Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Saturday 16 July 2011

CTOS Diperintah Bayar RM200K

 

Credit Tip Off Sdn. Bhd.

Kuala Lumpur 15 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan syarikat rujukan kredit, Credit Tip Off Sdn. Bhd. (CTOS) membayar ganti rugi RM200,000 kepada seorang bekas eksekutif kanan Petronas kerana memfitnahnya dengan menyalurkan maklumat kredit yang tidak tepat, kira-kira enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid turut memerintahkan jumlah ganti rugi itu dibayar dengan faedah lapan peratus mulai hari ini sehingga penyelesaian penuh kes tersebut.

Dalam penghakiman bertulis beliau, hakim menyatakan pemberian maklumat yang tidak tepat telah memberikan gambaran yang negatif ke atas seseorang individu sebagaimana berlaku ke atas plaintif, Shafie Abd. Rahman, 55.

''Pada pendapat mahkamah, defendan telah cuai. Mana-mana individu yang menjalankan perniagaan membabitkan individu lain dalam urusannya, lebih-lebih lagi tanpa kebenaran individu terbabit, sudah tentu mempunyai kewajipan untuk melaksanakan standard pengawasan serta kemahiran dalam urusannya agar tidak menjejaskan hak asasi orang lain,'' katanya.

Oleh yang demikian, selepas meneliti keterangan dan berdasarkan rumusan imbangan kebarangkalian, Hakim Siti Khadijah mendapati terdapat bukti mencukupi berlakunya fitnah dalam bentuk siaran terhadap plaintif.

Shafie memulakan tindakan saman fitnah itu pada 2006 dengan mendakwa CTOS menjejaskan keperibadian, reputasi dan pekerjaannya dalam kalangan pihak ketiga, masyarakat, majikan atau orang awam.

Plaintif mendefinisikan ciri pekerjaan defendan yang ditubuhkan pada 12 Disember 1990 adalah memberi perkhidmatan data maklumat pinjaman mengenai individu-individu dan syarikat-syarikat antara lain, para pelanggannya terdiri daripada institusi kewangan atau bank.

Beliau mendakwa, di antara Mac dan Mei 2005, defendan telah berterusan menerbitkan dalam datanya atau laporan dalam komputer mengenai dirinya kepada Bank Affin Bhd. dan Bank Bumiputra Commerce Bhd. berkaitan status dirinya dalam bentuk fitnah.

Atas tindakan defendan itu, Shafie mendakwa permohonannya untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai pembelian satu unit servis apartmen yang dikenali Lot No. 19-13, Parkview Servis Apartmen telah ditolak oleh kedua-dua bank berkenaan.

Plaintif turut menegaskan bahawa terdapat perkataan memfitnahnya menyebut bahawa beliau sejak 1 Julai 2002 hingga Mei 2005 masih mempunyai notis kebankrapan atas namanya dan dia tidak dapat serta tidak mampu membayar hutang.

Beliau juga mendakwa dimalukan sehingga mengalami tekanan mental akibat mengetahui defendan masih menyenaraikan namanya dalam notis kebankrapan biarpun plaintif sebenarnya tidak lagi berhutang dengan RHB Bank Bhd. pada 2005.

CTOS dalam pernyataan pembelaannya pula menyatakan, maklumat yang dibekalkan oleh syarikat itu kepada pelanggannya hanya sebagai bahan rujukan dan mereka dinasihatkan menyemak maklumat itu dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment