Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Friday 8 July 2011

Pemimpin di Melaka Berbasikal setiap Khamis

Beberapa ketua jabatan menunggang basikal pada hari pertama pelaksanaan pemimpin kerajaan negeri dan ketua jabatan untuk ke tempat kerja di bangunan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Mulai 7hb Julai iaitu setiap hari Khamis, semua pemimpin di negeri termasuk Ketua Menteri akan berbasikal ke pejabat bagi mempraktikkan konsep Bandar Teknologi Hijau yang kini giat dilaksanakan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Khamis dipilih memandangkan pada hari tersebut merupakan Hari Bertemu Pelanggan berbanding Jumaat iaitu Hari Kebajikan.

Semua pemimpin termasuk ahli- ahli Exco kerajaan negeri, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan termasuk saya sendiri akan berbasikal ke pejabat setiap hari Khamis. ''Bagi wakil rakyat pula, mereka boleh berkayuh basikal ke Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan terus bertemu rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di sini, semalam.

Usaha itu, kata beliau, bersempena dengan sambutan Hari Berbasikal yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi mempergiatkan usaha memperkenalkan Melaka sebagai negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Ia juga, ujar beliau, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negeri ini secara keseluruhannya.

Kata Mohd. Ali, program itu juga bersempena rancangan pihaknya melancarkan penubuhan Kelab Basikal DUN, Sabtu ini, yang disertai kira-kira 2,500 peserta mewakili 28 kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) di negeri ini.

Program tersebut akan berlangsung di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Kawasan Dewan Undangan negeri (Japerun) Bukit Baru dan akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia terhadap perlaksanaan program pemimpin dan ketua jabatan berbasikal ke pejabat di Seri Negeri hari ini berjalan lancar dengan kesemua mereka berkumpul di Seri Bendahara seawal pukul 7 pagi.

Mereka kemudiannya bersama-sama Ketua Menteri menaiki basikal menuju ke bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Seri Negeri yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman Ketua Menteri di Seri Bendahara, Ayer Keroh.

No comments:

Post a Comment