Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Thursday 30 June 2011

Berbasikal ke Pejabat

Berbasikal salah satu riadah yang baik untuk kesihatan.

Kerajaan Negeri Melaka akan melancarkan program Jom Berbasikal ke Pejabat sebagai satu usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar dan juga merealisasikan matlamat Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau akan mengetuai barisan Exco kerajaan negeri menunggang basikal ke pejabat pentadbiran di Seri Negeri Jumaat ini.

"Mulai Jumaat ini saya akan menunggang basikal dari rumah di Seri Bendahara ke pejabat dan ini akan turut disertai oleh Exco kerajaan negeri yang lain.

"Tujuan program ini diadakan adalah sebagai langkah permulaan bagi menggalakkan kakitangan kerajaan dan orang ramai menggunakan basikal ke tempat kerja masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Sebagai langkah menggalakkan orang ramai menggunakan basikal kata Mohd. Ali, kerajaan negeri akan membina laluan basikal pergi dan balik dari Seri Negeri hingga ke Kampung Tun Razak dekat sini.

Katanya, jalan seluas 5 kaki itu akan mula dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mulai esok. "Ini adalah laluan basikal pertama kita bina bagi memudahkan kepada orang ramai yang berminat menunggang basikal untuk pergi ke pejabat," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga bercadang untuk meluaskan pembinaan laluan basikal di beberapa kawasan utama di bandar raya ini yang akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Dalam pada itu beliau menambah, program berbasikal akan diperkenalkan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dilancarkan pada 7 Julai ini.

Ujarnya, program itu menetapkan setiap Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di negeri ini menganjurkan program berbasikal serentak pada pukul 7 pagi.

Wednesday 29 June 2011

Fikiran Kusut Antara Punca Kemalangan

Kepala Kusut

Fikiran kusut, mengejar kad perakam waktu atau tergesa-gesa ke tempat kerja dikatakan antara punca kemalangan semasa pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Kebanyakan kemalangan berlaku pada waktu pagi antaranya kerana fikiran kusut memikirkan pelbagai tanggungjawab untuk dilaksanakan hari itu, mengejar kad perakam waktu atau lambat bertolak dari rumah," kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau melancarkan Kempen Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja Kebangsaan 2011. Beliau berkata, jumlah kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja meningkat 38 peratus dengan 22,036 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 20,810 kes pada tahun sebelumnya.

Katanya, daripada jumlah itu, 63 pekerja meninggal setiap bulan kerana kemalangan semasa berulang-alik ke tempat kerja. Maznah turut berkata, kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 80 peratus mangsa kemalangan adalah pekerja lelaki yang melibatkan pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, Perkeso mengeluarkan RM1.8 bilion pampasan kepada pekerja yang mengalami kemalangan sewaktu di tempat kerja atau pun sewaktu berulang-alik ke tempat kerja berbanding RM1.3 bilion pada tahun 2009.

"Sasaran pengurangan sebanyak 30 peratus kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja diharap dapat dicapai tahun ini sempena kempen yang dilancarkan bermula hari ini.

"Saya harap kempen ini akan dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran betapa tingginya risiko berulang-alik ke tempat kerja. Ia tertumpu kepada 100 majikan yang pekerjanya paling tinggi terlibat kemalangan ke tempat kerja," katanya.

Maznah berkata, kempen juga akan tertumpu kepada kawasan kemalangan berisiko tinggi di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Ipoh.

Monday 27 June 2011

Pertanian Organik


Sayur Organik

Pertanian Organik adalah amalan yang menggabungkan antara kaedah manual, teknologi moden dan juga keseimbangan alam. Amalan ini bertujuan menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi tanpa menggunakan bahan kimia sebagai baja mahupun mengawal perosak dan penyakit.

Pertanian organik mengembalikan keseimbangan alam sekitar dengan tidak memberi sebarang kesan yang mencemarkan alam sekitar.
Maka, tidak salah jika kita melabelkan pertanian organik adalah suatu amalan pertanian yang mesra alam.

Disebabkan dunia hari ini diancam pelbagai bentuk pencemaran hingga mencetuskan pelbagai penyakit yang berpunca daripada makanan, maka banyak negara mula menggalakkan makanan organik. Ia adalah salah satu cara terbaik bagi menangani semua masalah kesihatan manusia dan pencemaran alam.

Bak kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati, marilah kita sama-sama mengubah cara pemakanan kita dengan makanan yang ditanam secara organik.

Lokasi
  • Kawasan yang bebas atau jauh daripada pencemaran.
  • Hampir dengan sumber air yang bersih.
  • Tidak berdekatan dengan ladang konvensional (bukan organik).
  • Sebaiknya pilih kawasan yang baru diterokai bagi petani yang ingin. membuka ladang organik komersial.
  • Wujudkan kawasan penampan (bahan atau tumbuhan pencegah pencemaran) seperti tembok, parit dan tumbuhan yang tinggi dan ditanam rapat.
Penanaman
  • Guna biji benih atau pembiakan vegetatif yang bebas daripada racun kimia.
  • Dua kaedah penanaman iaitu semaian biji benih atau tanam terus di atas batas. Guna kompos dan baja organik untuk penyediaan batas.
  • Bahan organik, baja organik, dan hormon pertumbuhan semulajadi seperti FFJ (fermented fruit juice) dan FPJ (fermented plant juice) sebagai baja tanaman.
  • Penyiraman perlu dilakukan dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Guna sumber air bebas klorin.
Kawalan rumpai
  • Rumpai yang tumbuh dalam batas dan di luar batas perlu sentiasa dibuang. Ini kerana rumpai boleh menjadi perumah bagi sesetengah serangga perosak.
  • Dua kaedah kawal rumpai iaitu secara manual (merumput) atau menggunakan mesin pemotong rumput.
  • Kerja merumput perlu dilakukan sebaik-baiknya seminggu sekali. Kurang rumpai bermakna kurang persaingan antara rumpai dan tanaman. Serangga perosak juga boleh dikurangkan.
  • Sungkupan boleh digunakan untuk mengawal masalah rumpai. Selain itu, ia dapat mengekalkan kelembapan tanah. Contoh sungkupan ialah plastik silver shine , jerami padi, daun-daun kering dan sabut kelapa.
Kawalan perosak dan penyakit
  • Kultura: Guna jarak tanaman yang disyorkan, tanam varieti rintang/toleran penyakit, sungkupan, tanaman selingan/giliran, tanam pokok repellent (penarik atau penghalau serangga perosak).
  • Mekanikal: Bungkus buah, pasang bunyi bising waktu malam untuk halau haiwan perosak dan kawal rumpai dengan menggunakan jentera kecil.
  • Fizikal: Perangkap cahaya, perangkap warna (kuning/biru), feromon, pagar, rumah kalis serangga.
  • Biologi: Penggunaan serangga, kulat, bakteria dan virus bermanfaat yang merupakan pemangsa semulajadi serangga perosak.
  • Semburan Racun Organik: Jenis racun organik bergantung pada jenis perosak dan penyakit tanaman tersebut.
Kutipan hasil
  • Hasil sayuran organik dituai setelah ia cukup matang. Sayuran jenis daun elok dibasuh untuk membuang sisa tanah yang melekat pada daun dan batang sayur.
  • Waktu yang sesuai untuk menuai adalah awal pagi atau lewat petang. Ini akan mengurangkan stress tanaman (sayur tidak cepat layu).
  • Impan sayur pada suhu antara 10 dan 12ÂșC. Sayur akan tahan selama seminggu atau lebih.
  • Selepas satu atau dua kali penanaman dilakukan pada batas yang sama, batas perlu direhatkan lebih kurang dua minggu tanpa sebarang tanaman. Ini bertujuan untuk mengembalikan semula kesuburan tanah.
  • Sebaik-baiknya tanam tanaman jenis kekacang (kacang tanah, kacang hijau, kacang soya dan lain-lain) tiga kali setahun untuk mengembalikan semula nutrien yang telah hilang. Selain itu, kita akan dapat hasil sampingan iaitu kekacang.
Kebaikan pertanian organik
  • Hasil sayur segar, berkualiti dan semestinya selamat dimakan tanpa sebarang kesan sampingan.
  • Ia bebas daripada penggunaan bahan kimia/sintetik yang boleh menjadi punca penyakit.
  • Mengekalkan keseimbangan ekosistem alam, memelihara mikrorganisme tanah, memulihara tanah dan secara tidak langsung kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
  • Rasa sayuran organik lebih segar, rangup dan tahan lebih lama jika disimpan pada suhu yang sesuai.

Tuah Dalam Pertanian

Marina Nasir dan Mohamed Firdaus Mokhtar kini boleh berbangga dengan pencapaian projek pertanian sayur-sayuran yang mereka usahakan di Sijangkang.

Mungkin ramai pengusaha pertanian atau usahawan yang pernah melalui saat getir. Jatuh dan bangkit semula sama ada dalam bidang perniagaan yang sama atau berjaya selepas beralih ke bidang lain.

Itu pun selepas lama menceburkan diri, gagal dan selepas mencapai usia tertentu. Kadangkala datang perasaan putus asa lantas mengambil keputusan untuk berundur.

Namun, tuah mungkin menyebelahi Dewi Marina Nasir, 27, yang mencuba banyak cabang perniagaan tetapi tidak begitu berjaya pada awalnya. Tetapi berkat ketabahan dan kegigihan, beliau akhirnya boleh menarik nafas lega.

Beliau yang mesra dipanggil Marina menceburkan diri dalam perniagaan kecantikan pada awalnya meskipun memiliki kelayakan akademik dalam pengurusan pelancongan.

Mengimbau kembali saat menceburkan diri dalam perniagaan, Marina, anak kelahiran Johor itu memberitahu beliau pernah bekerja sebagai penyelaras pelancongan bermula tahun 2003.

Minatnya dalam perniagaan muncul selepas bekerja dalam industri tersebut dan mula mencongak bidang yang dapat menambat jiwanya.
Semangat yang sudah berputik itu tidak dipersiakan.

Lantas dalam usia yang begitu muda dia membuka salun kecantikan pada 2005. Beroperasi selama tiga tahun iaitu sehingga 2008, meskipun salun berkenaan menunjukkan tanda-tanda untuk berkembang, Marina bagaimanapun melihat peluang lain yang dirasakan mendatangkan pulangan lebih baik.

"Cabarannya besar tetapi saya rasakan sesuatu yang lebih baik. Selepas terbaca iklan dalam sebuah akhbar berkaitan kursus penanaman cili saya menyertainya," ungkap Marina.

Berkongsi lebih lanjut pada pertemuan itu yang turut ditemani suaminya, Mohamed Firdaus Mokhtar, 27, Marina berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan asas dan pengalaman dalam bidang pertanian.

"Saya redah sahaja, tapi saya yakin. Pertanian moden bukan lagi menggunakan cangkul," katanya ketika ditemui di ladangnya di Sijangkang Selangor. Kerana berasakan diri daif dalam pertanian, dia mendapatkan bantuan lanjut daripada Insitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai penanaman cili khususnya teknologi fertigasi.

Teknologi penanaman fertigasi merujuk kepada kaedah yang menggunakan sistem pengairan dan pembajaan serentak yang disalurkan terus kepada pokok menggunakan paip khas. Baja dicampur dengan air dalam satu tangki khas pada kadar yang telah ditetapkan dan disalurkan mengikut keperluan pokok.

Selepas memperoleh maklumat tambahan dan memahami serba sedikit teknologi penanaman cili, Marina tidak menoleh ke belakang lagi. Selepas menjual salunnya, dia sudah mula mengumpul modal hasil jualan tersebut dan mendapatkan sumber lain hasil simpanan peribadi dan meminjam daripada keluarga serta saudara mara.

Hasilnya sebanyak RM70,000 berjaya dikumpulkan. Bagi memulakan usaha beliau menubuhkan syarikat Green Agro World yang beribu pejabat di Klang Selangor. Selain menjadi penggerak kepada projek penanaman cili, syarikat terbabit juga membekal dan menjual hasil pertanian dan penternakan, menjual peralatan pertanian serta menjual, memborong dan mengedar produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Selaku Pengarah Projek, Marina berperanan penting bagi memastikan cita-citanya untuk maju dalam bidang perniagaan tercapai, apatah lagi pertanian merupakan bidang baru baginya. Suaminya pula memberi tumpuan menyediakan kelengkapan infrastruktur dan logistik selain membantu Marina mencari pasaran.

"Saya bermula di Jalan Tanjung (Sijangkang) dengan menyewa tanah pada peringkat awal dengan dibantu tiga orang pekerja berkeluasan satu hektar atau dengan kapasiti 4,000 pokok cili. "Tidak lama selepas itu, tiga hektar lagi dibuka dengan kapasiti 12,000 pokok di Jalan Mawar," ujarnnya.

Sehingga kini dia mempunyai 24 hektar kawasan penanaman cili fertigasi baka kulai di sekitar Sijangkang dengan 10 hektar mengandungi 4,000 pokok cili manakala 14 hektar lagi ditanam 5,000 pokok cili sehektar.

Marina bertuah kerana dia mendapat bimbingan pakar penanaman cili secara fertigasi dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid. Kata Marina, meskipun dia mendapat bimbingan dalam penanaman cili menggunakan struktur pelindung hujan (SPH), dia tidak mengaplikasikan sistem SPH bagi mengurangkan kos pembangunan.

Marina juga mendapatkan bimbingan daripada Agrobank dalam aspek pengurusan selain mendapatkan pinjaman RM50,000 daripada bank terbabit menerusi skim mikrokredit pada 2009. Kini dia mampu mengeluarkan antara 700 kilogram cili sehari dan bercadang meningkatkan pengeluaran kepada 26 tan sebulan pada hujung tahun ini.

Setiap pokok cili yang ditanam pula mampu mengeluarkan 120 buah cili atau empat kilogram semusim. Beliau banyak memasarkan cili ke pasar borong dan bagi mengekalkan pengeluran agar lebih stabil penanaman dilakukan secara berjadual supaya pengeluaran sentiasa ada.

Dalam pada itu, bagi meminimumkan kos operasi, Marina mengggunakan pendekatan kitar semula cocoa peat sebagai medium penanaman.  Sabut kelapa yang telah digunakan, dikitar semula sebagai medium penanaman untuk musim seterusnya selepas proses rawatan yang teliti.

Untuk tujuan itu, syarikatnya telah membeli tiga mesin yang boleh mengitar semula sehingga 100 polibeg sehari.

Sunday 26 June 2011

Bicara Seks


Sekiranya lelaki gagal mendapat ereksi optimum dia mungkin akan mengecewakan pasangannya.

Fitrah manusia dianugerahkan dengan akal fikiran, perasaan, nafsu dan keinginan. Justeru perkahwinan dilihat sebagai satu saluran untuk memberi kedamaian dan ketenteraman dua jiwa antara lelaki dan wanita dalam memenuhi fitrah tersebut.

Dalam Islam, ia juga sebagai menghalalkan perhubungan kelamin supaya mendapat keberkatan daripada Allah. Namun jika perhubungan intim suami isteri tidak menjadi seperti yang diharapkan pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga.

Sebab itu sering kedengararan bahawa seks dan meraih kepuasan daripadanya bukanlah perkara utama dalam perhubungan suami isteri. Tetapi benarkah itu yang ada dalam hati mereka? Atau mereka sebenarnya malu dan tabu untuk membicarakan hal seks kerana tidak mahu disalah anggap sebagai bercerita hal dalam kelambu masing-masing?

Tetapi ramai yang tidak sedar atau lupa bahawa komunikasi adalah kunci utama bagi permasalahan seks suami isteri. Ia nampak kecil. Tetapi sebenarnya ia ibarat bom jangka yang tidak mustahil akan meletuskan perbalahan lebih besar jika tidak ditangani.

Apabila membicarakan soal kepuasan seks dalam rumah tangga, apakah kunci atau ukuran sebenar kepuasan seksual dan keintiman antara lelaki dan perempuan?

Menerusi kaji selidik oleh syarikat farmasutikel terkenal, Pfizer, mendapati kebanyakan pasangan di Malaysia berpendapat tahap ketegangan merupakan kunci utama kepuasan seksual. Bukti yang diperolehi menerusi hasil kaji selidik yang dinamakan Kajian Seks Ideal itu diadakan pada bulan Disember tahun lalu.

Ia melibatkan 3,282 responden lelaki dan wanita dari 10 buah negara Asia Pasifik termasuk Malaysia. Kajian itu sememangnya amat diakui kepentingannya memandangkan ia satu isu yang agak tabu dan kurang dibicarakan secara terbuka oleh pasangan di negara ini.

Dalam pada itu ia juga perlu demi memahami pemikiran lelaki dan wanita dalam menentukan persekitaran yang ideal. Ia turut merumuskan pandangan lelaki dan wanita tentang bentuk badan, kesihatan organ reproduktif, personaliti, gaya hidup yang diidamkan, hubungan seksual mengikut ukuran Erection Hardness Score (EHS).

Pakar Urologi dari Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. George Lee berkata, kualiti ketegangan atau ereksi bukan sahaja memberi kepuasan kepada kaum lelaki secara fizikal, psikologi dan emosi tetapi ia juga sama penting untuk pasangan mereka.

“Dalam penjagaan kesihatan khususnya, memang wujud diskriminasi. Cuba kita utarakan persoalan ini, antara lelaki dan wanita mana yang mudah jatuh sakit? Jika secara rambang, pasti jawapannya lelaki. Namun mengikut kajian, perempuan lebih mudah jatuh sakit dari lelaki.

“Jika ditanya siapa umur lebih panjang? Wanita hidup lebih lama dari lelaki. Ini kerana lelaki dikaitkan dengan kuat merokok dan minum alkohol. Padahal yang sebenarnya lelaki susah mengakui yang mereka sedang sakit. Sehinggalah penyakit tersebut jadi kronik barulah mereka mahu merujuk kepada doktor,” jelasnya pada satu sesi perbincangan anjuran Pfizer di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Dr. Lee, bukan mudah mengubah tanggapan lelaki bahawa isu mati pucuk itu satu penyakit. “Lelaki terlalu tabu untuk membicarakan tentang seks, terutama yang melibatkan kekurangan mereka. Sekiranya seseorang lelaki mendapat ereksi optimum, dia mencapai kemampuan seksual yang lebih baik dan boleh memuaskan pasangannya.

“Dengan gaya kehidupan seksual yang membahagiakan, lelaki yang baik pada prestasi seksnya mempunyai imej diri dan keyakinan yang lebih baik. Mereka merasa lebih berjaya dari orang lain,” jelas Dr. Lee yang juga merupakan salah seorang panel pengkaji dalam Kajian Seks Ideal untuk Malaysia.

Selain daripada pengalaman seks yang ideal, kajian itu juga menunjukkan kaitan di antara kualiti ereksi lelaki dan kaitannya dengan status kesihatan mereka. “Apa yang kebanyakan lelaki tidak tahu ialah kegagalan fungsi ereksi merupakan salah satu tanda awal bagi penyakit kardiovaskular. Lazimnya ia berlaku seiring dengan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

“Akibat daripada kadar kolesterol dan diabetes yang tinggi, salur darah akan dihalang oleh pengumpulan lemak di sepanjang dinding arteri. Lama kelamaan salur darah ini akan mengeras dan menjadi sempit, mengakibatkan pengaliran darah tidak mencukupi ke organ-orang penting.

“Salur darah di bahagian kelamin lelaki lebih kecil berbanding tubuh lain. Jadi apabila bahagian ini bermasalah, bahagian tubuh lain turut terlibat terutama sekali jantung,” katanya. Mengambil berat akan kualiti ereksi dan mendapat rawatan pencegahan melalui khidmat nasihat profesional bukan sahaja meningkatkan pengalaman seksual dan imej diri malahan ia boleh meningkatkan keseluruhan tahap kesihatan anda.

Kesimpulannya, amat baik pasangan berbincang dan mengambil bahagian dalam proses kaunseling bersama doktor. Tetapi, pasangan perlu pastikan komitmen mereka jika mahukan hasil yang berkesan. Adakalanya, beberapa sesi kaunseling seksual berupaya membantu lelaki yang akan menjalani rawatan berkaitan mati pucuk.

Ia sekali gus menjadikan mereka bersedia dari segi minda dan mempunyai perasaan positif untuk menjalani kehidupan yang lebih baik selepas itu. Saranan kaunselor juga mampu mendorong pasangan untuk memperbaiki komunikasi seksual dan hubungan cinta mereka.

Banyak Fikir Jejas Prestasi Seks


Kegagalan dalam hubungan seks boleh penyumbang kepada keretakan rumah tangga.

Benarlah seperti yang sering diluahkan oleh rakan sepejabat, kerja yang banyak duduk lebih memenatkan daripada kerja yang menggunakan tulang empat kerat.

Pekerjaan yang memerlukan seseorang itu banyak berfikir memang memberi kesan kepada kesejahteraan minda. Lebih-lebih lagi jika individu tersebut tidak pandai menyeimbangkan dan mengambil langkah awal sekiranya menghampiri masalah.

Pakar psikiatri dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari tidak menafikan kebanyakan hubungan seks bermasalah yang dirujuk kepadanya adalah dari kalangan mereka yang bekerja pejebat.

Pekerjaan yang memerlukan banyak berfikir memang memberikan kesan. Apabila diselidiki didapati mereka ini ada masalah disfungsi erektil (ED) atau dalam bahasa mudahnya mati pucuk.

"Masalah ini berbeza daripada mereka yang bekerja dengan menggunakan kudrat. Inilah trend yang kami dapat perhatikan di sini," jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini. Jadi menurutnya, adalah amat baik bagi seseorang pekerja itu menyeimbangkan antara kerjaya dan kehidupan.

Perlu peruntukan cuti dan mesti memaksimumkan masa sebaiknya dengan pasangan masing-masing,". Kata Dr. Muhsin lagi  adalah amat mustahak untuk setiap pasangan berkomunikasi secara terbuka tentang masalah yang mereka alami.

Ia bukan sekadar gangguan rumah tangga seperti orang ketiga, keluarga mertua atau masalah hidup berasingan, tetapi ini melibatkan masalah seksual. Memang ia sukar dikesan kerana setiap pasangan terutama di pihak lelaki amat tabu untuk membicarakan soal ini secara terbuka dengan isteri sendiri apatah lagi dengan ahli profesional.

"Sebenarnya masalah seks juga menjadi penyumbang kepada keretakan rumah tangga," ujarnya. Dr. Muhsin berkata, masalah seksual terutama yang melihatkan prestasi seksual lelaki seperti ED adalah masalah yang boleh dirawat. Ada juga kes di mana pasangan suami isteri itu sudah enam tahun berkahwin dan tidak mempunyai anak, bila diselidik rupanya suami ada masalah ED.

"Sebab itu komunikasi amat penting dan perlulah tahu bahawa ada rawatannya," ujarnya. Menurutnya, para psikiatri akan memastikan tiada penyakit fizikal lain yang menyumbang. Jika ada ia perlu dirawat satu persatu.

Masalah ED ini bersangkut paut dengan masalah lain. Tetapi jika tidak diluahkan kita tidak tahu puncanya. Mungkin asalnya masalah tersebut datang dari tempat kerja dan melarat hingga ke rumah.

Jika pendam masalah ketidakpuasan seks ini dan tidak dirawat boleh menjurus ke arah kemurungan. Bila jadi lebih teruk ia diibaratkan seperti kitaran pula apabila akan menimbulkan pelbagai lagi masalah lain, katanya.

Klinik terapi seks menurut Dr. Muhsin, mungkin tahap kepuasan seks di Malaysia tidaklah seburuk di Singapura yang menubuhkan klinik khas bagi terapi seks.

Namun tidak mustahil satu hari nanti ia akan jadi seperti itu kerana cara hidup yang berubah dengan arus pemodenan dan tekanan sekeliling. Di Malaysia belum ada klinik khusus untuk terapi seks. Namun masalah berkaitan psikologi seks ini boleh dirujuk kepada ahli psikiatri dan psikologi.

Memang tidak ada salahnya jika mewujudkan klinik terapi seks namun tidak dinafikan stigma masyarakat Malaysia yang masih tabu dengan isu ini menjadi halangan kejayaannya. Namun alternatif tetap ada. Di PPUM sendiri, kami mempunyai klinik untuk wanita yang boleh membincangkan masalah berkaitan peribadi untuk mendapat penyelesaian yang terbaik bagi mereka.

"Memang lelaki lebih ego, namun jika ia berkaitan dengan masalah ED ketahuilah ada rawatannya dan ia bersifat sementara. Sebagai individu yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka harus juga berkorban mengubah gaya hidup kepada yang lebih baik," ujarnya.

Dr. Muhsin menegaskan, sebaiknya setiap pasangan suami isteri bersikap terbuka dan berkomunikasi. Cuba fahami pasangan anda dan bebanan emosi yang mereka tanggung. Dan jika sudah diutarakan rasa tersebut, suami atau isteri itu carilah rawatan.

"Masyarakat perlulah bersikap terbuka sebab kebanyakan kes yang berlarutan adalah apabila ia tidak dibicarakan dari peringkat awal. Apabila ia berlarutan bukan sekadar memberi kesan negatif kepada rumah tangga malah produktiviti kerja juga terjejas," jelasnya.

Saturday 25 June 2011

Potensi Ikan Tilapia


Ikan Tilapia matang yang cukup umur akan dituai sebelum dimasukkan ke dalam kolam jualan.

Sebelum terlibat secara serius dalam ternakan ikan air tawar, Abdul Karim Mohd. Yusof, 50, telah mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu dan maklumat bersesuaian.

Antara yang dilakukan seperti membuat kajian dan penyelidikan terhadap potensi perniagaan tersebut selain mengenalpasti permintaan pasaran.Tujuannya adalah untuk memastikan dia benar-benar bersedia memulakan aktiviti ternakan itu sekali gus berhadapan dengan segala cabaran mendatang.

Selepas semuanya berjalan lancar, pada awal tahun lepas, Abdul Karim memulakan perusahaan ternakan ikan air tawar di tanah milik bersama adiknya seluas 2.4 hektar ( enam ekar) di Kampung Padang Melekek Luar, Alor Gajah, Melaka.

Sebagai permulaan, saya dan adik membuka lima buah kolam untuk menternak ikan keli dengan modal RM100 ribu. Peringkat awal penglibatan, saya banyak dibantu oleh Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah daripada segi khidmat nasihat dan juga latihan.

''Selain itu, saya turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melekek Luar serta ahli keluarga yang banyak membantu,'' katanya ketika di temui di kolam ternakannya di Melaka baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, operasi penternakan itu dijalankan di bawah penjenamaan syarikatnya, Mentari Timur Agrofarm yang ditubuhkan pada awal 2010. Selepas melihat perjalanan operasi ternakan keli yang terus stabil dan konsisten, dia terdorong untuk cuba menternak ikan tilapia pula.

Percaturannya berhasil apabila ternakan tilapia yang diusahakan memberi hasil memuaskan serta menerima permintaan tinggi. Abdul Karim kemudiannya mengambil keputusan untuk lebih memberi fokus dan komitmen terhadap penternakan tilapia.

Kini, dia dan adiknya mempunyai sebanyak 19 buah kolam ternakan dengan 15 daripadanya merupakan kolam ternakan tilapia dan selebihnya ikan keli.

Bagaimanapun, dia turut bercadang menambah kapasiti ternakan kelinya pada masa akan datang. Bercerita mengenai perniagaan ternakan ikan air tawarnya, Abdul Karim memberitahu, dia dan adiknya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutama di peringkat awal.

Sebagai contoh, dahulu kami mengambil anak benih ikan daripada pembekal di Ipoh, Perak. Apa yang menjadi masalah, banyak anak benih ini mati disebabkan jarak perjalanan yang agak jauh.

''Mencari penyelesaian masalah itu, kami kemudian membeli pula anak benih daripada pembekal di sekitar kawasan negeri Melaka,'' katanya yang turut mempunyai perniagaan pengurusan sisa pepejal di sekitar Lembah Klang dan juga Alor Setar, Kedah.

Cabaran lainnya, ketika fasa awal aktiviti penternakan, dia berhadapan dengan masalah keadaan tanah dan air yang belum disesuaikan lagi. Namun, untuk fasa kedua, dia dan adiknya semakin mempelajari teknik penternakan yang bersistem dengan penggunaan air yang lebih serasi untuk ternakan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut berhadapan dengan cabaran penyakit serta serangan binatang seperti burung dan biawak. Untuk mengatasi masalah tersebut, dia ada mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah.

''Pegawai Perikanan Daerah sering datang membuat lawatan untuk memberi nasihat dalam pelbagai perkara selain memeriksa sukatan kandungan pH dan kesesuaian air kolam yang diperolehi daripada anak sungai berhampiran,'' jelasnya yang turut dibantu oleh adiknya, Samsuddin Mohd. Yusof bersama beberapa kakitangan lain.

Ikan Tilapia Sangkar


Ikan Tilapia

Tilapia merah atau nama saintifiknya Oreochromis sp dari famili Cichlidae adalah spesies ikan air tawar yang berasal dari Benua Afrika. Ia mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 50-an, mempunyai kadar tumbesaran yang cepat serta warna yang menarik.

Ternakan ikan sangkar merupakan suatu proses pemeliharaan ikan dari peringkat juvenil hingga ke peringkat kutipan hasil. Kaedah ternakan dalam sangkar biasanya dijalankan di kawasan di mana kolam tidak dapat dibina seperti di kuala sungai, selat, bekas lombong lama dan tasik.

Pemilihan tapak

Lokasi yang dipilih akan menentukan keupayaan muatan sangkar (carrying capacity) kerana kualiti air bergantung kepada keadaan persekitaran luar sangkar.

Aliran air menerusi sangkar semasa bekalan air dari empangan, tiupan angin atau pergerakan ikan dalam sangkar akan menambahkan oksigen terlarut dan mengeluarkan bahan buangan dari dalam sangkar.

Antara faktor penting yang perlu diberi perhatian semasa pemilihan tapak pemasangan sangkar ialah kualiti air, kedalaman air dan kelajuan air. Kualiti air dan persekitaran yang baik akan memberi kesan terhadap tumbesaran dengan cepat bagi sistem ternakan secara intensif.

Berikut adalah parameter dimana suhu air (20-35 darjah C) optimum (28-32 darjah C), pH air - 6-8, oksigen terlarut - lebih dari 2.5 ppm, karbon dioksida - kurang dari 2.5 ppm dan ammonia - kurang dari 1.0 ppm.

Reka bentuk dan pembinaan sangkar

Model sangkar yang digunakan mengandungi 20 petak sangkar pada setiap array. Saiz kerangka bagi satu petak sangkar adalah 3.45 meter (m) x 3.45 m iaitu 3.45 m panjang dan 0.45 m tinggi.

Struktur kerangka sangkar disaran menggunakan bahan plastik HDPE (High density polyethlene). Saiz mata pukat 250 mm yang digunakan sesuai untuk pertukaran air yang maksimum. Kedalaman jaring pukat kurungan ikan adalah antara 1.8 - 2.0 meter.

Isipadu jaring kurungan ikan dalam sangkar bersaiz 3 m x 3 m adalah antara 16-18 meter padu. Sangkar yang menggunakan kerangka besi (G.I Pipe) bersaiz 6 m x 6 m juga boleh digunakan bagi mengurangkan kos.

Pengasuhan anak ikan

Anak ikan yang bersaiz 2.5-5.0 sentimeter (sm) perlu diasuh terlebih dahulu sebelum dilepas ke dalam sangkar atau kolam ternakan. Tujuan pengasuhan adalah untuk memilih anak ikan yang sihat, cepat membesar dan bersaiz seragam (antara 50 dan 70 g seekor) serta memastikan agar anak ikan tidak terkeluar dari sangkar.

Kadar pelepasan benih

Kadar perlepasan bagi benih di dalam sangkar asuhan adalah 100 ekor semeter persegi. Kadar perlepasan bagi ternakan pula ialah 40 ekor semeter persegi. Kadar perlepasan yang rendah akan merugikan ruang yang terdapat dalam sangkar. Kadar perlepasan yang terlalu tinggi pula boleh menyebabkan ikan lambat membesar dan merugikan masa ternakan.

Setelah mencapai saiz 7-10 sm ( antara 50 dan 70 gram seekor), anak benih ikan tilapia sesuai dipindahkan ke sangkar ternakan dengan jumlah 500 ekor setiap sangkar bagi sangkar bersaiz 3 m x 3 m manakala sangkar bersaiz 6 m x 6 m boleh dimasukkan 2,000 ekor benih.

Masa untuk melepaskan benih

Masa yang sesuai untuk melepaskan benih ikan ke dalam sangkar ialah pada waktu pagi dan lewat petang. Elakkan melepaskan benih pada waktu tengahari kerana pada masa ini cuaca panas dan akan memberi tekanan kepada benih ikan.

Pada masa itu suhu air dalam beg plastik dan suhu air disangkar mungkin berbeza di mana perbezaan suhu yang ketara boleh mengakibatkan ikan mengalami tekanan dan kematian yang tinggi.

Kaedah pelepasan benih

Sukat suhu dari dalam tangki serta suhu air sangkar dan buat perbandingan. Sekiranya suhu air dalam bekas lebih tinggi dari suhu air sangkar, maka perlu menambah air batu ke dalam tangki supaya suhu air menurun sehingga ke paras yang sama dengan suhu air sangkar.

Sekiranya suhu air sangkar lebih tinggi dari suhu air dalam bekas benih maka tindakan menjemur tangki perlu dilakukan sehingga suhu air meningkat dan sama dengan suhu air sangkar.

Setelah suhu sama, buka ikatan beg plastik dan masukkan air sangkar sedikit demi sedikit ke dalam beg plastik dan biarkan benih keluar sendiri dari beg plastik.

Pemakanan

Makanan semulajadi adalah terdiri dari makanan asasi seperti plankton yang terdiri dari fitoplankton dan zooplankton. Ia penting bagi benih ikan di peringkat asuhan dan boleh didapati di dalam kolam seperti Moina, rotifer, cladosera, daphnid dan sebagainya.

Makanan rumusan pula adalah merupakan makanan yang lengkap dan seimbang terdiri dari tiga kategori iaitu pelet pemula diberikan kepada benih yang baru dilepaskan sehingga berumur satu hingga dua bulan.

Pelet pertumbuhan merupakan makanan tumbesaran untuk ikan yang berumur melebihi dua bulan hingga empat bulan. Pelet pengakhir pula adalah makanan penamat di mana saiznya lebih besar dari makanan tumbesaran dan diberi kepada ikan yang berumur melebihi lima bulan sehingga mencapai saiz pasaran.

Selain makanan tambahan sisa pertanian juga boleh diberi seperti daun ubi dan kangkong, sisa sayuran, dedak padi, gandum dan barli juga sisa dari kilang seperti hampas soya dan hampas kacang tanah dan ikan baja.

Penuaian

Ikan tilapia dituai apabila mencapai saiz antara 500 dan 600 g seekor. Bagi pasaran restoran, keutamaan diberi kepada ikan yang bersaiz melebihi 600 g seekor dalam bentuk ikan hidup.

Jika kadar pelepasan ikan tilapia pada setiap sangkar adalah sebanyak antara 650 dan 850 ekor, anggaran hasil yang dituai adalah antara antara 350 dan 400 kg sesangkar. Penuaian ikan hendaklah dilakukan dengan baik untuk mengelakkan ikan dari terkejut (stress).

Kawalan dan kesihatan

Penyakit ikan boleh berlaku atau disebabkan kekurangan oksigen larut dalam air, baja ternakan yang tidak reput, sumber makanan yang dijangkiti penyakit dan cuaca yang terlalu panas akan menyebabkan ikan mengalami tegasan dan lemah.

Keadaan ini akan menyebabkan agen penyakit akan menyerang ikan dan berlakunya jangkitan penyakit ikan penyakit juga boleh dibawa masuk ke kawasan ternakan melalui anak ikan yang diimport atau dibeli dari sumber yang tidak menentu. Penyakit tompok putih iaitu penyakit yang disebabkan protozoa.
  • Tanda-tanda penyakit adalah tompok putih pada badan dan sirip ikan.
  • Ikan akan menjadi lemah dan timbul di atas permukaan.
Rawatan yang boleh digunakan ialah dengan memasukkan ikan yang diserang dalam larutan formalin dan garam dengan kepekatan 1000 ppm + 20-25 ppm 3 kali berturut-turut (setiap dua hari) selama dua minggu atau Kalium permangganat 2.0 ppm tiap-tiap hari selama 3 hari untuk atau natrium klorida dengan kepekatan 10 ppt tiap-tiap hari selama 3 hari.

Penyakit jangkitan trichodina disebabkan oleh parasit dan menyerang bahagian kulit dan insang ikan. Akan terdapat lendir yang berlebihan pada kulit dan insang. Rawatan Rendam dalam Formalin 25 ppm 2 hari berturut-turut selama 1 minggu. Penyakit Argulosis Bintik-bintuk merah. Rawatan : Rendam dalam Formalin - 2.0 ppm.

Makanan Ikan Halal

Harga makanan ternakan seperti kambing, lembu, ayam dan ikan banyak bergantung kepada kos makanan ternakan berkenaan. Ramai penternak yang hampir gulung tikar akibat kos makanan ternakan yang melambung akibat permintaan yang semakin bertambah saban tahun.

Justeru, bagi mengatasi masalah harga makanan ternakan tidak stabil, sebuah syarikat bumiputera memberanikan diri mengorak langkah mengeluarkan makanan ikan bagi memenuhi permintaan penternak ikan terutama ikan air tawar.

Membangunkan kilang makanan ikan bukan sesuatu yang mudah bagi dua beradik Md. Azman dan Mohd. Azmi Mohd. Shariff. Mohd. Azmi seorang ahli farmaseutikal manakala Md. Azman pula ahli kimia sememangnya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perikanan.

Bermula dengan hobi memelihara ikan di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor, dua beradik itu mencuba nasib kepada makanan ternakan memandangkan harganya yang tidak stabil.

Tanpa pengalaman, kedua-dua beradik ini bermula daripada sifar mengharungi segala pahit-maung sepanjang melibatkan diri. Jika syarikat besar menggunakan bahan-bahan import, Azmi dan Azman menggunakan hampir 90 peratus bahan mentah tempatan seperti tepung ikan dan tepung udang kecuali soya, gandum, vitamin, mineral dan jagung.

Tanpa pengalaman, mereka tidak segan bergabung tenaga bagi mendapatkan formulasi makanan ikan dengan Jabatan Perikanan Pulau Sayak di Kedah; Jelebu, Negeri Sembilan dan Terengganu serta Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung, Pulau Pinang.

"Malah semua kerja-kerja pembangunan dan penyelidikan (R&D) dijalankan di kolam Jabatan Perikanan," kata Mohd . Azman yang bertindak sebagai Pengurus Kilang FyDMA Ventures yang beribu pejabat di Subang Jaya, Selangor.

Menurut Mohd. Azman lagi, makanan ikan yang dikeluarkan di kilangnya di Pulau Indah, Selangor sesuai bagi ikan air tawar dan masin.
Buat masa ini kilangnya berupaya mengeluarkan sehingga 400 tan makanan ikan sebulan.

Bercerita mengenai proses menghasilkan makanan ternakan ikan, Mohd. Azman berkata, ia bermula dengan semua bahan mentah dikisar dan diadun dengan air, minyak ikan dan vitamin. "Semua bahan tadi diadun sebati sebelum dibentuk palet," katanya.

Palet tadi kemudian dipanaskan pada suhu 120 darjah Celcius sehingga masak selama 60 minit. "Di sini, makanan ternakan ikan dipastikan mengandungi hanya bahan-bahan halal walaupun belum terdapat keperluan persijilan halal bagi makanan ikan," katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan, biasanya ramuan dalam makanan ikan mengandungi tepung darah dan tulang sebagai sumber utama protein serta dapat menggalakkan tumbesaran. "Di sini kami tidak menggunakan tepung darah dan tepung tulang yang biasa digunakan tetapi menggantikannya dengan tepung ikan dan udang," katanya.

Walaupun tepung darah dan tulang amat penting bagi tumbesaran tetapi ia mempunyai unsur-unsur najis dan boleh membawa pelbagai jenis penyakit. Misalnya darah lembu yang diambil daripada lembu gila boleh menyebarkan penyakit berkenaan kepada manusia. Malah Islam melarang umatnya mengambil makanan yang mempunyai unsur darah.

Bagi mengatasi masalah tumbesaran, Mohd. Azman menambah, mikro organisma baik (EM). "Kadar tumbesaran ikan bertambah dalam masa tiga bulan dengan tambahan EM berbanding tiga bulan setengah sebelum ini," katanya. Selain itu, Mohd Azman juga tidak menambah antiobiotik dalam makanan ikan tetapi mengubahnya dengan bawang putih, lengkuas dan halia.

"Apa yang penting, kualiti makanan ikan yang kami keluarkan sama dengan pasaran dengan harga yang lebih rendah. "Permintaan bagi makanan ikan memang tinggi dan kami bercadang menambahkan kapasiti kilang serta mendapatkan bahan mentah terus daripada pembekal," katanya.

Buat masa ini, makanan ikan dipasarkan sendiri memandangkan mereka mempunyai kedai sendiri di Hulu Langat dan Kuala Kubu, Selangor serta Tampin, Negeri Sembilan selain bantuan pemasaran dari FAMA Kuala Selangor dan Puchong dan Jabatan Perikanan.
"Kami mendapat maklum balas yang baik daripada penternak.

"Malah kami mempunyai pelanggan dari Pahang yang mahukan palet pada saiz yang berbeza," katanya. Bagi memberikan kemudahan dan penjimatan pada pihak penternak, beliau memberikan pilihan tanpa bungkusan dengan potongan sehingga RM2 sebagai sokongan kepada kempen alam sekitar.

Kandungan protein bagi pemula atau starter adalah 32 peratus, grower 28 peratus dan finisher 18 peratus. Sementara itu menurut Md. Azmi, mereka mempunyai kolam di Telok Gong pada tanah seluas seekar dan 14 ekar di Kuala Kubu yang disewa daripada Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi (Pengurus Operasi Ternakan), Kompleks Pasar Tani Borong FAMA Puchong, Mohd Ikmal Izha Mohd Faiz berkata, buat masa sekarang pihak FAMA memasarkan tujuh hingga 10 tan makanan ikan FyDMA Ventures sebulan.

"Setiap bulan permintaan semakin bertambah dan kami berharap semua penternak ikan akan menggunakan makanan ikan FyDMA yang dikeluarkan oleh Bumiputera dan dijamin halal," katanya.

Penternak ikan yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai makanan ternakan ikan boleh mendapatkannya di pejabat FAMA negeri atau hubungi 03-31012459.

Kuih Bakar Sejuk Beku


Nura Mardi bersama kuih bakar sejuk beku berperisa jagung, pandan dan keladi buatan syarikatnya.

Hidangan kuih bakar memang popular di kalangan komuniti masyarakat Melayu negara ini. Rasanya yang enak, manis dan bertekstur lembut menjadikannya sesuai dibuat santapan ringan untuk minum petang atau sebagai pencuci mulut.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kuih moden muncul di pasaran, namun makanan tradisional ini masih terus diterima baik. Ia biasanya dijual di pasar-pasar malam dan juga bazar-bazar jualan pada hujung minggu.

Mencari peluang mempromosi kuih bakar secara komersial, ia kini disediakan dalam bentuk sejuk beku. Pendekatan baru itu dijalankan oleh syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan iaitu Perusahaan As-Nura.

Bercerita mengenai bisnesnya, pengusaha syarikat itu, Nura Mardi, 51, memberitahu, dia telah terlibat dalam perniagaan kuih-muih dan kerepek sejak tahun 2001 namun hanya mula dikomersialkan menjelang 2008. Saya sudah biasa berniaga kerana dahulu saya selalu membantu keluarga menjual hasil tanaman jagung dan ubi.

Selepas berkahwin, saya terlibat pula dalam bisnes kacang goreng, pelbagai jenis kuih dan kerepek di kantin sekolah,'' katanya ketika di temui di kilang kuih bakarnya di Semenyih, Selangor baru-baru ini. Bagi menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, dia aktif menyertai aktiviti-aktiviti anjuran Persatuan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) sehingga dilantik sebagai Pengerusi.

"Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti kelas membuat kuih, khidmat nasihat dan lawatan ke kilang-kilang perusahaan. Ilmu yang diperolehi dimanfaatkan untuk memperluas dan mempertingkatkan perniagaan saya,'' jelas ibu kepada lima orang anak ini.

Nasib terus menyebelahi Nura apabila dia terpilih menerima dana perusahaan daripada kerajaan bernilai RM10,000. Dana tersebut digunakan untuk membeli peralatan membuat kuih seperti mesin pembancuh dan ketuhar. Kesemua aktiviti perusahaan dijalankan di rumahnya dengan bantuan suami dan anak-anak.

Melihat potensi perniagaan itu, dia kemudiannya membuat pinjaman modal Kredit Mikro daripada Agrobank sebanyak tiga kali bernilai RM10,000, RM20,000 dan RM30,000. Sambutan pengguna sangat menggalakkan terutama untuk kuih bakar. Jadi, bagi memenuhi permintaan itu, saya mendapat idea untuk menghasilkan kuih bakar secara sejuk beku.

Tujuannya supaya kuih bakar sejuk beku ini boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan disimpan sebelum dipanaskan sekiranya terdapat permintaan. "Selepas menyertai Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun 2008, permintaan terhadap kuih bakar ini terus meningkat termasuk daripada Singapura dan juga Brunei,'' katanya yang mempunyai seramai tujuh orang kakitangan.

Tahun 2010 pula menyaksikan Nura membina kilang perusahaan kuih bakarnya di Semenyih dengan kos RM250,000 selain bantuan dana pembungkusan produk daripada RISDA bernilai RM44,000.

Melihat keunikan kuih bakar sejuk beku ini, ia tersedia dalam empat pilihan perisa iaitu pandan, labu, jagung dan keladi selain boleh disimpan untuk tempoh enam bulan.

Hari ini, kilang perusahaan Nura mampu mengeluarkan sebanyak 800 biji kuih bakar sehari dengan penggunaan 64 kilogram tepung. Produk kuih bakar sejuk beku ini telah memasuki pasaran kedai-kedai runcit, hotel-hotel, pasar raya besar Mydin dan juga kedai FAMA dengan harga RM4.20 sebungkus.

Untuk perancangan masa hadapan, Nura turut bercadang menghasilkan kuih bakar berlauk seperti daging, ayam dan udang. Bagi memantapkan perniagaannya pula, dia turut menghadiri beberapa siri kursus anjuran Jabatan Pertanian dan juga RISDA selain mengikuti ekspo Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Friday 24 June 2011

Sistem Pertahanan Badan

Saya kerap mendapat demam dan selsema berbanding rakan-rakan lain. Kawan mencadangkan saya agar mengambil vitamin C untuk membantu saya menguatkan sistem imun. Adakah ia memadai atau perlukah saya mengambil bersama vitamin lain untuk memperkuatkan sistem pertahanan tubuh?

Jawapan.

Sistem imun yang lemah bukan sahaja meningkatkan risiko mendapat demam, selsema tetapi juga pelbagai jangkitan serta masalah kesihatan. Proses penyembuhan daripada masalah kesihatan juga akan lebih perlahan. Demam, selsema, mudah jatuh sakit dan jangkitan, sering kelesuan, merupakan beberapa contoh lazim yang mungkin berkaitan kelemahan fungsi imun.

Sistem imun adalah kompleks dan penting untuk kesejahteraan hidup. Sistem imun yang kuat dan seimbang diperlukan untuk pengekalan kesihatan. Kemerosotan sistem imun boleh disabitkan oleh pelbagai faktor termasuk tekanan emosi dan fizikal, persekitaran, pendedahan terhadap radiasi dan pelbagai lagi.

Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang juga turut memberi impak ke atas sistem imun. Antara nutrien-nutrien penting yang bermanfaat kepada sistem imun adalah beta-karoten, vitamin C, E dan beberapa mineral seperti selenium dan zink. Tidak dapat dinafikan cara terbaik memperolehi nutrien-nutrien ini adalah melalui pengambilan pelbagai jenis makanan.

Makanan berkhasiat seperti sayuran segar dan buah-buahan, bijirin penuh serta jumlah protein yang mencukupi adalah penting untuk memperolehi tubuh yang sihat. Namun akibat pengambilan makanan proses yang banyak serta tabiat pemakanan yang seringkali diabaikan dan ditambah pula dengan gaya hidup yang tidak sihat, pengambilan suplemen mungkin boleh membantu dan boleh dijadikan alternatif.

Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling banyak difahami. Fungsi asasnya adalah untuk membantu dalam pertumbuhan dan pembaikan tisu serta mengekalkan gusi, tulang dan gigi yang sihat. Ia penting untuk fungsi sistem imun yang optimum dan membantu tubuh melawan jangkitan.

Vitamin C merupakan salah satu nutrien radikal bebas yang utama. Bagaimanapun, ia tidak boleh disimpan dalam tubuh dan mudah termusnah oleh haba semasa memasak. Kita perlu mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C setiap hari untuk memperolehi bekalan yang berterusan.

Vitamin E pula perlu untuk mengekalkan sistem imun yang sihat, jantung, dinding kapilari, kulit dan mengurangkan keterukan keradangan. Ia juga memainkan peranan dalam melambatkan masalah degeneratif seperti penuaan pramatang.

Zink dikenali sebagai nutrien mikro kerana diperlukan dalam jumlah kecil untuk kesihatan. Ia disahkan sebagai nutrien penting yang diperlukan untuk fungsi imun yang optimum, kesihatan kulit dan penyembuhan luka.

Mineral seperti selenium juga diperlukan untuk pembentukan enzim glutathione peroxidase, di mana enzim ini memainkan peranan penting dalam pertahanan daripada radikal bebas. Selain itu, selenium mengekalkan hati berfungsi secara optimal, merangsang sistem imun, selain untuk mata, kulit, rambut dan jantung.

Selain daripada menggalakkan sistem imun yang lebih baik, nutrien-nutrien ini juga merupakan antioksida yang membantu meneutralkan radikal bebas dalam tubuh. Dalam tubuh, radikal bebas ini terbentuk hasil daripada pengoksidaan. Bahaya akan timbul apabila lambakan berlebihan radikal bebas berada dalam tubuh. Dengan sebab itulah vitamin dan nutrien seringkali digabungkan bersama dalam satu formulasi untuk kesan sinergistik.

Dalam usaha memperkuatkan sistem imun, jangan abaikan aspek emosi iaitu tangani stres dengan baik serta sentiasa amalkan pemakanan seimbang dan sihat serta tekankan amalan gaya hidup sihat.

Kontraktor Ternak Udang Harimau


Udang yang dituai terus dimasukkan ke dalam bekas berisi ais bagi mematikannya sekali gus memastikan ia tetap segar biarpun disimpan lama.

Bermula hanya sebagai kontraktor binaan Lim Ah Cham 50-an, kini bangga bergelar usahawan ternakan udang harimau yang berjaya di Sabah. Anak kelahiran Perak itu tidak segan silu berkongsi maklumat dan pengalamannya mengusahakan ternakan udang harimau yang semakin memberangsangkan.

Jika di Semenanjung, jumlah penternak udang harimau kini dilihat semakin berkurangan ekoran pelbagai masalah yang dihadapi berkaitan kawasan yang sesuai. Malah, boleh dikatakan hampir tiada pengusaha yang menternak udang harimau kini berikutan mereka telah beralih kepada ternakan lain yang rata-rata lebih mudah untuk diternak.

Menurut Ah Cham, minat yang mendalam menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad terjun ke bidang akuakultur biar pun tidak memiliki pengalaman yang mendalam sebagai seorang penternak udang. Pekerjaan asal saya adalah kontraktor, jadi saya banyak melakukan kerja-kerja di lapangan sebelum saya temui kawasan ternakan sekarang ini.

"Di Sabah, airnya lebih cantik berbanding kawasan di Semenanjung sekali gus menjadikannya kawasan yang amat sesuai untuk ternakan udang harimau," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan media Jabatan Perikanan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar ke Tawau, Sabah baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Shabki Mahmood.

Ah Chan yang mengusahakan ternakan akuakultur tersebut menerusi syarikat Pegagau Food Products Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 2000 dan secara rasminya pada 21 Jun 2002 dan kini memiliki kilang pemproses udang terbesar di Sabah.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan syariat terbabit hanya memiliki 10 buah kolam sahaja semasa awal penglibatan dalam bidang penternakan udang harimau tersebut. Kini ladang ternakan udangnya berkembang kepada 500 buah kolam di sekitar Semporna, Sabah yang membolehkan hasil dituai saban hari.

Namun, menurutnya, permintaan yang diterima ketika ini melebihi pengeluaran menyebabkannya terpaksa menolak banyak tempahan daripada pembeli dari luar negara. "Sehingga kini kita hanya mampu membekalkan udang ke Korea Selatan, Jepun, Taiwan, China dan Vietnam dengan jumlah eksport antara 20 dan 40 kontena sebulan.

"Permintaan amat tinggi, terutamanya dari luar negara. Apa yang memeningkan saya adalah untuk memenuhi permintaan tersebut," jelas beliau. Biar pun memiliki kawasan ternakan udang seluas 365,153 ekar yang jalankan oleh anak syarikatnya iaitu Pegagau Aquaculture Sdn. Bhd. namun ia masih tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ujarnya, bagi memastikan bekalan sentiasa ada, udang perlu dituai setiap hari. Justeru pihaknya perlu menyusun jadual pelepasan anak benih bagi setiap kolam agar ia menepati masa tuaian dan tempahan yang telah dibuat. "Kita ada banyak kolam, jadi jika mahu setiap hari ada udang yang dituai, kita perlu masukan benih udang berturutan.

"Jika tidak, udang tidak dapat dituai pada masa yang ditetapkan," kata beliau. Selain menternak udang harimau, Lim juga melakukan pembenihan udang agar memudahkan pihaknya memperolehi benih. Jelasnya, benih udang harimau amat sukar untuk diperolehi justeru terpaksa membina sebuah pusat pembenihan sendiri bagi memastikan bekalan anak udang tidak terputus.

Kini, setiap hari antara 16 dan 18 tan udang harimau dituai dan terus dihantar ke kilang pemprosesan sebelum dieksport ke luar negara. Tambahnya lagi, terdapat sesetengah negara seperti Jepun menempah udang tanpa kepala dan kulit mendorongnya membuka kilang pemprosesan lain untuk tujuan tersebut.

Sisa kulit dan kepala udang boleh diproses untuk dijadikan baja. Namun beliau masih belum memiliki kelengkapan untuk tujuan itu. Buat masa kini, sisa udang yang tidak digunakan terpaksa dilupuskan begitu sahaja. Tetapi beliau sedang berusaha untuk menyediakan peralatan memproses sisa buangan udang tersebut agar dapat dimanfaatkan.

Produk udang beliau kebanyakannya akan dibekukan sebelum dieksport keluar negara. Ketika ditanya apakah cabaran terbesar dalam perusahaan menternak udang harimau, beliau menjelaskan, bahawa di dalam perniagaan sentiasa ada untung dan rugi.

Pada tahun lepas beliau telah mengalami kerugian namun pada tahun 2011 perniagaan kembali pulih seperti sedia kala. Selain itu, cabaran penyakit dan haiwan perosak juga turut mengancam ternakan udang harimau.

Malah cerita Lim lagi, jika udang dijangkiti virus ataupun penyakit, ia akan mati dengan pantas. Ternakan beliau pernah mati hanya dalam masa satu malam yang menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit. Namun, atas sikap tidak berputus asa, beliau terus berusaha untuk bangkit dan kembali berjaya sehingga kini.

Bagi sesiapa yang mahu menceburkan diri dalam bidang ternakan udang harimau, nasihat Ah Chan agar mereka banyak belajar dan jangan meninggi diri. Katanya, tanpa pengetahuan yang luas berkenaan udang, pasti penternakan serta perniagaan berkenaan udang harimau tersebut tidak akan berjaya.

Beliau sendiri turut melakukan pelbagai rujukan dan banyak mencari maklumat malah sering menerima nasihat sebelum mula menceburkan diri dalam sektor penternakan udang harimau.

Thursday 23 June 2011

Pesta Pancing di Dataran Sungai Melaka

Siapa cepat dia dapat!

Pertandingan memancing di Dataran Sungai Melaka, Banda Hilir sempena Pesta Sungai Melaka 2011 pada 24 Jun ini menerima sambutan menggalakkan daripada kaki pancing seluruh negara yang mengesahkan untuk menyertai pertandingan itu.

Pertandingan anjuran pejabat Utusan Malaysia cawangan Melaka dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu menyediakan lebih 1,000 tempat di sepanjang Sungai Melaka bermula dari Restoran Quayside sehingga Dataran Sungai Melaka, Banda Hilir.

Pengurus Bahagian Pemasaran dan Perhubungan Komunikasi Korporat PPSPM, Abdol Mutalib Che Man berkata, sehingga hari ini pihaknya menerima banyak panggilan telefon, tetapi penyertaan hanya dibuka berdasarkan siapa cepat pada hari pertandingan diadakan.

"Orang ramai harus merebut peluang ini kerana ini kali pertama PPSPM membenarkan aktiviti memancing diadakan di sini kerana kawasan ini adalah tempat larangan memancing," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Graha Maju, Jalan Hang Tuah hari ini.

Turut hadir, Pengurus Laksamana Townlodge, Salman Salim yang bekerjasama dengan Akademi Pelancongan Melaka (APM) untuk menganjurkan pertandingan itu yang diuruskan oleh Jom Kaki Pancing.

Menurut Abdol Mutalib, pertandingan itu berlangsung tiga jam bermula pukul 12 tengah malam Jumaat hingga pukul 3 pagi. "Penyertaan terbuka kepada penduduk di seluruh negara dengan yuran penyertaan RM20 dikenakan bagi setiap sebatang joran.

"Pemenang ditentukan melalui ikan paling berat dan hadiah wang RM2,000 menanti juara, RM1,000 (kedua) dan RM600 bagi tempat ketiga selain pakej penginapan sumbangan Laksamana Townlodge," katanya. Tambahnya, peserta yang menduduki tempat keempat hingga 10 masing-masing menerima RM100, tempat ke-11 hingga 20 (RM50) dan peserta tempat ke-21 hingga 30 (RM20).

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh mendapatkan borang atau menghubungi pejabat Utusan Malaysia cawangan Melaka di talian 06-2824660, APM 06-2869960 atau urus setia pertandingan 012-2846811/013-3052811 dan 013-5959165.

Borang pertandingan juga boleh didapati dengan melayari laman web http://jomkakipancing-team.blogspot.com.

Usahawan Anggur


Azrul Nazim Aziz bersama Noraini Syed Norulzaman merupakan tulang belakang projek anggur di Lembah Sendayan.
Bagi yang sering memandu melalui kawasan perumahan di Sendayan, Negeri Sembilan, sepintas lalu tidak ada yang menarik perhatian apatah lagi menggamit perasaan untuk singgah.

Namun jika diamati betul-betul, di satu kawasan perumahan baru akan kelihatan kawasan bukit berteres yang dipenuhi tanaman yang agak asing di negara ini.

Panorama di kawasan bukit tersebut amat menarik kerana ia sebenarnya dipenuhi pokok anggur yang ditanam pada teres dengan konsep pembangunan landskap pertanian yang pastinya menggamit kunjungan orang ramai.

Rimbunan daun-daun anggur yang di celah-celahnya muncul buah kehitaman dan hijau berjuntaian merupakan satu jalinan kesenian warna yang segar dan mengujakan.

Kawasan tersebut sebenarnya sedang dibangunkan dengan projek tanaman buah-buahan pelbagai jenis. Tetapi anggur menjadi komoditi utama kerana ia mampu menarik perhatian. Selain itu, pemilik ladang mahu projek tersebut dimajukan untuk mengeluarkan buah anggur berkualiti sekali gus menjadikannya pusat agro pelancongan.

''Misi saya ialah untuk menghasilkan anggur berkualiti manakala visi saya mahu berkongsi pengalaman mengenai teknologi penanaman anggur,'' demikian kata pengusaha ladang tersebut, Azrul Nazim Aziz. Dia juga merupakan Pengurus Besar A-Winn Corporatian Sdn. Bhd. syarikat yang memajukan projek seluas 12 hektar itu.

Sambil merenung jauh ke kawasan bukit yang hijau dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan terutama anggur, beliau dengan nada yakin berkata, wawasannya mampu dicapai seawal-awalnya lima tahun akan datang. Katanya, bukan mudah menjadikan hasrat itu kenyataan, memandangkan anggur merupakan tanaman yang sensitif.

Katanya, ia bermula melalui penyelidikan bagi mencari kesesuaian tanah dan benih yang boleh ditanam pada 2004 dan segalanya yang sedang dirancang berada pada landasan betul. Azrul Nazim berkata, beliau membawa masuk teknologi penanaman anggur dari Thailand selepas melawat negara tersebut.

Pada mulanya, projek penyelidikan tersebut dimulakan di Jeram, Kuala Selangor melibatkan kawasan seluas 4.2 hektar. Selepas itu, projek penyelidikan diteruskan di tapak yang ada sekarang melibatkan tujuh spesies anggur. Selepas kira-kira satu tahun setengah, beliau mendapati hanya empat spesies yang sesuai ditanam iaitu malaga, black opal, black pearl dan black pink.

Pada tahun 2006, penanaman secara serius dimulakan di ladang dan sehingga kini kos yang telah dibelanjakan mencecah hampir RM7 juta. Beliau menjelaskan, kos tersebut agak tinggi kerana melibatkan pembangunan kemudahan seperti kolam takungan bekalan air, sistem paip, membersihkan kawasan selain kos baja.

Kos paling tinggi melibatkan pemindahan teknologi selain hak paten dari Thailand. Anak pokok yang yang digunakan pula daripada sistem tut bagi menghasilkan pokok yang berkualiti.

Ketika ini terdapat kira-kira 6,000 pokok anggur yang ditanam dan memenuhi sebahagian besar ladang yang dibangunkan kira-kira 12 hektar daripada kawasan asal sedia ada. Anak pokok perlu dipelihara dengan teliti selama kira-kira setahun selepas dipindahkan ke ladang dan kawasan penanaman perlu dilengkapi dengan tempat penggantungan atau rumah anggur sebagai teduhan.

Pada tahap ini, buah akan mula muncul tetapi ia masih belum berkualiti dan rasanya masam. Menurut beliau, penjagaan memainkan peranan penting bagi menghasilkan buah yang berkualiti. Sebab itu ladangnya mengamalkan penjagaan satu lot yang menempatkan 500 pokok anggur dijaga oleh lima pekerja.

Anggur kata beliau memerlukan air yang banyak tetapi bagi membolehkan buah yang dihasilkan lebih manis, tuaian perlu dibuat pada musim panas. Buah boleh dipetik antara tiga ke empat bulan semusim atau tiga kali tuaian setahun. Sepohon anggur mampu menghasilkan 10 kilogram buah anggur semusim.

Pokok anggur ladang milik beliau hanya akan diganti pokok baru selepas berumur enam tahun kerana pada tahap itu, kualiti buah yang dihasilkan mula berkurangan.

Setakat ini ladang beliau mampu menghasilkan 50 tan anggur setahun dan menyasarkan untuk menghasilkan 300 tan buah setahun menjelang lima tahun akan datang dengan jumlah pokok ketika itu mencapai 9,000.

Azrul Nazim juga berkongsi pandangan bahawa pokok anggur perlu 'direhatkan' selama beberapa minggu iaitu dengan memangkas semua daun pada batang pokok. Selepas tiga minggu, daun baru akan muncul bersama-sama putik buah dan kualitinya lebih baik.

Mengenai wawasannya, Azrul Nazim berkata, beliau mahu menjadikan ladang tersebut sebagai agro pelancongan yang dapat menarik pengunjung mengenali dengan lebih dekat lagi pokok anggur.

''Pengunjung yang melawat Port Dickson khususnya boleh boleh singgah di sini untuk melihat sendiri pokok anggur,'' katanya yang turut menanam beberapa jenis buah-buahan termasuk bidara, mempelam harum manis, jambu madu, jambu batu dan pokok buah naga.

Beliau juga mahu membangunkan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pelawat antaranya surau, kafeteria dan ruang untuk berehat. Pada masa sama, beliau akan membangunkan produk berasaskan anggur seperti jus anggur dan jem secara komersial berjenama Sendayan Valley.

Pengeluaran secara komersial itu bermakna, syarikatnya akan membina kilang memproses di kawasan tersebut, sekali gus melengkapkan impiannya untuk menjadikan Lembah Sendayan terkenal dengan industri tanaman anggur. ''Inilah sebabnya saya memilih anggur sebagai tanaman komersial,'' ujarnya.

Kata-kata beliau itu turut disokong oleh Pengarah Eksekutif syarikat, Datin Noraini Syed Norulzaman bahawa anggur mempunyai keunikan sendiri yang boleh menarik perhatian pengunjung. ''Kami memilih anggur kerana keunikannya, sesuatu yang sangat istimewa,' kata Noraini.

Mereka yang berminat untuk melawat ladang boleh menghubungi 012-3701777 atau emel azrul@a-winn.com.

Wednesday 22 June 2011

Potensi Ikan Pelaga

Ikan Pelaga

Malaysia mencatatkan kehadiran 25 spesies betta liar iaitu ikan hiasan, yang berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai ramai peminat di seluruh dunia.

Laporan oleh Fishbase 2011 menyebut bahawa sebahagian besar ikan itu terdapat di Semenanjung Malaysia, lima spesies di Sarawak dan empat spesies di Sabah.

Daripada jumlah itu, beberapa jenis pula telah dikenalpasti berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan.

Antara spesies yang telah dikenalpasti ialah Betta bellica, Betta coccina, Betta persephone, Betta livida, Betta pulchra, Betta fusca dan Betta pugnax.

Manakala peminat ikan betta ini termasuklah mereka dari Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan dan China. Mengenai keunikan spesies betta ini ialah ia hanya ditemui di rantau Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand sahaja.

Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, telah mengenalpasti beberapa spesies ikan hiasan tempatan terutama ikan betta yang sangat berpotensi untuk dikomersialkan sama ada dalam atau luar negara, kata Pengarah FRI Glami Lemi, Zulkafli Abdul Rashid di Kuala Klawang baru-baru ini.

Maklumat mengenai potensi spesies tempatan sebagai ikan hiasan ini sebenarnya telah dikumpulkan sejak tahun 2000. Menurut Zulkafli, FRI telah memulakan kajian dengan menjalankan aktiviti pengumpulan spesimen ikan dari habitat semulajadi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Spesimen ikan liar betta yang berjaya dikumpul akan dipelihara dan dijinakkan dalam tangki di makmal FRI Glami Lemi sehingga matang dan boleh membiak. Setakat ini, 10 spesies betta telah dapat dijinak dan dibiakkan dalam makmal.

Zulkafli berkata, satu baka baru jenis Betta bellica, yang berasal dari hutan simpan paya gambut di Pagoh, Johor dan Sabak Bernam, Selangor, berjaya dibiak dan dijinakkan dalam tangki dan berpotensi besar untuk dipasarkan.

Spesies ini dilaporkan telah banyak terancam dan diharapkan usaha pembiakan dapat diteruskan pula oleh penternak yang berminat untuk tujuan komersial.

"Spesies ini juga dikenali sebagai ikan pelaga hijau, tempala atau sepilai oleh penduduk tempatan tapi kami menamakannya Betta Manja kerana sifatnya yang begitu manja ketika lapar," jelas beliau.

Keistimewaan ikan hiasan ini ialah ia tidak berlaga sesama sendiri seperti ikan pelaga Siam, selain mempunyai warna badan yang cantik, bercoklat gelap, sisik berwarna hijau berkilat, mata berwarna biru berkilat dan sirip ekor yang panjang berbentuk nyalaan lilin.

"Ia sangat jinak dan makan di atas jari pemiliknya. Spesies ini berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan," katanya.

Pegawai penyelidik kanan FRI Glami Lemi, Mohamad Zaini Suleiman pula berkata, ikan tersebut berpotensi dibiakkan dalam kurungan (tangki) sebab sepasang ikan ini boleh menghasilkan 200 ekor anak.

"Jadi, dalam tempoh enam atau tujuh bulan, saiznya mencecah kira-kira tiga setengah inci, dan boleh dipasarkan dengan harga RM5 seekor manakala induknya RM10 hingga RM15 seekor.

"Ia juga boleh dikomersialkan, dipelihara dalam tangki dan dijadikan peliharaan kesayangan sebab keistimewaan ikan ini ia boleh makan di tangan kita.

"Tidak mustahil pada masa hadapan, ikan ini boleh dijadikan sebagai ikan spa untuk urutan dan perubatan," katanya. Pengarah teknikal dan pengeluaran Aquatics International Sdn. Bhd., Syed Abas Alattas berkata, sehingga kini belum ada penternak ikan Betta liar secara komersial di negara ini.

Pihaknya akan mengimport ikan ini dari Thailand sekitar 20,000 ke 30,000 ekor sebulan untuk dieksport semula ke negara lain. "Memang kita dapat keuntungan tapi kalau boleh dikeluarkan secara komersial di Malaysia adalah lebih baik," katanya.

Sementara itu, satu kolokium sehari telah diadakan di FRI Glami Lemi baru-baru ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan sasar akan potensi ikan Betta bagi meningkatkan pendapatan.

"Di samping menjana pendapatan, kolokium ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada peserta tentang perlunya konservasi terhadap khazanah semulajadi kita yang sangat bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang," kata Zulkafli.

Kolokium dengan tema 'Khazanah Warisan Penjan Kekayaan' itu diadakan untuk membentangkan kepada masyarakat terutama yang terlibat dalam industri perikanan mengenai kejayaan dalam penyelidikan perikanan.

*Utusan Malaysia.

Sunday 19 June 2011

Kanser Prostat

Kita sering berfikir tentang kesihatan fizikal dan emosional, tapi bagaimana dengan kesihatan seksual kita? Kali ini akan bercerita tentang penyakit seksual dan bagaimana melindungi diri darinya.

Kanser prostat antara penyakit biasa dikaitkan dengan lelaki dan merupakan penyebab kedua kematian disebabkan kanser pada lelaki. Satu fakta yang menakutkan dan apa yang lebih menakutkan adalah kebanyakan lelaki tidak tahu di mana prostat mereka.

Sempena sambutan Hari Bapa hari ini, tentunya pelbagai cara tersendiri dipilih untuk meraikannya. Apa kata pada hari istimewa ini kita mengajak bapa melakukan pemeriksaan kesihatan. Mungkin dalam usianya yang meningkat, dia mempunyai penyakit yang tidak diketahui.

Bagi anda yang tidak pernah dengar tentang prostat, hari ini anda perlu memberi kesedaran kepada insan yang bergelar bapa bahawa statistik penyakit tersebut kian meningkat. Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya hanya berkaitan orang tua.

Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas. Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.

Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.

Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan tersebut pada usia 45 tahun. Prostat merupakan kelenjar di pangkal pundi kencing lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.

Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani. Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat .

Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia - BPH (Pembesaran Kelenjar Prostat) dan kanser prostat.

Pembesaran Kelenjar Prostat 

BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone. Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 50 tahun ke atas.

Mengikut perangkaan, kelaziman BPH adalah lebih daripada 50 peratus di kalangan lelaki pada umur 60 tahun sementara di kalangan lelaki berumur 85 tahun ke atas, kelaziman BPH adalah lebih daripada 90 peratus,” ujar Ketua Perkhidmatan Urologi dan Jabatan Urologi Hospital Selayang, Datuk Dr. Rohan Malek.

Tambah Dr. Rohan, bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas. Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.

Kebiasaannya saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit. Mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran membuang air kecil.

Tanda-tanda akibat BPH
  • Aliran kencing yang kurang baik (poor stream).
  • Kerap membuang air kencing (frequency).
  • Tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying).
  • Air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).
  • Pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.
Masalah BPH yang tidak dikawal, menurut Dr. Rohan akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal. Malah ia boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure).

Penyakit lain yang sinonim akibat penyakit ini ialah pembentukan batu karang dan hernia. Dr. Rohan berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan kajian epidemiologi cross-sectional untuk mengenal pasti kelaziman (BPH) dan pengesanan kanser prostat baru-baru ini.

Menyentuh tentang rawatan BPH, Dr. Rohan memberitahu, pengesahan penyakit memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda penyakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak.

Kebanyakan diagnosis penyakit boleh dilakukan menerusi ujian rektal digital (DRE) atau pemeriksaan darah dengan antigen khusus prostat (PSA). Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan.

Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang. katanya.

Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula.

Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.

Terdapat komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.

Dalam pada itu wujud kaedah-kaedah baru rawatan termasuk penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy) serta laser protectonomy tetapi memerlukan kos yang tinggi.

Kanser Prostat

Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.

Di Malaysia, barah prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes-kes barah di kalangan lelaki . Terdapat sejumlah 735 kes yang dilaporkan dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa di kalangan kaum lelaki.

Lazimnya, barah prostat membesar dengan perlahan. Kajian bedah siasat menunjukkan bahawa ramai lelaki berumur dan kadangkala lelaki muda juga yang mati akibat penyakit-penyakit lain, juga menghidapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah semasa hayat mereka.

Kanser prostat dikesan melalui ujian saringan PSA. Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia.

Dalam pada itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras,” ujar Presiden MUA dan Ketua Unit Urologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Azad Hassan Abdul Razack.

Pada peringkat akhir, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.

Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.

Tambah Prof. Azad, kanser ini boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Terbaru tentang rawatan ini, pembedahan juga boleh dijalankan dengan bantuan robot.

Berdasarkan prosedur ini, radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser. Ia juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.

“Rawatan perlu dilakukan awal sebelum simptom menjadi parah. Justeru itu, pemeriksaan awal tentang kanser ini perlu dilakukan awal khususnya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas,” katanya.

Kajian BPH dan Barah Prostat

Didorong oleh kekurangan data mengenai corak gejala saluran kencing bawahan (lower urinary tract symptoms - LUTS) di kalangan kaum lelaki di Malaysia, kajian tersebut telah dibentuk untuk mengumpul maklumat mengenai BPH dan barah prostat bagi memahami dengan lebih baik mengenai pesakit-pesakit yang mempunyai risiko mendapat penyakit-penyakit ini.

Kajian oleh MUA ini telah dilancarkan bagi mengenal pasti kelaziman BPH dan pengesanan barah prostat di kalangan kumpulan pengesanan sasaran dalam masyarakat di Lembah Klang.

Populasi sasaran tersebut terdiri daripada bukan sahaja penduduk di Lembah Klang, malah termasuk juga mereka yang berada di Selatan Perak, Pahang Barat dan Negeri Sembilan Utara.


Kajian ini akan menganalisis data yang diperoleh daripada lapan pusat pemeriksaan di sekitar Lembah Klang. MUA berharap untuk mendapatkan 3,000 peserta dari kedua-dua latar belakang kota dan luar bandar, serta daripada kumpulan etnik yang berbeza bagi kajian ini.

Memandangkan kelaziman penyakit-penyakit prostat adalah lebih tinggi di kalangan lelaki yang lebih tua, kajian tersebut akan tertumpu kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas. Mereka yang menepati profil kelayakan digalakkan untuk mengunjungi pusat-pusat pemeriksaan yang berdekatan rumah mereka.

Pemeriksaan percuma akan dijalankan setiap hujung minggu dalam bulan Julai di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Serdang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

*Utusan Malaysia.

Saturday 18 June 2011

BNM Tidak Pernah Minta Maklumat Peribadi

Kuala Lumpur 16 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menegaskan pihaknya dan juga institusi perbankan, kewangan dan pengeluar kad kredit tempatan tidak pernah meminta maklumat perbankan peribadi pelanggan sama ada melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.

BNM dalam kenyataannya di sini berkata, terdapat modus operandi yang digunakan oleh pihak tertentu untuk memperdaya mangsa dengan mengatakan maklumat peribadi mangsa diperlukan untuk mengemas kini pangkalan data mereka.

''Penipu berkenaan akan meminta mangsa mendedahkan maklumat perbankan peribadi seperti butiran kad kredit atau debit termasuk pengesahan kod kad (CCV) atau nombor pengenalan peribadi (PIN),'' kata BNM dalam kenyataannya di sini hari ini.

Justeru orang ramai sekali lagi dinasihatkan supaya tidak melayan panggilan telefon, SMS atau e-mel yang meminta sebarang maklumat perbankan peribadi.

''Sebagai langkah keselamatan, orang ramai dinasihatkan menggunakan pelayar sesawang terkini yang dilengkapi dengan penapis maklumat pemancing (phising),'' tambahnya.

Orang ramai juga diminta tidak terpedaya dengan ganjaran hadiah wang tunai atau bayaran balik wang yang ditawarkan melalui panggilan, SMS atau e-mail.

Untuk maklumat lanjut berhubung aktiviti penipuan kewangan, orang ramai boleh melawat laman sesawang http://fraudalert.bnm.gov.my atau menghubungi perkhidmatan bebas tol Persatuan Bank-Bank Malaysia di talian 1-300-88-9980.

*Utusan Malaysia.

Friday 17 June 2011

Melaka Negeri ke-2 Bilangan Pesakit Kencing Manis

Melaka menjadi negeri kedua mempunyai pesakit paling ramai menghidap penyakit kencing manis selepas Kelantan. Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, pada masa ini, kira-kira 788,000 penduduk di negeri ini didapati telah mengambil sebanyak 1,572 tan gula.

Daripada jumlah itu, katanya, setiap pengguna mengambil kira-kira dua kilogram sebulan dengan 67 gram dalam masa sehari. “Ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna di negeri ini masih kurang dan jika ia terus berlanjutan pastinya peningkatan bilangan pesakit kencing manis akan bertambah dari hari ke hari,” katanya ketika merasmikan Kempen Kurang Gula, Kurang Belanja di Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya, penduduk negeri ini wajar mengurangkan kadar penggunaan gula harian bagi mengelakkan mereka dilanda penyakit kencing manis. “Kita bimbang masih ramai penduduk Melaka gemar mengambil gula berlebihan kerana tidak mengetahui kesan pengambilannya menyumbang kepada penyakit kencing manis,” katanya.

*Utusan Malaysia.

Thursday 16 June 2011

5 Zon Bebas Rokok di Melaka

ALOR GAJAH 15 Jun - Golongan perokok perlu diberi kesedaran tentang pelaksanaan peraturan Zon Bebas Rokok sebelum melaksanakan langkah penguatkuasaan di lima lokasi di negeri ini termasuk daerah Alor Gajah.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Alor Gajah, Zainol Abidin Ariffin berkata, ia bagi memastikan objektif pelaksanaan penguatkuasaan Zon Bebas Rokok menepati matlamat dan berkesan mendidik golongan perokok.

Menurutnya, bagi memastikan usaha itu mencapai matlamat, operasi penguatkuasaan pada hari pertama sekitar Alor Gajah sebagai lokasi Zon Bebas Rokok tertumpu kepada usaha menyedarkan perokok mengenai pelaksanaan peraturan tersebut.

''Pada hari pertama penguatkuasaan Zon Bebas Rokok di Alor Gajah, kita menemui lima perokok yang merokok di gerai makan. ''Namun kita hanya menasihatkan mereka agar tidak mengulangi perbuatan itu di kawasan zon serta pada masa sama kita mengedar risalah kesedaran tentang larangan merokok di tempat zon," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melalui pelaksanaan Zon Bebas Rokok di lima lokasi tersebut, orang ramai yang didapati menghisap rokok di kawasan itu kecuali bangunan persendirian, boleh dikenakan kompaun minimum RM300 atau maksimum RM5,000 berkuat kuasa hari ini.

Selain Alor Gajah, empat lokasi lain yang diwartakan sebagai Zon Bebas Rokok ialah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Jasin, Melaka Raya dan Bandar Warisan Dunia seperti sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A'Farmosa dan pesisiran Sungai Melaka.

Menurut Zainol, pihaknya tidak mengeluarkan kompaun pada hari pertama kerana kebanyakan mereka didapati pengunjung luar dan tidak mengetahui tentang pewartaan Zon Larangan Merokok di Alor Gajah.

Bagaimanapun katanya, selepas ini, pihaknya dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun minimum RM300 kepada mereka yang didapati merokok di zon larangan merokok.

*Petikan dari Utusan Malaysia.

Tuesday 14 June 2011

Kaedah Tutup Akaun

Bagaimana untuk menutup akaun e-mel yang sudah tidak digunakan lagi? Saya menggunakan e-mel Yahoo! dan Hotmail dan dua akaun Facebook, tetapi mahu menutup satu akaun. Bagaimana cara untuk menutup akaun Facebook tersebut atau dibiarkan sahaja sehingga pihak Facebook blok akaun saya?

Jawapan.

Bagi makluman pihak tuan, walau pun akaun bagi sesebuah laman web sudah ditutup, ia tidak bermakna segala data bagi akaun tersebut dihapuskan. Biasanya ia akan disimpan untuk satu jangka masa tertentu oleh pihak pengendali laman web untuk tujuan keselamatan dan sebagainya.

Ia juga bergantung kepada syarat-syarat perjanjian ketika tuan bersetuju membuka akaun laman web dengan pihak pengendali laman web tersebut. Sama ada ia menyediakan kemudahan e-mel, laman web sosial dan sebagainya.

Ada pihak pengendali laman web mensyaratkan dalam perjanjian bahawa segala data yang dimuat turun oleh pihak pengguna ke dalam akaunnya akan menjadi hak milik mereka.

Ini sama konsepnya yang terdapat dalam pengurusan korporat iaitu maklumat peribadi pekerja yang sudah berhenti kerja tidak sesekali akan dihapuskan.

Ia akan disimpan dalam jangka masa lima ke hingga 10 tahun untuk tujuan audit, keselamatan dan pengurusan. Namun begitu, adalah lebih baik untuk tuan menutup mana-mana akaun di laman web yang tidak digunakan lagi.

Ini kerana ia dapat mengelakkan daripada akaun tersebut dimanipulasi dan digunakan oleh pihak ketiga untuk tujuan yang tidak baik seperti penipuan, penyamaran, penghantaran spam dan lain-lain.

Secara umumnya untuk menutup akaun di laman web, sama ada laman web sosial, e-mel dan sebagainya, laman web itu sendiri menyediakan kemudahan atau fungsi menutup akaun. Kebiasaannya ia memerlukan pengguna masuk terlebih dahulu ke akaun tersebut bagi mencapai fungsi tersebut.

Jadi, bagi para pengguna yang terlupa log in dan kata laluan untuk masuk ke akaun mereka atau pihak laman web tersebut tidak menyediakan kemudahan atau fungsi untuk menutup akaun ini, ada hanya satu cara sahaja.

Cara tersebut adalah dengan menghantar surat permohonan untuk menutup akaun kepada pihak pengendali laman web tersebut. Ia boleh dihantar menerusi e-mel atau mel biasa berserta dengan maklumat berkenaan dengan akaun anda di laman web tersebut.

Penutupan akaun Facebook

Pertamanya, tuan perlu masuk ke dalam akaun Facebook dengan log in dan kata laluan yang disediakan. Dalam Facebook, ada disediakan kemudahan untuk penutupan sementara bagi sesebuah akaun. Ia bermakna segala maklumat anda akan dihapuskan daripada servis atau paparan di laman Facebook.

Sesiapa sahaja tidak akan dapat mencari akaun atau melihat maklumat yang berkaitan dengan akaun tersebut. Namun begitu sekiranya, tuan punya akaun tersebut mahu kembali, ia boleh mendapatkan dan mengaktifkan semula akaun Facebook tersebut.

Fungsi ini dinamakan sebagai DEACTIVATE. Ia boleh dicapai di laman Account settings dalam akaun Facebook. Apabila akaun tersebut diaktifkan semula, segala maklumat yang ditinggalkan sebelum ini akan dikembalikan keadaan asalnya.

Sekiranya perlu untuk membuang secara terus dan total sesebuah akaun Facebook, sila klik ke alamat URL yang seterusnya.

http://www.facebook.com/help/contact.php?show_form>delete_account .

Setelah itu, diperlukan masuk login dan kata laluan ke laman Facebook tersebut. Sekiranya tidak ingat kata laluan dan sebagainya, kata laluan tersebut perlu disetkan semula dengan mengklik pada sambungan Forgot your password. Seterusnya, ikut arahan yang diberikan sehingga selesai akaun Facebook tersebut dihapuskan.

Penutupan akaun Yahoo!

Sekiranya perlu untuk menutup akaun di Yahoo!, ikuti arahan-arahan yang terdapat pada laman penutupan akaun Yahoo! di URL yang berikutnya.

https://edit.yahoo.com/config/delete_user.

Seterusnya, perlu dimasukkan login dan kata laluan ke dalam akaun Yahoo! tersebut. Sekiranya lupa kata laluan, seperti biasa perlu disetkan semula. Satu paparan pengesahan akan dipaparkan sekali lagi setelah anda berjaya masukkan login dan kata laluan.

Anda perlu masukkan sekali lagi beberapa maklumat pentin termasuk kata laluan. Baca terlebih dahulu di laman penutupan akaun berkenaan dengan syarat-syarat, kesan-kesan dan sebagainya.

Seterusnya, jika setuju, klik butang YES untuk penutupan akaun. Sekiranya berjaya, ikuti arahan-arahan yang diberikan sehingga selesai prose penutupan akaun Yahoo!.

Perlu diingatkan, apabila akaun Yahoo! ini ditutup, segala perkhidmatan yang berkaitan dengan akaun tersebut juga akan dihapuskan seperti e-mel, Yahoo! Messenger, Yahoo! Address Book, My Yahoo!, Yahoo! Groups dan lain-lain.

Jadi, fikir dahulu sebelum ditutup akaun tersebut atau buat salinan ke tempat lain sekiranya ada data-data yang diperlukan. Namun begitu, penutupan akaun Yahoo! tidak akan menghapuskan maklumat anda di dalam perkhidmatan Yahoo! People Search.

Jadi, perlu diklik alamat URL yang berikutnya untuk menutup maklumat anda di Yahoo! People Search.

http://info.yahoo.com/privacy/us/yahoo/peoplesearch/details.html.

Sekiranya akaun Yahoo! tersebut dilanggan secara berbayar, pastikan langganan tersebut dibatalkan terlebih dahulu sebelum akaun ditutup. Sekiranya ada apa-apa pertanyaan, pihak Yahoo! ada menyediakan borang di alamat URL yang berikut

http://help.yahoo.com/l/us/yahoo/mail/classic/technical_howto.html.

Penutupan akaun Hotmail

Langkah pertamanya masih sama, perlu dimasukkan login dan kata laluan akaun Hotmail terlebih dahulu ke laman web Hotmail atau Windows Live sehingga berjaya. Seterusnya pergi ke nama akaun di hujung atas kanan dan klik menu Account. Kemudian, cari dan klik pada menu Close your account.

Seterusnya satu laman penutupan akan dipaparkan termasuk syarat-syarat dan kesan-kesan sekiranya satu penutupan akaun dibuat. Baca dengan teliti dan fahami segala kenyataan pihak Hotmail sebelum menutup sesebuah akaun.

Di ruangan laman ini, sekali lagi diperlukan untuk masuk kata laluan untuk tujuan pengesahan. Klik butang Yes sekiranya bersetuju. Langkah yang berikut, ikuti arahan-arahannya sehinggalah proses penutupan akaun tersebut selesai.

Penutupan akaun juga membuatkan segala kemudahan yang terdapat di dalam Windows Live akan ditutup. Bagi memastikan sama ada sesebuah akaun laman web tersebut sudah ditutup sepenuhnya atau tidak, login kembali menggunakan akaun tersebut sama ada di Facebook, Yahoo!, Hotmail dan lain-lain.

Penutupan akaun laman web yang tidak aktif adalah penting untuk keselamatan siber tetapi buatlah salinan data yang penting terlebih dahulu ke tempat lain.