Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday 28 October 2012

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Johor Bahru 22 Oktober - Sebanyak 198,870 orang telah mendapatkan khidmat pengurusan kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sejak ia mula ditubuhkan pada 2006 hingga bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koid Swee Lian berkata, daripada jumlah itu, seramai 81,596 orang telah dibantu oleh agensi berkenaan menerusi Program Pengurusan Kredit.

Berdasarkan statistik yang dikumpul, masalah penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi masih menjadi faktor utama kegagalan individu membayar balik pinjaman.

Justeru, Program Pengurusan Kredit ini membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup, sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar dan berlakunya rampasan rumah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Swee Lian berkata, antara faktor kegagalan peminjam membayar balik pinjaman termasuk disebabkan perancangan kewangan yang lemah, berbelanja melampaui kemampuan, kegagalan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan masalah kesihatan.

Menurutnya, agensi berkenaan turut menawarkan Program Pendidikan Kewangan bertujuan memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak dan pada masa sama menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten dan teratur.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat AKPK boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2575 atau melayari laman web www.akpk.org.my.

Saturday 27 October 2012

27 Syarikat disiasat BNM


Kuala Lumpur 23 Oktober - Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyiasat 27 individu dan syarikat yang menjalankan skim kewangan haram yang menggunakan emas.

BNM dalam kenyataannya menyatakan, tujuan serbuan dan siasatan ke atas individu dan syarikat berkenaan adalah bagi melindungi kepentingan para pelabur daripada melabur lebih banyak wang dalam skim yang berisiko dan untuk melindungi kepentingan orang ramai.

Syarikat terbabit disyaki melakukan kesalahan, termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

Syarikat-syarikat tersebut dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama selain menjanjikan pelabur pulangan bulanan yang lumayan dan jaminan belian balik emas.

Skim tersebut bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang yang baharu dilaburkan dalam skim ini," menurut kenyataan berkenaan.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat berkenaan biasanya tidak sepadan dengan jumlah yang dikumpulkan daripada para pelabur.

Menurut BNM, serbuan perlu dibuat segera untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti serta menghalang aset daripada lesap.

Aset yang dirampas semasa serbuan dibuat akan didokumenkan dengan teliti dan diambil kira serta disimpan di tempat yang selamat.

Sekiranya terdapat prosiding jenayah, aset tersebut hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah selepas prosiding perbicaraan selesai.

BNM dalam kenyataannya juga menasihatkan orang ramai agar mengambil perhatian terhadap perkara-perkara tersebut sebelum melabur.
  • Sekiranya skim itu kelihatan terlalu indah, kemungkinan besar ia skim palsu.
  • Waspada dengan skim Ponzi, iaitu pengendali akan mengambil wang pelaburan pelabur baharu untuk membayar dividen kepada pelabur awal.
  • Berurusan hanya dengan skim kewangan berlesen.
  • Rujuk kepada pihak berkuasa.
  • Jangan terburu-buru melabur.
  • Berhati-hati dengan pelaburan di Internet.
  • Waspada dengan apa-apa peluang pelaburan tidak bertulis.
  • Simpan segala dokumen pelaburan (jika pelaburan telah dibuat).
  • Rujuk laman web BNM mengenai amaran penipuan (www.bnm.gov.my).

Thursday 25 October 2012

Astro kembali ke Bursa Malaysia


Kuala Lumpur 19 Oktober - Penyenaraian Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) di Bursa Malaysia hari ini, meningkatkan modal pasaran bursa tempatan sebanyak RM15.6 bilion.

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM3.00 sesaham syarikat pengendali siaran TV berbayar itu.

Pengerusinya, Tun Zaki Tun Azmi berkata, IPO Astro telah mendapat permintaan yang tinggi daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.

"Kami menyaksikan minat yang tinggi terhadap saham-saham syarikat daripada pelabur-pelabur terpilih seperti Permodalan Nasional Bhd., Great Eastern, Nomura dan sebagainya.

"Ini mencerminkan keyakinan serta kepercayaan para pelabur terhadap Astro dan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan," katanya ketika berucap di majlis penyenaraian Astro di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Timbalan Pengerusi Eksekutif Astro Malaysia, Ralph Marshall, Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan.

Sementara itu, Rohana berkata, Astro akan terus melabur dalam teknologi terkini termasuk kandungan dan modal insan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Dalam usaha mengekalkan komitmen kami sebagai pemain utama utama dalam industri hiburan media, Astro akan menjadi lebih inovatif," jelasnya.

Terdahulu, ketika urus niaga pasaran saham dibuka, saham Astro diniagakan pada harga RM3.03 sesaham naik tiga sen berbanding harga tawaran sebanyak RM3.00. Lebih 20.19 juta saham bertukar tangan.

Saham Astro petang ini ditutup urus niaganya di paras harga RM3.00 sesaham.

Penyenaraian hari ini merupakan kali kedua oleh Astro memasuki pasaran saham tempatan selepas berbuat demikian pada tahun 2003, sebelum beralih menjadi syarikat persendirian pada tahun 2010 dengan harga sahamnya berada pada paras RM4.30 sesaham atau bernilai RM8.3 bilion.

Jumlah dana yang dikumpul daripada IPO adalah RM4.6 bilion.

IPO Astro merupakan terbitan ketujuh terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Malaysia serta Asia Tenggara selepas Felda Global Ventures Holdings Bhd. dan IHH Healthcare Bhd.

CIMB Investment Bank Bhd. merupakan pengurus transaksi dan Maybank Investment Bank Bhd. serta RHB Investment Bank Bhd. penasihat prinsipal bersama kepada Astro untuk IPO itu.

Saturday 20 October 2012

PUNB tidak mohon Pinjaman

Kuala Lumpur 16 Oktober - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tidak akan memohon pinjaman atau dana daripada kerajaan mulai tahun ini.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, PUNB kini mempunyai aset bernilai lebih RM1.5 bilion dan berupaya menggunakan sumber tersebut untuk terus berdaya saing dan mencatat keuntungan.

“Semenjak 1992, PUNB telah menerima pinjaman sejumlah RM800 juta dan kami akan membayar balik pinjaman-pinjaman itu kepada kerajaan secara berperingkat hingga tahun 2028.

“PUNB tidak patut bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Selepas saya mengambil alih jawatan pengerusi, saya fikir PUNB boleh menggunakan sumber yang ada," katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Cabaran Pelan Perniagaan PUNB 2012 di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, bagaimanapun, pihaknya masih terbuka untuk menerima geran daripada kerajaan bagi tujuan dan inisiatif khas dalam usaha meningkatkan tahap keusahawanan Bumiputera di negara ini.

“Semenjak penubuhannya, PUNB telah memberikan pinjaman bagi membantu lebih 3,000 perniagaan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, jelas beliau, PUNB menjangka meningkat pengagihan pinjaman kira-kira 50 juta kepada RM250 juta tahun depan berbanding sasaran RM200 juta untuk tahun ini.

Khairy berkata, peningkatan itu sejajar dengan pembukaan beberapa pejabat-pejabat baharu perbadanan tersebut di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Bagi tahun ini, PUNB telah mengagihkan pinjaman bernilai RM117 juta. Jumlah itu dilihat sedikit berbanding sasaran pinjaman kita iaitu RM200 juta.

“Namun saya yakin kita boleh mencapai sasaran RM200 juta sehingga hujung tahun ini dan PUNB juga kini akan mencari syarikat yang memerlukan bantuan kewangan," katanya.

Jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu lagi, dana pembiayaan PUNB disalurkan menerusi empat skim iaitu Skim PROSPER Runcit, Skim PROSPER Borong, Skim Usahawan Kecil dan Sederhana dan Skim PROSPER Graduan dengan tawaran pembiayaan antara RM5,000 dan RM5 juta.

Khairy menambah, PUNB akan menganjurkan Cabaran Pelan Perniagaan PUNB 2012, yang bertujuan mendedahkan orang ramai mengenai pinjaman dan dana PUNB .

Katanya, pertandingan itu yang dibuka sejak September lalu hingga 30 November ini menawarkan dua kategori iaitu pelajar dan umum dengan peluang memenangi wang tunai RM170,000.

Friday 5 October 2012

Facebook catat Satu Bilion Pengguna


New York 4 Oktober - Laman sosial Facebook hari ini mempunyai lebih satu bilion pengguna, sekali gus mencatat sejarah bagi rangkaian sosial terbesar dunia itu.

Pengasasnya, Mark Zuckerberg yang mengumumkan perkara itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian yang luar biasa.

"Saya sangat berterima kasih kepada anda semua kerana memberi peluang kepada saya dan pasukan kecil saya untuk berkhidmat dengan anda.

"Membantu menghubungkan satu bilion orang merupakan perkara yang hebat dan membanggakan dalam hidup saya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam wawancara bersama program NBC Today, Zuckerberg berkata, pencapaian Facebook itu sukar dipercayai.

"Untuk terus bekerja pada setiap hari dan membina sesuatu yang boleh membantu menghubungkan satu bilion orang adalah perkara yang sukar dipercayai," katanya.

Menurut kenyataan beliau, angka satu bilion pengguna aktif Facebook setiap bulan itu dicapai pada 14 September lalu pada pukul 12.45 tengah malam (3.45 petang waktu Malaysia), termasuk 600 juta pengguna yang melayari laman sosial itu menggunakan telefon bimbit.

Jun lalu, Facebook mempunyai 955 juta pengguna termasuk 543 juta pengguna telefon bimbit yang melayari laman sosial tersebut.

Lima negara paling banyak menggunakan Facebook ialah Brazil, India, Indonesia, Mexico dan Amerika Syarikat. - AFP