Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Tuesday 21 February 2012

Pilihan Menjarakkan Anak

Kehadiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga merupakan anugerah Ilahi paling membahagiakan. Anak adalah rezeki tidak ternilai.

Namun begitu, atas alasan tertentu yang hanya suami dan isteri sahaja mengetahuinya, ada pasangan bercadang untuk menjarakkan kehadiran cahaya mata. Terdapat pelbagai kaedah yang sesuai dan hanya yang pakar dapat membantu pasangan seperti ini.

Ini mengingatkan kisah yang pernah diceritakan oleh seorang rakan pada masa lampau mengenai seorang ayah, A, yang menasihati rakannya B bagaimana mahu merancang keluarga.

"Jangan risau, pakai sahaja sarung itu (kondom), selesailah,'' ujarnya penuh yakin. Namun beberapa bulan selepas itu B menemuinya semula, wajahnya agak muram.

"Dah cuba..., tapi isteri mengandung juga. Tak apalah, rezeki kami,'' ujarnya perlahan.

Tidak sedap hati, A bertanya kembali, bagaimana kaedah itu tidak berkesan. Setelah diselidiki, barulah A tahu rupa-rupanya sarung itu sudah `dikhatan' terlebih dahulu!

Barangkali ia hanyalah satu bahan gurauan dan kemungkinan boleh berlaku semasa kaedah itu mula diperkenalkan dahulu.

Kesihatan mendapatkan pandangan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan mengenai perancang keluarga.

Apa itu perancang keluarga?

Perancang keluarga adalah kaedah yang diamalkan isteri ataupun suami yang belum bersedia untuk menimang cahaya mata atau, bagi mereka yang telah menimang cahaya mata tetapi ingin pula menjarakkan kelahiran anak.

Katanya: "Ada pelbagai cara untuk merancang keluarga termasuk secara natural ataupun menggunakan kaedah perubatan moden.''

Objektif utama menggunakan kaedah merancang keluarga ialah untuk memastikan kesihatan ibu pulih dengan sepenuhnya sebelum kelahiran yang seterusnya.

Ia juga untuk memastikan anak baru lahir mendapat penjagaan dan kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa mereka.

"Tanggungjawab merancang keluarga adalah untuk menjamin keluarga bahagia dan ini terletak kepada suami dan isteri. Perkara ini harus dibincang bersama agar ia tidak mendatangkan masalah yang boleh menjejaskan perhubungan suami isteri,'' kata Dr. Jamiyah.

Menurutnya, mereka yang baru berkahwin dan masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata bolehlah menggunakan kaedah merancang keluarga.

Individu yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak digalakkan mempunyai kelahiran yang banyak seperti darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang dan sebagainya perlu berjumpa doktor untuk berbincang mengenai kaedah perancang keluarga.

Sebuah keluarga yang sihat memerlukan ibu bapa sihat. Seseorang wanita, tambahnya, boleh menggunakan kaedah merancang jika diperlukan seawal 18 tahun ke atas.

Tempoh jarak kelahiran

Tempoh menjarakkan kelahiran bergantung kepada kemampuan dan keinginan pasangan yang terbabit.

Seelok-eloknya tempoh yang baik menjarakkan kelahiran sekurang-kurangnya dua tahun bagi memberi peluang untuk ibu membina kesihatan seperti sedia kala, dan juga memberi masa penjagaan sempurna untuk anak yang baru lahir.

Selain itu, ia memberi peluang menyusukan anak secara eksklusif selama enam bulan pertama dan seterusnya sehingga anak berusia dua tahun.

Dalam masa dua tahun pertama, perkembangan dari segi fizikal dan emosi seseorang anak itu amat penting.

Menjarakkan kelahiran sekali gus memberi peluang kepada suami isteri menstabilkan hal-hal ekonomi rumah tangga.

Dengan bertambahnya ahli keluarga akan bertambahlah perbelanjaan keluarga. Jadi secara tidak langsung keharmonian rumah tangga akan terjaga.

Kaedah-kaedah merancang keluarga

Natural

Kaedah ini menggunakan cara mengelakkan waktu subur seseorang wanita itu. Kaedah bergantung kepada kitaran haid seseorang wanita.

Mereka boleh menggunakan cara rhythm dan untuk mengelakkan waktu subur mereka boleh mengira dari waktu kitaran haid yang terpendek, tolak 20 hari dan hari terakhir waktu subur ialah kitaran haid yang terpanjang ditolak 11 hari.

"Jadi mereka harus mengelakkan perhubungan kelamin pada lebih kurang hari kelapan hingga ke-24 jika kiraan haid mereka 28 ke 35 hari. Ia agak rumit untuk dikira dan boleh mendatangkan masalah bagi pasangan itu kerana waktu mereka tidak boleh bersama agak panjang,'' katanya.

Dr. Jamiyah memberitahu, selain cara rhythm, mereka boleh mengesan waktu subur dengan perbezaan cecair yang keluar daripada faraj. Sewaktu subur, cecair yang keluar bertukar dari warna putih yang pekat kepada lendir yang jernih dan cair.

Ini disebabkan peningkatan hormon estrogen dan pertukaran kepada lendir cair yang jernih, bertujuan merangsang kemasukan benih sperma.

Waktu ini juga suhu badan wanita akan naik sebanyak 0.5o dan boleh dikesan menggunakan termometer ovulasi pada waktu bangun tidur.

Pil perancang keluarga

Ia mengandungi estrogen dan progestogen. Cara utama menghalang kehamilan ialah dengan menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari seseorang wanita.

Di samping itu, ia juga menyebabkan lendir dari pintu rahim menjadi lebih pekat dan ini juga menghalang kenaikan sperma masuk ke dalam rahim.

Pil perancang keluarga dimakan pada setiap hari bermula dari hari pertama kitaran haid sehingga hari ke-21.

Ini diikuti dengan tujuh hari rehat. Pada waktu ini perdarahan akan berlaku dan pil dari paket baru perlu dimulakan selepas tujuh hari walaupun perdarahan mungkin belum habis.

Jika diikuti dengan betul, keberkesanan menggunakan kaedah ini untuk mengelakkan kelahiran amat tinggi iaitu 99.9 peratus.

Ada pil yang mengandungi progestogen sahaja. Pil jenis ini mengelakkan kandungan dengan menyebabkan dinding rahim nipis dan lendir yang pekat.

Ia boleh juga mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari tetapi ia tidak konsisten dan memerlukan dos yang tinggi. Hampir 50 peratus wanita menggunakan kaedah ini boleh mengeluarkan telur dari kilang ovari.

Ini kerana ia perlu dimakan dengan betul dan mengikut masa yang ditetapkan. Jika masa makan berubah-ubah melebihi tiga jam, ia boleh menyebabkan wanita itu hamil.

Pil perancang adalah salah satu kaedah yang amat popular di kalangan wanita dunia dan juga di Malaysia.

Selain mengelakkan kandungan, pil perancang keluarga mempunyai kesan sampingan yang positif seperti mengurangkan kadar perdarahan haid serta mengurangkan penyakit anemia atau kurang darah dan mengurangkan kesakitan sewaktu haid.

Kata Dr. Jamiyah, ia juga boleh mengurangkan risiko mendapat kanser kilang ovari dan endometrium melebihi 50 peratus apabila digunakan melebihi satu tahun.

Pil perancang keluarga yang baru mengandungi progestogen yang baru seperti drospirenone yang mengurangkan risiko kenaikan berat badan disebabkan penyimpanan air yang berlebihan.

"Ia juga membuat kulit menjadi lebih cantik dan mengurangkan perasaan tidak menentu akibat sindrom prahaid,'' ujar beliau.

Suntikan

Suntikan menggunakan hormon progestogen, disuntik setiap dua bulan bergantung kepada hormon yang digunakan.

Disebabkan dosnya yang tinggi, ia mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari di samping mengakibatkan lendir yang pekat. Wanita yang menggunakan kaedah ini boleh mengalami perdarahan yang tidak menentu.

Alat dalam rahim

Salah satu kaedah yang popular dan telah digunakan semenjak tahun 60-an lagi. Ia perlu dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor terlatih dan tidak mendatangkan banyak masalah kepada pengguna.

Setelah dimasukkan, alat ini boleh disimpan selama tiga hingga lima tahun bergantung kepada jenis yang digunakan. Efikasinya untuk mengelakkan kandungan adalah lebih kurang 98 peratus.

Ada alat dalam rahim yang telah diserapkan dengan hormon progestogen. Ini meninggikan efikasinya kepada lebih 99.9 peratus untuk mengelakkan kandungan.

Di samping itu, ia boleh mengurangkan perdarahan haid dan hampir 80 peratus wanita tidak mengalami perdarahan selepas tiga bulan penggunaannya.

Walau bagaimanapun, wanita tidak harus bimbang kerana walaupun tidak datang haid, telur masih dikeluarkan dari kilang ovari seperti biasa. Ini juga boleh mengurangkan masalah anemia dari perdarahan haid yang berlebihan.

Kaedah Barrier

Kaedah barrier yang paling popular adalah kondom lelaki. Ada kondom yang diserapkan dengan ubat antisperma. Kaedah ini tidak begitu baik kerana efikasinya cuma lebih kurang 60 hingga 80 peratus jika digunakan dengan betul.

Tetapi ia adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengelakkan penyakit kelamin dan HIV. Menurutnya, kondom untuk kaum wanita juga ada tetapi tidak begitu popular.

Kaedah barrier yang lain termasuk penggunaan diafram, alat penutup pintu rahim dan span. Kaedah-kaedah ini juga tidak popular.

Implan

Implan adalah alat perancang yang mengandungi hormon progestogen yang dimasukkan ke bawah kulit di bahagian dalam lengan.

Ia mengelakkan kandungan dengan menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari, boleh dipakai selama tiga hingga lima tahun. Keberkesanannya mencecah 99 peratus.

Sterilisasi

Sterilisasi boleh dilakukan kepada wanita dan juga kaum lelaki. Kaedah ini adalah kekal. Saluran fallopio wanita diikat atau dipotong bagi mengelakkan perjalanan telur ataupun sperma dan seterusnya menghindarkan persenyawaan.

Vasektomi adalah kaedah sterilisasi kekal untuk lelaki. Ia memerlukan pembedahan kecil di mana saluran vas deferens dipotong sedikit dan diikat.

Kesan sampingan dan risiko bagi wanita yang bermasalah atau berpenyakit kronik

Kesan sampingan bergantung kepada kaedah dan hormon yang digunakan. Estrogen boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan menaikkan tekanan darah.

Jadi mereka yang mempunyai risiko seperti darah tinggi, penyakit hati, jaundis, sejarah penyakit di mana saluran darah tersumbat, penyakit jantung, kadar kolesterol yang tinggi, sejarah kanser payu dara, terlalu gemuk atau merokok melebihi 40 batang sehari tidak boleh mengambil perancang keluarga yang mengandungi hormon lebih-lebih lagi estrogen.

Kebaikan merancang keluarga

Kebaikan merancang keluarga bukan saja untuk menjaga kesihatan ibu tetapi bagi memastikan pembesaran anak sempurna dari segi fizikal dan emosi.

Ia juga memberi peluang untuk suami memastikan kewangan keluarga terjamin bagi menampung kehadiran ahli baru.

Umur yang terbaik untuk melahirkan anak adalah pada usia 25 hingga 35 tahun kerana pada umur ini risiko pada ibu adalah minimum.

Pada asasnya seorang wanita boleh melahirkan bayi walaupun pada umur yang hampir menopaus tetapi risiko pada ibu akan berlipat ganda.

Pada zaman ini, di mana kaum wanita berkahwin lewat ataupun memilih menjayakan karier terlebih dahulu, lebih ramai yang melahirkan anak pada usia melewati 35 tahun.

"Saya menyarankan mereka berbincang dengan doktor pakar tentang masalah yang mungkin dihadapi,'' pesan Dr. Jamiyah.

Bincang bersama

Isu merancang keluarga harus dibincang bersama walaupun kaedah yang diamalkan memihak lebih kepada kaum perempuan. Kaum wanita perlu kerjasama dan restu suami untuk merancang keluarga.

Objektif mereka adalah melakukan yang terbaik untuk keluarga. Jika mereka di dalam keadaan sihat tubuh badan dan rohani, wanita boleh menjaga suami dan keluarga dengan lebih baik lagi.

Menjawab pertanyaan, Dr. Jamiyah memberitahu, tempoh berhenti mengambil perancang keluarga untuk hamil semula bergantung kepada kaedah yang digunakan.

Jika menggunakan pil perancang, mereka akan mengeluarkan telur sebaik berhenti pil dalam masa satu hingga dua bulan. Begitu juga jika mereka menggunakan alat di dalam rahim.

Nasihat pakar

Soal bila pasangan yang baru berkahwin ingin menimang cahaya mata, bergantung kepada banyak faktor. Mereka boleh memulakan bila-bila masa selepas berkahwin.

Walau bagaimanapun, mereka perlu tahu cara-cara merancang keluarga kerana biarlah setiap kandungan itu anak yang diingini dan bukan kerana tersalah kira!

Keluarga yang sihat dan bahagia perlu kerjasama semua.

No comments:

Post a Comment