Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Saturday 25 June 2011

Makanan Ikan Halal

Harga makanan ternakan seperti kambing, lembu, ayam dan ikan banyak bergantung kepada kos makanan ternakan berkenaan. Ramai penternak yang hampir gulung tikar akibat kos makanan ternakan yang melambung akibat permintaan yang semakin bertambah saban tahun.

Justeru, bagi mengatasi masalah harga makanan ternakan tidak stabil, sebuah syarikat bumiputera memberanikan diri mengorak langkah mengeluarkan makanan ikan bagi memenuhi permintaan penternak ikan terutama ikan air tawar.

Membangunkan kilang makanan ikan bukan sesuatu yang mudah bagi dua beradik Md. Azman dan Mohd. Azmi Mohd. Shariff. Mohd. Azmi seorang ahli farmaseutikal manakala Md. Azman pula ahli kimia sememangnya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perikanan.

Bermula dengan hobi memelihara ikan di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor, dua beradik itu mencuba nasib kepada makanan ternakan memandangkan harganya yang tidak stabil.

Tanpa pengalaman, kedua-dua beradik ini bermula daripada sifar mengharungi segala pahit-maung sepanjang melibatkan diri. Jika syarikat besar menggunakan bahan-bahan import, Azmi dan Azman menggunakan hampir 90 peratus bahan mentah tempatan seperti tepung ikan dan tepung udang kecuali soya, gandum, vitamin, mineral dan jagung.

Tanpa pengalaman, mereka tidak segan bergabung tenaga bagi mendapatkan formulasi makanan ikan dengan Jabatan Perikanan Pulau Sayak di Kedah; Jelebu, Negeri Sembilan dan Terengganu serta Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung, Pulau Pinang.

"Malah semua kerja-kerja pembangunan dan penyelidikan (R&D) dijalankan di kolam Jabatan Perikanan," kata Mohd . Azman yang bertindak sebagai Pengurus Kilang FyDMA Ventures yang beribu pejabat di Subang Jaya, Selangor.

Menurut Mohd. Azman lagi, makanan ikan yang dikeluarkan di kilangnya di Pulau Indah, Selangor sesuai bagi ikan air tawar dan masin.
Buat masa ini kilangnya berupaya mengeluarkan sehingga 400 tan makanan ikan sebulan.

Bercerita mengenai proses menghasilkan makanan ternakan ikan, Mohd. Azman berkata, ia bermula dengan semua bahan mentah dikisar dan diadun dengan air, minyak ikan dan vitamin. "Semua bahan tadi diadun sebati sebelum dibentuk palet," katanya.

Palet tadi kemudian dipanaskan pada suhu 120 darjah Celcius sehingga masak selama 60 minit. "Di sini, makanan ternakan ikan dipastikan mengandungi hanya bahan-bahan halal walaupun belum terdapat keperluan persijilan halal bagi makanan ikan," katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan, biasanya ramuan dalam makanan ikan mengandungi tepung darah dan tulang sebagai sumber utama protein serta dapat menggalakkan tumbesaran. "Di sini kami tidak menggunakan tepung darah dan tepung tulang yang biasa digunakan tetapi menggantikannya dengan tepung ikan dan udang," katanya.

Walaupun tepung darah dan tulang amat penting bagi tumbesaran tetapi ia mempunyai unsur-unsur najis dan boleh membawa pelbagai jenis penyakit. Misalnya darah lembu yang diambil daripada lembu gila boleh menyebarkan penyakit berkenaan kepada manusia. Malah Islam melarang umatnya mengambil makanan yang mempunyai unsur darah.

Bagi mengatasi masalah tumbesaran, Mohd. Azman menambah, mikro organisma baik (EM). "Kadar tumbesaran ikan bertambah dalam masa tiga bulan dengan tambahan EM berbanding tiga bulan setengah sebelum ini," katanya. Selain itu, Mohd Azman juga tidak menambah antiobiotik dalam makanan ikan tetapi mengubahnya dengan bawang putih, lengkuas dan halia.

"Apa yang penting, kualiti makanan ikan yang kami keluarkan sama dengan pasaran dengan harga yang lebih rendah. "Permintaan bagi makanan ikan memang tinggi dan kami bercadang menambahkan kapasiti kilang serta mendapatkan bahan mentah terus daripada pembekal," katanya.

Buat masa ini, makanan ikan dipasarkan sendiri memandangkan mereka mempunyai kedai sendiri di Hulu Langat dan Kuala Kubu, Selangor serta Tampin, Negeri Sembilan selain bantuan pemasaran dari FAMA Kuala Selangor dan Puchong dan Jabatan Perikanan.
"Kami mendapat maklum balas yang baik daripada penternak.

"Malah kami mempunyai pelanggan dari Pahang yang mahukan palet pada saiz yang berbeza," katanya. Bagi memberikan kemudahan dan penjimatan pada pihak penternak, beliau memberikan pilihan tanpa bungkusan dengan potongan sehingga RM2 sebagai sokongan kepada kempen alam sekitar.

Kandungan protein bagi pemula atau starter adalah 32 peratus, grower 28 peratus dan finisher 18 peratus. Sementara itu menurut Md. Azmi, mereka mempunyai kolam di Telok Gong pada tanah seluas seekar dan 14 ekar di Kuala Kubu yang disewa daripada Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi (Pengurus Operasi Ternakan), Kompleks Pasar Tani Borong FAMA Puchong, Mohd Ikmal Izha Mohd Faiz berkata, buat masa sekarang pihak FAMA memasarkan tujuh hingga 10 tan makanan ikan FyDMA Ventures sebulan.

"Setiap bulan permintaan semakin bertambah dan kami berharap semua penternak ikan akan menggunakan makanan ikan FyDMA yang dikeluarkan oleh Bumiputera dan dijamin halal," katanya.

Penternak ikan yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai makanan ternakan ikan boleh mendapatkannya di pejabat FAMA negeri atau hubungi 03-31012459.

No comments:

Post a Comment