Klik! iklan Nuffnang tanda sokong blog ini. Terima kasih.

Monday, 30 January 2012

Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diberi penerangan mengenai produk yang dihasilkan oleh peserta lepasan PBU sambil diperhatikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (kanan).
 
Bidang keusahawanan terbukti mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang menceburinya.
 
Namun, rata-rata masyarakat masa kini kurang yakin terhadap bidang ini di samping tidak mempunyai ilmu yang lengkap mengenainya.

Ada yang berminat tetapi ilmu tidak cukup. Ada pula terpaksa berputus asa berhenti separuh jalan gara-gara ketiadaan pengalaman.

Sebab itu Jabatan Pertanian merintis jalan membuka peluang kepada golongan belia dan beliawanis menceburkan diri dalam bidang perniagaan melalui Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan.

Menurut Timbalan Pengarah, Seksyen Industri Asas Tani, Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Faridah Aini Muhammad, kursus tersebut diperkenalkan mulai 2002.

Ia bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai kemahiran teknikal dan keusahawanan.

"Ia juga bertujuan untuk mendidik mereka agar berupaya menguruskan perusahaan makanan berasaskan pertanian secara serius bagi memenuhi permintaan makanan berproses yang semakin meningkat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Faridah Aini, kursus tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pemprosesan produk makanan dengan memberi penekanan kepada aspek Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

Ia bagi menjamin tahap keselamatan produk yang dihasilkan yang merupakan prasyarat kepada Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Antara yang dipelajari adalah pelbagai produk sejuk beku seperti karipap, roti canai, donat, kuih kasturi, roti bom dan produk bakeri seperti roti, kek, pastri serta biskut.

Selain itu, peserta juga berpeluang mempelajari cara menghasilkan produk berasaskan buah-buahan antaranya kelapa seperti kerisik, santan, dodol, seri kaya, biskut kelapa, pes rendang dan gula-gula kelapa.

Terdapat juga pelbagai produk hasilan buah-buahan seperti jem buah-buahan, kordial, puri, ban, kek buah, buah bersalut serta pelbagai produk makanan ringan seperti kacang bersalut, buah rotan, kuih tiram dan popia mini.

Untuk melengkapkan kemahiran pengurusan dan jaminan ke atas produk proses yang dihasilkan, peserta turut dilatih dalam aspek keusahawanan.

"Ia meliputi aspek pengurusan perniagaan dalam skala yang kecil, pengurusan kewangan, pemasaran, keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penyediaan rancangan perniagaan yang betul," katanya.

Jangkamasa kursus ialah enam bulan. Sesi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei hingga November tahun ini.

Program tersebut melibatkan pelbagai aktiviti dan terbahagi kepada lima modul utama iaitu empat minggu pertama peserta akan dikumpulkan di PBU di Serdang, Selangor.

Kemudian peserta akan di hantar ke PBU yang terdapat di seluruh negara mengikut kursus yang ditawarkan bagi menjalani modul amali, kelas serta latihan amali selama lapan minggu.

Setelah menjalani pelbagai teori, kelas serta praktikal, peserta akan diberi peluang melaksanakan projek usahawan secara berkumpulan di PBU masing-masing selama lapan minggu juga.

Menurut Faridah Aini, apa yang menarik. peserta bebas menentukan produk dan kaedah perniagaan yang ingin diusahakan.

"Mereka akan diberikan modal permulaan membabitkan bahan mentah, peralatan dan khidmat nasihat kemudian akan mula menjual serta memasarkan produk mereka secara sendiri. Biarpun mereka akan bergerak sendiri namun perjalanan projek tetap akan dipantau oleh pegawai jabatan bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya.

Peserta juga bebas untuk menentukan lokasi jualan. Malah jika ingin mendapatkan keuntungan lebih peserta juga boleh menggunakan segala peralatan di PBU masing-masing pada bila-bila masa.

Malah, keuntungan yang diperoleh semasa menjalankan projek praktikal tersebut boleh diambil oleh peserta untuk kegunaan mereka sama ada sebagai simpanan mahupun sebagai modal untuk memulakan perniagaan apabila tamat berkursus.

Biarpun ia hanya merupakan projek berkumpulan ketika berkursus, namun ada kumpulan peserta sebelum ini pernah mencatatkan keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit biarpun hanya dalam masa dua bulan (lapan minggu projek) sahaja.

"Malah, ada di antara mereka sendiri tidak mempercayai dengan pulangan lumayan yang mereka peroleh," katanya.

Setelah berjaya menjalankan projek berkumpulan tersebut selama satu minggu, peserta akan diperkenalkan bersama pihak swasta, syarikat serta agensi yang berkaitan perniagaan serta keusahawanan.

Ia bertujuan untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang perjalanan sektor keusahawan secara realiti dan hands on.

Pada minggu akhir ini juga turut diadakan pertandingan mencipta resipi dan majlis penyampaian sijil.

Tambah Faridah Aini, sejak kursus tersebut diwujudkan sambutan orang ramai adalah amat menggalakkan.

Kadang-kala untuk satu-satu sesi kita menerima sehingga 300 permohonan namun hanya terdapat 70 atau kurang kekosongan yang boleh diberikan.

"Justeru kita perlu melaksanakan temuduga dan memilih mereka yang benar-benar berminat untuk menjadi usahawan, ini kerana kos yang ditanggung kerajaan untuk melaksanakan kursus ini juga amat tinggi," katanya.

Jelas Faridah Aini, kos bagi seorang peserta mampu mencecah sehingga RM10,000 atau pun lebih bagi satu-satu sesi selama enam bulan.

Bagi keseluruhan kursus, Jabatan Pertanian membelanjakan jutaan ringgit. Justeru, bagi pihak kami, pemilihan adalah berdasarkan kepada mereka yang menunjukkan minat yang mendalam didalam bidang ini serta berpotensi untuk menjadi usahawan apabila tamat berkursus.

"Semuanya telah tersedia secara percuma, terpulang kepada mereka-mereka yang benar-benar berminat untuk menyertainya serta bercita-cita untuk menjadi usahawan berjaya," katanya.

Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan

Antara produk sejuk beku yang dihasilkan oleh Halimah Saadiah Abdullah di PBU, Serdang, Selangor.

JIKA diberi peluang saya juga ingin menyertainya," ujar Mohd. Ariff Izwan Rahmat, 29 seorang usahawan makanan sejuk beku.

Beliau berkata demikian setelah melihat sendiri kejayaan yang ditunjukkan oleh isterinya, Raja Nazatul Shima Raja Ahmad, 29 yang merupakan seorang lepasan Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian.

Ujar Mohd. Ariff Izwan, sebelum ini beliau sememangnya seorang usahawan produk makanan namun ia tidak serancak seperti mana selepas isterinya menyertai kursus tersebut.

Namun semenjak isteri saya menyertai kursus tersebut ia bagaikan satu pembaharuan dan keyakinan terhadap bidang ini semakin bertambah.

"Tambahan pula isteri saya kini turut menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang usahawan produk makanan, kini saya pula menjadi pembantunya dan bersama-sama mengusahakan perniagaan sejuk beku ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Pasangan tersebut yang menumpukan perhatian terhadap produk sejuk beku seperti karipap turut mengakui kadang-kala mereka tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan yang diterima.

Jelas Raja Nazatul Shima, pada awalnya dia tidak berminat dengan bidang usahawan tersebut dan selepas sahaja menamatkan pengajian bidang Diploma Pertanian dia terus berusaha mencari pekerjaan di sektor awam.

"Ketika sedang mencari kerja di Jabatan Pertanian saya 'bertemu' dengan kursus ini. Lalu tanpa berfikir panjang saya menyertainya dan setelah setahun saya menamatkan kursus tersebut, kini saya mampu tersenyum dengan pendapatan yang diperoleh," katanya.

Tambah Raja Nazatul Shima, pada peringkat permulaan ibu bapanya seakan tidak menggalakkan dia bekerja dalam sektor awam sama seperti mereka.

Namun, setelah berusaha menerangkan usahanya serta melihat kejayaan yang ditunjukkan, kini, mereka merupakan antara pendorong dan penyokong kuat dirinya untuk meneruskan perniagaan tersebut.

Saya menyertai kursus tersebut pada tahun lepas dan kini selepas hampir setahun saya berjaya menghasilkan hampir 10 jenis kuih muih sejuk beku.

"Saya juga kadang-kala menerima tempahan untuk perkahwinan melibatkan kuih seperti karipap dan pisang goreng akan digoreng ketika majlis berlangsung dan di makan panas-panas," katanya.

Biarpun idea tersebut masih baru untuk majlis-majlis perkahwinan, namun ia telah diterima dengan baik malah tempahan untuk tujuan tersebut juga banyak diterima oleh mereka.

Kini, pasangan tersebut sedang berusaha membesarkan perniagaan mereka dan sedang mencari kedai yang bersesuaian untuk menubuhkan sebuah syarikat.

Dalam pada itu, menurut Halimah Saadiah Abdullah, 42, sebelum menyertai Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan kelolaan Jabatan Pertanian tersebut, dia telah menjalankan perniagaan produk bakeri.

Saya telah bersama Jabatan Pertanian dalam mengusahakan produk bakeri sebelum ini selama tujuh tahun.

"Pada tahun 2009 saya menyertai pula kursus ini dan selepas menyertainya saya mendapati ia lebih baik daripada kursus-kursus sebelum ini kerana mengandungi pelbagai ilmu berkenaan perniagaan serta pengisiannya lebih baik," katanya.

Tambah Halimah Saadiah, kini perniagaannya bergerak di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga promosi secara individu.

Biarpun masih belum memiliki kedai sendiri, namun Halimah Saadiah memiliki beberapa tapak pasar tani serta pasar malam sekitar Kuala Lumpur.

Mensasarkan penggemar karipap, Halimah Saadiah memperkenal beberapa resipi baru antara ialah karipap berintikan cendawan, ayam, daging, sardin, udang kering juga kentang.

Malah, beliau juga turut memperkenalkan produk sejuk beku seperti donut dan donut sosej selain produk istimewanya iaitu roti arab.

Katanya, berniaga sendiri adalah lebih mudah untuk menentukan pendapatan, jika mahukan pendapatan lebih maka perlulah berusaha dengan lebih gigih.

Dia yang bekerja sendiri mengakui menjadi seorang usahawan pastinya ada naik turun dalam perniagaan dan penat lelah tersebut berbaloi jika melihat pendapatan lumayan yang diterima.

Biarpun berniaga hanya di pasar malam, namun pendapatannya kadang-kala mencecah ribuan ringgit malah mampu menyaingi mereka yang makan gaji.

Kini beliau dibantu oleh anak saudara dan keluarga untuk menghasilkan produk-produknya serta dalam proses untuk berpindah ke kawasan baru yang lebih dekat dengan PBU Serdang.

Apa yang pasti, kejayaan peserta Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian bukan sahaja hasil daripada modul serta pengisian kursus yang bagus namun ia turut bergantung sepenuhnya kepada individu yang menyertainya.

Jika mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya pastinya perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh, namun jika diberikan peluang sedemikian pastinya merupakan satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan.

Pokok Hiasan Rumah Serap Toksik

 Shafie Harith menunjukkan pokok yang sesuai diletakkan di dalam rumah.

Biasanya pokok-pokok hiasan hanya ditanam di luar rumah. Malah ada tidak suka pokok diletakkan dalam rumah atas alasan ia menjadi tempat nyamuk bersarang.

Bagaimanapun kajian yang dijalankan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat (AS) sekitar tahun 1986 hingga 1989 menunjukkan terdapat beberapa tumbuhan yang amat berguna bagi menyerap bahan toksik dalam persekitaran tertutup.

Semuanya bermula apabila NASA menyediakan pokok-pokok yang boleh hidup di dalam kapal angkasa bagi tujuan membekalkan oksigen dan menghapuskan bahan toksik.

Apa yang menarik, kajian berkenaan mendapati pokok-pokok tertentu terutama yang terdapat di kawasan tropika amat sesuai menyerap bahan toksik dalam rumah dan pejabat.

Terdapat tiga jenis toksik yang terdapat di kawasan kediaman yang juga dikenali sebagai Sick Building Syndrome atau Sindrom Bangunan Sakit.

Antara bahan toksik yang berbahaya dan biasa terdapat dalam bangunan adalah formaldehyde, benzene dan trichloroethylene.

Formaldehyde berpunca daripada foam dalam tilam dan kusyen perabut, kayu lapis dalam dinding, perabut, kertas, beg kertas, kertas tisu, kertas tuala, bahan pencuci, permaidani, pakaian dan cadar.

Benzene pula biasa terdapat dalam minyak, pewangi, losen, syampu, sabun pembasuh, dakwat, cat, pelbagai plastik dan getah.

Trichloroethylene terdapat dalam pelbagai bahan logam, bahan pencuci, pelekat dan dakwat cetakan.

Pengurus Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Port Dickson, Negeri Sembilan, Shafie Harith berkata, dalam gaya hidup moden, biasanya masa dihabiskan di tiga tempat utama iaitu rumah, pejabat dan kereta.

"Bagaimanapun di ketiga-tiga tempat berkenaan mendedahkan manusia kepada bahan toksik daripada lahir ke sehingga ke akhir hayat.

"Kajian mendapati pendedahan yang berterusan kepada bahan toksik seperti formaldehyde menyebabkan kegatalan pada mata, hidung dan tekak, lelah atau asma, penyakit kulit hingga ke kanser tekak," katanya semasa ditemui di tapak pameran tanaman hiasan dalam rumah kelolaan FAMA sempena pameran MyAgro di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Benzene menyebabkan pening, lemah badan, mata kabur, penyakit paru-paru, kerosakan hati dan buah pinggang, mengganggu perkembangan bayi dalam kandungan, kanser darah.

Manakala trichloroethylene pula menyebabkan kanser hati.

Bagi mengelakkan terdedah kepada bahan toksik sepanjang masa dan mendapatkan udara yang segar serta bersih, pengguna disarankan tidur di kawasan bebas toksik seperti dalam hutan belantara, mengamalkan pemakanan sihat dan makanan tambahan serta bersenam bagi membuang toksik melalui kencing dan peluh.

"Tetapi jalan paling mudah adalah dengan meletakkan beberapa jenis tanaman hiasan dalam rumah dan pejabat," katanya.

Baja Organik Sendiri

Zamani Mohd. Noor kini boleh berbangga dengan kejayaan menghasilkan baja organik sendiri.

Bermula dengan hobi berkebun, Zamani Mohd. Noor sentiasa mencari yang terbaik untuk meningkatkan produktiviti tanamannya.

Mana saja baja yang dikatakan berkesan pasti dia akan membeli dan mencuba pada tanamannya.

Bagaimanapun kesukaran mencari baja yang berkesan, baik serta sesuai bagi pertanian mendorong Zamani menjalankan kajian sendiri.

"Memang sukar mencari baja yang menepati keperluan tanaman saya ketika. Bukan semua baja dapat menyuburkan tanah dan dalam masa yang sama mengelakkan jangkitan pada tanaman," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Wangsa Biz Avenue, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biasanya ukuran baja menggunakan rujukan Nitrogen, Fosforus, Kalium atau NPK dan biasanya baja kimia mempunyai nisbah NPK yang tinggi.

Bagaimanapun kebanyakan baja yang ada di pasaran seperti tidak mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

Malah penggunaan baja kimia secara berterusan dan berlebihan boleh menyebabkan tanah 'mati' dan perlu dipulihkan semula.

"Tanah yang telah mati mengambil masa hampir tiga tahun untuk dipulihkan dengan memelihara koloni cacing yang berfaedah dalam pertanian," katanya.

Justeru pada tahun 2007, Zamani menjalankan kajian mengenai baja yang menggunakan mikrob yang berfaedah (EM).

Minatnya terhadap baja mendorong Zamani membangunkan Suzahara Ventures Sdn. Bhd. bagi memasarkan produk bajanya.

"Bagi memastikan produk baja kami berkesan, kami bekerjasama dengan BIFA Farm yang menanam pelbagai tanaman di tanah seluas 1,000 hektar di Bandar Muadzam dan Rompin Pahang serta Kota Tinggi dan Gelang Patah di Johor," katanya.

Buat masa ini, pelanggan tetap Suzahara Ventures adalah PPK Johor. Mempunyai kilang di Gelang Patah, Johor ia berupaya mengeluarkan sehingga 10 hingga 12 tan baja setahun.

"Kami sedang merancang meluaskan lagi operasi dengan membina sebuah lagi kilang di Kempas, Johor bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Zamani berkata, kelebihan baja Suku Bumi keluaran Suhazara adalah pokok cepat berbuah. Misalnya pokok durian belanda yang biasanya berbuah apabila mencapai usia 18 bulan, telah mula mengeluarkan bunga pada bulan ke lapan.

"Ketika itu kami yang tidak mempunyai cukup pekerja terpaksa memetik buah yang masak untuk dijadikan puree," katanya.

Selain itu Zamani berkata pihaknya juga memasarkan jus limau kasturi yang sesuai untuk masakan dan minuman.

Mereka yang berminat mengetahui mengenai baja Suku Bumi boleh menghubungi Suzahara Ventures di http://suzahara.blogspot.com/ atau menghubungi 03-4142 4140/4450/4453.

Urus Niaga di Internet

Setelah seorang pelabur membuka akaun CDS (Sistem Depositori Pusat) dan akaun jual beli saham dengan syarikat broker saham beliau boleh membuka akaun urus niaga dalam talian atau online trading.

Proses pembukaan akaun dalam talian akan menggunakan sistem Internet di laman web syarikat broker saham.

Seorang pelabur perlu mempunyai alamat emel sendiri untuk berdaftar. Setelah semua proses pendaftaran selesai, pelabur akan mempunyai kata laluan sendiri untuk membolehkannya mula menggunakan laman web broker saham beliau sebagai seorang pelanggan yang berdaftar.

Pelabur boleh mendapat semua maklumat terkini tentang pasaran saham melalui laman web ini termasuk harga-harga saham semasa, berita-berita terkini tentang kedudukan pasaran saham tempatan dan dunia juga berkaitan analisis fundamental dan teknikal syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa saham Malaysia.

Semua maklumat ini diperoleh secara percuma oleh pelanggan berkenaan. Terdapat butang tertentu untuk pelanggan membuat pesanan belian dan jualan di laman web ini di mana pelanggan boleh membuat pesanan urus niaga sendiri tanpa bantuan broker saham mereka.

Juga terdapat satu butang yang akan menunjukkan semua urusan jualbeli saham yang sedang dilakukan pada hari tersebut.

Pelanggan juga akan mendapat status terkini tentang semua urusan jualbeli saham yang dilakukan di dalam akaun beliau.

Kelebihan dan kekurangannya

Banyak kelebihan yang diperoleh oleh pelanggan yang mahir berurusan secara dalam talian.

Kelebihan utama adalah dari segi kos transaksi di mana kesemua broker saham tempatan menawarkan kadar yuran pembrokeran yang sangat rendah berbanding dengan yuran yang dikenakan jika pelanggan membeli atau menjual saham melalui telefon.

Ini adalah suatu keuntungan besar kepada pelanggan kerana mereka dapat mengurangkan kos jualbeli saham.

Kos transaksi yang rendah boleh membantu pelanggan untuk lebih mudah membuat keuntungan ketika berurusniaga di pasaran saham secara aktif.

Sebagai contoh, pelanggan perlu membayar yuran minimum RM40 jika mereka melakukan pesanan jualbeli melalui telefon, sedangkan terdapat broker saham yang hanya mengenakan yuran minimum serendah RM8 untuk pesanan yang sama secara dalam talian.

Melalui laman web secara dalam talian terdapat begitu banyak maklumat-maklumat terkini yang boleh membantu pelanggan dalam membuat analisis sendiri sebelum mereka melakukan sebarang urusan membeli atau menjual kaunter yang mereka miliki.

Dengan maklumat-maklumat yang terkini dan analisis-analisis yang boleh dilakukan melalui laman web ini pelanggan akan lebih mudah membuat keputusan yang bijak sebelum mereka membeli atau menjual kaunter-kaunter yang mereka minati atau sedang miliki.

Kekurangan urus niaga secara dalam talian adalah tiada lagi sentuhan peribadi di antara pelanggan dan broker mereka. Pelanggan tidak mendapat pandangan peribadi dari broker saham mereka atau sebarang bentuk tips terkini dipasaran.

Satu lagi kekurangan adalah jika berlakunya gangguan talian sama ada di pihak pelanggan, syarikat telekomunikasi atau broker saham.

Gangguan ini boleh mengganggu kelancaran proses jualbeli saham yang ingin dilakukan. Bagaimana pun pelanggan boleh terus berurusan dengan broker mereka secara telefon jika situasi ini berlaku.

Saturday, 28 January 2012

Tanam Kacang Tanah

 
Kacang Tanah

Kacang tanah banyak digunakan sebagai minyak, marjerin, sabun, kacang goreng dan sebagainya.

Ia mengandungi banyak nutrien seperti niacin, folate, serat, magnesium, vitamin E dan sebagainya.

Kacang tanah adalah merupakan sumber niacin yang baik untuk kesihatan otak dan perjalanan darah di samping kandungan unsur antioksidan.

Keperluan bentuk muka bumi dan keadaan tanah
  • Tanah rata hingga sedikit bercerun.
  • Tiada kejadian air bertakung dengan saliran air yang baik.
  • Kedalaman tanah melebihi 50 sentimeter (sm) dengan tekstur tanah yang longgar.
  • pH 5.5 - 7.0
Penyediaan tanah
  • Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik - balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik.
  • Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang sesuai.
Kadar biji benih dan jarak tanaman
  • Kadar biji benih yang disyorkan adalah 60kg/ha. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam.
  • Jarak tanaman yang sesuai adalah 50 sm x 10 sm, sebiji selubang dengan kepadatan 200,000 pokok /hektar.
  • Menanam boleh menggunakan tugal atau mengunakan jentera.
Pembajaan
  • Kadar pembajaan yang biasa adalah 34:56:56 kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah.
  • Kacang tanah memerlukan unsur kalsium yang lebih terutama pada peringkat pembentukan lengai mana kekurangan unsur ini akan menyebabkan lengai tidak berisi.
  • Sumber kalsium ini boleh didapati dari kapur dan disyorkan ditabur pada peringkat pokok mula berbunga.
Pengawalan rumpai
  • Racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.
  • Merumpai pusingan pertama boleh dijalankan pada antara 14 dan 21 hari selepas menanam dan pusingan kedua dia antara 30 dan 35 hari selepas menanam.
Kawalan perosak
  • Ulat daun seperti Spodotera litura dan Heliothis arnigera boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.
  • Perosak lengai, Etella zinckenella juga boleh dikawal dengan racun serangga Diazinon.
  • Tikus merupakan perosak utama yang boleh menyebabkan kerugian besar. Amalan kultura yang baik dan kebersihan kawasan dapat mengurangkan serangan tikus di samping penggunaan racun dan umpan.
Kawalan penyakit
  • Layu bakteria disebabkan oleh Pseudomonas solanacearum menyebabkan pokok layu dan mati.
  • Mozek kacang tanah yang disebarkan oleh kutu daun (aphid) menyebabkan daun bertompok-tompok berwarna hijau tua.
  • Penyakit kacang tanah dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik termasuk penggiliran tanaman.
Pemungutan hasil
  • Hasil kacang tanah boleh dikutip antara di antara 90 dan 110 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti yang ditanam.
  • Anggaran hasil adalah tiga hingga 3.7 tan/ha.

Tanam Nanas Tidak Menghampakan

Hassan Salleh (kanan) menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (kiri) dan Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah di ladangnya di Muar, Johor.

Bertugas sebagai kakitangan kerajaan sejak sekian lama tidak menghalang Hassan Salleh menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Malah, dia menyimpan minat untuk mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar dalam kerjaya hidupnya.

Tawaran oleh seorang pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kira-kira 10 tahun lepas, telah merintis jalan kepadanya untuk mencuba bidang pertanian khususnya projek penanaman nanas.

Selain mempunyai kerjaya sebagai kakitangan Jabatan Penjara, penanaman nanas yang merupakan bidang baru baginya, nyata tidak mengecewakan.

Peluang itu diperoleh ketika bertugas di Penjara Johor Bahru pada 1995 kembali ke Muar dan mengusahakan tanaman nanas berkeluasan 3.2 hektar (lapan ekar) yang dimulakan di Ayer Hitam.

Malah sejak mula berjinak-jinak dalam projek penanaman, anak jati Muar berusia 52 tahun itu sebelum ini pernah terlibat membawa banduan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

''Saya sebelum ini membawa banduan semasa berkhidmat di Penjara Simpang Renggam untuk membina masjid dan surau dan menjadi arkitek untuk tujuan itu," katanya yang mula bertugas di jabatan berkenaan pada 1982.

Pada 2000, bapanya meninggal dunia di Mekah dan memaksa dia kembali ke kampung halaman di Muar, sebelum ditawarkan mengusahakan tanaman nanas seluas 3.2 hektar (lapan ekar).

Dengan tiada pengalaman, bapa kepada lima anak ini memulakan satu usaha yang bukan mudah, malah terpaksa bekerja keras dan tanpa bantuan pada peringkat awal pembabitan.

Hassan juga terpaksa mencari beberapa pemilik tanah di Kota Tinggi, Johor untuk menambah keluasan tanah penanaman melibatkan empat ekar tanah bagi seorang pemilik.

''Kita buat perjanjian untuk pajak dengan pemilik selama 15 tahun supaya ada ada ikatan,'' ujarnya sambil memberitahu usaha pencarian tanah yang sesuai untuk penanaman mengambil masa selama setahun.

Dia juga terpaksa menjual dua buah kereta sebagai modal permulaan dan berjaya mengumpul RM28,000 untuk membeli tanah.

Sebab itu, pembabitannya dalam tanaman nanas boleh dianggap satu tindakan nekad, memandangkan ia dimulakan tanpa pengalaman, tiada modal dan tanpa bimbingan.

Bagi menjadikan usaha tersebut lebih lancar, dia menubuhkan syarikat Bonek pada bulan Mac 2001 yang kini dikenali sebagai Bonek Enterprise Sdn. Bhd.

'Bonek' bermaksud 'sama-sama nekad, sekali gus menggambarkan dan mengabadikan semangat tersebut dan sebagai pendorong kepada apa yang dicita-citakannya.

Sehingga kawasan penanaman nanas yang dimiliki mencecah 320 ekar termasuk 30 ekar tanah milik TNB.

Hassan berkata, sebanyak 12,000 hingga 15,000 pokok nanas ditanam bagi setiap ekar kawasan penanaman dan kebanyakannya daripada jenis Josapine.

Berkongsi lanjut mengenai bidang tersebut, Hassan berkata, nanas boleh dituai selepas sembilan bulan ditanam.

Ketika ini dia memperoleh kebanyakan benih dari Thailand dengan harga 35 sen sebiji manakala modal sepokok bagi menanam nanas ialah 35 sen sebiji. Harga pasaran pula RM1.60 sebiji.

Buah nanas yang telah dituai dipasarkan ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terutama bagi nanas Josapine.

Mengenai masalah utama tanaman nanas, Hassan menjelaskan, ancaman haiwan perosak merupakan perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Dia juga mendapat bantuan daripada LPNM bagi membina sistem perparitan.

Selain itu, dia turut berkongsi kegembiraan apabila mendapat bantuan pinjaman kewangan daripada Agrobank untuk mengembangkan projek tersebut sejak pembabitannya dulu.

Dia telah menerima pinjaman bank terbabit 2006 sebanyak RM150,000 dan pinjaman kedua menyusul pada tahun ini sebanyak RM138,000.

Tanam Nanas

Buah Nanas

Menurut Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) nanas mengandungi vitamin C yang tinggi yang sangat baik untuk kesihatan dan dapat membantu menyembuhkan luka di samping Vitamin B1 dan B2.

Penyediaan tanah
  • Bagi kawasan yang baru dibuka, kerja-kerja menebang, menerangkan kawasan dan membuat parit dijalankan.
  • Parit perlu dibina untuk mengelak akar terendam sebagai contoh, untuk tanah gambut parit besar dengan ukuran 244 sentimeter (sm) x 910 sm x 152sm dan parit kecil 122 sm x 92 sm x 92 sm dibina melintang parit besar dengan jarak 200 meter tiap satu.
Bahan tanaman
  • Pembiakan tampang adalah lebih mudah iaitu dengan menggunakan sulur tangkai, sulur udara, sulur tanah atau jambul nanas.
  • Sulur tangkai selalu digunakan dimana sulur-sulur berkenaan akan dicelupkan dalam larutan Bordeux dan ditoskan lalu dibiarkan pangkal sulur ke atas selama dua minggu (campuran Bordeux - 0.4 kg CuSO4 + 0.9 kg Ca(OH)2 dilarutkan dalam 46 liter air).
  • Pangkal sulur dipotong dan daun-daun sisik dibuang supaya cepat berakar.
Menanam
  • Jarak tanaman yang disyorkan ialah 120 sm x 60 sm x 30 sm (37,000 pokok/ha) dalam dua barisan atau boleh juga 90sm x 60sm x 30sm (43,500 pokok/ha) mengikut kesesuaian.
  • Lubang dibuat menggunakan kayu tugal dan tanamkan sulur yang sama saiz pada petak atau kawasan yang sama untuk keseragaman.
  • Tanam satu sulur untuk satu lubang dan padatkan tanah keliling sulur supaya ia dapat tegak dan tidak mudah rebah.
Membaja
  • Kadar pembajaan NPK 30:1:32 dengan kadar 200 kg/ha pada tiap-tiap peringkat umur tiga, enam dan sembilan bulan adalah disyorkan untuk tanah gambut.
Merumpai
  • Merumpai dijalankan dua bulan sekali pada peringkat umur 6 bulan dan selapas itu tiga bulan sekali.
Induksi bunga
  • Hormon penggalak bunga boleh meningkatkan kematangan pokok, menghasilkan buah yang lebih besar dan serentak.
  • Buah nanas dihasilkan pada peringkat umur antara 12 dan 13 bulan dengan menggunakan hormon dan tanpa hormon antara 18 dan 24 bulan.
  • Contoh hormon seperti pil ANA (Alpha Naphtyl Acetic) satu biji sepokok atau ethapon (30 ml ethrel + 180 g urea + 18 liter air) disembur 40-50 ml pada pangkal pokok atau tengah pucuk.
Perosak
  • Koya memakan pangkal daun, akar dan buah. Daun bertukar warna merah dari hujung daun hingga keseluruhan pokok menjadi layu.
  • Teritip menghisap tisu daun, buah dan tangkai menyebabkan bintik-bintik kuning pada daun.
  • Hama merah memakan bahagian pangkal daun tua hingga menyebabkan tompok-tompok lekuk berwarna coklat.
  • Kawalan bagi serangga di atas adalah dengan menggunakan sulur yang sihat dan racun serangga yang bersesuaian.
Penyakit
  • Buah hantu disebabkan oleh bakteria Erwinia chrysanthemi menyebabkan buah menjadi lembik dan reput dan mengeluarkan cecair antara dua tiga minggu sebelum buah masak.
  • Reput teras disebabkan oleh bakteria Erwinia chrysanthemi menyebabkan daun di bahagian pucuk menjadi lembut dan reput bermula dari pangkal daun dan merebak ke atas daun.
  • Reput perdu oleh kulat Thielaviopsis paradoxa menyebabkan reput di bahagian pangkal pokok nanas.
  • Mata dalam disebabkan oleh kulat Penicillium funiculsom menyebabkan dinding ovari anak buah diliputi lapisan berongga, merebak ke arah empulur berwarna coklat gelap dan keras.
  • Penyakit ini dapat dikawal dengan menggunakan benih sulur yang sihat, buang pokok yang berpenyakit dan amalan kultura yang betul.
Memungut hasil
  • Hasil boleh dikutip selepas 18 bulan ditanam.
  • Buah boleh dipetik sekurang-kurangnya satu matanya berubah ke warna kuning. Anggaran hasil tanaman pertama adalah lebih kurang 42 tan/ha dan untuk tanaman kedua (ratoon) 27 tan/ha mengikut jenis kultivar nanas. Potensi hasil Josopine (35 tan/ha), Moris (35 tan/ha) dan N36 (45 tan/ha).
Penggredan buah nanas
  • Buah nanas boleh digredkan berdasarkan saiz buahnya iaitu Klas A (12-12.7 sm), Klas B(11 -12.0 sm) dan Klas C (9-11.0 sm).

Tanam Sekoi

Sekoi boleh hidup pada tanah yang agak kering, masin dan beralkali serta liat dengan pH 8.5. Ia mempunyai daya kerintangan tinggi kepada banjir, kemarau dan serangga perosak berbanding dengan jagung.

Fizikal pokok sekoi sama lebih kurang dengan pokok jagung cuma hasil/buahnya terletak dihujung pokok dan tunas baru/anak akan keluar dari pokok yang sama selepas batang utamanya di potong yang dipanggil ratoon.

Penanaman

Tanah mesti dikerjakan dengan menyeluruh untuk mengembur, menghapus rumpai, memperbaiki pengudaraan dan penyerapan air yang baik untuk pertumbuhan akar dan pokok.
  • Membajak piring dua minggu sebelum menanam sedalam antara 20 dan 25 sentimeter (sm) untuk memasukkan sisa tanaman dan rumpai ke dalam tanah.
  • Membajak putar selepas membajak piring untuk memecahkan tanah menjadi ketulan kecil.
  • Mengapur untuk menaikan pH tanah kepada yang optimum iaitu 5.5 dan disyorkan GML (Ground Magnesium Limestone) dengan kadar dua tan/ hektar (ha) untuk tanah biasa.
  • Jarak tanaman bergantung kepada jenis tanah dan juga jenis sekoi iaitu antara dia antara 60 dan 90 sm antara baris dan di antara 10 dan 23 sm antara pokok.
  • Biji benih dirawat dengan racun kulat terlebih dahulu sebelum ditanam sedalam tiga dan lima sm sebanyak tiga atau empat biji selubang.
  • Menanam boleh menggunakan jentera atau dengan tangan dimana biji benih akan bercambah tiga hingga tujuh hari selepas ditanam.
  • Penjarangan dibuat selepas tiga minggu ditanam dengan meninggalkan satu pokok selubang.
Pengawalan tumbesaran

Kawalan rumpai dilakukan sebanyak dua kali iaitu dua minggu dan empat minggu selepas menanam.

Pembajaan dengan kadar NPK 102:45:45 kg/ha dimana separuh unsur N dan semua P dan K diberi sebagai baja asas dan separuh lagi N diberi sebulan selepas menanam.

Ulat pengorek batang adalah perosak utama dan boleh dikawal dengan semburan racun serangga yang bersesuaian.

Serangan burung adalah pada peringkat penyemaian dan ketika peringkat susu biji sekoi. Penyakit hawar daun dan smut biji sekoi boleh dikawal dengan amalan kultura yang baik dan menggunakan racun yang bersesuaian.

Penuaian

Hasil sekoi boleh dikutip mengikut jenis dan pada kebiasaannya di Malaysia bila mencapai di antara 97 dan 110 hari selepas ditanam.

Untuk dapatkan hasil kedua (ratoon) batang sekoi dipotong hingga berdekatan paras tanah supaya tunas tumbuh untuk mengeluarkan anak pokok baharu.

Jika tidak perlukan ratoon, potong pokok lebih tinggi dari paras tanah atau dengan mengerat atau memotong jambak buah.

Hasil mengikut jenis DOOBS (1,791 kg/ha), CE/71 (1662 kg/ha), CE/178 (1,669 kg/ha) dan 655N(1,523 kg/ha).

Penyimpanan

Biasanya biji sekoi disimpan tanpa diceraikan dari tangkai tetapi dikeringkan sehingga 10-14 % kelembapan untuk mengelak serangan kulat dan serangga.

Sunday, 1 January 2012

Selamat Tahun Baru 2012


Selamat Tahun Baru 2012 buat semua pembaca dan peminat blog ini. Semoga apa yang di rancang pada tahun ini menjadi kenyataan. Insyallah.