Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Friday 11 November 2011

Tanam Terung Panjang

Terung panjang mempunyai tekstur rasa yang sangat lembut sesuai disediakan dalam masakan seperti digoreng, rebus atau dikukus.

Terung boleh ditanam diberbagai jenis tanah asalkan ia subur, gembur, mempunyai saliran yang baik dan kaya dengan bahan organik.

Jenis tanah yang paling sesuai ialah bertekstur lom yang baik dalam membekalkan nutrien, air dan udara kepada akar tanaman, pH yang sesuai antara 5.0 dan6.5. Ia juga boleh ditanam di tanah gambut, tanah BRIS dan tanah bekas lombong.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan  menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 0.6 dan satu meter, tinggi batas 23 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara 1-3 kg/meter persegi, bahan ini hendakklah digaulkan kedalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga dan enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Semaian

Terung perlu disemai dahulu sebelum dipindah ke ladang. Semai biji benih dalam dulang penyemaian.

Gunakan peat grow sebagai media percambahan atau campuran kompos dan bahan berkenaan dan letak biji benih setiap sel dan diletak di rumah semaian yang mempunyai sekurangnya 50 peratus lindungan antara empat dan lima minggu, disiram setiap hari.

Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan. Pembesaran pokok semaian juga boleh dibuat di polibeg hitam kecil atau kotak semaian, gunakan campuran media percambahan 2:1:1 (tanah atas:bahan organik:pasir).

Isikan media campuran tanah dan letak satu atau dua biji benih. Anak benih dijarangkan atau dipindah ke polibeg lain bila telah ada dua helai daun.

Penanaman dan penyenggaraan

Anak benih diubah ke ladang bila berumur empat minggu, telah ada empat atau lima helai daun sebenar, tinggi antara 10 hingga 15 sm.

Aktiviti mengubah lebih sesuai dibuat sebelah petang kerana redup yang panjang berbanding mengubah disebelah pagi.

Jarak tanaman yang sesuai ialah 60 hingga 90sm antara barisan dan 60 sm antara pokok. Penanaman dalam satu barisan lebih sesuai kerana memudahkan pengurusan tanaman.

Jika terdapat anak benih yang mati atau kurang sihat ia perlu diganti semula dengan yang baru.

Selepas tiga hingga empat minggu mengubah, pokok terung perlu diberi kayu sokongan bagi mengelak daripada rebah dan buah terkena tanah.

Cantasan perlu dibuat ke atas tanaman terung bagi membuang dahan dahan kecil yang berlebihan terutama di bahagian bawah pokok, lakukan ketika pokok masih muda, tinggalkan hanya tiga hingga empat cabang sahaja.

Gunakan gunting pemangkas atau pisau yang tajam sebagai alat cantasan.

Pengairan

Pokok terung memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil.

Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan. Pengairan yang berkesan memerlukan maklumat tentang tanah, pertumbuhan akar, jenis tanaman dan kandungan air dalam tanah.

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaigan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.

Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah disesuatu kawasan,keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan .

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak antara 15 dan 20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40 hingga 50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Serangan Kumbang kutu (Epilachna indica) anak atau dewasa menyebabkan bahagian lapisan atas daun dan meninggalkan lapisan lutsinar.

Pengorek pucuk dan buah (Leucinodes orbonalis) akan mengorek ke dalam pucuk dan buah dan mengakibatkan pucuk layu dan buah berlubang halus dan dipenuhi sisa najis.

Kutu daun (Aphis sp)menyerang semua peringkat (daun, bunga, buah muda) kutu akan menghisap cecair dari bahagian yang diserang dan menyebabkan buah berparut dan pokok terbantut, daun yang diserang akan berkerekot.

Jika serangan melebihi 10 peratus semburan racun perlu dibuat menggunakan racun yang sesuai, daun dan buah yang diserang perlu dikutip dan dimusnahkan dan kawasan tanaman perlu dibersihkan dari rumpai yang menjadi perumah bagi perosak.

Penyakit layu bakteria (Pseudomonas solanacearum) biasanya menyerang pangkal dan akar tanaman, pokok akan menjadi layu dan bermula dari daun muda dan mengakibatkan batang dan ranting kecut dan kering.

Kawalan dibuat dengan menggilirkan tanaman, gunakan jenis tahan penyakit dan cabut dan bakar pokok yang terkena jangkitan .

Penuaian

Terung akan mula mengeluarkan hasil selepas sembilan atau 10 minggu selepas mengubah ke ladang.

Hasil dituai dua kali seminggu dan berterusan hingga dua atau tiga bulan dan anggaran hasil 20 hingga 30 tan/hektar.

Kerja penuaian dibuat waktu pagi atau petang, tangkai dipotong dengan gunting dan pastikan tidak terpisah dari buah sekurangnya dua atau tiga sm dari tampuk buah.

Terung akan tahan empat atau lima hari pada suhu bilik,tetapi dengan penyejukan, hasil boleh disimpan sehingga dua minggu.

No comments:

Post a Comment