Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Wednesday 24 August 2011

Fungsi OPR dan BLR dalam Sistem Perbankan

Bank Negara Malaysia diramal menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali lagi pada tahun ini dengan alasan membendung inflasi. Saya ingin bertanya adakah benar perbankan Islam mempunyai had kenaikan tertinggi dalam asas asas pembiayaan (BLR) berbanding perbankan konvensional jika kenaikan OPR terus berlaku.

Jawapan.

Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan keberkesanan mekanisme transmisi dasar wang dan juga untuk menggalakkan penetapan harga yang lebih cekap oleh institusi perbankan, iaitu, bank Islam dan juga bank konvensional.

Memandangkan industri perbankan Islam beroperasi dalam sistem dwiperbankan dan tidak mempunyai kadar penanda aras tersendiri, ia tetap menggunakan BLR sebagai kadar penanda aras, yang dikenali sebagai Kadar Pembiayaan Asas atau Islam, atau singkatan Inggeris “BFR” atau “IFR”.

Dari sudut pembiayaan Islam, memang terdapat kadar tertinggi bagi produk pembiayaan Islam Bai Bithaman Ajil (BBA), yang disusun menggunakan kaedah campuran, iaitu membabitkan kadar tetap dan terapung.

Dalam keadaan ini, bank akan menggunakan kadar had yang tinggi untuk mengira harga jualan manakala pelanggan diminta membayar mengikut kadar pasaran.

Jika terdapat peningkatan/pengurangan dalam BFR, ansuran pelanggan akan berubah dengan sewajarnya. Bagaimanapun, ansuran tidak boleh melebihi kadar had yang ditetapkan.

Dalam suasana BLR yang rendah, pembiayaan Islam nampak seperti lebih mahal daripada pinjaman biasa, terutamanya apabila kadar had/siling tinggi digunakan untuk mengira ansuran.

Oleh yang demikian, sesetengah bank Islam telah bertukar daripada instrumen kadar tetap, iaitu produk BBA, kepada pembiayaan berasaskan sewa (pajakan) seperti yang ditawarkan oleh OCBC Al- Amin.

Dalam struktur Ijarah ini, kos pembiayaan adalah berasaskan kadar sewa yang fleksibel dan tidak tetap seperti kadar BBA. Kadar sewa boleh diubah dari masa ke masa untuk mencerminkan keadaan pasaran.

Justeru, bank Islam berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengurangkan risiko kadar faedah berbanding keupayaannya berbuat demikian di bawah sistem kadar tetap BBA.

Ini membolehkan bank Islam bersaing dengan bank konvensional, terutamanya dalam suasana kadar faedah rendah. Dalam struktur ini, tiada kadar siling kerana ansuran berubah-ubah berasaskan pergerakan BLR/BFR.

Keadaan ini saling menguntungkan bank dan juga pelanggan, khususnya mereka yang suka membandingkan kadar dalam suasana kadar faedah rendah, manakala bank dapat menguruskan kos dan bersaing dengan produk pinjaman konvensional.

Memandangkan kedua-dua struktur mempunyai ciri kelebihan yang tersendiri, kelemahan struktur pajakan ini ialah ia mungkin dilihat seolah-olah ‘agak sama’ dengan produk biasa walaupun mengekalkan cirinya sebagai produk yang patuh Syariah.

No comments:

Post a Comment