Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Friday 2 September 2011

Ladang Lembu Tenusu Terbesar Asia Tenggara

Kawasan mesin perahan susu di Ladang Chokchai boleh memuatkan sebanyak 48 ekor lembu pada satu-satu masa.

Terletak di daerah Pak Chong, Nokhon Ratchasima di Bangkok, Ladang Chokchai merupakan ladang ternakan lembu tenusu yang memang terkenal di Thailand.

Selain aktiviti tenusu, ladang tersebut turut memberi fokus kepada aktiviti lain seperti penternakan lembu daging, agro pelancongan dan juga perniagaan restoran stik.

Malah, ladang yang berkeluasan 4,800 hektar itu merupakan ladang lembu tenusu terbesar di Asia Tenggara.

Ia bermula pada tahun 1957 sebagai ladang sayur-sayuran yang diusahakan oleh pengasasnya bernama Chockchai.

Menjelang 1965, Chockchai cuba melibatkan diri dalam penternakan lembu daging sehingga berjaya menternak 10,000 ekor.

Tahun 1978 Ladang Chokchai memulakan aktiviti penghasilan produk tenusu yang menerima permintaan tinggi selain aktiviti pembiakan lembu baka.

Pada tahun 1985, ladang tersebut berjaya mengeluarkan produk susu segar berpastur di bawah penjenamaan Farm Chockchai sebelum memperkenalkan susu berjenama ‘Umm!...Milk’ pula pada tahun 2002.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Phnich Jarikpakon, ladangnya mempunyai empat mesin pengumpulan susu di mana setiap satunya mempunyai 48 unit perahan.

“Proses perahan susu lembu di sini dibahagikan kepada dua kaedah iaitu secara manual dan juga menggunakan mesin.

“Walaupun ladang ini mengamalkan sistem perahan berkomputer bersama rakaman data, namun para petugas tetap diajar dengan teknik manual.

“Ini kerana, untuk perahan kali pertama, ia akan dijalankan secara manual bagi tujuan menguji dan menentukan kualiti susu,’’ katanya ketika di temui di ladangnya baru-baru ini.

Disebabkan lembu-lembu di ladang tersebut sangat produktif, aktiviti perahan susu dilakukan tiga kali sehari iaitu pukul 4 pagi, 2 petang dan 9 malam di mana waktu pagi memberi hasil yang paling banyak.

Untuk satu sesi perahan, ia akan melibatkan 192 ekor lembu pada satu-satu masa.

Bercerita mengenai prosesnya, Jarikpakon memberitahu, lembu-lembu akan dimandi dan dibersihkan untuk mengurangkan haba badan sebelum dibawa ke kawasan perahan.

Kemudian, bahagian puting lembu akan dicuci dengan cecair khas bagi memastikan kebersihan susu yang akan dikeluarkan.

Selepas itu, para petugas akan menjalankan kerja-kerja memerah secara manual menggunakan tangan bagi mendapatkan sampel susu untuk diuji.

Jika semuanya berada dalam keadaan baik, proses perahan akan diteruskan menggunakan mesin.

Satu unit mesin perahan biasanya dilengkapi komponen seperti cawan puting, hos susu, mesin penyedut, pengacau susu, hos vakum dan meter susu.

Bagi melaksanakan proses perahan, cawan kecil akan dilekapkan pada puting lembu sebelum motor dihidupkan untuk menyedut susu.

“Susu yang telah disedut kemudiannya akan melalui meter kawalan susu menerusi saluran kaca dan akhirnya terkumpul di pusat pengumpulan.

“Untuk setiap proses ini, ia biasanya akan mengambil masa selama tujuh minit. “Proses pemindahan susu menggunakan saluran tertutup ini mempunyai kelebihan daripada segi kualiti, kebersihan dan mengelakkan jangkitan bakteria,’’ jelasnya.

Bagi meningkatkan kualiti produk tenusu pula, Jarikpakon memberitahu, Ladang Chokchai ada bekerjasama dengan beberapa universiti dan organisasi penyelidikan di Thailand.

Sehingga kini, ladang berkenaan telah menghasilkan lima produk tenusu menggunakan penjenamaan Chokchai.

No comments:

Post a Comment