Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday 31 July 2011

Sebuah Senyuman


Senyumlah selalu.

Sesudah penat bekerja seharian, menghadiri pelbagai mesyuarat dan lawatan tapak malah terpaksa pula berhempas pulas di dalam kesesakan lalu lintas, mungkin sama ada kita sedar atau tidak perkara yang paling bermakna ketika sampai di rumah adalah menerima senyuman paling manis daripada orang tersayang.

Mungkin ia hanya sekadar senyuman yang diukir sebagai tanda gembira kita selamat tiba di rumah namun setelah segala hiruk pikuk yang berlaku sepanjang hari, senyuman itulah yang menyejukkan hati sekaligus menenangkan jiwa yang kusut sebelumnya.

Begitu juga kebanyakan kita yang sering memulakan hari dengan muka masam mencuka, bersikap agresif tidak tentu pasal ataupun memarahi pekerja bawahan tanpa kesalahan yang nyata sekaligus membuatkan perkara kecil pun menjadi satu isu besar.

Keadaan pasti berbeza jika perkara sebaliknya berlaku dan hanya dengan senyuman ikhlas mampu membuatkan masalah besar diselesaikan dengan muafakat.

Pasti ramai yang terlepas pandang betapa pentingnya peranan senyuman dalam hidup kita, mungkin kerana ia berlaku secara spontan dan percuma tanpa bayaran namun yang pasti nilainya begitu berharga tiada tandingan.

Kuasa

Namun itulah harga sebuah senyuman yang membuai perasaan gundah gulana kepada ketenteraman jiwa seolah-olah segala apa yang berlaku sebelumnya hanya sebuah mimpi buruk.

Tetapi episod kekusutan esoknya adalah sebuah cerita lain yang tidak mungkin akan terpadam namun hanya dengan kuasa senyuman ia memungkinkan kekusutan itu bertukar kepada kegembiraan yang menyenangkan walaupun hanya seketika.

Begitulah kuasa sebuah senyuman yang sering kita abaikan atau mungkin sengaja diketepikan kerana terlalu mengejar keasyikan dunia ataupun kerana terperangkap dengan keegoan manusia yang fanatik dengan pangkat dan kebendaan.

Akibatnya manusia sering saja menyalahkan orang lain yang kemudian menjurus kepada pertengkaran malah mungkin menjadi ibu kepada peperangan walhal kebanyakan masalah ini mampu diselesaikan melalui rundingan dan sedikit senyuman.

Contoh terbaik

Andai ada yang sinis dengan kenyataan ini, mungkin kita boleh melihat sendiri bagaimana keperibadian dan kesederhanaan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW yang senantiasa tersenyum walau dalam apa keadaan dan kesusahan sekalipun yang akhirnya menundukkan musuh-musuhnya dan melembutkan hati mereka yang berseteru dengan beliau.

Senyuman adalah satu perbuatan yang senantiasa terbit dari bibir mulia Rasulullah dalam setiap perilakunya. Beliau tersenyum ketika bertemu dengan sahabatnya, saat beliau menahan amarah mahupun ketika berada di majlis-majlis tertentu.

Diriwayatkan oleh Jabir r.a, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah tidak pernah menghindar dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari Muslim).

Sesungguhnya Rasulullah senantiasa mengukir senyum dari bibir yang lembut, mulia nan suci, sehinggalah ke detik-detik akhir hayat beliau.

Sesungguhnya wajah merupakan cermin yang tepat bagi menggambarkan perasaan hati seseorang. Wajah yang ceria, penuh senyuman tulus ikhlas adalah sebaik-baik perkara dalam mempengaruhi rakan selain senjata untuk mendapat kerjasama dengan pihak lain.

Terkenal

Di kalangan selebriti selain bakat lakonan/nyayian dan wajah cantik lawa, senyuman manis juga menjadi ukuran kejayaan mereka. Di kalangan selebriti Barat mereka yang tersenarai sebagai mempunyai senyuman paling manis menjadi idola di kalangan peminat.

Gambar-gambar yang tertera di halaman atas muka surat sebelah merupakan antara selebriti yang disenaraikan mempunyai senyuman paling manis.

Pelakon seksi Megan Fox disenaraikan sebagai pelakon mempunyai senyuman paling manis dituruti Jessica Alba, Scarlett Johansson, Halle Berry, Charlize Theron, Angelina Jolie, Jessica Biel dan beberapa lagi.

Manakala bagi pelakon lelaki nama seperti Johhny Depp, Brad Pitt, Richard Gere, Tom Cruise dan beberapa lagi digilai kerana senyuman mereka yang menawan.

Di kalangan pemimpin negara pula Presiden Obama merupakan antara pemimpin yang paling banyak tersenyum selain bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Manakala Perdana Menteri Rusia Vladimir Putin pula terkenal sebagai seorang lelaki yang serius tetapi memikat ribuan wanita di negaranya bila beliau tersenyum.

Bagi pemimpin wanita pula bakal Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menarik perhatian dunia di atas senyumannya yang memikat selain ikon demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi.

Bekas Presiden Indonesia Sukarno, akan terus diingati sebagai The Smiling Presiden manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula merupakan seorang pemimpin yang sentiasa pemurah dengan senyuman.

Impak

Malah senyum juga lebih berharga jika dibandingkan pemberian mahal dan mewah yang dihadiahkan seorang lelaki kepada isteri atau teman wanitanya malah lebih mempesona dari lipstik dan solekan tebal yang menempel di wajah seorang wanita.

Dalam erti kata lain senyum umpama bukti cinta tulus dalam percintaan mahupun persahabatan. Mungkin kita sering saja terleka bahawa senyum itu hakikatnya tidak memerlukan belanja atau sebarang kos, namun ia membawa impak yang sangat luar biasa dalam kehidupan manusia.

Senyum juga tidak memerlukan waktu yang khusus untuk kita melakukannya malah ia akan memberi kesan yang akan diingati sehingga ke akhir hayat.

Perbuatan senyum juga adalah hak milik semua kerana darjat, pangkat dan kuasa tidak akan mampu membezakan keikhlasan seseorang itu setiap kali menguntumkan senyuman.

Berdasarkan kajian saintis Pusat Perubatan Universiti California, terdapat dua jenis tekanan emosi yang dilalui manusia iaitu tekanan baik dan tekanan tidak baik.

Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai tekanan yang baik. Tekanan yang tidak baik akan memberi masalah kepada sistem ketahanan badan.

Penyembuhan

Selain itu senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan.

Ini kerana banyak kajian membuktikan bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

Berdasarkan kajian juga, senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, artritis dan ulser.

Kajian oleh Pusat Perubatan Universiti Maryland yang menjalankan kajian ke atas 300 responden mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung adalah kerana kurang ketawa berbanding mereka yang sihat.

Senyuman dan ketawa juga antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan.

Strategi

Ketawa umpama ‘mengurut’ organ dalam abdomen serta menguatkan otot, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi selain membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekaligus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrien dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti mana kita bersenam untuk beberapa minit.

Berdasarkan kejayaan Barat dalam perniagaan, strategi utama yang dilaksanakan sejak 1900-an adalah melancarkan kempen “Service with smile”. Ini dilaksanakan setelah kajian mengesahkan bahawa melalui senyuman ia mampu meningkatkan persahabatan dan setiakawan sesama manusia.

Senyuman juga dikatakan akan mewujudkan apa yang dipanggil halo effect yang membolehkan manusia lebih mempercayai sekaligus meningkatkan kerjasama sesama mereka.

Malah ia semakin berkesan kepada pekerja yang tertekan sebagai contoh apabila seorang pekerja restoran makanan segera menguntum senyuman ikhlas terhadap pelanggan yang tertekan serta menjadi pendengar yang baik.

Ini membantu menghilangkan tekanan pelanggan tersebut selain menjadikan keadaan lebih menyenangkan sesama mereka serta memberi lebih keuntungan kepada restoran berkenaan.

Budaya

Perbezaan budaya juga turut memberi kesan tatkala seseorang tersenyum. Sebagai contoh masyarakat di Rusia menganggap seseorang yang senantiasa tersenyum di tempat awam sebagai pelik dan mencurigakan berbeza dengan penduduk di Amerika Syarikat yang mudah tersenyum kepada orang lain.

Bagi orang Jepun pula mereka dilihat masih mampu tersenyum walaupun berasa marah dan keliru. Bagi penduduk Vietnam pula mereka menguntum senyum untuk menyembunyikan penderitaan yang ditanggung.

Manakala di kebanyakan negara Afrika pula terlalu banyak tersenyum akan dianggap sebagai mempunyai tujuan tersembunyi serta tidak jujur.

Waima apa pun keadaannya, benarlah bak kata pujangga bahawa senyum itu umpama kelopak dan ketawa itu pula seperti bunga yang sempurna kembangnya.

No comments:

Post a Comment