Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Monday, 5 September 2011

Tanam Kacang Buncis Organik

Penanaman kacang buncis perlu diperbanyakkan bagi menambah jenis sayuran di pasaran tempatan.

Kacang buncis (french bean) mula ditemui di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Tanaman dengan nama saintifik Phaseolus vulgaris ini tergolong dalam keluarga leguminosae dan ia merupakan sejenis kekacang yang rangup dan manis.

Kacang buncis yang biasa di tanam di negara ini adalah yang berwarna hijau muda, namun ia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis yang berbeza warna seperti warna kuning (yellow wax bean), merah (borlotto firetongue) dan ungu gelap (purple wax bean). Kebanyakan mudah didapati di negara luar.

Buncis mengandungi kadar protein dan vitamin tinggi. Ia boleh membantu menurunkan tekanan darah dan mengawal metabolisme gula dalam darah.

Amalan memakan kacang buncis seminggu dua kali sangat sesuai bagi mereka yang menghidapi penyakit kencing manis atau darah tinggi. Kacang ini juga dapat membantu mengatasi masalah kegemukan.

Ujian makmal menunjukkan kacang ini mengandungi serat dan enzim yang boleh membantu menurunkan berat badan secara semulajadi.

Penyediaan kawasan
  • Kacang buncis sesuai ditanam di kawasan yang bersaliran baik, tanah mineral, dan pH tanah antara 5.5 dan 6.5
  • Buat batas berukuran satu meter (m) lebar dan panjang mengikut keluasan kawasan. Gaul dan gemburkan batas bersama kompos dan baja organik (tahi ayam).
  • Jarak penanaman yang disyorkan ialah 50 hingga -60 sentimeter (sm) antara pokok dan antara baris.
  • Kayu junjung lima hingga 6.5 kaki (tinggi) dan trilles perlu disediakan juga kerana kacang buncis adalah tanaman jenis memanjat.
  • Batas sebaiknya ditutup dengan plastik silver shine , daun kering atau jerami padi untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah.
Penanaman
  • Penanaman boleh dibuat melalui biji benih.
  • Dua kaedah penanaman sama ada semaian atau tanam terus.
  • Biji benih yang disemai akan mula bercambah pada hari ke dua selepas ditanam, dan boleh mula dipindahkan ke batas pada hari ke lapan hingga kesepuluh.
  • Bagi kaedah tanam terus, dua atau tiga biji benih akan ditanam dalam satu lubang. Pada hari kelapan, jika terdapat lebih daripada satu anak pokok yang tumbuh penjarangan perlu dilakukan.
  • Tinggalkan satu sahaja anak pokok yang paling sihat dalam setiap lubang tanaman.
Pengairan
  • Pengairan perlu diberi dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan. Sebaiknya, sumber air yang digunakan adalah air yang bersih tanpa klorin.
  • Cara pengairan bergantung pada pengusaha sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis.
Pembajaan
  • Pembajaan kali pertama akan diberikan pada minggu kedua selepas menanam dengan kadar 50 gram per pokok.
  • Baja kali kedua, pada minggu keempat sebanyak antara 50g dan 80g per pokok.
  • Baja kali ketiga, pada minggu ketujuh sebanyak 80g hingga 100g per pokok.
  • Baja yang digunakan mestilah baja organik sama ada baja yang dibeli atau baja buatan sendiri.
  • Jika baja dari kilang, ikut kadar yang telah disyorkan. Ini kerana ada sesetengah baja dalam bentuk larutan pekat dan perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum digunakan.
  • Bagi yang membuat baja organik sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali untuk pertumbuhan pokok yang baik.
Kawalan rumpai
  • Sungkupan boleh dibuat menggunakan plastik agrosheet, jerami padi atau daun-daun kering bergantung pada kemampuan anda.
  • Seminggu sekali rumpai perlu dibuang. Ini kerana rumpai adalah musuh utama tanaman dalam persaingan untuk mendapatkan nutrien, ruang dan cahaya matahari. Selain itu, rumpai boleh menjadi tempat pembiakan serangga perosak jika dibiarkan tanpa kawalan.
  • Kerja merumpai boleh dilakukan di sekeliling pokok dan mesin rumput di luar batas tanaman.
Kawalan perosak, penyakit
  • Bagi kacang buncis, serangan ulat Maruca testulalis dan lalat buah adalah masalah utama. Sembur racun organik buatan sendiri atau yang dibeli bermula pada minggu kelima selepas menanam.
  • Campuran akar tuba, cili padi dan bawang putih yang dikisar halus bersama 200ml air adalah racun organik yang boleh mengawal perosak tersebut. Buat pencairan 100ml racun ditambah dalam 15 liter air bersih dan disembur pada tanaman.
  • Sembur racun seminggu sekali/bergantung pada tahap serangan. Pemantauan yang teliti dan kerap sangat penting untuk mengawal serangan perosak dan penyakit.
  • Penyakit antraknos, mozek virus dan kulapuk berdebu adalah penyakit popular kacang buncis.
  • Semburan campuran satu liter susu dengan 10 liter dapat mengurangkan masalah penyakit antraknos.
  • Campuran rizom kunyit, daun semambu dan daun bunga Marigold yang dikisar halus dan ditambah 100 (g) belerang (dilarutkan dalam 15 liter air) boleh mengurangkan masalah penyakit kulapuk berdebu dan mozek.
Penuaian
  • Hasil boleh mula dituai selepas enam tujuh minggu ditanam.
  • Kutip hasil setiap dua tiga kali hari sekali. Pengeluaran hasil akan berterusan selama sebulan, bergantung pada kesuburan pokok.

No comments:

Post a Comment