Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Monday, 27 June 2011

Pertanian Organik


Sayur Organik

Pertanian Organik adalah amalan yang menggabungkan antara kaedah manual, teknologi moden dan juga keseimbangan alam. Amalan ini bertujuan menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi tanpa menggunakan bahan kimia sebagai baja mahupun mengawal perosak dan penyakit.

Pertanian organik mengembalikan keseimbangan alam sekitar dengan tidak memberi sebarang kesan yang mencemarkan alam sekitar.
Maka, tidak salah jika kita melabelkan pertanian organik adalah suatu amalan pertanian yang mesra alam.

Disebabkan dunia hari ini diancam pelbagai bentuk pencemaran hingga mencetuskan pelbagai penyakit yang berpunca daripada makanan, maka banyak negara mula menggalakkan makanan organik. Ia adalah salah satu cara terbaik bagi menangani semua masalah kesihatan manusia dan pencemaran alam.

Bak kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati, marilah kita sama-sama mengubah cara pemakanan kita dengan makanan yang ditanam secara organik.

Lokasi
  • Kawasan yang bebas atau jauh daripada pencemaran.
  • Hampir dengan sumber air yang bersih.
  • Tidak berdekatan dengan ladang konvensional (bukan organik).
  • Sebaiknya pilih kawasan yang baru diterokai bagi petani yang ingin. membuka ladang organik komersial.
  • Wujudkan kawasan penampan (bahan atau tumbuhan pencegah pencemaran) seperti tembok, parit dan tumbuhan yang tinggi dan ditanam rapat.
Penanaman
  • Guna biji benih atau pembiakan vegetatif yang bebas daripada racun kimia.
  • Dua kaedah penanaman iaitu semaian biji benih atau tanam terus di atas batas. Guna kompos dan baja organik untuk penyediaan batas.
  • Bahan organik, baja organik, dan hormon pertumbuhan semulajadi seperti FFJ (fermented fruit juice) dan FPJ (fermented plant juice) sebagai baja tanaman.
  • Penyiraman perlu dilakukan dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Guna sumber air bebas klorin.
Kawalan rumpai
  • Rumpai yang tumbuh dalam batas dan di luar batas perlu sentiasa dibuang. Ini kerana rumpai boleh menjadi perumah bagi sesetengah serangga perosak.
  • Dua kaedah kawal rumpai iaitu secara manual (merumput) atau menggunakan mesin pemotong rumput.
  • Kerja merumput perlu dilakukan sebaik-baiknya seminggu sekali. Kurang rumpai bermakna kurang persaingan antara rumpai dan tanaman. Serangga perosak juga boleh dikurangkan.
  • Sungkupan boleh digunakan untuk mengawal masalah rumpai. Selain itu, ia dapat mengekalkan kelembapan tanah. Contoh sungkupan ialah plastik silver shine , jerami padi, daun-daun kering dan sabut kelapa.
Kawalan perosak dan penyakit
  • Kultura: Guna jarak tanaman yang disyorkan, tanam varieti rintang/toleran penyakit, sungkupan, tanaman selingan/giliran, tanam pokok repellent (penarik atau penghalau serangga perosak).
  • Mekanikal: Bungkus buah, pasang bunyi bising waktu malam untuk halau haiwan perosak dan kawal rumpai dengan menggunakan jentera kecil.
  • Fizikal: Perangkap cahaya, perangkap warna (kuning/biru), feromon, pagar, rumah kalis serangga.
  • Biologi: Penggunaan serangga, kulat, bakteria dan virus bermanfaat yang merupakan pemangsa semulajadi serangga perosak.
  • Semburan Racun Organik: Jenis racun organik bergantung pada jenis perosak dan penyakit tanaman tersebut.
Kutipan hasil
  • Hasil sayuran organik dituai setelah ia cukup matang. Sayuran jenis daun elok dibasuh untuk membuang sisa tanah yang melekat pada daun dan batang sayur.
  • Waktu yang sesuai untuk menuai adalah awal pagi atau lewat petang. Ini akan mengurangkan stress tanaman (sayur tidak cepat layu).
  • Impan sayur pada suhu antara 10 dan 12ÂșC. Sayur akan tahan selama seminggu atau lebih.
  • Selepas satu atau dua kali penanaman dilakukan pada batas yang sama, batas perlu direhatkan lebih kurang dua minggu tanpa sebarang tanaman. Ini bertujuan untuk mengembalikan semula kesuburan tanah.
  • Sebaik-baiknya tanam tanaman jenis kekacang (kacang tanah, kacang hijau, kacang soya dan lain-lain) tiga kali setahun untuk mengembalikan semula nutrien yang telah hilang. Selain itu, kita akan dapat hasil sampingan iaitu kekacang.
Kebaikan pertanian organik
  • Hasil sayur segar, berkualiti dan semestinya selamat dimakan tanpa sebarang kesan sampingan.
  • Ia bebas daripada penggunaan bahan kimia/sintetik yang boleh menjadi punca penyakit.
  • Mengekalkan keseimbangan ekosistem alam, memelihara mikrorganisme tanah, memulihara tanah dan secara tidak langsung kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
  • Rasa sayuran organik lebih segar, rangup dan tahan lebih lama jika disimpan pada suhu yang sesuai.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment