Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday 15 May 2011

Osama bin Laden

Kecam atau simpati?

Pemimpin nombor dua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahri yang dikatakan bakal meneruskan perjuangan Osama (kanan) selepas ini.


Sejak itu pandangan dunia semakin berubah bukan sahaja terhadap Osama tetapi turut memberi tempias yang ketara kepada semua penganut Islam di seluruh dunia. Pemburuan terhadapnya sama ada hidup atau mati telah menjadi agenda dan dendam utama pihak AS dan Barat namun semua itu menemui kegagalan kerana dikatakan Osama begitu licik bersembunyi.

Sejak tahun 2001, Osama dan pertubuhannya Al-Qaeda menjadi sasaran utama dalam perang terhadap keganasan yang dilancarkan oleh AS. Beliau dan ketua-ketua Al-Qaeda yang lain dipercayai bersembunyi di gua-gua berdekatan Kawasan Kabilah Tadbiran Persekutuan di Afghanistan dan Pakistan.

Namun segalanya berakhir bagi musuh nombor satu AS itu apabila Osama dikatakan terbunuh dalam satu serangan pada 1 Mei lepas namun bukan di dalam gua tetapi di sebuah rumah separuh mewah. Presiden AS, Barack Obama dengan bangga mengumumkan di saluran televisyen kebangsaan AS bahawa Osama telah dibunuh oleh pasukan komando SEAL, di Abbottabad, Pakistan dalam satu operasi rahsia yang dilulus dan dipantau secara terus oleh Obama.

Mewah

Pemimpin tertinggi Al-Qaeda itu dilahirkan dengan nama Usamah bin Muhammad bin Awwad bin Ladin di Jeddah, Arab Saudi pada 28 Jun 1957. Osama merupakan putera pasangan Muhammad bin Awad bin Ladin seorang usahawan pembinaan dengan isteri kesepuluhnya, Hamida al-Attas.

Beliau yang lahir dari keluarga kaya di Arab Saudi, merupakan anak ke 17 dari 52 beradik dan dibesarkan dalam kemewahan. Bapanya adalah seorang petani miskin dari Yaman yang kemudian berpindah ke Arab Saudi selepas Perang Dunia Kedua. Di sana Mohammed bergerak dalam bidang pembinaan dan mendapat banyak kontrak pembinaan masjid dan istana dari pemerintah Arab Saudi.

Osama pada zaman remajanya membesar seperti remaja lain namun mula berubah setelah melanjutkan pelajaran ke Universiti King Abdul Al Aziz. Osama berjaya menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi dan pentadbiran perniagaan pada tahun 1979. Pengaruh kuat Osama dalam ekstremis agama berlaku setelah beliau rapat dengan seorang pensyarah universiti tersebut, Abdullah Azzam yang mana beliau juga adalah pengasas Hamas.

Abdullah Azzam juga diketahui sebagai tokoh utama yang memainkan peranan menggerakkan sokongan bangsa Arab terhadap kaum Mujahidin yang berperang melawan pendudukan Russia di Afghanistan. Osama pertama kali berkahwin pada pertengahan tahun 70-an dengan sepupu sebelah ibunya yang berasal dari Syria tetapi bercerai beberapa tahun sebelum peristiwa serangan 11 September. Beliau kemudiannya melangsungkan empat lagi perkahwinan dan dikatakan mempunyai 20 orang anak.

Sebaik menamatkan pelajaran di universiti, Osama mula terlibat secara aktif dalam gerakan Islam di Afghanistan dan akhirnya mengetuai gerakan Al-Qaeda yang dikatakan menjadi punca kepada keadaan huru-hara di dunia sekarang.

Serangan

Berita mengenai kematian Osama adalah sangat mengejutkan kerana sebelum ini sudah pelbagai cerita dan spekulasi diperkatakan mengenai kehidupan beliau. Namun kebenaran mengenai peristiwa itu akhirnya diakui apabila pihak Al-Qaeda sendiri mengaku bahawa Osama telah terkorban.

Namun peristiwa mengenai bagaimana pembunuhan Osama ini berlaku sangat menarik untuk diperkatakan malah meruntun kontroversi yang sangat mengejutkan. Peristiwa ini bermula apabila pegawai perisikan AS mendapat tahu mengenai kawasan tersebut pada Ogos tahun lalu, ketika mereka menjejak seorang lelaki yang dipercayai orang kepercayaan Osama.

Tempat persembunyian Osama merupakan kompleks rumah teras tiga tingkat di kawasan sederhana mewah di bandar Abbottabad, dua jam perjalanan dari Islamabad, Pakistan. Pihak perisikan AS telah memburu orang kepercayaan Osama itu sejak sekian lama bermula dengan soal-siasat puluhan tahanan Al-Qaeda yang ditangkap AS.

Hasilnya Agensi Perisikan Pusat (CIA) membuat kesimpulan lelaki berkenaan yang identitinya masih dirahsiakan adalah orang kepercayaan dan berkemungkinan besar tinggal bersama Osama.

Lebih mengejutkan kawasan persembunyian Osama adalah di sebuah kejiranan sederhana mewah, yang di dikelilingi oleh tembok setinggi 18 kaki, dan bumbungnya mempunyai kawat berduri serta terletak berhampiran dengan kawasan perumahan tentera.

Operasi

Dalam operasi sulit itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa Pakistan, beberapa helikopter Blackhawk MH-60 yang diubah suai berlepas dengan membawa pasukan SEAL dari Pangkalan Udara Ghazi menuju ke Abbottabad.

Seramai 22 orang terbunuh atau ditangkap selepas tembakan bertalu-talu dilepaskan selama lebih 40 minit, termasuk Osama mati akibat terkena dua tembakan di kepalanya. Mayatnya dibawa dengan helikopter yang kembali ke pangkalan, manakala sebuah helikopter mengalami kerosakan mekanikal dan terpaksa dimusnahkan oleh tentera AS.

Pegawai perisikan CIA percaya bahawa kawasan tersebut yang bernilai jutaan dolar dibina enam tahun lalu untuk melindungi seorang tokoh pengganas besar. Sehingga kini masih menjadi misteri siapa yang membinanya?

Sejak Ogos tahun lepas, CIA menyemak maklumat mereka berkali-kali untuk memastikan siapakah yang tinggal di sebalik tembok tersebut. Sehinggalah mereka akhirnya membuat kesimpulan hampir pasti ia merupakan tempat persembunyian Osama. Sumber perisikan memberitahu, sejak pertengahan Februari lepas, pegawai kanan perisikan AS tahu bahawa Obama memberikan perhatian yang serius mengenai operasi ini.

Terbunuh

Malah Obama selama dua bulan setengah mengetuai sendiri lima mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan dan tertumpu kepada isu apakah benar Osama menetap di kompleks itu dan bagaimana untuk ‘mendapatkan’ beliau.

Pada kebiasaannya AS akan berkerjasama dengan sekutunya seperti yang berlaku terhadap Libya apabila sekutunya dari NATO turut sama menghancurkan negara itu semata-mata untuk membunuh Muammar Gaddafi.

Tapi untuk misi ini AS memilih untuk bersendirian, malah tidak melibatkan langsung kerjasama agensi perisikan Pakistan. Operasi ini terlalu penting dan terlalu rahsia bagi AS kerana tersilap langkah, maklumat penting itu mungkin bocor ke tangan pihak lain.

Sebuah unit khas dari tentera elit AS Navy SEAL (Pasukan Enam) dikenalpasti dan diletakkan di bawah arahan harian Pengarah CIA, Leon Panetta, yang memantau rumah teres tiga tingkat itu dari jauh. Dilengkapi alat canggih, pasukan ini biasanya beroperasi dari pangkalan mereka di timur Afghanistan. Di kalangan tentera elit AS, pasukan ini punya gelaran tersendiri iaitu DevGru. Mereka menerima arahan langsung dari Presiden dan beroperasi di seluruh dunia.

Bunuh

Setelah perancangan rapi pada 29 April, Obama meluluskan operasi untuk membunuh Osama dan selang beberapa hari Osama terbunuh sebelum dikebumikan dengan penuh penghinaan, jenazahnya hanya di campak ke laut (pada malam kejadian) walaupun dikatakan mengikut cara Islam.

Keseluruhannya 22 orang yang terbunuh atau ditangkap dalam operasi itu. Tiada ‘mangsa’ di kalangan tentera AS. Sumber ketenteraan mengatakan bahawa Osama bertindak "melawan" namun apalah dayanya jika tanpa senjata di sisi dan lebih menyayat hati anak dan isterinya sendiri menjadi saksi kekejaman tentera AS terhadap Osama.

Beliau ditembak di di sisi kiri kepala sekaligus menamatkan riwayat pemimpin yang telah mendapat simpati mahupun kecaman dari masyarakat Islam di seluruh dunia.

AS menggambarkan Osama sebagai “paksi kejahatan” tetapi hakikatnya tindakan AS yang telah mewujudkan Osama, Al-Qaeda dan sebagainya. Ada pihak yang menganggap pembunuhan Osama menjanjikan keamanan kepada dunia.
Hakikatnya pandangan ini sangat daif dan tumpul sebenarnya kerana lebih ramai lagi “Osama” kini menanti masa untuk muncul.

*Petikan dari Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment