Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Saturday, 10 March 2012

Peluang Kerja di Infineon Technologies


Gambar banner ini di snap di pagar Infineon Technologies, Batu Berendam, Melaka.

Kekosongan jawatan ialah

  1. Juruteknik (Diploma Mekanikal/Elektronik/Elektrik)
  2. Operator Pengeluaran.
Borang permohonan boleh didapati di Pondok Pengawal 1. Sila masukkan borang lengkap permohonan ke dalam peti HR di Pondok Pengawal.

Friday, 9 March 2012

Bekal Benih Ikan

Ismail Abdullah menunjukkan anak ikan puyu dari kolam kuarantin yang sedia untuk dipasarkan.

Jika dahulu beliau bekerja makan gaji di sebuah syarikat elektronik namun kini tidak lagi. Selain mampu tersenyum bangga dengan hasil usaha yang baru mencecah tiga tahun, syarikat Aquaculture Resource Centre (ARC) yang dibangunkan bersama rakan kongsinya kian dikenali ramai sebagai pembekal benih ikan yang berkualiti tinggi.

Semuanya bermula apabila hati anak muda bernama Mohd. Hafiz Nordin terdetik untuk terjun ke bidang akuakultur apabila melihat peluang bidang tersebut amat luas selain memiliki permintaan yang tinggi.

Baginya bekerja makan gaji di kilang tidak dapat memberi kepuasan sebenar berikutan prestasi sesebuah kilang kadang kala mengikut pasang surutnya ekonomi dunia.

"Saya nekad untuk mengusahakan bidang ternakan ikan yang saya lihat mempunyai potensi yang lebih besar daripada kerja makan gaji. Pastinya produk yang berasaskan makanan tidak akan surut permintaannya kerana semua orang memerlukannya dan ia adalah permintaan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kolam asuhan atau kuarantin di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd Hafiz, ARC bermula secara rasminya tiga tahun lepas namun operasi penternakan dan pembenihan ikan telah lama dijalankan secara kecil-kecilan melalui bantuan kewangan daripada bapanya.

"Semasa menyertai pelbagai kursus dan latihan mengenai penternakan ikan air tawar ini saya bertemu dengan rakan kongsi dan di sinilah bermulanya penubuhan ARC," ujarnya.

Terdapat empat individu yang bertanggungjawab memastikan ARC beroperasi dengan lancar. Mereka adalah Mohd. Hafiz sendiri sebagai pengurus, seorang pengurus pemasaran, seorang pakar pembenihan ikan dan seorang lagi adalah penyumbang bantuan kewangan.

Ketika ditanya mengapa memilih mengusahakan benih ikan, Mohd. Hafiz berkata ia berdasarkan permintaan yang tinggi untuk produk tersebut di pasaran kini. Katanya, penternak ikan sama ada sangkar mahu pun kolam sememangnya ramai namun pembekal benih ikan amat kurang terutamanya dalam kalangan bumiputra.

"Justeru saya membuat kajian serta menyertai mana-mana seminar dan kursus untuk melakukan pembenihan ikan. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghasilkan benih ikan yang berkualiti," katanya.

Tambah Hafiz, ramai yang mampu melakukan proses pembenihan ikan namun untuk memastikan berjaya memperolehi benih ikan yang benar-benar berkualiti adalah amat sukar.

Justeru tenaga pakar dan individu yang benar-benar berkemahiran diperlukan untuk melaksanakan tugas tersebut dan ARC dianggap bertuah kerana memiliki salah seorang daripada pakar tersebut.

Dikenali sebagai Ismail Abdullah, beliau merupakan salah seorang tenaga pakar dan pengajar yang telah berkhidmat dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam aktiviti pembenihan ikan hampir selama 18 tahun.

Kini Ismail bekerja untuk ARC dan beliau merupakan tonggak utama kejayaan syarikat berkenaan menghasilkan benih yang berkualiti tinggi.

Antara benih ikan utama yang disediakan oleh ARC adalah ikan puyu, keli dan patin. Namun mereka turut menyediakan benih ikan tilapia jika terdapat permintaan. Pasaran bagi benih ikan tersebut adalah terdiri daripada pengusaha kolam ternakan di sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

Menurut Hafiz, bagi benih ikan puyu, ia banyak dibeli oleh penternak dari Perak berikutan ikan puyu dewasa popular untuk dijadikan ikan pekasam di sana. Manakala benih ikan keli adalah di sekitar Selangor, dan benih ikan patin sekitar Pahang.

Benih-benih ikan tersebut akan dikuarantin terlebih dahulu berdasarkan jenis anak ikan dan paling lama adalah seminggu. Menurut Ismail, tujuan kuarantin adalah bagi mengasingkan benih ikan yang benar-benar kuat sebelum ia dijual.

Hampir 20-50 peratus benih yang dihasilkan biasanya akan mati atau tidak menjadi justeru ia perlu dikuarantin bagi menjamin kualiti benih yang dihasilkan adalah terbaik.

"Jika tidak, pastinya pelanggan tidak akan mempercayai lagi kami kerana menjual anak benih yang tidak tahan lama malah mereka juga akan kerugian," ujarnya.

Biarpun pengeluaran anak benih ikan di ARC mencecah dua juta ekor sebulan namun ia masih tidak mampu menampung permintaan yang tinggi daripada penternak ikan air tawar.

Kini ARC hanya memiliki sebidang tanah seluas lima ekar yang menempatkan empat buah kolam dan purata pengeluaran bagi benih ikan keli adalah 500,000 ekor dan 200,000 dan 300,000 ekor bagi ikan puyu untuk sebuah kolam.

Manakala benih ikan patin dikeluarkan berdasar permintaan pelanggan. ARC juga memiliki pelanggan tetap bagi membeli benih-benih ikan mereka dan mereka turut memperolehi pelanggan baru yang berminat setelah melihat iklan yang dipaparkan di laman web mereka.

Biarpun apa jua cabang perniagaan pastinya terdapat cabaran begitu juga bagi ARC di mana mereka masalah untuk mendapatkan kawasan yang lebih luas untuk menambah kolam pembenihan.

Permintaan kini amat menggalakkan namun kita tidak mampu untuk memenuhi tempahan pelanggan berikutan benih yang dihasilkan adalah amat terhad. "

Oleh itu, cabaran utama ARC kini adalah untuk mendapatkan tanah seluas 30 ekar bagi menampung permintaan benih ikan daripada pelanggan kami," katanya.

Biarpun stok benih ikan ARC yang agak terhad namun ia telah pun dikenali ramai malah turut mendapat permintaan sejauh dari Sabah.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan anak benih ikan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat atau sebarang pertanyaan anda boleh menghubungi dengan Hazarul Hafzam Mohd Zaki selaku Pengurus Pemasaran ARC di talian 010-4003600 atau melawat ke laman web ARC di www.arc.com.my.

Dulu Kerani Kini Tauke Ayam

Kejayaan yang dicapai oleh Soh Ah Pin amat bermakna kerana ia bermula dari bawah.

Menyelusuri perjalanan yang jauh berliku melalui kawasan bandar dan kampung sebelum kenderaan memasuki jalan yang agak sunyi berdebu hingga akhirnya sampai ke kawasan separa hutan serta ladang sedikit sebanyak memberi gambaran awal bahawa perusahaan ternak ayam ini tidak jauh bezanya dengan yang lain.

Namun pengusaha terbabit Soh Ah Pin, ceria menyambut kunjungan rombongan AgroBank yang tiba dengan beberapa kenderaan.

Ah Pin, 73, anak jati Segamat terus membawa tetamu ke sekitar ladang ayam yang jumlahnya ratusan ribu ekor.

Tiada bau tidak menyenangkan kerana katanya, penggunaan mikroorganisme efektif (EM) memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat.

Pesara kerajaan itu pernah bertugas sebagai kerani di Majlis Daerah Labis, Johor, selama 32 tahun sebelum menceburi bidang penternakan ayam kampung kerana melihat peluang terhidang depan mata.

"Berniaga tidak semestinya untung. Ibarat hendak pergi perang. Kalau pandai (berperang) kita menanglah. Tapi kena ada ilmu untuk jadi pandai,” ujarnya ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Labis, Segamat Johor itu.

Sambil berkongsi pengalamannya dengan ahli rombongan, dia menunjukkan cara menghalau ayam ke reban yang menurutnya ternakan itu tahu pulang ke ‘rumah’ masing-masing.

Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau MCE ketika itu, Ah Pin berkata, selepas bersara dia ditawarkan bantuan oleh seorang kenalan dari Perak.

Pada mulanya dia menawarkan diri untuk menternak hanya 50 ekor ayam. Tetapi rakan terbabit menasihatinya supaya memulakannya 4,000 hingga 5,000 ekor.

‘‘Saya bimbang tidak ada modal kalau hendak pelihara banyak. Teknik (menternak) tidak tahu, reban pun tidak ada,” ujarnya yang memulakan projek tersebut dengan empat buah reban sahaja.

Rakan terbabit membekalkannya 4,000 ekor ayam kampung kacuk, ubat-ubatan, makanan dan pelbagai keperluan lain dengan syarat Ah Pin menjual hasil ternakan kepadanya.

Ah Pin itu merupakan satu tuah kerana dia tidak perlu menyediakan pelaburan tinggi untuk memulakan projek pada tersebut pada 1996.

Selepas satu pusingan, dia menjual sejumlah ternakan yang boleh dipasarkan pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram dan berjaya meraih keuntungan.

Keuntungan itu digunakan untuk mengembangkan projek dengan membina lebih banyak reban. Dia membina empat lagi reban dengan tambahan baka ayam 10,000 ekor menjadikan jumlah keseluruhan 15,000 ekor dan ketika itu jualannya mencecah RM47,000.

Tidak lama selepas itu, rakan terbabit tidak lagi membantunya dan kembali semula ke Perak, meninggalkan dia keseorangan mengurus projek berkenaan.

Katanya, dia telah memiliki tiga syarikat yang mana dua daripadanya dikongsi bersama rakan dan sebuah lagi adalah syarikat keluarga.

Syarikat terbabit ialah Sam Hup Poultry Sdn. Bhd. (SHPSB), Ladang Ayam KPM Sdn. Bhd. (LAKSB) dan Sam Yong Farming Sdn. Bhd. (SYFSB).

Katanya, LAKSB yang terletak di Sungai G merupakan perniagaan keluarga manakala SHPSB dikongsi bersama rakan.

Ladang SYFSB juga terlibat dengan penternakan kambing yang baru dimulakan dan jumlahnya kini 100 ekor pelbagai baka.

Dia yang juga pengurus dan pengarah kepada syarikat terbabit berkata, keseluruhan ternakan ayam yang dimiliki mencecah 320,000 ekor ketika ini.

Ketika ini, kos pemakanan meliputi 70 peratus daripada keseluruhan kos projek tersebut. Manakala bakinya untuk ubat-ubatan, bekalan elektrik dan kos menggaji pekerja seramai 33 orang semuanya.

Katanya, sejak memulakan projek, dia telah lapan kali memperoleh pinjaman dengan Agrobank menerusi Tabung Untuk Makanan (3F) dan kali terakhir pada 2008 sebanyak RM800,000.

Thursday, 8 March 2012

Tanam Ubi Keladi


Meskipun kurang popular berbanding tanaman lain, keladi masih digunakan dalam masakan dan makanan ternakan.

Ubi keladi dengan nama saintifik Colocasia esculenta dari keluarga Araceae merupakan tanaman tropika dan dipercayai berasal dari kawasan lembah di Malaysia dan ditanam di India pada 5000 tahun sebelum Masehi sebelum dibawa ke Mesir.

Pokok keladi mempunyai daun yang lebar berbentuk hati dengan saiz yang pelbagai. Sesetengah spesies keladi mengeluarkan sulur yang menjalar. Di negara seperti Fiji, ubi keladi dijadikan sumber makanan utama.

Keladi tidak boleh dimakan mentah dan dianggap beracun kerana kandungan calcium oxalate di dalamnya. Ia selamat untuk dimakan setelah direbus atau direndam dalam air semalaman. Di Malaysia ubi keladi dijadikan makanan manusia dan ternakan.

Isi atau ubi keladi boleh digoreng, direbus, dibuat kuih muih dan juga bubur sementara batang dan sulur beberapa jenis keladi boleh dijadikan sayuran. Pengeluar utama keladi adalah negeri Johor. Ubi keladi mengandungi karbohidrat yang tinggi di samping zat-zat galian yang lain.

Jenis-jenis keladi

Terdapat lebih daripada 35 kultivar keladi yang berbeza dan umumnya keladi dibahagi kepada dua kumpulan utama iaitu:
  1. Keladi jenis eddoe iaitu ubinya kecil dan dikelilingi oleh ubi-ubi sisi yang sempurna bentuknya dikenali sebagai Colocasia esculenta var. antiquorum.
  2. Keladi jenis dasheen iaitu keladi yang mempunyai ubi yang besar dan terdapat kelompok ubi sisi yang kecil dipanggil Colocasia esculenta var. esculenta.
Keperluan tanaman keladi
  • Ubi keladi boleh hidup dalam julat suhu 27.0c - 30.0c
  • Taburan hujan melebihi 100 sm/tahun.
  • Ubi keladi sesuai pada tanah lom berpasir dan tidak bertakung air dan juga tanah gambut.
  • pH tanah yang sesuai adalah 4.5 hingga 7.
Penanaman dan Penyediaan tanah
  • Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
  • Jika tanah terlalu berasid, pengapuran perlu untuk menaikkan pH.
  • Keladi boleh ditanam sama ada di atas batas atau tanpa batas.
Bahan tanaman dan jarak tanaman
  •  Benih keladi diperoleh dari sulur atau anak pokok yang berumur lebih kurang dua bulan dengan garis pusat tiga sentimeter.
  • Pucuk anak benih keladi dipotong dan tinggalkan batang atau tangkai daun keladi sepanjang 30 sentimeter.
  • Jarak antara pokok adalah 45 sentimeter dan antara barisan ialah 120 sentimeter.
  • Penyiraman perlu pada peringkat awal pertumbuhan pokok terutama jika cuaca kering.
Pembajaan
  • Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.
  • Kadar pembajaan yang biasa adalah 60N:50P2O5:100K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.
  • Baja diberi selepas 3-4 minggu ubi keladi ditanam.
Pengawalan rumpai
  • Merumpai dijalankan semasa pokok membesar iaitu tiga minggu selepas ditanam.
  • Kawalan rumpai boleh secara manual atau menggunakan racun rumpai.
  • Semasa merumpai secara manual, tanah akan dikambus ke pangkal perdu pokok selepas sulur keladi dibuang.
  • Sulur yang tidak diperlukan dibuang untuk memastikan tumbesaran pokok induk lebih sempurna.
Kawalan perosak dan penyakit
  • Musuh ubi keladi adalah serangga seperti ulat dan belalang. Ulat Hippotion celerio akan memakan daun keladi hingga ke tangkainya. Kawalan yang disyorkan adalah dengan mengutip ulat perosak ini dan dimusnahkan.
  • Belalang menyerang dengan memakan daun keladi yang menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Kawalan dengan menggunakan racun serangga sekiranya serangan terlalu teruk.
  • Penyakit hawar daun oleh Phytophthora colocasia dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik dan membuang dan musnahkan pokok yang diserang.
  • Penyakit reput umbisi oleh Sclerotium rolfsii juga boleh dikawal dengan amalan kultura seperti giliran tanaman dan musnahkan pokok yang dijangkiti.
Pemungutan hasil
  • Hasil ubi keladi boleh dikutip selepas tujuh hingga 12 bulan ditanam bergantung kepada jenis dan penjagaannya dimana saiz ubi keladi ini telah sesuai untuk dipasarkan.
  • Anggaran hasil adalah antara 6-12 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi keladi.

Penyenaraian Yang Menguntungkan

Kekusutan dan kontroversi yang berlaku dalam usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke papan utama Bursa Malaysia pada Mei ini adalah suatu perkara yang amat menyedihkan dan merugikan negara.

Bagi kami, remisier yang terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti pasaran saham negara melihat penyenaraian FGVH ini akan membawa kebaikan yang amat besar kepada negara khususnya para peneroka Felda.

Penyenaraian FGVH merupakan suatu pengumuman yang begitu dinanti-nantikan dan jika berjaya disenaraikan kelak, ia akan menyaksikan FGVH muncul sebagai satu lagi syarikat 'Blue Chip' atau syarikat berwajaran besar di Bursa Malaysia dan bakal melonjakkan modal pasaran FGVH dari sekitar RM3 bilion kepada sehingga RM21 bilion.

FGVH bakal dikategorikan dalam sektor perladangan yang merupakan saham jenis 'defensive', yang bermakna saham ini boleh bertahan dan stabil dalam apa jua situasi ekonomi dunia. Pada amnya, pembayaran dividen kepada pemegang saham dalam sektor ini merupakan satu perkara yang dilakukan pada setiap tahun dan jumlah dividennya pula adalah tinggi.

Cuba bayangkan jika tanah-tanah perladangan Felda dan KPF dapat digabungkan untuk penyenaraian ini, maka FGVH akan menjadi syarikat perladangan tersenarai terbesar di dunia dan dikuasai kaum bumiputera!

Senarai tawaran saham yang dicadangkan bagi saham FGVH yang terdiri daripada institusi pelaburan utama negara seperti PNB, KWSP, KWAP (Kumpulan Wang Amanah Pencen) dan Tabung Haji yang terbukti berjaya menjaga kepentingan pelaburan rakyat negara ini.

Sementara itu, tawaran yang dicadangkan bagi institusi luar negara pula peratusan kecil, kurang dari 5%. Syarikat-syarikat tersenarai awam (PLC) yang dikuasai institusi-institusi pelaburan kerajaan atau luar negara mempunyai tarikan pelaburan yang baik dan sentiasa menjaga kepentingan pelabur minoriti.

Sesuatu PLC memerlukan pelaburan asing untuk menjadi sebahagian daripada pemegang sahamnya kerana ini akan memudahkan mereka mendapat liputan media luar negara dan seterusnya menjadikan PLC ini lebih terkenal bagi membina platform antarabangsa.

Namun demikian, kadar 5% pelaburan asing dalam saham FGVH yang ditawarkan, tidak akan menjejaskan kedudukan harga saham atau pengurusan FGVH seandainya pelabur asing itu menjual pegangan mereka di pasaran terbuka.

Persetujuan kerajaan untuk memberi 'blue form' dan 'pink form' kepada peneroka dan pekerja Felda adalah satu langkah bijak. Peneroka Felda seharusnya bersyukur dan berasa bangga kerana diberi "durian runtuh" ini dan secara tidak langsung menjadikan mereka di antara pemilik sebuah syarikat gergasi dunia.

Pengalaman kami sendiri melalui pemberian 'blue form' kepada remisier ketika proses penyenaraian saham Bursa Malaysia Berhad pada tahun 2005 boleh dijadikan rujukan dan panduan. Jumlah saham yang kami terima ketika itu adalah mengikut tempoh perkhidmatan sebagai remisier, lebih lama berkhidmat, lebih banyak saham yang diterima.

Remisier telah mendapat banyak manfaat daripada penyenaraian ini, di antaranya adalah keuntungan besar di atas penjualan saham-saham percuma ini, penerimaan dividen yang tinggi setiap tahun dan sehingga kini kebanyakan kami masih memegang sekurang-kurangnya 100 unit saham yang melayakkan kami secara beramai-ramai menghadiri mesyuarat agung tahunan Bursa Malaysia dan memberi pandangan mengenai cara pengurusan dan hala tuju syarikat yang kami turut miliki ini.

Tawaran saham 'pink form' kepada pekerja Felda dan pelabur bumiputera melalui tawaran khas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berbeza dari 'blue form' yang diterima peneroka. Sekali lagi para peneroka beruntung kerana pemberian 'blue form' membolehkan mereka mendapat saham sesuatu syarikat secara percuma, tanpa sebarang bayaran bagi mendapatkan saham yang ditawarkan.

Mereka hanya perlu membayar yuran RM10 bagi pembukaan akaun CDS di Bursa Malaysia atau tempat penyimpanan saham di syarikat broker saham dengan menandatangani borang tersebut di hadapan wakil syarikat broker saham yang biasanya adalah remisier. Hanya nombor akaun CDS ini dan tandatangan peneroka diperlukan di 'blue form' ini.

Tawaran saham 'pink form' adalah satu tawaran yang menetapkan jumlah saham yang layak dilanggan oleh pelabur tanpa melalui proses cabutan undi, namun ia memerlukan bayaran untuk melangganinya.

Jika tawaran saham 'pink form' melebihi keupayaan kewangan pelabur, mereka bolehlah memohon untuk mendapat pembiayaan bagi melanggan saham tersebut dari syarikat broker saham atau bank yang menawarkan skim pembiayaan saham secara marjin atau "share margin financing" (SMF).

Walau bagaimana pun, SMF mengenakan kos dokumentasi dan faedah pembiayaan yang tinggi dan seringkali dikaitkan dengan kerugian besar pelaburan atau kehilangan kuasa pengurusan syarikat ekoran kejatuhan harga saham di bawah paras tertentu.

Harga saham bagi peminjam SMF diawasi pada setiap hari dan jika harga saham tiba-tiba jatuh, peminjam diberi tempoh hanya tiga hari untuk "top-up" atau memperbetulkan keadaan yakni dengan menambah sejumlah wang bagi mengimbangi nilai pegangan saham yang telah susut harga sahamnya. Jika peminjam tidak dapat memenuhi syarat ini, maka sahamnya akan dijual di pasaran terbuka sehinggalah ratio pinjaman pulih kembali.

Dalam hal ini, perkara yang amat tidak adil adalah apabila harga saham jatuh tanpa ada kaitan dengan prestasi sebenar syarikat yang masih kukuh, sebaliknya harga saham jatuh ekoran masalah ketidakcairan saham di mana pelabur yang memerlukan wang terpaksa menjual sahamnya dengan harga murah kerana ketiadaan pembeli pada harga semasa.

Penjualan secara paksa saham peminjam SMF memburukkan lagi keadaan dan seterusnya akan berlaku 'domino effect' sehingga adakalanya harga saham jatuh merudum dan mengakibatkan pengurusan syarikat yang turut mengambil pinjaman bank dengan mencagarkan saham mereka, hilang kuasa kerana terpaksa turut menjual pegangan mereka akibat harga saham yang jatuh teruk.

Perkara ini begitu mudah berlaku pada syarikat tersenarai awam berwajaran kecil dan sederhana yang mempunyai masalah kecairan atau "liquidity" saham yang rendah. Badan pelaburan kerajaan seperti PNB, Khazanah, KWSP dan KWAP yang tidak mempunyai mandat atau kuasa untuk membeli saham-saham syarikat berwajaran kecil dan sederhana, walaupun syarikat-syarikat ini mencatatkan prestasi yang baik dan cemerlang.

Polisi ini tidak adil dan perlu dikaji semula. Para pelabur khususnya pelabur runcit sering mengeluh mengenai kesukaran mereka untuk menjual saham syarikat tersenarai awam bumiputera (BPlc) yang telah lama dipegang atas sebab tiada pembeli dan mendatangkan kerugian besar terhadap pelaburan mereka.

Di samping itu, ketiadaan publisiti meluas dan kekurangan analisis teknikal terhadap BPlc di media-media massa tempatan yang majoritinya dikuasai bukan Bumiputera telah memburukkan lagi keadaan sehingga kadang kala nama sesetengah BPlc itu tidak pernah langsung didengari oleh para pelabur.

Kajian Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) melalui penghasilan buku bertajuk 'Ikon PLC Bumiputera 2011' yang akan dilancarkan tidak lama lagi, sehingga 31 Disember 2011 hanya 11% syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dikuasai bumiputera dan sekadar mampu menguasai 15% daripada keseluruhan modal pasaran 'market capitalization' Bursa Malaysia yang kini bernilai trilion ringgit.

Tambahan, jika dikaji lebih mendalam, daripada 15% modal pasaran ini hanya 2% sahaja peratusan penguasaan keseluruhan modal pasaran bagi BPlc-BPlc bumiputera berwajaran kecil dan sederhana yang tidak mempunyai pemilikan saham oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau kerajaan negeri dalam saham mereka.

Namun, para pemegang saham FGVH sekali lagi beruntung kerana modal pasaran FGVH akan melonjak berganda-ganda, setanding dengan syarikat-syarikat gergasi dunia dan akan diwujudkan satu entiti syarikat pegangan pelaburan atau 'investment holding company' yang akan menjaga hal-ehwal harga dan kecairan saham FGVH setelah disenaraikan sambil memastikan saham FGVH terus berada di tangan bumiputera.

Isu ketirisan saham juga merupakan satu isi yang harus dipandang berat. Ketirisan saham bumiputera akan terus berlaku sekiranya para pelabur runcit bumiputera masih tidak dididik mengenai kebaikan pemilikan saham dan hak-hak mereka sebagai pelabur.

Penetapan minda yang mahu mendapatkan keuntungan pada kadar yang segera juga harus dihapuskan. Kaedah seperti 'grow with the company' dan 'long-term investment' diyakini suatu kaedah yang betul dan membawa pelbagai kebaikan.

Ramai pelabur terutamanya pelabur luar bandar kurang mendapat pendedahan dan tidak mengetahui langsung hak-hak mereka sebagai seorang pelabur. Sebagai contoh mesyuarat agung tahunan (AGM) sesuatu PLC harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pemegang saham, jika tidak dapat hadir boleh hantar proksi contohnya anak sebagai wakil.

Para pelabur seharusnya menghadiri mesyuarat secara beramai-ramai bagi mengelakkan salah guna kuasa oleh pihak pengurusan dan bersama-sama membuat keputusan penting syarikat.

Pelabur juga perlu bijak mengunakan hak-hak mereka dengan menyoal dan mengundi sekalipun mempunyai pegangan saham kecil 'minority shareholder' di dalam sesebuah PLC.

Ini sekali gus sebagai peringatan kepada pihak pengurusan supaya 'jangan main-main dengan duit kita' . Begitu juga halnya dengan peneroka felda yang berjumlah lebih kurang 112,600 orang, gunakanlah hak-hak anda dengan sebetulnya dan jadilah pemerhati terhadap prestasi syarikat anda.

Akhir kata, permasalahan penurunan ekuiti bumiputera selama ini yang telah PRIBUMI ajukan kepada kerajaan sejak lima tahun yang lalu seperti ketirisan saham, pembiayaan saham secara pembiayaan marjin, kecairan saham , harga saham BPlc yang rendah dan tiada publisiti, kehilangan kuasa pengurusan bumiputera boleh di atasi dan menjadi model penyelesaian melalui penyenaraian FGVH.

Promosi mengenai penyenaraian FGVH di harap dapat melibatkan para pemikir yang mempunyai penglibatan secara langsung 'hands-on' terhadap pasaran saham seperti ahli-ahli PRIBUMI satu Malaysia yang tugas utama mereka adalah memberi penerangan dan menarik minat rakyat terhadap pasaran saham negara.

Individu penting berhubungan dengan Felda seperti Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Gabungan Generasi Wawasan Felda (GWGF) yang mempunyai pengalaman luas mengenai pasaran saham negara melalui syarikat tersenarai beliau sendiri Puncak Niaga Holdings Berhad perlu dilibatkan dalam usaha ini.

Gandingan usaha penerangan PRIBUMI dengan 500 ahlinya dari seluruh Malaysia dan GWGF dengan pegawai seranta di seluruh 317 penempatan Felda, jika diberi peluang, insya- Allah akan dapat membantu meredakan kekusutan yang sedang berlaku mengenai cadangan penyenaraian FGVH ini.

Pandangan sempit sesetengah pihak yang hanya melihat kepada keburukan dan menggunakannya sebagai satu medium untuk menghentam kerajaan tanpa melihat kepada keseluruhan kebaikan yang dibawa dalam penyenaraian FGVH ini harus ditepis.

Penyenaraian FGVH berlatarbelakangkan sokongan kuat pemimpin-pemimpin nombor satu negara; Felda ditubuhkan di bawah bekas Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Abdul Razak, penyenaraiannya pula dicetus oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kini diteruskan perjuangan penyenaraiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jaminan Perdana Menteri bahawa kepentingan peneroka tetap menjadi keutamaan sekalipun FGVH disenaraikan merupakan satu kelegaan.

Seperti mana penyenaraian saham Petronas Chemicals Group Berhad dan MSM Malaysia Holdings di papan utama Bursa Malaysia dahulu, kami telah menyaksikan ramai bumiputera menjadi kaya dan ada yang bergelar jutawan.

Insya-Allah dengan penyatuan kuat seluruh warga Felda, pelabur runcit dan institusi pelaburan kerajaan, penyenaraian FGVH akan berjaya meningkatkan ekuiti bumiputera di pasaran modal negara, seterusnya menjadi sebuah syarikat paling gah di Bursa Malaysia atau 'darling of stock market' dan terus berkembang menjadi juara dunia.