Sayur bendi warna merah memang jarang ditemui tetapi penjagaannya lebih kurang sama dengan bendi hijau.
Bendi merah (Abelmoschus esculentus) adalah sayuran jenis buah dalam famili Malvaceae. Varieti ini berasal dari Mesir, seterusnya dikenali di India, Afrika dan Amerika Selatan.
Pokok bendi merah boleh mencecah ketinggian sehingga dua meter. Bendi merah yang bersaiz antara lapan dan 12 sentimeter (sm) sangat sesuai dituai kerana keadaan buah masih lembut, hujungnya mudah dipatah dan belum berpulur.
Walaupun warna merah buah sangat menarik semasa segar, ia akan berubah kepada warna hijau setelah masak.
Bendi merah kaya dengan nutrien antaranya Vitamin A, C, B+, magnesium, fosforus dan kalsium. Ia juga tinggi dengan serat yang baik untuk badan. Warna merah pada bendi disebabkan oleh kehadiran beta karoten.
Keperluan asas tanaman
- Boleh ditanam daripada biji benih.
- Suhu yang sesuai untuk bendi merah adalah antara 24 hingga 32ÂșC.
- Jenis tanah yang sesuai ialah tanah gambut, bris dan tanah mineral.
- pH yang sesuai 5.5 hingga 6.5
- Hujan 300mm/musim.
- Dua kaedah penanaman iaitu tanam terus di atas batas atau disemai dalam talam (tray) semaian.
- Antara dua dan tiga biji benih dimasukkan dalam satu lubang untuk kaedah tanam terus.
- Sebiji benih/satu sel talam bagi kaedah semaian. Selepas 14 hari, anak pokok diubah di atas batas.
- Jarak penanaman yang disyorkan adalah 60 hingga 90 sm antara pokok.
- Selepas dua minggu, kekalkan satu sahaja anak pokok bagi setiap lubang, manakala yang selebihnya dibuang.
Sulam pokok yang mati
- Letak plastik silver shine atau jerami padi pada batas tanaman sebagai sungkupan dan mengekalkan kelembapan tanah.
- Kompos dan baja organik (tahi ayam) boleh digunakan sebagai baja permulaan dan digaul di atas batas.
Pembajaan
- Dilakukan pada minggu ke dua, keempat dan keenam.
- Minggu kedua, gunakan baja organik sebanyak 50 gram setiap pokok.
- Minggu keempat dan keenam, keperluan baja organik ditambah kepada antara 60 dan 100 gram bagi setiap pokok kerana pada masa ini pokok sudah mula berbunga dan akan mengeluarkan hasil.
Pengairan
- Pengairan boleh dilakukan sama ada menyiram secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis.
- Pengairan dilakukan dua kali sehari (pagi dan petang). Jika musim hujan, pengairan tidak diperlukan.
- Perparitan perlu dibuat sekiranya kawasan penanaman mempunyai saliran air bawah tanah yang teruk, kerana bendi tidak sesuai ditanam di kawasan yang lembap dan berair.
- Rumpai adalah masalah biasa yang dihadapi oleh petani yang mengamalkan pertanian secara organik.
- Penggunaan racun rumpai tidak dibenarkan.
- Cara pengawalan rumpai yang paling baik adalah menggunakan mesin pemotong rumput (kawasan luas) atau merumput secara manual bagi kawasan yang lebih kecil bergantung pada kemampuan pengusaha itu sendiri.
- Penggunaan sungkupan daripada jerami padi, daun-daun kering atau plastik hitam juga boleh mengawal rumpai dan sekali gus mengekalkan kelembapan tanah.
Pemangkasan
- Pemangkasan pelepah daun dilakukan setelah buah pada sisi pelepah tersebut dipetik. Biasanya pemangkasan sebegi dilakukan pada bahagian bawah pokok 50sm dari paras batas.
- Pemangkasan dilakukan supaya menggalakkan lebih banyak buah terhasil selain mengurangkan pembaziran penggunaan baja oleh daun yang tua.
- Pemangkasan ini diikuti dengan pembajaan.
Kawalan perosak dan penyakit
- Perosak yang sering menyerang tanaman bendi merah adalah ulat pengorek buah dan juga kepinding buah yang menyerang pada peringkat buah masih muda lagi.
- Penyakit bintik daun yang disebabkan oleh kulat biasanya menyerang daun bendi yang tua.
- Ada beberapa kaedah kawalan yang boleh diamalkan seperti antaranya menggunakan racun organik yang boleh didapati di pasaran, membuat umpan penarik ulat (bancuhan molasses dan sekam padi) dan kaedah manual dengan mengutip satu persatu ulat atau kepinding yang ada pada tanaman.
- Bagi kawalan penyakit bintik daun pula, semburkan 30ml campuran (cili, daun tembakau, bawang merah dan kapur yang telah dikisar halus) dan 15 liter air bersih ke bahagian daun yang telah diserang.
Penuaian
- Hasil boleh mula dituai pada minggu kesembilan dan ia akan berterusan selama sebulan atau lebih bergantung pada penjagaan pokok tersebut.
- Kutipan hasil boleh dilakukan setiap dua hari sekali bagi mengelakkan bendi terlalu tua.
- Potong lebih kurang dua sm pada bahagian pangkal buah.
- Boleh disimpan pada suhu 5 hingga 10 darjah selsius dan tahan selama lebih kurang seminggu.
No comments:
Post a Comment