Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Wednesday, 30 November 2011

Arowana Emas

Anak benih ikan Arowana Emas.

Bagan Serai 29 Nov - Pada sekitar tahun 2000, tidak sampai 10 usahawan yang mengusahakan 300 kolam ikan Arowana di Tasik Bukit Merah, di sini.

Bagaimanapun, potensi industri yang mampu menjana keuntungan mencecah jutaan ringgit itu telah menjadikan tasik buatan manusia tertua di Malaysia menggamit 77 lagi perusahaan baru melibatkan 3,808 kolam pada tahun 2010.

Tidak hairanlah, ada pandangan menyebut Tasik Bukit Merah yang berkeluasan mencecah 200 hektar itu dihuni 'emas' yang berenang - merujuk nilai tinggi ikan Arowana yang diternak di situ.

Salah seorang pengusaha, Datuk Mohammd Rodzi Awang Kechek berkata, jika 10 tahun lalu seseorang menyebut industri ikan perhiasan mampu memberi pulangan sehingga jutaan ringgit, orang itu diibaratkan sebagai gila.

''Tapi keadaan sudah berubah, industri ikan perhiasan berkembang begitu pantas ekoran minat serta permintaannya yang meningkat di pasaran dunia," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohammd Rodzi mengakui, ketika dipelawa seorang rakan untuk menceburi bidang itu pada tahun 2009, beliau berasa sangsi dan kurang yakin memandangkan pengetahuannya yang amat cetek mengenai industri tersebut.

Bagaimanapun, katanya, melihat potensi serta kejayaan pengusaha-pengusaha sedia ada, beliau dan rakannya itu akhirnya mengambil keputusan mencuba nasib dengan berbekalkan modal kira-kira RM3 juta.

Selepas dua tahun, pertaruhan besar anak jati Kampung Selama, Perak itu ternyata berbaloi apabila kini mempunyai 99 kolam mengandungi 20,000 ikan Arowana yang dianggarkan bernilai RM44 juta.

''Namun, ia tidak semudah yang disangka, memandangkan pengetahuan yang cetek serta ketidakupayaan bersaing dengan pelabur luar seperti Singapura dan Indonesia, kami mengalami kerugian.

''Tetapi kami tidak patah semangat, untuk berjaya dalam industri ini, mesti ada lebih kesabaran. Syukurlah, kami berjaya bertahan sehingga hari ini," ujarnya.

Mohammd Rodzi memberitahu, antara spesis Arowana yang diternak di kolamnya termasuklah Arowana Emas, Merah, Hijau dan jenis Myanmar Nami.

Bagaimanapun katanya, Arowana Emas adalah komoditi yang terbaik dan unik dan harganya mampu mencecah RM28,000 seekor.

Menurut beliau, apa yang menarik mengenai Tasik Bukit Merah ialah ikan Arowana mudah membiak di kawasan itu berbanding kawasan lain ekoran kesesuaian airnya dengan kadar pH antara 6.8 dan 7.4.

''Ada beberapa pengusaha sebelum ini cuba menternak Arowana di kawasan lain termasuk sekitar Kuala Kangsar, Perak tetapi ia tidak berjaya kerana ikan-ikan tidak dapat bertelur," tambahnya.

Mengenai perancangan masa depan, Mohammd Rodzi berkata, walaupun harga pasaran Arowana sedikit menurun sejak kebelakangan ini, beliau berhasrat menambah jumlah kolam sedia ada kerana yakin industri itu akan terus berkembang pada masa hadapan.

Tuesday, 29 November 2011

Tanam Petola

Petola antara sayuran yang sangat popular dan mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Persediaan tanah

Petola segi akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sm untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 1-1.2 meter, tinggi batas antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi,bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan.

Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.

Jika ditanam terus, gali lubang sedalam satu hingga dua sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.

Kadar biji benih yang diperlukan ialah lima kg/hektar.

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat, tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah.

Pemangkasan

Pemangkasan dilakukan dengan mencantas dahan sisi dan pucuk terutama cabang sisi yang tumbuh 30 sm dari paras tanah.

Ia bagi menggalakkan pertumbuhan batang utama supaya cepat memanjat "trelis "/junjung yang disediakan dan memperbaiki pengudaraan tanaman, mengurangkan pertumbuhan vegetatif dan menggalak pengeluaran buah.

Penyediaan junjung

Petola segi memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.

Sistem trelis boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak 3 meter.

Kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai dibahagian atas dan bahagian bawah antara antara 20 dan 30sm dari permukaan tanah batas.

Tali rafia diikat antara dua dawai halus bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu.

Pengairan

Pokok petola segi memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama .

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.

Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu sama ada secara manual atau secara kimia ia dilakukan dua atau tiga bulan sekali, elakkan semburan pada tanaman.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di satu satu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus
Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Serangga yang biasa menyerang petola segi ialah lalat buah (Dacus sp), serangan pada buah yang menyebabkan buah berlubang dan busuk, buah muda yang diserang menjadi teruk dan berubah bentuk dan terbantut, pastikan buah petola dibungkus dan musnahkan buah yang diserang perosak.

Serangan kumbang daun (Aulacophora sp) pada bahagian akar dan daun oleh kumbang dewasa dan larva kumbang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman, gunakan racun yang sesuai sebagai kawalan.

Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum)  yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat  yang sesuai.

Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati,buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Penuaian

Petola segi boleh dituai antara enam dan tujuh minggu selepas penanaman. Tuaian hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara antara 50 dan 60 hari.

Anggaran hasil ialah 12-20 tan/hektar. Tangkai buah dipotong 1.5 sm dari tangkai buah,ia digred mengikut saiz, kesegaran dan tahap serangan penyakit serta serangga.

Petola segi tahan selama tiga hari tanpa menjejaskan kualiti jika disimpan pada suhu ambian. Pada suhu 15 dan kelembapan kira-kira 95 peratus tahan disimpan selama dua minggu.

Sunday, 27 November 2011

Jaga Pemakanan Ketika Peperiksaan

Menyiapkan diri anak-anak dari segi fizikal dan emosi amat penting terutama ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang sedang berlangsung sekarang.

Namun, aspek pemakanan juga tidak harus dipandang ringan kerana dengan menjaga gaya hidup yang sihat dan makanan seimbang, seseorang pelajar itu boleh menghadapi tekanan semasa peperiksaan.

Jika peperiksaan tersebut diadakan pada sebelah pagi, maka janganlah lupa bersarapan. Sarapan yang diambil hendaklah disertakan makanan yang mengandungi protein dan buah-buahan.

Ambil makanan yang kaya dengan protein seperti telur, kacang dan yogurt semasa sarapan dan makan tengahari.

Begitupun, ambil sarapan yang ringan kerana jika makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang berat, dikhuatiri akan mengantuk.

Sebelum waktu peperiksaan, tidurlah dengan cukup kerana kurang tidur akan menyebabkan kelesuan, lekas marah dan mental yang tidak mantap.

Amalan pemakanan sihat ketika peperiksaan.
  • Untuk mendapatkan tidur yang cukup, ambil makanan karbohidrat (roti, mi atau pasta) dan juga sedikit makanan protein kurang lemak (ikan, ayam atau daging) untuk makan malam.
  • Ketika waktu peperiksaan, cuba kurangkan mengambil bahan yang ada kafein dan coklat.
  • Walaupun ia membantu untuk kecerdasan otak, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan getaran dan debaran, menaikkan tahap kebimbangan dan memberi kesan pada tumpuan.
  • Sebaliknya sediakan snek yang berkhasiat seperti protein bar atau fruit bar di antara waktu rehat.
  • Minum air secukupnya kerana badan akan menjadi lesu sekiranya kekurangan air dan ini boleh menyebabkan hilang fokus semasa peperiksaan.
  • Minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur.
  • Mengambil makanan yang mengandungi vitamin B dan Omega 3 boleh meningkatkan daya ingatan.
  • Kalau ada masa, lakukan senaman. Senaman fizikal meningkatkan pembekalan oksigen dalam darah dan nutrien ke dalam otak supaya ia dapat berfungsi dengan efisien.

Tanam Labu

Labu merupakan antara tanaman yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Labu akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam pada tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Persediaan tanah dan kawasan

Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5-6.5. Jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan.

Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah mineral.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara satu hingga 1.2 meter, tinggi batas di antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat.

Jarak antara batas ialah satu meter. Batas ditambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu dan tiga kg/meter persegi.

Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Penanaman

Labu boleh ditanam terus ke batas dengan meletakkan dua biji benih bagi setiap lubang yang telah dikorek sedalam satu atau dua sm, selepas itu biji benih dikambus nipis dengan tanah halus atau disemai dahulu ditapak semaian sebelum diubah ke ladang.

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar dan tidak sihat.

Tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air. Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah.

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 60 dan 100 sm antara barisan pokok dan digalakkan ditanam dalam satu barisan sahaja.

Keperluan biji benih antara 0.8 dan satu kg/hektar.

Pengairan

Tanaman labu memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil.

Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan. Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

Pengawalan rumpai

Merumput dilakukan secara manual atau menggunakan bahan sungkupan seperti lalang, rumput kering atau agrosheet, sebarang penyemburan rumpai hendaklah dilakukan sebelum pokok labu berbuah.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30g/pokok dan ditabur keliling dengan jarak antara 15 dan 20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 g/pokok diselangkan setiap dua minggu, dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat  yang sesuai.

Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun, terdapat bintik berbentuk bersiku siku, berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun. Lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut.

Pastikan daun yang diserang dimusnahkan. Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Perosak utama ialah kumang labu (Aulacophora sp.) akan menyebabkan pokok layu dan mati dan menyebabkan daun rosak.

Serangan kutu daun (Aphids sp) menyebabkan daun berkerekot dan pokok terbantut. Gunakan racun serangga yang sesuai bagi serangan yang teruk.

Penuaian

Hasil labu lemak boleh dituai selepas antaar 60 dan 80 hari penanaman, kematangan boleh dikesan melalui perubahan warna pada kulit buah dari hijau ke kuning sekurangnya 80 peratus warna kekuningan pada buah.

Tangkai buah dipotong antara lima hingga tujuh sm dari pangkal buah dan dimasukkan ke dalam bakul hasil.

Dalam tempoh 90 hari pertumbuhan labu boleh mengeluarkan lima hingga enam biji labu bagi setiap pokok.

Buah labu yang kotor terkena tanah perlu dilap dengan kain yang lembap bagi menghilangkan kotorannya sebelum dijual.

Berat setiap buah labu antara satu dan dua kg sebiji. Ia boleh disimpan selama satu dan dua bulan pada suhu bilik. Hasil sehektar ialah antara 20 dan 25 tan/hektar.

Karnival Usahawan Desa 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat akar tongkat ali selepas melancarkan KUD 2011 di Putrajaya baru-baru ini.

Karnival Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berlangsung 21 hingga 25 September lalu di Laman 1Malaysia Presint 2, Putrajaya menampilkan banyak kelainan berbanding tahun sebelumnya.

Karnival yang menjadi acara dwitahunan kementerian terbabit bukan sahaja menghimpunkan kira-kira 500 usahawan luar bandar dan produk keluaran mereka tetapi juga akan membantu usahawan mencari pasaran baru hingga ke peringkat global.

Seperti tahun sebelumnya, kementerian terbabit menerima sambutan yang amat menggalakkan mengenai tapak gerai pameran dan jualan produk.

Pengusaha yang dipilih terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan dengan mereka mempamer dan menjual empat kategori utama iaitu makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengupayaan Ekonomi, kementerian berkenaan, Zazali Salehudin berkata, penganjuran KUD 2011 kali ini turut menjemput 13 agensi pemasaran yang terdiri daripada pasar raya besar dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa.

Selain itu, terdapat lima pembekal termasuk teknologi maklumat, bahan mentah, rekaan pembungkusan dan pelabelan.

"Semuanya sebagai langkah membantu usahawan untuk memasuki pasaran yang luas seperti pasar raya besar serta pasaran global," katanya.

Usahawan yang dipilih menyertai KUD merupakan mereka yang mempunyai produk yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Misalnya mereka mempunyai GMP, HACCP dan HALAL yang boleh dipasarkan di luar negara.

"Ini selaras dengan objektif penganjuran KUD 2011, iaitu membuka ruang pasaran produk luar bandar bersama pihak pasar raya besar melalui padanan perniagaan.

KUD 2010 juga membuka ruang untuk pengusaha mengadakan Perkongsian Strategik iaitu melalui kluster usahawan dengan agensi awam yang terlibat dalam R&D dan pemasaran seperti SIRIM, MARDITech dan SMIDEC.

Kami mendapati beberapa usahawan desa memiliki produk yang amat berkualiti.

"Dan jika mereka yang terpilih berjaya memasarkan produk mereka di dalam negara, mereka masih memerlukan bimbingan dan pendedahan untuk membawa produk itu ke pasaran luar negara," jelas Zazali.

Dalam usaha itu, pihak penganjur turut menjemput beberapa institusi kewangan seperti Bank Rakyat, AgroBank dan Bank SME untuk memberi peluang kepada usahawan desa yang ingin menjalin kerjasama bersama institusi kewangan.

Menurut Zazali, pihaknya turut mengharapkan kewujudan jalinan kerjasama dalam lingkungan komuniti usahawan itu sendiri.

Menyedari bahawa para usahawan desa menghadapi masalah untuk terus berdaya maju dan melangkah ke peringkat antarabangsa, Zazali berpendapat perkara ini bukan sahaja berlaku kepada usahawan luar bandar bahkan berlaku juga kepada usahawan di bandar-bandar.

Menurut beliau, antara kekangan yang dihadapi ialah kualiti produk yang masih rendah atau tidak memenuhi kehendak pasaran.

Mereka juga sukar mendapat pengiktirafan GMP, HACCP dan Halal selain lokasi premis yang tidak strategik serta kekurangan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Peluang untuk pengusaha ini sangat besar kerana terdapat banyak pasaran di negara-negara Islam. Sayangnya, pengusaha tidak mempunyai kapasiti untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak.

"Bagaimanapun, saya yakin jika pengusaha desa ini mula menjalin kerjasama dalam kalangan komuniti mereka sendiri, mereka mampu menembusi pasaran eksport," ulas Zazali.

Karnival yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan hanya tertumpu kepada usahawan desa, tetapi juga penyertaan masyarakat.

Menurut Zazali, KUD 2011 memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mencuba sendiri produk terbaik dari setiap daerah di seluruh negara.

Di sinilah orang ramai dapat melihat sendiri kepelbagaian produk tempatan yang berkualiti bukan sahaja dari segi produk tetapi juga pembungkusannya.

Mereka pasti mengagumi keupayaan usahawan desa yang berjaya mencapai satu standard pemasaran yang mengubah rupa produk industri desa.

Sepanjang berlangsung KUD, terdapat pelbagai acara menarik antaranya persembahan artis terkenal seperti Amy Search, Adam AF dan Mas Idayu serta demonstrasi masakan 14 negeri dari seluruh negara.

Selain itu KUD dimeriahkan dengan KUD Idol, forum perdana, pertandingan menjahit baju pengantin, pertandingan memasak ikan air tawar dan pameran kenderaan.

"Ini merupakan peluang keemasan bagi masyarakat melihat dan mendapatkan produk keluaran desa yang berkualiti dari seluruh negara pada harga yang berpatutan. Bahkan ia juga sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan penjanaan pendapatan industri desa," jelas Zazali.