Alangkah malunya jika kolar dan bahu baju memutih akibat kelemumur yang bertaburan. Sisa-sisa kelemumur ini biasanya akan kelihatan begitu jelas kalau baju yang dipakai itu berwarna gelap.
Kelemumur merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau pun wanita. Biarpun ia bukan penyakit berjangkit, tetapi ia mampu menjejaskan personaliti seseorang.
Bukan saja tidak selesa kerana asyik menggaru kepala yang gatal, bahkan orang keliling pula rasa kurang senang dengan tahap penjagaan kebersihan diri. Sisa-sia kelemumur yang jatuh atas baju pula pasti menjejaskan penampilan seseorang.
''Kelemumur atau nama saintifiknya pityriasis sapitis adalah satu fenomena biasa yang dialami oleh 50 peratus daripada manusia dari pelbagai latar belakang,'' kata Pakar Perunding Kanan Dermatologi, Dr. Steven Chow Kim Weng.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Pengenalan Mengenai Kulit Kepala dan Kelemumur pada Bengkel Media Head & Shoulders di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr. Kim Weng berkata, sebenarnya kelemumur berpunca dari sejenis yis yang dinamakan malassezia globosa. ''Yis ini akan memakan sebum kulit (lipid) dan kemudiannya mula mengeluarkan sejenis molekul,'' katanya.
Molekul yang dirembeskan itu akan menyebabkan berlakunya kegatalan pada kulit kepala. ''Dari sinilah punca di mana kulit kepala mula berkuping dan akan berlakunya kelemumur,'' katanya.
Jelasnya, kelemumur akan menyebabkan seseorang itu mula rasa tidak selesa kerana kulit kepala gatal dan mereka akan asyik menggaru.
Kegatalan kulit kepala yang amat sangat juga akan membuatkan masa tidur akan terganggu. ''Orang yang menghadapi masalah kelemumur ini juga akan mula berhadapan dengan masalah rambut rosak atau gugur,'' katanya.
Selain itu, katanya, ia juga akan menyebabkan seseorang itu mula merasa tidak selesa untuk bersosial kerana selalu menggaru kepala. Lebih memalukan apabila banyak kelemumur jatuh di atas bahagian leher baju.
Jelasnya, setakat ini dianggarkan 4.3 juta rakyat di negara ini menghadapi masalah kelemumur. Dr. Kim Weng memberitahu, sebenarnya terdapat pelbagai jenis masalah kelemumur. Ia bukan sahaja pada bahagian kulit kepala sahaja.
''Ada yang jenis berkuping dengan kelemumur ini merebak hingga ke bahagian telinga,'' katanya. Selain itu ada masalah kelemumur yang terjadi di bahagian hidung, kening dan dahi yang kelihatan seolah-olah seperti jerawat kecil.
Masalah kelemumur juga dihadapi mereka yang mengambil steroid bagi mengubati penyakit. ''Bayi yang baru lahir juga boleh menghadapi masalah kelemumur yang dipanggil cradle cap,'' katanya.
Bagaimanapun, katanya, masalah kelemumur itu masih boleh diubati dengan penggunaan syampu yang bersesuaian. ''Biasanya syampu itu perlu mengandungi bahan antikulat yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah kelemumur,'' katanya.
Sebaiknya penggunaan syampu kata beliau, perlu diteruskan sepanjang masa bagi mengelakkan ia berulang. Sementara itu, Saintis Procter & Gamble (P&G), Dr. Jasmine Karsono menjelaskan, adalah perkara normal apabila seseorang itu mengalami keguguran rambut antara 50 hingga 100 helai setiap hari.
''Ini memandangkan rambut hanya bertahan selama dua hingga tiga tahun di kepala seseorang dan ia akan luruh dan tumbuh kembali,'' katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Selamat Tinggal Kelemumur dan Rambut Gugur.
Bagaimanapun, katanya, rambut gugur juga disebabkan oleh faktor lain, antaranya kerap menggunakan pengering rambut atau menyikat rambut dengan terlalu kerap.
''Biasanya kita akan mudah melihat rambut gugur dengan banyak ketika membasuh rambut semasa mandi atau bertaburan di bantal selepas bangun tidur,'' katanya.
Malah, katanya, masalah kelemumur juga bukan sahaja akan menyebabkan berlakunya keguguran rambut tetapi juga akan merosakkan rambut.
''Sekalipun kelemumur bukan penyakit mengancam nyawa tetapi masalah ini akan menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa kerana terlalu kerap menggaru juga akan membuatkan kulit kepala rosak," katanya.
No comments:
Post a Comment