Penyakit layu bakteria yang menyerang orkid.
Pengurusan orkid di sini bermaksud bagaimanakah untuk memastikan orkid dapat hidup dengan subur di sepanjang kitaran hayatnya.
Elemen-elemen penting yang harus diberi perhatian di dalam menguruskan orkid ialah penyelenggaraan orkid, pembajaan, kadar siraman dan pengurusan perosak.
Penyelenggaraan
Perkara yang biasa dilakukan bagi menyelenggara orkid ialah pemasuan semula bagi orkid yang ditanam di dalam pasu dan membuang bahagian-bahagian yang tidak sihat atau rosak pada mana-mana bahagian tanaman.
Tanda-tanda seperti akar yang telah memenuhi pasu dan daun-daun yang kering atau berpenyakit seperti reput dan berbau busuk adalah petunjuk bahawa langkah penyelenggaraan harus dilakukan.
Apakah baja yang perlu digunakan, berapa kerap harus dibaja dan bagaimanakah cara membaja. Terdapat pelbagai jenis baja khas bagi orkid di pasaran.
Baja kimia, baja mikroorganisme berkesan (EM) dan baja foliar antara yang biasa digunakan oleh penggemar orkid.
Sifat baja yang digunakan kebanyakannya adalah bersifat cecair yang mana dilarutkan terlebih dahulu dengan sukatan tertentu.
Secara umumnya kandungan baja tersebut mesti mempunyai kandungan N yang tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan vegetatif pada awal peringkat tumbesarannya.
Setelah menghampiri peringkat pembungaan kandungan P dan K mesti ditingkatkan. Pembajaan dijalankan dua kali seminggu dan seeloknya pada waktu pagi.
Elakkan membaja secara terus ke bahagian akar kerana akan mencederakan akar-akar muda.
Larutan baja lebih sesuai disemburkan terus kepada daun kerana daun dapat menyerap unsur-unsur yang terdapat di dalam baja dan seterusnya menukarkan ia ke dalam bentuk makanan dan tenaga.
Menyiram
Kadar siraman dan kekerapan siraman adalah bergantung kepada jenis orkid dan keadaan persekitaran.
Ada jenis orkid yang memerlukan kelembapan yang tinggi contohnya Cattleya oleh itu kadar siraman dan kekerapan siraman adalah lebih tinggi manakala Dendrobium memerlukan kelembapan yang sederhana maka kadar siraman dan kekerapan siraman adalah lebih rendah.
Bagaimana pun keperluan siraman mesti disesuaikan dengan keadaan persekitaran, sekiranya hari panas siraman lebih kerap diperlukan dan pada hari hujan siraman dikurangkan.
Siram seelok-eloknya pada waktu pagi di antara pukul 8 dan 10 pagi tetapi jangan siram di bawah matahari terik kerana daun akan menjadi kuning. Pada waktu petang pula, siram di antara pukul 3 dan 5 petang.
Elakkan siram pada waktu malam kerana udara tepu pada waktu malam akan meningkatkan kelembapan dan seterusnya akan mengundang penyakit bawaan kulat.
Pengurusan Perosak
Terdapat beberapa punca yang memudahkan laluan serangan penyakit terhadap orkid. Kebanyakannya berpunca daripada keadaan persekitaran seperti pengudaraan dan tahap kebersihan.
Virus, bakteria, fungi dan serangga perosak adalah empat bawaan yang seringkali menyerang orkid. Penyakit bawaan virus adalah yang paling kritikal berbanding yang lain.
Antara jenis-jenis virus yang biasa menyerang orkid ialah virus tobacco mosaic , Virus cymbidium mosaic, Virus cymbidium necrotic ringspot dan virus odontoglossum ringspot.
Adalah penting bagi kita untuk mengenali tanda-tanda awal serangan virus dan seterusnya mencegah penularan virus tersebut.
Tanda-tanda serangan virus boleh dikenal pasti seperti pertumbuhan yang tidak normal yang seterusnya pokok menjadi lemah dan tidak sihat, pertumbuhan batang yang tidak lurus dan bantut.
Tanda-tanda pada daun termasuklah bintik-bintik hitam atau kuning biasanya berbentuk bulat atau mozek dan kakisan pada permukaan daun.
Tanda-tanda lain termasuklah pengurangan bilangan dan pembantutan batang, daun dan putik bunga, pengurangan kualiti warna bunga dan keguguran putik bunga. Walau bagaimana pun tanda-tanda serangan mungkin berbeza antara genus.
Virus boleh dipindahkan daripada pokok yang telah dijangkiti melalui pelbagai cara seperti serangga perosak contohnya apid dan kutu trip.
Melalui peralatan mekanikal yang digunakan seperti pisau yang digunakan untuk memotong mana-mana bahagian orkid, melalui debunga dan juga melalui sentuhan.
Pokok yang telah diserang oleh virus tidak boleh dirawat lagi dan harus dimusnahkan dengan cara membakarnya.
Oleh itu, untuk mengurangkan atau mencegah jangkitan virus kita mesti mengawal serangga perosak, mensterilkan peralatan memotong sama ada dengan menggunakan alkolhol atau panaskan di atas api sehingga mencapai suhu 100 darjah Celcius dan boleh juga dirawat dengan menggunakan air panas.
Bakteria
Bakteria menyerang dengan cara memasuki tisu pokok orkid melalui bahagian yang terdedah seperti luka pada batang.
Tanda-tanda awal serangan bakteria boleh dilihat pada bahagian tepi bilah daun di mana terdapat tompok-tompok hitam atau coklat berdebu.
Lama kelamaan daun yang dijangkiti itu akan layu dan bertukar menjadi warna kehitaman. Buang bahagian yang dijangkiti dengan pisau yang telah dibasmi kuman dan sapu dengan racun kulat.
Racun kulat biasanya tidak memberi kesan kepada bakteria tetapi langkah ini adalah untuk mencegah jangkitan kulat bagi kawasan yang telah dipotong tadi.
Pindahkan orkid yang telah dijangkiti ke kawasan yang mempunyai kelembapan yang rendah pengudaraan yang baik.
Kulat
Penyakit bawaan kulat antaranya terdiri daripada reput pucuk, reput pangkal, antraknose dan reput hitam.
Keadaan persekitaran yang terlalu lembap dan penyiraman yang terlalu kerap akan mewujudkan keadaan yang sesuai bagi habitat kulat.
Tanda - tanda serangan kulat seperti bintik-bintik kuning dan dikelilingi oleh warna hitam di sekitar bintik tersebut, berlaku di bahagian bawah daun.
Lama kelamaan daun akan bertukar menjadi warna kehitaman dan mati. Jangkitan kulat pada bunga boleh dilihat apabila terdapat bintik-bintik coklat pada kelopak bunga.
Bagi pokok yang telah dijangkiti, buang bahagian yang telah dijangkiti dan sembur dengan racun kulat. Tingkatkan tahap kebersihan dan pastikan pengudaraan adalah baik.
Serangga perosak yang biasa menyerang tanaman orkid ialah kutu trip, afid, teritip, hama lelabah berbintik dua dan koya.
Afid, koya dan teritip menggunakan bahagian mulutnya untuk menghisap sap daun dan batang orkid. Kesannya ialah daun akan menjadi berkedut dan kerinting, berwarna kekuningan ,membantut pertumbuhan daun dan mengurangkan pengeluaran bunga dan pertumbuhan batang.
Serangga perosak ini juga mengeluarkan sejenis cecair likat dan jernih yang dipanggil honeydew. Honeydew menyediakan keadaan yang ideal untuk pertumbuhan kulat dan kulapuk berwarna hitam dan berdebu dan seterusnya menutupi bahagian daun.
Afid gemar menyerang pokok-pokok muda, putik bunga dan bunga yang sedang berkembang. Kesannya warna bunga akan berubah seperti berbintik-bintik dan pembentukan bunga akan terencat.
Kebiasaannya menyerang Cymbidium.
Teritip pula terbahagi kepada teritip lembut dan teritip keras. Perbezaannya ialah teritip lembut mengeluarkan honeydew manakala teritip keras tidak.
Teritip biasanya menyerang bahagian bawah daun sepanjang tulang daun dan bahagian bawah bilah daun.
Biasanya menyerang Cattleya.
Hama lelabah berbintik dua ada sejenis serangga berkaki lapan, berwarna hijau kekuningan,tidak bersayap dan bortompok satu pada kiri dan kanan badannya.
Kebiasaannya menyerang pokok muda dan orkid yang berdaun tirus. Boleh dilihat dengan mata kasar. Bagi mengesan serangan dengan lebih awal, letakkan kertas putih di bawah daun orkid, goyangkan daun orkid tersebut.
Hama lelabah berbintik dua akan kelihatan merayap di atas kertas tersebut. Biasanya menyerang Cymbidium.
No comments:
Post a Comment