Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday 18 December 2011

Pertimbangan Sebelum Membeli Rumah


Rumah Idaman

Saya baharu bekerja dengan gaji RM2,800 sebulan tetapi berhasrat untuk memiliki kediaman apartmen dalam sekitar RM140,000 hingga RM180,000 untuk pelaburan awal.

Saya berminat untuk mendapat pembiayaan yang boleh menawarkan ansuran bulanan tetap yang rendah sehingga habis pembayaran.

Saya ingin meminta pandangan daripada pihak OCBC Al-Amin apakah bentuk pembiayaan yang sesuai, sama ada perbankan konvensional atau perbankan Islam dan apakah bentuk bayaran ansuran pilihan yang boleh saya buat untuk memiliki kediaman tanpa menjejaskan perbelanjaan harian saya?

Jawapan.

Salah satu langkah pertama yang perlu diambil apabila anda membuat keputusan untuk memiliki rumah ialah menentukan harga rumah yang anda mampu bayar.

Faktor utama yang perlu ditentukan ialah jumlah pinjaman yang akan diberikan oleh bank kepada anda. Dengan itu, anda tidak membuang masa dan tenaga mencari rumah yang tidak mampu anda miliki.

Lazimnya bank menggunakan nisbah yang dinamakan nisbah bayaran hutang atau nisbah liputan hutang. Secara umumnya, ini merupakan nisbah komitmen pembiayaan bulanan (bayaran bulanan untuk menjelaskan kemudahan kredit) kepada pendapatan bersih atau kasar anda.

Nisbah ini berbeza mengikut bank. Secara konservatif, jika kita menganggap bahawa pembiaya memerlukan nisbah pembayaran hutang 30 peratus berdasarkan pendapatan bersih (selepas ditolak cukai dan caruman KWSP), ini bermakna bayaran ansuran tidak boleh melebihi 30% daripada pendapatan bersih anda.

Dalam kes anda, 30% daripada pendapatan bersih anda sebanyak kira-kira RM 2,500 ialah RM750 sebulan.

Andaikan anda mengambil pinjaman 30 tahun pada kadar pinjaman semasa BFR/BLR – 2/30 peratus (BFR/BLR sekarang ialah 6.60 peratus), anda layak menerima pinjaman sehingga RM150,000.

Jadi, Cik Zauyah pasti gembira kerana memang mampu memiliki kediaman dalam lingkungan harga antara RM140,000 sehingga RM180,000, tetapi dengan syarat anda mempunyai tunai yang secukupnya untuk membayar wang pendahuluan bagi hartanah yang bakal dibeli.

Terdapat perbezaan apabila anda mengambil pinjaman perumahan konvensional berbanding pembiayaan perumahan Islam. Secara umumnya pembiayaan perumahan Islam adalah berdasarkan kadar tetap manakala pinjaman perumahan konvensional adalah pada kadar terapung.

Dalam persekitaran kadar yang tidak menentu, pelan pembiayaan perumahan Islam memihak kepada anda dengan menetapkan kadar kerana bayaran bulanan adalah tetap sepanjang tempoh kemudahan. Bagaimanapun, bagi pembiayaan Islam, model perlu dilihat secara menyeluruh.

Kewangan Islam menerapkan nilai-nilai teras yang meliputi ketelusan, etika dan keadilan. Walaupun sesiapa sahaja boleh menghargai sifat adil dan etika kewangan Islam, sebagai seorang Islam, hakikat bahawa kita mengenepikan amalan riba dalam hal-ehwal kewangan kita pasti meningkatkan lagi daya tarikan perbankan Islam.

Faktor kedua paling penting apabila anda membeli rumah ialah kedudukan kewangan semasa anda. Sekiranya pendapatan anda ialah RM2,800, anda perlu memperuntukkan RM750 untuk membayar ansuran pinjaman perumahan (pembiayaan perumahan bagi kemudahan Islam).

Walaupun bank meluluskan pinjaman, anda mungkin tidak mampu membuat bayaran kerana anda mungkin mempunyai tanggungan kewangan lain.

Memandangkan hartanah yang hendak dibeli adalah untuk tujuan pelaburan, anda boleh menyewakannya untuk meraih pendapatan bulanan.

Sewa tersebut boleh digunakan untuk mengimbangi ansuran bulanan. Justeru, dalam pemilihan hartanah, anda perlu mengetahui sewa yang boleh diraih.

Ini tidak bermakna anda menerima sewa tanpa perlu mencurahkan masa dan tenaga mahupun menanggung apa-apa kos. Adakala rumah anda mungkin tiada penyewa.

Selain itu, sebagai pemilik, ada kos lain yang perlu anda bayar, contohnya yuran penyenggaraan untuk pangsapuri atau pembaikan hartanah. Rancang dan buat peruntukan sedemikian dalam bajet anda.

Kami juga ingin mengingatkan anda bahawa pembelian hartanah ialah satu keputusan amat penting Kajian dan pengiraan perlu dibuat sebelum keputusan dicapai. Bersiap sedia dari segi kewangan.

Pastikan rekod kredit anda bersih dan jelaskan seberapa banyak hutang yang mungkin untuk melayakkan anda mendapat pinjaman. Buat persediaan untuk mengumpulkan wang pendahuluan jika anda belum berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment