Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Saturday 20 October 2012

PUNB tidak mohon Pinjaman

Kuala Lumpur 16 Oktober - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tidak akan memohon pinjaman atau dana daripada kerajaan mulai tahun ini.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, PUNB kini mempunyai aset bernilai lebih RM1.5 bilion dan berupaya menggunakan sumber tersebut untuk terus berdaya saing dan mencatat keuntungan.

“Semenjak 1992, PUNB telah menerima pinjaman sejumlah RM800 juta dan kami akan membayar balik pinjaman-pinjaman itu kepada kerajaan secara berperingkat hingga tahun 2028.

“PUNB tidak patut bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Selepas saya mengambil alih jawatan pengerusi, saya fikir PUNB boleh menggunakan sumber yang ada," katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Cabaran Pelan Perniagaan PUNB 2012 di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, bagaimanapun, pihaknya masih terbuka untuk menerima geran daripada kerajaan bagi tujuan dan inisiatif khas dalam usaha meningkatkan tahap keusahawanan Bumiputera di negara ini.

“Semenjak penubuhannya, PUNB telah memberikan pinjaman bagi membantu lebih 3,000 perniagaan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, jelas beliau, PUNB menjangka meningkat pengagihan pinjaman kira-kira 50 juta kepada RM250 juta tahun depan berbanding sasaran RM200 juta untuk tahun ini.

Khairy berkata, peningkatan itu sejajar dengan pembukaan beberapa pejabat-pejabat baharu perbadanan tersebut di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Bagi tahun ini, PUNB telah mengagihkan pinjaman bernilai RM117 juta. Jumlah itu dilihat sedikit berbanding sasaran pinjaman kita iaitu RM200 juta.

“Namun saya yakin kita boleh mencapai sasaran RM200 juta sehingga hujung tahun ini dan PUNB juga kini akan mencari syarikat yang memerlukan bantuan kewangan," katanya.

Jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu lagi, dana pembiayaan PUNB disalurkan menerusi empat skim iaitu Skim PROSPER Runcit, Skim PROSPER Borong, Skim Usahawan Kecil dan Sederhana dan Skim PROSPER Graduan dengan tawaran pembiayaan antara RM5,000 dan RM5 juta.

Khairy menambah, PUNB akan menganjurkan Cabaran Pelan Perniagaan PUNB 2012, yang bertujuan mendedahkan orang ramai mengenai pinjaman dan dana PUNB .

Katanya, pertandingan itu yang dibuka sejak September lalu hingga 30 November ini menawarkan dua kategori iaitu pelajar dan umum dengan peluang memenangi wang tunai RM170,000.

No comments:

Post a Comment