Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Wednesday, 27 July 2011

Tanam Kangkung

Tanaman kangkung menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh.

Kangkung (Ipomoea aquatic) tergolong dalam famili Convolvulaceae adalah berasal dari India. Di negara Cina, kangkung dikenali sebagai weng cai.

Di negara barat pula, kangkung biasa disebut swamp cabbage, water convolvulus, atau water spinach. Kangkung terbahagi kepada dua jenis iaitu kangkung darat dan kangkung air.

Perbezaannya boleh dilihat pada bentuk daun, batang dan warna bunga. Kangkung darat berdaun tirus, batang berwarna hijau cerah dan bunga putih.

Manakala kangkung air pula berdaun agak lebar, batang lebih besar dan hijau tua, bunga kemerah-merahan. Kangkung darat boleh ditanam di batas seperti sayur lain, tetapi kangkung air hanya hidup di kawasan yang berair.

Terdapat banyak khasiat pada kangkung, antaranya sebagai antitoksik, sedatif, antiradang, deuratik dan boleh menyejukkan badan. Kangkung juga kaya dengan vitamin A, B, C, protein, fosforus dan karoten.

Penanaman

Kangkung boleh dibiakkan dengan dua kaedah iaitu biji benih (kangkung darat) dan vegetatif bagi kangkung air (keratan batang yang berakar).
  • Biji benih kangkung tidak perlu disemai kerana ia besar dan mudah hidup jika ditanam terus di atas batas.
  • Batas disediakan selebar satu meter (m) dan panjang bergantung pada kawasan dan tujuan penanaman. Semasa menggembur tanah, tambah bahan organik sebagai baja permulaan dan menyuburkan tanah.
  • Setiap satu meter lebar , empat alur boleh terhasil kerana jarak yang disyorkan antara alur ialah 20sm.
  • Biji benih ditabur jarang-jarang di dalam alur.
  • Sungkupan seperti jerami padi diletakkan di permukaan batas yang terdedah untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah.
  • Selepas antara tiga dan empat hari, biji benih akan bercambah.
  • Kaedah menanam kangkung air pula, batang kangkung yang telah berakar dipotong sepanjang antara lima dan lapan sentimeter, kemudian cucuk batang kangkung yang berakar secara mencondong di kawasan tanah lembap dan berair.
Pengairan

Kangkung perlu air yang agak banyak. Keadaan tanah yang kering dan cuaca terlalu panas tanpa air boleh membantutkan pertumbuhan kangkung sekali gus menurunkan kualitinya. Siram air setiap dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan.

Pembajaan
  • Semasa menyemai, sedikit baja organik telah digaul semasa penyediaan batas. Kadar itu cukup bagi kangkung yang baru membesar.
  • Baja kedua akan diberi pada minggu kedua selepas menanam. Baja organik jenis butir boleh ditabur di sepanjang setiap alur. Anggaran antara 40 dan 50 gram bagi setiap pokok.
  • Bagi yang suka menggunakan baja organik bentuk cecair, sembur baja sekali setiap minggu di waktu pagi.
Kawalan rumpai
  • Rumpai perlu sentiasa dikawal untuk elak persaingan (makanan dan cahaya) dengan tanaman.
  • Merumpai di atas batas secara manual, potong rumpai di luar batas dengan sabit atau mesin pemotong rumput.
Kawalan serangga perosak
  • Kangkung jarang diserang oleh perosak atau penyakit. Namun sesekali ada juga serangga perosak yang mengganggu pertumbuhannya.
  • Kepinding dan penyakit karat putih biasa ditemui pada pokok kangkung.
  • Membuat penggiliran tanaman boleh membantu mengawal penyakit tersebut.
  • Kepinding pula mudah dikutip dan dibuang.

No comments:

Post a Comment