Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Saturday 31 December 2011

KWSP - Caruman Majikan 13% bagi gaji bawah RM5,000

Simpanan Hari Tua Anda

Kuala Lumpur 27 Dis - Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menerima gaji bulanan tidak melebihi RM5,000 akan menerima rangsangan dalam simpanan persaraan mereka apabila kadar caruman berkanun bahagian majikan dinaikkan kepada 13 peratus berkuat kuasa gaji Januari depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kenaikan satu peratus daripada kadar semasa 12 peratus itu akan memberi faedah kepada 5.3 juta rakyat dengan 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif.

Menurutnya, caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus.

"Pekerja berumur 55 tahun ke atas yang menerima gaji tidak lebih RNM5,000 juga akan menerima manfaat ini apabila majikan mereka diwajibkan mencarum 6.5 peratus atau tambahan 0.5 peratus manakala pekerja terus mencarum pada kadar 5.5 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan caruman majikan untuk pekerja dalam kumpulan pendapatan itu semasa pembentangan Bajet 2012 sebagai langkah menangani masalah tidak cukup pendapatan semasa bersara yang dihadapi golongan pesara.

Kajian sebelum ini menunjukkan 70 peratus pesara akan menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara dan masalah itu akan bertambah serius kerana kadar inflasi semakin meningkat dan bertambahnya jangka hayat rakyat Malaysia akan datang.

Menurut Nik Affendi, KWSP menghargai tindakan segera kerajaan dalam menangani masalah itu kerana tambahan satu peratus caruman beserta dividen tahunan akan meningkatkan lagi simpanan persaraan rakyat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.kwsp.gov.my atau mengunjungi cawangan KWSP terdekat selain menghubungi pusat panggilan di talian 03-89226000.

Memperhebatkan Industri Koko

Perluasan kawasan ladang tanaman koko bakal meningkatkan pengeluaran biji koko sekali gus mampu merancakkan industri hilirannya.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa Malaysia pernah menjadi negara pengeluar biji koko ketiga terbesar di dunia pada sekitar tahun 1990-an.

Ketika itu, negara memiliki kawasan tanaman koko seluas 420,000 hektar dengan kadar pengeluaran biji koko 240,000 tan metrik setahun.

Namun, permintaan tinggi di peringkat global terhadap komoditi kelapa sawit menyebabkan kebanyakan ladang koko telah diambil alih oleh tanaman komoditi berkenaan.

Oleh itu, perusahaan koko hari ini terpaksa berhadapan dengan situasi pengurangan kawasan tanaman sebanyak 400,000 hektar.

Kini, sektor komoditi tersebut hanya bergantung kepada lebihan kawasan seluas 20,000 hektar untuk mengeluarkan kira-kira 15,000 tan metrik biji koko sahaja setahun.

Daripada segi pengusahanya pula, lebih 95 peratus terdiri daripada para pekebun kecil yang melakukan penanaman koko di kawasan-kawasan estet.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail, pengurangan jumlah pengeluaran itu memberi kesan yang cukup besar kepada aktiviti sektor hiliran koko.

''Sektor produk hiliran koko sebenarnya telah bermula sejak tahun 2000 dan berkembang cukup baik selepas itu.

''Pembangunannya turut disokong oleh industri pengisaran koko di mana terdapat sebanyak sembilan buah syarikat pengisar di seluruh negara.

''Namun, selepas sektor huluan mengalami masalah pengeluaran biji koko, ia telah memberi ketidakseimbangan kepada sektor hiliran ini.

''Lebih buruk lagi apabila Indonesia turut menaikkan cukai terhadap biji koko yang diimport dari negara mereka,'' katanya ketika ditemui pada program Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) 2011 di Serdang baru-baru ini.

Melihat keadaan itu, LKM mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa program penanaman dan pemulihan semula komoditi koko bermula pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Antaranya, memberi insentif kepada para pekebun yang berminat menanam koko dalam bentuk bantuan bernilai RM6,500 untuk setiap satu hektar kawasan tanaman bagi tempoh selama lima tahun.

Ia merangkumi kos biji benih, input pertanian seperti baja dan racun serangga serta bantuan khidmat nasihat.

Di samping itu, LKM turut memperkenalkan program Koko Untuk Rakyat (KUR) bermatlamat memaksimumkan penggunaan tanah terbiar dan kawasan di sekitar rumah untuk tanaman pokok koko.

''Menerusi KUR, sebanyak 50 anak benih koko akan diberi secara percuma kepada individu yang berminat menanamnya.

Program itu telah dimulakan di Perlis melalui pemberian sebanyak 220 anak benih kepada penduduk di sana. Setakat ini, program KUR telah dilaksanakan di seluruh negara dengan matlamat meningkatkan pengeluaran biji koko nasional sebanyak 30 peratus.

''Melaluinya, ia juga secara tidak langsung dapat memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha terlibat,'' jelasnya.

Disebabkan pokok koko mudah dijaga, LKM turut menjalankan projek tanaman komoditi itu di kawasan-kawasan sekolah, pejabat, penempatan berkelompok dan taman rekreasi.

Mengenai soal pasaran, Dr. Azhar memberitahu, pihak LKM akan membantu para pekebun mengumpul biji koko secara berkelompok mengikut kluster bagi memudahkan aktiviti jualan.

''LKM akan cuba sedaya upaya untuk menemukan para pekebun secara terus dengan pembeli atau pengisar untuk mengelakkan penglibatan orang tengah,'' katanya.

Tanam Jagung

Air amat kritikal pada peringkat awal tumbesaran awal dan masa pembungaan dan pembentukan biji jagung.

Tanah untuk penanaman jagung mesti dikerjakan dengan menyeluruh untuk mengembur, menghapus rumpai, memperbaiki pengudaraan dan penyerapan air yang baik untuk pertumbuhan akar dan pokok.

Membajak piring dua minggu sebelum menanam sedalam di antara 20 dan 25 sentimeter (sm) untuk memasukkan sisa tanaman dan rumpai ke dalam tanah.

Membajak putar selepas membajak piring untuk memecahkan tanah menjadi ketulan kecil. Mengapur untuk menaikan pH tanah kepada yang optimum iaitu 5.5 dan disyorkan GML (ground magnesium limestone) dengan kadar dua tan/ha untuk tanah biasa dan empat tan/ha untuk tanah gambut.

Bahan tanaman adalah biji benih dengan kadar lapan hingga 10 kg/ha. Jarak tanaman bergantung pada jenis tanah dan jenis jagung, biasanya 75sm x 50sm atau 75sm x 30sm dengan kepadatan sebanyak lebih kurang 53,333 pokok/ha.

Menanam boleh mengunakan jentera atau tugal bagi kawasan yang kecil sama ada dalam alur (furrow), atas batas atau di atas tanah yang rata.

Biji benih dirawat dengan racun kulat dan serangga sebelum ditanam sedalam dua hingga empat sm ke dalam tanah sebanyak dua biji selubang dan akan bercambah selepas di antara empat dan tujuh hari selepas ditanam.

Penjarangan perlu dilakukan tiga minggu selepas ditanam dengan meninggalkan satu pokok selubang.

Air amat kritikal pada peringkat awal tumbesaran awal dan masa pembungaan dan pembentukan biji jagung. Siraman perlu dibuat dua kali sehari dengan sistem pengairan renjis (kos RM5,00 - RM 8,000/ha).

Keperluan asas tanaman
  • Suhu 30 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius.
  • Taburan hujan di antara 500 dan 700 mm/tahun.
  • Jenis tanah yang subur iaitu tanah alubium hitam dengan resapan air yang baik, tanah lom berpasir dan juga tanah gambut dengan pengapuran.
  • pH tanah 5.0 - 6.5
Penyelenggaraan

Pembajaan bergantung kepada jenis tanah, amnya kadar NPK sebanyak 120:60:40 kg/ha adalah sesuai untuk semua jenis tanah. Baja seperti NPK Blue Special (12:12:17:2) boleh digunakan dan dibubuh sebanyak dua kali dalam semusim.

Kawalan rumpai boleh dijalankan dengan menyembur racun pracambah seperti Atrazine dengan kadar 120g/16 liter air dan diikuti merumpai secara manual atau jentera selepas tiga hingga empat minggu ditanam dan diikuti satu atau dua lagi pusing merumpai.

Mengambus atau menambak adalah kerja-kerja memupuk tanah atau batas-batas tanah ke perdu pokok jagung apabila tanaman mencapai ketinggian 60 sm bagi mengawal kelembapan tanah, mengawal rumpai.

Menahan dari pokok rebah dan mencegah akar pokok keluar dari permukaan tanah yang dilakukan selepas menabur baja supaya dapat mengeluarkan hasil yang baik kerana dapat mengawal kehilangan baja.

Penyakit kulat seperti hawar daun dan karat jagung boleh dikawal dengan racun kulat seperti Thiram dan Zineb selain dari amalan agronomi yang baik dengan menggunakan biji benih yang bebas penyakit dan musnahkan tanaman yang terdahulu.

Penyakit tongkol (smut) menyebabkan tongkol jagung membengkak/bisul dapat dikawal dengan memusnahkan pokok yang diserang.

Penyakit reput batang bakteria menyebabkan batang pokok jagung reput dan patah boleh dicegah dengan amalan kultura yang baik dan memusnahkan pokok yang diserang.

Serangga perosak yang selalu menyerang tanaman jagung adalah seperti ulat pengorek batang jagung, ulat tongkol jagung, ulat ratus dan kepinding boleh dikawal dengan racun serangga seperti Malathion, Sevin, Diptrex dan sebagainya.

Perosak mamalia seperti tikus boleh dikawal dengan amalan kultura yang baik atau guna perangkap atau umpan beracun.

Penuaian

Jagung manis boleh dituai selepas 68 hingga 72 hari selepas menanam untuk dimakan (rebus) dan 90 hingga 100 hari untuk dijadikan biji benih.

Jagung dipetik mengggunakan tangan pada awal pagi atau petang sahaja dan boleh disimpan segar pada suhu biasa selama 24 hingga 36 jam dan pada suhu 3 - 50 darjah C boleh disimpan selama tiga minggu.

Hasil secara purata 30,000 tongkol sehektar.

Wednesday 28 December 2011

Tanam Asparagus


Sulur muda asparagus dikutip sebagai sayuran yang berkhasiat dan bernilai tinggi.

Asparagus merupakan antara sayur yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Biasanya ia ditanam secara komersial oleh para pengusaha dan jarang di tanam secara kecil-kecilan.

Namun, bagi yang gemar berkebun boleh mencuba untuk menanam asparagus di kawasan rumah mereka.

Penyediaan kawasan

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan. Lebar batas satu meter, tinggi antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialan 0.6- 1.0 meter.

Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5 dan 6.5, jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan. Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman dan penjagaan

Biji benih perlu disemai dalam polibeg hitam yang sesuai dengan menggunakan media tanah campuran tiga bahagian tanah atas: Dua bahagian bahan organik: Satu bahagian pasir dan ditambah ½ bahagian sabut kelapa.

Letak satu atau dua biji benih dalam polibeg dan biji benih akan bercambah antara tujuh dan 14 hari dan anak benih dibiarkan selama antara lapan dan 10 minggu ditapak semaian.

Ia perlu disiram setiap hari dan sekurangnya 50 peratus teduhan.

Rumpun asparagus yang berumur lebih setahun boleh dibelah dan dipindahkan sebagai bahan tanaman. Pastikan tunas sulur subur dan mempunyai akar yang mencukupi.

Tanam tunas sulur secepat mungkin. Pendedahan kepada cahaya matahari dan angin akan menjejaskan pertumbuhan tunas sulur.

Jarak tanaman yang sesuai ialah satu meter antara barisan pokok dan penanaman sebaris didalam batas adalah sesuai bagi asparagus kerana memudahkan pengurusan tanaman.

Kawalan rumpai

Pengawalan rumpai penting untuk menjamin hasil yang tinggi. Kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.

Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar. Tetapi ia bergantung pada kesesuaian tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan.

Pembajaan dibuat antara tiga dan empat minggu selepas mengubah anak benih ke ladang, penggunaan baja organik 8: 8:8: (80-100 gm/rumpun diselangkan dengan baja NPK biru 12:12:17 (50-80 gm/rumpun) adalah disyorkan dan ditambah bila rumpun membesar.

Ia ditabur keliling tanaman dengan jarak 15-20 sm dari rumpun tanaman dan dikambus bagi mengelakkan larut resap ke udara. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan baja kimia dengan baja organik.

Pemangkasan

Proses pemulihan dilakukan supaya keseimbangan bilangan batang dan daun yang cukup untuk aktiviti fotosintesis serta kegunaan pembesaran selepas melalui aktiviti kutipan hasil.

Program pemulihan memerlukan antara dua dan tiga bulan dan tinggalkan tiga dan empat pokok matang setiap rumpun.

Asparagus perlu dicantas tiga atau empat kali setahun mengikut kesesuaian pokok. Semua pokok matang perlu dicantas di paras tanah dan tinggalkan sulur baru yang dipotong sebagai hasil segar dan yang tidak sesuai biarkan ia membesar.

Perosak dan penyakit

Serangan penyakit layu pucuk (Fusarium sp) menyebabkan pucuk muda hitam ,layu dan terus kering. Serangan kulat Puccinia asparagi menyebabkan tanda bintik hitam atau merah pada batang dan daun.

Penyakit ini dikawal dengan memotong dan musnahkan bahagian yang diserang atau dibuat semburan racun kulat yang sesuai.

Ulat ratus (Spodoptera sp) yang menyerang bahagian pucuk dan dahan dan ulat pangkas memakan bahagian pucuk dan daun,jika serangan serius lakukan semburan menggunakan racun yang sesuai.

Penuaian hasil

Hasil pertama boleh dituai selepas lapan hingga 10 bulan ditanam. Aparagus boleh dituai dalam bentuk tunas putih atau tunas hijau.

Asparagus hijau dimakan segar dan yang putih ditinkan. Bagi mendapatkan asparagus putih rumpun ditimbus tanah dan tunas akan membesar dalam tanah.

Kutipan hasil akan bermula selepas proses cantasan dilakukan,bagi satu musim tempoh kutipan hasil antara satu dan dua bulan. Sulur muda dipotong dengan pisau tajam di bawah paras tanah,elakkan kecederaan sulur muda lain.

Sulur berukuran 15-17 sm sahaja yang dituai. Kelewatan dituai menyebabkan sulur panjang meruncing, berserabut dan hujung sulur akan berkembang menjadi daun.

Tuaian hasil antara 25 dan 30 kg seminggu sehektar boleh didapati dan boleh mencapai tiga atau lima tan sehektar/tahun.

Asparagus digred mengikut garis pusat dan panjang rebung, warna, kerapuhan, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit.

Ia boleh bertahan selama dua hingga tiga minggu jika disimpan dlam suhu 0-2 darjah celsius.

Soya Ganti Santan Dalam Nasi Lemak

Sampel lauk kari ayam versi Melayu yang digantikan sebahagian santan dengan susu kacang soya.

Kemakmuran ekonomi sesebuah negara biasanya dapat dilihat daripada gaya hidup rakyatnya.

Gaya hidup itu pula meliputi pelbagai aspek antaranya dilihat daripada di mana mereka menginap, jenis kediaman, jenis pakaian yang dipakai, jenis kenderaan yang dinaiki sehinggalah kepada makanan.

Dengan kayu ukur yang disebutkan itu, tidak sukar membandingkan keadaan bagi rakyat sesebuah negara terutama negara makmur atau negara yang mana penduduk mereka mengalami kebuluran.

Begitupun, negara yang rakyatnya mengalami kebuluran merupakan masalah ketika ini tetapi tanpa kawalan juga, akhirnya rakyat negara kaya mudah terjerumus kepada masalah kerana terlebih makan atau tersalah makan.

Banyak negara maju yang rakyatnya mengalami obesiti atau kegemukan, sama ada disebabkan gaya pemakanan yang salah atau pengambilan makanan berlebihan.

Malah faktor kemiskinan juga boleh mengakibatkan gejala kegemukan kerana gaya pemakanan yang salah.

Negara seperti Malaysia dikategorikan sebagai negara makmur dan sekali gus rakyatnya berdepan dengan gaya pemakanan yang salah termasuk, makan berlebihan atau makanan yang berlemak dan akhirnya masalah kegemukan.

Gemarkan makanan berminyak, berlemak, makan pada waktu lewat malam dan makan tidak mengikut piramid makanan yang betul adalah antara faktor-faktor penyumbang kepada masalah tersebut.

Rakyat Malaysia gemarkan makanan berlemak, berkuah santan atau minyak berlebihan. Hidangan yang pelbagai itu adalah menu rakyat negara ini.

Nasi lemak, roti canai dan bahan cicah serta sambal tumis adalah menu yang dicari pada waktu sarapan pagi. Sebab itu, kelapa seakan tidak mencukupi untuk penduduk negara ini.

Santan dianggap sebagai penyedap makanan meskipun ramai sudah mengetahui pengambilan santan secara berlebihan boleh menjadi 'racun' pembunuh secara perlahan dan senyap.

Hari ini, banyak usaha telah dilakukan bagaimana santan kelapa yang begitu diminati perlu diganti kepada bahan lain yang lebih sihat.

Jika terdapat percubaan menggantikan santan kelapa dengan bahan berasaskan susu kacang soya yang dianggap lebih baik, maka itu sebahagian daripada usaha tersebut.

Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), usaha yang sama sedang rancak dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan.

Projek tersebut menurut ketua kumpulan penyelidiknya, Zuraidah Nasution, dimulakan pada awal tahun ini setelah mendapat peruntukan dana daripada UMT menerusi Tabung Bantuan Penyelidikan Khas 2011.

''Projek ini akan berakhir pada awal tahun 2012 dan kos pembiayaan dana ialah berjumlah RM 20,000 ,"katanya yang diwawancara menerusi emel.

Penyelidikan tersebut bertujuan menggantikan santan kelapa sebagai bahan tambahan utama dalam masakan.

Kajian itu dijalankan bertujuan untuk melihat kesan penggantian santan kelapa dengan susu kacang soya dalam dua masakan popular rakyat Malaysia iaitu nasi lemak dan lauk kari ayam versi Melayu terhadap ciri-ciri fizikal, kimia dan mikrobiologi serta penerimaan pengguna.

Penggantian sebahagian daripada santan dengan susu kacang soya dalam masakan tempatan adalah kerana susu kacang soya mengandungi lemak tidak tepu yang lebih tinggi.

Ini memberi kesan kesihatan yang lebih baik berbanding lemak tepu yang kurang sihat yang terdapat dalam santan.

''Kajian menggantikan santan dengan susu kacang soya dalam peratusan yang berbeza dijalankan oleh tiga orang pensyarah dan enam orang pelajar tahun akhir,"ujarnya. mewakili kumpulan penyelidik berkenaan.

Selain Zuraidah, penyelidik lain yang terlibat dalam penyelidikan tersebut ialah Dr. Mohd Nizam Lani dan Aziz Yusof , selain pelajar terbabit.

Beliau boleh dihubungi di zuraidahn@umt.edu.my

ASN 2011 - Agihan 6.05 sen seunit


Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan agihan pendapatan ASN di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur 27 Dis - Seramai 1.2 juta pelabur Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) akan memperoleh agihan pendapatan sebanyak 6.05 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Agihan itu mewakili kenaikan sebanyak 0.05 sen seunit berbanding 6.00 sen seunit yang diberikan pada tahun lalu.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM92.8 juta.

Sehingga kini sebanyak 1.5 bilion unit ASN telah dilanggan.

Menurut beliau, ASN telah memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM114.67 juta dengan hasil keuntungan penjualan saham menyumbang RM58.71 juta.

''Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam saham menyumbang sebanyak RM43.33 juta dan selebihnya RM12.63 juta daripada lain-lain pendapatan,'' katanya pada sidang akhbar pada majlis pengumuman ASN di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Katanya, pengiraan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2011.

Ahmad Sarji berkata, pembayaran agihan pendapatan itu akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2011.

Semua urus niaga bagi ASN ditangguhkan mulai hari ini sehingga 2 Januari 2012 dan buku pelaburan boleh dikemas kini di semua pejabat Amanah Saham Nasional Bhd dan ejen-ejennya di seluruh negara mulai 3 Januari ini.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB memperuntukkan RM9 bilion untuk agihan pendapatan kesemua sembilan skim unit amanahnya sepanjang tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, RM7 bilion diperuntukan bagi skim Amanah Saham Bumiputera dan bakinya untuk unit-unit amanah yang lain.

Ditanya tentang keupayaan PNB mengekalkan pulangan kompetitif, Hamad Kama Piah berkata: ''PNB sentiasa memantapkan portfolionya dari semasa ke semasa''.

Tegas beliau, langkah itu perlu untuk memastikan PNB sentiasa mendapat pulangan terbaik dalam saham-saham terpilih.

''Sebagai peserta jangka panjang, prestasi turun dan naik pasaran adalah perkara biasa tetapi pemilihan portfolio saham adalah penting kerana ia menentukan pulangan kompetitif,'' jelasnya.

Aset di bawah pengurusan PNB kini berjumlah RM190 bilion.

Thursday 22 December 2011

Santan Sawit Kurang Kolestrol

Santan sawit sangat sesuai digunakan dalam masakan bagi menggantikan santan kelapa kerana tidak cepat 'pecah minyak' biarpun gulai dimasak pada suhu yang tinggi.

Penggunaan santan dalam masakan harian bagi masyarakat negara ini bukan lagi asing, malah harga bagi bahan masakan ini melambung pada musim perayaan.

Hampir kesemua masakan tradisional Melayu memerlukan santan sebagai bahan utama dan jika ditukar dengan bahan lain pastinya rasa serta kualiti masakan tersebut akan kurang.

Namun, akibat kekurangan stok kelapa, harga santan kini kadangkala di luar jangkaan dan ia bertambah kritikal apabila industri perladangan kelapa semakin menyepi.

Bagi menyelesaikan permasalahan tersebut, sebuah syarikat bumiputera yang dikenali sebagai Khalissantan memperkenalkan santan kelapa sawit.

Menurut Pengarah Urusannya, Jasri Mohd. Rashid, santan kelapa sawit tiada beza dengan santan kelapa biasa.

"Dari segi tekstur, rasa dan bau santan sawit dan santan kelapa tiada beza. Malah, santan sawit memiliki kelebihan yang tiada pada santan kelapa," ujarnya ketika ditemui di kilang pemprosesan santan sawit di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Jasri, santan sawit yang dihasilkannya memiliki kandungan asid lemak yang lebih rendah, kurang kolestrol, kaya dengan vitamin A dan E selain dapat bertahan lebih lama daripada santan biasa.

"Malah penggunaan santan sawit ini hanya separuh daripada santan kelapa kerana ia lebih pekat. Selain itu ia juga tidak berbau tengik jika disimpan lama di tempat yang dingin ia dapat bertahan lebih lama," katanya.

Santan sawit dalam bungkusan mampu bertahan sehingga tiga bulan dan jika telah dibuka ia bertahan selama sebulan di dalam tempat yang dingin.

Bercerita mengenai idea menghasilkan santan sawit ujar Jasri, beliau menerima formula menghasilkan produk tersebut daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB telah menjalankan kajian hampir 12 tahun untuk menghasilkan santan sawit namun dalam skala makmal dan Jasri telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada agensi tersebut untuk tujuan pengkomersialan.

Biarpun begitu, untuk menghasilkan produk santan sawit dalam skala yang besar ia tidak semudah seperti yang disangka.

Mesokap

Menurut Jasri, pada peringkat awal beliau perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk melihat kesesuaian produk tersebut sebelum ia memasuki fasa pengkomersialan secara besar-besaran.

Antaranya, proses R&D, kajian soal selidik di kalangan pengguna, kajian pemasaran, kesan kesihatan serta kesesuaian penggunaan santan sawit di negara ini.

Setelah memperoleh data yang lengkap dan berpuas hati bahawa produk santan sawit tersebut boleh mendapat tempat di hati pengguna, Jasri bersama rakan kongsinya melabur untuk membina kilang.

Bagaimanakah santan sawit dihasilkan? Bagaimanakah warna sawit boleh bertukar putih?

Jelas Jasri, untuk menghasilkan santan sawit, pihaknya menggunakan hasil sawit yang diproses daripada bahagian mesokap (mesocarp) buah tersebut.

Kemudian ia akan diproses bersama beberapa bahan tertentu untuk menukarkan warnanya kepada warna putih santan. Setelah diproses, santan sawit akan terus dibungkus sebelum diedarkan kepada pengedar.

Kejayaan Jasri mengkomersialkan santan sawit itu juga berdasarkan pengalaman beliau selama 10 tahun di syarikat produk tenusu sebagai pengurus kewangan.

Melalui pengalaman bekerja di syarikat tersebut menjadikan Jasri mahir dalam selok belok pemprosesan sehinggalah kepada pemasaran sesuatu produk.

Antara perbezaan santan sawit dan santan kelapa adalah ia lebih menjimatkan kos berikutan ia digunakan hanya sedikit sahaja.

Jika untuk masakan seperti kari, anda hanya memerlukan satu pertiga, manakala untuk kegunaan cendol hanya satu perempat sahaja.

Selain memberikan rasa atau tekstur yang lebih lembut, ia juga tidak berbau tengik, tidak mudah rosak selagi disimpan di tempat sejuk dan paling penting, ia tidak perlu dibeli setiap hari.

Malah, makanan yang dimasak menggunakan santan sawit juga tidak mudah rosak, hanya perlu disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan pada keesokan harinya.

Bagi santan kelapa, ia mudah rosak biarpun sebelum digunakan dan istilah paling biasa digunakan adalah 'naik kepala' yang mana keadaan lemak santan yang terapung di atas air biarpun selepas beberapa jam ia diproses.

Selain itu, masakan yang menggunakan santan kelapa juga lebih mudah basi walaupun baru ditinggalkan hanya satu hari sahaja malah perlu dibeli pada setiap hari.

Terdapat perbezaan memasak menggunakan kedua-dua jenis santan ini. Santan kelapa tidak boleh menggunakan api yang kuat kerana masakan lebih cepat 'pecah minyak' dan menjadikan masakan kurang enak.

Bagi santan sawit, ia tidak akan mengalami 'pecah minyak' seperti santan kelapa malah api boleh digunakan sebesar mana pun dan boleh didih selama tiga hingga lima minit.

Santan sawit juga boleh menggantikan susu bagi memasak masakan seperti nasi minyak dan beriani. Selain mampu menjimatkan kos pembelian santan kerana ia lebih murah berbanding santan kelapa, ia juga merupakan produk yang menyihatkan.

Jika dahulu ramai yang khuatir untuk makan makanan berasaskan santan kerana faktor penyakit, namun kini ia tiada lagi berikutan santan sawit memiliki kolestrol yang lebih rendah.

Menurut Jasri lagi, kini beliau sedang berusaha memperkenalkan kegunaan santan sawit ini sebagai pengganti kepada santan kelapa untuk memastikan makanan yang dimakan lebih menyihatkan.

"Kami juga dalam proses untuk membesarkan lagi kilang pemprosesan santan sawit ini di samping mahu mencari agen yang berminat untuk memasarkan produk ini," ujarnya.

Kini produk santan sawit Khalissantan ini boleh ditemui di pasar raya terkemuka dan akan memasuki beberapa lagi pasar raya besar di negara ini.

Ketika ditanya adakah beliau berminat untuk mengeksport santan sawit tersebut, katanya kini sudah terdapat beberapa negara yang telah menunjukkan minat untuk membeli produk tersebut.

"Tetapi kita sekarang memberi penumpuan sepenuhnya untuk pasaran domestik terlebih dahulu kerana pasaran domestik bagi santan juga amat besar ," ujarnya.

Tuesday 20 December 2011

ASB 2011 - Agihan 8.80 sen seunit

Ahmad Sarji Abdul Hamid bersama-sama Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan replika pengagihan pendapatan ASB di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur 19 Dis - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 7.65 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Pada tahun lalu, PNB mengumumkan agihan pendapatan ASB sebanyak 7.50 sen seunit manakala bonus pula sebanyak 1.25 sen seunit.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, PNB memperuntukan bayaran sebanyak RM7.04 bilion melibatkan 7.3 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 95.9 bilion unit ASB.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula berjumlah RM628.29 juta oleh PNB.

Ahmad Sarji berkata, sehingga 15 Disember ini, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM7.19 bilion, yang mana pendapatan dividen pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.09 bilion.

''Keuntungan dalam penjualan saham syarikat-syarikat pula menyumbang sejumlah RM2.25 bilion atau 31.3 peratus kepada jumlah pendapatan kasar dan selebihnya RM0.85 bilion melalui pendapatan pelaburan instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan,'' kata beliau ketika mengumumkan agihan pendapatan ASB hari ini.

Turut hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Sementara itu, Hamad Kama Piah menyifatkan agihan pendapatan ASB pada tahun ini adalah terbaik selepas mengambil kira ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan sejagat.

''Jumlah agihan pendapatan dan bonus 8.80 sen adalah terbaik kerana ASB pelaburan jangka panjang,'' tambahnya.

Katanya, PNB telah memperuntukan sebanyak RM3 bilion sebagai rizab bagi ASB yang akan dibawa ke hadapan.

Menurut Hamad Kama Piah, pada tahun ini jumlah unit amanah ASB telah meningkat melebihi RM13 bilion berbanding RM12.1 bilion pada 2010. Setakat ini, jumlah dana ASB dan unit-unit amanah lain berjumlah RM17 bilion.

Ahmad Sarji menambah, pengiraan pengagihan pendapatan ASB berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB berakhir pada 31 Disember 2011.

Pengiraan bonus pula mengikut purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula 2002 sehingga 2011.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit dan buku pelaburan boleh dikemas kini mulai 3 Januari 2012.

Semua urus niaga ASB ditangguhkan mulai 21 Disember ini sehingga 2 Januari 2012 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan dan bonus.

Monday 19 December 2011

Sasar 1,000 Francaisor Menjelang 2020

Ismail Sabri Yaakob ditemani Sohaimi Shahadan (tengah) membuat roti bakar di salah sebuah tapak gerai francais di Bera, semalam.

Bera 18 Dis - Kerajaan menyasarkan seramai 1,000 francaisor dapat diwujudkan menjelang 2020 bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya menerusi Model Baharu Ekonomi (MBE).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, seramai 576 francaisor dan 5,315 francaisi telah didaftarkan dengan melibatkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan.

Menurut beliau, bidang makanan mencatatkan jumlah tertinggi dalam perniagaan francais yang ketika ini mempunyai seramai 193 francaisor.

"Kerajaan sentiasa meningkatkan usaha bagi memastikan lebih ramai usahawan di negara ini terlibat dalam bidang francais," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia di Kompleks Belia Bera di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shohaimi Shahadan dan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat.

Ismail memberitahu, pihaknya juga memperkenalkan Skim Mikro Francaisi yang ditawarkan kepada usahawan kecil yang ingin menjadi francaisi kepada francaisor tertentu.

Katanya, sebagai permulaan sebanyak RM8 juta disediakan dengan jumlah pinjaman maksimum RM50,000 boleh diberikan kepada usahawan terbabit.

Jelasnya, peruntukan sebanyak RM1 juta dikeluarkan terhadap usahawan terbabit dan 150 permohonan sedang dikaji oleh pihak kementerian untuk menyertai skim tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan terhadap produk-produk 1Malaysia yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan kedai-kedai runcit bagi memastikan kualitinya terjamin.

Katanya, jawatankuasa tersebut dianggotai oleh 13 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menilai serta memantau produk terbabit agar sentiasa memenuhi piawaian ditetapkan.

Beliau memberitahu, antara kementerian dan agensi terlibat ialah kementerian beliau sendiri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut sekali gus menepis dakwaan pembangkang yang kononnya produk dari KR1M kurang berkualiti dan boleh memberi kesan negatif kepada pengguna.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 200 produk makanan dan minuman 1Malaysia yang dihantar ke Kementerian Kesihatan bagi menjalani beberapa ujian akan diketahui keputusannya dalam tempoh dua minggu.

Katanya, ia bagi membuktikan kerajaan tidak menjual produk yang rendah kualiti sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Simpanan Pendidikan

Saya mempunyai seorang anak berusia 3 tahun. Saya telah membuka satu akaun amanah (ASW) untuknya pada awal tahun 2011 dan juga satu akaun unit amanah di bawah bank tempatan.

Simpanan unit amanah ini saya ambil bagi jangka masa 15 tahun. Bermaksud, simpanan hanya boleh dikeluarkan setelah cukup 15 tahun menyimpan.

Bagaimanapun, akaun unit amanah ini saya tidak membuat simpanan secara berkala. Setakat ini, ada satu transaksi sahaja. Adakah tindakan saya ini bijak? Atau saya perlu membuat simpanan secara berkala?

Jika saya tidak mampu untuk menyimpan secara berkala setiap bulan, bolehkah jika saya membuat simpanan secara berkala setiap tahun? Atau lebih baik saya menumpukan perhatian kepada ASW 2020 sahaja?

Jawapan.

Dalam masyarakat masa kini di mana perancangan kewangan memainkan peranan yang semakin penting, adalah tidak menghairankan untuk melihat amalan menabung yang baik dimulakan lebih awal dan menjadi keutamaan bagi ramai ibu bapa di Malaysia.

Memang menjadi lumrah bahawa setiap ibu bapa mahu memberikan perlindungan yang terbaik dan pendidikan yang sempurna kepada anak mereka.

Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap idea menabung sejak dari awal lagi sebagai angan-angan sahaja, tetapi memang banyak faedah yang boleh diraih jika anda sanggup berbuat demikian.

Dalam keadaan ini, ibu bapa perlu menyusun strategi simpanan dan pelaburan yang teliti untuk memastikan mereka mempunyai sumber secukupnya untuk merancang keperluan perlindungan dan pendidikan anak mereka.

Setiap pelaburan mempunyai tahap risiko tertentu. Pasaran saham sering turun naik. Kenaikan kadar faedah boleh menyebabkan kejatuhan pasaran bon.

Tidak kira apa pilihan pelaburan anda, risiko ialah sesuatu yang perlu anda tangani. Salah satu daripada kunci kejayaan melabur ialah menguruskan risiko sambil mengekalkan potensi mendapatkan pulangan yang sewajarnya atas pelaburan anda.

Salah satu daripada cara yang paling berkesan untuk menguruskan risiko anda ialah dengan mempelbagaikan pelaburan.

Langkah mempelbagaikan pelaburan ialah strategi pelaburan yang bertujuan menguruskan risiko dengan menyebarkan wang anda ke dalam pelbagai pelaburan seperti saham, bon, hartanah, unit amanah dan instrumen kesetaraan tunai.

Falsafah utama di sebalik langkah mempelbagaikan pelaburan sebenarnya mudah sahaja: "Jangan laburkan semua wang anda dalam satu jenis pelaburan."

Tindakan menyebarkan risiko dalam beberapa instrumen pelaburan berbeza, serta beberapa pasaran berbeza dapat mengimbangi kerugian dalam mana-mana satu pelaburan.

Sementara itu, mempelbagaikan pelaburan juga boleh memberikan pulangan yang lebih sekata dalam jangka panjang.

Apabila nilai satu pelaburan meningkat, ia mungkin dapat mengimbangi penurunan pelaburan yang lain. Ini membolehkan portfolio anda mengharungi turun naik pasaran dengan prestasi lebih mantap dalam pelbagai keadaan ekonomi.

Dengan mengurangkan kesan kenaikan dan penurunan pasaran tertentu, langkah mempelbagaikan pelaburan boleh memberikan anda ketenangan fikiran dalam membuat perancangan pelaburan.

Beli pada harga rendah dan jual apabila harga naik. Ini adalah antara peraturan pelaburan pertama yang kita pelajari, tetapi sebenarnya, berapa ramai di kalangan kita yang mengamalkan prinsip mudah ini?

Faktor emosi seperti kebimbangan dan kerakusan sering menjejaskan keputusan pelaburan kita, menyebabkan kita terlepas peluang apabila pasaran terlalu rendah dan melabur secara berlebihan apabila pasaran naik mendadak.

Apakah strategi pelaburan baik yang boleh diguna pakai khususnya dalam keadaan pasaran semasa yang tidak stabil bagi mereka yang sanggup menanggung risiko sederhana dan melabur untuk jangka panjang? Mungkin pelan pelaburan berkala patut dipertimbangkan.

Pelan berkala membolehkan anda melaburkan sejumlah wang yang ditetapkan dalam pelaburan pilihan anda setiap bulan, tanpa mengira harga unit.

Pelaburan secara berkala setiap bulan memberikan potensi pertumbuhan modal dan mungkin lebih berkesan daripada pelaburan sekali gus.

Jika pelaburan dibuat secara berterusan, anda kurang terdedah kepada risiko. Ini kerana menerusi pelaburan berkala, lebih banyak unit dibeli apabila harga rendah dan kurang unit dibeli pada harga tinggi. Kaedah ini dikenali sebagai 'purata kos ringgit'.

Apabila anda mempunyai tempoh masa yang lebih panjang untuk merancang dan melabur, anda perlu menabung jumlah yang lebih kecil setiap kali, justeru ia tidak terlalu membebankan kewangan anda. Manfaat menabung wang dan kesan kompaun kadar faedah tidak harus diabaikan.

Jika anda merancang untuk memulakan dana pendidikan, anda dinasihatkan untuk tidak melabur dalam pelaburan berisiko tinggi. Produk pelaburan risiko rendah dengan pertumbuhan mantap lebih sesuai untuk menjamin keselamatan dana anda.

Ibu bapa boleh mempertimbangkan pelan premium berkala yang membolehkan mereka membuat sumbangan kecil setiap bulan atau pelan bertempoh tetap (endowment) yang menawarkan perlindungan serta simpanan, yang bermakna anda terlindung dari segi kewangan sambil anda mengembangkan nilai wang anda.

Di OCBC Al-Amin, kami menawarkan produk berkaitan pelaburan yang membolehkan dana anda berkembang sambil memberikan anda pelan perlindungan serba lengkap.

Produk ini memberikan anda fleksibiliti menebus unit, yang bermakna anda boleh mengeluarkan jumlah yang diperlukan setiap tahun untuk pendidikan anak anda tanpa sebarang denda.

Anda juga boleh mempertimbangkan pelan seperti OCBC Al-Amin ARIP-i, iaitu pelan pelaburan tetap inovatif yang membantu anda menabung untuk pendidikan anak anda.

Sebagai contoh, ARIP-i membolehkan anda memanfaatkan pertumbuhan pelaburan yang meliputi kelas aset tempatan, serantau atau global, sambil memberikan anda pulangan deposit.

Ia merupakan pelan simpanan fleksibel yang membolehkan anda menambah atau mengeluarkan dana pada bila-bila masa dan menawarkan kadar pulangan deposit yang menarik.

Sunday 18 December 2011

Pinjaman Perumahan

Saya telah membeli dua buah kediaman masing-masing berusia enam dan sembilan tahun dan sehingga hari ini saya masih lagi membayar ansuran kepada bank.

Kenaikan kadar faedah kepada 3.00 peratus sekarang telah menyebabkan wang ansuran bagi kedua-dua kediaman naik berbanding sebelum ini.

Soalan saya, adakah betul tindakan saya sekiranya mahu mengubah pembiayaan kepada perbankan Islam yang kadar pinjaman adalah tetap berbanding perbankan konvensional untuk mengelakkan pembayaran naik sekiranya kadar OPR dinaikkan sekiranya ekonomi sudah kembali stabil atau meneruskan pembiayaan semasa.

Jawapan.

Kelebihan utama pembiayaan rumah kadar tetap seperti Bai Bithaman Ajil (BBA) ialah ia melindungi anda daripada peningkatan ketara dalam bayaran bulanan yang berlaku secara tiba-tiba jika kadar keuntungan naik.

Ini kerana pembiayaan kadar tetap tidak dipengaruhi oleh turun naik Kadar Pembiayaan Asas (BFR). Malah, bayaran bulanan kekal sama dan ini membantu anda menguruskan belanjawan bulanan dari segi jumlah mutlak yang perlu dibayar.

Di samping itu, sesetengah bank menawarkan pembiayaan rumah BBA kadar terapung yang mempunyai kadar had atau bumbung.

Kelemahan pembiayaan rumah kadar tetap ialah apabila kadar keuntungan tinggi, adalah lebih sukar untuk mendapatkan pembiayaan kerana bayaran bulanan bukan lagi satu jumlah yang termampu.

Dalam keadaan di mana kadar keuntungan telah ditetapkan, jumlah untung yang anda bayar bergantung pada tempoh pembiayaan. Lebih lama tempoh pembiayaan, lebih rendah bayaran bulanan.

Bagaimanapun, kesan bayaran ansuran yang rendah ialah kos keseluruhan yang jauh lebih tinggi kerana dalam tempoh tambahan yang diambil, bayaran digunakan terutamanya untuk menjelaskan kadar untung.

Bagi pembiayaan jangka pendek, bayaran bulanan lebih tinggi kerana jumlah pokok dijelaskan dalam tempoh yang lebih singkat.

Di samping itu, pembiayaan jangka pendek menawarkan kadar untung lebih rendah, yang membolehkan jumlah wang pokok lebih besar dijelaskan dengan setiap pembayaran. Justeru, secara keseluruhan, pembiayaan jangka pendek mempunyai kos lebih rendah.

Pembiayaan rumah kadar terapung Islam seperti Ijarah atau pembiayaan rumah pajakan menawarkan alternatif sebenar kepada pinjaman rumah kadar terapung konvensional.

OCBC Al-Amin adalah antara beberapa Bank Islam yang menawarkan kadar pembiayaan kadar terapung dengan kadar untung asal lebih rendah berbanding pembiayaan perumahan kadar tetap.

Kadar untung awal ditetapkan di bawah kadar pasaran bagi pembiayaan kadar tetap, dan kadarnya meningkat mengikut masa. Jika pembiayaan dipegang cukup lama, kadar untung akan mengatasi kadar pembiayaan tetap.

Kaedah ini bukan sahaja membolehkan anda mendapatkan jumlah pembiayaan lebih tinggi, tetapi juga memanfaatkan kadar untung lebih rendah (dan bayaran bulanan lebih rendah) dalam persekitaran kadar untung yang menurun, tanpa memerlukan pembiayaan semula.

Dalam pada itu, walaupun pembiayaan perumahan kadar tetap lebih menjimatkan kos dan berpatutan berbanding pembiayaan rumah kadar tetap, anda juga perlu mampu membuat pembayaran yang lebih tinggi jika berlaku peningkatan kadar untung.

Walaupun pembiayaan kadar terapung mungkin bukan pilihan yang sesuai untuk semua, ia boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan penjimatan kewangan.

Secara ringkasnya, apabila memilih skim pembiayaan rumah, anda perlu meninjau keperluan dan mengimbanginya dengan realiti ekonomi pasaran yang sentiasa berubah.

Kekuatan kewangan peribadi kita boleh berubah-ubah, manakala kadar untung akan sentiasa turun naik. Untuk meletakkan pemilihan pembiayaan dalam konteks yang sewajarnya, pertimbangkan soalan berikut.
  • Berapakah ansuran bulanan yang mampu anda bayar hari ini?
  • Adakah anda masih mampu membuat pembayaran bulanan jika kadar untung meningkat?
  • Berapa lama tempoh pembiayaan yang dikehendaki?
  • Apakah hala tuju kadar untung dan adakah anda meramalkan trend akan berterusan?
Kadar pembiayaan tetap adalah pilihan yang baik jika bayaran rendah dalam jangka pendek menjadi keutamaan anda.

Jika kadar faedah tinggi dan dijangka menurun, pembiayaan kadar terapung akan memastikan anda boleh menikmati kadar lebih rendah tanpa pembiayaan semula.

Jika kadar faedah sedang meningkat atau sekiranya bayaran tetap yang boleh ditentukan menjadi keutamaan anda, skim pembiayaan kadar tetap mungkin cara yang terbaik.

Pertimbangan Sebelum Membeli Rumah


Rumah Idaman

Saya baharu bekerja dengan gaji RM2,800 sebulan tetapi berhasrat untuk memiliki kediaman apartmen dalam sekitar RM140,000 hingga RM180,000 untuk pelaburan awal.

Saya berminat untuk mendapat pembiayaan yang boleh menawarkan ansuran bulanan tetap yang rendah sehingga habis pembayaran.

Saya ingin meminta pandangan daripada pihak OCBC Al-Amin apakah bentuk pembiayaan yang sesuai, sama ada perbankan konvensional atau perbankan Islam dan apakah bentuk bayaran ansuran pilihan yang boleh saya buat untuk memiliki kediaman tanpa menjejaskan perbelanjaan harian saya?

Jawapan.

Salah satu langkah pertama yang perlu diambil apabila anda membuat keputusan untuk memiliki rumah ialah menentukan harga rumah yang anda mampu bayar.

Faktor utama yang perlu ditentukan ialah jumlah pinjaman yang akan diberikan oleh bank kepada anda. Dengan itu, anda tidak membuang masa dan tenaga mencari rumah yang tidak mampu anda miliki.

Lazimnya bank menggunakan nisbah yang dinamakan nisbah bayaran hutang atau nisbah liputan hutang. Secara umumnya, ini merupakan nisbah komitmen pembiayaan bulanan (bayaran bulanan untuk menjelaskan kemudahan kredit) kepada pendapatan bersih atau kasar anda.

Nisbah ini berbeza mengikut bank. Secara konservatif, jika kita menganggap bahawa pembiaya memerlukan nisbah pembayaran hutang 30 peratus berdasarkan pendapatan bersih (selepas ditolak cukai dan caruman KWSP), ini bermakna bayaran ansuran tidak boleh melebihi 30% daripada pendapatan bersih anda.

Dalam kes anda, 30% daripada pendapatan bersih anda sebanyak kira-kira RM 2,500 ialah RM750 sebulan.

Andaikan anda mengambil pinjaman 30 tahun pada kadar pinjaman semasa BFR/BLR – 2/30 peratus (BFR/BLR sekarang ialah 6.60 peratus), anda layak menerima pinjaman sehingga RM150,000.

Jadi, Cik Zauyah pasti gembira kerana memang mampu memiliki kediaman dalam lingkungan harga antara RM140,000 sehingga RM180,000, tetapi dengan syarat anda mempunyai tunai yang secukupnya untuk membayar wang pendahuluan bagi hartanah yang bakal dibeli.

Terdapat perbezaan apabila anda mengambil pinjaman perumahan konvensional berbanding pembiayaan perumahan Islam. Secara umumnya pembiayaan perumahan Islam adalah berdasarkan kadar tetap manakala pinjaman perumahan konvensional adalah pada kadar terapung.

Dalam persekitaran kadar yang tidak menentu, pelan pembiayaan perumahan Islam memihak kepada anda dengan menetapkan kadar kerana bayaran bulanan adalah tetap sepanjang tempoh kemudahan. Bagaimanapun, bagi pembiayaan Islam, model perlu dilihat secara menyeluruh.

Kewangan Islam menerapkan nilai-nilai teras yang meliputi ketelusan, etika dan keadilan. Walaupun sesiapa sahaja boleh menghargai sifat adil dan etika kewangan Islam, sebagai seorang Islam, hakikat bahawa kita mengenepikan amalan riba dalam hal-ehwal kewangan kita pasti meningkatkan lagi daya tarikan perbankan Islam.

Faktor kedua paling penting apabila anda membeli rumah ialah kedudukan kewangan semasa anda. Sekiranya pendapatan anda ialah RM2,800, anda perlu memperuntukkan RM750 untuk membayar ansuran pinjaman perumahan (pembiayaan perumahan bagi kemudahan Islam).

Walaupun bank meluluskan pinjaman, anda mungkin tidak mampu membuat bayaran kerana anda mungkin mempunyai tanggungan kewangan lain.

Memandangkan hartanah yang hendak dibeli adalah untuk tujuan pelaburan, anda boleh menyewakannya untuk meraih pendapatan bulanan.

Sewa tersebut boleh digunakan untuk mengimbangi ansuran bulanan. Justeru, dalam pemilihan hartanah, anda perlu mengetahui sewa yang boleh diraih.

Ini tidak bermakna anda menerima sewa tanpa perlu mencurahkan masa dan tenaga mahupun menanggung apa-apa kos. Adakala rumah anda mungkin tiada penyewa.

Selain itu, sebagai pemilik, ada kos lain yang perlu anda bayar, contohnya yuran penyenggaraan untuk pangsapuri atau pembaikan hartanah. Rancang dan buat peruntukan sedemikian dalam bajet anda.

Kami juga ingin mengingatkan anda bahawa pembelian hartanah ialah satu keputusan amat penting Kajian dan pengiraan perlu dibuat sebelum keputusan dicapai. Bersiap sedia dari segi kewangan.

Pastikan rekod kredit anda bersih dan jelaskan seberapa banyak hutang yang mungkin untuk melayakkan anda mendapat pinjaman. Buat persediaan untuk mengumpulkan wang pendahuluan jika anda belum berbuat demikian.