Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday, 24 July 2011

Minum 8 Gelas Air Sehari

Minumlah air secukupnya setiap hari.
Selama ini doktor atau pakar diet menasihatkan orang ramai meminum sekurang-kurangnya 1.2 liter atau enam hingga lapan gelas air sehari bagi memastikan kesihatan badan terus berkekalan.

Namun baru-baru ini, seorang doktor dari Glasgow, Margaret McCartney menafikan perkara tersebut sebaliknya menganggap ia sebagai tidak masuk akal.

Beliau menjelaskan, wujud kajian yang menunjukkan meminum air ketika tidak dahaga, boleh mengganggu daya penumpuan seseorang. Malah, bahan kimia yang digunakan untuk menyah jangkitan kuman dalam air botol juga tidak elok untuk kesihatan.

Setakat mana rasional pandangan McCartney dan bagaimanapun pakar-pakar lain memberi respons terhadap pandangannya itu. Wartawan unit khas Utusan Malaysia, Azrai Mohammad cuba mencari jawapan kepada polemik yang tercetus bukan saja di kalangan pakar perubatan dan pemakanan malah orang ramai di seluruh dunia.

Kuala Lumpur 19 Julai - Apabila seorang doktor dari Glasgow, Britain, Dr. Margaret McCartney menafikan amalan meminum lapan gelas air sehari baik untuk kesihatan baru-baru ini, ia mencetuskan polemik di kalangan pakar perubatan dan pemakanan serta orang ramai.

Bagi orang ramai yang sudah biasa minum jumlah air sedemikian, ia sudah tentu mengejutkan apabila pandangan tersebut datangnya daripada seorang doktor dan terkandung dalam Jurnal Perubatan Britain.

Namun apabila Utusan Malaysia mengemukakan isu ini kepada pakar-pakar tempatan, ternyata mereka bukan sahaja tidak bersetuju dengan pandangan seorang doktor dari Glasgow, Britain, Dr. Margaret McCartney itu.

Malah, mereka turut menempelak doktor dari Britain itu kerana saranan meminum antara enam hingga lapan gelas air sehari sudah begitu lama diberi kepada orang ramai dan terbukti berkesan.

Pakar-pakar tempatan juga sependapat bahawa lebih ramai individu yang mengalami masalah atau penyakit akibat kekurangan air dalam badan berbanding mendapat penyakit akibat terlebih meminum air.

Pada masa sama, mereka bersetuju bahawa kuantiti air yang diminum oleh seseorang berbeza, bergantung kepada aktiviti, persekitaran dan saiz badan.

Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Norhaizan Mohd. Esa berkata, air perlu diminum secukupnya bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah seperti kelesuan sehingga menyebabkan pitam.

“Bagi individu yang aktif dan terdedah kepada cuaca panas seperti atlet, sudah pasti memerlukan lebih air berbanding mereka yang tidak aktif.

“Jika dilihat, masalah individu yang kekurangan air lebih banyak berbanding masalah mereka yang terlebih meminum air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Norhaizan, saranan itu juga bagi mengingatkan individu yang ada kalanya tidak peka dengan keperluan air dalam badan mereka.

“Jika kita berada di dalam ruang berhawa dingin seperti di pejabat atau penerbangan berjam-jam, kita tidak rasa dahaga tapi sebaliknya badan kita kering dan memerlukan air.

“Begitu juga keadaannya bagi orang tua berusia 60 tahun ke atas, mereka sudah kurang sensitif dengan rasa dahaga,” katanya. Tambah beliau, trend di negara ini, walaupun kebanyakan masyarakat minum dengan kuantiti air yang mencukupi, namun mereka lebih gemar meminum minuman berperisa berbanding air kosong.

“Meminum air berperisa yang manis mendedahkan mereka kepada penyakit seperti diabetis walaupun meminum air secukupnya setiap hari,” katanya.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman pula menjelaskan, tanpa air yang mencukupi, semua proses berkaitan dengan penghantaran zat-zat dan bahan kumuh dalam badan tidak akan berjalan dengan lancar.

“Sebaik-baiknya apabila bangun pagi dan sebelum ke tandas, kita perlu meminum segelas air kosong untuk memudahkan bowel motion (buang najis).

“Badan kita mengandungi 70 peratus air, maka tanpa air yang mencukupi, bahan kumuh di dalam badan tidak berjalan lancar,” katanya. Tambah beliau, orang ramai juga perlu memastikan air yang diminum adalah selamat bagi mengelakkan kandungan bahan asing yang tidak sesuai untuk keperluan tubuh.

Profesor Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Aminah Abdullah pula memberitahu, manusia sangat memerlukan air bagi melarutkan vitamin di dalam badan. “Buah pinggang akan cepat rosak jika tiada bantuan air ketika proses penapisan dan penyingkiran berlaku,” katanya.

Pensyarah Kanan Program Dietetik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sakinah Harith pula berkata, saranan meminum banyak air bertujuan menggantikan air yang keluar daripada badan.

“Manusia lazimnya mengeluarkan air melalui kencing sebanyak 500 mililiter sehari, jadi untuk menggantikannya, kita perlu minum enam ke lapan gelas sehari,” katanya.

Doktor Kesihatan Pekerja Pusrawi, Dr. Rosli Rahim berkata, saranan tersebut telah diterima umum dan ia terbukti berkesan. “Jika hendak dipersoalkan tentang pengambilan berlebihan, bukan saja air tetapi semua perkara jika diambil berlebihan boleh mendatangkan mudarat. “Jadi jumlah enam hingga lapan gelas sehari itu memadai,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perbahasan dikemukakan Dr. Magaret McCartney dari Glasgow itu adalah mengenai kuantum air yang perlu diminum tetapi tidak dapat dipastikan secara saintifik bagi menerima andaian tersebut.

Pendapat yang menolak kebaikan meminum lapan gelas air sehari seperti disiarkan dalam Jurnal Perubatan Britain baru-baru ini disifatkan pandangan peribadi penulisnya semata-mata.

"Walaupun tiada bukti saintifik yang menyokong kebaikan meminum sebanyak itu, tetapi tiada juga bukti saintifik yang menolak kebaikannya.

"Namun secara prinsipnya kita perlu minum air bagi rehidrasi iaitu menggantikan air yang hilang melalui pelbagai proses fisiologi biasa seperti perpeluhan dan pernafasan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Rosnah, seperkara yang menimbulkan persoalan, mengapakah perkara itu perlu dikaitkan dengan strategi pemasaran produk air minuman dalam botol.

"Jika kita aktif atau banyak berpeluh dalam cuaca panas sudah tentulah kena minum air secukupnya. "Oleh sebab itu, kementerian merasakan ia adalah tidak benar dan menolak dakwaan (McCartney) tersebut," katanya.

Tambah beliau, secara asasnya, rasa dahaga dan bibir kering adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan badan manusia memerlukan air. "Badan dan selera kita akan menentukan sama ada kita sudah cukup minum air atau sebaliknya.

"Sudah tentu minum air kosong yang terbaik untuk rehidrasi berbanding air bergula bagi mengelakkan obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kardiovaskular, diabetes serta angin ahmar," katanya.

No comments:

Post a Comment