Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Thursday, 15 March 2012

Laser Metric Ukur Diameter Pokok Getah

Chan Xin Zhi (dua dari kanan) sedang melakukan demonstrasi mengukur diameter pokok getah menggunakan Laser Metric kepada pegawai-pegawai RISDA Plantation Sdn. Bhd. di Alor Gajah baru-baru ini.

Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menghasilkan sebuah produk inovasi yang berupaya mengukur diameter pokok dengan pantas dan berketepatan tinggi.

Produk yang dikenali sebagai Laser Metric dihasilkan oleh Dr. Muhammad Fahmi Miskon, Muhammad Herman Jamaluddin, Mohd Rusdy Yaacob dan Chan Xin Zhi dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) mendapat perhatian daripada pihak RISDA Plantation Sdn. Bhd. dalam satu sesi demonstrasi yang diadakan di Alor Gajah baru-baru ini.

Dr. Muhammad Fahmi selaku ketua penyelidik berkata, idea mencipta produk tersebut tercetus selepas mengkaji kesukaran yang dihadapi oleh RISDA dalam melakukan pemantauan pokok getah dengan mengukur diameter pokok secara manual yang memakan masa.

Melalui inovasi itu, diameter pokok getah dapat ditentukan dengan mudah menggunakan sejenis alat mudah alih yang memancarkan laser ke batang pokok dan seterusnya memaparkan bacaan di komputer riba yang disambungkan ke alat tersebut.

Katanya lagi, pembangunan Laser Metric dimulakan pada April 2010 dan sejak itu pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan hinggalah ke hari ini.

Hasil ujian mendapati bacaan yang didapati sangat konsisten dan berpotensi untuk digunakan secara meluas. Jelas Dr. Muhammad Fahmi, Laser Metric boleh mengurangkan faktor kesilapan manusia yang mengambil ukuran diameter pokok getah secara manual.

''Ini sekali gus membekalkan data dalam bentuk digital yang sedia untuk dianalisis mengikut keperluan pemantauan," kata beliau.

Sementara itu, wakil RISDA Plantation Sdn. Bhd. yang menyaksikan demonstrasi itu mendapati bahawa Laser Metric amat sesuai digunakan dalam industri penanaman getah kerana ia menjimatkan masa dan mudah dikendalikan.

Selain itu, produk inovasi berkenaan turut menjimatkan kos dalam penggunaan tenaga kerja yang diupah mengukur pokok secara manual sekali gus bakal meningkatkan mutu pengurusan ladang getah di negara ini.

Kumpulan penyelidik itu berharap hasil inovasi ini dapat dikongsi bersama agensi seperti RISDA selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi tinggi dalam bidang pertanian.

Hasil usaha Dr. Muhammad Fahmi dan kumpulannya tidak terhenti di situ sahaja. Kini mereka sedang giat menambah baik peralatan sedia ada dan menyusun jadual menyertai pertandingan inovasi dalam dan luar negara di samping mengintai peluang untuk mengkomersialkan produk itu.

MARDI terajui penanaman Sayuran Lestari

Tanaman sayur dengan teknologi tanpa tanah kelihatan subur.

Cuba bayangkan anda memetik sendiri sayur yang ditanam di sekeliling rumah. Untuk mencari pendapatan lebih, sayur itu dijual kepada jiran di kawasan anda dan mereka juga boleh memetiknya sendiri.

Senario sedemikian biasa berlaku di kampung-kampung. Tetapi ia biasanya diberikan percuma kerana menjadi adat resam, memberi sesuatu kepada tetangga merupakan satu terjemahan berbudi bahasa.

Orang akan bertanya, bagaimanakah senario tersebut boleh berlaku di kawasan perumahan bandar?

Tidak mungkin terdapat kawasan perumahan yang menanam sayur-sayuran kerana kawasan yang begitu terhad.

Namun bagi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), teknologi boleh memberi jawapan bagaimana untuk merealisasikan impian tersebut.

Hanya yang penting dan menjadi persoalan ialah sejauh mana teknologi tersebut mampu dikuasai oleh mereka di kawasan bandar yang berhasrat mahu menanam sayuran di kawasan rumah.

MARDI berpegang kepada kata kunci Pemimpin Agroteknologi dan Bridging knowledge and communities dan inilah yang menggerakkan inisiatif agensi tersebut untuk membawa teknologi pertanian kepada masyarakat.

Agensi tersebut memiliki ratusan teknologi mencakupi pelbagai bidang pertanian dan ia sewajarnya dinikmati oleh masyarakat.

Sebagai contoh mudah, Stesen Penyelidikan MARDI di Cameron Highlands mewujudkan satu Taman Agroteknologi yang menghimpunkan pelbagai teknologi penanaman sayur tanpa tanah yang realistik dan mudah dilaksanakan.

Penggunaan teknologi tersebut mungkin menimbulkan persepsi bahawa ia memerlukan kos tinggi, renyah dan perlu mempelajari kemahiran teknikal yang sukar.

Bagi Pegawai Penyelidik Agronomi MARDI Cameron Highlands, Mohammad Abid Ahmad, ramai yang mungkin memandang sinis teknologi tersebut apatah lagi ia telah diperkenalkan di negara ini beberapa dekad yang lepas.

''Ada yang mungkin berkata, sistem tersebut sudah lama ,tak perlulah kita sebutkan lagi dan sudah mencubanya tetapi susah (untuk dilaksanakan)," ujarnya.

Mohammad Abid berkata, segelintir mereka yang beranggapan demikian mungkin menyalahkan teknologi tersebut kerana gagal memanfaatkannya sedangkan mereka sewajarnya menguasainya terlebih dahulu.

Sebab itu kata beliau, MARDI berusaha untuk mengadaptasi teknologi sedia ada supaya mudah difahami dan dikuasai. Pada masa yang sama, pihaknya juga cuba mengubahsuai daripada segi penggunaan dan bahan yang digunakan supaya murah dan mudah diperoleh.

Beliau memberi contoh , antara cara mudah dalam teknologi hidroponik yang menggunakan platform high impact polikarcarbonate pada harga RM160 satu meter persegi sedangkan ia boleh digantikan dengan papan lapis.

Penggunaan papan lapis sebagai contoh untuk tiangnya boleh digunakan dengan kayu berbanding penggunaan besi pada masa ini akan dapat menjimatkan kos serta tidak menjejaskan fungsi dan seterusnya pengeluaran hasil.

Sebenarnya kata Mohammad Abid, pendekatan MARDI bagi menjadikan teknologi tanaman sayur tanpa tanah lebih mesra pengguna menjadi satu amalan yang diperkenalkan selama ini.

Ia sejajar dengan tag line MARDI Cameron Higlands sebagai Pusat pertanian lestari tanah tinggi.
  • Pertamanya, kami memperkenalkan teknologi yang ada kepada masyarakat dan golongan sasar.
  • Kedua, mencetuskan idea untuk berinovasi dengan teknologi tersebut iaitu mengubahsuainya mengikut kemampuan.
  • Ketiga, kami menganjurkan latihan dan kursus kepada mereka yang berminat untuk mempelajari teknologi berkenaan.
Beliau memberitahu, terdapat lebih dari sepuluh jenis teknologi penanaman sayuran tanpa tanah yang ada dan sebahagiannya diperkenalkan di taman tersebut.

Antara teknologi tersebut ialah sistem hidroponik teknik banjir, surut dan alir, teknik aliran nipis (NFT), sistem hidroponik teknik pengairan titis bertingkat, dan teknik aliran dalam (DFT).

Pelbagai lagi sistem dan teknik sedang dan dalam perancangan untuk dibangunkan bagi menambahkan variasi dalam teknik hidroponik.

Pihaknya sebelum ini telah dua kali mengadakan kursus kepada penggemar perkebunan di rumah (home gardener) atau mereka yang berminat untuk menanam sayur di kawasan rumah.

Teknologi tersebut katanya tidaklah rumit seperti yang digembar-gemburkan, dengan syarat mereka mempunyai minat dan menguasai ilmu teknologi berkenaan.

''Teknologi tersebut boleh digunakan di belakang dapur dengan skala kecil untuk kegunaan sendiri. Setakat 20 puluh atau 30 pokok, mereka tidak perlu risau sebab baja dan air disalurkan ke tanaman secara automatik," ujarnya.

Teknologi berkenaan mengamalkan pengurusan mudah sebab penggunaan sistem automatik tanpa penggunaan racun dan amalan agronomi yang baik dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang minimum.

Penanam juga boleh bekerja dalam keadaan bersih dan paling penting, sistem tersebut dapat mengelakkan penyakit bawaan tanah.

Hasil pengeluaran pula lebih tinggi sehingga tiga kali ganda dan kos infrastruktur yang murah dan efektif hanya untuk sekali sahaja.

Setakat ini katanya, teknologi tersebut boleh diguna pakai untuk sayuran jenis daun seperti sawi, kubis, kangkung, salad, kailan manakala jenis berbuah seperti tomato dan timun memerlukan sokongan lain yang memungkinkan kos tambahan.

''Satu lagi, teknologi ini sesuai untuk tanaman jangka pendek dan intensif dengan hasil tuaian yang cepat antara sebulan hingaa dua bulan," katanya.

Pada masa sama, meskipun penggunaan struktur pelindung hujan tidak menjadi syarat, ia lebih baik untuk mengelakkan ancaman penyakit dan air berlebihan dan hasil mungkin lebih rendah.

Monday, 12 March 2012

Temuduga Terbuka Juruteknik di Infineon


Temuduga terbuka untuk jawatan Juruteknik.

Tarikh temuduga : 17hb Mar 2012
Tarikh temuduga : 24hb Mar 2012
Tarikh temuduga : 31hb Mar 2012

Masa : 9.00pg ~ 3.00ptg

Tempat temuduga : Kilang Infineon Technologies, Batu Berendam, Melaka.

Sunday, 11 March 2012

Tanam Tebu

Industri penanaman tebu penting sebagai sumber gula dan minuman.

Tebu sesuai dalam iklim panas seperti cuaca tropika. Taburan hujan melebihi 600 milimeter (mm)/tahun.

Tebu sesuai hidup pada tanah subur dan gembur hingga ke tanah jenis liat tetapi perlukan sistem saliran yang baik untuk mengelakkan dari air bertakung.


Penyediaan tanah
  • Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
  • Jika tanah terlalu berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.
  • Untuk tanaman tebu gula, kebiasaannya alur penanaman dibuat untuk memudahkan penanaman.
Bahan tanaman dan jarak tanaman
  • Tebu biasa ditanam menggunakan keratan batang tebu yang diambil dari bahagian tengah tebu yang dipotong sepanjang 30 sentimeter (sm) yang mengandungi tiga hingga lima mata tunas.
  • Batang tebu perlulah sihat, bebas penyakit dan perosak seperti ulat pengorek batang.
  • Seludang yang terdapat padat keratan tebu tersebut perlu dibuang dan dirawat dengan racun kulat untuk mendapatkan kadar pertumbuhan yang tinggi.
  • Keratan yang telah dirawat diatur dalam alur sedalam di antara 20 dan 25 sm dengan jarak alur di antara 120 dan 130 sm.
  • Mata tunas tebu mestilah menghala kiri dan kanan dan tanah dikambus longgar untuk memudahkan mata tunas tumbuh.
  • Penanaman biasa dihalakan pada penghujung musim hujan dan sekiranya cuaca panas dan kering semasa penanaman, sistem pengairan adalah perlu.
  • Mata tunas akan tumbuh dalam masa 10 hingga -14 hari jika cukup kelembapan.
Pembajaan
  • Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.
  • Kadar pembajaan yang biasa adalah 120N:100P2O5:450K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.
  • Setengah dari baja yang membekalkan unsur N dan K serta kesemua baja yang membekal unsur P diberi semasa penanaman dan baki baja diberi selepas tiga bulan penanaman.
  • Selepas baja ditabur, tanah akan ditimbun ke pangkal pokok tebu untuk mengelakkan baja meruap serta dihakis supaya dapat digunakan secukupnya oleh pokok di samping dapat mengelak dari pokok tebu mudah tumbang.
Kawalan perosak dan penyakit
  • Musuh utama tanaman tebu ialah ulat pengorek batang. Beberapa spesies yang dikenali ialah seperti Eucosma isograma, Phragmatacia spp dan Proceras sacchariphagus.
  • Kawalan ulat pengorek batang ini adalah dengan amalan kultura yang baik dimana pokok-pokok yang diserang hendaklah dimusnahkan di samping kawalan secara biologi dan kawalan kimia.
  • Koya Saccharicoccus sacchari adalah juga musuh utama tanaman tebu. Pengawalannya adalah dengan memusnahkan seludang tebu yang diserang.
  • Tebu jarang diserang penyakit yang merbahaya dan jarang merabak seperti penyakit yang disebabkan oleh kulat, bakteria dan virus.
  • Pengawalan penyakit adalah dengan menggunakan keratan tebu yang bebas dari penyakit dan sihat. Semburan racun kimia adalah mengikut keperluan dan amat penting amalan kultura yang baik seperti membuang pokok-pokok yang diserang dan mengelak menanam tanaman seperti jagung, sekoi dan lain-lain dari famili Poacea untuk mencegah penularan penyakit virus.
Pengawalan rumpai
  • Merumpai dijalankan terutama pada peringkat awal pertumbuhan pokok dengan cara manual atau menggunakan racun rumpai.
  • Selepas kerja membaja, merumpai boleh dijalankan serentak selepas itu.
  • Selepas pokok membesar, merumpai adalah mengikut keperluan kerana pengawalan awal rumpai akan menyekat pertumbuhannya selepas pokok tebu tinggi.
Pemungutan hasil
  • Kandungan gula sukros dalam tebu akan menentukan kualiti tebu tersebut dimana kandungnya akan mula meningkat bermula dari sembilan bulan hingga 14 bulan bergantung kepada penjagaan, jenis tebu dan keadaan cuaca.
  • Anggaran hasil adalah di antara 90 dan 120 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi tebu.

Taman Cendawan Tiram

Spesies tiram kelabu merupakan cendawan yang paling popular ditanam di negara ini.

Salah satu perusahaan yang boleh dijalankan oleh petani dan pengusaha pertanian ialah penanaman cendawan disebabkan beberapa faktor.

Faktor utama adalah keuntungan yang tinggi yang boleh diperoleh dalam jangkamasa pendek di samping kos pengeluaran yang rendah dimana bahan-bahan sampingan pertanian boleh digunakan.

Potensi dari segi pemasaran dan kandungan nutrien pemakanan yang tinggi juga menyumbang kepada minat petani untuk menceburi bidang perusahaan ini.

Penanaman Cendawan Tiram Kelabu


Penyediaan bahan
  • Bahan yang digunakan untuk menyediakan media cendawan ini ialah habuk kayu getah, dedak padi, kapur pertanian dengan nisbah (100:10:1) dan kelembapan air 75 peratus.
  • Sebagai contoh, untuk menyediakan 200 beg media, campuran yang diperluaskan adalah 100 kilogram (kg) habuk kayu getah, 10 kilogram (kg) dedak padi dan 1 kg kapur pertanian dan dicampurkan dengan air agar kelembapan campuran tersebut adalah 75 peratus.

Pembungkusan dan pengukusan
  • Campuran media yang telah disediakan akan dimasukan ke dalam beg plastik polypropylene (PP) yang berukuran 30 sentimeter (sm) x 10sm x 10 sm dan dipadatkan.
  • Penapis udara dipasang dengan menggunakan gelang leher dan penutup (cap) beserta dengan span.
  • Beg PP ini perlu dikukus selama antara empat dan enam jam pada suhu 1,000 darjah C dan kemudian disejukkan pada suhu bilik selama 28 jam (dua hari).

Penyuntikan benih dan pemeraman
  • Sebelum kerja penyuntikan dijalankan, langkah kebersihan perlu dijalankan iaitu kebersihan diri, bilik suntikan dan pastikan tiada kotoran atau habuk serta membuat semburan larutan basmi kuman seperti Dettol, Lysol dan Jeypine.
  • Peralatan suntikan adalah spatula/dawai.
  • Penyuntik, spirit,lampu, pemetik api dan pelindung pernafasan.
  • Tangan perlu dicuci dengan larutan basmi kuman dan pakai pelindung pernafasan.
  • Celupkan dawai penyuntik ke dalam larutan spirit dan bakar.
  • Panaskan mulut botol benih dan leraikan benih dengan dawai penyuntik.
  • Suntikan lima hingga lapan gram benih cendawan bagi setiap beg PP dan tutup beg PP dengan penutup dan disusun di bilik pemeraman.

Pemeraman
  • Proses pemeraman dijalankan dalam bilik biasa yang mana micelium akan dibiarkan merebak hingga memenuhi keseluruhan media substrat.
  • Proses ini pada kebiasaannya mengambil masa 50 -60 hari dimana beg PP yang rosak atau tercemar akan diasingkan dan beg PP yang elok akan dipindahkan ke bilik penghasilan.

Penghasilan
  • Selepas empat hingga lima hari penutup pengudaraan dibuka, putik cendawan akan kelihatan.
  • Selepas cendawan tumbuh dan hasil cendawan tersebut dikutip, hasil cendawan tersebut bolehlah dibungkus mengikut kesesuaian.
  • Selepas cendawan dipetik, beg PP direhatkan selama tujuh hingga 10 hari dengan menutup semula permukaan beg PP dan dibuka selepas itu untuk kutipan hasil kedua dan seterusnya dengan cara yang sama hingga enam atau lapan kali kutipan.
  • Suhu optimum dalam bilik penghasilan adalah 250 darjah C dengan kelembapan di antara 80 dan 95 peratus.
  • Untuk mendapatkan keadaan sedemikian penyiraman perlu dijalankan dua kali sehari pada waktu pagi dan petang.
  • Cahaya yang sesuai adalah adalah dalam keadaan yang mana seseorang boleh membaca tulisan akhbar di dalam bilik berkenaan.

Musuh dan penyakit
  • Perosak utama adalah tikus, lalat, lipas, hama dan nematoda.
  • Ulat lain yang biasa menyerang media substrat adalah seperti Penicillium, Aspergillus dan Trichoderma.
  • Pengawalan adalah dengan menjaga kebersihan rumah cendawan dan rak-rak dengan menggunakan bahan kimia basmi kuman seperti Dettol dan Lysol setiap kali habis musim penanaman.