Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Wednesday 26 October 2011

Industri Roti Jerman

Kuala Lumpur 23 Okt - Perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Jerman dijangka tidak terjejas walaupun negara tersebut terletak di zon Eropah yang sedang hebat dilanda krisis ketika ini.

Pengurus Besar Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, Thomas Brandt berkata, persekitaran ekonomi Jerman masih baik dan merupakan salah satu negara di Eropah yang masih stabil walaupun berdepan dengan situasi sukar ketika ini.

" Saya tidak ada mempunyai statistik yang lengkap namun ekonomi Jerman masih lagi tumbuh dan kami masih lagi mengeluarkan peralatan-peralatan baharu yang berteknologi tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas sama ada angka perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara akan merosot disebabkan oleh krisis ekonomi global ketika ini.

Perdagangan dua hala di antara Malaysia-Jerman berjumlah AS$12 bilion (RM37.2 bilion) pada tahun lalu dengan eksport ke negara tersebut adalah AS$5.4 bilion (RM16.74 bilion) ataupun 25.3 peratus daripada eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU).

Ia sekali gus menjadikan Jerman sebagai pasaran eksport kedua terbesar di EU.

Jerman juga adalah sumber import terbesar Malaysia di kalangan negara anggota EU dengan nilai AS$6.6 bilion (RM20.46 bilion) atau 39.4 peratus daripada keseluruhan import.

Tahun lalu, syarikat-syarikat Jerman telah melabur AS$5.2 bilion (RM16.12 bilion ) bagi melaksanakan 339 projek terutama di dalam elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, petroleum dan produk petroleum, produk asas besi, jentera dan peralatan.

Menurut Brandt, selain itu, kerjasama kedua-dua negara turut meneroka pasaran teknologi hijau dan terbaru adalah pembuatan roti.

"Jerman terkenal dengan penghasilan peralatan dan jentera yang canggih termasuklah mesin pembuat roti, jadi kami menjemput usahawan-usahawan Malaysia untuk melihat sendiri dan belajar mengenainya," ujar beliau lagi.

Tambah Brandt, usahawan tempatan perlu lebih banyak ke luar negara untuk mencari peluang perniagaan, mendapatkan idea-idea baharu dan belajar mengenai teknologi terkini untuk digunakan di Malaysia berbanding mengambil sikap menanti peluang tersebut datang kepada mereka.

Malah Brandt turut menjemput usahawan-usahawan Malaysia terutama yang terlibat di dalam pembuatan roti dan bakeri supaya menghadiri pameran perdagangan antarabangsa untuk roti dan kek, IBA 2012 di Munich, Jerman September tahun depan.

Menurut beliau, perkembangan positif industri itu di Malaysia seharusnya menjadi pendorong kepada pengusaha tempatan untuk menambah pengetahuan dan memperolehi idea yang lebih baik serta unik bagi mengukuhkan lagi pertumbuhannya.

"Mereka boleh belajar daripada Jerman kerana industri roti dan kek di sana sudah maju dan menggunakan peralatan terkini yang mampu meningkatkan kapasiti serta dijamin lebih bersih," katanya.

Tahun lalu, industri bakeri Jerman merekod keseluruhan jualan sebanyak 12.93 bilion euro (RM55.46 bilion) dengan 14,594 perniagaan di samping menyediakan 293,300 pekerjaan.

No comments:

Post a Comment