Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Wednesday 22 February 2012

Diet Tanpa Senam?

Makanan seperti ulam amat baik untuk kesihatan.

Hati-hati dengan diet yang dilakukan kerana jika tidak berhati-hati, memang berat badan akan turun mendadak tetapi masalah lain pula mungkin timbul.

Jangan tiru pelakon 'Ally Mc Beal', Callista Flockshart, yang melakukan diet melampau sehingga akhirnya menderita penyakit anoreksia.

Bagaimanapun beberapa artis tempatan dilihat dapat mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat sambil mengambil diet sihat selain melakukan aktiviti fizikal.

Antaranya Bob AF, Aizat AF, Imran Ajmain dan penyanyi baru Syah.

Tapi mungkinkah anda akan dapat mengurangkan berat badan dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan, mengambil ubatan tertentu tanpa melakukan apa-apa aktiviti fizikal?

Anda mungkin dapat mengurangkan berat badan dengan hanya 'berlapar' tetapi tidak mungkin mendapat bentuk badan yang diidamkan.

Risikonya pula, berat badan anda akan naik mendadak apabila anda kembali makan seperti biasa.

Jangan terperanjat jika anda mengalami pelbagai masalah yang berkaitan dengan organ badan dalam tempoh masa beberapa tahun.

Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norsyamimi Ahmad berkata, program mengurangkan berat badan tanpa senaman amat tidak logik.

"Senaman amat perlu untuk mengeluarkan tenaga daripada makanan jika tidak, ia akan ditukar menjadi lemak," katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun senaman perlu dilengkapi dengan penjagaan makanan bagi memberikan berat badan yang ideal.

Sebenarnya bukan semua orang boleh melakukan senaman terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai morbit obes - jika bacaan Indeks Jisim Berat Badan (BMI) melebihi bacaan 40 (berbanding 19 hingga 25 yang biasa) serta mempunyai masalah kesihatan.

"Kaki pesakit morbit obes tidak mampu menampung berat badan. Jadi mereka boleh memulakan dengan diet kalori sangat rendah iaitu hanya mengambil 800 kalori sehari," katanya.

Mereka yang menjalankan diet berkenaan perlu mendapatkan pemantauan berterusan daripada doktor atau pakar pemakanan di wad.

Cara mengurangkan berat badan paling baik adalah dengan menjaga makanan dan melakukan senaman.
"Kita perlu seimbangkan makanan yang kita makan dengan senaman yang dilakukan bagi mendapatkan berat badan ideal," katanya.

Nursyamimi berkata, senaman yang biasa dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki semasa membeli-belah yang menyebabkan kadar degupan jantung tinggi selain pengeluaran peluh meningkat.

Selain berjalan, berkebun selama setengah jam boleh membakar sebanyak 100 kalori. Bagaimanapun semua aktiviti senaman dan makanan bergantung kepada usia dan berat badan seseorang," katanya.

Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan apa yang kita makan. Bagi diet yang betul, pesakit perlu makan ikut waktu, memilih makanan yang betul dan pastikan kalori yang perlu diambil setiap hari.

Nursyamimi berkata, sarapan pagi tidak boleh ditinggalkan dan pesakit perlu mengambil lebih protein dan fiber seperti telur, ikan dan ayam.

Menu sarapan bagi wanita adalah sebiji telur separuh masak, dua keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat.

Manakala bagi lelaki pula adalah sebiji telur separuh masak, tiga hingga empat keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat.

Bagi makan tengahari pula, ambil 1/3 nasi, 1/3 ikan, ayam atau daging dan 1/3 sayur-sayuran serta sebiji atau sehiris buah-buahan.

Sementara makan malam lebih kurang sama dengan makan tengahari. Bagaimanapun diet ini perlu diubah mengikut tahap kesihatan seseorang seperti diabetes, pesakit jantung dan penyakit kronik lain.

"Perlu diingat, pastikan waktu makan setiap hari adalah lebih kurang sama. Bermula dengan sarapan pukul 7 hingga 9 pagi, makan tengahari pada pukul 12.30 hingga 2.30 petang dan makan malam seelok-eloknya empat jam sebelum tidur atau sebelum pukul 8 malam," katanya.

Dr. Nursyamimi berkata, diet tanpa senaman atau dikatakan sebagai 'yo-yo diet' biasanya akan menyebabkan berat badan turun naik mendadak kerana kehilangan otot.

Diet ini menggunakan otot untuk ditukar kepada tenaga kerana otot dua kali lebih berat berbanding lemak. Diet sebegini amat tidak digalakkan, katanya.

Mereka yang mengamalkan diet berkenaan mempunyai risiko bertambah berat badan dua kali ganda, kerosakan buah pinggang, haid tidak teratur, mood tidak betul, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah menurun sehingga kadang-kala boleh pengsan.

Biasanya penurunan berat badan yang ideal adalah 10 peratus dalam tempoh enam bulan.

Diet paling popular sekarang adalah pengambilan protein tinggi dan rendah karbohidrat tetapi diet ini tidak boleh diambil berterusan kerana akan memberikan kesan kepada buah pinggang.

"Biasanya ia hanya dilakukan selama 60 hari dan diikuti dengan senaman seperti berenang, berbasikal atau joging mengikut kesesuaian," katanya.

Dalam tujuh hari seminggu, pastikan lima hari dengan masakan bakar, kukus atau sup sementara hari lain dengan goreng atau bersantan.

Mengenai pusat pelangsingan badan, pil penyerap dan membakar lemak serta teh herba, Nursyamimi berkata, ia hanya akan berkesan jika menjaga pemakanan selain senaman.

Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah pembuangan air atau menyerap semua lemak yang ada dalam badan.

"Kadang-kala kita rasa lapar tetapi sebenarnya kita hanya dahaga. Jadi pastikan sama ada kita benar-benar lapar dengan meminum air," katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang ingin mengawal berat badan agar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bertemu dengan pakar pemakanan bagi mendapatkan diet yang betul.

"Ini kerana diet berlainan bagi individu mengikut tahap kesihatan masing-masing," katanya.

Cegah Diabetes untuk Jantung Sihat

Anda telah membaca tentang penyakit jantung yang merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia. Anda juga telah membaca tentang diabetes yang dikatakan ‘ibu kepada semua penyakit’.

Tetapi, tahukah anda bahawa penyakit jantung dan diabetes sebenarnya mempunyai banyak persamaan?
Jika anda kurang pasti, rencana ini yang merupakan rencana pertama daripada enam bahagian bersiri tentang penjagaan jantung dan diabetes, akan menambahkan lagi pengetahuan anda tentang penyakit jantung dan diabetes.

Bagaimana kedua-duanya saling berkait dan langkah-langkah mudah yang boleh diambil untuk mencegah kedua-duanya daripada menjadi sebahagian daripada hidup anda.

Apakah penyakit jantung kardiovaskular?

Penyakit-penyakit jantung (kardio) merupakan satu daripada komponen-komponen utama penyakit kardiovaskular (CVD), di mana yang lagi satu merupakan penyakit-penyakit saluran darah (vaskular).

Penyakit saluran darah yang paling lazim adalah aterosklerosis, yang menyebabkan pengerasan saluran-saluran darah. Ia merupakan proses di mana kolesterol dan bahan-bahan lain akan terkumpul di dinding dalam arteri dan membentuk plak (enapan lemak).

Plak-plak ini akan menyempitkan saluran darah arteri, mengehadkan bekalan darah dan mungkin juga menjadi pecah. Ini akan menyebabkan pembentukan darah-darah beku yang dinamakan emboli.

Jika emboli ini bergerak ke bahagian lain badan anda danf menyekat sebahagian atau sepenuhnya pengaliran darah ke sesuatu organ, contohnya jantung anda, maka ini boleh menyebabkan anda terkena serangan jantung.

Jika emboli menyekat arteri dalam otak yang mungkin telah pun menjadi sempit akibat aterosklerosis, maka ini mungkin akan menyebabkan anda terkena strok.

Kehadiran plak, walaupun ia tidak pecah, kadangkala sudah memadai untuk menyempitkan saluran-saluran darah jantung anda dan mengakibatkan simptom-simptom penyakit arteri koronari (CAD) seperti angina (sakit dada).

Jika tidak dirawat, ini mungkin akan menyebabkan anda mendapat serangan jantung atau kegagalan jantung kardiak kongestif.

Adakah anda berisiko?

Mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit jantung dan faktor usia meningkat adalah risiko-risiko yang tidak boleh diubah.

Merokok, gaya hidup sedentari, tabiat makan yang tidak sihat, mudah mendapat tekanan serta rasa marah dan berat badan berlebihan pula adalah faktor-faktor risiko yang boleh diubah.

Begitu juga dengan tekanan darah tinggi (hipertensi) dan kolesterol darah tinggi (hiperkolesterolaemia).

Amnya, kaum lelaki lebih berisiko untuk mendapat CAD berbanding wanita, namun begitu risiko bagi kaum wanita juga akan meningkat selepas menopaus.

Walau bagaimanapun, berbanding kesemua faktorfaktor ini, diabetes masih lagi merupakan satu faktor risiko yang utama. Hayatilah statistik-statistik berikut:
  • Orang dewasa yang menghidap diabetes adalah dua hingga empat kali lebih cenderung terkena penyakit jantung atau strok berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.
  • Dua daripada tiga penghidap diabetes meninggal dunia akibat penyakit jantung atau strok.
  • Penghidap diabetes lebih berkemungkinan akan meninggal dunia akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.
  • Risiko kematian akibat serangan jantung di kalangan penghidap diabetes yang tidak diketahui ada menghidap penyakit jantung adalah sama dengan mereka yang tidak menghidap diabetes tetapi pernah mengalami serangan jantung.
  • Bagi mereka yang menghidap diabetes, serangan jantung biasanya berlaku lebih awal dan berkemungkinan besar akan mengakibatkan kematian.
Kaitan antara penyakit jantung dan diabetes

Punca utama kematian awal di kalangan penghidap diabetes yang tidak dikawal dengan baik adalah disebabkan penyakit kardiovaskular. Sebenarnya, penyakit jantung merupakan komplikasi diabetes yang paling lazim dan serius.

Ini kerana diabetes yang tidak diuruskan dengan baik akan mengganggu paras glukosa darah anda dan menyebabkan metabolisme lain badan menjadi tidak menentu, yang juga akan menghasilkan paras lemak darah (seperti kolesterol) yang tidak normal.

Diabetes juga lebih cenderung meningkatkan tekanan darah anda.

Kombinasi paras glukosa darah yang tinggi, paras lemak darah yang tidak normal dan tekanan darah yang tinggi akan merosakkan saluran-saluran darah (arteri-arteri) badan anda dan memudahkan pembentukan plak di dinding dalam arteri.

Ini mempercepatkan pembentukan aterosklerosis, yang akhirnya boleh menyebabkan serangan jantung atau kegagalan jantung.

Jangan menjadi statistik

Statistik-statistik penyakit jantung dan diabetes mungkin menakutkan, tetapi anda boleh mencegah kedua-duanya dengan membuat beberapa perubahan positif dalam gaya hidup anda sekarang.

Sebenarnya, kajian di China, Eropah dan Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa risiko diabetes boleh dikurangkan menerusi diet yang sihat, melakukan senaman secara kerap dan mengurangkan berat badan.

Walaupun terdapat faktor-faktor risiko penyakit jantung yang tidak boleh anda ubah namun terdapat banyak lagi langkah pencegahan yang berkesan yang boleh anda ambil seperti:

Ambil diet yang seimbang

Pilih diet untuk jantung sihat yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh serta yang mengandungi rendah kandungan lemak tepu, kolesterol dan sodium (garam).

Anda perlu mengurangkan pengambilan kalori harian jika mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes. Kebanyakan kalori datang dari makanan berlemak dan yang digoreng.

Menjadi lebih aktif

Anda perlu melakukan senaman atau aktiviti fizikal lain selama sekurang-kurangnya 30 minit setiap kali dan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu (sebaik-baiknya aktiviti ini dilakukan pada setiap hari!).

Anda perlu bersenam dengan lebih kerap dan untuk jangka masa yang lebih lama jika mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes, untuk menurunkan berat badan anda.

Kekalkan berat badan dan ukur lilitan pinggang yang sihat

Mempunyai berat badan yang berlebihan terutama sekali pada bahagian abdomen akan meningkatkan risiko anda menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.

Sebagai panduan, anda perlu mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (IJT) sekitar 18-23 kg/m2. Ukur lilitan pinggang orang Asia pula sepatutnya berukuran kurang daripada 90sm bagi lelaki atau kurang daripada 80sm bagi wanita.

Periksa profil lipid darah anda

Paras kolesterol darah yang tinggi (kolesterol-LDL atau kolesterol jahat) akan meningkatkan risiko anda menghidap penyakit jantung. Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika anda turut mempunyai paras kolesterol-HDL atau kolesterol baik yang rendah.

Sebaik-baiknya, anda perlu mengekalkan paras kolesterol-LDL kurang daripada 3.0 mmol/L dan kolesterol baik (HDL-C) lebih tinggi daripada 1.02 mmol/L bagi lelaki atau lebih tinggi dari 1.3 mmol/L bagi wanita.

Sentiasa periksa tekanan darah anda

Tekanan darah tinggi boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kardiovaskular. Periksalah tekanan darah anda sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun serta berusaha untuk mengekalkannya pada tahap yang rendah (130/80 mmHg atau kurang) tanpa mengira usia anda.

Menjalani pemeriksaan kesihatan berkala

Pemeriksaan kesihatan yang berkala akan dapat mengesan dan merawat penyakit diabetes dan jantung pada peringkat yang awal. Minta doktor untuk memeriksa paras glukosa darah anda.

Jika anda berisiko tinggi menghidap diabetes atau mempunyai paras glukosa darah yang tinggi daripada normal, doktor anda mungkin akan mengatur untuk anda menjalani ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT).

Sebagai rutin, doktor anda juga akan memeriksa berat badan dan ukur lilit pinggang, tekanan darah dan paras kolesterol jahat dan baik darah anda.

Berhentilah merokok

Jika anda merokok, tolong hentikannya sekarang. Menghisap rokok boleh menyebabkan saluran-saluran darah menjadi sempit dan seterusnya akan mengurangkan bekalan darah ke organ-organ penting seperti jantung anda. Merokok juga akan memburukkan aterosklerosis.

Kurangkan tekanan atau stres

Kajian terkini menunjukkan bahawa stres berkaitan pekerjaan merupakan faktor penting ke arah pembentukan diabetes jenis 2 dan komponen-komponen lain sindrom metabolik yang boleh mengakibatkan anda menghidap penyakit jantung.

Bersenam secara kerap, mengikuti suatu hobi, mengamalkan yoga serta meditasi atau kerap sembahyang adalah contoh-contoh aktiviti mengurangkan tekanan yang mungkin ingin anda ikuti untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.

Serat Larut Oat (beta glucan) & Tahap Kolesterol Yang Lebih Rendah: Bagaimanakah mereka berkait?
Tahukah anda bahawa serat larut oat beta glucan telah terbukti dapat membantu menurunkan tahap kolesterol dalam darah atau lebih tepat lagi, mengurangkan paras kolesterol-LDL (kolesterol jahat)?

Beta glucan membantu memerangkap asid-asid hempedu yang mengandungi kolesterol dan kolesterol dari makanan, dalam saluran pencernaan. Bahan-bahan ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem badan sebagai bahan buangan.

Ini bermakna badan anda hanya akan menyerap kolesterol yang sedikit. Paras kolesterol yang lebih rendah akan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Prof. Mustaffa Embong merupakan Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI).
Artikel seterusnya: Tip jantung sihat untuk mereka yang mempunyai kolesterol darah tinggi.

- Artikel ini adalah sumbangan dari Program Menangani Wabak Diabetes – Penjagaan Jantung anjuran NADI dengan usaha sama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada Roti Gardenia Breakthru. Untuk pertanyaan, sila hubungi Institut Diabetes Negara (NADI) di talian (03) 78761676/ 78761677.

Saiz bukan Ukuran

Saya ingin mengemukakan persoalan berkaitan dengan masalah yang saya hadapi. Saya seorang lelaki yang berusia 24 tahun. Apa yang menjadi kerisauan saya selama ini adalah saiz dan panjang zakar saya.

Panjangnya kira-kira satu inci sahaja dan berukuran kira-kira empat inci ketika mengalami ketegangan. Saiznya juga tidak begitu besar. Adakah keadaan tersebut normal jika dibandingkan dengan usia saya sekarang?

Saya risau sekiranya terdapat permasalahan pada zakar saya. Adakah terdapat cara untuk memanjangkannya? Untuk pengetahuan Prof., sebelum ini saya gemar melakukan onani.

Apakah perbuatan tersebut menyebabkan keadaan ini? Saya benar-benar buntu dan berharap Prof. dapat membantu.

Jawapan.

Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Seingat saya, perkara ini pernah disoal. Mungkin elok saya mulakan dengan mengatakan bahawa saiz zakar saudara masih dikategorikan sebagai normal.

Ini mengandaikan saudara membuat pengukuran yang tepat. Pengukuran saiz bukan sahaja melibatkan panjang bahkan lebar zakar itu juga.

Pengukuran saiz zakar perlu dilakukan beberapa kali dalam waktu yang berlainan kerana saiznya boleh berubah bergantung kepada masa, cuaca, tahap keghairahan, kekerapan hubungan seks dan beberapa faktor lain lagi.

Kajian berkenaan dengan saiz zakar ini berbeza-beza. Bagaimanapun, secara puratanya adalah antara 12.9-15 sentimeter (5.1-5.9 inci) semasa tegang. Ukuran saiz zakar flaccid atau sewaktu lembik adalah tidak tepat.

Pada umur saudara, memang saiz zakar tidak akan meningkat dengan ketara kerana biasanya tumbesaran zakar berlaku antara umur setahun ke lima tahun dan seterusnya lima tahun selepas seseorang itu akil baligh.

Keadaan yang dipanggil micropenis atau saiz zakar yang kecil adalah apabila ia kurang daripada tujuh sentimeter atau tiga inci semasa tegang. Ia boleh disebabkan oleh faktor seperti masalah hormon atau genetik.

Kekerapan beronani sebenarnya tidak ada kaitan dengan saiz zakar walaupun saya banyak berjumpa pesakit yang mengatakan saiz zakar mereka mengecut disebabkan perbuatan tersebut.

Ada juga menjadi panik dan merasakan zakar mereka menjadi semakin kecil dari semasa ke semasa tetapi apabila dibuat pemeriksaan ternyata ia tidak benar.

Terapi hormon

Walaupun pelbagai cara termasuk pembedahan boleh dilakukan bagi membesarkan zakar, saya amat jarang menasihatkan pesakit saya mengambil langkah itu.

Cuma, jika terbukti ia disebabkan oleh masalah hormon, mungkin terapi hormon adalah sesuai.

Ramai lelaki ingin membesarkan zakar dengan cara-cara yang bahaya. Saya pernah merujuk pesakit yang mengalami zakar yang 'rosak' apabila menyuntik bahan kimia dengan harapan membesarkannya.

Kajian juga menunjukkan memang lelaki akan merasa bangga mempunyai zakar yang panjang dan lebar .

Hakikat sebenarnya kenikmatan hubungan seks tidak memerlukan zakar yang panjang dan lebar kerana tempat-tempat yang paling sensitif bagi wanita, contohnya kelentit berada di bahagian luar faraj sahaja.

Bagaimanapun, bagi mereka yang bermotivasi tinggi boleh mencuba buku exercising the penis karya Aaron Kemmer yang boleh didapati di amazon.com. Ia mungkin berkesan kepada saudara.

Jika saudara masih tidak berpuas hati, buatlah pemeriksaan lanjut dengan doktor di tempat saudara.

Tuesday 21 February 2012

Pilihan Menjarakkan Anak

Kehadiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga merupakan anugerah Ilahi paling membahagiakan. Anak adalah rezeki tidak ternilai.

Namun begitu, atas alasan tertentu yang hanya suami dan isteri sahaja mengetahuinya, ada pasangan bercadang untuk menjarakkan kehadiran cahaya mata. Terdapat pelbagai kaedah yang sesuai dan hanya yang pakar dapat membantu pasangan seperti ini.

Ini mengingatkan kisah yang pernah diceritakan oleh seorang rakan pada masa lampau mengenai seorang ayah, A, yang menasihati rakannya B bagaimana mahu merancang keluarga.

"Jangan risau, pakai sahaja sarung itu (kondom), selesailah,'' ujarnya penuh yakin. Namun beberapa bulan selepas itu B menemuinya semula, wajahnya agak muram.

"Dah cuba..., tapi isteri mengandung juga. Tak apalah, rezeki kami,'' ujarnya perlahan.

Tidak sedap hati, A bertanya kembali, bagaimana kaedah itu tidak berkesan. Setelah diselidiki, barulah A tahu rupa-rupanya sarung itu sudah `dikhatan' terlebih dahulu!

Barangkali ia hanyalah satu bahan gurauan dan kemungkinan boleh berlaku semasa kaedah itu mula diperkenalkan dahulu.

Kesihatan mendapatkan pandangan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan mengenai perancang keluarga.

Apa itu perancang keluarga?

Perancang keluarga adalah kaedah yang diamalkan isteri ataupun suami yang belum bersedia untuk menimang cahaya mata atau, bagi mereka yang telah menimang cahaya mata tetapi ingin pula menjarakkan kelahiran anak.

Katanya: "Ada pelbagai cara untuk merancang keluarga termasuk secara natural ataupun menggunakan kaedah perubatan moden.''

Objektif utama menggunakan kaedah merancang keluarga ialah untuk memastikan kesihatan ibu pulih dengan sepenuhnya sebelum kelahiran yang seterusnya.

Ia juga untuk memastikan anak baru lahir mendapat penjagaan dan kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa mereka.

"Tanggungjawab merancang keluarga adalah untuk menjamin keluarga bahagia dan ini terletak kepada suami dan isteri. Perkara ini harus dibincang bersama agar ia tidak mendatangkan masalah yang boleh menjejaskan perhubungan suami isteri,'' kata Dr. Jamiyah.

Menurutnya, mereka yang baru berkahwin dan masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata bolehlah menggunakan kaedah merancang keluarga.

Individu yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak digalakkan mempunyai kelahiran yang banyak seperti darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang dan sebagainya perlu berjumpa doktor untuk berbincang mengenai kaedah perancang keluarga.

Sebuah keluarga yang sihat memerlukan ibu bapa sihat. Seseorang wanita, tambahnya, boleh menggunakan kaedah merancang jika diperlukan seawal 18 tahun ke atas.

Tempoh jarak kelahiran

Tempoh menjarakkan kelahiran bergantung kepada kemampuan dan keinginan pasangan yang terbabit.

Seelok-eloknya tempoh yang baik menjarakkan kelahiran sekurang-kurangnya dua tahun bagi memberi peluang untuk ibu membina kesihatan seperti sedia kala, dan juga memberi masa penjagaan sempurna untuk anak yang baru lahir.

Selain itu, ia memberi peluang menyusukan anak secara eksklusif selama enam bulan pertama dan seterusnya sehingga anak berusia dua tahun.

Dalam masa dua tahun pertama, perkembangan dari segi fizikal dan emosi seseorang anak itu amat penting.

Menjarakkan kelahiran sekali gus memberi peluang kepada suami isteri menstabilkan hal-hal ekonomi rumah tangga.

Dengan bertambahnya ahli keluarga akan bertambahlah perbelanjaan keluarga. Jadi secara tidak langsung keharmonian rumah tangga akan terjaga.

Kaedah-kaedah merancang keluarga

Natural

Kaedah ini menggunakan cara mengelakkan waktu subur seseorang wanita itu. Kaedah bergantung kepada kitaran haid seseorang wanita.

Mereka boleh menggunakan cara rhythm dan untuk mengelakkan waktu subur mereka boleh mengira dari waktu kitaran haid yang terpendek, tolak 20 hari dan hari terakhir waktu subur ialah kitaran haid yang terpanjang ditolak 11 hari.

"Jadi mereka harus mengelakkan perhubungan kelamin pada lebih kurang hari kelapan hingga ke-24 jika kiraan haid mereka 28 ke 35 hari. Ia agak rumit untuk dikira dan boleh mendatangkan masalah bagi pasangan itu kerana waktu mereka tidak boleh bersama agak panjang,'' katanya.

Dr. Jamiyah memberitahu, selain cara rhythm, mereka boleh mengesan waktu subur dengan perbezaan cecair yang keluar daripada faraj. Sewaktu subur, cecair yang keluar bertukar dari warna putih yang pekat kepada lendir yang jernih dan cair.

Ini disebabkan peningkatan hormon estrogen dan pertukaran kepada lendir cair yang jernih, bertujuan merangsang kemasukan benih sperma.

Waktu ini juga suhu badan wanita akan naik sebanyak 0.5o dan boleh dikesan menggunakan termometer ovulasi pada waktu bangun tidur.

Pil perancang keluarga

Ia mengandungi estrogen dan progestogen. Cara utama menghalang kehamilan ialah dengan menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari seseorang wanita.

Di samping itu, ia juga menyebabkan lendir dari pintu rahim menjadi lebih pekat dan ini juga menghalang kenaikan sperma masuk ke dalam rahim.

Pil perancang keluarga dimakan pada setiap hari bermula dari hari pertama kitaran haid sehingga hari ke-21.

Ini diikuti dengan tujuh hari rehat. Pada waktu ini perdarahan akan berlaku dan pil dari paket baru perlu dimulakan selepas tujuh hari walaupun perdarahan mungkin belum habis.

Jika diikuti dengan betul, keberkesanan menggunakan kaedah ini untuk mengelakkan kelahiran amat tinggi iaitu 99.9 peratus.

Ada pil yang mengandungi progestogen sahaja. Pil jenis ini mengelakkan kandungan dengan menyebabkan dinding rahim nipis dan lendir yang pekat.

Ia boleh juga mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari tetapi ia tidak konsisten dan memerlukan dos yang tinggi. Hampir 50 peratus wanita menggunakan kaedah ini boleh mengeluarkan telur dari kilang ovari.

Ini kerana ia perlu dimakan dengan betul dan mengikut masa yang ditetapkan. Jika masa makan berubah-ubah melebihi tiga jam, ia boleh menyebabkan wanita itu hamil.

Pil perancang adalah salah satu kaedah yang amat popular di kalangan wanita dunia dan juga di Malaysia.

Selain mengelakkan kandungan, pil perancang keluarga mempunyai kesan sampingan yang positif seperti mengurangkan kadar perdarahan haid serta mengurangkan penyakit anemia atau kurang darah dan mengurangkan kesakitan sewaktu haid.

Kata Dr. Jamiyah, ia juga boleh mengurangkan risiko mendapat kanser kilang ovari dan endometrium melebihi 50 peratus apabila digunakan melebihi satu tahun.

Pil perancang keluarga yang baru mengandungi progestogen yang baru seperti drospirenone yang mengurangkan risiko kenaikan berat badan disebabkan penyimpanan air yang berlebihan.

"Ia juga membuat kulit menjadi lebih cantik dan mengurangkan perasaan tidak menentu akibat sindrom prahaid,'' ujar beliau.

Suntikan

Suntikan menggunakan hormon progestogen, disuntik setiap dua bulan bergantung kepada hormon yang digunakan.

Disebabkan dosnya yang tinggi, ia mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari di samping mengakibatkan lendir yang pekat. Wanita yang menggunakan kaedah ini boleh mengalami perdarahan yang tidak menentu.

Alat dalam rahim

Salah satu kaedah yang popular dan telah digunakan semenjak tahun 60-an lagi. Ia perlu dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor terlatih dan tidak mendatangkan banyak masalah kepada pengguna.

Setelah dimasukkan, alat ini boleh disimpan selama tiga hingga lima tahun bergantung kepada jenis yang digunakan. Efikasinya untuk mengelakkan kandungan adalah lebih kurang 98 peratus.

Ada alat dalam rahim yang telah diserapkan dengan hormon progestogen. Ini meninggikan efikasinya kepada lebih 99.9 peratus untuk mengelakkan kandungan.

Di samping itu, ia boleh mengurangkan perdarahan haid dan hampir 80 peratus wanita tidak mengalami perdarahan selepas tiga bulan penggunaannya.

Walau bagaimanapun, wanita tidak harus bimbang kerana walaupun tidak datang haid, telur masih dikeluarkan dari kilang ovari seperti biasa. Ini juga boleh mengurangkan masalah anemia dari perdarahan haid yang berlebihan.

Kaedah Barrier

Kaedah barrier yang paling popular adalah kondom lelaki. Ada kondom yang diserapkan dengan ubat antisperma. Kaedah ini tidak begitu baik kerana efikasinya cuma lebih kurang 60 hingga 80 peratus jika digunakan dengan betul.

Tetapi ia adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengelakkan penyakit kelamin dan HIV. Menurutnya, kondom untuk kaum wanita juga ada tetapi tidak begitu popular.

Kaedah barrier yang lain termasuk penggunaan diafram, alat penutup pintu rahim dan span. Kaedah-kaedah ini juga tidak popular.

Implan

Implan adalah alat perancang yang mengandungi hormon progestogen yang dimasukkan ke bawah kulit di bahagian dalam lengan.

Ia mengelakkan kandungan dengan menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari, boleh dipakai selama tiga hingga lima tahun. Keberkesanannya mencecah 99 peratus.

Sterilisasi

Sterilisasi boleh dilakukan kepada wanita dan juga kaum lelaki. Kaedah ini adalah kekal. Saluran fallopio wanita diikat atau dipotong bagi mengelakkan perjalanan telur ataupun sperma dan seterusnya menghindarkan persenyawaan.

Vasektomi adalah kaedah sterilisasi kekal untuk lelaki. Ia memerlukan pembedahan kecil di mana saluran vas deferens dipotong sedikit dan diikat.

Kesan sampingan dan risiko bagi wanita yang bermasalah atau berpenyakit kronik

Kesan sampingan bergantung kepada kaedah dan hormon yang digunakan. Estrogen boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan menaikkan tekanan darah.

Jadi mereka yang mempunyai risiko seperti darah tinggi, penyakit hati, jaundis, sejarah penyakit di mana saluran darah tersumbat, penyakit jantung, kadar kolesterol yang tinggi, sejarah kanser payu dara, terlalu gemuk atau merokok melebihi 40 batang sehari tidak boleh mengambil perancang keluarga yang mengandungi hormon lebih-lebih lagi estrogen.

Kebaikan merancang keluarga

Kebaikan merancang keluarga bukan saja untuk menjaga kesihatan ibu tetapi bagi memastikan pembesaran anak sempurna dari segi fizikal dan emosi.

Ia juga memberi peluang untuk suami memastikan kewangan keluarga terjamin bagi menampung kehadiran ahli baru.

Umur yang terbaik untuk melahirkan anak adalah pada usia 25 hingga 35 tahun kerana pada umur ini risiko pada ibu adalah minimum.

Pada asasnya seorang wanita boleh melahirkan bayi walaupun pada umur yang hampir menopaus tetapi risiko pada ibu akan berlipat ganda.

Pada zaman ini, di mana kaum wanita berkahwin lewat ataupun memilih menjayakan karier terlebih dahulu, lebih ramai yang melahirkan anak pada usia melewati 35 tahun.

"Saya menyarankan mereka berbincang dengan doktor pakar tentang masalah yang mungkin dihadapi,'' pesan Dr. Jamiyah.

Bincang bersama

Isu merancang keluarga harus dibincang bersama walaupun kaedah yang diamalkan memihak lebih kepada kaum perempuan. Kaum wanita perlu kerjasama dan restu suami untuk merancang keluarga.

Objektif mereka adalah melakukan yang terbaik untuk keluarga. Jika mereka di dalam keadaan sihat tubuh badan dan rohani, wanita boleh menjaga suami dan keluarga dengan lebih baik lagi.

Menjawab pertanyaan, Dr. Jamiyah memberitahu, tempoh berhenti mengambil perancang keluarga untuk hamil semula bergantung kepada kaedah yang digunakan.

Jika menggunakan pil perancang, mereka akan mengeluarkan telur sebaik berhenti pil dalam masa satu hingga dua bulan. Begitu juga jika mereka menggunakan alat di dalam rahim.

Nasihat pakar

Soal bila pasangan yang baru berkahwin ingin menimang cahaya mata, bergantung kepada banyak faktor. Mereka boleh memulakan bila-bila masa selepas berkahwin.

Walau bagaimanapun, mereka perlu tahu cara-cara merancang keluarga kerana biarlah setiap kandungan itu anak yang diingini dan bukan kerana tersalah kira!

Keluarga yang sihat dan bahagia perlu kerjasama semua.

Lima Penyakit Utama Wanita

Fibroid

Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim.

Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid.

Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 - 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/ m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous).

Ada fibroid yang mencetuskan simptom dan ada juga yang berlaku tanpa simptom. Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak.

Endometriosis

Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, 'dalam', dan metra, 'rahim'.

Ianya membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita.

Simptom utama penyakit ini adalah sengugut dan sakit pada bahagian pelvik. Di Malaysia, tiada statistik khusus yang dijalankan bagi pengidap endometriosis.

Endometriosis merupakan masalah yang kerap berlaku. Hampir satu pertiga pengidap endometriosis menjadi punca mandul (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

PCOS merupakan gangguan hormon yang paling tinggi dalam kalangan wanita yang berada pada peringkat subur dan menjadi salah satu faktor ketidaksuburan (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca berlakunya sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. Gejala PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan penghidap yang lain.

Antara gejala yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid yang sedikit dan tidak teratur atau mengalami oligomenorea dan kadangkala amenorea (ketiadaan haid), bulu roma yang berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), masalah jerawat yang teruk dan kronik, masalah obesiti, masalah keguguran berulang, masalah kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan), dan juga masalah kebotakan menyerupai lelaki (male baldness).

Anorexia Nervosa

Anorexia atau nama saintifiknya 'Anorexia Nervosa' berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk.

Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan.

Penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut 'trend' dan juga tidak diinginkan. Kecelaruan gaya pemakanan merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan.

Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan.

Menopaus

Putus haid atau menopaus ialah waktu pertengahan usia seseorang wanita itu, apabila dia berhenti mengeluarkan haid. Hal ini terjadi, apabila ovari (kilang telur) berhenti menghasilkan telur.

Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes yang berlaku secara mendadak. Kesannya, ia akan mempengaruhi hormon, badan dan perasaan seseorang wanita.

Ada sebahagian wanita tidak merasakan apa-apa perubahan atau gangguan, manakala sebahagian besar mengalami gangguan vasomotor (seperti hangat memerah, berpeluh, susah tidur, berdebar-debar, panas baran, pelupa, mudah berkecil hati, kurang konsentrasi), fizikal dan kejiwaan (seperti kemurungan dan stres) yang boleh mengurangkan dan mengganggu gugat kualiti hidup. Dalam hal ini, sepasang suami isteri perlu mempunyai pengetahuan tentang menopaus.

Monday 20 February 2012

Sindrom Lelaki ‘Menopaus’

Simptom lelaki yang menopaus ialah letih, cepat mendapat tekanan, sakit sendi, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani.

Bolehkah Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?

Jawapan.

Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza dengan wanita.

Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.

Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.

Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.

Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.

Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.

Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.

Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang lelaki dan pasangan mereka.

Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif dalam kehidupan seharian.

Terapi Testosteron ‘Lelaki Menopaus’

Dalam pada wanita sering dipersalahkan apabila melalui krisis pertengahan usia dan dikaitkan dengan ‘ketidaknormalan’ menopaus, pasangan mereka pula seolah-olah mendabik dada sambil mempropagandakan mitos tentang betapa lelaki tidak dimakan usia.

Lelaki tidak akan suka mendengar ini. Tetapi hakikatnya, mereka juga tidak terkecuali mendapat menopaus lelaki atau lebih tepat lagi, andropaus. Terimalah kenyataan ini dengan hati yang terbuka.

Pakar Runding Urologi, Datuk Dr. Tan Hui Meng berkata, testosteron iaitu hormon seks lelaki yang utama akan berkurangan sebanyak satu peratus setiap tahun selepas lelaki mencecah usia 40 tahun.

Jika tidak dirawat, kekurangan testosteron boleh menyebabkan kemurungan teruk, osteoporosis, anemia dan masalah kesihatan serius seperti sindrom metabolisme – yang boleh menyebabkan diabetes dan sakit jantung.

Sindrom metabolisme merupakan masalah perubatan yang dicirikan oleh kegemukan dan gangguan insulin yang menyebabkan kandungan gula darah tidak normal, tahap kolesterol tinggi dan hipertensi ringan.

‘‘Lelaki yang kehilangan nafsu seks, kekurangan tenaga, masalah tumpuan, lemak badan berlebihan dan jisim otot dan tulang yang merosot mungkin dibelenggu keadaan perubatan yang dinamakan sindrom kekurangan testosteron.

‘‘Disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk juga disebabkan oleh kekurangan testosteron – malah 20 peratus daripada lelaki yang menghidap ED mempunyai masalah ini,’’ kata beliau.

Menurutnya, kekurangan testosteron juga kerap berlaku di kalangan para penghidap diabetes melitus jenis 2.

Berdasarkan kepada kajian komuniti, kata Dr. Tan, kira-kira 18.5 peratus daripada lelaki Malaysia disahkan mengalami penyakit ini tetapi angka yang sebenar mungkin lebih tinggi.

‘‘Malangnya, lelaki tidak mendapatkan rawatan untuk menangani masalah kekurangan testosteron kerana mereka tidak sedar kesan buruk yang dibawa oleh masalah ini.

‘‘Di Malaysia, kesedaran mengenai keadaan ini masih lagi rendah dan oleh itu ia tidak dapat didiagnosis dan diberikan rawatan yang sewajarnya,’’ jelasnya.

Tambahnya, memandangkan kemerosotan kadar testosteron adalah sebahagian daripada proses penuaan, masalah ini perlu ditangani sekiranya disusuli oleh gejala-gejala seperti kemerosotan fungsi seks, gangguan mood dan penurunan tahap tenaga keseluruhan.

Ini kerana, masalah berulang seperti itu boleh merendahkan harga diri seorang lelaki, menjadikan hubungan pasangan tegang, mengganggu kerjaya dan juga menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Terapi suntikan testosteron tahan lama pertama di dunia.

Memperkenalkan Nebido® – terapi testosteron yang selamat, berkesan dan menyenangkan untuk memulihkan kesejahteraan seksual, fizikal, mental dan prestasi lelaki, sekali gus menambah baik kualiti hidup mereka.

‘‘Nebido® adalah sejenis terapi suntikan testosteron tahan lama yang pertama dihasilkan di dunia untuk menangani kekurangan testosteron.

‘‘Ini sememangnya berita baik bagi lelaki berusia 40 tahun ke atas yang berada di kemuncak kerjaya masing-masing, tetapi mengalami kemerosotan dari segi prestasi seksual, fizikal dan mental akibat kekurangan testosteron,’’ kata Pakar Runding Urologi dan Profesor Urologi dan Keseksualan Manusia, Hamburg, Jerman, Dr. Aksam A. Yassin.

Beliau berkata, Nebido® memberikan harapan baru kepada lelaki Malaysia di mana mereka boleh kembali lebih yakin, bebas dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Terapi ini terbukti melalui ujian klinikal dalam meningkatkan nafsu dan fungsi seks, menambahkan jisim dan kekuatan otot, mengurangkan lemak badan dan memberikan kesan positif terhadap mood.

Penggunaan Nebido®, tambahnya, serasi dengan gaya hidup lelaki moden dan senang untuk digunakan – malah ia ‘berfungsi’ setiap hari tanpa memerlukan rawatan harian.

‘‘Nebido® membekalkan badan dengan dos testosteron yang stabil dan tetap dalam jangka panjang.
‘‘Kajian mengesahkan bahawa Nebido® mengekalkan kadar testosteron dalam darah dalam julat biasa selama kira-kira tiga bulan. Justeru, empat dos setahun biasanya diperlukan,’’ ujar Dr. Aksam.

Oleh kerana Nebido® diberikan oleh doktor, keselamatan pesakit dapat dikawal dan diawasi dengan lebih baik. Setakat ini Nebido® diterima dengan baik oleh kebanyakan pesakit dan mempunyai kesan sampingan minimum.

Profesor berkenaan turut menyarankan agar lelaki yang mengalami gejala kekurangan testosteron memeriksa kadar testosteron dan membincangkan pilihan rawatan dengan doktor.

Rawatan sedia ada mengekalkan kadar testosteron biasa badan untuk tempoh yang singkat, justeru ia perlu diberi dengan kerap.

Rawatan testosteron seperti Nebido® memberikan pilihan terapi lebih baik kepada lelaki Malaysia. Lagipun, rawatan ini juga mudah, selamat dan berkesan.

Sehingga kini, Nebido® telah diluluskan di lebih 20 negara di seluruh dunia termasuk Korea Selatan, Filipina, Indonesia dan Australia.

Nebido® juga telah mendapat kelulusan di Malaysia sebagai rawatan sindrom kekurangan testosteron pada 10 Ogos 2006.

Apa itu testosteron?

Testosteron merupakan hormon seks terpenting lelaki yang dihasilkan oleh badan.

Pada awal tumbesaran, ia bertanggungjawab bagi pertumbuhan normal dan perkembangan organ seks mereka. Begitu juga dengan ciri-ciri fizikal bersifat kelelakian seperti rerambut di badan dan otot-otot.

Paras testosteron yang normal menyumbang kepada tenaga, fungsi seksual, mood dan libido. Dalam kebanyakan lelaki, testosteron dirembeskan secara automatik.

Ia dihasilkan oleh testis (kelenjar seks lelaki) setelah mendapat isyarat yang dihantar oleh hipotalamus dan kelenjar pituitari yang terletak di bahagian dasar otak.

Sindrom kekurangan testosteron

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, testis tidak berupaya memenuhi keperluan testosteron tubuh. Keadaan ini juga dikenali sebagai hypogonadism.

Banyak kemungkinan yang menyebabkan masalah ini seperti ketidaknormalan genetik, kecederaan pada testis dan ubat-ubatan tertentu.

Bagaimanapun, penuaan memainkan peranan utama dalam kemerosotan progresif paras testostero, yang turut dikenali sebagai sindrom kekurangan testosteron lambat-mula, lazimnya dihidapi oleh lelaki 40-an.

Beberapa kajian (Massachusetts Male Aging Study in 1991, Vermeulen Study in 1972) telah mengesahkan bahawa kadar testosteron aktif menurun seiring peningkatan usia, bermula dari umur 40 tahun, kira-kira 1.2 peratus kemerosotan setahun.

Menjelang usia 70 tahun, seseorang lelaki itu kehilangan hingga kira-kira 35 peratus daripada jumlah testosteron aktif asal mereka. Kebanyakan pesakit diabetes turut mempunyai paras testosteron rendah.

Lain-lain faktor termasuklah kegagalan testis untuk berfungsi mungkin disebabkan oleh masalah keturunan, bahan-bahan toksik atau beracun, tumor, pembedahan dan lain-lain.

Simptom

Antara aduan biasa yang dikaitkan dengan masalah kekurangan testoteron termasuklah:
  • Tidak bernafsu dan lemah tenaga batin.
  • ED dan kekerapan ereksi yang menurun.
  • Lemak badan berlebihan.
  • Jisim otot dan tulang yang merosot.
  • Tidak dapat menumpukan perhatian.
  • Rasa lemah dan tidak bermaya.
  • Kemurungan.
Diagnosis

Kaum Adam yang memperlihatkan tanda atau gejala-gejala kekurangan testosteron hendaklah berjumpa doktor untuk memeriksa para testosteron mereka.

Seseorang itu dikenal pasti mempunyai masalah testosteron yang rendah jika tahap testosteron darah mereka berada di bawah 12 nmol/L (paras normal di antara 12 nmol/L dan 40 nmol/L).

Doktor juga akan menilai sejarah perubatan pesakit, mengendalikan pemeriksaan fizikal yang umum dan pemeriksaan prostat untuk mengesahkan keadaannya.


Rawatan

Walau apa pun punca dan penyebabnya, kekurangan testosteron boleh menjejaskan keinginan seks, tidak bertenaga dan hilang mood.

Usah bimbang. Kekurangan testosteron boleh dirawat dengan cara mengembalikan kadar testosteron di dalam tubuh badan dalam lingkungan paras yang normal.

Sehingga kini, terapi testosteron merupakan rawatan terbaik bagi masalah kekurangan testosteron yang telah terbukti keberkesanannya di dalam banyak kajian serta pengalaman klinikal yang bertahun-tahun lamanya.

Hipogonadisme - Kurang Hormon Seks

Kita mungkin biasa mendengar lelaki mengalami masalah mati pucuk (disfungsi erektil) iaitu keadaan berkaitan dengan kemampuan seks, namun jarang didedahkan dengan Hipogonadisme.

Satu lagi masalah berkaitan seks yang menyerang lelaki tidak kira usia. Apakah sebenarnya Hipogonadisme?

Menurut Pakar Urologi dan Pembedahan Urologikal, Dr. Rajentheran Suntheralingam, hipogonadisme lelaki adalah keadaan di mana badan tidak menghasilkan hormon seks testosteron yang mencukupi.

Katanya, sebanyak lima juta lelaki di Amerika Syarikat dikatakan tidak menghasilkan hormon testosteron yang cukup, iaitu hormon yang memainkan peranan dalam tumbesaran dan perkembangan kelelakian ketika baligh.

Kesan testosteron bermula ketika janin lagi di mana ia akan merangsang pembentukan organ seks lelaki.

Hormon ini berterusan memainkan peranan penting ketika baligh dan dewasa dengan membentuk karakter lelaki dan mengekalkan keinginan seks.

‘‘Anda mungkin dilahirkan dengan hipogonadisme atau ia boleh berkembang kemudian disebabkan oleh kecederaan atau jangkitan,’’ katanya dalam satu sesi khas kempen MRT Elken untuk kehidupan yang sihat anjuran Elken Sdn. Bhd.

Ujarnya lagi, kesan hipogonadisme dan apa yang anda boleh lakukan untuk mengatasinya bergantung kepada punca dan pada ketika mana ia berlaku.

Namun begitu kata Dr. Rajentheran, jika hipogonadisme berlaku selepas baligh, perkembangannya lebih kepada menyebabkan masalah sementara yang boleh diatasi melalui rawatan.

Sesetengah jenis hipogonadisme boleh dirawat dengan terapi gantian testosteron.

Tanda-tanda dan simptom

Hipogonadisme boleh berlaku ketika perkembangan janin, baligh atau dewasa. Bergantung pada ketika mana ia berkembang, tanda-tanda dan simptomnya berbeza.

Jika badan tidak menghasilkan testosteron yang cukup ketika perkembangan janin, tumbesaran organ seks luar akan terjejas.

Kanak-kanak yang secara genetiknya lelaki mungkin akan lahir dengan alat kelamin perempuan, alat kelamin kabur (sama ada tidak jelas lelaki atau perempuan) ataupun alat kelamin lelaki yang tidak berkembang.

Manakala jika ia berlaku ketika baligh pula, hipogonadisme akan memperlahankan tumbesaran dan mengganggu perkembangan.

Ia menyebabkan penurunan perkembangan jisim otot, suara tidak bertukar menjadi parau, pertumbuhan bulu badan terjejas, pertumbuhan zakar dan buah zakar terjejas, perkembangan berlebihan bahagian lengan dan paha dan juga perkembangan tisu buah dada (ginekomastia).

Dan, jika hipogonadisme menyerang ketika dewasa, beberapa karakter fizikal maskulin akan terganggu dan sekali gus menjejaskan fungsi reproduksi normal.

Tanda-tanda dan simptom termasuk
  • Disfungsi erektil (mati pucuk).
  • Ketidaksuburan.
  • Penurunan pertumbuhan bulu badan dan janggut.
  • Pertambahan lemak dan penurunan jisim otot serta kekurangan jisim tulang (osteoporosis).
  • Penurunan saiz atau kekenyalan buah zakar.
  • Perkembangan tisu buah dada (ginekomastia).
  • Hipogonadisme juga boleh menyebabkan perubahan emosi dan mental. Ketika testosteron menurun, sesetengah lelaki akan mengalami simptom serupa seperti wanita menopaus.
  • Ini termasuk letih, kurang keinginan seks (libido), sukar menumpu perhatian, radang, resah dan juga murung.

Punca

Terdapat dua jenis utama hipogonadisme

1. Primer - Juga dikenali sebagai kegagalan testikular utama berlaku disebabkan masalah pada buah zakar.

2. Sekunder - Ia berlaku disebabkan masalah pada hipotalamus atau kelenjar pituitari (bahagian otak yang memberi arahan kepada buah zakar menghasilkan testosteron).

Hipotalamus menghasilkan hormon pembebasan gonadotropin, yang memberi arahan kepada kelenjar pituitari untuk menghasilkan hormon penghasilan folikel (FSH) dan hormon luteinizing. Hormon ini kemudian memberi arahan kepada buah zakar menghasilkan testosteron.

Hipogonadisme Primer

Punca utama termasuk:

* Sindrom Klinefelter: Keadaan ini menyebabkan ketidaknormalan sejak lahir pada kromosom seks, X dan Y. Lelaki biasanya mempunyai satu kromosom X dan satu kromosom Y.

Dalam kes ini, dua atau lebih kromosom X hadir sebagai tambahan kepada satu kromosom Y. Kromosom Y mengandungi material genetik yang menentukan jantina bayi dan berkaitan dengan perkembangan.

Kromosom X berlebihan yang berlaku pada pesakit sindrom Klinefelter menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar.

* Buah zakar tidak keluar: Ketika dalam kandungan, buah zakar berkembang dalam abdomen dan biasanya turun ke bawah di dalam skrotum dua bulan sebelum lahir.

Dalam kes ini satu atau dua buah zakar tidak keluar ketika lahir. Keadaan ini biasanya pulih sendiri dalam masa beberapa tahun pertama tanpa sebarang rawatan.

Jika ia tidak pulih sendiri ketika kanak-kanak, ia menyebabkan buah zakar tidak berfungsi dan mengurangkan pengeluaran hormon testosteron.

* Beguk Orkitis: Jika jangkitan beguk melibatkan buah zakar ketika dewasa, kerosakan testikular jangka panjang akan berlaku.

* Hemokromatosis: Kandungan besi yang terlalu tinggi dalam darah boleh menyebabkan kegagalan buah zakar atau disfungsi kelenjar pituitari yang mengganggu penghasilan testosteron.

* Kecederaan buah zakar: Kerana lokasinya di luar abdomen, buah zakar terdedah kepada kecederaan.
Kerosakan pada buah zakar yang telah berkembang menyebabkan hipogonadisme. Bagaimanapun kerosakan pada sebelah buah zakar tidak mengganggu penghasilan testosteron.

* Rawatan kanser: Kemoterapi atau terapi radiasi untuk rawatan kanser boleh mengganggu penghasilan testosteron dan sperma.

Kesan kedua-dua rawatan biasanya hanya sementara, namun ketidaksuburan kekal boleh berlaku. Walaupun banyak lelaki mendapat balik kesuburan mereka dalam masa beberapa bulan selepas rawatan berakhir, menyimpan sperma sebelum memulakan rawatan kanser adalah langkah yang digalakkan.

* Faktor usia: Semakin meningkat usia, penghasilan testosteron semakin perlahan dan berkurangan. Kadar pengurangan testosteron berbeza setiap lelaki. Sebanyak 30 peratus lelaki berusia lebih 75 tahun mempunyai paras testosteron rendah di bawah normal.

Hipogonadisme Sekunder

Dalam kes ini, buah zakar adalah normal tetapi tidak berfungsi dengan betul berikutan masalah pada pituitari atau hipotalamus. Beberapa keadaan boleh menyebabkan hipogonadisme sekunder termasuk:

* Sindrom Kallman: Perkembangan abnormal hipotalamus.

* Masalah pituitari: Ketidaknormalan pada kelenjar pituitari menjejaskan pengeluaran hormon dari kelenjar pituitari ke buah zakar, memberi kesan kepada pengeluaran normal testosteron.

Tumor pituitari atau lain-lain jenis tumor otak terletak berdekatan dengan kelenjar pituitari menyebabkan gangguan hormon testosteron atau hormon lain.

Juga rawatan untuk tumor otak seperti pembedahan atau terapi radiasi akan menjejaskan fungsi pituitari.

* Penyakit radang: Sesetengah penyakit radang seperti sarkoidosis, histiositosis, tuberkulosis dan sesetangah jangkitan kulat melibatkan hipotalamus dan kelenjar pituitari mengganggu pengeluaran testosteron.

* HIV/AIDS: Virus ini menyebabkan paras testosteron rendah dengan mengganggu hipotalamus, pituitari dan buah zakar.

* Perubatan: Pengambilan beberapa jenis dadah seperti ubat tahan sakit opiat dan sesetengah hormon boleh mengganggu pengeluaran testosteron.

* Kegemukan

Adakah hipogonadisme boleh diwarisi? Ya, ia boleh diwarisi. Jika terdapat sejarah keluarga yang mempunyai hipogonadisme, beritahu doktor anda. Yang penting kesedaran dan sentiasa berjaga-jaga dengan tanda-tanda atau simptom hipogonadisme.

Bila patut berjumpa doktor? Jumpa doktor apabila mempunyai sebarang simptom hipogonadisme. Mengenal pasti punca hipogonadisme adalah langkah penting utama untuk mendapatkan rawatan yang perlu.

Anda perlu berjumpa pakar endokrinologi, pakar dalam bidang kelenjar hormon pengeluaran (endokrin).

Jika doktor penjagaan primer anda mengesyaki mana-mana simptom berlaku, anda akan dirujuk kepada endokrinologis. Atau anda boleh meminta sendiri untuk merujuk kepada pakar.

Pemeriksaan dan diagnosis

Doktor akan memeriksa paras testosteron dalam darah jika anda ada sebarang tanda atau simptom hipogonadisme.

Pemeriksaan dan rawatan awal membolehkan pencegahan lebih baik melawan osteoporosis dan keadaan lain yang berkaitan.

Doktor melakukan diagnosis berdasarkan simptom hipogonadisme dan keputusan ujian darah yang menentukan paras testosteron.

Kerana paras testosteron berbeza dan secara umumnya tinggi di waktu pagi, ujian darah biasanya dibuat awal pagi.

Jika ujian mengesahkan anda mempunyai testosteron rendah, ujian selanjutnya akan menentukan masalah pada buah zakar atau ketidaknormalan pituitari adalah puncanya.

Berdasarkan simptom dan tanda-tanda spesifik, kajian tambahan boleh menentukan puncanya. Ujian ini termasuk ujian hormon, analisis semen (air mani), imbasan pituitari, kajian genetik dan biopsi buah zakar.

Ujian testosteron juga memainkan peranan penting dalam menentukan hipogonadisme. Ini membantu doktor menentukan dos yang betul untuk rawatan.

Sunday 19 February 2012

Tanam Ubi Keledek

Ubi Keledek

Ubi keledek yang ditanam secara meluas di negara ini boleh hidup subur dalam julat suhu 27 hingga 30 darjah Celsius dan kawasan dengan taburan hujan melebihi 100 sentimeter setahun.

Ia juga sesuai di tanam di kawasan tanah lom berpasir dan tidak bertakung air dengan pH tanah yang sesuai adalah 4.5 hinga 7.0

Penanaman

Ubi keledek boleh hidup di pelbagai jenis tanah termasuk tanah yang kurang subur dengan pembajaan yang sesuai.

Saliran perlu untuk mengelak air bertakung dengan membina parit.

Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik- balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik.

Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.

Batas perlu untuk tanaman ubi keledek dengan ketinggian 30 hingga 40 sentimeter (sm) dan lebar 60 sm.

Bahan dan jarak tanaman

Ubi keledek ditanam menggunakan keratan batang dan pucuk dari pokok yang sedang menjalar.

Panjang keratan lebih kurang 30 sm yang mana keratan dicucuk ke dalam tanah dan tinggalkan sebahagian pucuk di permukaan tanah.

Jarak antara pokok adalah 25 sm bergantung kepada jenis tanah dan varieti ubi keledek.

Pembajaan

Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.

Kadar pembajaan yang biasa adalah 70N:86P2O5:173K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.

Baja diberi selepas tiga atau empat minggu ubi keledek ditanam.

Pengawalan rumpai

Merumpai dijalankan semasa pokok membesar iaitu tiga minggu selepas ditanam dan sekali lagi mengikut keperluan.

Kawalan rumpai boleh secara manual atau menggunakan racun rumpai.

Kawalan perosak dan penyakit
  • Musuh ubi keledek adalah seperti tikus, siput dan lain-lain.
  • Serangga yang biasa menyerang adalah kumbang Cylas formicarius yang mana larvanya akan menyerang pangkal pokok dan kumbang dewasa akan duduk melekat pada daun, akar dan batang.
  • Penyakit akar hitam atau reput pangkal pokok disebabkan oleh Ceratosmella fimbriata.
  • Kawalan secara amalan kultura yang baik dan membuang pokok-pokok yang diserang penyakit.
Pungutan hasil

Hasil ubi keledek boleh dipungut antara empat hingga enam bulan selepas ditanam bergantung kepada jenis dan penjagaan.

Ubi keledek boleh disimpan tetapi mestilah cukup tua dengan tempat penyimpanan yang mempunyai pengudaraan yang baik.

Anggaran hasil adalah di antara 10 dan 15 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi keledek.

Hasil Susu Segar Terbaik



Susu lembu segar baik untuk kesihatan.

Susu lembu merupakan minuman berkhasiat yang dikenali di seluruh dunia selain merupakan sumber vitamin yang diperlukan untuk tumbesaran manusia.

Bermula dengan susu segar, pelbagai produk tenusu seperti krim, mentega, dadih, aiskrim, keju, yogurt dan sebagainya dapat dihasilkan untuk kegunaan masyarakat.

Namun bukan mudah untuk menghasilkan susu lembu yang berkualiti kerana faktor pemakanan sebenarnya mempengaruhi susu yang akan dihasilkan oleh lembu tenusu.

Selain itu, harga makanan lembu yang semakin tinggi juga menjadi beban dan penghalang kepada penternak lembu tenusu bagi menghasilkan susu lembu yang berkualiti.

Lawatan pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pakar-pakar pemakanan Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLM) ke ladang lembu tenusu di Bedong, Kedah berjaya membuka minda penternak lembu tenusu agar terus berusaha menghasilkan susu segar yang berkualiti untuk dibekalkan kepada pengguna.

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan JPV, Dr. Siti Salmiyah Tahir berkata, lawatan ke ladang-ladang lembu tenusu bertujuan mendapatkan maklumat dan cara pemakanan lembu yang betul untuk diajar kepada penternak.

"Harga makanan lembu dipasaran memang mahal jadi penternak meminta kerajaan menaikkan harga susu segar namun jika dibandingkan dengan negara lain, harga susu segar dari ladang di negara kita adalah yang tertinggi (sekitar AS$0.58 seliter).

"Sebab itu, pihak kami turun padang bertemu dengan penternak lembu tenusu bagi memberi maklumat bagaimana untuk mengurangkan kos makanan ternakan jika tahu cara membuat rumusan makanan yang betul kepada lembu yang diternak," katanya.

Menurutnya, di setiap negeri terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang boleh dijadikan makanan tambahan untuk lembu tenusu selain makanan dalam bentuk pallet.

"Rumput napier menjadi pilihan utama penternak untuk diberikan kepada lembu mereka. Namun masalah kekurangan tanah pula menjadi halangan untuk penternak menanam rumput di kawasan ladang mereka.

"Oleh sebab itu, pihak kami sedang mencari jenis-jenis makanan lain yang boleh diberikan kepada lembu tenusu kerana di setiap negeri ada makanan yang berbeza boleh diberikan kepada lembu tenusu bagi memastikan susu yang dihasilkan berkualiti," jelasnya.

Selain itu, Dr. Siti Salmiyah berkata, sejak tahun lalu, pihaknya telah memperkenalkan sistem pengiraan khasiat makanan yang menggunakan kaedah rekod Individual Cow Recording and Analysis System (ICRAS) untuk memudahkan penternak membuat pengiraan khasiat makanan yang mereka berikan kepada lembu-lembu masing-masing.

Katanya, peladang hanya perlu memasukkan data-data tertentu dan sistem itu akan membuat pengiraan khasiat makanan yang diberikan kepada haiwan secara automatik.

Dengan cara itu, peladang tahu makanan apakah yang patut diberikan kepada haiwan ternakan mereka untuk menambah pengeluaran susu.

Tambah Dr. Siti Salmiyah, kebanyakan penternak lembu tenusu di negara ini tidak mempunyai rekod khusus untuk mencatatkan maklumat mengenai lembu ternakan mereka.

"Apabila rekod kesihatan lembu ini tiada, sukar bagi pihak JPV membantu penternak jika lembu-lembu mereka mengalami masalah kesihatan.

"Oleh itu, kami amat menggalakkan penternak menggunakan ICRAS untuk merekodkan data-data penting seperti jumlah pengeluaran susu, kadar pembiakan dan rawatan kesihatan yang telah diberikan kepada lembu mereka," jelasnya.

Sementara itu, penternak lembu tenusu, Ramlan Bakar, 44 berkata, lawatan oleh pihak JPV dan DLM ke ladang lembu tenusu yang diusahakannnya sejak tahun 2008 itu amat bermakna kerana banyak ilmu baru berkaitan soal penjagaan lembu dan cara-cara menghasilkan susu lembu yang berkualiti dipelajari.

"Sekarang saya ada 19 ekor lembu susu dan empat ekor lembu menghasilkan susu segar setiap hari untuk dijual kepada pelanggan tetap yang akan datang mengambil susu di ladang.

"Setiap hari sekurang-kurangnya 30 liter susu segar dapat dihasilkan dan saya memang bercadang untuk menambah bilangan lembu yang diternak di ladang yang seluas 1.6 hektar ini," katanya.

Ramlan yang merupakan pesara tentera memberitahu, semua lembunya dibiarkan bebas meragut di ladang kelapa sawit bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Selain meragut diladang kelapa sawit, lembu-lembunya juga diberikan dedak dua kali sehari malah rumput napier juga ditanam berhampiran ladang tersebut untuk memastikan lembu-lembu yang dibela mendapat khasiat yang cukup.

"Saya berharap kerjasama yang terjalin antara pihak JPV dan penternak-penternak lembu susu tidak terhenti setakat ini sahaja kerana kami amat memerlukan bantuan untuk menambah ilmu dalam bidang penjagaan lembu susu.

"Banyak lagi yang perlu kami pelajari untuk berjaya dalam bidang ini dan kami juga mahu menghasilkan susu segar yang berkualiti kepada pengguna," tambahnya.

Bertani Guna Modal Sendiri

Mohd. Yaakob Nuri (kiri) dan Mohd. Sabri Harun menunjukkan buah tembikai susu madu yang baru dituai di ladang mereka di Sekinchan.

Jika anda berkesempatan ke kawasan Sungai Besar atau Sekinchan, Selangor pastikan singgah membeli tembikai susu yang manisnya seumpama madu.

Kena dengan namanya, tembikai susu madu, tanaman tersebut diusahakan oleh dua sahabat iaitu seorang guru, Mohd. Sabri Harun dan petani sepenuh masa Mohd. Yaakob Nuri sejak empat tahun lepas.

Diusahakan di atas tanah seluas 0.6 hektar milik Mohd. Sabri, tanaman tembikai susu madu itu mampu memberi pulangan sehingga RM15,000 bagi setiap musim tuaian.

Menurut Mohd. Yaakob, projek tersebut baru saja dimulakan kerana sebelum itu mereka menanam pelbagai jenis tanaman lain seperti cili, jagung dan timun.

"Projek tembikai susu madu ini merupakan sebahagiannya daripada keseluruhan projek tanaman. Pulangannya agak lumayan. Namun untuk penanam memerlukan pengalaman kerana ia agak rumit," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mohd. Yaakob sebelum ini pernah mengusahakan sawah padi. Namun jangka masa enam bulan yang diperlukan untuk padi mendatangkan hasil membolehkannya bertani bagi memenuhi masa senggang.

Minat itu dikongsi pula dengan rakannya, Mohd. Sabri yang bersetuju menggunakan tanahnya bagi tujuan tersebut.

Jelas Mohd. Yaakob, untuk menanam tembikai susu madu ia memerlukan tanah dan cuaca yang sesuai bagi mengelak penyakit.

"Waktu yang paling sesuai adalah selepas musim hujan dan penjagaan adalah seperti biasa iaitu menyembur racun kulat.

"Ini kerana kulat sering menyerang daun tembikai menjadikan tumbuhan tersebut mati sebelum ia cukup tua," katanya.

Namun, jika tanah dan cuaca yang sesuai ia boleh ditanam dan terus ditinggalkan sehingga berbuah dan dituai apabila sudah cukup tua.

Tembikai susu madu katanya, berbeza dengan tembikai susu biasa kerana kulit lebih kasar berbanding kebiasaan buah yang lain yang lebih licin.

Malah, isinya juga lebih manis berbanding tembikai madu biasa. Ada sesetengah pembeli sukar mempercayai kemanisannya. Jadi, musim menunai buah tembikai susu itu sering ditunggu-tunggu oleh pelanggan tetap.

Tanaman tembikai susu madu tersebut menurut Mohd. Yaakob tidak boleh ditanam pada tanah yang sama setiap musim.

Ujarnya, jika berbuat demikian tanaman tersebut tidak akan menjadi berikut selepas proses penuaian akan meninggalkan sisa penyakit.

Justeru, ia perlu diselang-seli bersama tanaman lain. Sebab itu tembikai susu madu akan ditanam bergilir-gilir mengikut musim.

Bagi memenuhi permintaan, jelas Mohd. Yaakob tembikai susu madu tersebut ditanam secara berperingkat-peringkat pada tanah yang berkeluasan 1.2 hektar.

Setiap kali penanaman dilakukan, hanya 0.6 hektar keluasan tanah yang digunakan yang bermodalkan hanya RM4,000.

Mohd. Yaakob dan Mohd. Sabri sehingga kini hanya menggunakan modal pusingan sendiri untuk mengusahakan tanaman tersebut.

"Kami tidak membuat pinjaman kerana modal yang digunakan kecil kerana tanaman ditanam secara berperingkat," ujarnya.

Jelasnya lagi, dengan cara tersebut mereka tidak perlu menanggung hutang. Malah tanaman dapat dituai (tanam berperingkat) sepanjang masa.

Walaupun ia tidak begitu popular berbanding tembikai biasa, buah tembikai susu kini semakin diterima oleh orang ramai.

Ia kini ditanam untuk memenuhi permintaan tempatan di Malaysia dengan kemungkinan yang besar untuk eksport.

Bagi hasil yang telah dituai oleh Mohd. Sabri Harun dan Mohd. Yaakob Nuri akan diborong oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kedai buah-buahan dan penduduk sekitar Sekinchan.

Mahanom Jual Baja

Mahanom Salamon (tudung merah) bersama kakitangan di kilangnya di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

Selalunya apabila wanita bercakap tentang baja ialah hanya untuk digunakan bagi menyuburkan bunga-bungaan yang mereka tanam.

Tetapi lain pula dengan Mahanom Salamon, 40, yang menjadikan baja sebahagian daripada hidupnya.

Malah beliau mungkin merupakan satu-satunya wanita di negara ini yang menceburkan diri dalam industri pengeluaran baja.

Malah, beliau mengambil langkah berani untuk berkecimpung dalam industri yang didominasi lelaki dan konglomerat besar itu disebabkan rasa kecewa.

Katanya, sama seperti wanita lain, dia yang sebelum ini bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta gemar bercucuk tanam. Tetapi seringkali kecewa apabila apa yang ditanam itu tidak menjadi.

Dari situ beliau mula melayari Internet untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik sehingga dipertemukan oleh sahabatnya dengan seorang pakar perunding tentang baja SA Bio-Mass dari Vietnam.

"Bermula dari situ, saya sendiri menggunakan baja tersebut dan mendapati hasil yang sangat memuaskan," katanya.

Dari situ kata Mahanom, dia menyedari akan potensi baja tersebut jika dipasarkan di negara ini.

"Lagi pula, ia merupakan produk berasaskan alam semulajadi yang bebas daripada bahan kimia tetapi mampu memberi hasil sehingga dua kali ganda dan dapat digunakan untuk semua tanaman," katanya ketika ditemui di kilang pembungkusan baja syarikatnya di Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Johor, baru-baru ini.

Kini Mahanom merupakan Ketua Pengarah Eksekutif SA Bio-Mass Trading, syarikat pengedar tunggal baja SA Bio-Mass hasil teknologi Eropah yang 100 peratus bebas kimia. Syarikatnya kini mengedarkan kira-kira 2,000 tan baja mesra alam tersebut setahun ke seluruh negara.

Beliau memberitahu, Bio-Mass adalah baja bebas kimia dihasilkan daripada lebihan bahan mentah yang dikeluarkan oleh kilang dan industri pemprosesan makanan manusia dan ternakan.

Antaranya lebihan daging atau ayam yang dihasilkan dari kilang pengeluar kiub pati, gula, hampas, soya, beras dan jagung.

Berbanding baja organik, Bio-Mass tidak mengandungi najis haiwan. Bahan-bahan tersebut melalui beberapa proses pemecahan, pemeringkatan dan penapisan menggunakan tekonologi tercanggih dari Eropah sehingga terhasilnya nutrien tanaman untuk kegunaan semua jenis peringkat tanaman dan ladang.

Sementara itu, Mahanom berkata, keluarga amat memahami kesibukan dirinya menguruskan perniagaan sehingga jarang berada di rumah. Malah mereka turut memberi sokongan kepadanya.

"Saya jarang berada di rumah mahupun di pejabat. Sebaliknya selalu menjelajah seluruh negara untuk mempromosi dan memasarkan produk syarikat.

"Bagaimanapun hubungan saya dan keluarga tetap rapat. Kami saling memahami dan menyayangi. Apa yang penting pengurusan masa iaitu bagaimana menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga," katanya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Mahanom mempunyai tiga orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun. Jika dirinya dikenali sebagai wanita baja, anak keduanya, Farisya Fatin Faisal, 11, pula digelar 'budak hantu' kerana telah membintangi tiga buah filem berunsurkan hantu iaitu Santau, Ngangkung dan Sumpahan Kum Kum.

Katanya, Farisya juga tidak kekok mengikutinya menyertai karnival atau ekspo bagi mempromosikan produk syarikat jika tidak sibuk dengan penggambaran dan waktu persekolahan.

Thursday 2 February 2012

Tanam Kacang Soya


Kacang Soya

Kacang Soya (soya bean) dengan nama saintifik Glycine max dari famili Leguminosae berasal dari Asia Timur tetapi pengeluaran sekarang sebanyak 55 peratus adalah dari Amerika Syarikat.

Pokok kacang soya yang matang setinggi 60 sentimeter (sm) akan mengeluarkan bunga berbentuk rama-rama berwarna ungu dan keluar di bawah ketiak daun antara 31 dan 40 hari selepas ditanam.

Lenggai kacang soya berbeza dengan bagai sumber makanan manusia dan ternakan kerana mengandungi protein yang tinggi.

Di Malaysia kacang soya banyak digunakan dalam pembuatan kicap, tempe, air soya dan sebagainya. Ia juga boleh diproses menjadi minyak, kosmetik, sabun dan produk pengilangan yang lain.

Antara varieti kacang soya yang sesuai ditanam di Malaysia adalah varieti dari Taiwan seperti Palmetto dan NK3 di samping Improved Pelican, Bossier dan Hardee.

Penanaman dan Penyediaan tanah
  • Kacang soya sesuai pada tanah peroi yang mengandungi bahan organik yang tinggi.
  • Saliran mestilah baik untuk mengelak dari air bertakung.
  • pH tanah yang sesuai adalah di antara 5.5 dan 6.5
  • Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
  • Pengapuran perlu bagi tanah yang berasid dan dijalankan dua atau tiga bulan bulan sebelum menanam.
Kadar biji benih dan jarak tanaman
  • Kadar biji benih yang disyorkan adalah 50kg/ha. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam dan disuntik dengan Rhizobium japonicum iaitu dengan mencampurkan 10gram rhizobium dengan 250 ml air bersih untuk setiap 10 kg biji benih.
  • Jarak tanaman yang sesuai adalah 102sm x 2.5 sm atau 46 sm x 15 sm atau 66sm x 10sm mengikut kesuburan tanah dan varieti kacang soya.
  • Tanam satu atau dua biji selubang sedalam satu hingga tiga sentimeter (sm).
  • Biji benih boleh juga ditabur secara berselerak (broadcasting).

Pembajaan
  • Kadar pembajaan yang biasa adalah 20N:41P2O5:41K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.
Pengawalan rumpai
  • Racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.
  • Kawalan rumpai secara manual dijalankan 1 -2 kali sebelum pokok berbunga.
Kawalan perosak dan penyakit
  • Lalat kacang Melanagromyza sojae boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.
  • Perosak lenggai, Etella zinckenella juga boleh dikawal dengan racun serangga Diazinon.
  • Penyakit daun disebabkan oleh Fusarium sp. , dan Cercospora sp. boleh dikawal dengan racun kulat seperti Maneb, Zineb dan Manzeb.
  • Penyakit reput lenggai disebabkan oleh Collectrichum sp. boleh dikawal dengan mengelakkan masa matang terjadi pada musim hujan.
Pemungutan hasil
  • Hasil kacang soya boleh dipetik apabila lenggai bertukar warna kekuningan iaitu selepas 79-110 hari ditanam.
  • Anggaran hasil adalah 2.2 tan/ha.

3 Syarat Eksport Sarang Burung Walet ke China

Noh Omar (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada ahli kimia, Cassie Lee (kiri) selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia di Puchong, dekat Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur 17 Jan - Mulai tahun ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menetapkan tiga syarat terhadap pengusaha-pengusaha sarang burung walet untuk mengeksport produk tersebut ke China.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pengusaha terbabit perlu mendapatkan sijil perakuan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekali gus melayakkan mereka memperoleh perakuan jenama 1Malaysia Best pada setiap produk tersebut.

Katanya, ia bertujuan memastikan kualiti sarang burung tersebut memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan China.

"Sijil dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar adalah bagi memastikan sarang burung tersebut tiada risiko jangkitan penyakit haiwan dan selamat untuk dimakan.

"Sementara sijil pengenalan frekuensi radio (RFID) dari SKMM diperlukan untuk membolehkan sarang burung walet yang bermasalah dikesan menggunakan gelombang frekuensi radio untuk menentukan lokasi 'rumah' sarang burung berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia yang pertama di Puchong dekat sini semalam.

Menurut Noh, syarikat berkenaan juga perlu mengenal pasti sebuah syarikat di China sebagai rakan perniagaan bagi memudahkan eksport sarang burung walet dari Malaysia dipantau.

"Syarikat di China itu pula mesti melakukan promosi bahawa hanya produk sarang burung walet jenama 1Malaysia Best sahaja yang dijamin kualitinya dan selamat untuk dimakan," ujarnya.

Tambah beliau, antara lain, tindakan tersebut akan memulihkan kembali industri tersebut yang mengalami masalah pemasaran ke luar negara akibat dakwaan produk itu mempunyai kandungan nitrit yang boleh membahayakan kesihatan.

"Pada 2011, kerajaan China telah melaksanakan penguatkuasaan kandungan nitrit sifar yang mengakibatkan kejatuhan mendadak harga sarang burung walet sehingga ke paras 50 peratus," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai polisi kerajaan China tersebut, beliau berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan kedua-dua negara sedang berbincang bagi mencapai kata sepakat mengenai kandungan nitrit yang dibenarkan.

Sementera itu, katanya, kementerian itu juga akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal mana-mana individu termasuk pelancong membawa sarang burung walet lebih daripada satu kilogram ke luar negara.