Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Monday 19 December 2011

Sasar 1,000 Francaisor Menjelang 2020

Ismail Sabri Yaakob ditemani Sohaimi Shahadan (tengah) membuat roti bakar di salah sebuah tapak gerai francais di Bera, semalam.

Bera 18 Dis - Kerajaan menyasarkan seramai 1,000 francaisor dapat diwujudkan menjelang 2020 bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya menerusi Model Baharu Ekonomi (MBE).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, seramai 576 francaisor dan 5,315 francaisi telah didaftarkan dengan melibatkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan.

Menurut beliau, bidang makanan mencatatkan jumlah tertinggi dalam perniagaan francais yang ketika ini mempunyai seramai 193 francaisor.

"Kerajaan sentiasa meningkatkan usaha bagi memastikan lebih ramai usahawan di negara ini terlibat dalam bidang francais," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia di Kompleks Belia Bera di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shohaimi Shahadan dan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat.

Ismail memberitahu, pihaknya juga memperkenalkan Skim Mikro Francaisi yang ditawarkan kepada usahawan kecil yang ingin menjadi francaisi kepada francaisor tertentu.

Katanya, sebagai permulaan sebanyak RM8 juta disediakan dengan jumlah pinjaman maksimum RM50,000 boleh diberikan kepada usahawan terbabit.

Jelasnya, peruntukan sebanyak RM1 juta dikeluarkan terhadap usahawan terbabit dan 150 permohonan sedang dikaji oleh pihak kementerian untuk menyertai skim tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan terhadap produk-produk 1Malaysia yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan kedai-kedai runcit bagi memastikan kualitinya terjamin.

Katanya, jawatankuasa tersebut dianggotai oleh 13 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menilai serta memantau produk terbabit agar sentiasa memenuhi piawaian ditetapkan.

Beliau memberitahu, antara kementerian dan agensi terlibat ialah kementerian beliau sendiri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut sekali gus menepis dakwaan pembangkang yang kononnya produk dari KR1M kurang berkualiti dan boleh memberi kesan negatif kepada pengguna.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 200 produk makanan dan minuman 1Malaysia yang dihantar ke Kementerian Kesihatan bagi menjalani beberapa ujian akan diketahui keputusannya dalam tempoh dua minggu.

Katanya, ia bagi membuktikan kerajaan tidak menjual produk yang rendah kualiti sehingga memberi kesan kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment