Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Showing posts with label Rileks. Show all posts
Showing posts with label Rileks. Show all posts

Sunday, 11 September 2011

Fahamilah, Ghairah Lelaki Tak Pernah Padam

Lelaki berumur apabila tingkah lakunya suka mengatal akan dikata tua-tua keladi, simpulan bahasa yang maksudnya orang tua berperangai buruk macam orang muda.

Ayat contoh yang selalu digunakan untuk menjelaskan maksud pepatah lama ini ialah, 'Dia tua-tua keladi walaupun sudah tua tetapi masih suka mengganggu perempuan'.

Sebab itu, apabila seseorang itu dikaitkan dengan keladi, yang getahnya akan menyebabkan gatal di kulit merujuk kepada tingkah laku lelaki berumur yang masih suka mengurat perempuan.

Sama juga dengan simpulan bahasa tua-tua terung masam yang maksudnya orang berumur tetapi berperangai muda. Contohnya, walaupun sudah beruban tetapi masih suka ke kelab dangdut, tua-tua terung masamlah tu.

Begitulah kreatifnya orang dahulu menyamakan tingkah laku lelaki dengan sifat-sifat tanaman yang ada di sekeliling mereka.

Hanya ada satu tua yang dianggap positif iaitu tua-tua kelapa yang maksudnya semakin tua semakin baik perangainya.

Tetapi sebenarnya dari aspek ghairah seorang lelaki, ia memang tak pernah padam - dari remaja sehingga usia tua. Samalah macam adat keladi yang terus gatal, ghairah seorang lelaki juga tak pernah padam berapa pun umurnya.

Inilah yang perlu difahami oleh wanita terutama kepada mereka yang suka menyalahguna pepatah lama tua-tua keladi mahupun tua-tua terung masam ini.

Kenapa ghairah lelaki tak pernah padam? Dalam satu kajian terbaru mendapati, perempuan akan mengalami penurunan tahap hormon estrogen selari dengan pertambahan usia.

Sebaliknya, kadar hormon testosteron lelaki tidak mengalami penurunan walaupun usia semakin menua.

Pembentukan otot

Testosteron ialah hormon seks utama lelaki. Ia membantu dalam menghasilkan sperma dan juga merangsangkan perkembangan ciri seks sekunder pada seorang lelaki seperti pembentukan otot yang kasar, misai serta perubahan suara.

Estrogen pula adalah sekelompok senyawa steroid yang berfungsi terutama sebagai hormon seks wanita. Walaupun terdapat dalam tubuh lelaki tetapi kandungannya jauh lebih tinggi dalam tubuh wanita usia subur.

Walaupun tahap testosteron tidak mengalami penurunan ketika lelaki bertambah umurnya tetapi ada syaratnya. Lelaki itu mesti berada dalam keadaan sihat walafiat tanpa memgambil sebarang ubat-ubatan.

Maksudnya, kesihatan adalah syarat utama untuk lelaki mengekalkan keghairahannya. Jika kesihatan terganggu, misalnya gejala sakit jantung, hormon seks lelaki ini juga akan menurun.

Begitu juga dengan obesiti boleh menyebabkan penurunan kadar testosteron lelaki. Dalam kata lain, ghairah seks lelaki tak akan menurun kerana usia tetapi ia berlaku akibat gejala penyakit.

Jadi kepada lelaki, yang mahu kekal ghairah perlulah bijak menjaga kesihatannya. Dan, kepada wanita pula seharusnya memahami keperluan dan kehendak lelaki berumur yang sihat ini.

Umur sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk menikmati aktiviti seks yang nyaman dan memuaskan. Semakin bertambah usia, kehidupan seks seseorang sepatutnya bertambah baik dan menyenangkan.

Cubalah ambil sudut positif pepatah tua-tua keladi dan tua-tua terung masam ini. Yakinilah, lelaki yang sentiasa berfikiran muda akan sentiasa berusaha menjaga kesihatannya.

Siapakah yang untung jika lelaki sentiasa dalam keadaan sihat walaupun umurnya semakin lanjut?

Malangnya ini yang sering diabaikan oleh kebanyakan wanita. Mereka masih terperangkap dengan mitos semakin berusia semakin mengurangi aktiviti seks.

Akhirnya lelaki juga yang disalahkan dan dipandang negatif sebagai tua-tua keladi dan tua-tua terung masam kerana realitinya ghairah lelaki tak pernah menurun.

Jangan rugikan masa tua anda. Mengabaikan seks sama maksudnya mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti malas bersenam, kurang tidur, pemakanan tidak seimbang dan menjalin hubungan terlarang. Jadi, fahamilah wahai kaum wanita.

Thursday, 8 September 2011

Apabila Perempuan Gila Talak


Kebiasaannya kaum perempuan selalu menceritakan bagaimana buruknya kaum lelaki bila gila talak, maksudnya masih tergila-gilakan isteri yang diceraikan.

Tetapi bagaimana pula kalau perempuan yang gila talak? Minggu ini Bro nak ceritakan mengenai seorang kawan Bro yang berkahwin dengan seorang duda terus diganggu oleh bekas isteri lelaki berkenaan.

Pelbagai usaha dilakukan oleh perempuan tersebut termasuklah menuduh kawan Bro tu perampas suami orang sedangkan hakikatnya lelaki itu bertemu dengan kawan Bro selepas beberapa tahun bercerai.

Maknanya, perceraian yang berlaku bukan disebabkan kehadiran kawan Bro tetapi kerana kegagalan perempuan berkenaan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sehingga memungkinkan perceraian berlaku.

Bro bukan hendak memihak kepada kawan Bro tetapi sebagai manusia kita tidak boleh menafikan fakta kerana yang benar itu benar, yang salah itu salah.

Akibat gangguan yang dilakukan oleh bekas isteri tersebut, kawan Bro terpaksa beberapa kali menukar nombor telefonnya, kalau tidak, siang malam SMS yang bukan-bukan diterima olehnya.

Bro hairan kenapa perempuan itu hendak ganggu kawan Bro tersebut sedangkan semasa kahwin dulu tidak mahu layan suami betul-betul, bila dah bercerai mulalah nak jadi ‘hantu raya tak bertuan’ kacau kehidupan orang lain.

Mungkin perempuan itu tidak boleh terima hakikat kerana anak-anaknya menerima dengan baik ibu tiri mereka, apatah lagi kawan Bro layan anak-anak tirinya bagaikan anak kandung sendiri.

Lanjutan itu tidak wujud sekumit pun perasaan benci anak-anak tiri tersebut kepada emak tiri mereka. Sepatutnya perempuan yang berkenaan bersyukur kerana biar pun dia sudah tidak ada jodoh dengan suaminya tetapi anak-anaknya hidup bahagia.

Tetapi malangnya, perempuan berkenaan tidak puas hati dan seperti biasa perasaan benci kaum hawa lebih dahsyat daripada kaum lelaki sebab itulah dia ganggu kehidupan bahagia kawan Bro itu.

Sebab itulah Bro hendaklah nasihat kaum perempuan, apabila bergelar isteri jagalah rumah tangga dengan sebaik-baiknya. Berusahalah menjadi isteri yang terbaik di muka bumi Allah SWT ini.

Jangan bertindak ikut emosi apabila masalah berlaku sebaliknya selesailah dengan cara sebaik-baiknya.

Bro selalu memperingatkan kawan-kawan perempuan Bro supaya dalam apa juga tindakan jangan sampai suami, tunang atau teman lelaki mereka ‘pejam mata’.

Maksud Bro, apabila seseorang lelaki ‘pejam mata’ maka dia boleh melakukan tindakan di luar dugaan termasuklah memutuskan hubungan tanpa mahu fikir apa-apa lagi.

Bro sudah saksikan bagaimana kawan-kawan lelaki Bro yang baik, penyabar dan penyayang akhirnya seolah-olah menjadi ‘lelaki paling kejam’, bukan kerana mereka mahu bersikap demikian tetapi akibat terpaksa.

Segala-galanya kerana pasangannya mereka bertindak di luar batasan yang menguji kesabaran mereka ke tahap maksimum.

Ada kawan Bro yang mempunyai anak lima dah besar-besar belaka pun bercerai, segalanya kerana isteri tidak mahu berubah perangai dan terus melakukan kesalahan yang sama sejak awal perkahwinan lagi.

Kaum wanita kena ingat bahawa perkahwinan bukanlah bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja kepada suami mereka, jangan ingat apabila suami mereka baik dan sabar, lelaki tersebut akan terus bersabar dengan kerenah atau perangai buruk mereka.

Perkara paling bahaya apabila si suami membandingkan perangai isteri dengan wanita-wanita yang dia temui sama ada di pejabat atau ketika melaksanakan urusan kerja.

Apabila perbandingan itu dilakukan ia permulaan kepada keretakan rumah tangga, apatah lagi apabila si suami merasakan di luar lebih damai berbanding balik ke rumah yang bagaikan berada dalam ‘kandang singa betina’.

Justeru kepada perempuan-perempuan yang gila talak atau telah bercerai kerana kesilapan sendiri tak payahlah hendak menganggu gugat kehidupan suami anda, biarlah dia bahagia dengan orang lain.

Kalau rasa bekas suami tidak adil dalam pembahagian nafkah biar mahkamah selesaikan, tak usah buat kerja gila dengan menyerang atau menganggu isteri atau pasangan baru bekas suami.

Sedarlah perempuan sememangnya kelompok yang paling ramai melupakan pepatah, ‘‘menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.”

Sebab itulah, mereka bertindak ikut perasaan seolah-olah merekalah paling hebat termasuk dalam urusan rumahtangga sehinggakan si suami kadang kala tidak dihormati langsung.

Ini belum lagi termasuk perempuan yang gunakan ‘ilmu penunduk’ untuk pastikan si suami ikut cakap mereka dan tidak berani menegur kesalahan mereka.

Namun kaum perempuan kena ingat, sesuatu perbuatan yang salah dan tidak diredai oleh Allah SWT tidak akan kekal lama, apabila tiba masanya mereka pasti akan tewas dengan kehendak-Nya.

UM-Kucing Jantan.

Friday, 2 September 2011

Pulang Beraya, Jangan Beri Isteri Memandu

Selalunya lelaki akan cepat membuat kesimpulan jika ada kenderaan yang dipandu tidak konsisten, perlahan dan suka membrek, pastinya pemandunya adalah perempuan.

Bukan memperlekeh keupayaan wanita apabila berada di atas jalan raya, tapi itulah realitinya apabila kaum Hawa ini diberi kuasa mengawal kenderaan. Lihatlah kenderaan yang calar balar di sana sini tentunya dipandu perempuan.

Dari kaca mata lelaki, perempuan memang kurang cekap memandu. Mereka tidak berani mengambil risiko memandu dalam kelajuan yang konsisten, mengambil selekoh tajam atau memotong dua tiga kenderaan sekaligus.

Pemanduan mereka terlalu berhati-hati sehingga selalu teragak-agak dalam membuat keputusan termasuk membrek sebelum waktunya yang hanya membuatkan pemandu kenderaan di belakang naik angin.

Kebanyakan orang akan mengelak mengekori kenderaan yang dipandu oleh wanita. Contoh lain perbezaan cara pemanduan wanita dan lelaki ialah dalam bab menggerakkan pembersih cermin.

Wanita biasanya akan terus menggerakkan pembersih cermin apabila hujan turun. Lelaki pula melakukannya hanya apabila air hujan terlihat sudah banyak.

Dengan kata lain, otak lelaki akan menunggu seketika sehingga sejumlah air hujan membasahi cermin berbanding wanita yang suka memberi respons terlalu awal.

Begitu juga dalam hal meletak kenderaan. Perempuan selalunya tidak suka meletakkan kenderaan selari atau secara masuk dari belakang. Mereka akan mencari parkir yang lebih mudah iaitu dari sisi.

Berjam-jamlah masa dibazirkan hanya untuk meletakkan kenderaan dengan betul. Dan jika ada pilihan, mereka lebih suka mencari ruang yang luas walaupun ia terletak jauh. Tak mengapalah kalau terpaksa jauh menapak.

Ini dibuktikan dalam satu kajian di Singapura yang mendapati 66 peratus lelaki dapat meletak kenderaan (secara masuk dari belakang) dengan tepat dan 68 peratus melakukannya dalam percubaan pertama.

Berbanding wanita, hanya 19 peratus dapat melakukannya dengan tepat dan 12 peratus mampu melakukannya dalam percubaan pertama.

Tabiat

Mungkin sebab itu, lelaki akan cepat berbangga jika ada wanita yang tidak mempunyai tabiat pemanduan yang sebegitu. Reaksinya selalu ‘eh perempuanlah’ tanda bangga ada wanita mampu memandu setaraf orang lelaki.

Sebab itu juga orang selalu menasihatkan jangan sekali-kali mengajar isteri atau teman wanita memandu. Ia umpama memandu ke mahkamah perceraian!

Lazimnya, secara automatik lelaki akan bertukar menjadi pembebel dengan kecenderungan memberi arahan macam wanita itu tiada deria rasa.

Tekan brek, beri signal, hati-hati kereta di depan, ada orang melintas dan bermacam lagi arahan yang akhirnya akan menyebabkan pertengkaran.

Kalau mahu belajar memandu, belajarnya daripada mereka yang pakar di kelas memandu. Jangan dengan suami atau kekasih. Parah jadinya.

Begitu juga apabila pulang ke kampung menyambut Aidilfitri ini. Bagi memastikan Aidilfitri yang mulia ini disambut dengan penuh keriangan dan kebahagiaan, elakkan isteri daripada memandu. Jangan ambil risiko.

Elok-elok bergembira menyambut hari kemenangan ini di kampung halaman, kita suami isteri bermasam muka pula.

Kepada wanita, walaupun mereka selalu berfikir tujuan memandu ialah tiba dengan selamat ke destinasi tetapi elakkan terlalu kerap mengkritik pemanduan lelaki. Ini kerana dalam bab memandu, lelaki dibuktikan lebih baik berbanding wanita.

Wanita perlu bertenang walaupun dia berfikir cara pemanduan lelaki agak berbahaya. Asalkan lelaki itu tidak mempunyai rekod memandu yang buruk, berilah kebebasan kepada mereka untuk menjalankan peranannya. Biar saja dia memandu.

Pemanduan yang baik ini sebenarnya bergantung kepada kemampuan spatial (membaca ruang) yang berkaitan dengan persekitaran.

Mungkin sudah ditakdirkan dalam hal spatial ini, otak lelaki berfungsi lebih baik. Ia menjadikan lelaki lebih cekap memandu, lelaki lebih cekap meletak kenderaan dan begitu juga lelaki lebih cakap membaca peta dan arah jalan.

Sebab itu jika terdesak mahu isteri memandu, strategi terbaik sebagai penumpang ialah menutup mata dan berhenti membuat komen. Biarkan isteri bebas dengan dunia pemanduan yang lazim dilakukannya.

Begitupun berita baiknya, walaupun tabiat pemanduan wanita dikategorikan teruk tetapi mereka cenderung memandu dengan lebih cermat.

Mereka pasti akan tiba ke destinasi dengan selamat walaupun mungkin mengambil masa lebih lama. Tak apalah sekurang-kurangnya suami dapat berehat supaya tenaganya nanti boleh digunakan untuk membakar lemang dan memasak ketupat.

UM-Kucing Jantan.