Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday, 19 June 2011

Kanser Prostat

Kita sering berfikir tentang kesihatan fizikal dan emosional, tapi bagaimana dengan kesihatan seksual kita? Kali ini akan bercerita tentang penyakit seksual dan bagaimana melindungi diri darinya.

Kanser prostat antara penyakit biasa dikaitkan dengan lelaki dan merupakan penyebab kedua kematian disebabkan kanser pada lelaki. Satu fakta yang menakutkan dan apa yang lebih menakutkan adalah kebanyakan lelaki tidak tahu di mana prostat mereka.

Sempena sambutan Hari Bapa hari ini, tentunya pelbagai cara tersendiri dipilih untuk meraikannya. Apa kata pada hari istimewa ini kita mengajak bapa melakukan pemeriksaan kesihatan. Mungkin dalam usianya yang meningkat, dia mempunyai penyakit yang tidak diketahui.

Bagi anda yang tidak pernah dengar tentang prostat, hari ini anda perlu memberi kesedaran kepada insan yang bergelar bapa bahawa statistik penyakit tersebut kian meningkat. Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya hanya berkaitan orang tua.

Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas. Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.

Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.

Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan tersebut pada usia 45 tahun. Prostat merupakan kelenjar di pangkal pundi kencing lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.

Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani. Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat .

Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia - BPH (Pembesaran Kelenjar Prostat) dan kanser prostat.

Pembesaran Kelenjar Prostat 

BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone. Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 50 tahun ke atas.

Mengikut perangkaan, kelaziman BPH adalah lebih daripada 50 peratus di kalangan lelaki pada umur 60 tahun sementara di kalangan lelaki berumur 85 tahun ke atas, kelaziman BPH adalah lebih daripada 90 peratus,” ujar Ketua Perkhidmatan Urologi dan Jabatan Urologi Hospital Selayang, Datuk Dr. Rohan Malek.

Tambah Dr. Rohan, bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas. Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.

Kebiasaannya saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit. Mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran membuang air kecil.

Tanda-tanda akibat BPH
  • Aliran kencing yang kurang baik (poor stream).
  • Kerap membuang air kencing (frequency).
  • Tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying).
  • Air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).
  • Pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.
Masalah BPH yang tidak dikawal, menurut Dr. Rohan akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal. Malah ia boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure).

Penyakit lain yang sinonim akibat penyakit ini ialah pembentukan batu karang dan hernia. Dr. Rohan berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan kajian epidemiologi cross-sectional untuk mengenal pasti kelaziman (BPH) dan pengesanan kanser prostat baru-baru ini.

Menyentuh tentang rawatan BPH, Dr. Rohan memberitahu, pengesahan penyakit memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda penyakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak.

Kebanyakan diagnosis penyakit boleh dilakukan menerusi ujian rektal digital (DRE) atau pemeriksaan darah dengan antigen khusus prostat (PSA). Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan.

Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang. katanya.

Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula.

Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.

Terdapat komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.

Dalam pada itu wujud kaedah-kaedah baru rawatan termasuk penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy) serta laser protectonomy tetapi memerlukan kos yang tinggi.

Kanser Prostat

Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.

Di Malaysia, barah prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes-kes barah di kalangan lelaki . Terdapat sejumlah 735 kes yang dilaporkan dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa di kalangan kaum lelaki.

Lazimnya, barah prostat membesar dengan perlahan. Kajian bedah siasat menunjukkan bahawa ramai lelaki berumur dan kadangkala lelaki muda juga yang mati akibat penyakit-penyakit lain, juga menghidapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah semasa hayat mereka.

Kanser prostat dikesan melalui ujian saringan PSA. Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia.

Dalam pada itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras,” ujar Presiden MUA dan Ketua Unit Urologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Azad Hassan Abdul Razack.

Pada peringkat akhir, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.

Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.

Tambah Prof. Azad, kanser ini boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Terbaru tentang rawatan ini, pembedahan juga boleh dijalankan dengan bantuan robot.

Berdasarkan prosedur ini, radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser. Ia juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.

“Rawatan perlu dilakukan awal sebelum simptom menjadi parah. Justeru itu, pemeriksaan awal tentang kanser ini perlu dilakukan awal khususnya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas,” katanya.

Kajian BPH dan Barah Prostat

Didorong oleh kekurangan data mengenai corak gejala saluran kencing bawahan (lower urinary tract symptoms - LUTS) di kalangan kaum lelaki di Malaysia, kajian tersebut telah dibentuk untuk mengumpul maklumat mengenai BPH dan barah prostat bagi memahami dengan lebih baik mengenai pesakit-pesakit yang mempunyai risiko mendapat penyakit-penyakit ini.

Kajian oleh MUA ini telah dilancarkan bagi mengenal pasti kelaziman BPH dan pengesanan barah prostat di kalangan kumpulan pengesanan sasaran dalam masyarakat di Lembah Klang.

Populasi sasaran tersebut terdiri daripada bukan sahaja penduduk di Lembah Klang, malah termasuk juga mereka yang berada di Selatan Perak, Pahang Barat dan Negeri Sembilan Utara.


Kajian ini akan menganalisis data yang diperoleh daripada lapan pusat pemeriksaan di sekitar Lembah Klang. MUA berharap untuk mendapatkan 3,000 peserta dari kedua-dua latar belakang kota dan luar bandar, serta daripada kumpulan etnik yang berbeza bagi kajian ini.

Memandangkan kelaziman penyakit-penyakit prostat adalah lebih tinggi di kalangan lelaki yang lebih tua, kajian tersebut akan tertumpu kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas. Mereka yang menepati profil kelayakan digalakkan untuk mengunjungi pusat-pusat pemeriksaan yang berdekatan rumah mereka.

Pemeriksaan percuma akan dijalankan setiap hujung minggu dalam bulan Julai di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Serdang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

*Utusan Malaysia.

Saturday, 18 June 2011

BNM Tidak Pernah Minta Maklumat Peribadi

Kuala Lumpur 16 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menegaskan pihaknya dan juga institusi perbankan, kewangan dan pengeluar kad kredit tempatan tidak pernah meminta maklumat perbankan peribadi pelanggan sama ada melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.

BNM dalam kenyataannya di sini berkata, terdapat modus operandi yang digunakan oleh pihak tertentu untuk memperdaya mangsa dengan mengatakan maklumat peribadi mangsa diperlukan untuk mengemas kini pangkalan data mereka.

''Penipu berkenaan akan meminta mangsa mendedahkan maklumat perbankan peribadi seperti butiran kad kredit atau debit termasuk pengesahan kod kad (CCV) atau nombor pengenalan peribadi (PIN),'' kata BNM dalam kenyataannya di sini hari ini.

Justeru orang ramai sekali lagi dinasihatkan supaya tidak melayan panggilan telefon, SMS atau e-mel yang meminta sebarang maklumat perbankan peribadi.

''Sebagai langkah keselamatan, orang ramai dinasihatkan menggunakan pelayar sesawang terkini yang dilengkapi dengan penapis maklumat pemancing (phising),'' tambahnya.

Orang ramai juga diminta tidak terpedaya dengan ganjaran hadiah wang tunai atau bayaran balik wang yang ditawarkan melalui panggilan, SMS atau e-mail.

Untuk maklumat lanjut berhubung aktiviti penipuan kewangan, orang ramai boleh melawat laman sesawang http://fraudalert.bnm.gov.my atau menghubungi perkhidmatan bebas tol Persatuan Bank-Bank Malaysia di talian 1-300-88-9980.

*Utusan Malaysia.

Friday, 17 June 2011

Melaka Negeri ke-2 Bilangan Pesakit Kencing Manis

Melaka menjadi negeri kedua mempunyai pesakit paling ramai menghidap penyakit kencing manis selepas Kelantan. Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, pada masa ini, kira-kira 788,000 penduduk di negeri ini didapati telah mengambil sebanyak 1,572 tan gula.

Daripada jumlah itu, katanya, setiap pengguna mengambil kira-kira dua kilogram sebulan dengan 67 gram dalam masa sehari. “Ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna di negeri ini masih kurang dan jika ia terus berlanjutan pastinya peningkatan bilangan pesakit kencing manis akan bertambah dari hari ke hari,” katanya ketika merasmikan Kempen Kurang Gula, Kurang Belanja di Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya, penduduk negeri ini wajar mengurangkan kadar penggunaan gula harian bagi mengelakkan mereka dilanda penyakit kencing manis. “Kita bimbang masih ramai penduduk Melaka gemar mengambil gula berlebihan kerana tidak mengetahui kesan pengambilannya menyumbang kepada penyakit kencing manis,” katanya.

*Utusan Malaysia.

Thursday, 16 June 2011

5 Zon Bebas Rokok di Melaka

ALOR GAJAH 15 Jun - Golongan perokok perlu diberi kesedaran tentang pelaksanaan peraturan Zon Bebas Rokok sebelum melaksanakan langkah penguatkuasaan di lima lokasi di negeri ini termasuk daerah Alor Gajah.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Alor Gajah, Zainol Abidin Ariffin berkata, ia bagi memastikan objektif pelaksanaan penguatkuasaan Zon Bebas Rokok menepati matlamat dan berkesan mendidik golongan perokok.

Menurutnya, bagi memastikan usaha itu mencapai matlamat, operasi penguatkuasaan pada hari pertama sekitar Alor Gajah sebagai lokasi Zon Bebas Rokok tertumpu kepada usaha menyedarkan perokok mengenai pelaksanaan peraturan tersebut.

''Pada hari pertama penguatkuasaan Zon Bebas Rokok di Alor Gajah, kita menemui lima perokok yang merokok di gerai makan. ''Namun kita hanya menasihatkan mereka agar tidak mengulangi perbuatan itu di kawasan zon serta pada masa sama kita mengedar risalah kesedaran tentang larangan merokok di tempat zon," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melalui pelaksanaan Zon Bebas Rokok di lima lokasi tersebut, orang ramai yang didapati menghisap rokok di kawasan itu kecuali bangunan persendirian, boleh dikenakan kompaun minimum RM300 atau maksimum RM5,000 berkuat kuasa hari ini.

Selain Alor Gajah, empat lokasi lain yang diwartakan sebagai Zon Bebas Rokok ialah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Jasin, Melaka Raya dan Bandar Warisan Dunia seperti sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A'Farmosa dan pesisiran Sungai Melaka.

Menurut Zainol, pihaknya tidak mengeluarkan kompaun pada hari pertama kerana kebanyakan mereka didapati pengunjung luar dan tidak mengetahui tentang pewartaan Zon Larangan Merokok di Alor Gajah.

Bagaimanapun katanya, selepas ini, pihaknya dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun minimum RM300 kepada mereka yang didapati merokok di zon larangan merokok.

*Petikan dari Utusan Malaysia.

Tuesday, 14 June 2011

Kaedah Tutup Akaun

Bagaimana untuk menutup akaun e-mel yang sudah tidak digunakan lagi? Saya menggunakan e-mel Yahoo! dan Hotmail dan dua akaun Facebook, tetapi mahu menutup satu akaun. Bagaimana cara untuk menutup akaun Facebook tersebut atau dibiarkan sahaja sehingga pihak Facebook blok akaun saya?

Jawapan.

Bagi makluman pihak tuan, walau pun akaun bagi sesebuah laman web sudah ditutup, ia tidak bermakna segala data bagi akaun tersebut dihapuskan. Biasanya ia akan disimpan untuk satu jangka masa tertentu oleh pihak pengendali laman web untuk tujuan keselamatan dan sebagainya.

Ia juga bergantung kepada syarat-syarat perjanjian ketika tuan bersetuju membuka akaun laman web dengan pihak pengendali laman web tersebut. Sama ada ia menyediakan kemudahan e-mel, laman web sosial dan sebagainya.

Ada pihak pengendali laman web mensyaratkan dalam perjanjian bahawa segala data yang dimuat turun oleh pihak pengguna ke dalam akaunnya akan menjadi hak milik mereka.

Ini sama konsepnya yang terdapat dalam pengurusan korporat iaitu maklumat peribadi pekerja yang sudah berhenti kerja tidak sesekali akan dihapuskan.

Ia akan disimpan dalam jangka masa lima ke hingga 10 tahun untuk tujuan audit, keselamatan dan pengurusan. Namun begitu, adalah lebih baik untuk tuan menutup mana-mana akaun di laman web yang tidak digunakan lagi.

Ini kerana ia dapat mengelakkan daripada akaun tersebut dimanipulasi dan digunakan oleh pihak ketiga untuk tujuan yang tidak baik seperti penipuan, penyamaran, penghantaran spam dan lain-lain.

Secara umumnya untuk menutup akaun di laman web, sama ada laman web sosial, e-mel dan sebagainya, laman web itu sendiri menyediakan kemudahan atau fungsi menutup akaun. Kebiasaannya ia memerlukan pengguna masuk terlebih dahulu ke akaun tersebut bagi mencapai fungsi tersebut.

Jadi, bagi para pengguna yang terlupa log in dan kata laluan untuk masuk ke akaun mereka atau pihak laman web tersebut tidak menyediakan kemudahan atau fungsi untuk menutup akaun ini, ada hanya satu cara sahaja.

Cara tersebut adalah dengan menghantar surat permohonan untuk menutup akaun kepada pihak pengendali laman web tersebut. Ia boleh dihantar menerusi e-mel atau mel biasa berserta dengan maklumat berkenaan dengan akaun anda di laman web tersebut.

Penutupan akaun Facebook

Pertamanya, tuan perlu masuk ke dalam akaun Facebook dengan log in dan kata laluan yang disediakan. Dalam Facebook, ada disediakan kemudahan untuk penutupan sementara bagi sesebuah akaun. Ia bermakna segala maklumat anda akan dihapuskan daripada servis atau paparan di laman Facebook.

Sesiapa sahaja tidak akan dapat mencari akaun atau melihat maklumat yang berkaitan dengan akaun tersebut. Namun begitu sekiranya, tuan punya akaun tersebut mahu kembali, ia boleh mendapatkan dan mengaktifkan semula akaun Facebook tersebut.

Fungsi ini dinamakan sebagai DEACTIVATE. Ia boleh dicapai di laman Account settings dalam akaun Facebook. Apabila akaun tersebut diaktifkan semula, segala maklumat yang ditinggalkan sebelum ini akan dikembalikan keadaan asalnya.

Sekiranya perlu untuk membuang secara terus dan total sesebuah akaun Facebook, sila klik ke alamat URL yang seterusnya.

http://www.facebook.com/help/contact.php?show_form>delete_account .

Setelah itu, diperlukan masuk login dan kata laluan ke laman Facebook tersebut. Sekiranya tidak ingat kata laluan dan sebagainya, kata laluan tersebut perlu disetkan semula dengan mengklik pada sambungan Forgot your password. Seterusnya, ikut arahan yang diberikan sehingga selesai akaun Facebook tersebut dihapuskan.

Penutupan akaun Yahoo!

Sekiranya perlu untuk menutup akaun di Yahoo!, ikuti arahan-arahan yang terdapat pada laman penutupan akaun Yahoo! di URL yang berikutnya.

https://edit.yahoo.com/config/delete_user.

Seterusnya, perlu dimasukkan login dan kata laluan ke dalam akaun Yahoo! tersebut. Sekiranya lupa kata laluan, seperti biasa perlu disetkan semula. Satu paparan pengesahan akan dipaparkan sekali lagi setelah anda berjaya masukkan login dan kata laluan.

Anda perlu masukkan sekali lagi beberapa maklumat pentin termasuk kata laluan. Baca terlebih dahulu di laman penutupan akaun berkenaan dengan syarat-syarat, kesan-kesan dan sebagainya.

Seterusnya, jika setuju, klik butang YES untuk penutupan akaun. Sekiranya berjaya, ikuti arahan-arahan yang diberikan sehingga selesai prose penutupan akaun Yahoo!.

Perlu diingatkan, apabila akaun Yahoo! ini ditutup, segala perkhidmatan yang berkaitan dengan akaun tersebut juga akan dihapuskan seperti e-mel, Yahoo! Messenger, Yahoo! Address Book, My Yahoo!, Yahoo! Groups dan lain-lain.

Jadi, fikir dahulu sebelum ditutup akaun tersebut atau buat salinan ke tempat lain sekiranya ada data-data yang diperlukan. Namun begitu, penutupan akaun Yahoo! tidak akan menghapuskan maklumat anda di dalam perkhidmatan Yahoo! People Search.

Jadi, perlu diklik alamat URL yang berikutnya untuk menutup maklumat anda di Yahoo! People Search.

http://info.yahoo.com/privacy/us/yahoo/peoplesearch/details.html.

Sekiranya akaun Yahoo! tersebut dilanggan secara berbayar, pastikan langganan tersebut dibatalkan terlebih dahulu sebelum akaun ditutup. Sekiranya ada apa-apa pertanyaan, pihak Yahoo! ada menyediakan borang di alamat URL yang berikut

http://help.yahoo.com/l/us/yahoo/mail/classic/technical_howto.html.

Penutupan akaun Hotmail

Langkah pertamanya masih sama, perlu dimasukkan login dan kata laluan akaun Hotmail terlebih dahulu ke laman web Hotmail atau Windows Live sehingga berjaya. Seterusnya pergi ke nama akaun di hujung atas kanan dan klik menu Account. Kemudian, cari dan klik pada menu Close your account.

Seterusnya satu laman penutupan akan dipaparkan termasuk syarat-syarat dan kesan-kesan sekiranya satu penutupan akaun dibuat. Baca dengan teliti dan fahami segala kenyataan pihak Hotmail sebelum menutup sesebuah akaun.

Di ruangan laman ini, sekali lagi diperlukan untuk masuk kata laluan untuk tujuan pengesahan. Klik butang Yes sekiranya bersetuju. Langkah yang berikut, ikuti arahan-arahannya sehinggalah proses penutupan akaun tersebut selesai.

Penutupan akaun juga membuatkan segala kemudahan yang terdapat di dalam Windows Live akan ditutup. Bagi memastikan sama ada sesebuah akaun laman web tersebut sudah ditutup sepenuhnya atau tidak, login kembali menggunakan akaun tersebut sama ada di Facebook, Yahoo!, Hotmail dan lain-lain.

Penutupan akaun laman web yang tidak aktif adalah penting untuk keselamatan siber tetapi buatlah salinan data yang penting terlebih dahulu ke tempat lain.