Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Tuesday 7 June 2011

Khasiat Madu Tualang

Khasiat madu lebah untuk tujuan rawatan perubatan, sememangnya sudah diketahui umum. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa madu lebah sering kali dikaitkan dalam setiap rawatan kesihatan dan kecantikan memandangkan ia dipercayai wujud sejak ratusan tahun dahulu.

Hari ini, madu lebah dianggap sebagai salah satu komoditi penting dalam industri penjagaan kesihatan yang meliputi setiap lapisan masyarakat di setiap peringkat umur.

Malah, dalam al-Quran sendiri turut menyatakan kelebihan madu seperti firman Allah dalam surah Al-Nahl ayat 68 dan 69: Maksudnya: Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.

PENCARI madu memanjat pokok pulai basung bagi mengambil madu lebah pada demontrasi pengambilan madu lebah tualang di hutan simpan Merchang, Marang.

Ekoran dari itu, Yayasan Di-Raja Sultan Mizan (YDSM) kini mengorak langkah mengembangkan produk berasaskan madu lebah khususnya madu lebah tualang di Terengganu yang dilihat berpotensi menjadi pengeluar madu lebah terbaik negara.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Profesor Dr. Makhdzir Mardan berkata, pihaknya mengambil langkah tersebut sebagai usaha membantu dan melihat kegiatan tradisional penduduk tempatan dinilai tambah, selain memelihara serta mengekalkan hutan simpan negeri.

Untuk tujuan itu, katanya, YDSM akan memainkan peranan meningkatkan keselamatan pencari madu lebah dan meningkatkan mutu dengan cara pemprosesan yang lebih bersih serta terkawal.

Katanya, dengan berbuat demikian adalah diyakini ia mampu memajukan industri lebah bagi meningkatkan pendapatan penduduk. ''Terengganu sangat unik dan mempunyai hutan yang kaya dengan nilai komersial, di Marang contohnya, madu lebah tualang yang dihasilkan amat bermutu tinggi, hasil daripada pokok akasia dan gelam yang terdapat di Hutan Gelam di Hutan Simpan Merchang.

''Sebab itu, YDSM menubuhkan Koperasi Pemungut Madu Lebah Terengganu (Kopemat) Berhad sejak Mei lalu bagi memastikan lebih 120 pemungut madu lebah tualang di kawasan ini dapat menjalankan kegiatan mencari madu lebah dengan lebih sistematik dan terkawal," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melihat demonstrasi memungut madu lebah di Pusat Pengambilan Madu Lebah Tualang di Hutan Simpan Merchang di Marang, kelmarin.

Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga Pengerusi YDSM berkenan berangkat pada program itu. Turut bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Mengulas lanjut, Makhdzir berkata, Kopemat berperanan menjalankan aktiviti dan menyelaras kegiatan ahlinya melalui pembiayaan serta kerjasama dengan YDSM bagi meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan.

Usaha yang dirintis YDSM adalah seiring dengan kedudukan perubatan herba dan alternatif yang kini menjadi kaedah rawatan dan penyembuhan yang semakin dapat diterima dalam dunia moden.

Dengan pelbagai kajian saintifik tentang manfaat sesuatu herba atau sumber tradisional, ia menambahkan lagi keyakinan orang ramai tentang penggunaannya.

Madu lebah adalah antara sumber alternatif yang mempunyai seribu satu khasiat istimewa. Malah ia diberikan pelbagai gelaran termasuklah, 'minuman daripada segala minuman dan ubat daripada segala ubat'. Hakikatnya, madu mempunyai sejarah yang panjang bersama evolusi kehidupan manusia.

Sekiranya diimbas sejarah silam dan asal-usul madu lebah, ia telah dikenali sejak zaman Firaun yang memerintah Mesir 300 tahun Sebelum Masihi. Kemasyhuran khasiat madu lebah turut tersebar luas sehinggalah ke zaman tamadun Parsi, Greek dan juga Rom.

Malah, sejarah Islam sendiri ada menceritakan kegunaan madu lebah dalam perubatan amatlah masyhur. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 68 hingga 69 surah an-Nahl bahawa madu itu adalah syifa (penawar) kepada manusia.

Rasulullah juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda bersabda: Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam dunia moden hari ini pelbagai kajian dan konvensyen terbaru diadakan untuk meneliti secara lebih mendalam mengenai khasiat di sebalik cairan kental manis yang dihasilkan lebah ini.

Dalam hal ini, Dr. Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), pernah menyebut dalam beberapa siri tulisannya madu lebah mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Ia juga mengandungi zat-zat seperti kalsium, zat besi, kuprum, magnesium, manganese, fosforus, potasium, sodium dan zink. Madu turut mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3. Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang diperoleh lebah.

Madu berperanan sebagai antioksida dalam badan manusia yang mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit-penyakit kronik.

Dalam satu kajian lain, pakar mikrobiologi Amerika, Richard F. Stier mendapati komposisi unik kandungan madu lebah juga boleh menjadi agen antimikrob untuk merawat kulit yang cedera akibat kebakaran atau luka. Ia juga mampu mengelakkan jangkitan berpunca daripada bakteria.

Fakta ilmiah ini turut diakui para ilmuwan yang bersidang pada Persidangan Apikultur Sedunia (World Apiculture Conference) pada 20 hingga 26 September 1993 di China.

Berikut adalah manfaat lain madu :
  • Membersih dan membuang segala kotoran yang ada dalam darah.
  • Boleh mengendurkan urat-urat yang tegang, tekanan dan kemurungan.
  • Boleh menghentikan kesakitan sendi.
  • Baik untuk sistem pernafasan.
  • Perut dapat menyerap madu dengan mudah dan segera tanpa diproses di dalamnya lebih dahulu.
  • Boleh membunuh kuman dan virus dalam darah.
  • Membaik-pulih dalaman wanita dan memelihara kesihatan kaum lelaki ataupun menambah keharmonian rumah tangga.
  • Berupaya menghilangkan gatal-gatal pada kulit serta merta dan menghilangkan parut luka dengan segera.
  • Menjana pertumbuhan otak.
  • Mencantik, menghalus, melembab dan mengawal keanjalan kulit.
  • Digunakan sebagai ubat sakit perut.
  • Menghilangkan kahak.
  • Memutih dan menguatkan gigi.
Madu mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin yang baik untuk kesihatan. Sementara itu di kalangan penduduk di negeri Terengganu, madu Tualang sememangnya sudah terkenal dan diakui khasiatnya berbanding madu hutan lain.

*Petikan dari Utusan Malaysia.

1 comment:

  1. khasiat madu memang tidak dinafikan lagi... dlm Islam pun sudah disebut kegunaan madu untuk mengubati pelbagai penyakit manusia. Apakah khasiat madu tualang berbanding madu lain?

    ReplyDelete