Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Saturday, 3 September 2011

Usahawan Malaysia ke China

MAFPA berperanan membantu proses pembungkusan produk-produk yang akan dieksport ke China.

China merupakan negara ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Jepun dengan catatan perdagangan antarabangsa pada tahun 2010 berjumlah RM9.3 trilion.

Daripada segi peluang pasarannya pula, ia dibahagikan kepada segmen-segmen bandar besar dan juga kecil mengikut faktor geografi, kebudayaan, keturunan dan bahasa.

Bukan setakat itu, China yang mempunyai jumlah penduduk mencecah 1.3 bilion orang turut menyumbang kepada kuasa membeli yang semakin meningkat.

Melihat kelebihan tersebut, ia merupakan peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan-usahawan Malaysia untuk memasarkan produk keluaran mereka.

Justeru, Bahagian Pembangunan Keusahawanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini menganjurkan seminar Kesediaan Usahawan Malaysia untuk Menembusi Pasaran di China.

Dianjurkan bersama Persatuan Usahawan Pemprosesan dan Pembungkusan Makanan Malaysia (MAFPA), seminar itu menggariskan matlamat membantu usahawan Malaysia menyediakan perniagaan, produk dan perkhidmatan untuk dieksport ke pasaran China.

Objektif lainnya adalah untuk memberi maklumat mengenai undang-undang pihak berkuasa negara China dalam urusan pengeksportan serta mewujudkan jaringan kerjasama secara berkumpulan.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, usaha meneroka pasaran luar negara memerlukan usahawan menyediakan pelan perancangan strategik yang praktikal, fleksibel dan berpandangan jauh.

''Seminar ini merupakan satu contoh inisiatif yang sangat baik dalam usaha menjayakan agenda pembangunan keusahawanan di negara ini.

''Jadi, sebagai memulakan langkah memasarkan produk dan perkhidmatan ke China, para usahawan perlu bersedia dengan rangkaian perniagaan, memahami peraturan, membuat kajian cita rasa pengguna serta memahami piawaian pembungkusan dan pelabelan.

''Menerusi cara ini, ia akan memberi cabaran kepada para usahawan untuk mengeluarkan produk yang berkualiti,'' katanya ketika merasmikan seminar berkenaan di Putrajaya baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAFPA, Kamalbahrin Khamsan pula memberitahu, menerusi seminar itu pihaknya mahu mengenalpasti usahawan yang mampu menyediakan produk bersesuaian dengan keperluan dan permintaan di China.

Ia adalah sebagai persediaan mencari usahawan berpotensi menyertai program Misi Dagang ke China pada bulan Oktober akan datang serta Pameran Perdagangan China dan Pusat Pengedaran pada Januari 2012 anjuran MAFPA.

''Bermula tahun 2008, MAFPA telah mengadakan perjanjian bersama dengan empat pusat pengedaran di Ningxia, Guang Zhou, Shanghai dan Chengdu di China dengan penyertaan lebih 130 usahawan dari Malaysia.

''Dalam masa lima tahun, kita menjangkakan sebanyak 15 buah lagi Pusat Pengedaran akan dibuka dengan tumpuan lokasi di bahagian barat negara China,'' jelasnya.

Seminar sehari itu mendedahkan para peserta dengan produk-produk yang berpotensi dieksport selain pembentangan khidmat nasihat, pelan pemasaran dan persiapan eksport.

Pada seminar itu, turut diadakan prapelancaran Pameran Produk Malaysia (PROMAS) 2011 yang bakal diadakan pada 16-19 Disember depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai objektif program PROMAS, Kamalbahrin memberitahu, ia merupakan platform mengumpul dan memilih produk serta perkhidmatan yang bersesuaian untuk dibawa menyertai misi perdagangan dan pameran antarabangsa.

PROMAS juga bakal menjadi medium kerjasama agensi-agensi terlibat dalam urusan eksport seperti MATRADE, Jabatan Kastam, Kementerian Kesihatan, SME Bank, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

No comments:

Post a Comment