Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Thursday, 16 June 2011

5 Zon Bebas Rokok di Melaka

ALOR GAJAH 15 Jun - Golongan perokok perlu diberi kesedaran tentang pelaksanaan peraturan Zon Bebas Rokok sebelum melaksanakan langkah penguatkuasaan di lima lokasi di negeri ini termasuk daerah Alor Gajah.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Alor Gajah, Zainol Abidin Ariffin berkata, ia bagi memastikan objektif pelaksanaan penguatkuasaan Zon Bebas Rokok menepati matlamat dan berkesan mendidik golongan perokok.

Menurutnya, bagi memastikan usaha itu mencapai matlamat, operasi penguatkuasaan pada hari pertama sekitar Alor Gajah sebagai lokasi Zon Bebas Rokok tertumpu kepada usaha menyedarkan perokok mengenai pelaksanaan peraturan tersebut.

''Pada hari pertama penguatkuasaan Zon Bebas Rokok di Alor Gajah, kita menemui lima perokok yang merokok di gerai makan. ''Namun kita hanya menasihatkan mereka agar tidak mengulangi perbuatan itu di kawasan zon serta pada masa sama kita mengedar risalah kesedaran tentang larangan merokok di tempat zon," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melalui pelaksanaan Zon Bebas Rokok di lima lokasi tersebut, orang ramai yang didapati menghisap rokok di kawasan itu kecuali bangunan persendirian, boleh dikenakan kompaun minimum RM300 atau maksimum RM5,000 berkuat kuasa hari ini.

Selain Alor Gajah, empat lokasi lain yang diwartakan sebagai Zon Bebas Rokok ialah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Jasin, Melaka Raya dan Bandar Warisan Dunia seperti sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A'Farmosa dan pesisiran Sungai Melaka.

Menurut Zainol, pihaknya tidak mengeluarkan kompaun pada hari pertama kerana kebanyakan mereka didapati pengunjung luar dan tidak mengetahui tentang pewartaan Zon Larangan Merokok di Alor Gajah.

Bagaimanapun katanya, selepas ini, pihaknya dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun minimum RM300 kepada mereka yang didapati merokok di zon larangan merokok.

*Petikan dari Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment