Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Sunday, 16 October 2011

Tanam Timun

Pokok Timun

Timun (Cucumis sativus) merupakan sayuran yang sangat popular di Malaysia. Ia termasuk dari sayuran jenis buah dan dipercayai berasal dari timur India.

Buah timun yang masih muda dimakan mentah, ia juga dimasak atau dibuat acar atau jeruk. Timun mengandungi mineral besi, fosforus, kalsium, magnesium, vitamin A,B1,B2,niasin,vitamin C.

Pokok timun adalah herba semusim yang tumbuh menjalar dan memanjat serta mempunyai sulur paut yang kuat dan tidak bercabang. Ia adalah jenis monoecious yang berbunga dua jantina.

Terdapat pelbagai jenis timun tetapi yang biasa ditanam ialah jenis tempatan iaitu berwarna hijau, jenis putih besar dan timun gherkin.

Dari segi khasiat ubatan, timun dimakan sebagai ubat melawaskan buang air kecil, menyejukkan badan, merawat batu karang dalam hempedu dan sakit kerongkong, membaiki tekanan dan perjalanan darah.

Ia boleh mengubati masalah kulit seperti terbakar atau melecur dan untuk melicinkan kulit dan awet muda.

Persediaan tanah

Timun akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara satu dan 1.2 meter, tinggi batas 23 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan ystem tahi ayam atau kompos antara satu dan tiga kg/meter persegi, bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 sm antara barisan. Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.

Jika ditanam terus, gali lubang sedalam 2.5 sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.

Selepas seminggu anak benih yang bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat ,tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah dikeliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah.

Sungkupan

Amalan meletak sungkupan pada batas penanaman amat digalakkan. Ia dapat mengurangkan pertumbuhan rumpai, mengekalkan kelembapan batas, mengurangkan hakisan.

Terdapat banyak bahan yang boleh dijadikan sungkupan antaranya rumput kering, jerami padi kering atau sistem agrosheet.

Penyediaan junjung

Timun memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.

Sistem ystem boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak tiga meter.

Kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai.

Tali sistem diguna bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu.

Pengairan

Pokok timun memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup untuk pertumbuhan yang lebih subur.

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sistem memungut hasil.

Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.

Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah disesuatu kawasan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu.

Pemangkasan

Pemangkasan tidak perlu dilakukan kecuali bila terdapat terlalu banyak daun atau dikenali sebagai mabuk daun.

Kawalan perosak dan penyakit

Serangga perosak yang biasa menyerang timun ialah afid . kumbang daun dan lalat buah, serangan biasanya pada daun, bunga dan buah muda.

Jika serangan teruk menyebabkan daun rosak dan 'berkerekot' dan buah berubah bentuk, menjadi terbantut dan busuk.

Daun dan buah yang diserang perlu dimusnahkan, kebersihan kawasan dijaga dan sembur racun perosak yang sesuai jika perlu.

Penyakit yang biasa menyerang ialah kulapok berdebu, ia menyebabkan tompok misilia putih dan berdebu pada permukaan daun, daun bertukar kekuningan,perang ,kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil saiznya. Serangan kulapok downy ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun.

Lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Pungutan hasil

Pokok timun akan mula berbunga selepas tiga atau empat minggu ditanam.

Hasil dituai selepas 10 hari selepas pendebungaan berlaku atau lima dan enam minggu selepas ditanam. Timun dikutip sebelum ia cukup tua apabila mencapai panjang antara antara 15 dan 20 sm.

Buah muda mempunyai kulit kasar, warna hijau tua dan berkilat. Peringkat kematangan yang sesuai untuk pasaran ialah
  • Warna buah hijau gelap kepada hijau cerah dan berkilat.
  • Tiada duri pada buah.
  • Benang sari dihujung buah telah tanggal.
  • Bentuk timun lurus dan sekata,warna ¾ bahagian keseluruhan permukaan berwarna hijau sederhana gelap, tekstur buah rapuh dan bebas dari penyakit, rosak dan kekotoran.

No comments:

Post a Comment