Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Showing posts with label Kisah Ternak. Show all posts
Showing posts with label Kisah Ternak. Show all posts

Saturday, 28 April 2012

Industri Ikan Arowana

Mohamad Zaini Suleiman antara penyelidik tempatan yang mempunyai kepakaran dalam industri arowana.

Minat orang ramai terhadap ikan hiasan antara punca mengapa ikan arowana turut mendapat perhatian luar biasa.

Di negara ini, terdapat pelbagai jenis ikan hiasan seperti discus dan angelfish, live bearer seperti gapi, swordtail dan molly, Cyprinid seperti tiger barb, cherry barb dan rosy barb dan Characid seperti pelbagai jenis tetra.

Ikan yang paling terkenal di negara kita ialah arowana. Ikan berkenaan tergolong digolongkan dalam famili Osteoglossidae iaitu keluarga ikan yang dikenal sebagai ikan lidah bertulang (bonytongue).

Ikan ini digelar sedemikian kerana struktur lidahnya berbentuk tulang yang keras dan kesat berfungsi sebagai gigi pencengkam sesuai dengan kelakuan pemakanannya sebagai ikan pemangsa.

Jabatan Perikanan merupakan agensi kerajaan yang menjadi peneraju dalam pembangunan industri ikan hiasan di negara ini.

Industri tersebut mula berkembang sejak 2005 dengan kadar pertumbuhan 15 peratus sehingga tahun 2009.

Kira-kira 80 peratus daripada pengeluaran ikan hiasan negara adalah untuk pasaran eksport ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara Kesatuan Eropah seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom.

Sehingga hari ini, Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar arowana di Asia selepas negara jiran Indonesia.

Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Nik Ab. Wahab Mat Diah berkata, ikan arowana merupakan sebahagian daripada komponen pembangunan haiwan akuatik yang turut merangkumi tumbuhan akuatik.

Haiwan akuatik tersebut antaranya termasuklah ikan hiasan seperti , ikan emas, discus, ikan koi, dan ikam beta (ikan laga), sepat dan gapi.

Nik Ab. Wahab berkata, beberapa program penyelidikan dan pembangunan melibatkan ikan arowana telah dirancang dan dilaksanakan.

Antara kejayaan tersebut ialah pembiakan pada 1996 yang dilaksanakan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) di Batu Berendam Melaka dan membangunkan standard kualiti untuk arowana dengan kerjasama SIRIM Berhad.

“Penyelidikan lain termasuk penentuan strain atau jenis dan jantina arowana mengikut teknik biosensor dengan hanya menggunakan sampel sisik sahaja,” kata beliau.

Pihaknya juga melaksanakan program pemuliharaan arowana di Tasik Bukit Merah yang mana matlamatnya ialah populasi arowana di kawasan itu akan dapat dipulihkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada masa ini program penyelidikan dijalankan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi), Titi, Jelebu, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan bagi menggantikan PPPAT beroperasi di Batu Berendam, Melaka.

Nik Ab. Wahab berkata, FRI Glami Lemi memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan terutama daripada segi pengeluaran hibrid baru, pengenalan identifikasi menerusi teknik molekular serta aktiviti krioawetan semen.

“Kita dalam proses pemilihan induk untuk aktiviti biakbaka daripada spesies liar bagi meningkatkan populasi,” katanya.

Selain aktiviti penyelidikan dan pembangunan Jabatan Perikanan juga kata beliau, mengawal selia urusan import dan mengurus pengeluaran permit eksport memandangkan pengusaha arowana perlu memperoleh permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).

Begitu juga mengenai sijil kesihatan ikan arowana yang perlu diperoleh daripada jabatan tersebut. Dengan jumlah pengusaha mencecah 140 orang yang mana 87 daripadanya beroperasi di Kerian Perak, beliau yakin industri tersebut akan terus meningkat pada masa akan datang.

“Industri arowana perlu berkembang sebagai satu peluang perniagaan yang telah pun dimasukkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” ujarnya.

Dalam pada itu, Pusat Ikan Hiasan di Enggor, Kuala Kangsar, Perak memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri tersebut melalui latihan, kemahiran dan pengetahuan dalam aspek ternakan dan pengurusan ternakan.

Sementara itu, menurut Penyelidik Kanan Bahagian Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glemi Lemi , Mohamad Zaini Suleiman, industri penternakan arowana telah berkembang pesat di negara ini sejak 2005.

Sebagai tempat asal arowana, jenis terbaik di dunia iaitu arowana emas Malaysia merupakan sebuah 'kilang' pengeluar pelbagai jenis arowana untuk pasaran global.

Pelbagai jenis arowana kita di pasaran di peringkat global seperti jenis Blue based gold, cross backed gold, high backed gold, golden head, chili red, blood red dan sebagainya dihasilkan di negeri Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan juga Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, matlamat utama Pelan Pembangunan Arowana ialah memperluas pasaran arowana yang sedia ada sama ada di dalam negara atau untuk tujuan eksport.

“Kami berharap ikan ini dapat menembusi pasaran baru di Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat melalui pelbagai strategi yang telah dan sedang dijalankan seperti program pemuliharaan arowana di Tasik Bukit Merah dan promosi dalam pameran seperti Aquarama di Singapura, Aquafair di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, misi perdagangan dan promosi ikan hiasan ke luar negara di samping mengenal pasti peluang pasaran baru juga diadakan.

Jabatan Perikanan kini katanya mensasarkan pengeluaran sebanyak 0.5 juta ekor arowana dihasilkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pada masa sama, bilangan syarikat berdaftarkan CITES pada tahun lepas yang berjumlah 31 juga akan ditingkatkan melalui taklimat dan bimbingan berterusan bertujuan memberi peluang lebih ramai lagi pengusaha arowana melibatkan diri dalam pengeksportan arowana keluar negara.

Biak Arowana Kerana Minat

Amer Hamzah Dahlan (kiri) dan pegawai penyelidikan kanan, jabatan perikanan, Mohamad Zaini Suleiman meneliti anak ikan yang diasuh dalam akuarium.

Saya sanggup menghadap akuarium, melihat ikan berenang selama berjam-jam tanpa rasa jemu, kadang-kala sehingga ditegur isteri baru tersedar," kata pengusaha ikan arowana, Amer Hamzah Dahlan.

Bermula sebagai penggemar ikan hiasan, kini beliau boleh dikategorikan sebagai pengusaha benih ikan arowana yang berjaya.

Biarpun baru bertatih-tatih untuk mengeluarkan benih ikan arowana secara besar-besaran, namun pengalaman beberapa tahun memelihara, menternak serta membiak arowana secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil.

Dahulu kerana minat sangat ikan ini (arowana) saya sanggup pergi dari kedai ke kedai hanya untuk melihatnya sahaja.

"Pada ketika itu tidak mampu untuk beli yang mahal-mahal, dapat tengok pun jadilah," ujarnya ketika ditemui di kolam ternakan ikan arowana di Bukit Merah, Semanggol, Perak.

Amer kini mampu berbangga dengan sebidang tanah yang memuatkan hampir 50 buah kolam ternakan arowana dan dihuni hampir 800 ekor ikan tersebut.

Katanya, kerana minat yang mendalam pelbagai kajian berkenaan pembiakan dan penjagaan arowana telah dilakukannya sejak 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Prisma Eramas Sdn. Bhd. ini membiak dan menternak ikan arowana secara kecil-kecilan.

Malah, beliau yang pada ketika itu bekerja makan gaji sering berulang-alik ke Bukit Merah untuk melihat serta mengkaji bagaimana cara menternak dan memelihara ikan tersebut.

Apabila telah benar-benar memahami dan yakin, Amer kemudiannya berhenti bekerja makan gaji dan menubuhkan syarikat penternakan ikan arowana bersama dua orang lagi rakan kongsinya.

Biarpun menetap di Bangi, Selangor, namun ia tidak menghalang Amer Hamzah untuk turun padang ke Bukit Merah seminggu sekali bagi memastikan perniagaannya berjalan lancar.

Malah, dirinya sendiri sering mengendalikan proses mengeluarkan anak ikan arowana daripada induknya.

Biarpun proses tersebut kelihatan leceh kerana perlu membelai dan memujuk induk ikan untuk membuka mulutnya secara perlahan-lahan bagi mendapatkan anak yang dijaga.

Namun, benarlah kata pepatah, alah bisa tegal biasa, kehangatan pancaran matahari, hanyirnya bau lumpur ketika meredah kolam tidak lagi dirasakan apabila 'buah hati' yang berada di depan mata mampu memberikan hasil yang lumayan.

Menurut Amer Hamzah lagi, antara jenis ikan arowana yang terkenal dibiak olehnya adalah Malaysian Gold, Highback Golden, Red Arowana, Silver Arowana dan Gold Blue Base Arowana yang mana merupakan spesies asal yang terdapat di Tasik Bukit Merah.

Namun yang paling banyak mendapat permintaan adalah Malaysian Gold kerana ia sukar dibiak dan unik di mana hanya boleh didapati di negara ini terutamanya di sekitar Bukit Merah.

Bagi induk utama, Amer memperolehinya daripada rakan-rakan pengusaha yang telah lama dikenali serta dipercayai.

Ia berikutan untuk mendapatkan anak benih yang baik, ia memerlukan induk yang benar-benar sihat serta mampu menghasilkan anak yang banyak di samping memiliki daya ketahanan yang tinggi.

Menggunakan modal sendiri antara resipi utama kejayaan Amer Hamzah serta dua lagi rakan kongsinya.

Sehingga kini saya dan rakan-rakan tidak pernah membuat pinjaman perniagaan dari mana-mana agensi. "Segalanya menggunakan wang simpanan sendiri sebagai modal permulaan," katanya.

Biarpun baru bermula, perniagaannya kini berjalan lancar dan induk ikan yang dipelihara telah mula mengeluarkan hasil.

Arowana atau nama saintifiknya Scleropages formosus (Asian Arowana) banyak terdapat di sekitar Tasik Bukit Merah, justeru kawasan tersebut dilihat amat sesuai untuk aktiviti pembiakan secara komersial.

Biarpun arowana merupakan ikan yang agak lasak dan memiliki daya ketahanan yang tinggi namun ia tetap memerlukan kualiti air yang baik.

Jika terdapat pencemaran terhadap air yang dialirkan ke dalam kolam kemungkinan besar ikan-ikan yang terdapat di dalamnya akan mudah mati serta sukar untuk membiak.

Jika ikan-ikan induk tersebut mudah mati pastinya pengusaha akan menanggung kerugian yang tinggi berikutan seekor induk ikan arowana mampu mencecah harga belasan ribuan ringgit.

Untuk mengelakkan kejadian seumpama itu terjadi, sebuah rumah pemproses air turut dicipta olehnya. Ia bertujuan untuk membendung masalah pencemaran air jika berlaku dengan mengitar semula air kolam yang mengalir keluar.

Proses tersebut juga seakan-akan proses kuarantin ikan di dalam kolam daripada bekalan air tercemar dari luar.

Rumah pemprosesan air itu terdiri daripada beberapa buah penyedut air yang menggunakan kuasa elektrik dan penapis mirip proses pembersihan sebuah akuarium.

Justeru, jika pencemaran dikesan, tali air masuk akan ditutup dan air kolam akan dikitar dan dibersihkan.

Biarpun begitu, kematian induk arowana tetap tidak dapat dielakkan, namun ia boleh dikawal melalui proses penjagaan yang rapi.

Bagaimana pun proses pembiakan tidaklah semudah seperti yang disangka kerana ikan arowana amat memilih pasangan.

Biarpun diletakkan secara berpasang-pasangan namun ia tidak boleh dipaksa untuk mengawan. Berbeza dengan cara pembiakan aruhan yang biasa dilakukan oleh penternak seperti ikan keli, patin dan tilapia, arowana memiliki caranya yang tersendiri.

Apabila ikan betina telah bersedia untuk mengawan ia akan mengeluarkan telurnya dan akan disenyawakan oleh ikan jantan setelah itu ikan jantan akan membawa telur tersebut didalam mulutnya.

Proses menjaga akan diambil oleh ikan jantan dan berlanjutan sehingga anak-anak ikan cukup besar sebelum dilepaskan oleh induknya.

Disinilah pengamatan teliti diperlukan untuk menentu ikan jantan tersebut sedang membawa telur atau anak ikan yang sudah matang.

Menurut Amer Hamzah, kebiasaannya ikan jantan yang membawa telur terdapat sedikit perubahan fizikal iaitu dari segi bentuk kepalanya.

"Kebiasaannya kepala ikan jantan yang membawa anak ikan atau telur memiliki saiz sedikit besar.
"Kita perlu perhatikan dengan teliti dan kemahiran ini memakan masa yang agak lama," ujarnya.

Terdapat dua kemungkinan yang akan terjadi jika seseorang pengusaha itu tidak berapa mahir dalam menentukannya iaitu sama ada akan memperolehi benih dalam bentuk telur (masih baru) atau jika terlambat anak ikan akan dilepaskan.

Jika dituai didalam bentuk telur dikhuatiri kadar kemandirian benih tidak tinggi di mana anak ikan akan cepat mati.

Namun, jika anak ikan telah dilepaskan oleh induknya (telah matang) ia mudah menjadi makanan kepada ikan pemangsa seperti haruan.

Justeru, masa yang terbaik adalah dua hingga tiga minggu selepas musim mengawan di mana anak ikan telah cukup kuat untuk hidup sendiri.

Bagi syarikat Urusan Prisma Eramas Sdn. Bhd., mereka turut menyediakan inkubator untuk menyimpan anak benih ikan arowana yang masih kecil sehingga ikan tersebut matang untuk dipasarkan.

Sehingga kini, anak benih ikan keluaran syarikat Amer Hamzah telah mendapat tempat di beberapa buah negara seperti Jepun.

Kini, mereka sedang dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ke China berikutan permintaan terhadap ikan hiasan tersebut sedang galak dan telah menjadi fenomena di sana.

Ternak Puyuh


Keceriaan jelas terpancar pada wajah pasangan yang mengusahakan ternakan puyuh dan ayam kampung di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan.
Raja Ali Raja Hassan bukanlah nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di Kelantan.

Bapa kepada lima orang ini sudah lebih 20 tahun mengusahakan ternakan tersebut dan berhasrat menjadi penternak, pembekal daging puyuh terbesar di negeri Cik Siti Wang Kembang.

Berbeza dengan kebanyakan penternak lain yang mempunyai ladang dan pekerja, Raja Ali, 54, hanya mengusahakan ternakan burung puyuh di reban yang dibina di hadapan rumahnya di Kampung Badak Mati, Bukit Marak, Kota Bharu.

Bermula dengan modal sebanyak RM1,000, Raja Ali dengan dibantu isteri tercinta, Rahimah Awang, 54, kini mampu tersenyum puas.

Apa tidaknya, berkat penat lelahnya selama ini, dia dapat membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada kelima-lima anaknya itu yang kini sudah mempunyai kerjaya sendiri, selain mampu membeli rumah dan kereta.

Semuanya hasil daripada ternakan burung puyuh. Mengimbas kembali penglibatannya dalam industri ternakan puyuh, Raja Ali berkata, ia bermula secara kecil-kecilan pada 1983 sekembalinya dari Kuala Lumpur untuk menjaga orang tuanya sebelum mereka kembali ke rahmatullah.

"Sebelum itu saya bekerja dengan Koperasi Shamelin selama 11 tahun. Sekembalinya saya ke kampung untuk menjaga orang tua, saya memulakan ternakan tersebut secara kecil-kecilan membabitkan 1,000 ekor puyuh dengan pinjaman bank sebanyak RM30,000.

"Pinjaman itu sebenarnya untuk ternakan arnab yang cuba saya usahakan, tetapi tidak berjaya," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menariknya, Raja Ali menjadikan kegagalan tersebut sebagai pembakar semangatnya untuk 'bertukar angin' dengan mencuba ternakan burung puyuh yang pada waktu itu agak asing dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sebagai permulaan jelasnya, beliau telah mengikuti kursus ternakan burung puyuh di Tegayung, Melor. Sangkar arnab yang telah saya bina, saya ubah menjadi reban burung puyuh. Saya kemudiannya membeli sebanyak 1,000 ekor anak burung puyuh.

''Selain itu, saya turut mendapatkan baka burung puyuh dari Johor melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan (sekarang Jabatan Perkhidmatan Veterinar)," jelasnya.

Berkat kegigihan beliau dibantu isteri dan anak-anak yang berperanan sebagai 'pekerja', Raja Ali mampu membesarkan industri ternakan burung puyuhnya dengan waktu puncak beliau pernah menternak sehingga 17,000 ekor burung berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah burung puyuh yang ada dalam rebannya ketika ini hanya sekitar 6,000 hingga 7,000 ekor, namun Raja Ali bersedia mendapatkan baka baru bagi 'menghidupkan' kembali kegemilangan industri yang sudah sebati dengannya itu.

Menurut Raja Ali, dia memperuntukkan sebanyak RM100 sehari bagi membeli makanan burung berkenaan dari sebuah kedai Cina di Bachok.

Jelasnya, sebaik sahaja menetas, burung sudah boleh dijual dengan harga pasaran ketika ini kira-kira 65 sen seekor.

Rata-rata burung puyuh milik Raja Ali akan disembelih sebaik sahaja mencapai usia 23 hari dan ke atas, sementara yang lebih muda dijual kepada pengusaha kedai burung.

"Kebiasaannya, hanya 80 peratus daripada telur puyuh akan menetas, selebihnya akan menjadi telur tembelang," jelasnya lagi yang menjalankan penetasan secara inkubator.

Mengusahakan ternakan burung puyuh bagi Raja Ali tidaklah terlalu rumit dan melecehkan. Namun, setiap usaha itu pasti berdepan dengan suka dan duka. Begitu jugalah yang dilalui oleh Raja Ali sepanjang penglibatannya dalam industri berkenaan.

Antara ancaman yang dihadapi ialah pencuri yang pernah melarikan 300 ekor burung puyuh. Selain itu, ular turut menjadi ancaman utama kepada Raja Ali yang pernah 'melahap' sebanyak 156 ekor burung puyuh mengakibatnya kerugian kira-kira RM1,000.

"Sekarang masih ada ular, begitu juga biawak. Untuk mengatasinya, saya menggunakan racun. Masalah penyakit tak ada, yang penting kita jaga kebersihan cuci reban dan najisnya diambil untuk dijadikan baja," jelasnya.

Cabaran dalam industri tersebut katanya, dari segi persaingan dalam pasaran apabila harga daging burung puyuh yang tidak stabil disebabkan sikap sesetengah pengusaha yang suka menurunkan harga demi mengaut keuntungan segera.

"Dari segi pasaran, tak ada masalah, banyak kedai makan, restoran dan pasar raya yang sedia menerima bekalan, tetapi apa yang saya bimbangkan tidak dapat menampung permintaan semakin tinggi," katanya.

Apa yang pasti kata Raja Ali, perkara tersebut sama sekali tidak mematahkan semangatnya, malah semakin yakin untuk mengembangkan lagi industri ternakan burung puyuhnya yang kini menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk daripada pusat pengajian tinggi tempatan.

''Jangan mudah mengaku kalah, sentiasa berdoa dan bertawakal, insya-Allah usaha kita sentiasa berjaya," katanya mengenai 'petua' kejayaan beliau dalam industri berkenaan selama ini.

Friday, 9 March 2012

Bekal Benih Ikan

Ismail Abdullah menunjukkan anak ikan puyu dari kolam kuarantin yang sedia untuk dipasarkan.

Jika dahulu beliau bekerja makan gaji di sebuah syarikat elektronik namun kini tidak lagi. Selain mampu tersenyum bangga dengan hasil usaha yang baru mencecah tiga tahun, syarikat Aquaculture Resource Centre (ARC) yang dibangunkan bersama rakan kongsinya kian dikenali ramai sebagai pembekal benih ikan yang berkualiti tinggi.

Semuanya bermula apabila hati anak muda bernama Mohd. Hafiz Nordin terdetik untuk terjun ke bidang akuakultur apabila melihat peluang bidang tersebut amat luas selain memiliki permintaan yang tinggi.

Baginya bekerja makan gaji di kilang tidak dapat memberi kepuasan sebenar berikutan prestasi sesebuah kilang kadang kala mengikut pasang surutnya ekonomi dunia.

"Saya nekad untuk mengusahakan bidang ternakan ikan yang saya lihat mempunyai potensi yang lebih besar daripada kerja makan gaji. Pastinya produk yang berasaskan makanan tidak akan surut permintaannya kerana semua orang memerlukannya dan ia adalah permintaan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kolam asuhan atau kuarantin di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd Hafiz, ARC bermula secara rasminya tiga tahun lepas namun operasi penternakan dan pembenihan ikan telah lama dijalankan secara kecil-kecilan melalui bantuan kewangan daripada bapanya.

"Semasa menyertai pelbagai kursus dan latihan mengenai penternakan ikan air tawar ini saya bertemu dengan rakan kongsi dan di sinilah bermulanya penubuhan ARC," ujarnya.

Terdapat empat individu yang bertanggungjawab memastikan ARC beroperasi dengan lancar. Mereka adalah Mohd. Hafiz sendiri sebagai pengurus, seorang pengurus pemasaran, seorang pakar pembenihan ikan dan seorang lagi adalah penyumbang bantuan kewangan.

Ketika ditanya mengapa memilih mengusahakan benih ikan, Mohd. Hafiz berkata ia berdasarkan permintaan yang tinggi untuk produk tersebut di pasaran kini. Katanya, penternak ikan sama ada sangkar mahu pun kolam sememangnya ramai namun pembekal benih ikan amat kurang terutamanya dalam kalangan bumiputra.

"Justeru saya membuat kajian serta menyertai mana-mana seminar dan kursus untuk melakukan pembenihan ikan. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghasilkan benih ikan yang berkualiti," katanya.

Tambah Hafiz, ramai yang mampu melakukan proses pembenihan ikan namun untuk memastikan berjaya memperolehi benih ikan yang benar-benar berkualiti adalah amat sukar.

Justeru tenaga pakar dan individu yang benar-benar berkemahiran diperlukan untuk melaksanakan tugas tersebut dan ARC dianggap bertuah kerana memiliki salah seorang daripada pakar tersebut.

Dikenali sebagai Ismail Abdullah, beliau merupakan salah seorang tenaga pakar dan pengajar yang telah berkhidmat dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam aktiviti pembenihan ikan hampir selama 18 tahun.

Kini Ismail bekerja untuk ARC dan beliau merupakan tonggak utama kejayaan syarikat berkenaan menghasilkan benih yang berkualiti tinggi.

Antara benih ikan utama yang disediakan oleh ARC adalah ikan puyu, keli dan patin. Namun mereka turut menyediakan benih ikan tilapia jika terdapat permintaan. Pasaran bagi benih ikan tersebut adalah terdiri daripada pengusaha kolam ternakan di sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

Menurut Hafiz, bagi benih ikan puyu, ia banyak dibeli oleh penternak dari Perak berikutan ikan puyu dewasa popular untuk dijadikan ikan pekasam di sana. Manakala benih ikan keli adalah di sekitar Selangor, dan benih ikan patin sekitar Pahang.

Benih-benih ikan tersebut akan dikuarantin terlebih dahulu berdasarkan jenis anak ikan dan paling lama adalah seminggu. Menurut Ismail, tujuan kuarantin adalah bagi mengasingkan benih ikan yang benar-benar kuat sebelum ia dijual.

Hampir 20-50 peratus benih yang dihasilkan biasanya akan mati atau tidak menjadi justeru ia perlu dikuarantin bagi menjamin kualiti benih yang dihasilkan adalah terbaik.

"Jika tidak, pastinya pelanggan tidak akan mempercayai lagi kami kerana menjual anak benih yang tidak tahan lama malah mereka juga akan kerugian," ujarnya.

Biarpun pengeluaran anak benih ikan di ARC mencecah dua juta ekor sebulan namun ia masih tidak mampu menampung permintaan yang tinggi daripada penternak ikan air tawar.

Kini ARC hanya memiliki sebidang tanah seluas lima ekar yang menempatkan empat buah kolam dan purata pengeluaran bagi benih ikan keli adalah 500,000 ekor dan 200,000 dan 300,000 ekor bagi ikan puyu untuk sebuah kolam.

Manakala benih ikan patin dikeluarkan berdasar permintaan pelanggan. ARC juga memiliki pelanggan tetap bagi membeli benih-benih ikan mereka dan mereka turut memperolehi pelanggan baru yang berminat setelah melihat iklan yang dipaparkan di laman web mereka.

Biarpun apa jua cabang perniagaan pastinya terdapat cabaran begitu juga bagi ARC di mana mereka masalah untuk mendapatkan kawasan yang lebih luas untuk menambah kolam pembenihan.

Permintaan kini amat menggalakkan namun kita tidak mampu untuk memenuhi tempahan pelanggan berikutan benih yang dihasilkan adalah amat terhad. "

Oleh itu, cabaran utama ARC kini adalah untuk mendapatkan tanah seluas 30 ekar bagi menampung permintaan benih ikan daripada pelanggan kami," katanya.

Biarpun stok benih ikan ARC yang agak terhad namun ia telah pun dikenali ramai malah turut mendapat permintaan sejauh dari Sabah.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan anak benih ikan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat atau sebarang pertanyaan anda boleh menghubungi dengan Hazarul Hafzam Mohd Zaki selaku Pengurus Pemasaran ARC di talian 010-4003600 atau melawat ke laman web ARC di www.arc.com.my.

Dulu Kerani Kini Tauke Ayam

Kejayaan yang dicapai oleh Soh Ah Pin amat bermakna kerana ia bermula dari bawah.

Menyelusuri perjalanan yang jauh berliku melalui kawasan bandar dan kampung sebelum kenderaan memasuki jalan yang agak sunyi berdebu hingga akhirnya sampai ke kawasan separa hutan serta ladang sedikit sebanyak memberi gambaran awal bahawa perusahaan ternak ayam ini tidak jauh bezanya dengan yang lain.

Namun pengusaha terbabit Soh Ah Pin, ceria menyambut kunjungan rombongan AgroBank yang tiba dengan beberapa kenderaan.

Ah Pin, 73, anak jati Segamat terus membawa tetamu ke sekitar ladang ayam yang jumlahnya ratusan ribu ekor.

Tiada bau tidak menyenangkan kerana katanya, penggunaan mikroorganisme efektif (EM) memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat.

Pesara kerajaan itu pernah bertugas sebagai kerani di Majlis Daerah Labis, Johor, selama 32 tahun sebelum menceburi bidang penternakan ayam kampung kerana melihat peluang terhidang depan mata.

"Berniaga tidak semestinya untung. Ibarat hendak pergi perang. Kalau pandai (berperang) kita menanglah. Tapi kena ada ilmu untuk jadi pandai,” ujarnya ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Labis, Segamat Johor itu.

Sambil berkongsi pengalamannya dengan ahli rombongan, dia menunjukkan cara menghalau ayam ke reban yang menurutnya ternakan itu tahu pulang ke ‘rumah’ masing-masing.

Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau MCE ketika itu, Ah Pin berkata, selepas bersara dia ditawarkan bantuan oleh seorang kenalan dari Perak.

Pada mulanya dia menawarkan diri untuk menternak hanya 50 ekor ayam. Tetapi rakan terbabit menasihatinya supaya memulakannya 4,000 hingga 5,000 ekor.

‘‘Saya bimbang tidak ada modal kalau hendak pelihara banyak. Teknik (menternak) tidak tahu, reban pun tidak ada,” ujarnya yang memulakan projek tersebut dengan empat buah reban sahaja.

Rakan terbabit membekalkannya 4,000 ekor ayam kampung kacuk, ubat-ubatan, makanan dan pelbagai keperluan lain dengan syarat Ah Pin menjual hasil ternakan kepadanya.

Ah Pin itu merupakan satu tuah kerana dia tidak perlu menyediakan pelaburan tinggi untuk memulakan projek pada tersebut pada 1996.

Selepas satu pusingan, dia menjual sejumlah ternakan yang boleh dipasarkan pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram dan berjaya meraih keuntungan.

Keuntungan itu digunakan untuk mengembangkan projek dengan membina lebih banyak reban. Dia membina empat lagi reban dengan tambahan baka ayam 10,000 ekor menjadikan jumlah keseluruhan 15,000 ekor dan ketika itu jualannya mencecah RM47,000.

Tidak lama selepas itu, rakan terbabit tidak lagi membantunya dan kembali semula ke Perak, meninggalkan dia keseorangan mengurus projek berkenaan.

Katanya, dia telah memiliki tiga syarikat yang mana dua daripadanya dikongsi bersama rakan dan sebuah lagi adalah syarikat keluarga.

Syarikat terbabit ialah Sam Hup Poultry Sdn. Bhd. (SHPSB), Ladang Ayam KPM Sdn. Bhd. (LAKSB) dan Sam Yong Farming Sdn. Bhd. (SYFSB).

Katanya, LAKSB yang terletak di Sungai G merupakan perniagaan keluarga manakala SHPSB dikongsi bersama rakan.

Ladang SYFSB juga terlibat dengan penternakan kambing yang baru dimulakan dan jumlahnya kini 100 ekor pelbagai baka.

Dia yang juga pengurus dan pengarah kepada syarikat terbabit berkata, keseluruhan ternakan ayam yang dimiliki mencecah 320,000 ekor ketika ini.

Ketika ini, kos pemakanan meliputi 70 peratus daripada keseluruhan kos projek tersebut. Manakala bakinya untuk ubat-ubatan, bekalan elektrik dan kos menggaji pekerja seramai 33 orang semuanya.

Katanya, sejak memulakan projek, dia telah lapan kali memperoleh pinjaman dengan Agrobank menerusi Tabung Untuk Makanan (3F) dan kali terakhir pada 2008 sebanyak RM800,000.

Sunday, 19 February 2012

Hasil Susu Segar Terbaik



Susu lembu segar baik untuk kesihatan.

Susu lembu merupakan minuman berkhasiat yang dikenali di seluruh dunia selain merupakan sumber vitamin yang diperlukan untuk tumbesaran manusia.

Bermula dengan susu segar, pelbagai produk tenusu seperti krim, mentega, dadih, aiskrim, keju, yogurt dan sebagainya dapat dihasilkan untuk kegunaan masyarakat.

Namun bukan mudah untuk menghasilkan susu lembu yang berkualiti kerana faktor pemakanan sebenarnya mempengaruhi susu yang akan dihasilkan oleh lembu tenusu.

Selain itu, harga makanan lembu yang semakin tinggi juga menjadi beban dan penghalang kepada penternak lembu tenusu bagi menghasilkan susu lembu yang berkualiti.

Lawatan pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pakar-pakar pemakanan Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLM) ke ladang lembu tenusu di Bedong, Kedah berjaya membuka minda penternak lembu tenusu agar terus berusaha menghasilkan susu segar yang berkualiti untuk dibekalkan kepada pengguna.

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan JPV, Dr. Siti Salmiyah Tahir berkata, lawatan ke ladang-ladang lembu tenusu bertujuan mendapatkan maklumat dan cara pemakanan lembu yang betul untuk diajar kepada penternak.

"Harga makanan lembu dipasaran memang mahal jadi penternak meminta kerajaan menaikkan harga susu segar namun jika dibandingkan dengan negara lain, harga susu segar dari ladang di negara kita adalah yang tertinggi (sekitar AS$0.58 seliter).

"Sebab itu, pihak kami turun padang bertemu dengan penternak lembu tenusu bagi memberi maklumat bagaimana untuk mengurangkan kos makanan ternakan jika tahu cara membuat rumusan makanan yang betul kepada lembu yang diternak," katanya.

Menurutnya, di setiap negeri terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang boleh dijadikan makanan tambahan untuk lembu tenusu selain makanan dalam bentuk pallet.

"Rumput napier menjadi pilihan utama penternak untuk diberikan kepada lembu mereka. Namun masalah kekurangan tanah pula menjadi halangan untuk penternak menanam rumput di kawasan ladang mereka.

"Oleh sebab itu, pihak kami sedang mencari jenis-jenis makanan lain yang boleh diberikan kepada lembu tenusu kerana di setiap negeri ada makanan yang berbeza boleh diberikan kepada lembu tenusu bagi memastikan susu yang dihasilkan berkualiti," jelasnya.

Selain itu, Dr. Siti Salmiyah berkata, sejak tahun lalu, pihaknya telah memperkenalkan sistem pengiraan khasiat makanan yang menggunakan kaedah rekod Individual Cow Recording and Analysis System (ICRAS) untuk memudahkan penternak membuat pengiraan khasiat makanan yang mereka berikan kepada lembu-lembu masing-masing.

Katanya, peladang hanya perlu memasukkan data-data tertentu dan sistem itu akan membuat pengiraan khasiat makanan yang diberikan kepada haiwan secara automatik.

Dengan cara itu, peladang tahu makanan apakah yang patut diberikan kepada haiwan ternakan mereka untuk menambah pengeluaran susu.

Tambah Dr. Siti Salmiyah, kebanyakan penternak lembu tenusu di negara ini tidak mempunyai rekod khusus untuk mencatatkan maklumat mengenai lembu ternakan mereka.

"Apabila rekod kesihatan lembu ini tiada, sukar bagi pihak JPV membantu penternak jika lembu-lembu mereka mengalami masalah kesihatan.

"Oleh itu, kami amat menggalakkan penternak menggunakan ICRAS untuk merekodkan data-data penting seperti jumlah pengeluaran susu, kadar pembiakan dan rawatan kesihatan yang telah diberikan kepada lembu mereka," jelasnya.

Sementara itu, penternak lembu tenusu, Ramlan Bakar, 44 berkata, lawatan oleh pihak JPV dan DLM ke ladang lembu tenusu yang diusahakannnya sejak tahun 2008 itu amat bermakna kerana banyak ilmu baru berkaitan soal penjagaan lembu dan cara-cara menghasilkan susu lembu yang berkualiti dipelajari.

"Sekarang saya ada 19 ekor lembu susu dan empat ekor lembu menghasilkan susu segar setiap hari untuk dijual kepada pelanggan tetap yang akan datang mengambil susu di ladang.

"Setiap hari sekurang-kurangnya 30 liter susu segar dapat dihasilkan dan saya memang bercadang untuk menambah bilangan lembu yang diternak di ladang yang seluas 1.6 hektar ini," katanya.

Ramlan yang merupakan pesara tentera memberitahu, semua lembunya dibiarkan bebas meragut di ladang kelapa sawit bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Selain meragut diladang kelapa sawit, lembu-lembunya juga diberikan dedak dua kali sehari malah rumput napier juga ditanam berhampiran ladang tersebut untuk memastikan lembu-lembu yang dibela mendapat khasiat yang cukup.

"Saya berharap kerjasama yang terjalin antara pihak JPV dan penternak-penternak lembu susu tidak terhenti setakat ini sahaja kerana kami amat memerlukan bantuan untuk menambah ilmu dalam bidang penjagaan lembu susu.

"Banyak lagi yang perlu kami pelajari untuk berjaya dalam bidang ini dan kami juga mahu menghasilkan susu segar yang berkualiti kepada pengguna," tambahnya.

Thursday, 2 February 2012

3 Syarat Eksport Sarang Burung Walet ke China

Noh Omar (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada ahli kimia, Cassie Lee (kiri) selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia di Puchong, dekat Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur 17 Jan - Mulai tahun ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menetapkan tiga syarat terhadap pengusaha-pengusaha sarang burung walet untuk mengeksport produk tersebut ke China.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pengusaha terbabit perlu mendapatkan sijil perakuan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekali gus melayakkan mereka memperoleh perakuan jenama 1Malaysia Best pada setiap produk tersebut.

Katanya, ia bertujuan memastikan kualiti sarang burung tersebut memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan China.

"Sijil dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar adalah bagi memastikan sarang burung tersebut tiada risiko jangkitan penyakit haiwan dan selamat untuk dimakan.

"Sementara sijil pengenalan frekuensi radio (RFID) dari SKMM diperlukan untuk membolehkan sarang burung walet yang bermasalah dikesan menggunakan gelombang frekuensi radio untuk menentukan lokasi 'rumah' sarang burung berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia yang pertama di Puchong dekat sini semalam.

Menurut Noh, syarikat berkenaan juga perlu mengenal pasti sebuah syarikat di China sebagai rakan perniagaan bagi memudahkan eksport sarang burung walet dari Malaysia dipantau.

"Syarikat di China itu pula mesti melakukan promosi bahawa hanya produk sarang burung walet jenama 1Malaysia Best sahaja yang dijamin kualitinya dan selamat untuk dimakan," ujarnya.

Tambah beliau, antara lain, tindakan tersebut akan memulihkan kembali industri tersebut yang mengalami masalah pemasaran ke luar negara akibat dakwaan produk itu mempunyai kandungan nitrit yang boleh membahayakan kesihatan.

"Pada 2011, kerajaan China telah melaksanakan penguatkuasaan kandungan nitrit sifar yang mengakibatkan kejatuhan mendadak harga sarang burung walet sehingga ke paras 50 peratus," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai polisi kerajaan China tersebut, beliau berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan kedua-dua negara sedang berbincang bagi mencapai kata sepakat mengenai kandungan nitrit yang dibenarkan.

Sementera itu, katanya, kementerian itu juga akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal mana-mana individu termasuk pelancong membawa sarang burung walet lebih daripada satu kilogram ke luar negara.

Wednesday, 30 November 2011

Arowana Emas

Anak benih ikan Arowana Emas.

Bagan Serai 29 Nov - Pada sekitar tahun 2000, tidak sampai 10 usahawan yang mengusahakan 300 kolam ikan Arowana di Tasik Bukit Merah, di sini.

Bagaimanapun, potensi industri yang mampu menjana keuntungan mencecah jutaan ringgit itu telah menjadikan tasik buatan manusia tertua di Malaysia menggamit 77 lagi perusahaan baru melibatkan 3,808 kolam pada tahun 2010.

Tidak hairanlah, ada pandangan menyebut Tasik Bukit Merah yang berkeluasan mencecah 200 hektar itu dihuni 'emas' yang berenang - merujuk nilai tinggi ikan Arowana yang diternak di situ.

Salah seorang pengusaha, Datuk Mohammd Rodzi Awang Kechek berkata, jika 10 tahun lalu seseorang menyebut industri ikan perhiasan mampu memberi pulangan sehingga jutaan ringgit, orang itu diibaratkan sebagai gila.

''Tapi keadaan sudah berubah, industri ikan perhiasan berkembang begitu pantas ekoran minat serta permintaannya yang meningkat di pasaran dunia," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohammd Rodzi mengakui, ketika dipelawa seorang rakan untuk menceburi bidang itu pada tahun 2009, beliau berasa sangsi dan kurang yakin memandangkan pengetahuannya yang amat cetek mengenai industri tersebut.

Bagaimanapun, katanya, melihat potensi serta kejayaan pengusaha-pengusaha sedia ada, beliau dan rakannya itu akhirnya mengambil keputusan mencuba nasib dengan berbekalkan modal kira-kira RM3 juta.

Selepas dua tahun, pertaruhan besar anak jati Kampung Selama, Perak itu ternyata berbaloi apabila kini mempunyai 99 kolam mengandungi 20,000 ikan Arowana yang dianggarkan bernilai RM44 juta.

''Namun, ia tidak semudah yang disangka, memandangkan pengetahuan yang cetek serta ketidakupayaan bersaing dengan pelabur luar seperti Singapura dan Indonesia, kami mengalami kerugian.

''Tetapi kami tidak patah semangat, untuk berjaya dalam industri ini, mesti ada lebih kesabaran. Syukurlah, kami berjaya bertahan sehingga hari ini," ujarnya.

Mohammd Rodzi memberitahu, antara spesis Arowana yang diternak di kolamnya termasuklah Arowana Emas, Merah, Hijau dan jenis Myanmar Nami.

Bagaimanapun katanya, Arowana Emas adalah komoditi yang terbaik dan unik dan harganya mampu mencecah RM28,000 seekor.

Menurut beliau, apa yang menarik mengenai Tasik Bukit Merah ialah ikan Arowana mudah membiak di kawasan itu berbanding kawasan lain ekoran kesesuaian airnya dengan kadar pH antara 6.8 dan 7.4.

''Ada beberapa pengusaha sebelum ini cuba menternak Arowana di kawasan lain termasuk sekitar Kuala Kangsar, Perak tetapi ia tidak berjaya kerana ikan-ikan tidak dapat bertelur," tambahnya.

Mengenai perancangan masa depan, Mohammd Rodzi berkata, walaupun harga pasaran Arowana sedikit menurun sejak kebelakangan ini, beliau berhasrat menambah jumlah kolam sedia ada kerana yakin industri itu akan terus berkembang pada masa hadapan.

Friday, 25 November 2011

Usahawan Muda Ternak Keli

Proses suntikan penggalak akan memudahkan ikan keli betina menjalani proses bertelur.

Ketika mula-mula bapanya menyerahkan urusan penternakan kolam ikan keli kepada Mohd. Aminudin Mohd. Zaibani, dia baru berusia 19 tahun.

Kepercayaan itu diberikan selepas dia selesai menamatkan pengajian di Institut Skill Tech Mara, Melaka dalam kursus Sijil Kemahiran Perikanan.

Bermula waktu itu, kolam yang telah diusahakan sejak tahun 1991 perlu dikendalikannya secara bersendirian.

''Cabarannya cukup besar kerana bukan mudah untuk menguruskan operasi kolam ternakan di kawasan yang besar ini.

''Tambahan pula, saya langsung tidak mempunyai pengalaman selain hanya ada sedikit ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu,'' katanya ketika ditemui di kolam ternakannya di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.

Bercerita mengenai tempoh masa lima bulan pertama selepas mengambil alih kolam berkenaan, dia berhadapan dengan masalah yang cukup besar.

Waktu itu, operasi ternakannya terbantut disebabkan kehabisan makanan ikan dan ubat-ubatan selain keadaan kewangan yang tidak stabil untuk tujuan pusingan modal.

Semuanya gara-gara dia gagal menguruskan perjalanan aktiviti jualan, penternakan dan pembenihan ikan secara konsisten.

''Selepas kejatuhan itu, saya mula berfikir untuk bekerja lebih keras dan memberi fokus terhadap aktiviti penternakan kerana tidak mahu perniagaan yang ayah usahakan selama ini terkubur begitu sahaja.

''Jadi, saya bertekad untuk bangun semula. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membeli benih ikan daripada pengusaha lain, menternak dan kemudian menjualnya kembali.

''Dalam masa enam bulan, saya berjaya mengumpul modal untuk membina perusahaan ternakan baru,'' jelas anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu.

Dia yang ketika ini berusia 21 tahun kemudian mengatur pelbagai strategi penternakannya yang didaftarkan di bawah penjenamaan High Tech Aquaculture.

Antara usaha tersebut adalah mencari lebih ramai pelanggan berpotensi selain menimba pengalaman serta ilmu daripada penternak berjaya.

Operasi penternakan dan pembenihan miliknya semakin stabil menjelang Jun 2010. Melihat daripada segi aktiviti pemasaran, Mohd. Aminudin mengambil pendekatan menjual anak benih dan ikan matang pada harga yang rendah.

''Tujuannya untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan penternak. Saya juga akan membantu penternak-penternak ini mencari pemborong bagi membeli hasil ikan mereka.

''Apabila anak benih dijual pada harga rendah di samping mempunyai pasaran tetap, saya yakin para penternak pasti akan lebih seronok dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti penternakan ini.

''Secara tidak langsung, saya juga akan dapat mengekalkan lebih 80 peratus pelanggan tetap,'' katanya yang mengusahakan operasi penternakan serta pembenihan ikan keli, puyu, sepat dan tilapia.

Di samping itu, Mohd. Aminudin turut membekalkan spesies ikan lain seperti patin, baung dan jelawat mengikut permintaan.

Setakat ini, dia mempunyai 17 buah kolam simen, 14 kolam separuh simen dan enam kolam tanah yang dibina di kawasan seluas satu ekar dengan pengurusan operasi kolam dibantu oleh tiga orang kakitangan.

Pada masa depan, dia bercadang untuk menukar sistem kolamnya kepada yang lebih moden menggunakan permukaan marmar.

Sistem tersebut mempunyai kelebihan boleh mengurangkan bau selain ikan dapat membiak dengan lebih selesa, tidak mudah luka dan berkualiti.

Friday, 11 November 2011

Ikan Tasik Bukit Merah

Ikan Arowana

Kuala Lumpur 7 Nov - Air daripada Tasik Bukit Merah dikatakan mampu menghidupkan emas. Apa yang dimaksudkan dengan 'emas' di sini adalah Arowana Asia, iaitu sejenis ikan yang nadir dan mahal.

Tasik Bukit Merah, dibina pada tahun 1906 khas untuk tujuan pengairan dan membekalkan air bagi Daerah Kerian dan Larut, merupakan tasik buatan manusia tertua di Malaysia.

Tasik yang meliputi kawasan seluas 2,800 hektar ini membekalkan sumber air tak tercemar yang berterusan.

Air tasik ini menjadi habitat semula jadi bagi banyak spesies tumbuhan dan haiwan, termasuk Arowana Emas Malaysia, salah satu daripada empat spesies istimewa Arowana Asia.

Projek pembiakbakaan Arowana dekat Tasik Bukit Merah dalam Daerah Kerian, Perak telah berkembang daripada tidak sampai 10 usahawan yang mengusahakan 300 kolam pada tahun 2000 menjadi 70 perusahaan yang melibatkan 143 hektar tanah dengan 3,808 kolam pada tahun 2010.

Selain Perak, Johor merupakan satu lagi sumber pengeluaran utama bagi Arowana. Nilai Arowana yang dibiakbaka di kedua-dua negeri tersebut bagi tahun 2009 dianggarkan RM48 juta (Perak) dan RM78 juta (Johor).

Hampir 95 peratus daripada hasil pengeluaran dieksport. Pengeluaran Arowana sendiri telah dapat merancakkan industri ikan perhiasan.

Industri ikan perhiasan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 43 peratus sejak tahun 2000-an, mencecah RM783 juta pada tahun 2009 dan dijangka mencapai RM1 bilion pada tahun 2011 dengan Arowana membolot RM250 juta daripada jumlah keseluruhan.

Masa depan industri ikan perhiasan sangat memberangsangkan oleh sebab permintaan dunia terhadap Arowana dijangka meningkat pada kadar 2.5 hingga 4 peratus setahun.

Daripada segi destinasi eksport ikan perhiasan Malaysia, destinasi utama adalah negara-negara EU atau Kesatuan Eropah yang didahului oleh United Kingdom, Sepanyol dan Itali diikuti dengan Amerika Syarikat dan Taiwan manakala China menjadi sebuah destinasi yang semakin penting.

Badan-badan Kerajaan perlu bergerak seiring dengan perkembangan ini agar tidak tercicir merebut peluang menyokong usaha pembiakbakaan Arowana di Malaysia.

Satu langkah yang betul ke arah ini adalah pengenalpastian bidang Pertanian sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Subsektor bagi produk marin dan akuakultur di bawah NKEA merupakan tujuh peratus daripada sumbangan pertanian kepada Pendapatan Negara Kasar Malaysia pada tahun 2009.

Potensi untuk meninggikan lagi angka ini pastinya berpunca daripada tumpuan yang diberi kepada subsektor terpilih yang berpotensi besar untuk menambahkan pendapatan penduduk dan ini termasuk pembiakbakaan Arowana.

Adalah dijangkakan pendekatan yang tuntas akan diguna pakai bermula daripada pembiakbakaan membawa kepada pengedaran melibatkan perkhidmatan sokongan seperti bioteknologi dan logistik pertanian.

Di samping itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga akan beralih daripada pertanian berskala kecil kepada syarikat berskala industri besar untuk mencapai skala ekonomi.

Kita telah pun menyaksikan sesetengah dasar ini membuahkan hasil. Contohnya, kerjasama antara Jabatan Perikanan dengan perkhidmatan kargo Malaysia Airlines telah memudahkan ikan perhiasan dieksport dari Lapangan Terbang Antarabangsa.

Pusat Pengurusan Kesihatan Ikan dan Kuarantin di KLIA bertanggungjawab mengeluarkan sijil kesihatan ikan, sijil asal usul dan permit lain yang dikehendaki untuk mengimport dan mengeksport ikan.

Sebelum ini sebahagian besar eksport ikan perhiasan dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Baru-baru ini Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah memberi kelulusan kepada Arowana Venture Breeding Management Scheme (Skim Pengurusan Pembiakbakaan Teroka Arowana), iaitu skim minat sah-taraf pertama di Malaysia dalam bidang pembiakbakaan Arowana.

Ini adalah satu langkah yang betul ke arah itu. Skim minat tersebut membolehkan pelabur yang ikut serta dalam skim mendapat keuntungan daripada jualan anak-anak ikan Arowana Emas Kacukan Balik (Golden Cross-back Arowana).

Skim seumpama itu akan menarik lebih banyak pelaburan yang diperlukan dalam industri berkenaan.

Selain membina kolam-kolam lebih besar dan menggunakan teknologi yang lebih moden, maka wang yang dilaburkan ke dalam skim itu boleh disalurkan kepada penyelidikan mengenai biologi pembiakbakaan dan tingkah laku Arowana.

Bertujuan menambahbaik kaedah penternakan yang digunakan sekarang serta juga pembiakbakaan pilihan untuk menambahbaik kualiti dan kuantiti generasi Arowana yang akan datang.

Oleh sebab skim ini dikawal selia dengan begitu ketat, maka setiap pihak termasuk pelabur, pembiakbaka dan industri secara keseluruhan akan mendapat faedahnya.

Namun begitu, untuk meningkatkan permintaan terhadap Arowana lebih banyak usaha boleh dilakukan seperti menganjurkan lebih banyak pertunjukan perdagangan, contohnya Akuafair yang disasarkan kepada pembiakbaka, pengeksport dan pengimport ikan perhiasan.

Malaysia perlu meningkatkan usaha kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Institut Penyelidikan Perikanan, Universiti dan sektor swasta untuk meningkatkan kualiti ikan perhiasan termasuk Arowana.

Selain itu lebih banyak kawasan tanah perlu diwartakan untuk usaha pembiakbakaan ikan Arowana lengkap dengan persediaan bekalan air sendiri untuk mengelakkan dari bersaing dengan bekalan air yang sangat diperlukan untuk penanaman padi.

Persaingan adalah sengit. Dari segi eksport, Singapura dan Indonesia mendahului Malaysia. Namun begitu, seperti juga dengan warna sisik ikan Arowana, industri Arowana di Malaysia mempunyai masa depan yang sangat cerah.

Malaysia memiliki kelebihan dari segi air bernilai emas di Bukit Merah dan seharusnya memanfaatkan sumber ini dengan sebaik mungkin.

Wednesday, 26 October 2011

Industri Sarang Burung Walet Jana RM1.5b

Bachok 23 Okt - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berusaha memastikan industri sarang burung walit negara yang menjana perolehan RM1.5 bilion terus berkembang menerusi jalinan perdagangan dengan China selaku pengimport utama.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, delegasi ke China yang mempromosikan industri berkenaan, hampir berjaya menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit seperti isu piawaian dan kualiti sarang burung walit dari negara ini.

"Penyelesaian segera di antara kedua-dua negara amat penting dalam usaha kerajaan menerusi MITI memastikan industri ini yang membabitkan lebih 50,000 pengusaha tidak lumpuh kesan kemerosotan permintaan sarang burung walit hanya disebabkan pihak pembeli mendakwa produk negara mengandungi kadar nitrat yang tinggi.

"Saya sendiri ke China pada Jumaat lalu untuk menyelesaikan isu ini dan ia dijangka dapat diatasi dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Audit Halal Dalaman Hotel, Program Pecah Tanah Taman Tema Mini Sudara Resort dan menutup Kempen Kesedaran Penggiat Pelancongan Kelantan di resort itu, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Tan Sri Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin dan Pengarah Urusan Sudara Beach Resort, Maimun Mohd. Hussain.

Mustapa berkata, satu delegasi Kementerian Kesihatan akan turut ke China dalam tempoh terdekat untuk memberi keyakinan bahawa kandungan nitrat dalam sarang burung walit dari negara ini masih mematuhi piawaian antarabangsa dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.

"Berasaskan kajian terperinci, kadar nitrat yang terkandung dalam sarang burung walit di negara ini adalah di bawah paras 30 peratus sedangkan pedagang negara berkenaan lebih memberi perhatian kepada sarang burung yang tidak bernitrat," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, industri sarang burung walit turut dikembangkan di Kelantan menerusi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) membabitkan 1,500 rumah burung dengan bilangan 2,000 peserta memandangkan perusahaan ini mampu menjana pulangan lumayan.

Menurutnya, kos pengurusan dan pembinaan rumah burung walit mencecah RM200,000 seunit dengan sebahagian besar modalnya adalah menerusi pinjaman mudah institusi kewangan tempatan bagi membolehkan rakyat negeri ini turut menikmati manfaat transformasi ekonomi.

Industri Burung Walet

Burung Walet

Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang melibatkan aktiviti pertanian dijangka mampu mencipta 75,000 peluang pekerjaan sepanjang lima tahun akan datang.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, kementeriannya kini diamanahkan oleh kerajaan untuk melaksanakan 16 buah Projek Permulaan (EPP) membabitkan pelbagai perusahaan pertanian yang merangkumi tiga sub utama iaitu rumpai laut, burung walet dan ikan hiasan.

Menurutnya, melalui pelaksanaan projek tersebut, ia akan mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat dan juga pelatih dalam industri pertanian.

Memperkatakan tentang industri sarang burung walet, Noh melihat ia sebuah industri yang memberi pulangan lumayan.

Ia sesuai diusahakan dan dikendali tanpa memerlukan penjagaan makan dan minum burung walit. Malah, ia juga menawarkan cabang perniagaan keluarga yang boleh diwarisi oleh generasi seterusnya.

Industri sarang burung walet bukan baru di negara ini tetapi tidak ramai pengusahanya, terutama bumiputera.

Semua ini kerana kekurangan maklumat mengenai industri ini. Oleh kerana wujud pendedahan dan digalakkan oleh kerajaan hingga dimasukkan dalam Bajet 2010 dan 2011, industri ini menjadi pilihan ramai termasuk usahawan bumiputera.

Dianggarkan sehingga kini terdapat lebih 10,000 premis membela burung walet di seluruh negara dengan nilai eksportnya lebih RM500 juta.

“Tahun 2011, kita sasarkan mendapat pendapatan RM1 bilion. Kita yakin potensi industri burung walet dapat menyumbang sebanyak RM5 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2015,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Agrobank telah menyediakan peruntukan kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.

Untuk menggalakkan industri ini, kerajaan telah meluluskan RM68 juta wang pinjaman pada tahun 2010.

Untuk pengusaha kecil pula, kerajaan menyediakan bantuan geran. Pada 2010 disediakan peruntukan RM5 juta, dan modal permulaan sebanyak RM10,000 hingga RM30,000 untuk seorang pengusaha.

Oleh kerana ia tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, maka Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dipertanggungjawabkan dalam industri ini. Untuk itu JPV mewujudkan struktur bangunan pemeliharaan burung walet yang standard di samping menjamin pemuliharaan alam sekitar.

JPV juga akan mengetuai pemantauan terhadap pemeliharaan burung berkenaan sejajar garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat.

Sebelum ini beberapa jabatan kerajaan terlibat seperti Perhilitan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, pengusaha yang ingin membina bangunan burung walit di kawasan PBT maka kebenaran perlu diminta daripada pihak berkuasa berkenaan tetapi bagi di luar kawasan PBT, ia perlu mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Tanah. Dengan ada kelulusan ini barulah pengusaha diberi lesen.

Untuk memastikan industri ini berjalan baik, Noh berkata, kerajaan akan menguatkuasakan Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walet Negara yang baru diluluskan.

Garis panduan yang juga disebut 1GP Sarang Burung Walit yang pertama di dunia ini akan membolehkan lebih 50,000 premis rumah burung di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak didaftarkan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan sebelum dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

Antara lain ia bertujuan mengatasi masalah bau, bunyi dan risiko penyakit. Kini sesiapa pun boleh melabur dalam industri ini. Caranya melalui pembelian sebuah rumah burung walet berserta tapak rumah yang dimajukan sebagai Ecopark.

Harga bagi sebuah rumah burung walet yang ditawarkan ialah RM200,000 hingga RM320,000. Rumah burung walet ini turut dilengkapi peralatan audio untuk memanggil burung tersebut.

Hasil sarang burung walet boleh mencecah daripada RM10,000 sehingga RM20,000 sebulan. Secara umumnya, sarang burung walet ini diperbuat daripada air liur haiwan tersebut dan mempunyai kualiti tertentu dengan nilai harga yang berbeza berdasarkan jenis dan warna.

Khasiat sarang burung walet banyak diperkatakan sejak dulu lagi. Ia yang mampu melancarkan fungsi paru-paru, perjalanan darah, menambah daya ketahanan badan, meningkatkan kekuatan jantung dan banyak lagi untuk kesihatan manusia.

Permintaan terhadap sarang burung walet semakin tinggi dan berterusan terutama untuk pasaran luar negara termasuk di Hong Kong, China, Taiwan dan Korea dan harga sarang burung tersebut mencecah RM5,000 sekilogram mengikut kualiti.

Industri sarang burung walet telah mencetuskan satu lagi industri yang berpotensi besar bagi semua usahawan untuk merealisasikan kehidupan mewah selain daripada bidang-bidang perniagaan yang lain.

Mungkin selepas ini lebih banyak kewujudan blok rumah seperti ‘kubu’ tidak lagi mengundang seribu pertanyaan kepada kita.

Wednesday, 21 September 2011

Isu Perikanan

Jabatan Perikanan antara pihak berkuasa yang komited membantu meningkatkan sumber perikanan negara.

Sejauh manakah kita sedar yang perairan negara kini sedang berhadapan dengan isu sumber yang semakin berkurangan?

Banyak faktor menyebabkan berlakunya masalah tersebut. Antaranya eksploitasi sumber yang tidak terkawal, pencemaran, pemusnahan habitat dan masalah perubahan iklim.

Faktor luar kawal seperti perubahan iklim mungkin agak sukar di atasi tetapi faktor yang boleh dikawal seperti eksploitasi sumber tanpa had boleh menyebabkan negara diancam kekurangan sumber protein daripada ikan.

Pada masa sama, masalah kekurangan sumber yang berterusan menyebabkan perairan marin menjadi tidak stabil dan berlaku kepupusan spesies.

Manakala di darat pula berlaku masalah sosio-ekonomi apabila nelayan tidak lagi dapat turun ke laut.

Semua permasalahan tersebut mendatangkan kesan jangka panjang yang bukan kecil. Ia melibatkan masalah sosioekonomi dan jika tidak ditangani, negara akan mengalami kerugian.

Senario inilah yang mendorong kepada tercetusnya kesedaran di kalangan bijak pandai dalam sektor perikanan untuk mencari resolusi bagaimana berdepan dengan cabaran tersebut.

Jumlah mereka bukan sedikit, malah kini mencecah 400 orang yang bakal berhimpun dan memikirkan masalah bersama di rantau ini yang perlu dibendung segera.

Mereka akan berhimpun pada Simposium Perikanan Antarabangsa 2011 yang melibatkan institusi pengajian tinggi rantau ASEAN dengan dianjurkan bersama oleh Universiti Malaysia Terengganu ( UMT) Jabatan Perikanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Simposium akan di adakan pada 3 hingga 5 Oktober 2011 di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu dan dijangka dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan penutupnya bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Pengerusi Jawatankuasa Induk simposium, Prof. Dr. Sakri Ibrahim berkata, antara tujuan simposium tersebut diadakan ialah untuk memastikan kelestarian sumber perikanan di rantau ASEAN serta mencari kaedah terbaik untuk menguruskan sumber perikanan secara mapan.

Selain itu, ia melibatkan keselamatan makanan, pengawasan daripada pencerobohan sempadan perairan dan pemantauan bot-bot yang beroperasi di perairan ASEAN.

''Menerusi simposium ini kita dapat mengumpul data dan maklumat semasa sumber perikanan kita di peringkat serantau dan berbincang mengenai tema-tema yang ditetapkan," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di UMT, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Simposium berkenaan, Prof. Dr. Mohd Azmi Ambak.

Dr. Sakri berkata, simposium tersebut melibatkan beberapa universiti di rantau ASEAN yang mempunyai fakulti perikanan masing-masing dan menjadi rakan akademik kepada UMT menerusi memorandum persefahaman untuk bertukar-tukar maklumat dan data sebelum ini.

Setakat ini, kira-kira 200 kertas kerja sudah diterima dan ia melibatkan subsektor perikanan seperti akuakultur, perikanan dan sains marin, pemasaran ikan dan ekonomi, serta persekitaran dan pengurusan sumber.

Bilangan peserta dijangka mencecah 400 orang dari dalam dan luar negara termasuk United Kingdom (UK) manakala Jabatan Perikanan sebagai sebagai penganjur bersama dan penyumbang dana untuk penganjuran akan diwakili oleh Ketua Pengarahnya Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

Oleh kerana ia merupakan julung kali diadakan, simposium berkenaan juga dijangka membincangkan mengenai kemungkinan diadakan dua tahun sekali dan memilih tuan rumah berikutnya dari negara ASEAN lain.

Sementara itu Dr. Azmi berkata, antara isu penting yang dijangka diberi penekanan ialah masalah keselamatan dan penguatkuasaan.

Ini kerana katanya, jumlah bot menangkap ikan yang terdapat di perairan serantau ialah kira-kira sejuta buah termasuk yang tidak berlesen.

Dengan jumlah yang begitu banyak, ia mengundang isu pencerobohan sempadan kerana masalah kekurangan sumber.

''Kita berkongsi sumber perikanan yang sama kerana ikan sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat,'' ujar Dr Azmi.

Menurut Dr. Sakri pula, dapatan daripada simposium tersebut akan dibawa kepada kerajaan untuk merangka pelan tindakan yang sesuai bergantung kepada sesuatu masalah.

Sebab itu katanya, kehadiran Jabatan Perikanan amat penting sebagai badan penguatkuasa dan regulator industri perikanan selain agensi kerajaan lain seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop), UMT.

Penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi juga menunjukkan komitmennya untuk membantu universiti tempatan menganjurkan program yang memberi faedah bersama.

''Naib Cancelor UMT, Prof. Datuk' Dr. Aziz Deraman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim juga memberi kerjasama dengan memberi sumbangan kewangan serta menawarkan penginapan percuma kepada peserta dari setiap universiti luar," kata Prof. Sakri.

Dr. Sakri juga menarik perhatian berhubung isu penggunaan pukat tunda yang sepatutnya dikawal bagi membendung masalah kekurangan sumber.

Isu kekurangan sumber menjadi masalah yang membelenggu sekian lama disebabkan oleh faktor-faktor yang disenaraikan dan ia disahkan lagi dengan kenaikan harga ikan yang ketara.

''Nelayan tetap turun ke laut tapi pendaratan berkurangan." Penggunaan pukat tunda sepatutnya boleh diharamkan di Zon A dan Zon B bagi mengelakkan kepupusan sumber.

Beberapa negara seperti Hong Kong, Venezuela, Palau, Belize, Japan dan Indonesia telah mengharamkan sama sekali penggunaan pukat tunda dalam perairan mereka.

Malaysia juga patut memikirkan untuk meluaskan zon pengharaman pukat tunda melebihi jarak 5 batu nautika daripada pantai kerana kawasan ini merupakan kawasan pembiakan ikan.

Perluasan zon haram pukat tunda melebihi jarak yang diguna pakai sekarang akan memberi kesan yang sangat positif kepada penambahan sumber.

Selain itu, penguatkuasaan pengharaman penggunaan pukat tunda bersaiz keroncong kurang daripada 38 milimeter (mm) perlu diperketatkan supaya ia tidak menjejaskan anak ikan yang sedang membesar.

Adalah lebih baik sekiranya penggunaan alat yang mesra sumber seperti pukat jerut, pukat hanyut, bubu dan kail-mengail sahaja dibenarkan kerana ia tidak merosakkan sumber.

Ketika ditanya apakah cadangan untuk meningkatkan sumber perikanan laut, beliau berkata, meluaskan zon haram-pukat-tunda kepada 7 batu nautika dari pantai dan memasang tukun tiruan di perairan pantai dengan banyak.

Ini kerana pukat tunda sangat merosakkan sumber dan tukun tiruan menjadi habitat pertumbuhan haiwan marin.

Monday, 5 September 2011

Sejuta Ayam Mentah Sehari

Ruang memproses dan mengasingkan bahagian-bahagian ayam selepas melalui fasa penyembelihan.

Malaysia merupakan antara 15 buah negara yang menjadi destinasi eksport bagi produk ayam segar dan makanan proses sejuk beku berasaskan ayam keluaran syarikat Kumpulan SAHA Farms.

Berpangkalan di Bangkok, Thailand, syarikat berkenaan berupaya menghasilkan satu juta ekor ayam mentah sehari.

Kemampuan itu telah menjadikan produk-produk syarikat tersebut kini berjaya menembusi pasaran banyak negara dunia seperti Kanada, Denmark, Jerman, Dubai, Jepun, Vietnam, Singapura dan China.

Di Malaysia, 95 peratus pengimport utama produk-produk keluaran syarikat gergasi itu adalah Ayamas dan Kumpulan KFC.

Baru-baru ini, sekumpulan petani, penternak dan peladang dari Malaysia yang menyertai program Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) berpeluang melawat kilang pemprosesan tersebut.

Terletak di daerah Petchabun, kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok, kilang itu merupakan sebahagian daripada lokasi persinggahan dalam siri jelajah kembara tani berkenaan.

Ketibaan para peserta di sambut baik oleh Naib Presiden Eksekutif Kumpulan SAHA Farms, Jesse Liu bersama kakitangan syarikat.

Bercerita mengenai perniagaan yang dijalankan, Liu memberitahu, kilang seluas 912 hektar itu memberi tumpuan kepada proses penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah.

"Selain penyembelihan dan pemprosesan, kita juga mempunyai rangkaian perniagaan berkaitan seperti penternakan ayam pedaging, penetasan, pembuatan makanan ayam, pemprosesan produk makanan berasaskan ayam serta aktiviti kajian dan penyelidikan.

''Secara keseluruhannya, ladang-ladang kami mampu mengeluarkan 450 juta biji telur ayam dan 360 juta anak ayam setahun.

''Untuk kilang penyembelihan dan pemprosesan di sini, kita mempunyai tiga buah bilik penyembelihan utama dengan sokongan 500 orang kakitangan bagi mengurus kerja-kerja memproses dan mengasing bahagian-bahagian ayam.

''Ini kerana, setiap negara yang mengambil bekalan ayam dari SAHA Farms mempunyai permintaan tersendiri daripada segi saiz dan jenis potongan. Jadi kita perlu ikut keperluan itu,'' jelasnya kepada para peserta.

Sesuatu yang unik mengenai kilang tersebut, ia memberi penekanan maksimum kepada sistem keselamatan bio sekuriti agar kesemua produk mentah yang dihasilkan bebas daripada bakteria.

Sistem tersebut merangkumi teknologi pengawasan maksimum melibatkan pembahagian zon dan sistem amaran kehadiran virus seperti selesema burung dalam jarak satu kilometer.

Jesse memberitahu, bangunan kilang SAHA Farms juga dilengkapi teknologi penyejukan udara di mana ia merupakan yang pertama dilaksanakan di Asia.

Bangunannya yang berada dalam kawasan geografi berbukit-bukau pula bertujuan menyekat kehadiran bakteria berpenyakit dan burung-burung daripada terbang melintasi kawasan kilang.

''Pelaksanaan semua usaha ini bermatlamat memastikan ayam-ayam mentah dan produk makanan sejuk beku yang dikeluarkan SAHA Farms bermutu tinggi, bersih, sihat dan bebas daripada pencemaran.

''Sama seperti ladang penternakan di Supcharoen dan Patthana, kita turut menggunakan sistem ternakan tertutup berteknologi tinggi lengkap dengan sistem bio sekuriti dan pengudaraan terbaik untuk keselesaan haiwan,'' jelasnya.

Bagi memastikan kesihatan ayam ternakan di SAHA Farms, haiwan itu diberi makanan berasaskan sayur-sayuran lengkap dengan vitamin, protein dan mineral.

Apa yang menarik, kesemua haiwan tersebut juga tidak diberi suntikan hormon atau sebarang ubat antibiotik.

Daripada sudut keperluan air untuk melancarkan proses kilang pula, pihak syarikat melaksana teknologi sistem rawatan air tersendiri.

Tuesday, 19 July 2011

Ternak Ikan Keli

Berkat kegigihan Ramli Diron kini boleh tersenyum kerana projek menternak ikan keli mula menampakkan hasil.

Kira-kira empat tahun lalu, Ramli Diron 50, berbelah bagi untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM60,000 bagi memulakan projek menternak ikan air tawar berdekatan rumahnya di Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor.

Ramli yang merupakan seorang peneroka bimbang sekiranya projek itu tidak menjadi apatah lagi jika mengalami kerugian, ia sudah tentu satu tamparan hebat baginya.

Bagaimanapun, dia nekad untuk memulakan projek tersebut dan enggan menoleh ke belakang lagi kerana merasakan keputusan yang dibuatnya adalah betul.

Berkat kegigihan dan kesabarannya, Ramli kini boleh tersenyum bangga kerana tidak sampai setahun, projek menternak ikan itu mula menampakkan hasil.

"Saya bermula dengan membina dua buah kolam ikan pada 2008 dengan kira-kira 16,000 anak ikan tilapia yang dibeli sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan.

"Syukur, dalam masa tiga bulan, projek menternak ikan ini mula memberikan pulangan dan saya kini mempunyai empat kolam ikan yang semuanya berukuran 60 meter panjang dan 40 meter lebar," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kata Ramli, antara ikan yang diternaknya ialah tilapia, patin, jelawat, ubi, keli dan baung dengan harga yang ditawarkan lebih murah dari pasar-pasar biasa.

Menurutnya, ikan tilapia dijual dengan harga RM7.50 sekilogram(kg), patin (RM8.50/kg), jelawat (RM14/kg), ubi (RM80/kg), keli (RM6/kg) dan baung (RM11), bergantung kepada harga pasaran.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, projek berkenaan pada mulanya hanya sebagai pendapatan tambahan. Tetapi kini permintaan semakin meningkat dengan janaan keuntungan lebih RM2,000 sebulan bergantung kepada permintaan yang kadang-kadang melebihi kapasiti yang mampu dibekalkan.

Sekarang ini katanya, hasil ikannya dihantar ke kedai-kedai dan ditempah untuk majlis perkahwinan di Felda Ulu Belitong dan kawasan sekitarnya.

Berikutan itu, dia bercadang menambah bilangan kolam dalam masa terdekat dan hasilnya dihantar keluar dari Felda itu termasuk ke pasar raya besar.

Ramli yang kini mempunyai tiga pekerja juga bercadang menambah bilangan pekerja apabila kolam baru dibuka di kawasan lain tetapi masih dalam Felda itu.

"Saya kini bertambah yakin untuk meluaskan projek ini lebih-lebih lagi selepas mengikuti kursus perikanan," katanya. Perancangannya ialah untuk membina 10 buah kolam simen yang juga boleh menempatkan anak-anak ikan kerana kolam sedia ada bercampur antara anak ikan dan ikan dewasa.

Tambah Ramli, dia merancang untuk menjadi pembekal benih ikan selepas ini kerana permintaan dan potensinya yang tinggi selain tidak bimbang dengan persaingan.

Friday, 8 July 2011

Ternak Arnab

Mohd. Ismail Padzil menunjukkan pelbagai spesies arnab ternakannya.

Biasanya minat, pengalaman dan galakan keluarga menjadi tunjang atas kejayaan seseorang. Tetapi berlainan pula dengan Pengarah Urusan One Stop Rabbit Farm & Trading (1SRFT), Mohd. Ismail Padzil kerana bosan duduk di rumah selepas bersara daripada perkhidmatan swasta mendorongnya mengintai peluang perniagaan yang ada.

“Sebelum bersara daripada sektor swasta, saya tidak pernah merancang melakukan apa-apa. Tapi disebabkan tidak betah duduk di rumah saya menghadiri pelbagai kursus perniagaan dan penternakan termasuk melawat ladang ikan, ayam, kambing, lembu dan arnab,” katanya semasa ditemui di ladang arnab miliknya di Bukit Badong, Kuala Selangor baru-baru ini.

Memang pada mulanya projek ternakan terutama arnab tidak pernah terlintas di fikirannya. Bagaimanapun projek ternakan yang tidak digemarinya satu ketika dulu, kini menjadi perniagaan yang amat disukai. “Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta, kerana kini saya dapati ternakan arnab mempunyai banyak ruang untuk diisi,” katanya.

Dia kini aktif dalam projek membiakkan pelbagai baka arnab bagi bekalan daging secara komersial selain sebagai haiwan peliharaan. Selepas mengunjungi beberapa ladang ternakan arnab, Mohd. Ismail memulakan projek tersebut dengan membeli 40 ekor arnab pada tahun lalu.

Kini setelah lebih setahun, dia mempunyai lebih 3,000 ekor arnab pelbagai jenis termasuk pedaging dan arnab hiasan di tanah seluas tiga ekar milik keluarganya.

Mohd. Ismail juga rajin menghadiri beberapa kursus dan bengkel memilih arnab. Ini kerana haiwan berkenaan mudah diternak dan tempoh pembiakannya cepat berbanding haiwan lain.

Saiz arnab yang kecil membolehkannya dibiakkan di kawasan sangkar tanpa kawasan yang besar memudahkan pengurusan ternakan. Selain itu beliau dapati tidak ramai penternak menternak arnab secara komersial walaupun permintaan terhadap daging arnab adalah tinggi.

Lima bulan pertama saya di dalam ternakan arnab, saya dapati terdapat permintaan yang tinggi bagi daging arnab. “Tambahan pula tidak ramai penternak arnab komersial terutama golongan Bumiputera menyebabkan saya semakin serius dalam ternakan arnab,” katanya.

Apabila ternakannya mencecah angka 400 ekor dalam tempoh enam bulan pertama, Ismail terus membeli baka baru seperti baka pedaging dan hiasan. Jika pada peringkat permulaan, Ismail hanya mempunyai empat jenis baka arnab tetapi kini belia memiliki lebih 10 baka arnab termasuk pedaging dan hiasan.

Bercerita mengenai cabaran dalam ternakan arnab, Ismail mengakui arnab mudah dijangkiti dengan pelbagai penyakit terutama kudis. Bagi mengatasi masalah berkenaan, Ismail terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membuat sangkar tambahan serta ubat-ubatan. “Arnab sensitif dan senang berjangkit dan terpaksa dikuarantin bagi mengelakkan merebak ke ternakan lain,” katanya.

Ismail berkata selepas enam bulan bergiat dalam ternakan arnab, beliau sudah mula serasi dan berjaya menyelesaikan masalah kesihatan sehingga bilangan arnab mencapai 1,000 ekor. Melihat kepada perkembangan pesat ternakan arnab, Mohd. Ismail mengambil keputusan membangunkan syarikat yang mengeluarkan produk arnab secara komersial.

Ismail mendaftarkan syarikat 1SRFT pada 9 September 2009. Selepas hampir dua tahun terbabit dalam projek penternakan arnab, dia kini mampu tersenyum dengan memiliki 3,00 ekor.

Seekor arnab dijual mengikut kadar harga berbeza bergantung kepada jenis baka arnab. “Biasanya arnab peliharaan dijual pada harga bermula RM100 manakala arnab pedaging pula dijual pada harga RM38 sekilogram,” katanya.

Bagi memberikan yang terbaik bagi pelanggan, Mohd. Ismail mempunyai rumah sembelih halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). “Ini bagi memastikan pelanggan mendapat daging arnab yang disembelih secara halal,” katanya.

Dia yang sentiasa memantau industri arnab mendapati, ternakan berkenaan mempunyai pasaran yang luas. Malah katanya, bukan saja daging arnab mendapat permintaan yang tinggi, malah kulit arnab memikat pembeli dari luar negara.

Buat masa ini saya berharap dapat mengedarkan daging arnab halal bukan saja ke seluruh negara tetapi juga ke luar negara. “Kami memberi lebih perhatian kepada aktiviti penjualan baka kepada penternak dan peminat arnab, menjual daging segar kepada orang tengah dan pembuat sate,” katanya.

Selain menjual arnab daging dan hiasan, Ismail juga membuka zoo mini Taman Arnab Bukit Badong bagi menempatkan arnab serta beberapa haiwan seperti kuda, burung merak, monyet, ayam mutiara dan pelbagai jenis ikan.

“Taman Arnab Bukit Badong biasanya dikunjungi oleh pelawat sekitar Kuala Selangor terutama kanak-kanak sekolah dan tadika. “Di sini mereka boleh bermain dan memberi makan arnab yang dilepaskan di kawasan terbuka,” katanya.

Tidak menoleh ke belakang, Ismail merancang membina restoran berasaskan daging arnab sebagai satu ciri keistimewaan. Bagi merealisasikannya, Ismail telah mula menanam pelbagai jenis sayuran kampung yang biasa digunakan dalam masakan.

Saya mahu mengikis perspektif negatif kebanyakan masyarakat di negara ini yang tidak gemar atau 'geli' hendak memakan daging arnab ini. Sebenarnya mereka tidak tahu yang daging arnab lebih berkhasiat daripada haiwan ternakan lain dengan dipanggang, daging arnab enak dimasak rendang, kari atau gulai," katanya lagi.

Saturday, 25 June 2011

Potensi Ikan Tilapia


Ikan Tilapia matang yang cukup umur akan dituai sebelum dimasukkan ke dalam kolam jualan.

Sebelum terlibat secara serius dalam ternakan ikan air tawar, Abdul Karim Mohd. Yusof, 50, telah mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu dan maklumat bersesuaian.

Antara yang dilakukan seperti membuat kajian dan penyelidikan terhadap potensi perniagaan tersebut selain mengenalpasti permintaan pasaran.Tujuannya adalah untuk memastikan dia benar-benar bersedia memulakan aktiviti ternakan itu sekali gus berhadapan dengan segala cabaran mendatang.

Selepas semuanya berjalan lancar, pada awal tahun lepas, Abdul Karim memulakan perusahaan ternakan ikan air tawar di tanah milik bersama adiknya seluas 2.4 hektar ( enam ekar) di Kampung Padang Melekek Luar, Alor Gajah, Melaka.

Sebagai permulaan, saya dan adik membuka lima buah kolam untuk menternak ikan keli dengan modal RM100 ribu. Peringkat awal penglibatan, saya banyak dibantu oleh Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah daripada segi khidmat nasihat dan juga latihan.

''Selain itu, saya turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melekek Luar serta ahli keluarga yang banyak membantu,'' katanya ketika di temui di kolam ternakannya di Melaka baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, operasi penternakan itu dijalankan di bawah penjenamaan syarikatnya, Mentari Timur Agrofarm yang ditubuhkan pada awal 2010. Selepas melihat perjalanan operasi ternakan keli yang terus stabil dan konsisten, dia terdorong untuk cuba menternak ikan tilapia pula.

Percaturannya berhasil apabila ternakan tilapia yang diusahakan memberi hasil memuaskan serta menerima permintaan tinggi. Abdul Karim kemudiannya mengambil keputusan untuk lebih memberi fokus dan komitmen terhadap penternakan tilapia.

Kini, dia dan adiknya mempunyai sebanyak 19 buah kolam ternakan dengan 15 daripadanya merupakan kolam ternakan tilapia dan selebihnya ikan keli.

Bagaimanapun, dia turut bercadang menambah kapasiti ternakan kelinya pada masa akan datang. Bercerita mengenai perniagaan ternakan ikan air tawarnya, Abdul Karim memberitahu, dia dan adiknya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutama di peringkat awal.

Sebagai contoh, dahulu kami mengambil anak benih ikan daripada pembekal di Ipoh, Perak. Apa yang menjadi masalah, banyak anak benih ini mati disebabkan jarak perjalanan yang agak jauh.

''Mencari penyelesaian masalah itu, kami kemudian membeli pula anak benih daripada pembekal di sekitar kawasan negeri Melaka,'' katanya yang turut mempunyai perniagaan pengurusan sisa pepejal di sekitar Lembah Klang dan juga Alor Setar, Kedah.

Cabaran lainnya, ketika fasa awal aktiviti penternakan, dia berhadapan dengan masalah keadaan tanah dan air yang belum disesuaikan lagi. Namun, untuk fasa kedua, dia dan adiknya semakin mempelajari teknik penternakan yang bersistem dengan penggunaan air yang lebih serasi untuk ternakan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut berhadapan dengan cabaran penyakit serta serangan binatang seperti burung dan biawak. Untuk mengatasi masalah tersebut, dia ada mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah.

''Pegawai Perikanan Daerah sering datang membuat lawatan untuk memberi nasihat dalam pelbagai perkara selain memeriksa sukatan kandungan pH dan kesesuaian air kolam yang diperolehi daripada anak sungai berhampiran,'' jelasnya yang turut dibantu oleh adiknya, Samsuddin Mohd. Yusof bersama beberapa kakitangan lain.

Friday, 24 June 2011

Kontraktor Ternak Udang Harimau


Udang yang dituai terus dimasukkan ke dalam bekas berisi ais bagi mematikannya sekali gus memastikan ia tetap segar biarpun disimpan lama.

Bermula hanya sebagai kontraktor binaan Lim Ah Cham 50-an, kini bangga bergelar usahawan ternakan udang harimau yang berjaya di Sabah. Anak kelahiran Perak itu tidak segan silu berkongsi maklumat dan pengalamannya mengusahakan ternakan udang harimau yang semakin memberangsangkan.

Jika di Semenanjung, jumlah penternak udang harimau kini dilihat semakin berkurangan ekoran pelbagai masalah yang dihadapi berkaitan kawasan yang sesuai. Malah, boleh dikatakan hampir tiada pengusaha yang menternak udang harimau kini berikutan mereka telah beralih kepada ternakan lain yang rata-rata lebih mudah untuk diternak.

Menurut Ah Cham, minat yang mendalam menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad terjun ke bidang akuakultur biar pun tidak memiliki pengalaman yang mendalam sebagai seorang penternak udang. Pekerjaan asal saya adalah kontraktor, jadi saya banyak melakukan kerja-kerja di lapangan sebelum saya temui kawasan ternakan sekarang ini.

"Di Sabah, airnya lebih cantik berbanding kawasan di Semenanjung sekali gus menjadikannya kawasan yang amat sesuai untuk ternakan udang harimau," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan media Jabatan Perikanan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar ke Tawau, Sabah baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Shabki Mahmood.

Ah Chan yang mengusahakan ternakan akuakultur tersebut menerusi syarikat Pegagau Food Products Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 2000 dan secara rasminya pada 21 Jun 2002 dan kini memiliki kilang pemproses udang terbesar di Sabah.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan syariat terbabit hanya memiliki 10 buah kolam sahaja semasa awal penglibatan dalam bidang penternakan udang harimau tersebut. Kini ladang ternakan udangnya berkembang kepada 500 buah kolam di sekitar Semporna, Sabah yang membolehkan hasil dituai saban hari.

Namun, menurutnya, permintaan yang diterima ketika ini melebihi pengeluaran menyebabkannya terpaksa menolak banyak tempahan daripada pembeli dari luar negara. "Sehingga kini kita hanya mampu membekalkan udang ke Korea Selatan, Jepun, Taiwan, China dan Vietnam dengan jumlah eksport antara 20 dan 40 kontena sebulan.

"Permintaan amat tinggi, terutamanya dari luar negara. Apa yang memeningkan saya adalah untuk memenuhi permintaan tersebut," jelas beliau. Biar pun memiliki kawasan ternakan udang seluas 365,153 ekar yang jalankan oleh anak syarikatnya iaitu Pegagau Aquaculture Sdn. Bhd. namun ia masih tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ujarnya, bagi memastikan bekalan sentiasa ada, udang perlu dituai setiap hari. Justeru pihaknya perlu menyusun jadual pelepasan anak benih bagi setiap kolam agar ia menepati masa tuaian dan tempahan yang telah dibuat. "Kita ada banyak kolam, jadi jika mahu setiap hari ada udang yang dituai, kita perlu masukan benih udang berturutan.

"Jika tidak, udang tidak dapat dituai pada masa yang ditetapkan," kata beliau. Selain menternak udang harimau, Lim juga melakukan pembenihan udang agar memudahkan pihaknya memperolehi benih. Jelasnya, benih udang harimau amat sukar untuk diperolehi justeru terpaksa membina sebuah pusat pembenihan sendiri bagi memastikan bekalan anak udang tidak terputus.

Kini, setiap hari antara 16 dan 18 tan udang harimau dituai dan terus dihantar ke kilang pemprosesan sebelum dieksport ke luar negara. Tambahnya lagi, terdapat sesetengah negara seperti Jepun menempah udang tanpa kepala dan kulit mendorongnya membuka kilang pemprosesan lain untuk tujuan tersebut.

Sisa kulit dan kepala udang boleh diproses untuk dijadikan baja. Namun beliau masih belum memiliki kelengkapan untuk tujuan itu. Buat masa kini, sisa udang yang tidak digunakan terpaksa dilupuskan begitu sahaja. Tetapi beliau sedang berusaha untuk menyediakan peralatan memproses sisa buangan udang tersebut agar dapat dimanfaatkan.

Produk udang beliau kebanyakannya akan dibekukan sebelum dieksport keluar negara. Ketika ditanya apakah cabaran terbesar dalam perusahaan menternak udang harimau, beliau menjelaskan, bahawa di dalam perniagaan sentiasa ada untung dan rugi.

Pada tahun lepas beliau telah mengalami kerugian namun pada tahun 2011 perniagaan kembali pulih seperti sedia kala. Selain itu, cabaran penyakit dan haiwan perosak juga turut mengancam ternakan udang harimau.

Malah cerita Lim lagi, jika udang dijangkiti virus ataupun penyakit, ia akan mati dengan pantas. Ternakan beliau pernah mati hanya dalam masa satu malam yang menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit. Namun, atas sikap tidak berputus asa, beliau terus berusaha untuk bangkit dan kembali berjaya sehingga kini.

Bagi sesiapa yang mahu menceburkan diri dalam bidang ternakan udang harimau, nasihat Ah Chan agar mereka banyak belajar dan jangan meninggi diri. Katanya, tanpa pengetahuan yang luas berkenaan udang, pasti penternakan serta perniagaan berkenaan udang harimau tersebut tidak akan berjaya.

Beliau sendiri turut melakukan pelbagai rujukan dan banyak mencari maklumat malah sering menerima nasihat sebelum mula menceburkan diri dalam sektor penternakan udang harimau.