Kad kredit
Saya mempunyai dua kad kredit dari bank yang sama dan satu daripadanya telah mencapai had maksimum. Baru-baru ini saya terbaca tentang tawaran pemindahan hutang kad kredit dari bank asal kepada bank lain dengan tempoh ansuran tertentu. Nampaknya tawaran yang dibuat menarik tetapi saya musykil sama ada ia adalah langkah terbaik melunaskan hutang sedia ada?
Jawapan.
Pindahan baki (kad kredit) boleh memberikan penjimatan besar kepada anda jika anda memindahkan baki hutang yang tinggi daripada kad kredit lain kepada kad yang mengenakan kadar pembiayaan yang lebih rendah (contohnya, pindahan baki sifar peratus untuk enam bulan).
Memindahkan baki kad kredit anda kepada satu kad kredit (sekiranya kad tersebut mempunyai had kredit yang tinggi) juga mengelakkan kerenah perlu membuat beberapa bayaran kepada kad kredit yang berbeza.
Lebih mudah untuk menjelaskan baki satu kad kredit daripada membayar baki beberapa kad kredit. Jika digunakan dengan lebih bijak, kadar pembiayaan rendah pindahan baki kad kredit menjadi cara sangat bermanfaat untuk mengurangkan bayaran pembiayaan anda.
Namun begitu, jika digunakan dengan kurang bijak, ia mungkin menyebabkan anda menanggung kos pembiayaan dan yuran lebih tinggi.
Seperti biasa, anda perlu meneliti sebarang perjanjian pindahan baki sebelum anda menurunkan tandatangan. Terdapat beberapa perkara yang perlu anda teliti.
Pertama, anda perlu ketahui berapa lama kadar pembiayaan rendah pindahan ini akan dikekalkan. Tawaran terbaik akan mengenakan kadar pembiayaan rendah yang sama atas baki yang dipindahkan sepanjang tempoh baki.
Kad lain mungkin menawarkan kadar rendah untuk tempoh yang ditetapkan dan kemudian bertukar kepada kadar pembiayaan biasa kad kredit jika baki yang dipindahkan tidak dijelaskan sepenuhnya sebelum pertukaran kadar pembiayaan.
Jika anda telah memindahkan satu jumlah yang besar dan tidak menjelaskan baki tersebut tepat pada masanya, anda mungkin terpaksa menanggung bayaran pembiayaan lebih tinggi daripada sebelumnya.
Sama ada pindahan baki kad kredit satu idea yang bijak atau kurang bijak bergantung kepada keadaan anda dan juga tempoh yang diambil untuk melangsaikan jumlah baki yang dipindahkan tersebut.
Hanya perancangan teliti dan kefahaman penuh tentang potensi kebaikan dan keburukan akan membantu anda memanfaatkan sepenuhnya pindahan baki tersebut.
Jika ada mempertimbangkan pindahan baki untuk mendapatkan kadar yang lebih rendah, pastikan anda menilai setiap tawaran untuk memastikan anda meningkatkan peluang untuk menjelaskan semua hutang.
Perlu diingat bahawa anda tidak harus meminjam untuk melunaskan hutang. Pindahan baki hanya berkesan jika ia membantu anda mengurangkan baki hutang anda.
No comments:
Post a Comment