menerima sewa tanpa perlu mencurahkan masa dan tenaga mahupun menanggung apa-apa kos. Adakala rumah anda mungkin tiada penyewa.

Selain itu, sebagai pemilik, ada kos lain yang perlu anda bayar, contohnya yuran penyenggaraan untuk pangsapuri atau pembaikan hartanah. Rancang dan buat peruntukan sedemikian dalam bajet anda.

Kami juga ingin mengingatkan anda bahawa pembelian hartanah ialah satu keputusan amat penting Kajian dan pengiraan perlu dibuat sebelum keputusan dicapai. Bersiap sedia dari segi kewangan.

Pastikan rekod kredit anda bersih dan jelaskan seberapa banyak hutang yang mungkin untuk melayakkan anda mendapat pinjaman. Buat persediaan untuk mengumpulkan wang pendahuluan jika anda belum berbuat demikian.

Saturday, 19 November 2011

Kelayakan Pinjaman Lebih Ketat

Kuala Lumpur 18 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang menetapkan kelayakan permohonan pinjaman bank perlu berdasarkan pendapatan bersih dan bukan lagi pendapatan kasar pemohon, berkuatkuasa 1 Januari ini.

Dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah di negara ini yang masih terkawal, BNM juga mengehadkan tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan hanya selama sembilan tahun berbanding 11 tahun bagi permohonan yang diterima mulai hari ini.

Di bawah garis panduan tanggungjawab pembiayaan baharu itu, permohonan pemohon juga dinilai berdasarkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa, kata Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini.

Katanya, permohonan itu, bagaimanapun hanya melibatkan segmen runcit seperti pembiayaan kediaman, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pinjaman peribadi termasuk kemudahan overdraf dan pembiayaan bagi pembelian sekuriti kecuali pembiayaan margin saham.

Beliau berkata, kesemua pendekatan itu adalah sejajar dengan amalan semasa tetapi dengan garis panduan ini memastikan institusi kewangan tidak melonggarkan prinsip amalan pembiayaan berhemat dan bertanggungjawab.

BNM menegaskan garis panduan ini bukan sahaja perlu dipatuhi oleh institusi perbankan di bawah pengawasan Bank Pusat itu, tetapi juga oleh Suruhanjaya Syarikat Awam, Malaysia Building Sosiety Bhd. (MBSB) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Bhd.

''Garis Panduan ini diperkenalkan supaya kedudukan hutang isi rumah di negara ini lebih terurus. Setakat ini tahap hutang isi rumah tidak membimbangkan.

''Kita tidak mahu kegagalan amalan kredit mencetuskan kegagalan dalam sistem kewangan kerana sistem kewangan saling berkait dengan ekonomi,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku ketiga 2011.

Kadar nisbah hutang tertunggak adalah 1.99 peratus dan mungkir pembayaran dalam tempoh satu hingga dua bulan adalah empat peratus sahaja.

Sehingga September 2011, kadar tahunan pinjaman isi rumah kini meningkat 11.4 peratus dan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah sebanyak 77.6 peratus.

Beliau menjelaskan peningkatan hutang isi rumah negara semasa disokong oleh pertambahan pendapatan secara stabil dan kedudukan pekerjaan yang baik.

Sejumlah 64 peratus pinjaman digunakan bagi pembelian aset seperti kediaman dan kenderaan.

Zeti berkata, garis panduan baharu itu tidak akan menjejaskan sektor pinjaman yang merupakan antara faktor utama memacu ekonomi negara selain mengekang aktiviti pinjaman haram yang boleh menjejaskan ekonomi secara keseluruhannya.

Katanya, garis panduan baharu itu dilaksanakan untuk menyemai amalan tanggungjawab pinjaman oleh institusi kewangan yang berurusan dengan pelanggan runcit.

Ia turut mempromosi sikap pinjaman bertanggungjawab untuk merangsang pasaran kredit yang sihat dan kekal, sekali gus menyumbang kepada kestabilan kewangan dan ekonomi serta memperkukuhkan kepentingan pengguna.

Berikutan itu, di bawah syarat garis panduan tersebut, institusi perbankan perlu memastikan produk pembiayaan yang ditawarkan adalah sesuai dan mampu memenuhi keperluan kewangan pelanggan.

Memanfaatkan Pinjaman Bertindih

Saya pernah membuat pinjaman peribadi di sebuah bank tiga tahun lalu dan masih lagi mempunyai tempoh empat tahun untuk melunaskannya.

Bagaimanapun, sekarang saya berhasrat untuk mendapatkan lagi pinjaman kira-kira RM15,000. Saya difahamkan seseorang boleh membuat pertindihan pinjaman daripada baki pinjaman awal.

Persoalannya adakah cara itu langkah terbaik atau saya perlu membuat pinjaman di bank lain?

Jawapan.

Apabila menilai pilihan yang ada, anda perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami perbezaan antara tawaran, ciri-ciri dan terma & syarat bank anda yang sedia ada dan tawaran bank lain.

Pembiayaan semula atau menambah kemudahan yang sedia ada dengan bank sama lebih mudah diuruskan kerana anda mungkin hanya perlu membayar satu jumlah ansuran pada satu tarikh bayaran setiap bulan.

Langkah mengambil kemudahan tambahan dengan bank yang lain, sambil mengekalkan kemudahan semasa, memerlukan anda membuat dua pembayaran bulanan yang berasingan dan mengingati dua tarikh bayaran yang berbeza.

Ini mungkin mengambil masa dan menyusahkan. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, anda perlu menilai perbezaan tawaran, ciri-ciri dan terma dan syarat antara bank anda yang sedia ada dan tawaran daripada bank lain sebelum membuat keputusan muktamad.

Jika bank lain menawarkan kadar atau kemudahan lebih menarik dan anda memahami dan menerima terma dan syaratnya, ada baiknya anda memohon pembiayaan daripada bank lain.

Jika semua faktor lain sama, orang ramai biasanya mahu mengurangkan kerumitan dan lebih suka berurusan dengan hanya satu bank.

Tuesday, 8 November 2011

Niaga Hadapan

Bagaimanakah saya bermula untuk melabur dalam niaga hadapan?

Jawapan.

Ketahui apa yang didagang adalah sangat penting sebelum memulakan niaga hadapan. Anda haruslah merujuk sebanyak mungkin maklumat atau mendapatkan nasihat daripada pakar dalam pelaburan ini.

Dengan adanya ilmu pengetahuan yang betul, anda kini perlu membuat pelan dan keputusan untuk melabur di samping strategi pelaburan yang sesuai.

Di samping itu, anda juga dinasihatkan supaya mempunyai idea jumlah dana yang perlu diperuntukan untuk akaun pelaburan niaga hadapan anda.

Ini ditentukan oleh kadar risiko yang sanggup diambil oleh anda. Dagangan niaga hadapan melibatkan risiko tertentu, oleh itu anda dinasihatkan supaya berdagang dengan modal risiko yang mampu ditanggung.

Langkah seterusnya adalah pembukaan akaun niaga hadapan dengan broker niaga hadapan berlesen. Setelah pembukaan akaun, anda perlu mengemukakan margin kepada broker niaga hadapan anda.

Margin adalah jumlah wang yang diperlukan untuk memegang kontrak niaga hadapan. Semua kontrak niaga hadapan didagang berdasarkan margin, di mana ia diperlukan untuk menampung sebarang kerugian, jika ada, disebabkan oleh pergerakan pasaran.

Apabila anda mengalami pulangan negatif atas kedudukan niaga hadapan, tambahan dana adalah diperlukan untuk mengubah margin tersebut kepada margin permulaan.

Sebagai contoh, katakan margin kontrak niaga hadapan jagung adalah AS$1,000. Jika harga jagung menurun, baki margin akan berada di bawah paras AS$1,000 dan anda perlu mengemukakan lebih banyak dana untuk mengekalkan paras AS$1,000.

Kontrak yang berlainan mempunyai margin yang berlainan, kebanyakannya ditetapkan oleh Niaga Hadapan Bursa. Margin ini adalah ditentukan berdasar kepada risiko serta ketidaktentuan instrumen.

Contohnya, jika perubahan pasaran niaga hadapan adalah besar, maka kadar margin berkemungkinan ditingkatkan berdasarkan risiko berpunca daripada kemeruapan pasaran.

Di sisi yang lain, bekerjasama dengan broker anda untuk menentukan keperluan pelaburan dan juga sokongan seperti penyelidikan, idea-idea pelaburan, berita terkini dan juga platform dagangan.

Dagangan niaga hadapan mendapat sambutan hangat daripada seluruh dunia apabila pasaran global tidak menentu yang disebabkan oleh ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

Sesetengah pelabur melihat instrumen ini sebagai satu kaedah untuk melindungi nilai manakala yang selainnya ingin mengaut keuntungan daripada pergerakan harga.

Dengan bantuan broker yang berpengalaman ataupun mentor berkaliber, dagangan niaga hadapan berkemungkinan tinggi menjadi sumber kekayaan anda.

Tuesday, 25 October 2011

Asas Pasaran Niaga Hadapan

Pada bahagian lepas, sejarah pasaran niaga hadapan dibincang. Dalam bahagian ini, kita akan berbincang bagaimana niaga hadapan berfungsi. Jadi, apakah niaga hadapan?

Jawapan.

Pasaran Hadapan adalah derivatif yang mana nilainya bergantung kepada aset pendasar hadapan.

Sebagai contoh, nilai niaga hadapan Emas bergantung kepada harga Emas (emas merujuk kepada aset pendasar).

Niaga Hadapan dikatakan mencerminkan harga sebenar komoditi tertentu. Kebanyakan pelabur menggunakan niaga hadapan sebagai ramalan arah harga komoditi.

Pergerakan harga kontrak niaga hadapan mempunyai hubungan kait dengan pergerakan harga aset pendasar. Dalam erti kata lain, apabila harga Emas meningkat, begitu juga dengan Niaga Hadapan Emas.

Kontrak niaga hadapan boleh dijelaskan sebagai perjanjian antara dua pihak di mana satu pihak (pembeli) bersetuju untuk membeli dari pihak lain (penjual), aset pendasar pada tarikh masa hadapan pada harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada hari ini.

Aset pendasar boleh ditakrifkan sebagai aset di mana harga derivatif bergantung kepada kontrak niaga hadapan.

Sebagai contoh, katakan Dorian membuat pesanan penghantaran McDonald untuk makan tengah harinya.

Pembelian Dorian adalah sama dengan kontrak niaga hadapan kerana Dorian (sebagai pembeli) telah bersetuju untuk menerima produk (burger dan kentang goreng) pada tempoh masa depan (40 minit kemudian) dengan harga (harga makanan) dan cara penghantaran (alamat yang diberikan oleh Dorian) yang telah ditetapkan dengan Restoran McDonald (penjual) terlebih dahulu.

Sekiranya McDonald ingin menaikkan harga burger dan kentang goreng dalam masa 40 minit akan datang, ia tidak akan berlaku kerana Dorian telah menetapkan harga yang lebih rendah terlebih dahulu.

Justeru, Dorian tidak mempunyai risiko untuk membayar perbezaan kenaikan harga tersebut. Perlu diingatkan bahawa niaga hadapan tidak semudah itu, namun contoh ini menunjukkan ilustrasi niaga hadapan dengan meminimakan aspek teknikalnya.

Kita seharusnya memahami asas niaga hadapan sebelum berkecimpung secara mendalam.

Perlu diingatkan bahawa kontrak hadapan adalah wajib bagi kontrak hadapan untuk membeli atau menjual aset pendasar biasanya komoditi, pada masa hadapan pada harga yang telah ditetapkan hari ini.

Kewajipan ini seharusnya dipenuhi oleh individu yang memegang kontrak tersebut. Ini bermakna pembeli bertanggungjawab untuk menunaikan syarat-syarat kontrak pada tarikh luput melainkan jika ia telah ofset.

Ini boleh dilakukan dengan mengimbangkan kedudukan kontrak daripada individu asal.

Contohnya, John telah membeli kontrak niaga hadapan. Untuk memenuhi tanggungjawabnya, John hendaklah menutup kedudukannya dengan menjual apa yang dibeli oleh beliau.

Ada kalanya, individu memilih untuk memegang kontrak sehingga tarikh penyerahan. Kontrak tersebut perlu diselesaikan secara tunai ataupun melalui penghantaran komoditi fizikal (atau aset pendasar).

Contohnya, Melissa ingin memegang kontrak niaga kelapa sawit sehingga tarikh penghantaran, beliau perlu mencari tempat untuk menyimpan minyak sawit yang akan dihantar kepadanya secara fizikal selepas tarikh penyerahan sebagaimana dinyatakan dalam kontrak tersebut.

Ia adalah penting untuk mengetahui bahawa istilah 'komoditi' yang disebut dalam niaga hadapan mempunyai takrifan yang luas. Komoditi dalam niaga hadapan termasuk komoditi fizikal, instrumen kewangan dan pertukaran wang asing serta indeks saham.

Bukan semua kontrak niaga hadapan akan diselesaikan secara penghantaran fizikal. Sekiranya kontrak itu tidak ditutup sebelum tarikh luput, pemegang kontrak niaga hadapan akan membayar atau menerima jumlah wang yang sama dengan perbezaan dalam nilai kontrak pada tempoh ia dibuka sehingga harga penutupan yang terakhir bagi kontrak tersebut. Ini dikenali sebagai penyelesaian tunai.

Walaupun senario ini boleh berlaku, namun kebanyakan pemegang kontrak niaga hadapan akan menutup kontrak mereka sebelum tarikh luput dengan menetapkan kedudukan yang sesuai.

Dalam bahagian seterusnya, kami akan meliputi pemain-pemain utama dalam pasaran hadapan serta peranan mereka dalam pasaran.

Artikel oleh Bursa Malaysia Bhd.

Kelebihan Niaga Hadapan

Sememangnya dagangan niaga hadapan memiliki banyak kelebihan kerana pelabur tidak perlu bertumpu dengan individu saham dalam pasaran ekuiti yang merangkumi pelbagai saham.

Dengan adanya niaga hadapan, pelabur boleh menjana keuntungan daripada komoditi yang tidak mempunyai hubungan rapat dengan pasaran ekuiti.

Malah, dengan adanya alternatif ini, pelabur boleh mempelbagaikan portfolio mereka dan menyesuaikan risiko.

Satu lagi kelebihan dagangan niaga hadapan adalah keupayaan untuk berdagang sepanjang musim. Tidak seperti pasaran saham, pasaran niaga hadapan adalah aktif didagang tidak kira sama ada pasaran adalah baik ataupun tidak.

Dengan kelebihan ini, pelabur berupaya untuk memaksimumkan pulangan mereka. Contohnya, seseorang pelabur dibenarkan untuk jualan pendek dalam pasaran niaga hadapan.

Dalam pasaran ekuiti Malaysia, jualan pendek saham adalah tidak dibenarkan. Dalam keadaan ini, keuntungan hanya dapat dijana apabila pasaran saham meningkat.

Sebaliknya, dalam pasaran niaga hadapan, pelabur adalah dibenarkan untuk jualan pendek, sekali gus menjadikan niaga hadapan lebih fleksibel.

Paling penting, dagangan niaga hadapan membantu melindungi portfolio pelabur dan mengurangkan turun naik harga yang kemungkinan menjejaskan kepentingan pelabur.

Dalam pasaran yang tidak menentu, perdagangan niaga hadapan boleh digunakan untuk mengurangkan risiko pelabur yang lebih cenderung kepada risiko rendah.

Niaga hadapan juga merupakan satu kelebihan terhadap pelabur yang berisiko tinggi.

Bergantung kepada pergolakan pasaran, pelabur yang gemar risiko tinggi (biasanya spekulator) boleh memaksimumkan keuntungan daripada pergerakan pasaran dengan kos dagangan yang minimum.

Salah satu kelebihan paling ketara dalam niaga hadapan adalah keupayaan untuk mengumpil. Ia merupakan satu kelebihan kewangan pelaburan tertentu yang membolehkan individu untuk mengawal aset dalam nilai yang lebih besar daripada nilai yang dilabur.

Dalam niaga hadapan, anda perlu menyerahkan margin awal serta mengekalkan margin tersebut pada tahap yang ditetapkan.

Margin adalah jumlah wang yang perlu dikemukakan untuk mengawal kontrak niaga hadapan. Misalnya, anda telah mendepositkan AS$21,600 dalam akaun margin untuk membeli satu kontrak niaga hadapan perak.

Anda kini mengawal 5000 auns perak bernilai AS$ 200,000 (perak pada AS$40 x 5,000oz) dengan margin awal hanya AS$21,600.

Pengumpilan, seperti yang ditunjukkan dalam contoh di atas, membolehkan seseorang individu untuk menggunakan modal yang berjumlah kecil (AS$1,600) untuk mengawal aset yang berjumlah besar (AS$200,000).

Selain itu, niaga hadapan memerlukan masa yang lebih pendek berbanding dengan pelaburan lain.

Memandangkan seseorang boleh membuat pelaburan dalam indeks, ia adalah satu kelebihan kerana tidak perlu memilih saham tertentu atau menganalisis laporan kewangan syarikat.

Niaga hadapan membolehkan anda membuat pelaburan terhadap indeks secara keseluruhan. Ini secara langsung mengelak daripada kerumitan untuk memilih saham-saham yang 'murah' ataupun 'baik'.

Satu lagi kelebihan dagangan niaga hadapan adalah kos urus niaga yang rendah. Biasanya, kadar komisen kontrak niaga hadapan adalah lebih rendah berbanding nilai ekuiti yang sama.

Kini dengan adanya dagangan secara dalam talian , kadar komisen adalah lebih rendah.

Sunday, 2 October 2011

Denda Lewat hantar Penyata Cukai

Kuala Lumpur 30 Sept - Pembayar cukai yang gagal atau lewat menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) mengikut tempoh yang ditetapkan akan dikenakan penalti antara 20 peratus hingga 35 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, kadar 20 peratus akan dikenakan kepada pembayar cukai yang menghantar borang selepas 12 bulan dari tarikh ditetapkan dan bagi yang menghantar selepas 24 bulan dari tarikh ditetapkan, kadar 25 peratus akan dikenakan.

“Penghantaran BNCP yang dibuat sebelum 36 bulan akan dikenakan penalti sehingga 30 peratus dan penalti 35 peratus pula bagi penyerahan borang yang dibuat selepas 36 bulan dari tarikh yang ditetapkan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan tegas itu perlu dilakukan bagi memastikan pembayar cukai menghantar BNCP mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

“Peringatan supaya semua pihak mematuhi tarikh penghantaran BNCP telah berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu khususnya bagi individu yang menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.

Menurut Mohd. Shukor, kegagalan mengemukakan BNCP dalam tempoh sepatutnya merupakan satu kesalahan mengikut subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Tambah beliau, walaupun kadar penalti yang dikenakan agak tinggi, ia tidak akan meningkat melebihi tiga kali ganda daripada cukai yang dikenakan.

Jelasnya, orang ramai yang mahu mendapatkan pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan LHDN di talian 1 300 88 3010 atau melayari laman web http://www.hasil.gov.my/.

Wednesday, 24 August 2011

Fungsi OPR dan BLR dalam Sistem Perbankan

Bank Negara Malaysia diramal menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali lagi pada tahun ini dengan alasan membendung inflasi. Saya ingin bertanya adakah benar perbankan Islam mempunyai had kenaikan tertinggi dalam asas asas pembiayaan (BLR) berbanding perbankan konvensional jika kenaikan OPR terus berlaku.

Jawapan.

Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan keberkesanan mekanisme transmisi dasar wang dan juga untuk menggalakkan penetapan harga yang lebih cekap oleh institusi perbankan, iaitu, bank Islam dan juga bank konvensional.

Memandangkan industri perbankan Islam beroperasi dalam sistem dwiperbankan dan tidak mempunyai kadar penanda aras tersendiri, ia tetap menggunakan BLR sebagai kadar penanda aras, yang dikenali sebagai Kadar Pembiayaan Asas atau Islam, atau singkatan Inggeris “BFR” atau “IFR”.

Dari sudut pembiayaan Islam, memang terdapat kadar tertinggi bagi produk pembiayaan Islam Bai Bithaman Ajil (BBA), yang disusun menggunakan kaedah campuran, iaitu membabitkan kadar tetap dan terapung.

Dalam keadaan ini, bank akan menggunakan kadar had yang tinggi untuk mengira harga jualan manakala pelanggan diminta membayar mengikut kadar pasaran.

Jika terdapat peningkatan/pengurangan dalam BFR, ansuran pelanggan akan berubah dengan sewajarnya. Bagaimanapun, ansuran tidak boleh melebihi kadar had yang ditetapkan.

Dalam suasana BLR yang rendah, pembiayaan Islam nampak seperti lebih mahal daripada pinjaman biasa, terutamanya apabila kadar had/siling tinggi digunakan untuk mengira ansuran.

Oleh yang demikian, sesetengah bank Islam telah bertukar daripada instrumen kadar tetap, iaitu produk BBA, kepada pembiayaan berasaskan sewa (pajakan) seperti yang ditawarkan oleh OCBC Al- Amin.

Dalam struktur Ijarah ini, kos pembiayaan adalah berasaskan kadar sewa yang fleksibel dan tidak tetap seperti kadar BBA. Kadar sewa boleh diubah dari masa ke masa untuk mencerminkan keadaan pasaran.

Justeru, bank Islam berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengurangkan risiko kadar faedah berbanding keupayaannya berbuat demikian di bawah sistem kadar tetap BBA.

Ini membolehkan bank Islam bersaing dengan bank konvensional, terutamanya dalam suasana kadar faedah rendah. Dalam struktur ini, tiada kadar siling kerana ansuran berubah-ubah berasaskan pergerakan BLR/BFR.

Keadaan ini saling menguntungkan bank dan juga pelanggan, khususnya mereka yang suka membandingkan kadar dalam suasana kadar faedah rendah, manakala bank dapat menguruskan kos dan bersaing dengan produk pinjaman konvensional.

Memandangkan kedua-dua struktur mempunyai ciri kelebihan yang tersendiri, kelemahan struktur pajakan ini ialah ia mungkin dilihat seolah-olah ‘agak sama’ dengan produk biasa walaupun mengekalkan cirinya sebagai produk yang patuh Syariah.