Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Tuesday 25 October 2011

Tanam Kacang Botor

Kacang botor boleh ditanam di pelbagai jenis tanah tetapi elakkan di tanah yang berair.

Kacang Botor (Psophocarpus tetragonolobus) atau kacang kelisa adalah sayuran kekacang yang menjadi kegemaran orang ramai.

Ia adalah pokok memanjat secara melilit sepanjang di antara tiga dan lima meter (m), akarnya banyak dan tumbuh pada permukaan tanah.

Lenggai bergaris bentuk oblong, antara 16 dan 36 sm panjang, 2.5 hingga 3.5 sm lebar. Semasa muda, lenggai berwarna hijau muda dan bertukar perang bila masak.

Kacang botor dipercayai berasal dari Papua New Giunea dan Asia Tenggara. Ia memerlukan pancang atau junjung untuk memanjat.

Ia selalu ditanam di kebun sayur atau di tepi pagar rumah. Kacang botor merupakan sayuran tradisional, lenggai muda, pucuk , bunga, ubi dan bijinya boleh dimakan.

Bijinya diproses menjadi tempe atau taufu. Daun dibuat dan diguna sebagai ubat pencuci mata yang bengkak, bisul dan kudis, daun yang direbus boleh merawat penyakit vertigo.

Penyediaan tanah

Kacang botor boleh ditanam di pelbagai jenis tanah, elakkan menanam di tanah yang berair.
Tanah yang gembur, subur dan pH antara 5.5 dan 6.5 adalah yang paling sesuai.

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 20 hingga 30 sm bagi memudahkan pertumbuhan akar yang baik.
Batas disediakan berukuran satu hingga 1.2 meter lebar dan panjang mengikut kesesuaian kawasan.

Penanaman

Jarak tanaman ialah 60 sm antara pokok dan jarak antara barisan ialah antara 60 hingga 100 sm. Biji benih boleh ditanam terus ke ladang, gali lubang sedalam dua sm, masukkan satu atau dua biji benih dan dikambus semula.

Biji benih akan bercambah antara 10 dan 14 hari selepas penanaman. Anak benih yang tumbuh ditinggalkan satu pokok yang sihat pada setiap lubang selepas dua minggu penanaman.

Ini bertujuan tidak ada persaingan dalam mendapatkan ruang, air, cahaya, makanan pada tanaman.

Penyediaan junjung

Kacang botor memerlukan junjung, penyokong atau para untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.

Sistem yang boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap tiga meter, kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai.

Tali diguna bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu.

Pengairan

Tanaman disiram dua kali sehari di peringkat awal penanaman kerana anak pokok memerlukan air untuk membesar. Penyiraman secara manual atau menggunakan pengairan.

Pengawalan rumpai

Bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan.

Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman.

Pembajaan

Pembajaan asas dengan baja organik atau baja asli yang sudah reput digaulkan pada batas dengan kadar satu hingga tiga kg /meter persegi.

Baja yang disyorkan ialah 45 kg N:100 kg P2O5:100 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar antara 40 dan 50 g sepokok diselangkan setiap dua minggu, tambahan baja berikutnya boleh dibuat selepas tiga atau empat minggu disebabkan jangkamasa penuaian kacang botor yang panjang.

Kawalan perosak

Serangga yang biasa menyerang kacang botor ialah lalat kacang, pengorek kacang dan penyakit yang menyerang ialah karat dan virus mosaic.

Daun dan buah yang diserang perlu dimusnahkan, kebersihan kawasan dijaga, amalkan tanaman giliran dan sembur racun perosak jika perlu.

Pungutan hasil

Hasil buah boleh dikutip antara 10 dan 12 minggu selepas ditanam. Pilih buah yang hijau serta rapuh dan berukuran dia antara 15 dan 20 sm panjang.

Kutipan hasil dibuat dua atau tiga hari sekali untuk mengelakkan buah menjadi tua. Buah yang tua akan berserabut dan tidak sedap dimakan.

Pokok yang subur menghasilkan 10 hingga 12 biji buah sepokok sekali petik selang sehari. Hasil purata buah yang boleh diperolehi anggaran 4000 hingga 5000 kg/0.4 hektar.

No comments:

Post a Comment