Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Showing posts with label Agro Ternak. Show all posts
Showing posts with label Agro Ternak. Show all posts

Tuesday, 10 April 2012

Kajian Artemia Bantu Sektor Akuakultur


Kajian antibiotik terhadap artemia penting bagi menentukan ketahanan ikan dalam air.

Bidang akuakultur di negara ini berkembang pesat sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk yang memerlukan sumber makanan daripada sektor perikanan.

Bagaimanapun, sumber perikanan marin yang kita miliki semakin berkurangan dek kerakusan mereka yang tidak bertanggungjawab yang menangkap ikan tanpa kawalan.

Dikhabarkan bahawa masalah tersebut berlaku di Terengganu yang mana nelayan telah mengalami kerugian besar kerana sumber perikanan di perairan Pantai Timur itu semakin susut.

Masalah tersebut menyebabkan harga ikan melambung dan mendorong pelbagai pihak termasuk kerajaan mahupun pihak swasta bertungkus-lumus mencari jalan bagi memastikan bekalan sumber perikanan kita ada dan cukup untuk menampung keperluan penduduk.

Oleh sebab itu, program dan aktiviti akuakultur semakin mendapat perhatian. Akuakultur merupakan proses menternak spesies hidupan mahupun tumbuhan air tawar, air masin dan air payau dalam persekitaran yang terkawal.

Ia juga dilihat sebagai satu proses dan gerak kerja yang perlukan pemantauan berterusan bagi meningkatkan mutu pengeluaran produk akuakultur.

Unit makanan hidup merupakan unit yang terpenting dalam pengurusan akuakultur. Antara zooplankton yang menjadi jantung kepada unit makanan hidup adalah artemia.

Artemia merupakan makanan hidup yang diberikan kepada anak ikan bermula pada umur tiga hari sehingga 25 hari.

Namun, masalah besar yang dihadapi oleh penternak kini adalah pengeluaran kos yang tinggi terhadap makanan ikan dan jangkitan penyakit pada anak ikan yang mengundang kerugian besar kepada mereka.

Bagi memastikan sektor akuakultur bertahan lama dan makin berkembang, penyelidikan terhadap makanan hidup ikan wajar dilakukan, terutamanya artemia.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai tasik garam iaitu habitat semula jadi artemia, namun ia telah dibuktikan di jiran terdekat Malaysia, Thailand mampu untuk membiakkan artemia.

Di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), penyelidikan mengenai artemia giat dijalankan iaitu untuk membiakkan artemia menggunakan bahan sisa pertanian seperti biji getah, biji durian, biji nangka, kulit pisang dan sekam padi ( sebagai kawalan).

Artemia diternak dan di beri makan empat jenis makanan iaitu sisa bahan pertanian yang berbeza untuk melihat potensi makanan tersebut dalam membiakkan zooplankton tersebut.

Setakat ini, sekam padi berjaya membiakkan artemia.

Selain itu, kesemua jenis makanan tersebut di analisis protein termasuk jua artemia untuk mendapatkan data yang lengkap mengenai kandungan protein yang terdapat dalam kesemua makanan dan spesies berkenaan tersebut.

Objektif kajian adalah untuk melihat potensi Malaysia dalam menghasilkan artemia sendiri kerana spesies yang diimport membebankan dan menelan kos yang tinggi.

Kajian yang dijalankan ini juga memfokuskan kepada bakteria yang hadir dalam tangki penternakan artemia dan ujian pola ketahanan antibiotik dan logam berat turut dikaji.

Sisa bahan pertanian yang digunakan berpotensi tinggi dalam membiakkan artemia kerana ia mengandungi protein yang tinggi terutamanya biji nangka dan biji getah.

Protein yang tinggi dalam makanan artemia adalah sangat bagus untuk perkembangan anak-anak ikan. Selain itu, ia mampu menjadikan anak-anak ikan tersebut rintang kepada penyakit.

Antara bakteria yang berjaya dikesan adalah patogenik bakteria yang terdiri daripada E. coli, Salmonella sp., Aeromonas sp., Vibrio alginolyticus, Vibrio parahaemolyticus, Pseudomonas sp., dan Flavobacter sp.

Menurut kajian yang telah dijalankan di Belgium, bakteria Pseudomonas sp. Hadir di dalam tangki ternakan melalui udara dan pam udara yang terdapat di dalam tangki.

Antibiotik

Antibiotik merupakan elemen penting dalam akuakultur. Hal ini kerana, ikan mahupun semua spesies mudah terdedah kepada jangkitan penyakit.

Antara antibiotik yang biasa digunakan dalam akuakultur adalah kanamycin. Kesemua bakteria di uji ketahanan terhadap 16 antibiotik yang terpilih.

Kemudian sebanyak 41 tanaman ekstrak di uji bagi menggantikan antibiotik yang juga dikenali sebagai antibiogram.

Artemia dan cabarannya

Sebagai zooplankton yang hidup di kawasan yang bersaliniti yang tinggi, ia dilihat memberi cabaran yang besar kepada Malaysia untuk membiaknya.

Malaysia tidak mempunyai tasik garam yang menjadi habitat semulajadi artemia. Namun, ia bukan penghalang kepada kita untuk menghasilkannya.

Dengan kesungguhan para saintis muda mahupun yang berpengalaman dari UMK, diharap projek ini berjaya seperti mana Thailand yang juga telah membuktikan mereka mampu untuk menghasilkan artemia.

Sokongan yang berterusan daripada kerajaan mahupun pihak yang berwajib, diharap dapat memberikan impak yang sangat besar kepada industri akuakultur di Malaysia ini.

Wednesday, 23 November 2011

MARDI Giat Ganda Dorper

Biri-biri Dorper mula dibawa masuk ke negara ini pada tahun 2006.

Sejarah biri-biri di negara ini bermula sejak 50 tahun lalu. Tetapi biri-biri yang biasa terdapat di negara empat musim tidak sesuai dengan persekitaran negara yang panas dan lembap.

Ketika itu banyak biri-biri di negara ini yang berpenyakit malah mati akibat tidak dapat bertahan dengan cuaca di negara ini.

Pada awal tahun 1980-an, penternak menternak biri-biri baka rerambut seperti Barbados, Black Belly, Santa Ines, Bali-Bali, St. Croix dan Novada yang sesuai dengan keadaan cuaca tropika kerana tidak mempunyai bulu yang tebal.

Baka rerambut (Hair sheep) seperti Barbados Black Belly dan Bali-Bali dapat bertahan tetapi sukar didapati kerana hanya terdapat di negara asalnya kepulauan Barbados dan Afrika Barat selain kos pengangkutan yang tinggi serta regulasi gen yang terkawal ketika itu.

Bagaimanapun selepas berakhirnya rejim Aparteid, baka kambing dan biri-biri Afrika Selatan telah mula dibawa keluar seperti kambing baka Boer dan biri-biri baka Dorper ke Australia dan dibiakkan dengan cepat.

Kambing dan biri-biri dibawa ke Australia dalam bentuk ternakan hidup (diawal pengimportan), embrio dan semen sejuk beku.

Dorper banyak didapati di Australia tetapi di sana juga terdapat baka Merino dan kacukan Dorper Merino yang tidak sesuai diternak di negara ini kerana mempunyai bulu yang tebal dan tidak tahan ketegasan haba.

Timbalan Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa berkata, Dorper yang dikacukkan dengan Damara dipanggil Damper lebih sesuai dibanding dengan Dorper Merino kerana kedua-dua baka asal adalah biri-biri rerambut.

“Biri-biri Dorper mula dibawa masuk ke negara ini pada tahun 2006 dan dikacukkan dengan biri-biri tempatan bagi meningkatkan berat badan dan prestasi sehingga 30 peratus.

“Pada 2008, MARDI telah membawa masuk 300 ekor biri-biri Dorper tulen dari Afrika Selatan bagi menguji kesesuaian baka terhadap persekitaran di negara ini,” katanya yang menjalankan penyelidikan kambing dan biri-biri lebih 20 tahun.

Kajian yang dijalankan selama tiga tahun mendapati Dorper sesuai diternak di negara ini memandangkan kadar kelahiran dengan kenaikan berat badan yang tinggi, kadar kematian rendah sementara ketahanan terhadap penyakit.

Pada tahun yang sama Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pekan, Pahang telah membangunkan ternakan biri-biri Dorper bertujuan menjana ekonomi Orang Asli.

Fasa pertama telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Ogos 2008 dengan kemasukan 960 ekor Dorper kacukan betina dan 40 ekor jantan tulen.

Manakala fasa kedua pula pada 24 Februari melibatkan 2,800 ekor Dorper kacukan.

Dianggarkan tahun ini 6,000 ekor biri-biri Dorper akan ditempatkan di sana selain pihak MARDI akan terus memperkenalkan biri-biri berkenaan kepada penternak.

Sehingga kini terdapat tiga orang penternak yang mula menternak biri-biri Dorper secara komersial sejak tahun lepas. Satu daripadanya ialah Ladang Semosa.

MARDI bercadang membangunkan ladang pengganda Dorper berasaskan teknologi bagi penternak terpilih seperti yang telah dijalankan untuk baka Boer.

Dr. Mohmad giat menjalankan penilaian baka untuk mengeluarkan baka yang tidak produktif bagi memulakan pembiakbakaan dengan pejantan Dorper tulen.

Biasanya 20 peratus ternakan akan dipilih bagi dijadikan baka. Ladang Semosa akan dibangunkan bagi menghasilkan baka biri-biri Dorper dan ternakan yang tidak sesuai dijadikan baka akan dijual untuk sembelihan.

Beberapa data awal menunjukkan peningkatan berat badan yang baik antara 200 hingga 300 gram sehari seekor.

Makanan dengan formula sendiri menggunakan campuran herba dan hampas soya dapat membantu meningkatkan prestasi berat badan serta mengurangkan kos makanan.

Sebenarnya ramai penternak terpaksa gulung tikar kerana bergantung dengan makanan ternakan atau palet yang sangat mahal.

Dorper Sumber Rezeki Baru

Mohd. Nasir menternak pelbagai jenis kambing dan biri-biri untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Pertanian bagaikan sudah menjadi darah daging Mohd. Nasir Samat. Bermula dengan ladang sayur yang terletak di Astana Raja, Negeri Sembilan ia kemudian berkembang kepada ladang ternakan dan sayuran di Kota Rembau dan ladang ternakan biri-biri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hasil kerja keras kini ladangnya di Kota, Rembau mempunyai 200 ekor induk biri-biri, 30 ekor induk kambing, 80 ekor induk lembu, lebih 20,000 ekor ikan keli dalam enam buah kolam tanah dan 25 ekar ladang sayuran.

Apa yang menarik ladang yang diusahakan Mohd. Nasir Samat itu melaksanakan sistem integrasi sepenuhnya segala bahan yang terdapat di dalam ladang.

Semua sisa pertanian digunakan semula melalui amalan kitar semula dengan sasaran sisa sifar. Misalnya, sisa ternakan diproses menjadi baja sebelum diletakkan di kebun sayur-sayuran di ladangnya.

Ini bagi mengurangkan penggunaan baja kimia selain ternakan kambing dapat mengawal rumpai dan mengurangkan penggunaan racun.

Apa yang menarik, bekas kontraktor itu kini berjaya mengisi ladangnya dengan pelbagai jenis biri-biri. Malah, dia sedang mencongak untuk mengubah ternakan biri-biri tersebut kepada baka Dorper.

Amat mementingkan kepuasan pelanggan, Mohd. Nasir sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk ternakan terutama dalam makanan yang bermutu dan berkhasiat bagi mendapatkan karkas yang terbaik bagi pelanggan.

Untuk tujuan itu, dia menanam jagung sebagai makanan biri-biri selain memproses makanan sendiri sebagai satu kaedah mengurangkan kos makanan.

Dia bertekad menghasilkan makanan ternakan sendiri selepas belajar daripada pengalaman awal dahulu ketika memulakan projek ternakan.

Ketika itu, terdapat ternakannya mati akibat makanan yang tercemar. Kajian ke atas bangkai ternakan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati palet yang digunakan telah berkulat mungkin terlalu lama disimpan.

Kes tersebut mendorong Mohd. Nasir menggunakan formula sendiri bagi menghasilkan makanan ternakan menggunakan campuran palet hancur, soya, molases, bawang putih, halia, kunyit dan mas cotek.

“Ini merupakan makanan utama selain rumput Napier sebagai makanan sampingan dan rumput di sekitar kawasan ladang,” katanya.

Makanan biri-biri daripada rumusan sendiri dan rumput Napier sebanyak empat kilogram (kg) seekor sehari dapat meningkatkan berat badan biri-biri sehingga 300 gram sehari seekor.

Sementara itu bagi meningkatkan pembiakbakaan, Mohd. Nasir mendapatkan khidmat nasihat dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang mana anak biri-biri jantan berusia dua hingga empat bulan yang telah bercerai susu dihantar ke ladang penggemuk dan diberi makan palet (creep feed) 100 gram seekor sehari.

Pada mulanya, Mohd. Nasir memelihara 42 ekor biri-biri pada peringkat pertama yang hampir matang dengan formulasi makanan menghasilkan peningkatan berat badan antara 150 hingga 200 gram seekor sehari.

“Kebanyakan Dorper betina yang saya pelihara ketika itu telah bunting dan hanya menunggu masa untuk beranak.

“Kebiasaannya ibu biri-biri bunting akan dibiarkan meragut sebagai satu senaman,” katanya. Anak-anak yang dilahirkan mempunyai berat badan purata lima kg dengan peningkatan berat badan 250 gram sehari seekor.

Mohd. Nasir berkata, biri-biri Dorper menjadi pilihan kerana karkasnya meliputi 48 hingga 50 peratus berat badannya.

Bagi melicinkan operasi ladangnya di tanah seluas 51 ekar dengan 80 peratus merupakan padang ragut, dia menggajikan enam orang pekerja iaitu empat pekerja asing dan dua orang rakyat tempatan yang bekerja sepenuh masa serta tiga orang separuh masa.

Di atas tanah tersebut terdapat sebuah kandang transit seluas 20 kaki x 30 kaki bagi tujuan kuarantin atau biosekuriti sebelum biri-biri yang baru sampai dilepaskan ke ladang ternakan umum.

Kapasiti penuh ladang boleh memuatkan sehingga 7,000 ekor biri-biri dengan lebih 400 ekor satu kandang.

Anak baru lahir akan berada dengan ibu sekurang-kurangnya selama 72 jam bagi mendapatkan susu awal atau kolostrum manakala pembiakan boleh dijalankan sebanyak tiga kali setahun.

Selepas itu anak biri-biri akan diberikan makanan khas (creep feed) dengan 20 peratus lebih protein.

Biasanya biri-biri berusia enam bulan telah mula dijual untuk sembelihan kerana kandungan kolestrol dan lemak yang rendah serta tinggi kandungan protein.

Manakala harga yang berpatutan memberikan peluang kepada masyarakat kelas menengah dan tinggi menikmatinya.

Kini ladang ternakan milik Mohd.Nasir berupaya mengeluarkan sehingga 60 ekor biri-biri sembelihan sebulan.

Memandangkan sambutan terhadap biri-biri Dorper semakin menggalakkan, beliau merancang membuat pusat latihan untuk orang kampung dalam kumpulan kecil.

Nasir meminati biri-biri kepada Dorper kerana saiz karkas lebih besar, peningkatan berat badan lebih tinggi boleh dijual pada usia enam bulan, pengurusan ternakan mudah dan jimat daging yang lunak dan lembut .

Bagi tujuan pemasaran Nasir mempunyai kedai konsep yang menjual makanan berasaskan daging di Senawang, Negeri Sembilan dan beliau sedang merancang membina sebuah lagi kedai konsep di kawasan Damansara, Selangor.

Saturday, 24 September 2011

Ternak Kepah dan Kultur Mutiara



Contoh pengkulturan mutiara di China yang dijalankan di sebuah tasik.

Selain menjadi perintis kepada projek mutiara air tawar di Tasik Kenyir, AkuaTrop juga mengharapkan kejayaan projek tersebut dicapai bersama para peserta.

Selain itu, pusat kecemerlangan tersebut dapat berkongsi teknik dan pengetahuan dalam bidang itu bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang pesat di Malaysia seterusnya di seluruh dunia pada masa depan.

Secara khususnya projek berkenaan adalah untuk
  • Memberikan kemahiran kepada penduduk Terengganu untuk terlibat dalam bidang ternakan kepah mutiara air tawar.
  • Membimbing tentang teknik penghasilan mutiara secara komersial.
  • Menggalakkan penduduk Terengganu untuk bekerja sendiri daripada menganggur atau menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
  • Tasik Kenyir yang berkeluasan 260 km persegi mempunyai 340 buah pulau kecil terletak di Negeri Terengganu merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara.
  • Ia juga adalah habitat hidupan spesies liar dan eksotik.
  • Tasik Kenyir berpotensi dimajukan sebagai kawasan ternakan kepah, contohnya di Kuala Sungai Kiang, Sungai Mandak dan Pangkalan Gawi.
  • UMT sebagai sebuah universiti yang terunggul dalam bidang akuakultur berupaya menerajui penyelidikan teknologi penghasilan mutiara di Malaysia.
Penyelidikan kepah mutiara air tawar masih belum diterokai di Malaysia. Kajian yang bakal dijalankan ini adalah yang pertama.
  1. Membangunkan sosio-ekonomi penduduk setempat.
  2. Melipatgandakan pendapatan penduduk setempat.
  3. Menghasilkan teknik pengkulturan tiram mutiara air tawar bagi tujuan komersial.
  4. Membantu KETENGAH dan kerajaan negeri meningkatkan tahap ekopelancongan setempat.
Kesan ke atas Penduduk

Projek yang akan dijalankan ini akan memberi impak yang besar kepada penduduk setempat seperti berikut.
  1. Membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
  2. Meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
  3. Meningkatkan sosio-ekonomi negeri.
  4. Memajukan industri pelancongan yang menjadi salah satu sumber utama ekonomi negeri.
Operasi Pengimpalan
  • Pengimpalan mantel.
  • Pengimpalan nuclei.
Operasi pengkulturan

1. Kolam bersepadu (kepah diternak bersama ikan tilapia)

Kaedah kolam bersepadu ini adalah satu ternakan polikultur, di mana kepah mutiara akan diternak bersama dengan ikan.

Sistem berkenaan telah dipraktikan di Taiwan kerana mendatangkan pulangan menguntungkan. Bahan kumuhan ikan akan dikitar semula oleh kepah yang bersifat penapis dan dalam masa yang sama untuk menyuburkan plankton di dalam air sebagai makanan kepada kepah.

Kelebihan dari aspek ekonomi pada kaedah ini, memberi pulangan sampingan dalam ternakan ikan sementara menunggu pungutan hasil mutiara.

2. Kolam terkawal (kepah import untuk penyelidikan dan penelitian)

Kaedah kolam terkawal ini bertujuan untuk menternak kepah mutiara dari negara luar yang diimport dari Thailand atau Indonesia dalam kadar yang sedikit sebagai kajian untuk pemantauan pembentukan mutiara yang berkualiti dan tempoh masa penghasilan mutiara.

Kaedah tersebut telah pun berjaya dipraktik di Indonesia yang mana spesies yang berasal dari Taiwan kemudiannya diternak di dalam kolam secara terkawal. Pengawalan dan pemantauan kolam terkawal akan diperketatkan.

Fasa ternakan kepah mutiara air tawar

Fasa - Fasa pengurusan ternakan

* Fasa 1: Pengumpulan kepah

Pada peringkat awal projek, sepanjang bulan September - Disember, kepah yang terdapat di Tasik Kenyir dikumpulkan di dalam kolam.

* Fasa 2: Pemilihan kepah matang

Peringkat seterusnya adalah memilih kepah yang matang dan sesuai untuk operasi pengimpalan nuclei. Ini penting dalam penghasilan mutiara yang berkualiti.

* Fasa 3: Operasi Pengimpalan nuclei

Kepah yang telah dipilih akan diasingkan dari kolam stok dan akan dipindahkan ke dalam tangki simen.
Dibiarkan dua hingga tiga hari sebelum operasi pengimpalan dijalankan.

Peralatan khas untuk pengimpalan akan digunakan untuk memindahkan nuclei ke dalam kepah.

* Fasa 4: Ternakan di dalam kolam

Kepah yang telah siap di masukkan nuclei akan dibiarkan dua hingga tiga hari sebelum dipindahkan ke dalam kolam untuk diternak. Kepah yang memuntahkan semula nuclei akan diasingkan dan diletakkan semula ke dalam kolam stok.

Kepah yang telah sedia diletakkan ke dalam kolam ternakan hingga tempoh penuaian mutiara. Pemantauan kualiti air dan kecukupan plankton di pantau setiap bulan terutamanya kolam bersepadu.

*Fasa 5: Pemungutan hasil

Fasa terakhir adalah pemungutan hasil mutiara setelah tempoh matang dua hingga tiga tahun.

Wednesday, 7 September 2011

Mengesan Antibiotik Ternakan Ayam

Penggunaan antibotik yang minimum dapat mewujudkan industri ayam yang lebih sihat.

Selama ini adakah kita sebagai pengguna mengambil berat mengenai apa yang kita makan? Misalnya antibiotik yang terkumpul dalam daging ayam yang kita makan setiap hari?

Antibiotik terutama tetracycline digunakan secara meluas dalam pengeluaran ternakan bagi terapi dan peningkatan berat badan.

Bahan berkenaan dimasukkan ke dalam makanan bagi merangsang peningkatan berat selain menghalang jangkitan penyakit.

Biasanya antibiotik berkenaan diberikan bermula dalam makanan permulaan atau starter sehingga ke 'finisher' atau hingga ayam disembelih.

Biasanya antibiotik akan berkumpul dalam tisu haiwan ternakan dan memasuki rantaian makanan apabila ternakan berkenaan disembelih, dijual dan dimakan oleh manusia.

Antibiotik stabil sehingga sembilan bulan dan tidak terurai malah akan terkumpul di dalam otot, hati dan kulit.

Daging ayam merupakan makanan utama dalam diet manusia, Antibiotik yang terdapat dalam daging ayam mungkin boleh mendatangkan kesan kepada manusia seperti rentan kepada antibiotik serta memberikan kesan karsinogenik (penyebab kanser).

Disebabkan penggunaan antibiotik menjadi semakin penting dalam pengeluaran makanan, pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengukur kesan sisanya dalam makanan.

Bagi memastikan produk makanan yang selamat untuk penggunaan tempatan dan antarabangsa, keupayaan mengesan sisa antibiotik dalam ternakan ayam sangat penting.

Sistem pengesanan antibiotik yang ideal biasanya dirujuk sebagai imbasan mikrobiologi diikuti dengan ujian ELISA dan pengesahan akhir serta kuantiti menggunakan analisis HPLC atau GCMS.

Walaupun analisis berkenaan menggunakan peralatan yang sensitif tetapi ia amat mahal dan memakan masa yang lama.

Justeru gabungan jalur biosensor yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan peralatan digital mudah alih yang dibangunkan oleh Rapid Lab Sdn. Bhd. bagi pemantauan antibiotik mampu dimiliki dan sesuai bagi mendapatkan keputusan yang cepat.

Pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Dr. Faridah Salam berkata, teknologi yang dibangun berdasarkan kepada produk antibiotik tempatan sangat berkaitan dengan pemantauan antibiotik.

Ini kerana jalur berkenaan boleh digunakan di lapangan pada masa sebenar. "Jalur berkenaan mempunyai potensi pasaran yang besar bagi penggunaan eksport dan tempatan bernilai sehingga RM250 juta.

"Sejak Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan mengimbas kandungan antibiotik dalam produk berasaskan ayam, jalur biosensor merupakan teknik terbaik bagi imbasan antibiotik," katanya.

Biasanya paras antibiotik yang selamat adalah 100 bahagian per bilion atau 100 mikrogram bagi satu kilogram.

Dr. Faridah berkata, selalunya hanya penternak industri ayam yang besar mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Dianggarkan kos imbasan saja menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pasaran.

Pada tahun pertama, jalur berkenaan dijangka dapat memasuki 10 peratus pasaran segmen ujian dengan pertumbuhan lima hingga 10 peratus setahun.

Berdasarkan segmen pasaran, produk berkenaan dijangka menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta setahun.

Ayam Organik Tanpa Suntikan

Dr. Loh Teck Chew (dua dari kiri) mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Johari Baharum melawat pameran ternakan ayam selepas majlis pelancaran NutriPro di Serdang baru-baru ini.

Rata-rata pengguna kini sedia maklum mengenai ayam pedaging yang terdapat di pasaran kebanyakkannya menerima antibiotik sama ada melalui suntikan mahupun makanannya untuk tujuan tumbesaran dan ketahanan melawan penyakit.

Malah, masyarakat juga sedar akan keburukan memakan ayam yang disuntik antibiotik secara berlebihan ini kerana ia akan menyebabkan kesan negatif ke atas manusia.

Sehingga hari ini, masih ramai penternak ayam menggunakan sejenis antibiotik yang mempunyai kesan karsinogenik (penyebab barah) dan boleh merosakkan sistem saraf pusat.

Nitrofuran, satu kelas ubatan yang amat toksik digunakan untuk mengawal penyakit yang menyerang ayam. Tetapi kini ia lali terhadap dos antibiotik yang diberi.

Justeru, penggunaan dos yang lebih tinggi mungkin digunakan oleh penternak untuk memastikan ayam mereka tidak di serang penyakit. Namun kesan negatif di atas tindakan tersebut adalah terhadap manusia.

Pensyarah Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Loh Teck Chew tampil dengan penemuan baru beliau yang mampu menggantikan penggunaan antibiotik ke atas ayam pedaging.

"Saya sering ke ladang ternakan ayam dan saya lihat mereka (penternak) sering menggunakan antibiotik untuk membantu tumbesaran ayam serta mengelakkan ayam daripada mati diserang penyakit.

"Namun, ia (antibiotik) bukan sahaja sepatutnya diberikan kepada ayam yang sakit malah kepada semua ayam untuk memudahkan kerja.

"Justeru, saya mula fikirkan alternatif lain (probiotik) bagi menggantikan penggunaan antibiotik ini ke atas ternakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2011 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Di kenali sebagai Nutripro, produk tersebut dihasilkan melalui proses pengasingan sejenis bakteria baik daripada tapai ubi (proses penapaian).

Nutripro iaitu makanan penggalak tumbesaran ayam dihasilkan bagi menggantikan antibiotik yang biasa digunakan penternak ayam bagi mempercepatkan tumbesaran ayam.

Jelasnya, probiotik tersebut dihasilkan daripada sejenis bakteria Lactobacillus Plantarum menggunakan sistem fermentasi dikenali sebagai metabolites dalam proses penapaian ubi kayu.

Bahan tersebut yang juga merupakan ekstrak semulajadi dihasilkan dalam dua bentuk iaitu cecair dan serbuk.

Bagi bentuk serbuk, ia perlu dicampurkan ke dalam makanan ayam sebagai makanan tambahan sementara bentuk cecair hanya perlu disembur ke atas ternakan.

Nutripro mempunyai banyak kebaikan terhadap kesihatan haiwan ternakan selain dapat meningkatkan asid laktik dalam sistem pencernaan dan mengurangkan bakteria yang boleh menyebabkan cirit birit.

"Asid laktik penting bagi mengurangkan cirit-birit dan memperbaiki sistem pertahanan badan ternakan.

"Selain itu metabolites juga berperanan memastikan organ penghadaman dan proses pembesaran berada dalam keadaan baik," ujar Dr. Loh.

Fungsi Nutripro sama seperti penggunaan produk Vitagen, namun ia tidak menggunakan bakteria sebaliknya hasilan ekstrak daripada bakteria tersebut.

"Ia sekali gus dapat menggantikan penggunaan antibiotik yang banyak memberi kesan buruk terhadap ternakan yang paling penting mengurangkan kesan negatif terhadap manusia," katanya.

Malah, kos pengunaan Nutripro juga lebih rendah berbanding bahan makanan tambahan serta antibiotik yang lain.

Jelas beliau lagi, probiotik metabolites yang dihasilkannya juga tidak memberi kesan sampingan kepada manusia yang makan daging ayam tersebut.

Menurut Dr. Loh lagi, beliau mengambil masa 12 tahun kajian dan melibatkan geran penyelidikan hampir RM4 juta hingga RM5 juta untuk menghasilkan Nutrino.

Kini beliau sedang berusaha untuk memasarkan produk tersebut kepada orang ramai. Selain ayam, Nutripro juga sedang diuji penggunaannya ke atas ikan dan ternakan berkaki empat seperti kambing.

Penggunaanya Nutripro ini juga dilihat selamat dan tiada kesan sampingan yang negatif terhadap manusia.

Friday, 2 September 2011

Ladang Lembu Tenusu Terbesar Asia Tenggara

Kawasan mesin perahan susu di Ladang Chokchai boleh memuatkan sebanyak 48 ekor lembu pada satu-satu masa.

Terletak di daerah Pak Chong, Nokhon Ratchasima di Bangkok, Ladang Chokchai merupakan ladang ternakan lembu tenusu yang memang terkenal di Thailand.

Selain aktiviti tenusu, ladang tersebut turut memberi fokus kepada aktiviti lain seperti penternakan lembu daging, agro pelancongan dan juga perniagaan restoran stik.

Malah, ladang yang berkeluasan 4,800 hektar itu merupakan ladang lembu tenusu terbesar di Asia Tenggara.

Ia bermula pada tahun 1957 sebagai ladang sayur-sayuran yang diusahakan oleh pengasasnya bernama Chockchai.

Menjelang 1965, Chockchai cuba melibatkan diri dalam penternakan lembu daging sehingga berjaya menternak 10,000 ekor.

Tahun 1978 Ladang Chokchai memulakan aktiviti penghasilan produk tenusu yang menerima permintaan tinggi selain aktiviti pembiakan lembu baka.

Pada tahun 1985, ladang tersebut berjaya mengeluarkan produk susu segar berpastur di bawah penjenamaan Farm Chockchai sebelum memperkenalkan susu berjenama ‘Umm!...Milk’ pula pada tahun 2002.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Phnich Jarikpakon, ladangnya mempunyai empat mesin pengumpulan susu di mana setiap satunya mempunyai 48 unit perahan.

“Proses perahan susu lembu di sini dibahagikan kepada dua kaedah iaitu secara manual dan juga menggunakan mesin.

“Walaupun ladang ini mengamalkan sistem perahan berkomputer bersama rakaman data, namun para petugas tetap diajar dengan teknik manual.

“Ini kerana, untuk perahan kali pertama, ia akan dijalankan secara manual bagi tujuan menguji dan menentukan kualiti susu,’’ katanya ketika di temui di ladangnya baru-baru ini.

Disebabkan lembu-lembu di ladang tersebut sangat produktif, aktiviti perahan susu dilakukan tiga kali sehari iaitu pukul 4 pagi, 2 petang dan 9 malam di mana waktu pagi memberi hasil yang paling banyak.

Untuk satu sesi perahan, ia akan melibatkan 192 ekor lembu pada satu-satu masa.

Bercerita mengenai prosesnya, Jarikpakon memberitahu, lembu-lembu akan dimandi dan dibersihkan untuk mengurangkan haba badan sebelum dibawa ke kawasan perahan.

Kemudian, bahagian puting lembu akan dicuci dengan cecair khas bagi memastikan kebersihan susu yang akan dikeluarkan.

Selepas itu, para petugas akan menjalankan kerja-kerja memerah secara manual menggunakan tangan bagi mendapatkan sampel susu untuk diuji.

Jika semuanya berada dalam keadaan baik, proses perahan akan diteruskan menggunakan mesin.

Satu unit mesin perahan biasanya dilengkapi komponen seperti cawan puting, hos susu, mesin penyedut, pengacau susu, hos vakum dan meter susu.

Bagi melaksanakan proses perahan, cawan kecil akan dilekapkan pada puting lembu sebelum motor dihidupkan untuk menyedut susu.

“Susu yang telah disedut kemudiannya akan melalui meter kawalan susu menerusi saluran kaca dan akhirnya terkumpul di pusat pengumpulan.

“Untuk setiap proses ini, ia biasanya akan mengambil masa selama tujuh minit. “Proses pemindahan susu menggunakan saluran tertutup ini mempunyai kelebihan daripada segi kualiti, kebersihan dan mengelakkan jangkitan bakteria,’’ jelasnya.

Bagi meningkatkan kualiti produk tenusu pula, Jarikpakon memberitahu, Ladang Chokchai ada bekerjasama dengan beberapa universiti dan organisasi penyelidikan di Thailand.

Sehingga kini, ladang berkenaan telah menghasilkan lima produk tenusu menggunakan penjenamaan Chokchai.

Saturday, 25 June 2011

Ikan Tilapia Sangkar


Ikan Tilapia

Tilapia merah atau nama saintifiknya Oreochromis sp dari famili Cichlidae adalah spesies ikan air tawar yang berasal dari Benua Afrika. Ia mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 50-an, mempunyai kadar tumbesaran yang cepat serta warna yang menarik.

Ternakan ikan sangkar merupakan suatu proses pemeliharaan ikan dari peringkat juvenil hingga ke peringkat kutipan hasil. Kaedah ternakan dalam sangkar biasanya dijalankan di kawasan di mana kolam tidak dapat dibina seperti di kuala sungai, selat, bekas lombong lama dan tasik.

Pemilihan tapak

Lokasi yang dipilih akan menentukan keupayaan muatan sangkar (carrying capacity) kerana kualiti air bergantung kepada keadaan persekitaran luar sangkar.

Aliran air menerusi sangkar semasa bekalan air dari empangan, tiupan angin atau pergerakan ikan dalam sangkar akan menambahkan oksigen terlarut dan mengeluarkan bahan buangan dari dalam sangkar.

Antara faktor penting yang perlu diberi perhatian semasa pemilihan tapak pemasangan sangkar ialah kualiti air, kedalaman air dan kelajuan air. Kualiti air dan persekitaran yang baik akan memberi kesan terhadap tumbesaran dengan cepat bagi sistem ternakan secara intensif.

Berikut adalah parameter dimana suhu air (20-35 darjah C) optimum (28-32 darjah C), pH air - 6-8, oksigen terlarut - lebih dari 2.5 ppm, karbon dioksida - kurang dari 2.5 ppm dan ammonia - kurang dari 1.0 ppm.

Reka bentuk dan pembinaan sangkar

Model sangkar yang digunakan mengandungi 20 petak sangkar pada setiap array. Saiz kerangka bagi satu petak sangkar adalah 3.45 meter (m) x 3.45 m iaitu 3.45 m panjang dan 0.45 m tinggi.

Struktur kerangka sangkar disaran menggunakan bahan plastik HDPE (High density polyethlene). Saiz mata pukat 250 mm yang digunakan sesuai untuk pertukaran air yang maksimum. Kedalaman jaring pukat kurungan ikan adalah antara 1.8 - 2.0 meter.

Isipadu jaring kurungan ikan dalam sangkar bersaiz 3 m x 3 m adalah antara 16-18 meter padu. Sangkar yang menggunakan kerangka besi (G.I Pipe) bersaiz 6 m x 6 m juga boleh digunakan bagi mengurangkan kos.

Pengasuhan anak ikan

Anak ikan yang bersaiz 2.5-5.0 sentimeter (sm) perlu diasuh terlebih dahulu sebelum dilepas ke dalam sangkar atau kolam ternakan. Tujuan pengasuhan adalah untuk memilih anak ikan yang sihat, cepat membesar dan bersaiz seragam (antara 50 dan 70 g seekor) serta memastikan agar anak ikan tidak terkeluar dari sangkar.

Kadar pelepasan benih

Kadar perlepasan bagi benih di dalam sangkar asuhan adalah 100 ekor semeter persegi. Kadar perlepasan bagi ternakan pula ialah 40 ekor semeter persegi. Kadar perlepasan yang rendah akan merugikan ruang yang terdapat dalam sangkar. Kadar perlepasan yang terlalu tinggi pula boleh menyebabkan ikan lambat membesar dan merugikan masa ternakan.

Setelah mencapai saiz 7-10 sm ( antara 50 dan 70 gram seekor), anak benih ikan tilapia sesuai dipindahkan ke sangkar ternakan dengan jumlah 500 ekor setiap sangkar bagi sangkar bersaiz 3 m x 3 m manakala sangkar bersaiz 6 m x 6 m boleh dimasukkan 2,000 ekor benih.

Masa untuk melepaskan benih

Masa yang sesuai untuk melepaskan benih ikan ke dalam sangkar ialah pada waktu pagi dan lewat petang. Elakkan melepaskan benih pada waktu tengahari kerana pada masa ini cuaca panas dan akan memberi tekanan kepada benih ikan.

Pada masa itu suhu air dalam beg plastik dan suhu air disangkar mungkin berbeza di mana perbezaan suhu yang ketara boleh mengakibatkan ikan mengalami tekanan dan kematian yang tinggi.

Kaedah pelepasan benih

Sukat suhu dari dalam tangki serta suhu air sangkar dan buat perbandingan. Sekiranya suhu air dalam bekas lebih tinggi dari suhu air sangkar, maka perlu menambah air batu ke dalam tangki supaya suhu air menurun sehingga ke paras yang sama dengan suhu air sangkar.

Sekiranya suhu air sangkar lebih tinggi dari suhu air dalam bekas benih maka tindakan menjemur tangki perlu dilakukan sehingga suhu air meningkat dan sama dengan suhu air sangkar.

Setelah suhu sama, buka ikatan beg plastik dan masukkan air sangkar sedikit demi sedikit ke dalam beg plastik dan biarkan benih keluar sendiri dari beg plastik.

Pemakanan

Makanan semulajadi adalah terdiri dari makanan asasi seperti plankton yang terdiri dari fitoplankton dan zooplankton. Ia penting bagi benih ikan di peringkat asuhan dan boleh didapati di dalam kolam seperti Moina, rotifer, cladosera, daphnid dan sebagainya.

Makanan rumusan pula adalah merupakan makanan yang lengkap dan seimbang terdiri dari tiga kategori iaitu pelet pemula diberikan kepada benih yang baru dilepaskan sehingga berumur satu hingga dua bulan.

Pelet pertumbuhan merupakan makanan tumbesaran untuk ikan yang berumur melebihi dua bulan hingga empat bulan. Pelet pengakhir pula adalah makanan penamat di mana saiznya lebih besar dari makanan tumbesaran dan diberi kepada ikan yang berumur melebihi lima bulan sehingga mencapai saiz pasaran.

Selain makanan tambahan sisa pertanian juga boleh diberi seperti daun ubi dan kangkong, sisa sayuran, dedak padi, gandum dan barli juga sisa dari kilang seperti hampas soya dan hampas kacang tanah dan ikan baja.

Penuaian

Ikan tilapia dituai apabila mencapai saiz antara 500 dan 600 g seekor. Bagi pasaran restoran, keutamaan diberi kepada ikan yang bersaiz melebihi 600 g seekor dalam bentuk ikan hidup.

Jika kadar pelepasan ikan tilapia pada setiap sangkar adalah sebanyak antara 650 dan 850 ekor, anggaran hasil yang dituai adalah antara antara 350 dan 400 kg sesangkar. Penuaian ikan hendaklah dilakukan dengan baik untuk mengelakkan ikan dari terkejut (stress).

Kawalan dan kesihatan

Penyakit ikan boleh berlaku atau disebabkan kekurangan oksigen larut dalam air, baja ternakan yang tidak reput, sumber makanan yang dijangkiti penyakit dan cuaca yang terlalu panas akan menyebabkan ikan mengalami tegasan dan lemah.

Keadaan ini akan menyebabkan agen penyakit akan menyerang ikan dan berlakunya jangkitan penyakit ikan penyakit juga boleh dibawa masuk ke kawasan ternakan melalui anak ikan yang diimport atau dibeli dari sumber yang tidak menentu. Penyakit tompok putih iaitu penyakit yang disebabkan protozoa.
  • Tanda-tanda penyakit adalah tompok putih pada badan dan sirip ikan.
  • Ikan akan menjadi lemah dan timbul di atas permukaan.
Rawatan yang boleh digunakan ialah dengan memasukkan ikan yang diserang dalam larutan formalin dan garam dengan kepekatan 1000 ppm + 20-25 ppm 3 kali berturut-turut (setiap dua hari) selama dua minggu atau Kalium permangganat 2.0 ppm tiap-tiap hari selama 3 hari untuk atau natrium klorida dengan kepekatan 10 ppt tiap-tiap hari selama 3 hari.

Penyakit jangkitan trichodina disebabkan oleh parasit dan menyerang bahagian kulit dan insang ikan. Akan terdapat lendir yang berlebihan pada kulit dan insang. Rawatan Rendam dalam Formalin 25 ppm 2 hari berturut-turut selama 1 minggu. Penyakit Argulosis Bintik-bintuk merah. Rawatan : Rendam dalam Formalin - 2.0 ppm.

Wednesday, 22 June 2011

Potensi Ikan Pelaga

Ikan Pelaga

Malaysia mencatatkan kehadiran 25 spesies betta liar iaitu ikan hiasan, yang berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai ramai peminat di seluruh dunia.

Laporan oleh Fishbase 2011 menyebut bahawa sebahagian besar ikan itu terdapat di Semenanjung Malaysia, lima spesies di Sarawak dan empat spesies di Sabah.

Daripada jumlah itu, beberapa jenis pula telah dikenalpasti berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan.

Antara spesies yang telah dikenalpasti ialah Betta bellica, Betta coccina, Betta persephone, Betta livida, Betta pulchra, Betta fusca dan Betta pugnax.

Manakala peminat ikan betta ini termasuklah mereka dari Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan dan China. Mengenai keunikan spesies betta ini ialah ia hanya ditemui di rantau Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand sahaja.

Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, telah mengenalpasti beberapa spesies ikan hiasan tempatan terutama ikan betta yang sangat berpotensi untuk dikomersialkan sama ada dalam atau luar negara, kata Pengarah FRI Glami Lemi, Zulkafli Abdul Rashid di Kuala Klawang baru-baru ini.

Maklumat mengenai potensi spesies tempatan sebagai ikan hiasan ini sebenarnya telah dikumpulkan sejak tahun 2000. Menurut Zulkafli, FRI telah memulakan kajian dengan menjalankan aktiviti pengumpulan spesimen ikan dari habitat semulajadi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Spesimen ikan liar betta yang berjaya dikumpul akan dipelihara dan dijinakkan dalam tangki di makmal FRI Glami Lemi sehingga matang dan boleh membiak. Setakat ini, 10 spesies betta telah dapat dijinak dan dibiakkan dalam makmal.

Zulkafli berkata, satu baka baru jenis Betta bellica, yang berasal dari hutan simpan paya gambut di Pagoh, Johor dan Sabak Bernam, Selangor, berjaya dibiak dan dijinakkan dalam tangki dan berpotensi besar untuk dipasarkan.

Spesies ini dilaporkan telah banyak terancam dan diharapkan usaha pembiakan dapat diteruskan pula oleh penternak yang berminat untuk tujuan komersial.

"Spesies ini juga dikenali sebagai ikan pelaga hijau, tempala atau sepilai oleh penduduk tempatan tapi kami menamakannya Betta Manja kerana sifatnya yang begitu manja ketika lapar," jelas beliau.

Keistimewaan ikan hiasan ini ialah ia tidak berlaga sesama sendiri seperti ikan pelaga Siam, selain mempunyai warna badan yang cantik, bercoklat gelap, sisik berwarna hijau berkilat, mata berwarna biru berkilat dan sirip ekor yang panjang berbentuk nyalaan lilin.

"Ia sangat jinak dan makan di atas jari pemiliknya. Spesies ini berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan," katanya.

Pegawai penyelidik kanan FRI Glami Lemi, Mohamad Zaini Suleiman pula berkata, ikan tersebut berpotensi dibiakkan dalam kurungan (tangki) sebab sepasang ikan ini boleh menghasilkan 200 ekor anak.

"Jadi, dalam tempoh enam atau tujuh bulan, saiznya mencecah kira-kira tiga setengah inci, dan boleh dipasarkan dengan harga RM5 seekor manakala induknya RM10 hingga RM15 seekor.

"Ia juga boleh dikomersialkan, dipelihara dalam tangki dan dijadikan peliharaan kesayangan sebab keistimewaan ikan ini ia boleh makan di tangan kita.

"Tidak mustahil pada masa hadapan, ikan ini boleh dijadikan sebagai ikan spa untuk urutan dan perubatan," katanya. Pengarah teknikal dan pengeluaran Aquatics International Sdn. Bhd., Syed Abas Alattas berkata, sehingga kini belum ada penternak ikan Betta liar secara komersial di negara ini.

Pihaknya akan mengimport ikan ini dari Thailand sekitar 20,000 ke 30,000 ekor sebulan untuk dieksport semula ke negara lain. "Memang kita dapat keuntungan tapi kalau boleh dikeluarkan secara komersial di Malaysia adalah lebih baik," katanya.

Sementara itu, satu kolokium sehari telah diadakan di FRI Glami Lemi baru-baru ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan sasar akan potensi ikan Betta bagi meningkatkan pendapatan.

"Di samping menjana pendapatan, kolokium ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada peserta tentang perlunya konservasi terhadap khazanah semulajadi kita yang sangat bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang," kata Zulkafli.

Kolokium dengan tema 'Khazanah Warisan Penjan Kekayaan' itu diadakan untuk membentangkan kepada masyarakat terutama yang terlibat dalam industri perikanan mengenai kejayaan dalam penyelidikan perikanan.

*Utusan Malaysia.

Tuesday, 14 June 2011

Udang Galah

Udang Galah

Ternakan udang galah amat sensitif tetapi mendatangkan pulangan lumayan.

UDANG galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii, berada dalam keluarga palaemonidae bersifat omnivora, cenderung aktif pada waktu malam.

Ia hidup di air tawar dan air payau seperti di sungai, paya, saliran, tasik dan perairan lain yang biasanya mempunyai hubungan air dengan laut. Udang galah boleh diternak secara sejenis atau monokultur mahu pun polikultur dengan ikan atau secara ternakan bersepadu bersama itik, lembu dan haiwan lain.

Pengurusan ternakannya mudah dan jarang diserang penyakit serta jangka masa ternakan yang agak singkat. Bagaimanapun kini, taburannya agak terbatas di kawasan perairan yang tidak tercemar dan di kolam-kolam ternakan. Udang galah sesuai diternak kerana mempunyai permintaan yang baik di samping harga pasarannya yang agak tinggi.

Penyediaan kolam

Di Malaysia saiz biasa kolam udang adalah antara 0.25 ekar hingga 1.5 ekar dengan kedalaman sekitar satu hingga dua meter (m). Kolam yang terlalu cetek menyebabkan rumput dan lumut tumbuh dan menyukarkan penjaringan, manakala kolam yang terlalu dalam akan menyukarkan pengurusan.

Pengeringan

Dedahan kepada cahaya matahari terik perlu untuk membunuh pemangsa (ikan, belut, serangga) dan patogen (bakteria, kulat, parasit). Pendedahan dasar kolam kepada udara dan cahaya matahari pula mempercepatkan proses pereputan bahan organik (najis, makanan lebih, daun, rumput dan sebagainya) yang akan menambahkan kesuburan kolam.

Jangka masa pengeringan antara satu dan dua minggu biasa dibuat, bagaimanapun ada ketikanya kolam perlu dikeringkan untuk jangka masa lebih panjang, misalnya di musim hujan atau bila kolam telah terlalu lama digunakan.

Meracun

Kolam yang tidak boleh dikeringkan perlu diracun untuk membunuh ikan liar (pemangsa). Racun organik seperti akar tuba, hampas biji teh (tea seed cake), dan daun tembakau.

Untuk membunuh ikan seperti lampam adalah sekitar 10 miligram setiap liter (mg/l) manakala bagi ikan haruan kadar sekitar 30 mg/l adalah diperlukan.

Mengapur

Kolam dikapur dengan tujuan untuk menstabilkan pH, membunuh ikan liar, menggalakkan proses salin kulit udang, meninggikan kadar pereputan bahan organik seterusnya menyuburkan kolam.

Antara jenis-jenis kapur yang terdapat di pasaran adalah kapur abu panas (quicklime - CaO) berkesan dengan cepat, jangkamasa keberkesanannya pendek.

Kapur batu putih (lime stone - Ca(CO3)), berkesan secara perlahan-lahan tetapi jangkamasa keberkesanannya panjang. Kapur abu sejuk (slake/hydrated lime) bertindakbalas cepat dan kesannya juga cepat hilang.

Cara mengapur kolam yang biasa diamalkan adalah dengan menabur rata serbuk kapur abu sejuk (hydrated) di permukaan dalam kolam kering dengan sukatan sekitar satu kilogram bagi setiap 10 meter (kg/10m).

Membaja

Kolam perlu dibaja bagi menggalakkan pertumbuhan makanan semulajadi yang berbentuk cacing, siput, lumut dan tumbuhan air. Dua jenis baja yang biasa digunakan adalah baja organik dan baja kimia.

Najis haiwan (ayam, itik, lembu, kambing) adalah jenis baja organik yang biasa digunakan. Bagi baja kimia pula, triple super phosphate (TSP) boleh digunakan dengan kadar 3.5kg/1000m/minggu.

Pengairan

Air memasuki kolam melalui penapis halus bagi menghindari kemasukan haiwan pemangsa. Sebaiknya udang dilepas seminggu selepas air masuk. Kadar tukaran air terbaik untuk kolam ternakan udang adalah sekali untuk seminggu hingga dua minggu.

Kadar ini mampu menampung kepadatan ternakan sebanyak 10/m tanpa perlukan alat pengudaraan. Kadar alir air yang lebih perlahan akan menyebabkan air kolam kurang bermutu dan memerlukan alat pengudaraan. Kadar aliran air yang sangat cepat sebaliknya membawa baja keluar kolam tanpa dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan makanan semulajadi udang.

Kolam udang yang tidak melakukan penukaran air memerlukan alat pengudaraan seperti kincir air (paddle wheel), penyembur angin (air blower), pemampat angin (air compressor) dan pam air bagi membantu menambah kandungan oksigen terutama waktu malam.

Pemakanan

Makanan rumusan udang galah (pellet) sesuai kerana mengandungi protein yang tinggi (30 hingga 40 peratus), mengandungi zat-zat lain yang diperlukan dan stabil dalam air.

Bagaimanapun didapati udang masih memerlukan bekalan makanan semula jadi dari kolam. Pemberian makanan adalah dua atau tiga kali sehari.

Makanan awalan (starter) diberikan untuk bulan pertama hingga kedua, diikuti dengan makanan tumbesaran (grower) bagi bulan kedua hingga keempat dan dua bulan berikutnya dengan makanan Penamat (finisher) sehingga udang dipasarkan.

Hasilkan makanan sendiri

Makanan boleh dihasilkan sendiri untuk mengurangkan kos. Bahan-bahan asas yang biasa diguna untuk membuat makanan adalah seperti tepung ikan, kulit udang, kacang soya, kacang tanah, tepung gandum, beras, ubi kayu, minyak kelapa, sawit dan minyak ikan.

Makanan sampingan seperti kopra kelapa, jagung, daging ayam atau itik, perut ayam dan hampas kacang soya juga boleh diberikan. Bagaimanapun mutu air kolam hendaklah sentiasa dalam kawalan agar tidak terlalu subur yang memungkinkan kematian udang ternakan.

Pungutan hasil

Kadar tumbesaran individu udang berbeza bergantung kepada jantina, baka, mutu dan jumlah makanan, mutu air dan kadar pelepasan. Penjaringan boleh dimulakan pada bulan ke empat dan diulangi tiga hingga empat minggu sekali sehingga semua udang dikeluarkan dari kolam.

Kolam kemudian dikeringkan dan rawatan kolam dilakukan. Udang yang terlalu kecil dari beberapa kolam boleh di asing dan di pindah ke satu kolam lain untuk dibesarkan.

Penyakit dan kawalan

Penyakit merupakan faktor yang membatas penghasilan udang galah. Penyakit yang banyak menyerang udang galah adalah bintik hitam (black spot) iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria sering menyerang peringkat larva tahap 4 dan 5.

Penyakit tersebut boleh dicegah melalui pengurusan air dan elakkan dari kecederaan fizikal udang, stok melebihi kadar muatan atau kekurangan makanan.

Rawatan

Rendam dalam 10 ppm asid oxolinic untuk selama sejam atau dua ppm nifurpirinol untuk 96 jam. Penyakit yang disebabkan oleh bakterial berasal dari air laut iaitu Vibro sp mempunyai simptom stres. Rawatan : Rendam dalam 11 - 13 ppm Furozolidone selama tiga hari.

*Petikan dari Utusan Malaysia.

Wednesday, 8 June 2011

Penjagaan Kuda

PERKEMBANGAN dunia Islam di bawah pemerintahan Khalifah Omar telah membuka era baru dalam dunia kuda atau equestrian, yang mana banyak taktik baru dipelajari dalam peperangan berkuda.

Kuda atau Equus caballus ialah spesies daripada famili Equidae dan berada dalam kelas mamalia. Manusia mula menjinakkan kuda dan menjadikannya sebagai aset yang amat penting baik dalam peperangan, pertunjukan, sarkas, sukan, pertandingan dan sebagainya.


Perkembangan sukan berkuda di Malaysia semakin meningkat dalam banyak disiplin antaranya dressage, showjumping dan endurance.

Menunggang kuda juga boleh dijadikan sebagai terapi kepada penyakit artritis, sindrom down, autisme, sakit tulang belakang dan membantu mencerahkan penglihatan mata melalui rangsangan terhadap saraf cranium (tengkorak) semasa gerakan 'galloping' kuda serta bermacam lagi.

Terdapat beberapa baka kuda seperti Arab, Thoroughbred, Quarter Horse, Appaloosa dan Hunter. Sistem pengurusan kuda yang baik boleh menentukan status kesihatan kuda, keselesaan dan keupayaan kuda melakukan kerja.

Dalam memelihara kuda beberapa aspek penting mengenai pengurusan perlu diberi perhatian seperti stable, sarap, penjagaan kaki, latihan, peralatan kuda dan sebagainya.

Stable

Merupakan kandang kuda yang dibina dengan ciri-ciri keselamatan seperti permukaan lantai yang kasar, dinding dan pintu stabel yang kukuh, dan pengudaraan yang baik.

Saiz stabel yang sesuai adalah 3.0 m x 3.0 m (10' x 10') untuk kuda poni, 3.6 m x 3.0 m (12' x 10') untuk kuda sederhana besar dan 3.6 m x 3.6 m (12' x 12') untuk kuda besar dan stabel dibersihkan setiap hari.

Sarap (bedding)

Sarap (ketaman papan/jerami) perlu disediakan dalam stable dalam ketebalan enam inci untuk keselesaan, menyerap kelembapan dan urin, di samping mengelak kecederaan apabila duduk atau baring di dalam stabel.

Sarap mesti dibersihkan, digemburkan setiap hari dan perlu diganti sekali atau dua kali seminggu bergantung kepada keadaan sarap.

Merapi Kuda (grooming)

Perapian kuda sangat penting dalam menentukan tahap kesihatan serta kualiti kuda dan perlu dilakukan sekurang - kurangnya sekali sehari.

Perapian bertujuan untuk membersihkan badan dari kekotoran, mengelakkan jangkitan penyakit kulit, mengesan sebarang luka, bertindak sebagai urutan (massage) untuk melancarkan peredaran darah serta pergerakan otot.

Malah yang lebih penting ia mengeratkan hubungan antara manusia dengan kuda dan akan kelihatan lebih menarik dengan bulu yang berkilat apabila didandan setiap hari.

Memandikan kuda

Kuda perlu dimandikan apabila setiap kali selepas latihan atau ketika cuaca yang panas dan jika keadaan kuda yang kotor.

Penjagaan kaki dan kuku

Kaki kuda memainkan peranan penting kerana kekuatan seekor kuda bergantung pada kakinya justeru sebarang kecederaan perlu dielakkan.

Tapak kaki hendaklah dibersihkan dengan hoof pick manakala kuku kuda perlu disapu minyak kuku (hoof oil) setiap hari iaitu sebelum menunggang dan selepas atau setiap kali selepas kuda dimandikan bagi mengelakkan kuku kering dan merekah.

Ladam pula perlu ditukar setiap enam minggu atau sebulan sekali untuk memastikan kedudukan kuku kuda itu betul dan menghindar dari tumbuh panjang dan tidak seimbang sekali gus menjejaskan pergerakan kuda.

Latihan
 
Kuda perlu dilatih seperti lungeing, gallop dan canter sekurang - kurang enam hari dalam seminggu. Latihan perlu bagi memastikan kuda berada dalam keadaan bersedia bagi tugas tertentu dan tidak terkejut untuk melakukan sesuatu tugas selain melancarkan darah serta mengurangkan risiko penyakit.

Teknik latihan kuda adalah berbeza mengikut fungsi atau kegunaan kuda seperti latihan asas menunggang, show jumping, dressage, endurance, lumba, polo dan sebagainya.

Peralatan kuda

Peralatan kuda seperti saddle, bridle, stirrups, girths, numnah, topi dan peralatan menunggang yang lain perlu disimpan di tempat yang sejuk dan kering juga dibersihkan setiap kali selepas digunakan dan seminggu sekali di sapu leather oil bagi mengelakkan kekeringan.

Makanan Kuda

Makanan asas kuda terdiri dari chaff, bran, Pelet kuda (horse cube), hay dan PKE (palm kernel extract) bagi kuda yang tidak menjalankan latihan. Manakala makanan tambahan terdiri dari elektrolit dan blok garam mineral.

Rumput segar yang sesuai ialah rumput kerbau dan rumput gajah. Makanan diperlukan sebanyak 2.5 peratus daripada berat badan kuda sehari.

Pembiakan

Dalam membiakkan kuda, pemilihan baka adalah sangat penting bagi mendapatkan progeni yang berprestasi tinggi dari segi konformasi yang baik, kekuatan fizikal dan daya ketahanan pada penyakit.

Pembiakan kuda tidak bermusim dan tempoh bunting adalah antara 300 hingga 365 hari. Pembiakan boleh dijalankan secara pengawanan semulajadi atau pemanian beradas.

Keselamatan pengendalian kuda

Kuda adalah haiwan yang mempunyai kebolehan merasai dan akan memberi respons terhadap perasaan takut penunggang.

Jika penunggang takut atau tertekan, kuda akan lebih rasa takut yang menyebabkan kuda tertekan dan mengambil peluang berkelakuan tidak baik.

Sehubungan itu, penunggang perlu tenang. Dalam hal ini, penunggang bukan semata-mata mendominasi kuda tetapi ia lebih kepada perkongsian dan saling mempercayai. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diambil kira semasa mendekati, menangkap dan menambat kuda :

  • Perlu berkeyakinan dan dalam keadaan yang tenang (tanpa rasa takut).
  • Mendekati kuda secara perlahan-lahan dan beransur-ansur bermula dari bahagian hadapan kuda (muka dan kemudian sisi kiri di bahagian bahu kuda).
  • Berinteraksi dengan kuda dengan memanggil namanya atau sama ada boy (jantan) atau girl (betina).
  • Usap dan gosok bahagian leher kuda sambil berinteraksi dengannya.
  • Gunakan kolar kepala (headcollar) untuk menangkap kuda dan pengendali harus berada sebelah kiri kuda semasa pemasangan dilakukan.
Kesihatan dan penyakit

Kuda merupakan haiwan yang mahal, justeru itu kematian kuda akan mengakibatkan kerugian berpuluh ribu ringgit.

 
Antara masalah kesihatan dan penyakit yang perlu dikawal adalah kolik iaitu kegagalan membuang air besar yang boleh menyebabkan kematian.

Simptom masalah ini adalah kuda tiada selera makan, mengais, menendang, menggigit perut, berpeluh dan restless.


Rawatan : peringkat awal memimpin kuda supaya sentiasa berjalan dan menggalakkan kuda meragut rumput segar bagi merangsang pengeluaran tinja.

Jika tidak beri suntikan Flunixin atau Cobaphos, Stress Vit, dan memasukkan Liquid parafin dan Fluids ke dalam badan kuda.

Tempang juga merupakan masalah kesihatan di bahagian kaki kuda, pergerakan kuda yang tidak selesa kesan daripada rasa sakit boleh dirawat dengan memberi Butalone granules, suntikan Flunixin dan rehatkan kuda sehingga sihat.

Kurap boleh dikesan apabila kuda menggigit kulit dan menggaru pada dinding stabel. Rawatan : Mandikan kuda menggunakan campuran hibiscrub dan povidone iodine, sapukan krim topikal seperti beavate dan beri antihistamine.


* Petikan dari Utusan Malaysia.

Kuda

Kuda Jantan

Islam begitu memberi perhatian dan sanjungan terhadap kuda. Dapat dilihat betapa banyaknya kitab-kitab dalam Bahasa Arab yang menyatakan perihal kuda termasuk sejarah kuda, ternakan, asal-usul, kaedah pemakanan, teknik menunggang, keistimewaan kuda, kaedah berlumba dan mencari baka kuda yang baik dan lain-lain.

Diantara kitab-kitab yang menyatakan perihal kuda ialah :
  1. Kitab Al-khayal oleh Attabi
  2. Kitab Al-Khayal al-kabir oleh Ahmed Abi Tahir
  3. Kitab Khalq Al-faras oleh Asmai
  4. Kitab Al-sarj wal-lijam oleh Asmai
  5. Kitab Khalq Al-faras oleh Washsha
  6. Kitab Khasyl Al-saghir & Kitab al-sarj wal-lijam oleh Ini Durayd
  7. Kitab Al-khayl bi khatt al-Kufi oleh Ahmed Habib
  8. Kitab Al-khayl al-sawabik oleh Khawlani
  9. Kitab nasab Al-khayl oleh Muhammad bin Ziad
  10. Kitab al-khalq As faras oleh Ibrahim al-Zujaj
Terdapat lebih dari 30 kitab-kitab lain yang menceritakan tentang kuda.

Pertandingan kuda mengikut Tradisi Islam dan Arab

Dizaman Rasullullah saw, Saidina Ali ra telah diamanahkan untuk menjaga dan menguruskan pertandingan kuda lalu beliau melantik Surqa bin Malik sebagai pembantunya. Diantara syarat dan peraturan pertandingan yang ditetapkan ialah :
  1. Sebelum bermula, semua kuda hendaklah dalam barisan yang sama.
  2. Tiga kali hebahan dilaungkan untuk membuat semua persiapan pertandingan.
  3. Perlumbaan bermula dengan laungan takbir sebanyak tiga kali, bila takbir kali ketiga berakhir, pertandingan dimulakan.
  4. Kemenangan muktlak ialah bila mana telinga kuda pertama yang sampai ke tempat akhir pertandingan.
Saidina Ali ra sendiri membuat garisan pertama dan garisan terakhir, kebiasaanya Saidina Ali akan berada digarisan penamat untuk menentukan kemenangan.

Kuda dalam Pemerintahan Khalifah Omar Al-Khattab

Perkembangan Dunia Islam dibawah pemerintahan Khalifah Omar telah membuka era baru dalam dunia kuda atau equestrian, dimana banyak taktik baru dipelajari dalam peperangan berkuda dan begitu juga kuda-kuda Arab dari berbagai negara dibiakkan melalui ‘cross breed’ saperti kuda dari Iran, Turkey, Rome, Greek dan lain-lain.

Tariq Al-Ziad menawan Sepanyol

Aatas arahan Rasulullullah saw, orang-orang Arab Beduin mula menternak dan membiak kuda-kuda Arab baka baik dan pernah ahli sejarah Abnu Khallikan menyatakan dalam Kitabnya bahawa
” Tariq bin Ziad telah membawa 12,000 pasukan berkuda dari Morrocco dan Tunisia ( Kuda Barb ) bersama 12 ekor kuda Arab.


Itulah pertama kali Kuda Arab telah dibawa masuk dan diasilmilasikan atau integrasi dengan kuda-kuda Inggeris. Yang seterusnya mencetuskan kuda pembikinan manusia yang masyhur pada hari ini iaitu ‘thoroughbred’.

Tanda ibujari Rasullullah saw dileher Kuda Arab

Dizaman Rasullullah saw Kuda Arab tidak pernah dijual kepada orang-orang luar, Kuda Arab hanya berada di Arabia dan tidak pernah keluar dari tanah Arab.

Di leher Kuda Arab asli ‘pure breed’ terdapat tanda dileher kuda, dimana baka kuda tersebut dikatakan telah dipegang oleh Rasulllulah saw hingga meninggalkan tanda ibujari dilehernya.

Jika anda benar-benar memiliki Kuda Arab, cuba perhatikan tanda tersebut. Kuda Arab yang dijual dinegara-negara Europah atau Australia hari ini, dikatakan bukanlah ‘ original’ dari bumi Arab.

Tetapi mereka mengekalkan identitinya sebagai ‘Baka Arab’ ! Wallahhuallam.

Kuda dalam Al-Quran

Kuda dalam bahasa Arab disebut sebagai ‘faras’. Kuda jantan ‘fahl’ atau pada umumnya disebut juga sebagai Al-khayl.

Didalam al–Quran perkataan ‘kuda’ disebut sebanyak 5 kali. Dalam Surah 79 dan Surah 100 disebut al-naziat, al-adiyat dimaksudkan sebagai ‘kuda’ sementara Surah 37 al-saffat, Surah 51 al-dhariyat dan Surah 77 al-mursalat dimaksudkan kepada kuda.

Dalam Al-Quran dinyatakan bahawa "Dan (Dia Mencipta) kuda dan keldai untuk kamu tunggang as zinat” Surah 16:8 Perkataan Arab zinat ertinya kesukaan dan kebaikan yang dimaksudkan sebagai kuda dan keldai diciptakan bukan sahaja untuk dinaiki, tunggang tetapi juga untuk dibiakkan dan membuat pertandingan (bukan perjudian).

Mengikut catitan dari buku kuda ” Fadl al-khayl” karangan al-Dimyati menyatakan bahawa Rasullullah saw memberi keizinan untuk mengadakan pertandingan perlumbaan unta dan kuda bersama anak panah (khuff, hafir, nasl).

Tetapi mengikut tradisi suku kaum arab, perlumbaan kuda adalah lumrah dikalangan suku kaum arab dipergunungan. Mengikut “Hidayat al-fursan fi shi’ar al-shujan oleh Ibn Hudhayl menyatakan bahawa Islam melarang perjudian (maisar) tetapi tidak menghalang pertandingan memanah (nasal), lumba lari (qadam) and lumba kuda (hafir).

Mengikut kitab al-Sarj karangan Abu Ubaidah dan Kitan al-Al-khayl karangan Asma’i banyak menceritakan tentang pertandingan lumba kuda dikalangan suku kaum Arab.

Baik sebelum kedatangan Islam dan juga diwaktu pemerintahan Islam dizaman Rasullullah saw, kemudian dizaman sahabat, zaman khalifah, zaman pemerintahan Bani Umayah dan Bani Abbasiah.

Dalam Kitab “Hidayah” juga dinyatakan 4 jenis kuda yang terdapat dikalangan suku kaum Arab diwaktu itu ialah :
  1. Birzaun or Burzun (kuda berat dari luar negara).
  2. Atiq (Kuda Arab baka pertama).
  3. Hain (Kuda kacukan, jantan luar, ibu Arab).
  4. Separuh Arab (bapa arab, ibu dari luar).
  5. Khalifah Harun al-Rashid.
Penaklukan Palestin

Khalifah Harun Al Rashid adalah seorang pemimpin yang terkenal dikalangan negara-negara Arab kerana kemasyhurannya menakluk dan membebaskan negara Palestin dari penjajahan Barat dan Yahudi.

Baginda sendiri telah mengadakan beberapa pertandingan lumba kuda. Kuda baginda bernama Mushammir pernah memenangi tempat pertama dan tempat kedua dimenangi oleh anaknya.

Pernah satu ketika bila kuda baginda memenangi tempat pertama, baginda memanggil ahli syair terkenal Asma’i untuk menulis satu puisi khas tentang kuda yang akhirnya disiapkan penuh dengan ciri-ciri kwistimewaan kuda.

Sejak dari zaman Rasullullah saw hinggalah sekarang para pemimpin Arab menjadikan kuda sebagai satu hobi mereka untuk berbagai tujuan. Kini para Sheikh dari Bahrain dan Dubai adalah penaja utama perlumbaan kuda di negara teluk.

Ciri-Ciri Kuda yang di kehendaki

Mengikut Kitab Asma’i, ciri-ciri kuda adalah saperti berikut :
  1. Thoroughbred perut yang tinggi (batn), belakang pendek (zahr), kaki panjang (tul al wazifatain fil rijlain) dan qasral wazifatatayn fil yadain).
  2. Lain-lain ciri yang dikehendaki ialah tanda putih didahi (ghurar atau blaze), stoking dikaki ( tahjil) atau tanda putih dikuku kaki.
  3. Bentuk badan yang menarik al-a-ali , al-safill, al muqaddim, al muaakhir.
  4. Bila menunggang, mestilah kelihatan kemas (thubat) dan tali untuk berlari adalah kemas ( taswiyat al inan).
  5. Bangsa Turki terkenal dengan kemahiran menunggang kuda sambil memanah atau membawa berbagai jenis senjata dengan sempurna.
Empat Imam

Imam Abu Hanifa dan Iman Shafie menyatakan bahawa lumba kuda tidaklah haram. Imam Malik dan Imam Ahmed hanbali, tidak menggalakkan pertandingan unta atau keldai dan beranggapan hanya kuda boleh dipertandingkan dalam perlumbaan.

Kuda Arab, Kuda Rasulullah SAW. Kuda adalah sejenis binatang yang amat dihormati didalam Islam. Malah didalam Kitab Al-Quran dan hadith banyak dibicarakan tentang kuda.

Kalau disebut sejarah kuda, sudah pasti kita tidak akan terlepas dengan sanjungan dan kemuliaan terhadap ‘Kuda Arab’. Kuda Arab adalah satu spesis kuda yang terbaik di dunia dengan mempunyai ciri-ciri kecantikan dan keunikannya tersendiri, antaranya ialah :
  1. Kuda terpantas.
  2. Tahan lasak dengan cuaca panas dan sejuk.
  3. Handal dalam enduran.
  4. Cekap dan bijak.
Tidak hairanlah kuda Arab menjadi kegilaan setiap kaki kuda. Kuda dan manusia tidak dapat dipisahkan.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw, kuda sudah pun berada dibumi dan dipelihara oleh setiap manusia di merata dunia.

Nabi Ismail sebagai tradisi orang Arab pernah menunggang kuda Nabi Sualiman as telah mewarisi lebih dari 1000 ekor kuda dari Nabi Daud as.

Pernah dalam sejarah dikatakan bahawa satu suku kaum yang dinamakan Azad pernah mengunjungi Nabi Sulaiman dan meminta sesuatu hadiah dari baginda, lalu baginda menghadiahkan seekor kuda.

Tetapi dengan kedatangan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah saw, kita dapat melihat betapa hebatnya pengaruh kuda dikalangan orang Arab malah, para kakikuda yang masyhur diseluroh dunia memperakui bahawa Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya adalah pelopor utama dalam penubuhan Tentera Islam Berkuda atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Cavlry’.

Rasullullah saw memerhatikan bahawa pada peperangan Uhud, tentera Islam mempunyai hanya 2 ekor kuda. Sebaik sahaja selepas peperangan baginda terus berusaha sekuat tenaga bersama-sama para sahabat untuk membentuk pasukan berkuda dengan memelihara dan membiak baka kuda terbaik ditanah Arab iaitu ‘Kuda Asli Arab’.

Dalam masa yang singkat sahaja, kita perhatikan bahawa kuda merupakan aset yang paling penting dan berharga dalam mempertahan dan mengembangkan kedaulatan Islam dibumi Arab.

Baginda, Rasullullah saw sendiri telah menyeru umat Islam supaya berusaha mengembang dan membiakkan kuda demi untuk membangun dan mempertahan Islam dari ancaman musuh.

Dalam keadaan muka bumi yang tandus, kering kuntang, gurun, bukit bukau dan padang pasir yang begitu luas. Kuda merupakan satu kenderaan yang amat penting pada tamadun Arab.

Mulai dari detik peperangan pertama itulah memberi lambaran baru bagi umat Islam supaya memelihara dan membiakan baka kuda yang paling baik .
Sebab utama ialah untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang sentiasa terancam oleh musuh-musuh disekeliling termasuklah ancaman dari kerajaan kuno Romawi, Greek, Berzentin, Persia dan lain-lain.

Oleh itu tidak hairanlah Nabi Muhammad saw sendiri telah mengambil inisitif untuk membiak, mengembang, melatih kuda-kuda yang baik untuk meneruskan dan menegakkan panji-panji Islam dibumi Arab.

Untuk menguatkan keyakinan terhadap pemeliharaan kuda, Rasullullah saw sendiri telah menganjurkan berbagai pertunjukan dan pertandingan kuda di Madinah.

Hadith-hadith tentang Kuda

DiRiwayat oleh Ibn Banin bahawa Rasullullah saw mengajurkan pertandingan lumba kuda dimana yang pertama diberi hadiah ’sabiq’ tiga, ‘musalli dua, tiga satu kuda, keempat satu dinar, kelima satu dirham, yang ke6 satu qasabah.

Rasullullah bersabda” Sesungguhnya Berkat Allah kepada kamu yang memang ’sabiq’ dan yang kalah ‘fiskil’.

Al-Baladhuri menyatakan, Aku telah diberitahu oleh Muhammad bin Sad al-Waqidi, Sulaiman bin al-Harith, az-Zubayr bin al-mundhir bin Abi Usayd, yang berkata ”Abu Usayd as-Saidi telah bertanding menunggang kuda Rasulullah saw yang bernama, Lizaz dan baginda memberi hadiah Jubah Yamen".

Abu Hassan Ahmed bin Yahya bin Jabir al-Baladhuri, Ibn Sad al-Waqidi, Abd al Muhayamin bin Abbas bin Sahl bin Sad, bapanya ( Abbas), datuknya Sahl, beliau berkata,” Satu ketika Rasullullah saw mengadakan pertandingan lumba kuda, aku menunggang kuda baginda bernama az-Zarib. Baginda memberi aku serban Yamen.”

Mengikut riwayat Dar Qutni ( 2: 552) Sanjah adalah kuda Rasullullah saw yang sering ditunggangi baginda. Satu ketika kuda ini telah menang dalam pertandingan dan Rasullullah saw begitu gembira.”

Kuda pertama dimiliki oleh Rasulullah saw bernama ‘As-Sakaf’ yang dibeli baginda dari suku kaum Fezara.

Baginda menunggang kuda ini dalam peperangan Uhud. Baginda Rasullullah saw juga memilki seeokor lagi kuda yang bernama Sabaha dan pernah memasuki pertandingan dan menang dalam pertandingan tersebut.

Baginda begitu gembira. Kuda ketiga yang dimiliki oleh Rasullullah saw bernama al-Murtajis.

Pertandingan Kuda

Ibnu Umar menyatakan bahawa, Rasullullah saw sering menganjurkan pertandingan lumba kuda dan baginda memberi hadiah kepada pemenang. Semua ini dilakukan oleh baginda untuk mengembang sukan berkuda, melatihan kepintaran berkuda serta kesihatan tubuh badan.

Iman Ahmad bin Hanbali telah meriyawatkan dalam kitabnya “Masnad’ dimana Anas telah ditanya ” Adakah Rasulullah saw memasuki pertandingan kuda ?” Anas menjawan “Ya” “Demi Allah, baginda berlumba dengan kudaNya bernama Subbah.

Kuda tersebut memenangi perlumbaan dan baginda amat gembira.” Hadith Bukhari diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

Rasullullah saw mengadakan pertandingan kuda dari Ath-Thaniya sehingga Masjid Banu Zurayk. Abdullah bin Umar juga menyatakan bahawa beliau juga menyertai pertandingan tersebut.

Jarak Pertandingan

Rasullah saw tidak melarang pertandingan lumba kuda, malah baginda sendiri memberi nasihat aturcara pertandingan, antaranya baginda pernah menganjurkan perlumbaan kuda di Madinah diantara :

Dari Hafiya ke Thaniyyat al-Wada (60 ghalwa = 5 hingga 6 batu) untuk kuda dewasa. Dari Thaniyyat al-Wada ke Banu Zurayk (10 ghalwa = 1 batu) untuk kuda muda.

Baginda sendiri menyertai pertandingan tersebut dimana kuda baginda pernah memenangi pertandingan beberapa kali.

Rasullullah saw amat gemar menunggang kuda dan mengalakkan pertandingan lumba kuda. Berikut adalah beberapa keratan tentang minat bagida terhadap kuda, antaranya :
” Terdapat banyak keberkatan dalam pemeliharaan kuda” ( Kitab Masnab). ” Belajarlah memanah dan menunggang kuda” (Hadith Muslim).

Ciri-Ciri Kuda Istimewa Yang Di Gemari Rasullahullah saw

“Kuda yang baik adalah kuda kuda hitam, terdapat jalur putih dikepala dan mempunyai warna putih dibibir bahagian atas,” (Hadith Bukhari)
 
 

Friday, 3 June 2011

Ketam Nipah


Teknologi perternakan Ketam Nipah kini semakin di pertingkatkan.

Scylla serrata atau ketam nipah adalah haiwan dari jenis krustacea iaitu bercangkerang seperti udang. Ia juga dikenali sebagai ketam bakau atau ketam lumpur dari keluarga Portunidae.

Secara semulajadi ketam hidup serta membiak di sekitar paya bakau, kuala sungai, tepi pantai atau laut, dalam air payau atau air masin mengikut masa air pasang dan surut.

Menternak ketam menggunakan kolam atau 'membintur' begitu popular terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kolam-kolam dibuat sekitar paya bakau atau berdekatan dengan laut kerana memerlukan air payau atau air masin. Namun teknik ini memerlukan kawasan yang luas.

Proses menggemukkan memerlukan bekas khas untuk mengisi benih ketam secara berasingan kerana ketam adalah dari spesies yang ganas, karnivor dan tahan lasak serta akan memakan sesama sendiri apabila lapar.

Ketam nipah membiak secara bertelur dan boleh membesar sehingga karapasnya mencapai 20 sentimeter atau lebih iaitu dengan berat badan melebihi satu kg (kilogram) hingga empat kg seekor.

Ketam nipah boleh diperolehi dalam tiga warna iaitu hijau, coklat dan merah. Ketam tersebut mempunyai potensi dalam bidang industri perikanan terutamanya kegiatan separa kultur.

Ketam ini mengandungi sejenis protein yang tinggi serta merupakan penawar denggi yang sangat mujarab. Ia didapati boleh membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Pengambilan sup ketam sebagai terapi oral iaitu dimasak sebagai sup (500ml hingga 1 liter) akan meningkatkan bacaan platelet dengan kadar yang sangat cepat.

Kenali ketam nipah

Lazimnya sepit ketam jantan adalah lebih besar dari saiz badannya berbeza pula dengan ketam betina yang mana saiz badannya lebih besar dari sepit. Ketam warna merah selalunya mendapat permintaan yang lebih tinggi disebabkan isinya lebih padat dibandingkan dengan ketam yang berlainan warna.

Kebanyakan haiwan krustasea memerlukan proses bersalin kulit bagi pembesaran dan melengkapkan kitar hidupnya. Proses bersalin kulit dari kulit lembut kepada keras memerlukan lebih kurang 24 jam.

Teknik merangsang ketam bersalin kulit memerlukan masa ternakan antara tiga dan empat minggu bagi setiap kali bersalin kulit. Ia dilakukan dengan mengerat semua kaki dan sepit ketam atau dikenali sebagai teknik limb autotomy.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180gm dan ia menjadi cabaran utama sebelum cengkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut. Ketam aktif dan agresif pada waktu malam dan ketam betina lebih sensitif dari ketam jantan.

Cara baru ternak ketam

Cara terkini untuk menternak ketam adalah dengan menggunakan sistem akuarium fiber secara tertutup. Sistem ini amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal.

Ia boleh ditempatkan di mana-mana saja asalkan ada kawasan yang bertutup iaitu beratap, berdinding dan mempunyai punca elektrik.
Ukuran bagi satu set sistem ini adalah tiga kaki (lebar) x 13 kaki (panjang) x 5 kaki (tinggi) mengandungi tiga kotak fiber.

Kotak-kotak fiber disusun bertingkat melalui rak besi serta saluran paip bagi air masuk dan keluar. tiga kotak fiber yang teratas adalah bekas yang mempunyai petak-petak untuk diisi dengan benih ketam. Sekotak kotak fiber boleh memuatkan 40 ekor benih ketam.

Ini bermakna satu set sistem ini boleh memuatkan 120 ekor ketam. Sekotak kotak fiber yang di bawah sekali adalah digunakan sebagai sistem penapis bagi keseluruhan set sistem ini.

Selain air laut, air paip yang telah diproses bagi menggantikan air masin atau air payau juga sesuai untuk ketam nipah. Sistem ternakan ketam dalam tangki ini tidak memerlukan pengorekan kolam-kolam seperti ternakan lain.

Salah satu kebaikan sistem ini iaitu penggunaan sistem tertutup recirculating water system dimana air paip yang digunakan untuk ternakan ini dikitar semula setelah melalui proses pembersihan/penapisan air mengunakan biofilters.

Sistem ini didapati sangat hygienic dan dapat memenuhi piawaian antarabangsa berbanding dengan sistem ternakan ketam secara konvensional.

Air

Proses penyalinan kulit hanya akan berlaku sekiranya air kolam benar - benar bersih dan air yang kotor boleh menyebabkan ketam mudah dijangkiti bakteria.

Kawalan kualiti air dilakukan dari masa ke semasa dengan memastikan parameter air pada saliniti 30 bahagian perseribu (ppt), oksigen terlarut lebih 5 ppm, suhu antara 28-30 °C dan pH (kemasaman) antara 6.5 hingga 7.5.

Penggunaan efektif mikrob (EM) atau probiotik boleh digunakan untuk mengawal mutu air. EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air (neutralizesalts) dimana bertindak sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air.

Kadar dos adalah 1:10000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap 10000 bahagian air. Dos ini disaran untuk diberikan bagi setiap minggu.

Makanan

Manakala dari segi pemakanan untuk ternakan ketam, penggunaan ikan baja antara yang paling sesuai untuk memenuhi diet pemakanan ketam di mana sebanyak antara lima dan enam peratus daripada berat badannya diberikan setiap hari.

Disiplin pemberian makanan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain. Selain ikan baja, ikan yang disiang (buang kepala, ekor dan isi perut dan dihiris atau dipotong dan dibasuh) diberikan satu atau dua atau hari hari sekali (mengikut kesesuaian dan bacaan air dalam set sistem akuarium ini).

Ketam nipah memerlukan lebih kurang 52 kg ikan (untuk 120 ekor ketam kulit keras) sebulan dan 96.43 kg ikan (untuk 360 ekor ketam kulit lembut) sebulan.

Penyakit

Ternakan secara sistem tangki tertutup ini mempunyai risiko penyakit yang rendah dan jarang dijangkiti penyakit. Kebanyakan penyakit berpunca dari kebersihan dan kualiti air yang kurang baik. Oleh itu pengawalan mutu dan kualiti air sangat dititikberatkan.

Kematian juga berlaku semasa dan selepas proses bersalin cengkerang, pemantauan perlu dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi antara pukul 11 malam hingga 3 pagi secara lebih teliti.

*Petikan dari Utusan Malaysia.