Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Friday 15 July 2011

Moral Kebebasan Umpan Konspirasi

Melihat kepada riuh-rendah sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang beramai-ramai turun ke jalan raya menuntut kebebasan dan ketelusan telah membawa saya membuka kembali kitab-kitab lama yang pernah saya telaah terutamanya semasa saya diarah oleh negara mengetuai sebuah agensi kerajaan di Jabatan Perdana Menteri suatu masa dulu.

Bezanya, kalau dahulu saya telaah sampai tidak tidur malam untuk tujuan melaksanakan tugas di jabatan saya tetapi sekarang sebagai pesara awam yang tiada lagi peranan sedemikian, saya hanya telaah sebagai pemerhati dan memuaskan naluri akademik sahaja.

Antara bahan-bahan yang saya baca semula termasuklah buku kecil tentang ‘Seni Perang’ yang ditulis orang timur, terbaru pula ‘Strategi Lautan Biru’, tulisan gabungan Timur dan Barat serta ‘Protokol Orang Tua-Tua Bijak Zion’ yang tidak diketahui siapa penulisnya.

Yang saya ingin kongsi kali ini ialah mengenai Protokol. Walaupun Protokol ini dituduh telah dicipta oleh Hitler bagi menyemai kebencian terhadap keturunan Zion, tetapi banyak pihak yang melihat ada kebenaran dari segi perkembangan dunia seterusnya.

Sehingga ada rujukan yang mencadangkan supaya Protokol ini dijadikan bacaan wajib bagi mereka yang ingin memahami mengapa dunia sekarang sedang jelas menuju kepada One World Government, yang dikawal oleh tangan yang tidak kelihatan.

Dengan tidak menujukkan bahawa Protokol ini hasil konspirasi golongan Zion, saya hanya melihatnya sebagai sesuatu yang boleh dianuti oleh sesiapa sahaja yang berminat merancang menguasai dunia. Amat menarik membaca perkara 6, Protokol 1 yang menyebutkan bahawa ‘kebebasan itu bukan suatu fakta sebaliknya ia hanya suatu idea’.

Oleh itu sesiapa yang ingin menguasai dunia atau bahagian-bahagian mana masyarakat dunia hendaklah bijak menggunakan idea kebebasan itu sebagai umpan kepada sekumpulan rakyat massa menghancurkan sekumpulan rakyat massa yang lain.

Tugas itu dikatakan akan lebih mudah disempurnakan jika salah satu pihak sudah dijangkiti oleh idea yang dipanggil mereka sebagai ‘meliberalkan’ sesuatu. Amat mudah mengkucar-kacirkan kumpulan masyarakat yang ahli-ahlinya senantiasa hendakkan kuasa, bahkan jika boleh hendak menjadi diktator serta jarang pula ada yang mahu berkorban untuk kebajikan ramai.

Seperti kebebasan yang merupakan hanya suatu idea, demikian juga tentang hak. Ia hanya sesuatu permainan fikiran dan tidak dapat dibuktikan dengan apa-apa. Maksud sebenar hak itu tidak lain daripada desakan berbunyi ‘berikan aku apa yang aku hendak kerana aku telah membuktikan aku lebih kuat daripada engkau’.

Oleh sebab kebebasan dan hak itu adalah sesuatu yang abstrak, maka orang ramai akan sangat sulit membezakan pihak mana yang lebih benar apabila ada dua kumpulan yang sama kuat dan sama-sama mengatakan kumpulan mereka lebih memperjuangkan kebebasan dan hak berbanding dengan kumpulan yang dilawannya.

Dalam keadaan itu orang ramai akan jatuh ke dalam permainan konspirasi oleh sepihak yang hendak menjatuhkan yang berkuasa pada pihak yang lain. Dalam konspirasi itu kebebasan dan hak dibiarkan dalam keadaan abstrak melalui pelbagai medium yang paling hampir dengan orang ramai.

Antara medium konspirasi yang berkesan termasuklah isu penindasan kaum, isu tuntutan dan kehendak agama, kebebasan media massa, pembebasan gaya hidup, gangguan terhadap sempadan peribadi, intipan-intipan dan gangguan-gangguan terhadap kehidupan individu, kepentingan ekonomi, ujian persenjataan, eksploitasi kepercayaan tahyul dan sebagainya.

Tujuan utama konspirasi adalah untuk tidak membiarkan sesuatu masyarakat itu aman dan ada establishment yang mentadbir lama. Jika mereka dibiarkan mentadbir lama, mereka akan mempunyai kepandaian dan kreativiti sedangkan perancang ini mahu semua masyarakat bergantung pada penasihat-penasihat mereka yang telah dilatih untuk menguasai sesuatu masyarakat sasaran supaya patuh kepada kehendak pihak yang melantik penasihat itu.

Dalam konteks negara Malaysia, establishment yang sudah terlalu lama mentadbir hendaklah diganti kerana sudah ada tanda-tanda masyarakat Malaysia ingin berdikari daripada apa jua unsur penjajahan dari luar.

Contohnya, walau pun didesak oleh kuasa besar, Malaysia masih berani melewat-lewatkan keputusan menandatangani Perjanjian Dagangan Bebas dengan kuasa besar Amerika Syarikat.

Malaysia juga belum pasti akan melaksanakan undang-undang anti-trust bagi meliberalkan halangan perdagangan atau barrier to trade yang memberi perlindungan kepada usahawan-usahawan dan korporat tempatan.

Apabila diteliti isu-isu yang dipermainkan di Malaysia sekarang, hendak tidak hendak perasaan seperti mengesahkan apa yang terkandung di dalam Protokol itu. Tuntutan supaya kerajaan yang ada mesti diganti kerana telah terlalu lama memerintah, kerajaan yang ada ini diktator, kerajaan yang ada telah menyalahi tuntutan agama, tiadanya kebebasan hidup di bawah pentadbiran pihak berkuasa semasa dan yang lainnya seperti dijadikan tema utama dalam aktiviti hubungan awam pihak penentang.

Protokol juga menyebutkan supaya disemaikan pula perasaan rasa bersalah di kalangan ahli pihak yang memerintah. Dikatakan apabila ahli-ahli di kalangan yang memerintah mulai resah dan rasa bersalah terhadap apa yang mereka telah lakukan, di situlah bermulanya tanda kejatuhan mereka. Mereka akan saling salah-menyalahkan antara satu sama lain dalam kumpulan pemerintah.

Ada di kalangan ahli mereka yang akan menjadi belas kasihan, membelai dan memberi jalan kepada yang menentang mereka, sebaliknya yang menentang tidak akan sekali-kali membalas dengan balasan yang sama sehingga mereka dapat merampas kuasa itu.

Pihak yang menentang pula biasanya miskin dari segi sumber. Dalam keadaan miskin sumber, mereka akan sentiasa dahagakan penajaan tanpa mengira dari mana datangnya penajaan itu. Apa yang halal dan tidak halal bukan menjadi persoalan lagi kerana semuanya itu dinamakan sebagai kebijaksanaan siasah demi mencapai kebenaran dan kebaikan yang lebih agung.

Sebarang suara atau usaha yang menimbulkan soal suci atau tidak sucinya sumber tajaan akan diperkecil sebagai orang bodoh yang tidak mengerti kebijaksanaan siasah itu.

Selepas establishment dijatuhkan dan establishment yang baru ditabalkan nanti, tangan tidak kelihatan ini dikatakan akan tidak mempercayai establishment baru itu. Mereka akan pastikan adanya kepelbagaian aliran dalam establishment baru supaya kestabilan, musuh utama perancang ini, tidak akan wujud untuk tempoh yang lama.

Dalam keadaan tidak stabil itu kumpulan-kumpulan yang lemah itu akan sekali lagi memerlukan sumber kekuatan luar. Pada ketika itulah tangan tidak kelihatan ini akan menguasai sepenuhnya establishment baru itu. Kebebasan yang diimpikan itu akhirnya kekal sebagai suatu ilusi.

Benar atau tidak Protokol itu ditulis oleh kumpulan yang disebutkan tidaklah menjadi penting. Apa yang penting ialah jangan sampai terjadi kebebasan yang dituntut itu bukan kebebasan yang hakiki dan datang dari naluri suci rakyat tetapi ia datang dari naluri kapitalis antarabangsa yang akan menjadi pemerintah baru di Malaysia.

Lupakah kita kepada peristiwa menyaksikan seorang pemimpin negara jiran kita yang begitu besar, kaya dan kuat menandatangani perjanjian menyerahkan kuasa ekonomi negara merdeka dan berdaulat itu untuk diwarnakan oleh sebuah badan dunia yang tidak pernah diundi oleh rakyat negara itu?

Lupakah kita lupa kepada gambar ketua badan tidak demokratik dunia itu bercekak pinggang semasa penyerahan kuasa itu ditandatangani oleh ketua negara tersebut, mungkin dengan tangan terketar-ketar?

Negara ini bukan milik saya seorang. Masing-masing kita warnakanlah ia mengikut warna yang meyakinkan semua warganya.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za‘ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

No comments:

Post a Comment