Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Showing posts with label Kisah Tani. Show all posts
Showing posts with label Kisah Tani. Show all posts

Thursday, 15 March 2012

LGM Pacu Penyelidikan Getah

Klon RRIM 3001 berumur sepuluh tahun di percubaan klon skala besar di LGM.

Industri getah sudah lama bertapak di negara ini dan tahun ini merupakan permulaan program penanaman semula dan penanaman baru getah di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara NKEA) Getah.

Menerusi program tersebut, kerajaan telah mensasarkan penanaman semula 40,000 hektar pokok getah tua setahun secara berterusan manakala penanaman baru sebanyak 30,000 hektar setahun untuk selama lima tahun.

NKEA menyasarkan kawasan getah seluas kira-kira 1.2 juta hektar dan Hasil Purata Kebangsaan sebanyak 2,000kg/hektar/tahun menjelang tahun 2020.

Jika sasaran tersebut dicapai, Malaysia dijangka dapat menghasilkan dua juta tan lateks menjelang 2020 dan mencukupi bagi menyokong aktiviti-aktiviti hiliran industri getah.

Dengan pengeluaran lateks dan penglibatan dalam industri hiliran, industri getah dijangka menyumbang RM52.9 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada tahun 2020.

Tiga agensi yang telah dilantik untuk melaksanakan program-program penanaman semula dan penanaman baru ialah RISDA di Semenanjung Malaysia, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan RISDA di Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan RISDA di Sarawak.

Pekebun kecil yang berminat untuk menjalankan penanaman semula atau penanaman baru getah dinasihatkan untuk melawat laman web ketiga-tiga agensi ini untuk maklumat lanjut atau menghubungi pegawai yang berkenaan.

Isu yang timbul apabila kita membincangkan mengenai penanaman semula atau tanaman baru getah adalah bahan tanaman.

Apa itu klon 1Malaysia?

Klon RRIM 3001 yang juga dikenali sebagai klon 1Malaysia telah dihasilkan oleh LGM pada tahun 1976 melalui pendebungaan tangan antara klon IAN 873 sebagai induk betina dan klon PB 235 sebagai induk jantan.

Salah satu daripada benih yang dihasilkan melalui pendebungaan ini didapati memberikan hasil lateks yang tinggi. Benih ini dinamakan KT39/35.

KT adalah singkatan untuk Kota Tinggi di Johor yang mana prestasi anak benih telah dikaji melalui penyelidikan yang teliti.

Apabila prestasi hasil benih didapati tinggi dan berpotensi sebagai klon lateks balak, ujian lanjut dijalankan melalui percubaan klon skala kecil.

Ia kemudiannya diuji dalam ujian klon berskala besar di pelbagai lokasi untuk memastikan klon ini stabil dari segi hasil dan fleksibel untuk menyesuaikan diri apabila terdedah kepada persekitaran yang pelbagai.

Keputusan yang menggalakkan ditunjukkan dalam Jadual 1 dibawah:

Keputusan purata hasil di atas adalah berdasarkan percubaan klon secara besar-besaran yang dijalankan di Kota Tinggi, Johor.

Klon berkenaan tidak menunjukkan prestasi yang baik apabila ditanam di kawasan berbukit atau tanah laterit mengikut pemerhatian LGM.

Klon dihasilkan melalui cantuman tunas daripada pokok RRIM 3001 ke pokok penanti yang diperoleh daripada biji getah.

Biji getah dari RRIM 600 tidak sesuai digunakan sebagai pokok penanti kerana hasil tanaman berkemungkinan tinggi untuk mendapat penyakit kuning.

Biji getah yang dipilih untuk pengeluaran pokok penanti adalah dari klon GT1, PB 5/ 51, RRIM 623 atau dari pokok getah klon lateks balak dari siri RRIM 2000 atau RRIM 900 yang ditanam sebagai poliklon (dua klon atau lebih ditanam dalam blok tertentu di dalam satu kawasan). Ia juga mungkin monoklon (hanya satu klon yang ditanam di dalam blok tertentu di dalam satu kawasan).

Sehingga kini, LGM belum mengesahkan lagi sama ada biji getah dari RRIM 3001 sesuai untuk digunakan sebagai pokok penanti.

Jika benih dari RRIM 3001 dibenarkan tumbuh, adakah pokok-pokok ini akan menjadi RRIM 3001?

Jawapannya TIDAK. Ini adalah kerana biji getah dari RRIM 3001 mempunyai rangka genetik yang berbeza berbanding pokok induk RRIM 3001 dan ini akan membuatnya berbeza di antara satu sama lain.

Ia juga bermakna bahawa semua ciri-ciri yang dikehendaki dari pokok asal RRIM 3001 tidak akan didapati di semua biji getah yang dihasilkan oleh pokok RRIM 3001 ini.

Analogi ini adalah sama seperti perbezaan di antara adik-beradik daripada ibu bapa yang sama. Dengan itu, biji getah dari pokok-pokok getah RRIM 3001 bukan klon RRIM 3001.

Selalunya penggunaan biji sebagai bahan tanaman akan membawa kepada masalah ketidaksamaan seperti tinggi pokok, hasil dan bentuk batang yang berbeza.

Ini bermakna pokok-pokok tidak akan seragam dan berkemungkinan menghasilkan lateks yang rendah berbanding pokok induk.

Cara yang betul untuk menghasilkan klon RRIM 3001 adalah dengan mengguna biji getah dari GT1, PB 5 / 51 dan RRIM 623, tanam hingga menjadi pokok penanti dan guna mata tunas dari klon RRIM 3001 yang sah.

Selepas 21 hari pokok penanti dicantas pada kira-kira lima sentimeter dari penghujung tunas. Ini akan mencetuskan pertumbuhan tunas RRIM 3001 dari mata tunas yang telah dicantum tadi.

LGM mengesyorkan bahawa scion (anak pokok dari mata tunas) digalakkan tumbuh sehingga dua pusaran daun keras sebelum ia ditanam di lapangan.

Disyorkan juga pokok penanti, scion dan tanaman dua pusaran tadi ditanam dalam polibeg bersaiz 44 sm x 39 sm (17 inci x 15 inci).

Laser Metric Ukur Diameter Pokok Getah

Chan Xin Zhi (dua dari kanan) sedang melakukan demonstrasi mengukur diameter pokok getah menggunakan Laser Metric kepada pegawai-pegawai RISDA Plantation Sdn. Bhd. di Alor Gajah baru-baru ini.

Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menghasilkan sebuah produk inovasi yang berupaya mengukur diameter pokok dengan pantas dan berketepatan tinggi.

Produk yang dikenali sebagai Laser Metric dihasilkan oleh Dr. Muhammad Fahmi Miskon, Muhammad Herman Jamaluddin, Mohd Rusdy Yaacob dan Chan Xin Zhi dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) mendapat perhatian daripada pihak RISDA Plantation Sdn. Bhd. dalam satu sesi demonstrasi yang diadakan di Alor Gajah baru-baru ini.

Dr. Muhammad Fahmi selaku ketua penyelidik berkata, idea mencipta produk tersebut tercetus selepas mengkaji kesukaran yang dihadapi oleh RISDA dalam melakukan pemantauan pokok getah dengan mengukur diameter pokok secara manual yang memakan masa.

Melalui inovasi itu, diameter pokok getah dapat ditentukan dengan mudah menggunakan sejenis alat mudah alih yang memancarkan laser ke batang pokok dan seterusnya memaparkan bacaan di komputer riba yang disambungkan ke alat tersebut.

Katanya lagi, pembangunan Laser Metric dimulakan pada April 2010 dan sejak itu pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan hinggalah ke hari ini.

Hasil ujian mendapati bacaan yang didapati sangat konsisten dan berpotensi untuk digunakan secara meluas. Jelas Dr. Muhammad Fahmi, Laser Metric boleh mengurangkan faktor kesilapan manusia yang mengambil ukuran diameter pokok getah secara manual.

''Ini sekali gus membekalkan data dalam bentuk digital yang sedia untuk dianalisis mengikut keperluan pemantauan," kata beliau.

Sementara itu, wakil RISDA Plantation Sdn. Bhd. yang menyaksikan demonstrasi itu mendapati bahawa Laser Metric amat sesuai digunakan dalam industri penanaman getah kerana ia menjimatkan masa dan mudah dikendalikan.

Selain itu, produk inovasi berkenaan turut menjimatkan kos dalam penggunaan tenaga kerja yang diupah mengukur pokok secara manual sekali gus bakal meningkatkan mutu pengurusan ladang getah di negara ini.

Kumpulan penyelidik itu berharap hasil inovasi ini dapat dikongsi bersama agensi seperti RISDA selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi tinggi dalam bidang pertanian.

Hasil usaha Dr. Muhammad Fahmi dan kumpulannya tidak terhenti di situ sahaja. Kini mereka sedang giat menambah baik peralatan sedia ada dan menyusun jadual menyertai pertandingan inovasi dalam dan luar negara di samping mengintai peluang untuk mengkomersialkan produk itu.

MARDI terajui penanaman Sayuran Lestari

Tanaman sayur dengan teknologi tanpa tanah kelihatan subur.

Cuba bayangkan anda memetik sendiri sayur yang ditanam di sekeliling rumah. Untuk mencari pendapatan lebih, sayur itu dijual kepada jiran di kawasan anda dan mereka juga boleh memetiknya sendiri.

Senario sedemikian biasa berlaku di kampung-kampung. Tetapi ia biasanya diberikan percuma kerana menjadi adat resam, memberi sesuatu kepada tetangga merupakan satu terjemahan berbudi bahasa.

Orang akan bertanya, bagaimanakah senario tersebut boleh berlaku di kawasan perumahan bandar?

Tidak mungkin terdapat kawasan perumahan yang menanam sayur-sayuran kerana kawasan yang begitu terhad.

Namun bagi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), teknologi boleh memberi jawapan bagaimana untuk merealisasikan impian tersebut.

Hanya yang penting dan menjadi persoalan ialah sejauh mana teknologi tersebut mampu dikuasai oleh mereka di kawasan bandar yang berhasrat mahu menanam sayuran di kawasan rumah.

MARDI berpegang kepada kata kunci Pemimpin Agroteknologi dan Bridging knowledge and communities dan inilah yang menggerakkan inisiatif agensi tersebut untuk membawa teknologi pertanian kepada masyarakat.

Agensi tersebut memiliki ratusan teknologi mencakupi pelbagai bidang pertanian dan ia sewajarnya dinikmati oleh masyarakat.

Sebagai contoh mudah, Stesen Penyelidikan MARDI di Cameron Highlands mewujudkan satu Taman Agroteknologi yang menghimpunkan pelbagai teknologi penanaman sayur tanpa tanah yang realistik dan mudah dilaksanakan.

Penggunaan teknologi tersebut mungkin menimbulkan persepsi bahawa ia memerlukan kos tinggi, renyah dan perlu mempelajari kemahiran teknikal yang sukar.

Bagi Pegawai Penyelidik Agronomi MARDI Cameron Highlands, Mohammad Abid Ahmad, ramai yang mungkin memandang sinis teknologi tersebut apatah lagi ia telah diperkenalkan di negara ini beberapa dekad yang lepas.

''Ada yang mungkin berkata, sistem tersebut sudah lama ,tak perlulah kita sebutkan lagi dan sudah mencubanya tetapi susah (untuk dilaksanakan)," ujarnya.

Mohammad Abid berkata, segelintir mereka yang beranggapan demikian mungkin menyalahkan teknologi tersebut kerana gagal memanfaatkannya sedangkan mereka sewajarnya menguasainya terlebih dahulu.

Sebab itu kata beliau, MARDI berusaha untuk mengadaptasi teknologi sedia ada supaya mudah difahami dan dikuasai. Pada masa yang sama, pihaknya juga cuba mengubahsuai daripada segi penggunaan dan bahan yang digunakan supaya murah dan mudah diperoleh.

Beliau memberi contoh , antara cara mudah dalam teknologi hidroponik yang menggunakan platform high impact polikarcarbonate pada harga RM160 satu meter persegi sedangkan ia boleh digantikan dengan papan lapis.

Penggunaan papan lapis sebagai contoh untuk tiangnya boleh digunakan dengan kayu berbanding penggunaan besi pada masa ini akan dapat menjimatkan kos serta tidak menjejaskan fungsi dan seterusnya pengeluaran hasil.

Sebenarnya kata Mohammad Abid, pendekatan MARDI bagi menjadikan teknologi tanaman sayur tanpa tanah lebih mesra pengguna menjadi satu amalan yang diperkenalkan selama ini.

Ia sejajar dengan tag line MARDI Cameron Higlands sebagai Pusat pertanian lestari tanah tinggi.
  • Pertamanya, kami memperkenalkan teknologi yang ada kepada masyarakat dan golongan sasar.
  • Kedua, mencetuskan idea untuk berinovasi dengan teknologi tersebut iaitu mengubahsuainya mengikut kemampuan.
  • Ketiga, kami menganjurkan latihan dan kursus kepada mereka yang berminat untuk mempelajari teknologi berkenaan.
Beliau memberitahu, terdapat lebih dari sepuluh jenis teknologi penanaman sayuran tanpa tanah yang ada dan sebahagiannya diperkenalkan di taman tersebut.

Antara teknologi tersebut ialah sistem hidroponik teknik banjir, surut dan alir, teknik aliran nipis (NFT), sistem hidroponik teknik pengairan titis bertingkat, dan teknik aliran dalam (DFT).

Pelbagai lagi sistem dan teknik sedang dan dalam perancangan untuk dibangunkan bagi menambahkan variasi dalam teknik hidroponik.

Pihaknya sebelum ini telah dua kali mengadakan kursus kepada penggemar perkebunan di rumah (home gardener) atau mereka yang berminat untuk menanam sayur di kawasan rumah.

Teknologi tersebut katanya tidaklah rumit seperti yang digembar-gemburkan, dengan syarat mereka mempunyai minat dan menguasai ilmu teknologi berkenaan.

''Teknologi tersebut boleh digunakan di belakang dapur dengan skala kecil untuk kegunaan sendiri. Setakat 20 puluh atau 30 pokok, mereka tidak perlu risau sebab baja dan air disalurkan ke tanaman secara automatik," ujarnya.

Teknologi berkenaan mengamalkan pengurusan mudah sebab penggunaan sistem automatik tanpa penggunaan racun dan amalan agronomi yang baik dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang minimum.

Penanam juga boleh bekerja dalam keadaan bersih dan paling penting, sistem tersebut dapat mengelakkan penyakit bawaan tanah.

Hasil pengeluaran pula lebih tinggi sehingga tiga kali ganda dan kos infrastruktur yang murah dan efektif hanya untuk sekali sahaja.

Setakat ini katanya, teknologi tersebut boleh diguna pakai untuk sayuran jenis daun seperti sawi, kubis, kangkung, salad, kailan manakala jenis berbuah seperti tomato dan timun memerlukan sokongan lain yang memungkinkan kos tambahan.

''Satu lagi, teknologi ini sesuai untuk tanaman jangka pendek dan intensif dengan hasil tuaian yang cepat antara sebulan hingaa dua bulan," katanya.

Pada masa sama, meskipun penggunaan struktur pelindung hujan tidak menjadi syarat, ia lebih baik untuk mengelakkan ancaman penyakit dan air berlebihan dan hasil mungkin lebih rendah.

Sunday, 19 February 2012

Bertani Guna Modal Sendiri

Mohd. Yaakob Nuri (kiri) dan Mohd. Sabri Harun menunjukkan buah tembikai susu madu yang baru dituai di ladang mereka di Sekinchan.

Jika anda berkesempatan ke kawasan Sungai Besar atau Sekinchan, Selangor pastikan singgah membeli tembikai susu yang manisnya seumpama madu.

Kena dengan namanya, tembikai susu madu, tanaman tersebut diusahakan oleh dua sahabat iaitu seorang guru, Mohd. Sabri Harun dan petani sepenuh masa Mohd. Yaakob Nuri sejak empat tahun lepas.

Diusahakan di atas tanah seluas 0.6 hektar milik Mohd. Sabri, tanaman tembikai susu madu itu mampu memberi pulangan sehingga RM15,000 bagi setiap musim tuaian.

Menurut Mohd. Yaakob, projek tersebut baru saja dimulakan kerana sebelum itu mereka menanam pelbagai jenis tanaman lain seperti cili, jagung dan timun.

"Projek tembikai susu madu ini merupakan sebahagiannya daripada keseluruhan projek tanaman. Pulangannya agak lumayan. Namun untuk penanam memerlukan pengalaman kerana ia agak rumit," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mohd. Yaakob sebelum ini pernah mengusahakan sawah padi. Namun jangka masa enam bulan yang diperlukan untuk padi mendatangkan hasil membolehkannya bertani bagi memenuhi masa senggang.

Minat itu dikongsi pula dengan rakannya, Mohd. Sabri yang bersetuju menggunakan tanahnya bagi tujuan tersebut.

Jelas Mohd. Yaakob, untuk menanam tembikai susu madu ia memerlukan tanah dan cuaca yang sesuai bagi mengelak penyakit.

"Waktu yang paling sesuai adalah selepas musim hujan dan penjagaan adalah seperti biasa iaitu menyembur racun kulat.

"Ini kerana kulat sering menyerang daun tembikai menjadikan tumbuhan tersebut mati sebelum ia cukup tua," katanya.

Namun, jika tanah dan cuaca yang sesuai ia boleh ditanam dan terus ditinggalkan sehingga berbuah dan dituai apabila sudah cukup tua.

Tembikai susu madu katanya, berbeza dengan tembikai susu biasa kerana kulit lebih kasar berbanding kebiasaan buah yang lain yang lebih licin.

Malah, isinya juga lebih manis berbanding tembikai madu biasa. Ada sesetengah pembeli sukar mempercayai kemanisannya. Jadi, musim menunai buah tembikai susu itu sering ditunggu-tunggu oleh pelanggan tetap.

Tanaman tembikai susu madu tersebut menurut Mohd. Yaakob tidak boleh ditanam pada tanah yang sama setiap musim.

Ujarnya, jika berbuat demikian tanaman tersebut tidak akan menjadi berikut selepas proses penuaian akan meninggalkan sisa penyakit.

Justeru, ia perlu diselang-seli bersama tanaman lain. Sebab itu tembikai susu madu akan ditanam bergilir-gilir mengikut musim.

Bagi memenuhi permintaan, jelas Mohd. Yaakob tembikai susu madu tersebut ditanam secara berperingkat-peringkat pada tanah yang berkeluasan 1.2 hektar.

Setiap kali penanaman dilakukan, hanya 0.6 hektar keluasan tanah yang digunakan yang bermodalkan hanya RM4,000.

Mohd. Yaakob dan Mohd. Sabri sehingga kini hanya menggunakan modal pusingan sendiri untuk mengusahakan tanaman tersebut.

"Kami tidak membuat pinjaman kerana modal yang digunakan kecil kerana tanaman ditanam secara berperingkat," ujarnya.

Jelasnya lagi, dengan cara tersebut mereka tidak perlu menanggung hutang. Malah tanaman dapat dituai (tanam berperingkat) sepanjang masa.

Walaupun ia tidak begitu popular berbanding tembikai biasa, buah tembikai susu kini semakin diterima oleh orang ramai.

Ia kini ditanam untuk memenuhi permintaan tempatan di Malaysia dengan kemungkinan yang besar untuk eksport.

Bagi hasil yang telah dituai oleh Mohd. Sabri Harun dan Mohd. Yaakob Nuri akan diborong oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kedai buah-buahan dan penduduk sekitar Sekinchan.

Mahanom Jual Baja

Mahanom Salamon (tudung merah) bersama kakitangan di kilangnya di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

Selalunya apabila wanita bercakap tentang baja ialah hanya untuk digunakan bagi menyuburkan bunga-bungaan yang mereka tanam.

Tetapi lain pula dengan Mahanom Salamon, 40, yang menjadikan baja sebahagian daripada hidupnya.

Malah beliau mungkin merupakan satu-satunya wanita di negara ini yang menceburkan diri dalam industri pengeluaran baja.

Malah, beliau mengambil langkah berani untuk berkecimpung dalam industri yang didominasi lelaki dan konglomerat besar itu disebabkan rasa kecewa.

Katanya, sama seperti wanita lain, dia yang sebelum ini bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta gemar bercucuk tanam. Tetapi seringkali kecewa apabila apa yang ditanam itu tidak menjadi.

Dari situ beliau mula melayari Internet untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik sehingga dipertemukan oleh sahabatnya dengan seorang pakar perunding tentang baja SA Bio-Mass dari Vietnam.

"Bermula dari situ, saya sendiri menggunakan baja tersebut dan mendapati hasil yang sangat memuaskan," katanya.

Dari situ kata Mahanom, dia menyedari akan potensi baja tersebut jika dipasarkan di negara ini.

"Lagi pula, ia merupakan produk berasaskan alam semulajadi yang bebas daripada bahan kimia tetapi mampu memberi hasil sehingga dua kali ganda dan dapat digunakan untuk semua tanaman," katanya ketika ditemui di kilang pembungkusan baja syarikatnya di Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Johor, baru-baru ini.

Kini Mahanom merupakan Ketua Pengarah Eksekutif SA Bio-Mass Trading, syarikat pengedar tunggal baja SA Bio-Mass hasil teknologi Eropah yang 100 peratus bebas kimia. Syarikatnya kini mengedarkan kira-kira 2,000 tan baja mesra alam tersebut setahun ke seluruh negara.

Beliau memberitahu, Bio-Mass adalah baja bebas kimia dihasilkan daripada lebihan bahan mentah yang dikeluarkan oleh kilang dan industri pemprosesan makanan manusia dan ternakan.

Antaranya lebihan daging atau ayam yang dihasilkan dari kilang pengeluar kiub pati, gula, hampas, soya, beras dan jagung.

Berbanding baja organik, Bio-Mass tidak mengandungi najis haiwan. Bahan-bahan tersebut melalui beberapa proses pemecahan, pemeringkatan dan penapisan menggunakan tekonologi tercanggih dari Eropah sehingga terhasilnya nutrien tanaman untuk kegunaan semua jenis peringkat tanaman dan ladang.

Sementara itu, Mahanom berkata, keluarga amat memahami kesibukan dirinya menguruskan perniagaan sehingga jarang berada di rumah. Malah mereka turut memberi sokongan kepadanya.

"Saya jarang berada di rumah mahupun di pejabat. Sebaliknya selalu menjelajah seluruh negara untuk mempromosi dan memasarkan produk syarikat.

"Bagaimanapun hubungan saya dan keluarga tetap rapat. Kami saling memahami dan menyayangi. Apa yang penting pengurusan masa iaitu bagaimana menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga," katanya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Mahanom mempunyai tiga orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun. Jika dirinya dikenali sebagai wanita baja, anak keduanya, Farisya Fatin Faisal, 11, pula digelar 'budak hantu' kerana telah membintangi tiga buah filem berunsurkan hantu iaitu Santau, Ngangkung dan Sumpahan Kum Kum.

Katanya, Farisya juga tidak kekok mengikutinya menyertai karnival atau ekspo bagi mempromosikan produk syarikat jika tidak sibuk dengan penggambaran dan waktu persekolahan.

Monday, 30 January 2012

Pokok Hiasan Rumah Serap Toksik

 Shafie Harith menunjukkan pokok yang sesuai diletakkan di dalam rumah.

Biasanya pokok-pokok hiasan hanya ditanam di luar rumah. Malah ada tidak suka pokok diletakkan dalam rumah atas alasan ia menjadi tempat nyamuk bersarang.

Bagaimanapun kajian yang dijalankan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat (AS) sekitar tahun 1986 hingga 1989 menunjukkan terdapat beberapa tumbuhan yang amat berguna bagi menyerap bahan toksik dalam persekitaran tertutup.

Semuanya bermula apabila NASA menyediakan pokok-pokok yang boleh hidup di dalam kapal angkasa bagi tujuan membekalkan oksigen dan menghapuskan bahan toksik.

Apa yang menarik, kajian berkenaan mendapati pokok-pokok tertentu terutama yang terdapat di kawasan tropika amat sesuai menyerap bahan toksik dalam rumah dan pejabat.

Terdapat tiga jenis toksik yang terdapat di kawasan kediaman yang juga dikenali sebagai Sick Building Syndrome atau Sindrom Bangunan Sakit.

Antara bahan toksik yang berbahaya dan biasa terdapat dalam bangunan adalah formaldehyde, benzene dan trichloroethylene.

Formaldehyde berpunca daripada foam dalam tilam dan kusyen perabut, kayu lapis dalam dinding, perabut, kertas, beg kertas, kertas tisu, kertas tuala, bahan pencuci, permaidani, pakaian dan cadar.

Benzene pula biasa terdapat dalam minyak, pewangi, losen, syampu, sabun pembasuh, dakwat, cat, pelbagai plastik dan getah.

Trichloroethylene terdapat dalam pelbagai bahan logam, bahan pencuci, pelekat dan dakwat cetakan.

Pengurus Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Port Dickson, Negeri Sembilan, Shafie Harith berkata, dalam gaya hidup moden, biasanya masa dihabiskan di tiga tempat utama iaitu rumah, pejabat dan kereta.

"Bagaimanapun di ketiga-tiga tempat berkenaan mendedahkan manusia kepada bahan toksik daripada lahir ke sehingga ke akhir hayat.

"Kajian mendapati pendedahan yang berterusan kepada bahan toksik seperti formaldehyde menyebabkan kegatalan pada mata, hidung dan tekak, lelah atau asma, penyakit kulit hingga ke kanser tekak," katanya semasa ditemui di tapak pameran tanaman hiasan dalam rumah kelolaan FAMA sempena pameran MyAgro di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Benzene menyebabkan pening, lemah badan, mata kabur, penyakit paru-paru, kerosakan hati dan buah pinggang, mengganggu perkembangan bayi dalam kandungan, kanser darah.

Manakala trichloroethylene pula menyebabkan kanser hati.

Bagi mengelakkan terdedah kepada bahan toksik sepanjang masa dan mendapatkan udara yang segar serta bersih, pengguna disarankan tidur di kawasan bebas toksik seperti dalam hutan belantara, mengamalkan pemakanan sihat dan makanan tambahan serta bersenam bagi membuang toksik melalui kencing dan peluh.

"Tetapi jalan paling mudah adalah dengan meletakkan beberapa jenis tanaman hiasan dalam rumah dan pejabat," katanya.

Baja Organik Sendiri

Zamani Mohd. Noor kini boleh berbangga dengan kejayaan menghasilkan baja organik sendiri.

Bermula dengan hobi berkebun, Zamani Mohd. Noor sentiasa mencari yang terbaik untuk meningkatkan produktiviti tanamannya.

Mana saja baja yang dikatakan berkesan pasti dia akan membeli dan mencuba pada tanamannya.

Bagaimanapun kesukaran mencari baja yang berkesan, baik serta sesuai bagi pertanian mendorong Zamani menjalankan kajian sendiri.

"Memang sukar mencari baja yang menepati keperluan tanaman saya ketika. Bukan semua baja dapat menyuburkan tanah dan dalam masa yang sama mengelakkan jangkitan pada tanaman," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Wangsa Biz Avenue, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biasanya ukuran baja menggunakan rujukan Nitrogen, Fosforus, Kalium atau NPK dan biasanya baja kimia mempunyai nisbah NPK yang tinggi.

Bagaimanapun kebanyakan baja yang ada di pasaran seperti tidak mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

Malah penggunaan baja kimia secara berterusan dan berlebihan boleh menyebabkan tanah 'mati' dan perlu dipulihkan semula.

"Tanah yang telah mati mengambil masa hampir tiga tahun untuk dipulihkan dengan memelihara koloni cacing yang berfaedah dalam pertanian," katanya.

Justeru pada tahun 2007, Zamani menjalankan kajian mengenai baja yang menggunakan mikrob yang berfaedah (EM).

Minatnya terhadap baja mendorong Zamani membangunkan Suzahara Ventures Sdn. Bhd. bagi memasarkan produk bajanya.

"Bagi memastikan produk baja kami berkesan, kami bekerjasama dengan BIFA Farm yang menanam pelbagai tanaman di tanah seluas 1,000 hektar di Bandar Muadzam dan Rompin Pahang serta Kota Tinggi dan Gelang Patah di Johor," katanya.

Buat masa ini, pelanggan tetap Suzahara Ventures adalah PPK Johor. Mempunyai kilang di Gelang Patah, Johor ia berupaya mengeluarkan sehingga 10 hingga 12 tan baja setahun.

"Kami sedang merancang meluaskan lagi operasi dengan membina sebuah lagi kilang di Kempas, Johor bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Zamani berkata, kelebihan baja Suku Bumi keluaran Suhazara adalah pokok cepat berbuah. Misalnya pokok durian belanda yang biasanya berbuah apabila mencapai usia 18 bulan, telah mula mengeluarkan bunga pada bulan ke lapan.

"Ketika itu kami yang tidak mempunyai cukup pekerja terpaksa memetik buah yang masak untuk dijadikan puree," katanya.

Selain itu Zamani berkata pihaknya juga memasarkan jus limau kasturi yang sesuai untuk masakan dan minuman.

Mereka yang berminat mengetahui mengenai baja Suku Bumi boleh menghubungi Suzahara Ventures di http://suzahara.blogspot.com/ atau menghubungi 03-4142 4140/4450/4453.

Saturday, 28 January 2012

Tanam Nanas Tidak Menghampakan

Hassan Salleh (kanan) menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (kiri) dan Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah di ladangnya di Muar, Johor.

Bertugas sebagai kakitangan kerajaan sejak sekian lama tidak menghalang Hassan Salleh menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Malah, dia menyimpan minat untuk mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar dalam kerjaya hidupnya.

Tawaran oleh seorang pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kira-kira 10 tahun lepas, telah merintis jalan kepadanya untuk mencuba bidang pertanian khususnya projek penanaman nanas.

Selain mempunyai kerjaya sebagai kakitangan Jabatan Penjara, penanaman nanas yang merupakan bidang baru baginya, nyata tidak mengecewakan.

Peluang itu diperoleh ketika bertugas di Penjara Johor Bahru pada 1995 kembali ke Muar dan mengusahakan tanaman nanas berkeluasan 3.2 hektar (lapan ekar) yang dimulakan di Ayer Hitam.

Malah sejak mula berjinak-jinak dalam projek penanaman, anak jati Muar berusia 52 tahun itu sebelum ini pernah terlibat membawa banduan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

''Saya sebelum ini membawa banduan semasa berkhidmat di Penjara Simpang Renggam untuk membina masjid dan surau dan menjadi arkitek untuk tujuan itu," katanya yang mula bertugas di jabatan berkenaan pada 1982.

Pada 2000, bapanya meninggal dunia di Mekah dan memaksa dia kembali ke kampung halaman di Muar, sebelum ditawarkan mengusahakan tanaman nanas seluas 3.2 hektar (lapan ekar).

Dengan tiada pengalaman, bapa kepada lima anak ini memulakan satu usaha yang bukan mudah, malah terpaksa bekerja keras dan tanpa bantuan pada peringkat awal pembabitan.

Hassan juga terpaksa mencari beberapa pemilik tanah di Kota Tinggi, Johor untuk menambah keluasan tanah penanaman melibatkan empat ekar tanah bagi seorang pemilik.

''Kita buat perjanjian untuk pajak dengan pemilik selama 15 tahun supaya ada ada ikatan,'' ujarnya sambil memberitahu usaha pencarian tanah yang sesuai untuk penanaman mengambil masa selama setahun.

Dia juga terpaksa menjual dua buah kereta sebagai modal permulaan dan berjaya mengumpul RM28,000 untuk membeli tanah.

Sebab itu, pembabitannya dalam tanaman nanas boleh dianggap satu tindakan nekad, memandangkan ia dimulakan tanpa pengalaman, tiada modal dan tanpa bimbingan.

Bagi menjadikan usaha tersebut lebih lancar, dia menubuhkan syarikat Bonek pada bulan Mac 2001 yang kini dikenali sebagai Bonek Enterprise Sdn. Bhd.

'Bonek' bermaksud 'sama-sama nekad, sekali gus menggambarkan dan mengabadikan semangat tersebut dan sebagai pendorong kepada apa yang dicita-citakannya.

Sehingga kawasan penanaman nanas yang dimiliki mencecah 320 ekar termasuk 30 ekar tanah milik TNB.

Hassan berkata, sebanyak 12,000 hingga 15,000 pokok nanas ditanam bagi setiap ekar kawasan penanaman dan kebanyakannya daripada jenis Josapine.

Berkongsi lanjut mengenai bidang tersebut, Hassan berkata, nanas boleh dituai selepas sembilan bulan ditanam.

Ketika ini dia memperoleh kebanyakan benih dari Thailand dengan harga 35 sen sebiji manakala modal sepokok bagi menanam nanas ialah 35 sen sebiji. Harga pasaran pula RM1.60 sebiji.

Buah nanas yang telah dituai dipasarkan ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terutama bagi nanas Josapine.

Mengenai masalah utama tanaman nanas, Hassan menjelaskan, ancaman haiwan perosak merupakan perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Dia juga mendapat bantuan daripada LPNM bagi membina sistem perparitan.

Selain itu, dia turut berkongsi kegembiraan apabila mendapat bantuan pinjaman kewangan daripada Agrobank untuk mengembangkan projek tersebut sejak pembabitannya dulu.

Dia telah menerima pinjaman bank terbabit 2006 sebanyak RM150,000 dan pinjaman kedua menyusul pada tahun ini sebanyak RM138,000.

Saturday, 31 December 2011

Memperhebatkan Industri Koko

Perluasan kawasan ladang tanaman koko bakal meningkatkan pengeluaran biji koko sekali gus mampu merancakkan industri hilirannya.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa Malaysia pernah menjadi negara pengeluar biji koko ketiga terbesar di dunia pada sekitar tahun 1990-an.

Ketika itu, negara memiliki kawasan tanaman koko seluas 420,000 hektar dengan kadar pengeluaran biji koko 240,000 tan metrik setahun.

Namun, permintaan tinggi di peringkat global terhadap komoditi kelapa sawit menyebabkan kebanyakan ladang koko telah diambil alih oleh tanaman komoditi berkenaan.

Oleh itu, perusahaan koko hari ini terpaksa berhadapan dengan situasi pengurangan kawasan tanaman sebanyak 400,000 hektar.

Kini, sektor komoditi tersebut hanya bergantung kepada lebihan kawasan seluas 20,000 hektar untuk mengeluarkan kira-kira 15,000 tan metrik biji koko sahaja setahun.

Daripada segi pengusahanya pula, lebih 95 peratus terdiri daripada para pekebun kecil yang melakukan penanaman koko di kawasan-kawasan estet.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail, pengurangan jumlah pengeluaran itu memberi kesan yang cukup besar kepada aktiviti sektor hiliran koko.

''Sektor produk hiliran koko sebenarnya telah bermula sejak tahun 2000 dan berkembang cukup baik selepas itu.

''Pembangunannya turut disokong oleh industri pengisaran koko di mana terdapat sebanyak sembilan buah syarikat pengisar di seluruh negara.

''Namun, selepas sektor huluan mengalami masalah pengeluaran biji koko, ia telah memberi ketidakseimbangan kepada sektor hiliran ini.

''Lebih buruk lagi apabila Indonesia turut menaikkan cukai terhadap biji koko yang diimport dari negara mereka,'' katanya ketika ditemui pada program Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) 2011 di Serdang baru-baru ini.

Melihat keadaan itu, LKM mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa program penanaman dan pemulihan semula komoditi koko bermula pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Antaranya, memberi insentif kepada para pekebun yang berminat menanam koko dalam bentuk bantuan bernilai RM6,500 untuk setiap satu hektar kawasan tanaman bagi tempoh selama lima tahun.

Ia merangkumi kos biji benih, input pertanian seperti baja dan racun serangga serta bantuan khidmat nasihat.

Di samping itu, LKM turut memperkenalkan program Koko Untuk Rakyat (KUR) bermatlamat memaksimumkan penggunaan tanah terbiar dan kawasan di sekitar rumah untuk tanaman pokok koko.

''Menerusi KUR, sebanyak 50 anak benih koko akan diberi secara percuma kepada individu yang berminat menanamnya.

Program itu telah dimulakan di Perlis melalui pemberian sebanyak 220 anak benih kepada penduduk di sana. Setakat ini, program KUR telah dilaksanakan di seluruh negara dengan matlamat meningkatkan pengeluaran biji koko nasional sebanyak 30 peratus.

''Melaluinya, ia juga secara tidak langsung dapat memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha terlibat,'' jelasnya.

Disebabkan pokok koko mudah dijaga, LKM turut menjalankan projek tanaman komoditi itu di kawasan-kawasan sekolah, pejabat, penempatan berkelompok dan taman rekreasi.

Mengenai soal pasaran, Dr. Azhar memberitahu, pihak LKM akan membantu para pekebun mengumpul biji koko secara berkelompok mengikut kluster bagi memudahkan aktiviti jualan.

''LKM akan cuba sedaya upaya untuk menemukan para pekebun secara terus dengan pembeli atau pengisar untuk mengelakkan penglibatan orang tengah,'' katanya.

Wednesday, 28 December 2011

Soya Ganti Santan Dalam Nasi Lemak

Sampel lauk kari ayam versi Melayu yang digantikan sebahagian santan dengan susu kacang soya.

Kemakmuran ekonomi sesebuah negara biasanya dapat dilihat daripada gaya hidup rakyatnya.

Gaya hidup itu pula meliputi pelbagai aspek antaranya dilihat daripada di mana mereka menginap, jenis kediaman, jenis pakaian yang dipakai, jenis kenderaan yang dinaiki sehinggalah kepada makanan.

Dengan kayu ukur yang disebutkan itu, tidak sukar membandingkan keadaan bagi rakyat sesebuah negara terutama negara makmur atau negara yang mana penduduk mereka mengalami kebuluran.

Begitupun, negara yang rakyatnya mengalami kebuluran merupakan masalah ketika ini tetapi tanpa kawalan juga, akhirnya rakyat negara kaya mudah terjerumus kepada masalah kerana terlebih makan atau tersalah makan.

Banyak negara maju yang rakyatnya mengalami obesiti atau kegemukan, sama ada disebabkan gaya pemakanan yang salah atau pengambilan makanan berlebihan.

Malah faktor kemiskinan juga boleh mengakibatkan gejala kegemukan kerana gaya pemakanan yang salah.

Negara seperti Malaysia dikategorikan sebagai negara makmur dan sekali gus rakyatnya berdepan dengan gaya pemakanan yang salah termasuk, makan berlebihan atau makanan yang berlemak dan akhirnya masalah kegemukan.

Gemarkan makanan berminyak, berlemak, makan pada waktu lewat malam dan makan tidak mengikut piramid makanan yang betul adalah antara faktor-faktor penyumbang kepada masalah tersebut.

Rakyat Malaysia gemarkan makanan berlemak, berkuah santan atau minyak berlebihan. Hidangan yang pelbagai itu adalah menu rakyat negara ini.

Nasi lemak, roti canai dan bahan cicah serta sambal tumis adalah menu yang dicari pada waktu sarapan pagi. Sebab itu, kelapa seakan tidak mencukupi untuk penduduk negara ini.

Santan dianggap sebagai penyedap makanan meskipun ramai sudah mengetahui pengambilan santan secara berlebihan boleh menjadi 'racun' pembunuh secara perlahan dan senyap.

Hari ini, banyak usaha telah dilakukan bagaimana santan kelapa yang begitu diminati perlu diganti kepada bahan lain yang lebih sihat.

Jika terdapat percubaan menggantikan santan kelapa dengan bahan berasaskan susu kacang soya yang dianggap lebih baik, maka itu sebahagian daripada usaha tersebut.

Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), usaha yang sama sedang rancak dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan.

Projek tersebut menurut ketua kumpulan penyelidiknya, Zuraidah Nasution, dimulakan pada awal tahun ini setelah mendapat peruntukan dana daripada UMT menerusi Tabung Bantuan Penyelidikan Khas 2011.

''Projek ini akan berakhir pada awal tahun 2012 dan kos pembiayaan dana ialah berjumlah RM 20,000 ,"katanya yang diwawancara menerusi emel.

Penyelidikan tersebut bertujuan menggantikan santan kelapa sebagai bahan tambahan utama dalam masakan.

Kajian itu dijalankan bertujuan untuk melihat kesan penggantian santan kelapa dengan susu kacang soya dalam dua masakan popular rakyat Malaysia iaitu nasi lemak dan lauk kari ayam versi Melayu terhadap ciri-ciri fizikal, kimia dan mikrobiologi serta penerimaan pengguna.

Penggantian sebahagian daripada santan dengan susu kacang soya dalam masakan tempatan adalah kerana susu kacang soya mengandungi lemak tidak tepu yang lebih tinggi.

Ini memberi kesan kesihatan yang lebih baik berbanding lemak tepu yang kurang sihat yang terdapat dalam santan.

''Kajian menggantikan santan dengan susu kacang soya dalam peratusan yang berbeza dijalankan oleh tiga orang pensyarah dan enam orang pelajar tahun akhir,"ujarnya. mewakili kumpulan penyelidik berkenaan.

Selain Zuraidah, penyelidik lain yang terlibat dalam penyelidikan tersebut ialah Dr. Mohd Nizam Lani dan Aziz Yusof , selain pelajar terbabit.

Beliau boleh dihubungi di zuraidahn@umt.edu.my

Thursday, 22 December 2011

Santan Sawit Kurang Kolestrol

Santan sawit sangat sesuai digunakan dalam masakan bagi menggantikan santan kelapa kerana tidak cepat 'pecah minyak' biarpun gulai dimasak pada suhu yang tinggi.

Penggunaan santan dalam masakan harian bagi masyarakat negara ini bukan lagi asing, malah harga bagi bahan masakan ini melambung pada musim perayaan.

Hampir kesemua masakan tradisional Melayu memerlukan santan sebagai bahan utama dan jika ditukar dengan bahan lain pastinya rasa serta kualiti masakan tersebut akan kurang.

Namun, akibat kekurangan stok kelapa, harga santan kini kadangkala di luar jangkaan dan ia bertambah kritikal apabila industri perladangan kelapa semakin menyepi.

Bagi menyelesaikan permasalahan tersebut, sebuah syarikat bumiputera yang dikenali sebagai Khalissantan memperkenalkan santan kelapa sawit.

Menurut Pengarah Urusannya, Jasri Mohd. Rashid, santan kelapa sawit tiada beza dengan santan kelapa biasa.

"Dari segi tekstur, rasa dan bau santan sawit dan santan kelapa tiada beza. Malah, santan sawit memiliki kelebihan yang tiada pada santan kelapa," ujarnya ketika ditemui di kilang pemprosesan santan sawit di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Jasri, santan sawit yang dihasilkannya memiliki kandungan asid lemak yang lebih rendah, kurang kolestrol, kaya dengan vitamin A dan E selain dapat bertahan lebih lama daripada santan biasa.

"Malah penggunaan santan sawit ini hanya separuh daripada santan kelapa kerana ia lebih pekat. Selain itu ia juga tidak berbau tengik jika disimpan lama di tempat yang dingin ia dapat bertahan lebih lama," katanya.

Santan sawit dalam bungkusan mampu bertahan sehingga tiga bulan dan jika telah dibuka ia bertahan selama sebulan di dalam tempat yang dingin.

Bercerita mengenai idea menghasilkan santan sawit ujar Jasri, beliau menerima formula menghasilkan produk tersebut daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB telah menjalankan kajian hampir 12 tahun untuk menghasilkan santan sawit namun dalam skala makmal dan Jasri telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada agensi tersebut untuk tujuan pengkomersialan.

Biarpun begitu, untuk menghasilkan produk santan sawit dalam skala yang besar ia tidak semudah seperti yang disangka.

Mesokap

Menurut Jasri, pada peringkat awal beliau perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk melihat kesesuaian produk tersebut sebelum ia memasuki fasa pengkomersialan secara besar-besaran.

Antaranya, proses R&D, kajian soal selidik di kalangan pengguna, kajian pemasaran, kesan kesihatan serta kesesuaian penggunaan santan sawit di negara ini.

Setelah memperoleh data yang lengkap dan berpuas hati bahawa produk santan sawit tersebut boleh mendapat tempat di hati pengguna, Jasri bersama rakan kongsinya melabur untuk membina kilang.

Bagaimanakah santan sawit dihasilkan? Bagaimanakah warna sawit boleh bertukar putih?

Jelas Jasri, untuk menghasilkan santan sawit, pihaknya menggunakan hasil sawit yang diproses daripada bahagian mesokap (mesocarp) buah tersebut.

Kemudian ia akan diproses bersama beberapa bahan tertentu untuk menukarkan warnanya kepada warna putih santan. Setelah diproses, santan sawit akan terus dibungkus sebelum diedarkan kepada pengedar.

Kejayaan Jasri mengkomersialkan santan sawit itu juga berdasarkan pengalaman beliau selama 10 tahun di syarikat produk tenusu sebagai pengurus kewangan.

Melalui pengalaman bekerja di syarikat tersebut menjadikan Jasri mahir dalam selok belok pemprosesan sehinggalah kepada pemasaran sesuatu produk.

Antara perbezaan santan sawit dan santan kelapa adalah ia lebih menjimatkan kos berikutan ia digunakan hanya sedikit sahaja.

Jika untuk masakan seperti kari, anda hanya memerlukan satu pertiga, manakala untuk kegunaan cendol hanya satu perempat sahaja.

Selain memberikan rasa atau tekstur yang lebih lembut, ia juga tidak berbau tengik, tidak mudah rosak selagi disimpan di tempat sejuk dan paling penting, ia tidak perlu dibeli setiap hari.

Malah, makanan yang dimasak menggunakan santan sawit juga tidak mudah rosak, hanya perlu disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan pada keesokan harinya.

Bagi santan kelapa, ia mudah rosak biarpun sebelum digunakan dan istilah paling biasa digunakan adalah 'naik kepala' yang mana keadaan lemak santan yang terapung di atas air biarpun selepas beberapa jam ia diproses.

Selain itu, masakan yang menggunakan santan kelapa juga lebih mudah basi walaupun baru ditinggalkan hanya satu hari sahaja malah perlu dibeli pada setiap hari.

Terdapat perbezaan memasak menggunakan kedua-dua jenis santan ini. Santan kelapa tidak boleh menggunakan api yang kuat kerana masakan lebih cepat 'pecah minyak' dan menjadikan masakan kurang enak.

Bagi santan sawit, ia tidak akan mengalami 'pecah minyak' seperti santan kelapa malah api boleh digunakan sebesar mana pun dan boleh didih selama tiga hingga lima minit.

Santan sawit juga boleh menggantikan susu bagi memasak masakan seperti nasi minyak dan beriani. Selain mampu menjimatkan kos pembelian santan kerana ia lebih murah berbanding santan kelapa, ia juga merupakan produk yang menyihatkan.

Jika dahulu ramai yang khuatir untuk makan makanan berasaskan santan kerana faktor penyakit, namun kini ia tiada lagi berikutan santan sawit memiliki kolestrol yang lebih rendah.

Menurut Jasri lagi, kini beliau sedang berusaha memperkenalkan kegunaan santan sawit ini sebagai pengganti kepada santan kelapa untuk memastikan makanan yang dimakan lebih menyihatkan.

"Kami juga dalam proses untuk membesarkan lagi kilang pemprosesan santan sawit ini di samping mahu mencari agen yang berminat untuk memasarkan produk ini," ujarnya.

Kini produk santan sawit Khalissantan ini boleh ditemui di pasar raya terkemuka dan akan memasuki beberapa lagi pasar raya besar di negara ini.

Ketika ditanya adakah beliau berminat untuk mengeksport santan sawit tersebut, katanya kini sudah terdapat beberapa negara yang telah menunjukkan minat untuk membeli produk tersebut.

"Tetapi kita sekarang memberi penumpuan sepenuhnya untuk pasaran domestik terlebih dahulu kerana pasaran domestik bagi santan juga amat besar ," ujarnya.

Friday, 25 November 2011

Kekalkan Kesegaran Buah

Buah-buahan yang telah dipotong akan cepat layu dan hilang kesegarannya jika tidak diproses dan dibungkus dengan teknologi terbaik.

Buah-buahan segar yang telah siap dipotong dan dibungkus cantik semakin mendapat permintaan di pasaran, terutama bagi mereka yang sering membeli di pasar raya.

Selain pasar raya, kini hirisan buah-buahan seperti tembikai, jambu, mangga dan epal yang sedia dimakan mudah di dapati di kafetaria dan kantin-kantin pejabat dan sekolah.

Bagaimanapun, seperti yang kita ketahui, buah yang telah dipotong akan cepat layu dan hilang kesegarannya jika tidak diproses dan dibungkus dengan baik.

Bagi mengatasi masalah itu, Makmal Keselamatan dan Kawalan Kualiti (PQSL), Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian Amerika Syarikat (ARS) di Beltsville, Maryland, Amerika Syarikat (AS) telah menjalankan beberapa kajian dan projek mengenainya.

Kajian demi kajian itu telah membawa kepada penemuan kaedah yang memberi faedah kepada pengeluar, pembungkus, pengedar dan penjual produk hirisan segar.

''Mengekalkan penerimaan pengguna terhadap hirisan buahan merupakan cabaran kepada industri hirisan segar,'' kata pakar fisiologi PQSL, Kenneth C. Gross.

Biasanya hirisan segar dibungkus menggunakan plastik nipis yang dinamakan 'filem' dan fungsinya hanyalah sebagai pembungkus yang melindungi buah berkenaan.

Tetapi fungsi bungkusan 'filem' hari ini bukan hanya sebagai alat pembungkus dan pilihan penggunaan 'filem' adalah bergantung kepada hirisan segar yang dibungkus.

Setiap 'filem' mempunyai kadar pemindahan oksigen tertentu yang membenarkan hasil hirisan segar terus bernafas semasa disimpan dan diedarkan.

Ciri lain yang penting adalah kandungan oksigen yang ada di dalamnya sebelum bungkusan ditutup.
Kunci bagi mengekalkan kualiti dan meningkatkan jangka hayat adalah mengekalkan kandungan oksigen dan karbon dioksida dalam bungkusan.

Teknologi berkenaan yang dinamakan 'pembungkusan atmosfera terubahsuai' membenarkan hirisan segar 'bernafas' perlahan-lahan dan kekal segar walaupun disimpan lama.

Pakar teknologi makanan PQSL, Yaguang Luo telah mengkaji kadar pemindahan oksigen dan karbon dioksida dan bagaimana ia memberi kesan kepada kandungan di dalam bungkusan.

Menggunakan kepekatan tertentu dan masa celupan, kumpulan berkenaan telah berjaya membangunkan rawatan ASC yang mampu membunuh bakteria yang memendekkan jangka hayat buah.

Formula dan kaedah berkenaan boleh dijadikan alternatif kepada bilasan klorin bagi mengawal pertumbuhan mikroorganisma pada hirisan segar.

Lou telah menerima dana industri bagi mengekalkan kesegaran hirisan segar dengan memperlahankan proses pemasakan dengan rawatan gas 1-methylcyclopropene (1-MCP) saja atau gabungan dengan ASC.

Luo, McEvoy, and ahli fisiologi tumbuhan PQSL Robert Saftner juga telah menggunakan 1-MCP bagi mengekalkan kesegaran tembikai dengan mengubah tindakbalas etilena.

Mekanisme berkenaan akan memanjangkan jangka hayat dalam kualiti dan membolehkan hirisan segar dihantar melalui kapal ke destinasi tertentu.

Rawatan berkenaan didapati penting bagi mengekalkan warna, kelembutan, aroma dan rasa hirisan segar buahan.

Wednesday, 23 November 2011

FAMA 46 Tahun


Mohd. Hashim Abdullah (tengah) bersama Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin (kiri) dan Ahmad Ishak pada majlis perasmian Seminar Tahunan FAMA 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tanggal 1 September 2011 lalu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) genap 46 tahun ditubuhkan.

Mengimbas tarikh sama pada 1965, FAMA telah dibuka secara rasmi oleh Tun Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu.

Penubuhannya waktu itu antara lain menyasarkan beberapa matlamat seperti mengendali pasaran hasil pertanian negara, memantau harga produk pertanian serta melindungi hak petani dan pengguna.

Hari ini, FAMA telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif serta projek sokongan pemasaran pertanian secara menyeluruh merangkumi aspek keusahawanan, promosi, jualan dan penjenamaan.

Kesemuanya mempunyai kaitan yang sangat rapat antara satu sama lain demi memastikan keseimbangan serta keberkesanan usaha pembangunan bidang pemasaran pertanian negara.

Antara yang sukses dilaksanakan adalah seperti projek Pasar Tani, Program Pembangunan Industri Asas Tani, penjenamaan 1Malaysia Best, Agrobazaar, Kedai Rakyat, Gerai Buah-buahan Segar dan banyak lagi.

Menurut Ketua Pengarah FAMA, Ahmad Ishak, pihaknya akan terus mengorak langkah cemerlang dan mengekalkan kestabilan integriti dalam memajukan sektor pertanian negara.

"Tumpuan utama FAMA ketika ini adalah untuk mengawalselia urusniaga melalui pelaksanaan di pusat-pusat operasi supaya transaksi belian dan jualan dapat dijalankan secara lebih teratur mengikut sasaran,'' katanya pada Majlis Perasmian Seminar Tahunan FAMA 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.

Sementara itu, Mohd. Hashim memberitahu, FAMA sentiasa berusaha memberi perkhidmatan pasaran terbaik agar rakyat tidak terjejas atau terbeban dengan kenaikan harga produk pertanian.

Katanya, bagi memenuhi hasrat itu, FAMA telah melaksanakan pendekatan kolaborasi serta bekerja secara pasukan bersama jabatan-jabatan dan agensi yang terlibat.

Sesuai dengan era teknologi moden hari ini, FAMA mengambil pendekatan mengemaskini segala maklumat berkaitan mereka melalui laman web dan laman sosial Facebook.

Daripada segi pemasaran pula, FAMA ada memperkenalkan platform Informasi Maya Permintaan dan Pengeluaran (SDVI) sebagai pangkalan data lengkap untuk membantu para peniaga dan pembeli.

Tidak cukup dengan itu, FAMA juga baru-baru ini ada memperkenalkan program penggalakkan projek pertanian di kalangan generasi muda institusi pengajian tinggi (IPT) dikenali sebagai MyClub MyAgrosis.

Sebanyak 19 IPT akan terlibat secara langsung dalam program berkenaan dengan sasaran 1,000 penyertaan pelajar menjelang penghujung 2011.

Bagi mengukuhkan lagi peranannya, FAMA juga ada merangka beberapa strategi baru seperti menjual produk pertanian terus kepada pengguna melalui outlet FAMA selain meningkatkan bekalan menerusi program ladang kontrak.

Dalam perkembangan lain, FAMA turut menyertai program Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) dengan memberi fokus kepada elemen Transformasi Pusat Luar Bandar (RTC).

Secara asasnya, RTC berperanan sebagai penghubung antara masyarakat luar bandar dengan aktiviti ekonomi bernilai tambah bertujuan menyediakan peluang pekerjaan selain meningkatkan pendapatan mereka.

Di bawah program itu, FAMA akan mengetengahkan tiga projek utama mereka iaitu Pertanian Berimpak Tinggi (HVF) seperti Terminal Makanan negara (TEMAN), aktiviti pemprosesan agro dan pengurusan rantaian bekalan bagi pasaran eksport dan domestik.

Monday, 7 November 2011

UniMAP Ceburi Pertanian Teknologi Tinggi

Dr. Rezuwan Kamaruddin meneliti pertumbuhan tanaman herba di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diwujudkan bagi memperkasa pelbagai bidang kejuruteraan, memanfaatkannya untuk pembangun teknologi tinggi dalam bidang pertanian.

Dengan kepakaran yang dimiliki, UniMap mengambil pendekatan melestarikan teknologi rumah hijau dan fertigasi untuk pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Rumah hijau versi tropika dibina menggunakan persekitaran terkawal bagi membolehkan tanaman bernilai tinggi seperti kubis, bunga kubis, brokoli, tomato dan tembikai wangi di tanam di dataran rendah.

Teknologi tersebut dimajukan oleh Prof Dr. Rezuwan Kamaruddin yang juga Dekan Pengurusan Akademik UniMAP sebagai peneraju dan penggerak.

Menurut beliau, rumah hijau yang dibangunkan dapat mengatasi masalah berterusan pengeluaran tanaman di ladang terbuka.

"Risiko pengeluaran tanaman di ladang terbuka sangat tinggi akibat kemusnahan akibat hujan lebat, persaingan rumpai, serangan serangga dan penyakit," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Perlis baru-baru ini.

Sementara sistem fertigasi yang semakin popular ketika ini adalah teknologi yang membekal air dan larutan baja terus ke zon secara tepat mengikut keperluan peringkat pertumbuhan tanaman.

Penjimatan air dan larutan baja dapat dicapai sehingga sembilan kali ganda berbanding dengan pengeluaran di ladang terbuka.

Justeru aplikasi teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat membantu meningkatkan hasil tanaman bernilai tinggi sehingga dua atau tiga ganda, berkualiti tinggi, sekali gus memberi keuntungan berbanding dengan pengeluaran konvensional di ladang terbuka.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), memberitahu, beberapa buah rumah hijau dan sistem fertigasi telah dibangunkan untuk pengeluaran tanaman bernilai tinggi di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis.

Selain untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan tersebut juga berperanan sebagai hub rujukan setempat bagi pengusaha-pengusaha komersial di kawasan zon utara.

Malah, katanya beberapa penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk penambahbaikan teknologi tersebut.

Teknologi berkenaan juga telah diguna pakai oleh beberapa buah sekolah menengah di Perlis untuk mendorong murid-murid sekolah menjadi petani moden apabila mereka menamatkan pengajian.

Di samping itu, kemudahan tersebut menyediakan platform aktiviti kelab agroteknologi dan juga berfungsi sebagai makmal pengajaran dan pembelajaran secara praktikal bagi matapelajaran sains pertanian atau biologi.

Antara sekolah yang aktif adalah Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menegah Dato' Sheikh Ahmad dan Sekolah Menegah Padang Besar.

Menurut Rezuwan, sehingga kini beberapa agensi kerajaan dan swasta telah menerima pakai teknologi yang telah dibangunkan.

Antaranya Malaysian Agrifood Cooperation (MAFC) iaitu salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menerima pakai teknologi berkenaan dalam pengeluaran tanaman bernilai tinggi terpilih di dataran tinggi dan dataran rendah.

Satu perjanjian persefahaman telah dimeterai antara UniMAP dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan NCER untuk membangunkan rumah hijau dan sistem fertigasi untuk pengeluaran tanam-tanaman bernilai tinggi secara besar-besaran di kawasan koridor terbabit.

Katanya lagi, pembangunan teknologi pertanian tersebut adalah teknologi moden berasaskan input-input daripada multi-disiplin bidang kejuruteraan di UniMAP.

Teknologi seperti ini versi temperat telah diguna pakai secara meluas di negara maju seperti Belanda, Amerika Syarikat dan Jepun.

Katanya lagi, masa depan industri pertanian negara akan berkembang lebih pesat apabila teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat digunakan secara meluas.

Ini dapat membatu mengurangkan bill import bahan makanan yang mencecah RM27.9 billion setahun berbanding eksport negara hanya RM7 bilion setahun.

Saturday, 5 November 2011

UMT Giatkan Penanaman Roselle

Antara yang terlibat dalam membantu penyelidikan Roselle Delight di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu dari kiri: Ho Jia Wei( pelajar tahun akhir) Aniza Draman (Penolong Pegawai Sains) dan Wan Nor Haryani Wan Mohamad (Penolong Pegawai Teknologi Makanan.

Industri berasaskan rosel bukan baru di negara ini malah satu ketika dulu ia pernah menjadi satu tanaman fenomena yang begitu menarik perhatian dan menjana pertumbuhan banyak syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana (IKS).

Rosel atau segelintir masyarakat memanggilnya asam paya, asam kumbang dan asam susur dikatakan berasal dari India atau mungkin Afrika dan dibawa ke negara ini sejak tiga kurun lalu.

Daripada segi botani, rosel atau nama saintifiknya Hibiscus sabdariffa L. berada dalam keluarga yang sama dengan bunga raya, kenaf dan bendi.

Pokok rosel ditanam daripada biji benih atau keratan batang. Apabila matang ia mampu mencapai ketinggian antara tiga hingga lima meter (m).

Pokok rosel mengeluarkan bunga sepanjang tahun yang berwarna kuning dan merah jambu bergantung kepada varieti.

Kaliksnya (salut bunga) berwarna merah gelap dan lebih tebal berbanding bunga raya. Rosel sebenarnya tumbuhan yang istimewa dan boleh dianggap sebagai pokok serba guna.

Bahagian kaliksnya yang masam boleh diproses menjadi makanan dan minuman seperti jus, kordial, halwa, jeli, jeruk dan rosel kering yang dijadikan serbuk atau kepingan dalam penyediaan minuman rosel.

Daun dan batang muda rosel boleh dimakan sebagai ulam atau salad dan juga perisa dalam masakan seperti kuah kari, asam pedas dan kuah singgang.

Industri tanaman rosel berkembang dengan cepat mungkin disebabkan kaedah penanamannya yang mudah dan pada masa yang sama, hampir semua bahagian pokoknya boleh dimanfaatkan.

Ini mendorong kepada banyak penghasilan produk makanan berasaskan rosel dan akhirnya mendorong kepada penyelidikan-penyelidikan baru untuk menambah varieti (kepelbagaian baka) tanaman tersebut.

Menyedari banyaknya peluang ekonomi yang dapat dijana daripada tanaman tersebut , Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil langkah proaktif menubuhkan kumpulan penyelidikan dikenali sebagai Roselle Special Interest Group (RSIG) pada tahun 2010.

Penubuhan kumpulan tersebut adalah bertujuan memberi pembaharuan dan nilai tambah terhadap industri rosel di negara ini.

Untuk tujuan itu, RSIG yang diketuai oleh Prof Dr. Sayed Mohd. Zain Sayed Hasan yang juga Dekan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM) , UMT membahagikan kepada empat bidang penyelidikan utama iaitu agronomi, lepas tuai, penghasilan produk makanan dan pemakanan imunologi.

Berdasarkan empat bidang keutamaan dengan kepakaran 40 orang daripada pelbagai disiplin ilmu, RSIG menggerakkan kumpulan penyelidiknya bagi setiap bidang berkenaan.

Ini termasuk mengusahakan penanaman rosel di Stesen Pembangunan Komoditi Rhu Tapai, Lembah Bidong hasil kerjasama dengan Jabatan Pertanian Terengganu.

Penanaman diusahakan di tanah BRIS yang melibatkan varieti terpilih termasuk tiga varieti baru hasil penyelidikan Prof. Dr. Mohamad Osman , bekas penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berjaya menghasilkan varieti rosel UKMR-1, UKMR-2, UKMR-3 .

Baka lain yang turut ditanam ialah Terengganu dan Arab. Sehingga kini, sembilan produk berjaya dihasilkan kumpulan berkenaan.

Antaranya, jeruk rosel yang dihasilkan menerusi penyelidikan Dr. Mohd. Nizam Lani, Roshita Ibrahim, Goh Yoke Hoon, Nurul Atiqah Ramli Nasrenim Suhaimin , Suzana Mat Saad dan Suhana Muhamad Hanidun.

Jeruk rosel berkenaan berasa masam manis dan teksturnya yang rangup boleh dimakan begitu sahaja. Kumpulan tersebut juga berjaya menghasilkan kek lapis kaya rosel menggunakan kaliks.

Penyelidikan tersebut dijalankan bersama oleh Aziz Yusof, Wan Hafiz Zainal Shukri, Fisal Ahmad, Siti Nur Afiffah Jaafar dan Zamani Mohamed.

Satu lagi produk yang tidak kurang hebatnya ialah Roselle Delight iaitu aiskrim yang mempunyai rasa masam manis tanpa pewarna dan bahan pengawet sebaliknya mengandungi vitamin C, kaya dengan antioksidan dan rasanya yang unik.

Ais krim tersebut dihasilkan menerusi penyelidikan Dr. Amir Izzwan, Mohd. Zaidi Yahaya, Wan Nor Haryani Wan Mohamad, Aswardy Hamzah dan Dayang Normiah Mohamad.

Selain itu roselle crunch turut dihasilkan iaitu biskut yang diadun dengan teliti menggunakan rosel. Biskut tersebut merupakan hasil penyelidikan Fadina Yusof, Faridah Mohd. Isa dan Dr Sayed Mohd. Zain.

Sesuai dengan populariti rosel di Terengganu, sekumpulan penyelidik berjaya menghasilkan Te'ro (Terengganu Rosel leather bar). Ia merupakan snek ringan , mengekalkan rasa semulajadi rosel dan tanpa bahan tiruan.

Ia merupakan produk hasil penyelidikan Fisal Ahmad, Mohd Zaidi Yahya, Zuraidah Nasution, Wan Nor Haryani Wan Mohamad dan Dayang Normiah Mohamad.

Malah , penyelidikan makanan berasaskan rosel semakin berkembang dengan adanya produk seperti, yogurt, bebola ikan rosel, kek lapis rosel, kek cawan rosel dan tat telur rosel.

Thursday, 27 October 2011

Orkid Thai ke Pasaran Dunia

Chitrapan Tiempayotorn memberi taklimat kepada peserta Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 ketika sesi lawatan ke Thai Orchids Company Limited di Bangkok baru-baru ini.


Kunjungan ke ladang orkid milik syarikat Thai Orchids Company Limited yang terletak di daerah Bangphad, Bangkok, Thailand bagai memasuki 'syurga' tumbuhan renek itu.

Manakan tidak, keseluruhan kawasannya ditanam pelbagai spesies orkid berwarna-warni yang sangat cantik diiringi dekorasi taman cukup mengujakan.

Kehadiran tasik buatan di sebahagian kawasan taman anggerik itu pula melengkapkan lagi keindahan landskap serta panorama lokasi eksklusif berkenaan.

Keadaan yang mendamaikan itu seolah-olah mengubat rasa penat para peserta program kembara Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 selepas melalui siri penjelajahan yang amat panjang.

Persinggahan ke ladang tersebut merupakan sebahagian daripada jadual perjalanan acara yang dianjurkan Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).

Berbicara mengenai ladang komersial seluas 40 hektar itu, Presiden Thai Orchids Company Limited, Jade Meyanyieam memberitahu, syarikat tersebut mula beroperasi sejak tahun 1989.

''Ketika itu, ia dilaksanakan di kawasan seluas hanya lima hektar dan berkembang perlahan-lahan sehingga ke peringkat sekarang.

''Hari ini, ladang kami telah berjaya menempah nama sebagai pengeksport produk bunga orkid segar nombor satu Asia dan kedua di dunia selepas Belanda.

''Dalam perusahaan ini, syarikat hanya memberi fokus kepada pengeluaran dan pengeksportan bunga-bunga orkid segar sahaja,'' jelasnya yang juga Presiden Persatuan Pengekport Orkid Thai di Thailand.

Berpegang kepada moto Orkid Thai Melangkah ke Dunia, syarikat itu tidak pernah berhenti mengatur strategi memacu kejayaan dalam industri florikultur.

Antara tumpuan pelaksanaan operasi adalah seperti meningkatkan produktiviti serta penghasilan pelbagai baka orkid hibrid baru menerusi aktiviti kajian dan penyelidikan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut memberi fokus kepada aktiviti pembiakan, pengendalian sistem penanaman dan pengurusan berkualiti serta beretika.

''Di sini, kawasan penanaman dibahagikan kepada lapan zon utama dimana setiap zon ditanam dengan baka orkid yang berbeza.

''Secara keseluruhannya, ladang ini ditanam dengan lebih daripada 60 spesies bunga orkid.

''Kita juga mempunyai makmal sendiri untuk menggalakkan operasi penyelidikan baka-baka orkid baru dengan corak dan saiz lebih menarik,'' jelasnya yang mempunyai seramai lebih kurang 120 kakitangan sokongan.

Di ladang berkenaan, baka Dendrobium daripada pelbagai spesies mendapat sambutan cukup menggalakkan oleh para pengimport dengan penguasaan pasaran sehingga 90 peratus.

Di samping itu, baka lain yang turut ditanam adalah seperti Mokara, Dyed Orchids, Vanda, Ascocenda, Heliconia dan Anthurium.

Wednesday, 26 October 2011

AgriBazaar Platform Niaga Online

Muka depan bagi laman web AgriBazaar yang menarik, ia juga turut disertakan ikon-ikon ringkas bagi memudahkan pengguna melayarinya.

Sejajar dengan perkembangan teknologi Internet tanpa sempadan, kini semua aktiviti harian boleh dilaksanakan hanya menggunakan hujung jari.

Tekan sahaja papan kekunci semua urusan dapat diselesaikan dengan mudah dan pantas. Begitu juga dengan dunia pertanian masa kini yang tidak lagi perlu bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan produk.

Menyedari hakikat tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Mimos Berhad telah menyediakan infrastruktur berasaskan Internet untuk memudahkan pengeluar dan pembekal mempromosi dan memperdagangkan hasil pertanian mereka.

Dikenali sebagai AgriBazaar, ia diwujudkan bagi menyediakan infrastruktur Internet dan landasan untuk pembeli dan penjual mengumpul serta melakukan transaksi perniagaan mereka dengan lebih pantas.

Malah, melalui sistem online itu, penjual dan pembeli akan dihubungkan secara terus tanpa melibatkan orang tengah sekali gus dapat menghapuskan kos yang biasa dikenakan oleh mereka dan produk pertanian dapat dijual pada harga yang lebih rendah.

Kewujudan landasan tersebut pastinya memberi impak yang besar kepada industri pertanian kerana ia membolehkan peruncit, pemborong, pengumpul, pengedar, petani, pengeksport dan pengimport dapat berinteraksi antara satu sama lain.

Selain itu, pengguna juga boleh merancang usahasama baru menerusi portal ini ditambah pula pendaftaran bagi menyertai portal ini adalah percuma.

AgriBazaar juga mengintegrasikan proses urus niaga online yang lengkap dan bersepadu, bermula dari proses pembelian hingga ke proses pembayaran.

Pada masa akan datang, perkhidmatan logistik juga akan disepadukan melalui AgriBazaar bagi menjamin produk yang dibeli dapat dihantar dengan selamat dan cepat.

Di samping itu, portal Online itu juga menyediakan maklumat dan hebahan bagi belian, jualan dan lain-lain aktiviti produk pertanian kepada bakal pembeli dan penjual terhadap produk terbabit.

Dalam pada itu, reka bentuk AgriBazaar adalah perantara yang memiliki struktur data dan maklumat lebih teratur.

Kelancaran pengunaan AgriBazaar boleh disesuaikan dengan kemampuan sistem komputer dan rangkaian Internet pengguna.

Ia berikutan portal tersebut menawarkan pilihan pengantara grafik rendah yang lebih sesuai untuk pengguna yang mengunakan komputer pada spesifikasi rendah atau perkhidmatan Internet dail-up.

Papan yang memaparkan maklumat asas pula memudahkan pengurusan urus niaga bagi pembeli dan juga penjual.

Pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan Troli Belian untuk menguruskan pembelian produk sebelum meneruskan dengan pembayaran.

Pembantu Maya dan Ikon Navigasi juga membantu memudahkan pengguna melayari portal ini. Portal AgriBazaar itu juga dilengkapi dengan ciri-ciri online yang memudahkan pengurusan stok dan inventori, pengurusan pengguna, pemberitahuan berita terkini tentang produk.

Malah, ia turut memaparkan aktiviti-aktiviti daripada semua pemain industri pertanian seperti agensi kerajaan atau pihak pembekal.

Terakhir, ruangan Forum dan Mesej Peribadi yang terdapat di dalam portal ini juga membolehkan para penguna berbincang serta berkongsi maklumat, idea dan pendapat.

Untuk maklumat lanjut serta ingin melihat sendiri portal AgriBazaar, anda boleh layari laman web tersebut di http://www.agribazaar.com.my/.

Saturday, 1 October 2011

Tembikai Susu Madu

Pembeli tidak melepaskan peluang memilih tembikai susu madu sebelum dipasarkan.

Ketika mula-mula sampai ke ladang tembikai susu madu yang dipanggil ILDAS kerana ditanam di berhampiran Institut Latihan dan Dakwah Selangor di Sabak Bernam.

Penulis tidak menyangka terdapat ladang tembikai susu di kawasan yang dipenuhi dengan semak-samun.

Kerana lokasi ladangnya itu, maka tembikai susu yang dihasilkan itu diberi gelaran tembikai susu madu ILDAS.

Semasa tiba di ladang berkenaan, kelihatan pekerja-pekerja ladang sedang memetik buah tembikai susu madu ILDAS yang tersembunyi di sebalik semak.

Apa yang lebih menarik tembikai susu madu ILDAS hanya ditanam sejak enam tahun lalu bagi pasaran di bulan Ramadan dan Syawal.

Diusahakan oleh usahawan tani Mahiddin Mohd. Yusuf, 38 yang mempunyai latar belakang sebagai seorang kontraktor.

Yang istimewanya tembikai susu madu ILDAS ini memang menepati namanya.

Selepas merasai hirisan yang dibekalkan penulis merasai tembikai susu madu bagaikan dicelup air gula. "Kalau memang ada penyakit diabetes, tolong hati-hati sebab tembikai susu madu ILDAS amat manis.

"Jika sehiris untuk merasa mungkin boleh tetapi hati-hati jangan makan sehingga habis sebiji," katanya semasa ditemui di ladangnya bersebelahan bangunan ILDAS, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Ditanya mengapa terbabit dalam bidang pertanian setelah berjaya sebagai kontraktor binaan, dengan pantas dia menjawab.

"Saya menceburi bidang pertanian sebagai menyahut seruan kerajaan bagi menjadikan pertanian adalah perniagaan."

Mahiddin memulakan tanaman tembikai susu madu ILDAS dengan menyewa tanah terbiar seluas 39 hektar daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selama 25 tahun.

Pada mulanya tanah berkenaan mahu ditanam dengan kelapa sawit.

"Bagaimanapun kami mendapati tanah di sini iaitu tanah liat masin yang hampir dengan laut sangat sesuai ditanam dengan tembikai susu madu ILDAS," katanya yang juga mempunyai ladang ternakan lembu di Taman Agrotek Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Di atas tanah yang sama juga, Mahiddin menanam kelapa sawit yang diselang seli dengan pisang dan tembikai susu madu ILDAS.

Beliau yang membeli benih tembikai susu madu ILDAS itu dapat menuai hasilnya hanya selepas 65 hari ditanam.

"Pokok tembikai susu madu ILDAS amat mudah ditanam kerana tidak memerlukan junjung dan hanya menjalar di atas tanah.

"Malah penjagaannya tidak terlalu sukar. Hanya memerlukan baja dan semburan racun perosak apabila diperlukan," katanya.

Kini Mahiddin menanam tembikai itu atas tanah seluas 27 hektar dua bulan sebelum Ramadan secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya tembikai susu madu itu amat unik kerana hanya ditanam untuk pasaran semasa Ramadan dan Syawal dan tidak pada bulan-bulan lain.

Diminta berkongsi apakah faktor dia tidak menanamnya sepanjang tahun, Mahiddin menjawab, tanah perlu 'direhatkan' beberapa waktu sebelum ditanam semula.

"Saya perlu menjaga kualiti tembikai susu madu ILDAS dan jika saya menanam sepanjang tahun akan membiakkan dan merebakkan pelbagai jenis penyakit," katanya.

Sebiji buah tembikai susu madu ILDAS yang rasanya amat manis beratnya kira-kira 1.5 kilogram (kg) dengan harga RM2 hingga RM2.50 di ladang.

Dalam sehari ladangnya boleh mengeluarkan empat hingga lima tan tembikai susu madu ILDAS.

Buat masa ini ramai pembeli sekitar Sabak Bernam datang sendiri selain dibeli oleh peraih serta dijual sendiri di rumahnya di Sungai Besar.

Mahiddin berkata, permintaan terhadap tembikai susu madu amat menggalakkan sehinggakan pihaknya tidak dapat memenuhi semua permintaan.

Apa yang lebih membanggakan ladang tembikai susu madu ILDAS kini menjadi tempat pembelajaran belia-belia sekitar Sabak Bernam yang berminat untuk mendalami kaedah menanam tembikai susu madu ILDAS.

"Kini belia yang bekerja dengan saya sudah boleh menanam tembikai susu madu ILDAS sendiri dan mendapatkan pendapatan sendiri," katanya.

Perkara berkenaan disokong oleh Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah Sabak Bernam, Budiman Mohd. Zohdi bahawa kejayaan Mahiddin mengusahakan tanah terbiar itu mampu dijadikan contoh terutama oleh belia.

"Dia bukan sahaja berbudi kepada tanah tetapi juga memberi peluang pekerjaan kepada para belia di kawasan setempat," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perancangan akan datang. Mahiddin berkata, selepas tembikai susu madu itu habis dituai, beliau melepaskan itik telur sebagai agen kawalan perosak biologi di ladang sawitnya.

"Itik telur akan memakan segala serangga perosak seperti kumbang yang biasanya menyerang pokok-pokok sawit.

"Dalam masa yang sama, itik akan menghasilkan telur sementara sawit mengeluarkan hasil. "Jadi saya akan mendapatkan dua pendapatan pada satu bidang tanah yang diusahakan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan terus menanam tembikai susu madu itu di masa akan datang, Mahidin menjawab, dia akan berbuat demikian jika ada permintaan.

"Jika ada kawasan yang sesuai untuk tanaman tembikai susu madu ILDAS saya akan terus menanam untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah setiap kali Ramadan dan Syawal," katanya.

Rock Melon Kacuk

Tembikai susu golden dust yang bakal mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pengguna.

Kami sebenarnya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian malah pada peringkat permulaan kami tidak minat dengan pertanian.

"Tetapi apabila kami aktif membina struktur dan sistem fertigasi untuk usahawan serta melihat kertas kerja usahawan telah membuka mata kami," kata Pengarah Urusan Motif Maju Enterprise, Razali Mat Pol, 38.

Dia dan sahabatnya Yusman Musman, 36, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mula berjinak-jinak dengan pertanian fertigasi sejak awal tahun ini.

Sebelum ini dua sahabat tersebut hanya membina struktur dan sistem fertigasi untuk kegunaan usahawan pertanian yang berminat dengan teknologi tersebut.

"Jadi pelanggan kami terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan orang perseorangan yang amat berjaya dan telah mencatatkan keuntungan besar," katanya.

Dengan pengalaman yang ada dalam pembinaan struktur untuk tanaman fertigasi, mereka mula menceburkan diri dalam bidang pertanian.

"Jadi kami bina binaan fertigasi sendiri dan berbincang dengan pegawai penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang juga pakar dalam bidang fertigasi.

"Setelah mendapat khidmat nasihat mereka, pada permulaan kami menanam golden dust melon yang merupakan kacukan labu dan rock melon.

"Buah ini agak berbeza dengan rock melon kerana tempoh matang lebih awal berbanding dengan rock melon, bentuknya berjalur dan isinya berair dan manis," katanya.

Ditanya mengenai kos membuat struktur pelindung hujan bagi fertigasi, Razali berkata, ia bergantung kepada usahawan.

"Harga boleh jadi pelbagai mengikut bentuk dan saiz yang dikehendaki dengan kos bermula RM10,500 bagi ukuran 20 kaki lebar dan 100 kaki panjang," katanya.

Ketika mula menanam golden dust melon, Razali agak cuak apabila tiada pemborong yang berminat untuk membeli buah berkenaan.

"Mungkin bentuk yang ganjil, peraih takut untuk membelinya, bimbang tidak mendapat pasaran," katanya.

Cubaannya berhasil apabila pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersetuju menjual buah berkenaan.

"Selepas golden dust melon dipasarkan melalui FAMA dan mendapat permintaan pelanggan, barulah ramai pemborong mula bertanyakan mengenai golden dust melon," katanya dengan nada kesal.

Buah golden dust melon boleh mencapai berat sehingga 2.5 kilogram sebiji dengan purata 1.2 kg bergantung kepada baja dan agen pendebungaan yang digunakan. Justeru sebab itu Razali sengaja memelihara beberapa spesies semut bagi tujuan pendebungaan.

Yakin dengan fertigasi boleh membawa pulangan lumayan, Rosli percaya usahawan boleh mendapat kembali modal mereka dalam masa dua hingga tiga tahun.

Misalnya golden dust melon mengambil masa dua bulan sebelum dituai dan boleh ditanam empat kali setahun.

Ini dapat menjimatkan kos berbanding dengan rock melon biasa yang mengambil masa yang lama untuk dituai.

"Kini kami dalam proses memohon Sijil Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) bagi memudahkannya dijual di pasar raya besar dan dieksport," katanya.

Kini Razali dan Yusman bercadang menanam cili menggunakan teknik fertigasi di atas tanah seluas setengah ekar.

"Kami mahu usahawan tani melihat bagaimana mereka mengoptimumkan penggunaan sebidang tanah bagi meraih pendapatan lumayan," katanya.

Pada masa sama, dua sahabat tersebut i juga mengadakan kursus fertigasi dengan kerjasama penyelidik tempatan di mana peserta boleh menjalankan latihan praktikal secara hands-on di ladangnya.

Sunday, 4 September 2011

Rasa Manis Sebenar Nangka Madu

Francis Choy (kiri) bersama Adnan Lee melihat buah nangka madu yang baru dipetik dari ladangnya di Bidor, Perak.

Celup gula? Mana ada saya celup gula, nangka ini saya petik terus dari ladang. Kalau encik tidak percaya, ambil buah ini bawa ke makmal, uji jika saya ada letak gula.

"Saya memang belajar tidak tinggi encik, namun bagi saya berniaga biar jujur", ujar Uncle Jack sambil menahan marah.

Bersungguh-sungguh beliau bertegang urat menerangkan buah nangka yang dijualnya tidak pernah dicelup dalam air gula.

Itu antara pengalaman Uncle Jack apabila berhadapan dengan beberapa pelanggan yang meragui kemanisan buah nangka yang dijualnya suatu ketika dahulu.

Pengalaman selama 15 tahun menanam dan memasarkan nangka menjadikan Uncle Jack atau nama sebenarnya Francis Choy begitu 'masak' dengan reaksi sesetengah pelanggan yang terkejut dengan kemanisan isi buah nangka yang dijualnya.

Pertemuan bersama Francis dibawa oleh Pengarah Urusan MBG (Money Back Guarantee) Fruits Sdn. Bhd. (MBG), Adnan Lee yang juga merupakan antara salah sebuah syarikat pemborong serta penghantaran buah-buahan di sekitar Lembah Klang.

Jelas Francis yang memiliki syarikat MF Fresh Fruits & Agriculture Trading itu, jika sampai musim buah yang agak lebat beliau terpaksa memasang tongkat dan sokongan bagi membantu dahan pokok nangkanya menampung berat buah yang bergayutan.

Bercerita mengenai sejarah penanaman nangka madu tersebut, Francis mengimbau kenangan 15 tahun dahulu apabila beliau dan seorang lagi rakan perniagaannya terpaksa ke Kedah untuk mencari baka nangka madu terbaik di sana.

"Kita jumpa baka nangka ini di Alor Setar dan kita bawa balik ke sini (Bidor). Kemudian kita cuba buat pengklonan dengan baka sedia ada.

"Agak lama juga saya buat ujian sendiri akhirnya kami menemui baka baru nangka madu yang dikenali sebagai J33 dan digunakan sehingga hari ini," katanya.

Malah, Francis berkata, bapa beliau merupakan seorang pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Dia sendiri hampir 30 tahun terbabit dalam bidang pertanian.

"Saya tidak memiliki pembelajaran secara formal dalam bidang pertanian. Semua yang saya pelajari adalah daripada pengalaman bapa dan pengalaman saya sendiri ketika mengusahakan pelbagai tanaman," jelasnya.

Tambah Francis, sebelum menumpukan perhatian kepada penanaman nangka beliau pernah mengusahakan tanaman betik, tembikai dan pelbagai lagi.

Setiap jenis tanaman mempunyai perbezaan dalam cara menjaga dan penanaman. Sesetengahnya ditanam berdasarkan permintaan dan musim.

Bagi beliau, nangka merupakan antara tanaman yang kurang dikomersialkan secara besar-besaran. Malah hasil tuaiannya juga sentiasa tidak mencukupi bagi pasaran tempatan.

Ia menunjukkan penanaman nangka tidak diketengahkan oleh kebanyakkan petani menyebabkan bekalan buah tersebut agak berkurangan di pasaran.

Francis mengakui, terdapat juga petani menanam nangka namun untuk mencari penanam baka nangka madu sepertinya adalah sukar.

Ujarnya, menjaga pokok nangka sama seperti menjaga diri sendiri. Petani perlu mengetahui keperluan serta cara menjaga pokok dengan betul.

Memiliki hampir 600 pokok dalam kawasan seluas 10 ekar membolehkan ladang beliau di Bidor, Perak mengeluarkan 10 hingga 15 tan buah nangka bagi setiap ekar dalam setahun.

Selain di Bidor, Francis turut memiliki ladang nangka di sekitar Rawang, Selangor.

Terdapat 70 hingga 80 biji bagi satu tan. Sebiji buah nangka seberat 10 hingga 15 kilogram (kg). Setiap pokok nangka mampu mengeluarkan buah 10 hingga 12 biji pada satu-satu masa.

Menurut Francis, buah yang terlalu banyak pada sepohon pokok akan mengurangkan kualiti rasa, berat, saiz dan ketebalan isi nangka.

"Semuanya memainkan peranan, justeru berat yang ideal bagi sebiji buah nangka adalah 10 hingga 15 kg. Kadang-kala berat buah juga mampu mencecah 42 kg sebiji," tambahnya.

Untuk mendapatkan hasil sedemikian, pemangkasan dahan serta daun perlu kerap dilakukan. Malah putik yang berlebihan juga akan dibuang.

Pokok nangka akan mengeluarkan putik yang banyak. Justeru, hanya 10 hingga 12 biji putik yang berpotensi menjadi buah yang baik akan ditinggalkan. Selebihnya akan dibuang dari pokok.

Jelas Francis, pokok yang kekurangan daun dan memiliki buah yang sedikit akan menghasilkan buah yang lebih cantik, manis, berisi tebal serta berkualiti tinggi.

Ia berikutan tumpuan pembekalan nutrisi pokok lebih kepada proses pembesaran buah tidak kepada daun semata-mata.

Francis menggunakan najis ayam sebagai baja dan sedikit racun serangga untuk melindungi kulit buah nangka daripada serangan haiwan perosak tersebut.

Namun, jelasnya, serangga bukanlah musuh utama bagi nangka. Justeru penggunaan bahan tersebut di ladangnya amat kurang di samping kos bagi penggunaan racun serangga juga amat tinggi.

Musuh utama ladang nangka milik Francis adalah terdiri daripada monyet dan babi hutan kerana keadaan pokoknya yang rendah, rendang dan kadang-kala boleh mencecah sehingga ke tanah.

Penyakit karat buah juga merupakan antara penyakit yang sering menyerang isi nangka. Namun, ia dapat diatasi dengan proses penjagaan pokok secara betul.

Kini sebahagian besar buah nangka beliau diedarkan MBG yang siap dibungkus. MBG yang memiliki 16 buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk satu di Melaka turut memiliki cawangan di The Gardens, Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade dan The Curve.

Di samping membekalkan buah nangka kepada MBG, Francis turut menjual buah tersebut di restoran dan pasar buah-buahan. Namun, bekalan tidak pernah mencukupi berikutan permintaan yang tinggi.

Bagi yang berminat untuk terjun dalam bidang pertanian terutamanya penanaman nangka madu, nasihat Francis, jangan cepat berputus asa dan cari ilmu berkenaan tanaman nangka secukupnya.

''Perniagaan bukanlah suatu perkara yang boleh di bina dalam masa yang singkat. Ia memerlukan ketabahan, minat yang mendalam serta kecekalan di samping usaha yang berterusan," ujarnya.

Selain membekalkan buah nangka, Francis turut menyediakan khidmat nasihat dan rundingan dalam bidang penanaman nangka.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tunjuk ajar atau perkhidmatan nasihat daripada beliau anda boleh menghubungi Francis di talian 016-222 3246 atau 012-223 3246.