Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Saturday, 28 April 2012

Ternak Puyuh


Keceriaan jelas terpancar pada wajah pasangan yang mengusahakan ternakan puyuh dan ayam kampung di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan.
Raja Ali Raja Hassan bukanlah nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di Kelantan.

Bapa kepada lima orang ini sudah lebih 20 tahun mengusahakan ternakan tersebut dan berhasrat menjadi penternak, pembekal daging puyuh terbesar di negeri Cik Siti Wang Kembang.

Berbeza dengan kebanyakan penternak lain yang mempunyai ladang dan pekerja, Raja Ali, 54, hanya mengusahakan ternakan burung puyuh di reban yang dibina di hadapan rumahnya di Kampung Badak Mati, Bukit Marak, Kota Bharu.

Bermula dengan modal sebanyak RM1,000, Raja Ali dengan dibantu isteri tercinta, Rahimah Awang, 54, kini mampu tersenyum puas.

Apa tidaknya, berkat penat lelahnya selama ini, dia dapat membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada kelima-lima anaknya itu yang kini sudah mempunyai kerjaya sendiri, selain mampu membeli rumah dan kereta.

Semuanya hasil daripada ternakan burung puyuh. Mengimbas kembali penglibatannya dalam industri ternakan puyuh, Raja Ali berkata, ia bermula secara kecil-kecilan pada 1983 sekembalinya dari Kuala Lumpur untuk menjaga orang tuanya sebelum mereka kembali ke rahmatullah.

"Sebelum itu saya bekerja dengan Koperasi Shamelin selama 11 tahun. Sekembalinya saya ke kampung untuk menjaga orang tua, saya memulakan ternakan tersebut secara kecil-kecilan membabitkan 1,000 ekor puyuh dengan pinjaman bank sebanyak RM30,000.

"Pinjaman itu sebenarnya untuk ternakan arnab yang cuba saya usahakan, tetapi tidak berjaya," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menariknya, Raja Ali menjadikan kegagalan tersebut sebagai pembakar semangatnya untuk 'bertukar angin' dengan mencuba ternakan burung puyuh yang pada waktu itu agak asing dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sebagai permulaan jelasnya, beliau telah mengikuti kursus ternakan burung puyuh di Tegayung, Melor. Sangkar arnab yang telah saya bina, saya ubah menjadi reban burung puyuh. Saya kemudiannya membeli sebanyak 1,000 ekor anak burung puyuh.

''Selain itu, saya turut mendapatkan baka burung puyuh dari Johor melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan (sekarang Jabatan Perkhidmatan Veterinar)," jelasnya.

Berkat kegigihan beliau dibantu isteri dan anak-anak yang berperanan sebagai 'pekerja', Raja Ali mampu membesarkan industri ternakan burung puyuhnya dengan waktu puncak beliau pernah menternak sehingga 17,000 ekor burung berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah burung puyuh yang ada dalam rebannya ketika ini hanya sekitar 6,000 hingga 7,000 ekor, namun Raja Ali bersedia mendapatkan baka baru bagi 'menghidupkan' kembali kegemilangan industri yang sudah sebati dengannya itu.

Menurut Raja Ali, dia memperuntukkan sebanyak RM100 sehari bagi membeli makanan burung berkenaan dari sebuah kedai Cina di Bachok.

Jelasnya, sebaik sahaja menetas, burung sudah boleh dijual dengan harga pasaran ketika ini kira-kira 65 sen seekor.

Rata-rata burung puyuh milik Raja Ali akan disembelih sebaik sahaja mencapai usia 23 hari dan ke atas, sementara yang lebih muda dijual kepada pengusaha kedai burung.

"Kebiasaannya, hanya 80 peratus daripada telur puyuh akan menetas, selebihnya akan menjadi telur tembelang," jelasnya lagi yang menjalankan penetasan secara inkubator.

Mengusahakan ternakan burung puyuh bagi Raja Ali tidaklah terlalu rumit dan melecehkan. Namun, setiap usaha itu pasti berdepan dengan suka dan duka. Begitu jugalah yang dilalui oleh Raja Ali sepanjang penglibatannya dalam industri berkenaan.

Antara ancaman yang dihadapi ialah pencuri yang pernah melarikan 300 ekor burung puyuh. Selain itu, ular turut menjadi ancaman utama kepada Raja Ali yang pernah 'melahap' sebanyak 156 ekor burung puyuh mengakibatnya kerugian kira-kira RM1,000.

"Sekarang masih ada ular, begitu juga biawak. Untuk mengatasinya, saya menggunakan racun. Masalah penyakit tak ada, yang penting kita jaga kebersihan cuci reban dan najisnya diambil untuk dijadikan baja," jelasnya.

Cabaran dalam industri tersebut katanya, dari segi persaingan dalam pasaran apabila harga daging burung puyuh yang tidak stabil disebabkan sikap sesetengah pengusaha yang suka menurunkan harga demi mengaut keuntungan segera.

"Dari segi pasaran, tak ada masalah, banyak kedai makan, restoran dan pasar raya yang sedia menerima bekalan, tetapi apa yang saya bimbangkan tidak dapat menampung permintaan semakin tinggi," katanya.

Apa yang pasti kata Raja Ali, perkara tersebut sama sekali tidak mematahkan semangatnya, malah semakin yakin untuk mengembangkan lagi industri ternakan burung puyuhnya yang kini menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk daripada pusat pengajian tinggi tempatan.

''Jangan mudah mengaku kalah, sentiasa berdoa dan bertawakal, insya-Allah usaha kita sentiasa berjaya," katanya mengenai 'petua' kejayaan beliau dalam industri berkenaan selama ini.

Thursday, 12 April 2012

Temuduga Terbuka untuk Operator Pengeluaran


Temuduga terbuka untuk Operator Pengeluaran.

Tarikh temuduga : 13hb April 2012
Masa : 9.00pg ~ 5.00ptg

Tempat temuduga : Kilang Infineon Technologies, Batu Berendam, Melaka.

Tuesday, 10 April 2012

Kajian Artemia Bantu Sektor Akuakultur


Kajian antibiotik terhadap artemia penting bagi menentukan ketahanan ikan dalam air.

Bidang akuakultur di negara ini berkembang pesat sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk yang memerlukan sumber makanan daripada sektor perikanan.

Bagaimanapun, sumber perikanan marin yang kita miliki semakin berkurangan dek kerakusan mereka yang tidak bertanggungjawab yang menangkap ikan tanpa kawalan.

Dikhabarkan bahawa masalah tersebut berlaku di Terengganu yang mana nelayan telah mengalami kerugian besar kerana sumber perikanan di perairan Pantai Timur itu semakin susut.

Masalah tersebut menyebabkan harga ikan melambung dan mendorong pelbagai pihak termasuk kerajaan mahupun pihak swasta bertungkus-lumus mencari jalan bagi memastikan bekalan sumber perikanan kita ada dan cukup untuk menampung keperluan penduduk.

Oleh sebab itu, program dan aktiviti akuakultur semakin mendapat perhatian. Akuakultur merupakan proses menternak spesies hidupan mahupun tumbuhan air tawar, air masin dan air payau dalam persekitaran yang terkawal.

Ia juga dilihat sebagai satu proses dan gerak kerja yang perlukan pemantauan berterusan bagi meningkatkan mutu pengeluaran produk akuakultur.

Unit makanan hidup merupakan unit yang terpenting dalam pengurusan akuakultur. Antara zooplankton yang menjadi jantung kepada unit makanan hidup adalah artemia.

Artemia merupakan makanan hidup yang diberikan kepada anak ikan bermula pada umur tiga hari sehingga 25 hari.

Namun, masalah besar yang dihadapi oleh penternak kini adalah pengeluaran kos yang tinggi terhadap makanan ikan dan jangkitan penyakit pada anak ikan yang mengundang kerugian besar kepada mereka.

Bagi memastikan sektor akuakultur bertahan lama dan makin berkembang, penyelidikan terhadap makanan hidup ikan wajar dilakukan, terutamanya artemia.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai tasik garam iaitu habitat semula jadi artemia, namun ia telah dibuktikan di jiran terdekat Malaysia, Thailand mampu untuk membiakkan artemia.

Di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), penyelidikan mengenai artemia giat dijalankan iaitu untuk membiakkan artemia menggunakan bahan sisa pertanian seperti biji getah, biji durian, biji nangka, kulit pisang dan sekam padi ( sebagai kawalan).

Artemia diternak dan di beri makan empat jenis makanan iaitu sisa bahan pertanian yang berbeza untuk melihat potensi makanan tersebut dalam membiakkan zooplankton tersebut.

Setakat ini, sekam padi berjaya membiakkan artemia.

Selain itu, kesemua jenis makanan tersebut di analisis protein termasuk jua artemia untuk mendapatkan data yang lengkap mengenai kandungan protein yang terdapat dalam kesemua makanan dan spesies berkenaan tersebut.

Objektif kajian adalah untuk melihat potensi Malaysia dalam menghasilkan artemia sendiri kerana spesies yang diimport membebankan dan menelan kos yang tinggi.

Kajian yang dijalankan ini juga memfokuskan kepada bakteria yang hadir dalam tangki penternakan artemia dan ujian pola ketahanan antibiotik dan logam berat turut dikaji.

Sisa bahan pertanian yang digunakan berpotensi tinggi dalam membiakkan artemia kerana ia mengandungi protein yang tinggi terutamanya biji nangka dan biji getah.

Protein yang tinggi dalam makanan artemia adalah sangat bagus untuk perkembangan anak-anak ikan. Selain itu, ia mampu menjadikan anak-anak ikan tersebut rintang kepada penyakit.

Antara bakteria yang berjaya dikesan adalah patogenik bakteria yang terdiri daripada E. coli, Salmonella sp., Aeromonas sp., Vibrio alginolyticus, Vibrio parahaemolyticus, Pseudomonas sp., dan Flavobacter sp.

Menurut kajian yang telah dijalankan di Belgium, bakteria Pseudomonas sp. Hadir di dalam tangki ternakan melalui udara dan pam udara yang terdapat di dalam tangki.

Antibiotik

Antibiotik merupakan elemen penting dalam akuakultur. Hal ini kerana, ikan mahupun semua spesies mudah terdedah kepada jangkitan penyakit.

Antara antibiotik yang biasa digunakan dalam akuakultur adalah kanamycin. Kesemua bakteria di uji ketahanan terhadap 16 antibiotik yang terpilih.

Kemudian sebanyak 41 tanaman ekstrak di uji bagi menggantikan antibiotik yang juga dikenali sebagai antibiogram.

Artemia dan cabarannya

Sebagai zooplankton yang hidup di kawasan yang bersaliniti yang tinggi, ia dilihat memberi cabaran yang besar kepada Malaysia untuk membiaknya.

Malaysia tidak mempunyai tasik garam yang menjadi habitat semulajadi artemia. Namun, ia bukan penghalang kepada kita untuk menghasilkannya.

Dengan kesungguhan para saintis muda mahupun yang berpengalaman dari UMK, diharap projek ini berjaya seperti mana Thailand yang juga telah membuktikan mereka mampu untuk menghasilkan artemia.

Sokongan yang berterusan daripada kerajaan mahupun pihak yang berwajib, diharap dapat memberikan impak yang sangat besar kepada industri akuakultur di Malaysia ini.

Thursday, 22 March 2012

Tanam Kundur

Selain digunakan untuk membuat minuman kundur juga dimanfaatkan bagi tujuan perubatan.

Kundur daripada keluarga Cucurbitaceae yang turut dikenali sebagai beligu, tung kua, petha atau dalam bahasa Inggeris di gelar winter melon, wax gourd atau ash gourd.

Pada masa kini banyak diusahakan di Asia Selatan dan Asia Barat. Sehingga kini, asal-usul sebenar kundur tidak dapat dipastikan kerana ia juga merupakan tanaman terpenting dan utama di China, India, Filipina dan sebahagian dari Asia.

Di Malaysia, terdapat dua jenis buah kundur iaitu kundur Cina dan Kundur Jawa. Beza di antara keduanya adalah berdasarkan keadaan kulit luar iaitu kundur Cina mempunyai kulit luar yang licin, manakala kundur Jawa mempunyai kulit yang berbulu.

Keistimewaan dan khasiat Kundur

Kundur atau 'dong gua' dari sudut perubatan tradisional masyarakat Cina berupaya menghilangkan dahaga dan mampu menyejukkan badan untuk pesakit yang menghidap demam.

Selain itu, di negara China, biji dan minyak biji kundur banyak digunakan sebagai ubat untuk membuang cacing.

Biji kundur digoreng dan dimakan oleh orang Cina disebabkan nilai perubatan yang baik dan bukannya sebagai makanan.

Lazimnya, mereka menggunakan kundur untuk mengurangkan rasa sakit dan mengelakkan kelaparan serta memanjangkan hayat.

Malah, biji kundur digunakan bagi merawat masalah kulit dan abu bijinya pula dibakar sebagai penawar untuk penyakit gonorea.

Di Filipina, sirap dari buah kundur segar dijadikan sebagai ubat bagi mengatasi masalah pernafasan dan paru-paru.

Di Korea, kundur banyak digunakan untuk mengatasi masalah diabetes atau kencing manis dan diuresis.

Di India pula, kundur telah digunakan sebagai agen terapeutik untuk rawatan kencing manis, penyakit dieresis, jangkitan kencing, dan masalah keradangan kronik.

Jus dan ekstrak buah kundur sesuai sebagai penawar antiulser, antidepressant dan diuretik, serta memberi perlindungan terhadap penyakit histamine-induced bronchospasm.

Masyarakat Melayu menggemari buah kundur bagi menghilangkan dahaga dan sebagai perangsang membuang air kecil.

Air buah kundur itu juga boleh digunakan sebagai pencuci mata yang merah dan bengkak. Daun dan buah kundur dapat digunakan untuk mengurangkan panas dengan cara memupuk di dahi orang yang demam panas atau yang mengalami sawan.

Manakala, orang Cina pula gemar menggunakan buah kundur untuk membuat acar manisan dan mengukus buah kundur bersama daging, udang, dan lain-lain.

Pucuk dan daun muda kundur boleh dimakan sebagai sayuran segar. Biji kundur dikeringkan dan diproses untuk dijadikan makanan ringan dipanggil kuaci.

Kulit, isi buah, jus dan biji kundur digunakan sebagai penawar demam panas dan dapat menyejukkan badan, buasir, lebam atau bengkak, sakit usus, sakit buah pinggang, baik untuk sistem penghadaman serta mereka yang menghidapi sakit kencing manis dan lemah limpa.

Abu biji kundur digunakan untuk merawat penyakit gonorea manakala abu kulit buahnya dapat mengubat luka. Pada masa dahulu, lapisan luar kulit buah kundur digunakan untuk membuat lilin.

Sifat tanaman

Pokok kundur mempunyai daun lebar berwarna hijau dan mampu mencapai ketinggian sehingga 15 hingga 20 sentimeter (sm).

Bunga kundur pula berwarna kuning dan mampu menarik serangga untuk aktiviti pendebungaan seperti lebah, rama-rama, lalat dan sebagainya.

Buah kundur mampu membesar dan mencapai berat sehingga 10-15 kilogram (kg) sebiji. Terdapat satu lapisan putih atau lilin di bahagian luar kulit buah kundur dan sebagai menunjukkan bahawa buah tersebut telah mencapai tempoh matang dan boleh dituai.

Tanaman kundur tidak mempunyai masalah penyakit yang serius dan kurang di serang serangga. Buah jenis labu ini mengandungi 97 peratus air, sedikit garam galian serta vitamin, kanji, alkaloid, asid resin, protein dan gula.

Buah kundur adalah labu yang tahan lama dan boleh disimpan selama setahun selepas dituai dengan kualiti tetap segar.

Kaedah penanaman

Pokok kundur mudah ditanam jika dibandingkan dengan jenis cucurbit lain, sama ada ditanam secara melata di atas tanah atau menjalar pada tiang sokongan.

Di rantau ini, pokok kundur ditanam dengan biji dan mengeluarkan hasil dalam empat hingga lima bulan. Kaedah penanaman berbeza mengikut keadaan tanah dan iklim persekitaran di sesuatu kawasan. Berikut adalah kaedah penanaman yang biasanya digunapakai :
  • Bahan tanaman - Biji.
  • Jarak tanaman - 100 sm x 100 sm.
  • Keperluan benih - 600 gram/ekar.
  • Kaedah semaian - Dulang semaian atau tanam terus.
  • Baja - Baja organik (50g/pokok) dan semburan foliar (daun) organik.
  • Pengairan - Siram dua kali sehari. Elakkan dari banjir serta keadaan pokok dan tanah yang terlalu lembap kerana boleh memusnahkan pokok.
  • Kesesuaian tanah - Sesuai di kebanyakan jenis tanah yang mempunyai pH kuran daripada lima. Jenis tanah berpasir, menerima cahaya matahari 100 peratus serta mempunyai saliran yang baik.
  • Sungkupan - Menggunakan sungkupan seperti plastik silvershine atau jerami untuk mengekalkan kelembapan pada tanah.
  • Kesesuaian iklim - Tropika.
  • Mula memetik hasil - 14 minggu selepas ditanam.
  • Hasil purata antara 20 dan 30 tan seekar.

Thursday, 15 March 2012

LGM Pacu Penyelidikan Getah

Klon RRIM 3001 berumur sepuluh tahun di percubaan klon skala besar di LGM.

Industri getah sudah lama bertapak di negara ini dan tahun ini merupakan permulaan program penanaman semula dan penanaman baru getah di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara NKEA) Getah.

Menerusi program tersebut, kerajaan telah mensasarkan penanaman semula 40,000 hektar pokok getah tua setahun secara berterusan manakala penanaman baru sebanyak 30,000 hektar setahun untuk selama lima tahun.

NKEA menyasarkan kawasan getah seluas kira-kira 1.2 juta hektar dan Hasil Purata Kebangsaan sebanyak 2,000kg/hektar/tahun menjelang tahun 2020.

Jika sasaran tersebut dicapai, Malaysia dijangka dapat menghasilkan dua juta tan lateks menjelang 2020 dan mencukupi bagi menyokong aktiviti-aktiviti hiliran industri getah.

Dengan pengeluaran lateks dan penglibatan dalam industri hiliran, industri getah dijangka menyumbang RM52.9 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada tahun 2020.

Tiga agensi yang telah dilantik untuk melaksanakan program-program penanaman semula dan penanaman baru ialah RISDA di Semenanjung Malaysia, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan RISDA di Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan RISDA di Sarawak.

Pekebun kecil yang berminat untuk menjalankan penanaman semula atau penanaman baru getah dinasihatkan untuk melawat laman web ketiga-tiga agensi ini untuk maklumat lanjut atau menghubungi pegawai yang berkenaan.

Isu yang timbul apabila kita membincangkan mengenai penanaman semula atau tanaman baru getah adalah bahan tanaman.

Apa itu klon 1Malaysia?

Klon RRIM 3001 yang juga dikenali sebagai klon 1Malaysia telah dihasilkan oleh LGM pada tahun 1976 melalui pendebungaan tangan antara klon IAN 873 sebagai induk betina dan klon PB 235 sebagai induk jantan.

Salah satu daripada benih yang dihasilkan melalui pendebungaan ini didapati memberikan hasil lateks yang tinggi. Benih ini dinamakan KT39/35.

KT adalah singkatan untuk Kota Tinggi di Johor yang mana prestasi anak benih telah dikaji melalui penyelidikan yang teliti.

Apabila prestasi hasil benih didapati tinggi dan berpotensi sebagai klon lateks balak, ujian lanjut dijalankan melalui percubaan klon skala kecil.

Ia kemudiannya diuji dalam ujian klon berskala besar di pelbagai lokasi untuk memastikan klon ini stabil dari segi hasil dan fleksibel untuk menyesuaikan diri apabila terdedah kepada persekitaran yang pelbagai.

Keputusan yang menggalakkan ditunjukkan dalam Jadual 1 dibawah:

Keputusan purata hasil di atas adalah berdasarkan percubaan klon secara besar-besaran yang dijalankan di Kota Tinggi, Johor.

Klon berkenaan tidak menunjukkan prestasi yang baik apabila ditanam di kawasan berbukit atau tanah laterit mengikut pemerhatian LGM.

Klon dihasilkan melalui cantuman tunas daripada pokok RRIM 3001 ke pokok penanti yang diperoleh daripada biji getah.

Biji getah dari RRIM 600 tidak sesuai digunakan sebagai pokok penanti kerana hasil tanaman berkemungkinan tinggi untuk mendapat penyakit kuning.

Biji getah yang dipilih untuk pengeluaran pokok penanti adalah dari klon GT1, PB 5/ 51, RRIM 623 atau dari pokok getah klon lateks balak dari siri RRIM 2000 atau RRIM 900 yang ditanam sebagai poliklon (dua klon atau lebih ditanam dalam blok tertentu di dalam satu kawasan). Ia juga mungkin monoklon (hanya satu klon yang ditanam di dalam blok tertentu di dalam satu kawasan).

Sehingga kini, LGM belum mengesahkan lagi sama ada biji getah dari RRIM 3001 sesuai untuk digunakan sebagai pokok penanti.

Jika benih dari RRIM 3001 dibenarkan tumbuh, adakah pokok-pokok ini akan menjadi RRIM 3001?

Jawapannya TIDAK. Ini adalah kerana biji getah dari RRIM 3001 mempunyai rangka genetik yang berbeza berbanding pokok induk RRIM 3001 dan ini akan membuatnya berbeza di antara satu sama lain.

Ia juga bermakna bahawa semua ciri-ciri yang dikehendaki dari pokok asal RRIM 3001 tidak akan didapati di semua biji getah yang dihasilkan oleh pokok RRIM 3001 ini.

Analogi ini adalah sama seperti perbezaan di antara adik-beradik daripada ibu bapa yang sama. Dengan itu, biji getah dari pokok-pokok getah RRIM 3001 bukan klon RRIM 3001.

Selalunya penggunaan biji sebagai bahan tanaman akan membawa kepada masalah ketidaksamaan seperti tinggi pokok, hasil dan bentuk batang yang berbeza.

Ini bermakna pokok-pokok tidak akan seragam dan berkemungkinan menghasilkan lateks yang rendah berbanding pokok induk.

Cara yang betul untuk menghasilkan klon RRIM 3001 adalah dengan mengguna biji getah dari GT1, PB 5 / 51 dan RRIM 623, tanam hingga menjadi pokok penanti dan guna mata tunas dari klon RRIM 3001 yang sah.

Selepas 21 hari pokok penanti dicantas pada kira-kira lima sentimeter dari penghujung tunas. Ini akan mencetuskan pertumbuhan tunas RRIM 3001 dari mata tunas yang telah dicantum tadi.

LGM mengesyorkan bahawa scion (anak pokok dari mata tunas) digalakkan tumbuh sehingga dua pusaran daun keras sebelum ia ditanam di lapangan.

Disyorkan juga pokok penanti, scion dan tanaman dua pusaran tadi ditanam dalam polibeg bersaiz 44 sm x 39 sm (17 inci x 15 inci).