Salah satu kaedah penjagaan Cattleya iaitu meletakkan tanaman di atas medium tanaman.
Kehebatan orkid mendominasi 1/7 daripada tumbuhan berbunga di seluruh alam dan terdapat ribuan pelbagai orkid yang boleh dibiakkan.
Di Malaysia terdapat lebih kurang 100 genus orkid, atau dikenali dengan istilah botaninya Orchidaceae.
Antara yang paling digemari oleh peminat orkid ialah Oncidium, Phalaenopsis, Dendrobium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Rananthera, Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.
Kaedah pertumbuhan orkid
Terdapat dua kaedah bagi pertumbuhan orkid iaitu secara monopodial dan simpodial. Simpodial merujuk kepada cara pertumbuhan melalui rizom atau bebawang, tiada batang utama.
Bebawang adalah bersegmen (beruas-ruas) dan sebahagiannya pendek tanpa ruas. Setelah bebawang ini matang ia akan mengeluarkan pucuk-pucuk baharu.
Bunga akan keluar di penghujung pucuknya (kecuali bagi Dendrobrium sp. Bunga akan keluar di sisi batangnya).
Bebawang yang telah mencapai peringkat tua akan mengeluarkan tunas baharu sebelum mengecut dan mati.
Bagi tujuan untuk mendapatkan benih bebawang ini boleh dibiakkan. Contoh orkid simpodial ialah Dendrobium, Oncidium, Cymbidium dan Cattleya.
Monopodial pula merujuk kepada kaedah pertumbuhan dengan hanya satu batang sahaja yang tumbuh secara menegak, tidak bercabang dan tunas baharu akan keluar apabila batang ini dipotong.
Contoh orkid monopodial ialah seperti Vanda sp., Arachnis sp., Renanthera sp., Phalaenopsis sp., dan Aranthera sp.
Kaedah Pembiakan Orkid
Orkid boleh dibiakkan melalui bebawangnya bagi orkid jenis simpodial dan melalui keratan bagi orkid jenis monopodial.
Bagi pembiakan dengan menggunakan biji benih, tahap kematangan adalah agak perlahan dengan mengambil masa selama satu sehingga tiga tahun untuk mencapai peringkat matang.
Bagi pembiakan dengan menggunakan keratan pula tahap matang dapat dicapai dengan lebih cepat iaitu seawal empat bulan sehingga 12 bulan.
Bagi pembiakan secara keratan bagi orkid monopodial, potong batang orkid tersebut dan ditanam pada tanah yang mempunyai tahap kelembapan yang rendah.
Akar udara akan keluar melalui batang tersebut. Berbunga pada bahagian batang di antara dua ketiak daun.
Kaedah lain yang semakin mendapat tempat di kalangan peminat dan pengusaha orkid ialah kaedah pembiakan secara kultur tisu.
Habitat orkid
Habitat orkid boleh dibezakan melalui empat habitat yang berbeza iaitu epifit, terrestrial, litofit dan saprofit.
Epifit
Merujuk kepada orkid yang hidup dengan cara menumpang mana-mana bahagian pokok lain tanpa mengambil nutrien perumahnya. Contoh orkid jenis ini ialah Catteleya, Dendrobrium, Oncidium dan phaleonopsis.
Terrestrial
Merujuk kepada cara orkid yang hidup dan membesar secara terus di atas tanah. Contoh orkid jenis ini ialah Aranthera, Rananthera, Arachnis dan Vanda.
Tumbuh di atas batu-batan. Contoh orkid jenis ini ialah Dendrobrium dan Phaleonopsis.
Saprofit
Humus dan bahan organik sebagai media pertumbuhan. Contoh orkid jenis ini ialah Caranthe dan Goodyera sp.
Keperluan Pertumbuhan
Umumnya orkid memerlukan persekitaran yang panas pada siang hari dan keadaan yang sejuk pada malam hari.
Keperluan air pula adalah bergantung kepada jenis media yang digunakan yang kebiasaannya disesuaikan dengan sifat pertumbuhan orkid yang ditanam, keadaan persekitaran yang berkait rapat dengan suhu dan peringkat pertumbuhan iaitu usia orkid tersebut.
Kaedah Penanaman Orkid
Langkah pertama yang harus dilakukan bagi penanaman orkid ialah mengenalpasti jenis orkid yang dipilih, kemudian mengenalpasti keperluan orkid tersebut.
Kita harus memahami secara terperinci segala keperluan bagi menjamin pertumbuhan yang baik dan seterusnya memantapkan kemandirian orkid tersebut bagi penghasilan bunga yang berkualiti.
Perkara-perkara yang harus diambil perhatian ialah pemilihan media yang bersesuaian, keperluan persekitaran orkid tersebut dan cara-cara menjaganya.
Pemilihan Media
Secara umumnya media yang dipilih harus mempunyai ciri-ciri seperti daya pegangan air yang baik bagi membekalkan kelembapan yang optimum.
Pada masa yang sama juga boleh memegang baja yang dibekalkan, boleh menyediakan pengudaraan yang baik dan bersesuaian dengan keadaan persekitaran di mana orkid itu akan ditempatkan.
Nisbah campuran media juga penting bagi menjamin pertumbuhan yang baik. Contoh-contoh media yang biasa digunakan ialah arang, batu-bata, habuk kayu, spaghnum moss, tunggul kayu, sabut kelapa, akar paku pakis, tempurung kelapa dan tanah campuran.
Ada juga orkid yang tidak memerlukan media untuk hidup di mana boleh digantung sahaja, seperti Vanda. Bagi kaedah ini penyiraman yang kerap diperlukan.
Arang
Sesuai untuk orkid yang memanjat dan bersifat epifit. Dipercayai boleh mengikat bahan-bahan toksin yang terhasil dari bahan organik dan juga bagi tujuan sokongan akar dan pengudaraan.
Arang dipecah-pecahkan terlebih dahulu kepada tiga saiz iaitu besar, sederhana dan kecil dan kebiasaannya digabungkan bersama pecahan batu bata dengan kadar 1:1.
Rendamkan arang dengan air biasa dan biarkan semalaman. Rendaman ini bertujuan untuk membuang kandungan garam dan bahan kotoran yang terdapat pada arang tersebut semasa arang diproses.
Seterusnya bilas dengan air biasa. Boleh juga direndam dengan air baja untuk menggalakkan pertumbuhan.
Susunkan pecahan arang tadi dengan pecahan bersaiz besar pada dasar pasu, kemudian diikuti dengan saiz sederhana dan saiz kecil pada bahagian atas.
Susunan ini bertujuan untuk kelancaran pengakaran dan pengudaraan. Jika susunan terlalu padat pokok akan bantut.
Batu-bata
Langkah-langkah penggunaan batu bata adalah sama seperti penggunaan arang. Perbezaannya adalah batu-bata direndam dengan racun kulat terlebih dahulu untuk mengelakkan jangkitan kulat pada akar orkid.
Sabut kelapa
Penggunaan sabut kelapa sesuai untuk orkid bersaiz kecil. Digunakan kerana daya pegangan air yang tinggi, namun harus dikawal kelembapannya kerana boleh menyebabkan jangkitan kulat. Boleh juga digunakan secara gabungan dengan arang dan batu-bata.
Habuk kayu
Biasanya digunakan sebagai media pasuan dan juga cara penanaman dengan menggunakan batas. Serbuk kayu ini juga harus dirawat dengan menggunakan racun kulat sebagaimana arang dan batu bata.
Spaghnum moss
Adalah sejenis lumut yang telah diproses. Boleh menyimpan air dalam masa yang lama. Sesuai Bagi orkid jenis yang tidak berbawang (monopodial) dengan untuk pengekalan kelembapan yang lebih lama.
Digunakan sebagai media sokongan untuk orkid yang ditanam pada potongan kayu. Boleh juga digunakan sepenuhnya sebagai media pasuan tanpa gabungan dengan arang dan batu-bata contohnya bagi genus Phaleonopsis.
Tunggul kayu
Sesuai digunakan untuk penanaman orkid secara gantung. Pilih kayu yang tidak terlalu reput dan pastikan kayu tersebut bebas perosak seperti kulat dan anai - anai. Pelbagai olahan kreatif boleh dihasilkan dengan menggunakan tunggul kayu.
Gunakan spaghnum moss sebagai media sokongan dan membantu mengekalkan kelembapan kerana tunggul kayu akan kering dalam masa yang singkat.
Akar paku pakis
Akar paku pakis mempunyai kebolehan untuk menyimpan air dengan lebih lama berbanding tunggul kayu. Oleh itu kadar penyiraman boleh dikurangkan. Gunakan spaghnum moss sebagai media sokongan.
Tanah campuran
Bagi menyediakan tanah campuran penting bagi kita untuk mengetahui apakah nisbah yang sesuai, bahan apakah yang harus digunakan, adakah media tersebut dimampatkan atau tidak.
Pemilihan ciri-ciri ini ditentukan oleh sifat pertumbuhan orkid tersebut. Antara contoh campuran yang biasa digunakan ialah kompos, perlite atau kerikil dan sekam padi dengan nisbah 1:1:1.
Dendrobium
Keperluan Persekitaran Orkid
Pencahayaan dan suhu adalah dua faktor utama yang memainkan peranan yang amat penting di dalam menjamin pertumbuhan yang baik bagi tanaman orkid.
Penghasilan bunga juga bergantung kepada keperluan suhu persekitaran, pencahayaan dan jangkamasa. Orkid seperti Phaleonopsis, Dendrobium, Cattleya dan Oncidium akan berbunga dengan baik sekiranya ditempatkan di kawasan yang redup.
Berlainan pula bagi orkid jenis Vanda, Ranthera, Mokara dan Aranda yang akan berbunga dengan baik apabila didedahkan dengan cahaya matahari secara berterusan pada peringkat matang.
Bagi kawasan tropika, keperluan cahaya tidak menjadi masalah yang ketara. Orkid memerlukan cahaya sekurang-kurangnya 10 jam sehari sehingga 14 jam sehari.
Cara terbaik untuk memberikan cahaya kepada orkid adalah dengan mewujudkan keadaan yang sama sebagaimana habitat asalnya iaitu hutan rimba.
Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengawal kadar pencahayaan bagi orkid. Penggunaan rumah teduhan amat digemari oleh para peminat tegar orkid.
Rumah teduhan ini menggunakan net atau jaring hitam yang mempunyai ketelusan cahaya pada kadar 50 peratus.
Teduhan juga boleh diwujudkan dengan cara menempatkan orkid di bawah pokok-pokok yang bertindak sebagai naungan.
Cara ini sekali gus mampu menghasilkan dekorasi laman gabungan bersama orkid dan tanaman landskap yang lain.