Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday 27 November 2011

Karnival Usahawan Desa 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat akar tongkat ali selepas melancarkan KUD 2011 di Putrajaya baru-baru ini.

Karnival Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berlangsung 21 hingga 25 September lalu di Laman 1Malaysia Presint 2, Putrajaya menampilkan banyak kelainan berbanding tahun sebelumnya.

Karnival yang menjadi acara dwitahunan kementerian terbabit bukan sahaja menghimpunkan kira-kira 500 usahawan luar bandar dan produk keluaran mereka tetapi juga akan membantu usahawan mencari pasaran baru hingga ke peringkat global.

Seperti tahun sebelumnya, kementerian terbabit menerima sambutan yang amat menggalakkan mengenai tapak gerai pameran dan jualan produk.

Pengusaha yang dipilih terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan dengan mereka mempamer dan menjual empat kategori utama iaitu makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengupayaan Ekonomi, kementerian berkenaan, Zazali Salehudin berkata, penganjuran KUD 2011 kali ini turut menjemput 13 agensi pemasaran yang terdiri daripada pasar raya besar dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa.

Selain itu, terdapat lima pembekal termasuk teknologi maklumat, bahan mentah, rekaan pembungkusan dan pelabelan.

"Semuanya sebagai langkah membantu usahawan untuk memasuki pasaran yang luas seperti pasar raya besar serta pasaran global," katanya.

Usahawan yang dipilih menyertai KUD merupakan mereka yang mempunyai produk yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Misalnya mereka mempunyai GMP, HACCP dan HALAL yang boleh dipasarkan di luar negara.

"Ini selaras dengan objektif penganjuran KUD 2011, iaitu membuka ruang pasaran produk luar bandar bersama pihak pasar raya besar melalui padanan perniagaan.

KUD 2010 juga membuka ruang untuk pengusaha mengadakan Perkongsian Strategik iaitu melalui kluster usahawan dengan agensi awam yang terlibat dalam R&D dan pemasaran seperti SIRIM, MARDITech dan SMIDEC.

Kami mendapati beberapa usahawan desa memiliki produk yang amat berkualiti.

"Dan jika mereka yang terpilih berjaya memasarkan produk mereka di dalam negara, mereka masih memerlukan bimbingan dan pendedahan untuk membawa produk itu ke pasaran luar negara," jelas Zazali.

Dalam usaha itu, pihak penganjur turut menjemput beberapa institusi kewangan seperti Bank Rakyat, AgroBank dan Bank SME untuk memberi peluang kepada usahawan desa yang ingin menjalin kerjasama bersama institusi kewangan.

Menurut Zazali, pihaknya turut mengharapkan kewujudan jalinan kerjasama dalam lingkungan komuniti usahawan itu sendiri.

Menyedari bahawa para usahawan desa menghadapi masalah untuk terus berdaya maju dan melangkah ke peringkat antarabangsa, Zazali berpendapat perkara ini bukan sahaja berlaku kepada usahawan luar bandar bahkan berlaku juga kepada usahawan di bandar-bandar.

Menurut beliau, antara kekangan yang dihadapi ialah kualiti produk yang masih rendah atau tidak memenuhi kehendak pasaran.

Mereka juga sukar mendapat pengiktirafan GMP, HACCP dan Halal selain lokasi premis yang tidak strategik serta kekurangan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Peluang untuk pengusaha ini sangat besar kerana terdapat banyak pasaran di negara-negara Islam. Sayangnya, pengusaha tidak mempunyai kapasiti untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak.

"Bagaimanapun, saya yakin jika pengusaha desa ini mula menjalin kerjasama dalam kalangan komuniti mereka sendiri, mereka mampu menembusi pasaran eksport," ulas Zazali.

Karnival yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan hanya tertumpu kepada usahawan desa, tetapi juga penyertaan masyarakat.

Menurut Zazali, KUD 2011 memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mencuba sendiri produk terbaik dari setiap daerah di seluruh negara.

Di sinilah orang ramai dapat melihat sendiri kepelbagaian produk tempatan yang berkualiti bukan sahaja dari segi produk tetapi juga pembungkusannya.

Mereka pasti mengagumi keupayaan usahawan desa yang berjaya mencapai satu standard pemasaran yang mengubah rupa produk industri desa.

Sepanjang berlangsung KUD, terdapat pelbagai acara menarik antaranya persembahan artis terkenal seperti Amy Search, Adam AF dan Mas Idayu serta demonstrasi masakan 14 negeri dari seluruh negara.

Selain itu KUD dimeriahkan dengan KUD Idol, forum perdana, pertandingan menjahit baju pengantin, pertandingan memasak ikan air tawar dan pameran kenderaan.

"Ini merupakan peluang keemasan bagi masyarakat melihat dan mendapatkan produk keluaran desa yang berkualiti dari seluruh negara pada harga yang berpatutan. Bahkan ia juga sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan penjanaan pendapatan industri desa," jelas Zazali.

No comments:

Post a Comment