Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday 26 June 2011

Banyak Fikir Jejas Prestasi Seks


Kegagalan dalam hubungan seks boleh penyumbang kepada keretakan rumah tangga.

Benarlah seperti yang sering diluahkan oleh rakan sepejabat, kerja yang banyak duduk lebih memenatkan daripada kerja yang menggunakan tulang empat kerat.

Pekerjaan yang memerlukan seseorang itu banyak berfikir memang memberi kesan kepada kesejahteraan minda. Lebih-lebih lagi jika individu tersebut tidak pandai menyeimbangkan dan mengambil langkah awal sekiranya menghampiri masalah.

Pakar psikiatri dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari tidak menafikan kebanyakan hubungan seks bermasalah yang dirujuk kepadanya adalah dari kalangan mereka yang bekerja pejebat.

Pekerjaan yang memerlukan banyak berfikir memang memberikan kesan. Apabila diselidiki didapati mereka ini ada masalah disfungsi erektil (ED) atau dalam bahasa mudahnya mati pucuk.

"Masalah ini berbeza daripada mereka yang bekerja dengan menggunakan kudrat. Inilah trend yang kami dapat perhatikan di sini," jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini. Jadi menurutnya, adalah amat baik bagi seseorang pekerja itu menyeimbangkan antara kerjaya dan kehidupan.

Perlu peruntukan cuti dan mesti memaksimumkan masa sebaiknya dengan pasangan masing-masing,". Kata Dr. Muhsin lagi  adalah amat mustahak untuk setiap pasangan berkomunikasi secara terbuka tentang masalah yang mereka alami.

Ia bukan sekadar gangguan rumah tangga seperti orang ketiga, keluarga mertua atau masalah hidup berasingan, tetapi ini melibatkan masalah seksual. Memang ia sukar dikesan kerana setiap pasangan terutama di pihak lelaki amat tabu untuk membicarakan soal ini secara terbuka dengan isteri sendiri apatah lagi dengan ahli profesional.

"Sebenarnya masalah seks juga menjadi penyumbang kepada keretakan rumah tangga," ujarnya. Dr. Muhsin berkata, masalah seksual terutama yang melihatkan prestasi seksual lelaki seperti ED adalah masalah yang boleh dirawat. Ada juga kes di mana pasangan suami isteri itu sudah enam tahun berkahwin dan tidak mempunyai anak, bila diselidik rupanya suami ada masalah ED.

"Sebab itu komunikasi amat penting dan perlulah tahu bahawa ada rawatannya," ujarnya. Menurutnya, para psikiatri akan memastikan tiada penyakit fizikal lain yang menyumbang. Jika ada ia perlu dirawat satu persatu.

Masalah ED ini bersangkut paut dengan masalah lain. Tetapi jika tidak diluahkan kita tidak tahu puncanya. Mungkin asalnya masalah tersebut datang dari tempat kerja dan melarat hingga ke rumah.

Jika pendam masalah ketidakpuasan seks ini dan tidak dirawat boleh menjurus ke arah kemurungan. Bila jadi lebih teruk ia diibaratkan seperti kitaran pula apabila akan menimbulkan pelbagai lagi masalah lain, katanya.

Klinik terapi seks menurut Dr. Muhsin, mungkin tahap kepuasan seks di Malaysia tidaklah seburuk di Singapura yang menubuhkan klinik khas bagi terapi seks.

Namun tidak mustahil satu hari nanti ia akan jadi seperti itu kerana cara hidup yang berubah dengan arus pemodenan dan tekanan sekeliling. Di Malaysia belum ada klinik khusus untuk terapi seks. Namun masalah berkaitan psikologi seks ini boleh dirujuk kepada ahli psikiatri dan psikologi.

Memang tidak ada salahnya jika mewujudkan klinik terapi seks namun tidak dinafikan stigma masyarakat Malaysia yang masih tabu dengan isu ini menjadi halangan kejayaannya. Namun alternatif tetap ada. Di PPUM sendiri, kami mempunyai klinik untuk wanita yang boleh membincangkan masalah berkaitan peribadi untuk mendapat penyelesaian yang terbaik bagi mereka.

"Memang lelaki lebih ego, namun jika ia berkaitan dengan masalah ED ketahuilah ada rawatannya dan ia bersifat sementara. Sebagai individu yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka harus juga berkorban mengubah gaya hidup kepada yang lebih baik," ujarnya.

Dr. Muhsin menegaskan, sebaiknya setiap pasangan suami isteri bersikap terbuka dan berkomunikasi. Cuba fahami pasangan anda dan bebanan emosi yang mereka tanggung. Dan jika sudah diutarakan rasa tersebut, suami atau isteri itu carilah rawatan.

"Masyarakat perlulah bersikap terbuka sebab kebanyakan kes yang berlarutan adalah apabila ia tidak dibicarakan dari peringkat awal. Apabila ia berlarutan bukan sekadar memberi kesan negatif kepada rumah tangga malah produktiviti kerja juga terjejas," jelasnya.

No comments:

Post a Comment